Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Rahsia Kasih

Cerpen sebelumnya:
Minta pada Dia
Cerpen selanjutnya:
Kerna Syiqah

Lorong sepi…

Sekeliling jalanan sudah mulai kelam. Langit mendung. Serasa angin mengulir ke tulang hitam. Dia masih beku. Berdiri menghadap tembok dengan pandangan tanpa harapan. Bening mata, kelopaknya berat menahan air jernih daripada menitis. Baju yang compang camping itu ditatap lagi. Dia sudah tidak terurus, bukan lagi Nabil Uzair yang dulu. Situasi telah merubah dirinya menjadi Nabil yang telah berputus asa terhadap kehidupan. Nabil yang enggan mempedulikan insan-insan di sekeliling.

Rintik-rintik dingin kasar mula menimpa kulitnya. Rahmat dah turun, bumi akan nyaman buat seketika disirami hujan. Kakinya tetap longlai. Tiada sebab untuk dia lari seperti orang lain. Dirinya kosong, tiada apa untuk dikejarkan. Biarkanlah. Biar lencun tubuhnya yang sudah lama tidak disental itu. Biar hilang segala daki yang melekat pada kulit. Biar basah rambut yang sekian lama tidak dirapi. Detap jantungnya tak lagi menentu. Dia keliru, untuk siapakah dirinya hidup. Nabil benar-benar hilang arah tuju.

Saat dia jenuh berfikir, kakinya tersadung seketul batu di tengah jalan hingga membuatkan tubuhnya terdorong ke atas tar yang belum siap berturap itu. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Pantas di ruang matanya, tergambar wajah seorang gadis yang cukup tenang. Gadis yang tak jemu mengisi hatinya dengan kesabaran. Tapi kini dia telah tewas! Hanyut dihempas badai dugaan. Masa lalu, terlalu bezanya dengan detik yang berputar saat ini.

“Argh!” Nabil ketap bibir.
Badannya mula menggigil. Bekas suntikan berwarna hitam pada tangannya dipandang sekilas. Kesakitan yang merengat bisa itu menjalar ke segenap urat sarafnya. Hampir kekejangan dia, tak mampu berdiri semula. Tekaknya merasakan mual yang amat sangat, lalu memuntahkan segala isi perut yang sedia kosong. Nabil mengerekot menahan sakit. Matanya hampir terpejam. Hingus mula merembes dari rongga hidungnya. Dia terlalu lemah. Tak terlawan sakit yang menyerang dengan rakus seluruh salur darahnya tanpa belas.

“Mak, tolong Nabil! Awak, tolong saya. Saya sakit sangat ni,” naik serak suaranya.
Namun gagal didengari oleh sesiapa. Tangannya tergesek pada jalan yang berbatu. Digenggam debu dan pasir sepenuh hatinya dengan harapan bisa yang menggigit sel badannya berhenti menular. Jauh di sudut hati, Nabil terlalu redha. Jiwanya sudah berkalung pasrah. Dia akur, sudah begini suratan yang tertulis buat dirinya.

Gadis itu…

Saat dia mengelamun, kedengaran bunyi tombol pintu kelas dibuka. Kemudiannya dihempas keras. Gadis bertudung ini menentang pandangan tuan empunya badan yang baru masuk untuk mengikuti kuliah. Betapa lainnya dengan insan yang dirindui separuh nyawa. Kepalanya tergeleng. Hari ini, pengisian kelas untuk semester keempat bermula. Syaqila Nadia tunduk. Dia hanya mampu tersenyum. Kenangan lalu menjengah lagi. Dia teringatkan seseorang. Selagi hayatnya ada, dia hanya mencintai lelaki itu. Nalurinya takkan ingkar untuk menunggu. Sejijik mana pun insan tersebut pada pandangan orang lain, masih belum mampu untuk menggoyahkan tembok cinta buat si dia. Selagi belum terzahir depan mata, Syaqila takkan mengadili cakap-cakap orang semudah itu. Saban hari, dia masih menunggu. Selagi rindu menjadi milik sang jejaka, dia takkan berganjak. Bodohkan dirinya?

“Hati, maafkan aku kerana tak upaya membiarkanmu mencintai insan lain,” bicaranya sayu.
Bersama senyuman yang diiringi tangis dalam hati, saat pertemuan pertama mula mengacah ingatannya. Bila mana seorang rakan sekelas menutup pintu kelas dengan kuatnya sewaktu dia mengulangkaji pelajaran. Dek kerana konsentrasi yang terganggu Syaqila memberanikan diri untuk menegur pelajar itu. Biar lelaki itu belajar menghormati privasi orang lain.

“Apa masalah awak sebenarnya? Tak boleh ke masuk kelas, tutup pintu perlahan. Nak tarik kerusi, janganlah hentak,” dia mengawal nada. Cuba menegur dengan lembut. Jejaka itu memandangnya bagai orang yang tiada perasaan. Tayang muka tak bersalah, tindak balas yang sungguh menyakitkan hati. Selintas dia berpaling, satu suara sinis membalas setiap tegurannya seketika tadi.

“Aku nampak macam orang bermasalah ke? Bukan orang yang skema macam kau ni banyak masalah? Eh! Kalau ya pun otak kau penat, janganlah lepas geram kat orang lain. Kau bukan robot, jangan paksa diri untuk terus belajar seolah kau dapat hafal satu buku tu. Aku memang suka tutup pintu kuat-kuat. Tarik kerusi dan hentak untuk duduk. Aku takde masa nak hipokrit. Lebih baik aku jadi diri aku sendiri. Kau suka ke tak, aku tak kuasa nak ambil tahu,” nadanya memang cukup membuatkan darah gadis ini tersirap. Memang tak boleh ditegur langsung. Biadap!

“Saya tak fikirkan tentang diri saya semata-mata, tapi kawan sekelas yang lain. Kalau awak rasa mereka dapat terima perangai awak macam ni, silakan,” ucap si gadis dengan senyuman ikhlas. Dia malas hendak masuk campur perihal orang yang merasakan dirinya sudah cukup bagus.

Gara-gara konflik itulah, mejanya terbalik ditendang oleh jejaka tersebut. Berterabur buku yang sedang dibacanya. Mengingati kronologi tersebut, matanya digenangi air hangat. Nafas dihela untuk membangkitkan sisa semangat yang masih belum meninggalkan dirinya.

‘Terima kasih kerana setia menemani aku,’ desisnya sendiri. Kedatangan penyarah lewat tengahari itu memaksa dirinya mengusir kenangan lalu yang tak henti berdesir dalam ingatan. Walaupun payah, dia tetap mencuba. Menelan kepahitan yang mungkin tiada berpenghujung. Sekilas pandangan dihalakan ke belakang. Tempat yang sama telah diisi oleh pelajar lain. Bukan lagi orang yang dinanti. 

Suatu kesuraman…

Tergigil dia mengagahkan diri untuk membentang kotak. Hanya alas lusuh yang basah itu menjadi cadarnya. Tiada selimut yang mampu memanaskan badan kala kesejukan bermaharajalela. Mengalir air jernih yang ditahan dari tubir matanya. Pilu mengenangkan hidup yang melarat begini. Dia sudah tak punya siapa-siapa. Pegangan diri ghaib entah ke mana.
Api lilin ditiup sampai padam. Nabil memaksa mata untuk terpejam. Menunggu malam berinjak ke siang, memang lama. Sedangkan dia tak mampu menipu diri sendiri. Makin kejap dia menutup mata, makin sarat mindanya berfikir. Semakin larut hatinya dalam gundah. Esok dirinya ada destinasi yang hendak dituju. Semoga masih ada nafas yang terhela untuk terus bernyawa.

Seawal fajar menyinsing, Nabil bangkit dari pembaringan. Kakinya terus melangkah tanpa mempedulikan tempat usang yang menjadi kediamannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Terus ditinggalkan begitu saja. Sebolehnya dia ingin sampai ke teratak damai yang menempatkan ibu kesayangannya sebelum matahari menjenguk langit. Setapak, dua tapak dan tiga tapak, dia hampir terjelopok. Akan tetapi, dia kentalkan hati. Nabil menahan sebak yang tak segan mengasak dada. Haruman puspa kemboja menyambut kedatangannya. Batu nisan yang tegak berdiri menyedarkan dirinya tentang sesuatu. Satu hari nanti, dia juga akan bersemadi di sini. Anak matanya tertumpu pada pemerhatian. Setelah pasti akan pusara yang dicari, dia membaca tulisan jawi yang terdapat pada batu nisan berwarna kelabu itu untuk mendapatkan kesahihan.

Air mata Nabil terus gugur. Dia langsung terduduk di kawasan perkuburan itu. Lututnya menjadi longgar untuk menampung badan yang kian susut hari demi hari. Telapak tangannya sudah kejap mengenggam tanah. Dia memandang dua batu yang teguh berdiri dengan pandangan berkaca. Nisan itu telah terhakis akibat dimamah waktu. Telah lama mak meninggalkan dirinya. Tersedu sedan tatkala dia membayangkan betapa bersihnya wajah wanita yang tak pernah lekang dari hatinya itu saat jenazah mak berada di pembaringan. Jemarinya terketar-ketar menyeka air mata yang tak henti menuruni pipi. Seketika kemudian, wajahnya disembamkan pada tanah. Melepaskan kerinduan yang amat dalam. 

“Mak, ampunkan Nabil. Mak lahirkan Nabil, beri nama yang elok untuk Nabil. Tapi Nabil dah hancur mak. Nabil gagal jadi anak soleh macam yang mak nak. Nabil tak guna, mak. Nabil manusia yang hina. Mak, kalau kita dapat jumpa lagi, Nabil harap mak ampunkan Nabil. Nabil dah hampakan mak. Nabil gagal lindungi mak,” serak suaranya memohon keampunan.

Terhinggut-hinggut badannya menahan esakan. Sesungguhnya masa tak mungkin dapat diputar kembali. Jika mak masih hidup tentu sahaja wanita itu takkan biarkan dia terus hanyut. Namun apakan daya. Hanya kerana sebuah insiden yang cukup memilukan, anak muda yang memiliki masa depan gemilang ini memilih untuk kecundang tanpa membela nasib dirinya. Malah cintanya yang baru bercambah, terpaksa dilupakan begitu sahaja. Tanpa sempat mengecap manisnya cinta, dia mengundurkan diri. Hatinya telah mati sebelum jasadnya berkubur. Dikeluarkan dua keping gambar yang setia menemani setiap langkahnya ke mana sahaja. Air matanya jatuh lagi di atas gambar seorang wanita yang tersenyum memangku bayi. Hatinya dipagut pilu. Serta merta imbauan tragedi ngeri memenuhi layar penglihatannya. Tengahari yang terik itu telah menjadi saksi segalanya.

“Mak! Ya Allah! Mak!” Nabil yang baru pulang dari kelas terus menerpa ke arah ibunya yang lembik setelah dibelasah separuh mati oleh lelaki tidak berbaju di hadapannya. Kedengaran ketawa kasar mula bergema. Adakah syaitan sedang merasuk ayah? Hingga tergamak mencederakan isteri sendiri sebegitu rupa? Takkan tidak dikenang langsung susah payah mak menjaga makan minum dia selama ini?Dengan sebelah tangan memegang jarum suntikan, lelaki yang digelar ayah sejak dia mengenal dunia itu melemparkan senyum sinis. Terpamer wajah durjananya.

Mungkinkah lelaki ini salah seorang daripada syaitan bertopengkan manusia? Hatinya menjerit bila melihat darah merah meleleh dari tempat luka di dahi ibunya. Sah! Kepala mak dihantuk ke dinding seperti selalu. Kali ini apa pula alasan ayah? Adakah semata-mata kerana mak menghalangnya menagih dadah di dalam rumah, lelaki itu naik berang? Nabil menghimpun seluruh tekad. Dia sudah kuatkan hati. Sebelum melakukan tindakan selanjutnya, dia menyandarkan ibu yang lemah ke tepi dinding bilik.
Hari ini, bermula saat ini hormatnya pada lelaki bernama ayah telah mati. Lelaki itu tak wajar dipanggil ayah mahupun suami! Dia malu memiliki ayah yang mementingkan diri. Belum pernah dalam sehari buat seumur hidupnya lelaki itu berenggang dengan najis dadah. Sejak usia Nabil menginjak sepuluh tahun, ayah mula berjinak-jinak dengan morfin. Benda haram itulah yang disangjungnya. Hingga mengheret derita ke dalam rumah mereka yang dulunya disinari kasih sayang dan kebahagiaan.

“Nabil, jangan nak. Dia tetap ayah kamu. Dia tak sengaja pukul mak,” dia tersentuh bila mendengar suara si ibu.

Bayangkan, sehingga tahap tubuhnya dijadikan tempat pelepas amarah ayah, mak masih mempertahankan tindakan suaminya yang nyata berada di luar batasan. Betapa taatnya mak sebagai seorang isteri! Namun hari ini, kata-kata ibunya terpaksa dibiarkan bagai angin lalu. Nabil tetap berkeras dengan kata hatinya. Dia hanya akan menjadi anak yang berguna sekiranya mampu melindungi mak daripada terus menjadi mangsa keganasan. Matanya sudah tak mampu pura-pura tuli! Hatinya sakit! Otaknya seringkali menyalahkan diri sendiri!

“Kau memang durjana! Sanggup mampus dengan dadah!” Masih jelas, sumpah seranah itulah yang dia tempikkan kepada ayah. Rasa hormatnya telah lumat. Saat dia meluru ke arah ayah, lelaki itu dengan tanpa rasa bersalah menusuk jarum suntikan berisi dadah morfin ke dalam pembuluh darahnya. Terkesima dia menerima suntikan tersebut. Bermula waktu itu, dirinya telah dicemari najis dadah. Nabil Uzair dah kotor! Dan, peristiwa itu bertambah pahit untuk ditelan setelah ibu meninggal akibat terkejut berikutan kejadian yang menimpa dirinya. Manakala ayah, lelaki itu kini musnah disebabkan kecelakaan ciptaannya sendiri. Yang mana, turut menjadi celaka buat Nabil Uzair.

Dia terus menangis di situ. Kedatangan beberapa orang perempuan yang menziarahi pusara memaksa Nabil untuk beredar secara tergesa-gesa. Bahang mentari menyebabkan kulitnya merasa pedih. Matanya mula memerah. Hidungnya digosok berulang kali. Ada cecair mengalir dari situ. Nabil sedar, dirinya menjadi bahan cacian. Dia mendengar dengan jelas setiap kata nista yang dilemparkan selama ini. Dia tak gila, mindanya masih berfungsi walaupun tubuhnya hanya menunggu ajal.

Panahan mentari melemahkan tenaganya. Nabil bersandar di bawah pohon rendang tanpa mempedulikan mata yang memerhatikannya dengan jelik. Orang tak tahu apa yang dia tanggung. Derita, sengsara, sakit hati dan pasrah. Dia sendiri tak menyangka masa depannya akan berakhir begitu sahaja. Sekeping lagi gambar yang dipegang kemas sejak berada di pusara tadi menjadi tatapannya. Alangkah bertuah siapa yang memiliki gadis berperwatakan lembut dan tegas itu. Setiap kali berada di sisinya, Nabil jadi tenang.

“Awak ni kenapa? Takkan sebab kehidupan keluarga awak tak sama macam orang lain awak boleh memberontak sesuka hati? Cara awak tu salah, Nabil. Nasib baik saya ekori awak senyap-senyap. Barulah tahu situasi yang sebenarnya. Awak jangan salahkan kawan-kawan lain, mereka tak faham. Cuba awak cerita dengan saya, adakah awak rasa lega bila tunjukkan protes depan semua orang? Awak pelajar yang pandai. Takkan nak siakan peluang yang ada disebabkan konflik keluarga?” Syaqila mula berkira-kira untuk berlalu setelah Nabil masih mendiamkan diri. Padanya, sia-sia sahaja keinginan untuk membantu jika jejaka itu enggan berubah. Segala nasihatnya akan terbuang begitu sahaja. Nabil yang dari tadi memanggung kepala, berpaling. Dia ingin punya teman bicara. Dia mahu dihormati.

“Tunggu Ila. Saya tak pernah percayakan orang lain. Keluarga saya yang berantakan membuatkan saya rasa rendah diri. Saya tak yakin untuk bergaul dengan orang sekeliling. Hanya awak yang tak pernah pandang serong pada saya. Awak tak tuduh saya bukan-bukan macam orang lain buat. Awak lain daripada orang lain,” bibirnya mula menguntum senyum. Syaqila memandang Nabil. Dia berusaha memupukkan keyakinan dalam diri jejaka ini. Kelegaan terpancar pada sepasang matanya. Mereka saling berpandangan.

Ungkapan tersebut telah membuktikan bahawa Nabil Uzair menyerahkan hatinya buat Syaqila. Dia cukup menyenangi si gadis. Namun akibat dadah yang mencemari tubuhnya tanpa rela, dia harus meninggalkan Syaqila Nadia di saat gadis itu mengharapkan cintanya.

“Maafkan saya. Saya tak dapat berjanji dengan awak, Ila. Layanan ikhlas saya hanya sekadar layanan seorang kawan. Awak dah tersilap. Carilah orang yang sepadan dengan awak,” dan dia terus berpaling. Dirinya lemah untuk menatap tangisan Syaqila.  Tangannya pula erat menggenggam secebis kertas. Lirik lagu Mahar Cinta, yang sering menjadi halwa telinga Syaqila. Bait rangkap yang paling digemari oleh gadis itu.

‘Apakah mungkin engkau mengerti setiap cinta yang dilafazkan bukanlah sekadar mainan tetapi sebuah janji?’
-saya akan mengikat janji dengan awak-

Pada mulanya dia sungguh yakin untuk membalas hasrat hati si gadis. Namun, keputusannya terpaksa dirombak lantaran dirinya tak lagi suci. Nabil Uzair dah jadi penagih! Keronyok kertas tersebut dalam genggamannya.

“Awak jahat! Saya benci awak!” Pekikan itu diterima dengan rela hati. Nabil kuatkan semangat untuk terus melangkah. Secebis kertas yang bertulis itu, dibacanya berulang kali sehingga minda tak mampu mentafsir sebarang abjad lagi.

Perasaannya diselindungkan sama sekali. Bait lirik yang berbeza telah menjadi kiriman sewaktu pertemuan mereka dulu. Mungkin Syaqila telah membuang kertas kumal yang tiada bernilai itu. Nabil tiada pilihan lain pada masa itu. Begitu juga sekarang. Dia rela menelan duka.

‘Hanyut dibuai angan dan mimpi indah hingga terabai segala cita. Sedang khayalan tak menjanjikan segunung kebahagiaan sebagai mahar hantaran,’

-Saya tak sanggup korbankan masa depan demi awak-

Pertemuan terakhir…

‘Hanyut dibuai angan dan mimpi indah hingga terabai segala cita. Sedang khayalan tak menjanjikan segunung kebahagiaan sebagai mahar hantaran,’

-Saya tak sanggup korbankan masa depan demi awak-

Berkali-kali kertas kumal yang hampir lusuh dakwatnya ditatap. Entah mengapa, setiap kali membaca lirik tersebut, rasa tak percaya bertandang di hati. Syaqila gigit bibir. Dia rasa dirinya perlu melihat dunia luar. Alangkah elok jika bersiar-siar seketika. Pergi ke taman mungkin boleh menenangkan hatinya.

Syaqila tersenyum sendiri. Dulu di taman ini dia sering momotivasikan insan yang dicintai. Malangnya, dirinya ditolak tanpa sebarang sebab dan alasan. Tanpa penjelasan dia ditinggalkan. Malang betul, tentu sahaja dirinya menyukai orang yang salah. Sedang asyik melayan perasaan, matanya bagai terpandang susuk tubuh yang saban waktu dirindui.

Gadis ini membulatkan matanya. Dia terpandangkan kelibat seseorang yang begitu dikenalinya. Tetapi penampilannya begitu jauh berbeza. Daripada seorang pemuda yang kemas dan sederhana kepada seorang yang comot dan serabai. Bukan itu sahaja, wajahnya kusam bagaikan berbulan tak mandi. Janggut melitupi sebahagian wajah hingga dia gagal mengecam jejaka itu. Tapi nalurinya kuat berkata, orang yang sedang mengutip sisa makanan itu adalah Nabil Uzair! Tranformasi apakah yang sedang dilihatnya ini? Adakah sepasang matanya sedang menipu? Syaqila tak berupaya membiarkan hatinya terus berteka teki. Dia perlu bertindak. Perlahan, dia menghampiri tong sampah tempat lelaki serabai itu berdiri.

“Nabil?” Lembut dia menyapa.

Tangannya yang ligat menyelongkar tong sampah itu terhenti sama sekali. Lelaki selekah itu memandang tepat wajah gadis manis yang menyebut namanya. Mata mereka bertentangan. Nabil terpempan. Dia tak salah orang! Suara itu merupakan suara yang amat dirinduinya. Gadis bernama Syaqila Nadia yang banyak menanam kesabaran dalam sikapnya. Gadis yang tak pernah jemu melenturkan kelembutan dalam kedinginannya. Gadis ini juga, yang dicintai namun terpaksa ditinggalkan!

Sebak serta merta menghurung dada mereka. Kedua-duanya berkongsi rasa yang sama. Syaqila tergamam bila Nabil menjauhkan diri. Jejaka itu lari. Sisa makanan yang ditemui tak jadi diambil. Syaqila masih terpaku. Namun mindanya cepat-cepat mengingatkan.
Dia tak seharusnya membiarkan Nabil pada kali ini. Jika dulu jejaka itu menolaknya tanpa alasan yang munasabah, kini dia harus mencari tahu di manakah silapnya hubungan mereka dulu? Siapakah yang menjadi punca?

Nabil menyembunyikan diri di sebalik tong-tong besar yang terdapat tidak jauh dari tempat tinggalnya. Syaqila terus mengekori. Dia takkan berhenti selagi tidak dapat melihat kelibat Nabil dan berbicara dengan jejaka itu. Dia enggan dibebani rasa bersalah lantaran memikirkan pelbagai perkara yang negatif tentang Nabil. Hari ini dia mahu segalanya terbukti dengan mata kepala sendiri. Benarkah khabar angin yang didengari bahawa Nabil Uzair yang dicintainya merupakan seorang penagih dadah?

“Awak kena keluar Nabil! Awak tak boleh terus sembunyi macam ni. Kalau awak lari, awak tak dapat lepaskan diri dari masalah. Tapi awak tengah tambahkan masalah. Tolong buktikan pada saya, siapa awak sebenarnya?” Bergetar suara Syaqila. Dia jadi sedih bila teringatkan Nabil yang dulu. Terlalu berbeza dengan Nabil yang dilihatnya seketika tadi. Alangkah bagus jika semua ini hanya mimpi. Sedang Nabil yang mendengar setiap butir bicara Syaqila, terus mendiamkan diri.  

Suara teriakan gadis ini telah mendatangkan rasa curiga kepada salah seorang penghuni lorong gelap ini. Lelaki bertopi ini segera menghendap. Susuk tubuh gadis itu diperhatikan dari atas ke bawah. Tentu lumayan jika dijadikan mangsa! Memakai pakaian yang bersih, berpenampilan sopan cukup menimbulkan syak wasangka. Langkah gadis tinggi lampai ini terhenti bila dia merasakan dirinya diekori oleh seseorang. Lantas Syaqila berpaling. Dia tergamam.

“Kau nak apa datang tempat aku?” Kasar sungguh cara lelaki bertopi koyak itu menyoalnya. Nabil mula cemas. Menderu nafas dalam dadanya. Mungkin Syaqila diancam bahaya. Dia perlu keluar dari persembunyian. Dia hampir tewas bila mendengar rayuan Syaqila sebentar tadi. Namun ini bukan masanya untuk pentingkan diri! Kata berbaur amaran itu merupakan petanda Syaqila berada dalam bahaya.

“Saya cari kawan,” balas Syaqila. Lelaki itu hanya tersengih menyerlahkan giginya yang berkarat. Gadis ini menyeringai kegelian. Pecah jeritnya bila lelaki itu menghunuskan pisau.

“Kau dah ceroboh tempat yang salah!” Garau suaranya sungguh menakutkan. Ketar Syaqila jadinya. Nabil muncul dari belakang dan menolak tubuh lelaki itu.

Syaqila terpinga-pinga. Nabil memandang gadis itu. Dia serba salah. Mujurlah dia sempat bertindak sebelum gadis yang sentiasa bertakhta di hatinya menerima musibah. Tanpa mempedulikan keselamatan dirinya, Nabil menggelengkan kepala. Isyarat menyuruh gadis itu pergi.

“Tak! Ila tak nak pergi!” Bentak Syaqila. Dia tak mahu meninggalkan Nabil keseorangan. Jejaka itu masih berhutang suatu penjelasan terhadapnya.

“Pergi Ila! Tolonglah. Tempat macam ni untuk sampah masyarakat macam Nabil. Ila kena pergi. Antara kita langsung tiada apa-apa. Tak guna Ila berkeras macam ni,” Syaqila masih berdegil. Dia tetap dengan kata hatinya. Takkan berganjak dari situ.

“Tak! Buat apa Ila nak pergi? Ila dah lama sakit hati dengan Nabil! Ila dah jadi macam orang gila! Ila takkan pergi selagi Nabil tak buka mulut!” Keras nadanya. Nabil memejamkan mata. Adakah dia yang bertanggungjawab merubah hati Syaqila sehingga menjadi sekeras kerikil?

“Keadaan kat sini bahaya Ila. Tolonglah pergi. Tinggalkan Nabil,” rayu Nabil. Dia menghampiri Syaqila. Mata mereka mula berkaca. Memandang Nabil sebegini dekat, terasa bahawa keakraban mereka suatu masa dulu telah kembali. Nabil menunduk. Tak daya menentang mata Syaqila. Lebih lagi, dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya selepas ini andai berlaku perkara yang buruk terhadap Syaqila. Gadis yang menjadi cinta pertama dan terakhirnya.

Syaqila membulatkan matanya. Dia menunjukkan jari ke belakang. Lelaki tadi masih berusaha untuk mencederakan salah seorang daripada mereka. Nabil terpaku tak mengerti. Dia kemudiannya berpaling, namun pada masa itu pisau telah pun menembusi perutnya.

Syaqila terkedu. Matanya memerah. Dia meluru ke arah Nabil yang telah rebah. Tanpa diduga, sekeping gambar jatuh dari sisipan saku jejaka itu. Syaqila menggagau gambar yang cuba untuk dicapai dengan susah payah oleh Nabil. Sebaik tangannya memegang gambar tersebut, air mata yang bertakung jatuh tanpa tertahankan. Serasa hendak pecah dadanya.

“Nabil,” seru Ila perlahan. Antara dengar dan tidak. Tubuhnya serta merta lembik. Syaqila termangu dihambat penyesalan. Rupanya selama ini dirinya menjadi peneman Nabil. Apakah perlunya jejaka ini merahsiakan rasa hati? Bukankah mereka boleh mengharungi segala saat getir bersama andai dibincangkan secara elok.

Tergigil dia memangku Nabil yang sedang tercungap menahan kesakitan. Jejaka itu merasa sejuk pipinya saat air jernih bertitisan menitis dari kolam mata Syaqila. Matanya terpaku pada wajah cemas Syaqila. Hari ini gadis yang dicintai sudah tahu segala rahsianya. Dia hanya terdaya mengangguk.

“Maafkan Nabil,” ungkapnya lemah. Syaqila menggeleng. Tak mampu untuk bersuara. Dia luluh menatap Nabil. Hancur hatinya melihat kesan suntikan pada tangan jejaka ini. ‘Kenapakah dia memilih jalan ini Ya Allah?’ Syaqila merintih hiba.

Nabil ketap bibir. Nafasnya tersekat. Dia menekup perut. Darah merah semakin galak mengalir dari situ. Syaqila teraba-raba mencari telefon bimbit dalam tas tangannya namun tindakannya dihalang oleh Nabil. Sebelah tangannya memegang erat jemari Syaqila.

“Nabil, mengucap. Ingat Allah. Ila takkan tinggalkan Nabil. Nabil tak boleh tinggalkan Ila,” seraya itu si gadis membisikkan syahadah ke telinga Nabil. Terkumat-kamit bibir jejaka itu mengikut lafaz suci tadi. Sakitnya kian merengat. Sesekali Nabil memejamkan mata. Dia masih ingat, ada perkara yang ingin diucapkan kepada Syaqila sebelum nafasnya terhenti.

“Nabil tak boleh tinggalkan Ila. Tolonglah jangan pergi,” ucap gadis itu dengan esak tangis. Nabil menggeleng. Dia berusaha membisikkan sesuatu. Syaqila mendekatkan telinga ke bibir jejaka itu.

“Tak Ila. Masa Nabil dah sampai. Kalaulah dulu Nabil ada peluang, tangan Ila yang Nabil nak pegang erat-erat. Andai Nabil mampu, Nabil akan sarungkan cincin ke jari manis Ila. Kalau Nabil dapat putarkan waktu, Nabil takkan biarkan diri Nabil tewas begini. Ergh,” wajah Nabil bertambah pucat. Dia berusaha untuk terus menghela nafas. Syaqila tersedu-sedan. Basah wajahnya dengan air mata. Pilu bila memandang kulit Nabil yang berubah lebam. Hilang kulit putih jejaka itu.

“Nabil hanya pernah sayangkan Ila seorang. Tiada yang lain. Sebab sayang, biarlah Nabil pergi. Nabil tak bagi makna pada sesiapa pun. Tapi masih ramai yang mengharapkan Ila. Lepas Nabil pergi, Ila tolong doakan Nabil. Nabil manusia yang hina, Ila. Tapi percayalah, Nabil takde niat untuk jadi penagih. Nabil…” Ayat jejaka itu terputus di situ. Wajahnya berkerut. Tautan tangan Nabil makin kejap. Syaqila tersentap. Jarinya seakan mengenggam air batu. Terlalu dingin. 

“Tak. Ila sayangkan Nabil. Ila tak pernah anggap Nabil macam tu. Hati Ila tak pernah dapat terima orang lain,” sungguh dia gagal mengawal emosi. Rambut Nabil yang berada di pangkuannya diusap berulang kali. Nabil semakin lemah. Dadanya berombak kencang sehinggalah Syaqila gagal merasakan apa-apa lagi.

Tangan Nabil yang erat mengenggam jemarinya terasa longgar. Dia menangis bersendirian di sisi tubuh kaku sang kekasih. Perginya Nabil setelah merungkaikan rahsia kasih yang terpendam antara mereka selama ini. Syaqila mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia ingin menelefon pihak berkuasa. Kematian Nabil Uzair harus dibela. Begitu tragis kisah cinta mereka. Segalanya bermula dengan perselisihan faham. Dan diakhiri dengan pengorbanan yang penuh derita. Bertitisan air mata si gadis. Manik hangat yang tak jemu diiringi sendu. Bagaikan terngiang lagu Mahar Cinta pada pendengarannya tika ini.

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara di hatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terucap

Pasti dirimu kan memahami
Harapan kasih yang terbina
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu

Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah
Hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran

Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yang dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau bisa mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terungkap

Pasti dirimu dapat melihat
Rahsia kasih yang terpendam
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu
Selamanya..

        
 
      

Cerpen sebelumnya:
Minta pada Dia
Cerpen selanjutnya:
Kerna Syiqah

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.7
9 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2467 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6266 bacaan
Berikan Hatimu | 4055 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3590 bacaan
Tiada Sesalku | 2936 bacaan
Laksana Bulan | 2958 bacaan
Seribu Impian | 3957 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3389 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3781 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3472 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

31 Komen dalam karya Rahsia Kasih
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik