Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Dia

Cerpen sebelumnya:
Kerna Syiqah 2
Cerpen selanjutnya:
Bangku Kayu

-kerana sayang, aku berada di sini. Hanya padaNya, aku mendamba cinta-

 

Panggilan yang seringkali meniti di bibir anak-anak menguatkan semangatku untuk terus berada di sini. Meski bukan darah daging sendiri, penghargaan dari mereka yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehidupan membuatkan diriku merasa terlalu bertuah. Perlakuan mereka polos, begitu jujur dalam meluahkan ekspresi diri. Lantaran rasa kemanusiaan dan simpati, aku nekad mengemudi usia muda di sini demi membawa lembaran baru dalam kehidupan mereka.

 

“Pa Lutfil,” sayu suaranya menyapa pendengaranku. Ku tatap wajah bersihnya. Tangan kecil milik Nafis jatuh ke pahaku. Si kecil berusia enam tahun ini tersedu-sedan. Ku raih jemari comel kanak-kanak ini lalu menyeka air matanya.

 

“Kenapa sayang? Nafis sakit ke?” lantas dia menyembamkan muka ke dadaku. Rambutnya ku usap penuh kasih. Agak lama menanti tangisannya reda sendiri. Maklumlah, Nafis agak berbeza berbanding anak-anak yang lain. Jika anginnya tak elok, kami harus membiarkan dia bertenang sendiri. Semakin dipujuk, semakin menjadi tangisannya. 

 

Nyata kesedihannya masih belum reda. Aku ketap bibir. Belum pernah Nafis menangis seteruk ini. Sejak dihantar ke rumah Rasa Sayang setelah dilahirkan, dia merupakan salah seorang anak yang mudah dijaga. Tak banyak kerenah. Malah semua kakak dan abang di sini begitu menyayangi Nafis. Esak tangisnya yang berpanjangan menimbulkan kehairanan di benakku.

 

“Diam sayang. Jangan menangis macam ni. Cuba cerita kat Pa Lutfil, siapa yang buli Nafis?” Aku sudah serkap jarang. Mengumpan dirinya menceritakan perkara sebenar. Senang untuk aku memujuk nanti. Dia terus menggeleng. Tangan kecilnya memaut erat tengkukku. Wajahnya diangkat sedikit.

 

“Nafis sedih. Ada anak kucing kena tinggal dengan ibu dia. Anak kucing tu duduk dalam kotak,” adu Nafis dengan suara seraknya. Aku nyaris pengsan. Hendak gelak pun ada. Dari tadi puas aku memikirkan andainya dia sakit, ataupun diapa-apakan oleh sesiapa. Rupanya perihal anak kucing yang menyebabkan si comel ini runsing begitu sekali.

 

“Lah. Itu rupanya. Pa Lutfil ingatkan kenapa tadi,” rangkulan pada tengkukku semakin longgar. Nafis menghalakan pandangannya menghadap wajahku. Sepasang mata bulatnya dikerdipkan berulang kali. Isyarat biasa kalau nak minta sesuatu.

 

“Apa dia sayang?” soalku lembut. Dia tersengih-sengih manja. Rasa nak cubit sahaja pipi mungil itu.

 

“Boleh tak kalau Nafis nak jaga anak kucing tu?” aku memegunkan muka buat seketika. Buat-buat tak endah dengan permintaannya. Sengaja berbuat demikian untuk menduga setakat mana kesungguhan Nafis. Tidak lama kemudian, dia memuncungkan bibir. Tubuhnya dipalingkan ke belakang dengan tangan memeluk tubuh. Aku tahu dia sedang merajuk.

 

“Alalala, pa Lutfil gurau je lah sayang. Mestilah boleh. Berbuat baik sesama makhluk kan dituntut dan diredhai Allah. Jom kita ambil anak kucing tu,” segaris senyuman mula memekar di bibirnya. Tautan jemarinya serta merta erat pada tanganku. Nafis mendahului aku menuju ke tempat anak kucing itu diletakkan. Sebaik melihat kotak yang lusuh itu masih bertuan, Nafis tersenyum lebar. Segera dia mengangkat kotak itu dengan bantuanku. Kami sama-sama tertawa.

 

“Mulai hari ni, kita kena jaga dia sama-sama tau. Nama apa yang Nafis nak bagi?” Dia menggaru-garu dagu. Macam tengah memikirkan perkara mustahak sahaja lagaknya.

 

“Montel,” perkataan itu yang meniti di bibir Nafis. Aku mencuit hidungnya. Jari kelingking kami bertaut. Tanda masing-masing bersetuju. Dia kemudiannya memelukku erat.

 

“Terima kasih, pa Lutfil. Nafis sayang papa,” penghujung ayatnya sungguh menyentak tangkai hatiku.

 

“Papa pun sayangkan Nafis,” balasku perlahan. Tetapi cukup bermakna. Sarat dengan kasih sayang buatnya.

 

Sememangnya Nafis adalah anak yang keletah. Aku terhibur melayani setiap kerenahnya. Kadangkala diri ini pernah terfikir untuk memberikan suasana berkeluarga yang lengkap buatnya. Pernah aku berikrar untuk memberikan seorang ibu buat Nafis. Akan ku bawa dia menetap bersamaku apabila telah tiba masanya untuk aku berumah tangga kelak. Namun, ada keterbatasan yang mencelah. Hakikatnya, diri ini belum layak untuk membina keluarga. Belum sesuai menjadi seorang bapa, ataupun dijadikan contoh. Hati aku sudah menyatakan kesediaan, namun akal masih mengatakan tidak. Gelora yang bergolak hebat dalam keluargaku mencambahkan rasa rendah diri yang bukan kepalang. Institusi kekeluargaan kami bukan seperti keluarga lain. Bimbang membawa pengaruh buruk terhadap anak kecil seperti Nafis.

Mama, papa apa khabar agaknya mereka? Masih ingatkah bahawa mereka punyai aku sebagai anak? Rindu memang rindu, namun malu yang amat untuk menjengah rumah. Kediaman yang aku tinggalkan sejak bertahun lalu. Bukan kerana benci. Cuma teringin untuk hidup menyendiri. Lalu demi sebuah ketenangan hakiki, aku mengabdi diri di sini.  

 

Tidurku malam ini benar-benar terganggu. Tidak sepicing pun berupaya melelapkan mata. Lantas ku bangun dan menuju ke bilik air. Mengambil wudhuk dan menunaikan solat hajat. Mencari ketenangan dengan melaksanakan ibadah sunat. Terapi buat hamba yang keresahan sepertiku ini. Pada sepertiga malam yang dingin dan syahdu, ku alunkan zikir munajat. Moga sampai kepadaNya. Sepenuh ketulusan aku berdoa. Merendahkan diri di hadapan Pencipta Yang Esa. Moga sujudku malam ini diredhai. Aku takkan serik mendamba cinta dariNya. Hanya pada Dia dapat aku mengadu. Hanya Dia yang maha mengetahui segala sesuatu.

 

“Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka memelihara aku sewaktu aku masih kecil. Janganlah dipesongkan perjalanan mereka di dunia sementara ini. Engkau tautkanlah kesedaran dalam hati keduanya. Ya Allah, sesungguhnya aku takut mereka terleka dengan godaan dunia yang fana. Kembalikanlah mereka yang sebenarnya kepadaku. Ya Allah, usah bebankan kami dengan bebanan yang berat. Seperti yang pernah kau berikan kepada umat terdahulu dari kami. Jangan pikulkan kami, yang tidak kami terdaya menanggungnya. Maafkanlah salah kesilapan, ampunkanlah dosa-dosa. Rahmatilah kami,” bertitisan air mataku.

 

Syahdu mengisi kekosongan dalam hati. Terhinggut-hinggut menangis. Tiada malu lagi saat berdampingan denganNya. Apa yang terlintas, hanyalah mahu menginsafi diri. Baris demi baris ayat suci Al Quran bersama terjemahannya aku hayati. Setiap erti yang tersirat, diaamati dalam-dalam maksudnya.

Dan sesiapa yang berpaling (tidak mengikut) dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha: 124).

Aku meneruskan bacaan. Serasa pedih mataku. Berderai air hangat pada helaian kalam suci ini. Imbauan yang berlaku dalam hidup suatu ketika dulu bagaikan sedang diulang tayang. Hati dan naluriku sebagai anak merintih hiba, mengenangkan perlakuan ibu bapa yang membuatkan diri ini malu untuk terus menetap di sisi mereka. Sudah puas aku mencari ikhtiar, menegur dengan lembut. Namun, segala usaha masih belum menampakkan hasil. Mata ini sudah tak sanggup dipejamkan begitu saja, telingaku sudah naik tebal menangah tohmahan. Bersama hijrah ke destinasi yang belum pasti, segalanya diserahkan kepada Allah. Pasti akan tiba masanya untuk mama dan papa menyedari khilaf mereka. Dan aku hanya mampu berharap agar pada waktu itu segalanya masih belum terlambat.

Malam itu, aku sedang membaca Al-Quran di dalam bilik. Tumpuanku terganggu bila mendengar perbualan antara seorang wanita dan seorang lelaki. Pada mulanya, aku mengandaikan suara tersebut datangnya dari rancangan televisyen kegemaran mama. Aku meneruskan bacaan sehinggalah selesai tanpa sebarang rasa sangsi.

Namun, sewaktu aku ingin turun ke dapur untuk membasahkan tekak ku lihat sepasang manusia berlawanan jantina sedang berpeluk mesra. Ternyata, mama sedang menduakan papa yang masih berada di luar negara atas urusan perniagaan. Di dalam rumah ini, sepasang mataku telah menjadi saksi kelakuan sumbang ibu sendiri dengan seorang lelaki yang tidak diketahui asal usulnya! Lebih menjijikkan, lelaki itu hampir seusia denganku. Pada saat itu, kakiku menggigil. Wajahku terasa hangat. Pijar seluruh tubuh. Niat untuk ke dapur, hilang begitu sahaja. Aku terus naik ke bilik tanpa mampu berkata apa. Wajah lelaki itu, selamba sahaja. Seakan bangga dapat menakluki wanita seperti mama.

Kejadian yang berlaku mengingatkan aku tentang perlakuan papa beberapa hari sebelum dia berlepas ke Tokyo. Dengan selamba, papa yang sedang meneguk air berwarna ungu kehitaman itu mempelawa aku untuk turut serta. Ku pandang sekilas label yang terdapat pada botol minuman keras yang menjadi sajian papa di pagi hari. Mulberry Red Wine! Aku hanya mampu menggeleng kepala. Dengan matanya yang hampir terpejam, papa terlentuk-lentuk di bar mini kesayangannya.

Hidup aku makin tak senang. Kemelut yang melanda keluarga kami semakin parah. Andai tidak dibendung, akan pincanglah institusi kekeluargaan ini. Aku memberanikan diri dan membuka mulut untuk menegur kedua-dua ibu bapaku. Aku telah terlanjur menghormati mereka sehingga mendiamkan diri dan nyaris menderita sakit jiwa. Lalu pada malam yang sunyi, sewaktu melihat mama dihantar pulang oleh ‘teman tapi mesra’nya ku kira merupakan kesempatan terbaik untuk berdiplomasi.

“Mama, tahu tak apa hukumnya seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suami? Dan apa hukumnya berduaan dengan lelaki bukan muhrim?” suaraku tenang sahaja. Sedangkan dalam hati, bergetar kencang. Wajah mama tampak kelat. Namun cepat-cepat diselindungkan dengan senyuman yang dibuat-buat. Aku tak sangka, mama masih mampu tersenyum kala ditegur sebegitu. Malah boleh menjawab begini.

He’s just a friend. Mama pun perlukan teman juga. L tak baik fikir yang bukan-bukan tau. Apa hukumnya berburuk sangka dengan ibu sendiri?” aku terpempan di situ. Dengan lenggok manja dan menggoda, mama sengaja memulangkan paku buah keras. Ingin aku bidas dengan menyatakan lagi perlakuan sumbangnya yang cukup menyakitkan mata selama ini. Tetapi atas dasar hormat, aku diamkan sahaja. Hanya mama yang mengerti setiap maksud bagi perbuatannya.

Begitulah juga halnya dengan papa. Setiap kali minum air kencing syaitan yang beraneka warna itu, aku sering dipelawa untuk menikmati bersama. Tak dapat aku lupakan sampai bila-bila yang papa pernah mengetawakan aku lantaran mengelaskan wain sebagai arak. Minuman haram yang dilarang oleh agama Islam.

“L, it's just a fruit juice la.  Wine, anggur.  Anggur, wine.  So, apa masalahnya?” rasanya bagaikan kepalaku dihantuk bertalu-talu ke dinding. Sejahil-jahil aku, masih tahu membezakan antara arak dengan minuman halal yang lain. Proses pembuatannya memerlukan anggur diperam sehingga masam lalu ditapai sehingga menjadi minuman yang memabukkan. Sungguh keras hati papa. Hingga tergamak menidakkan kebenaran semata-mata untuk terus menikmati air kencing syaitan itu.      

Oleh kerana tidak tahan melihat sketsa yang diciptakan oleh dua insan yang paling aku kasihi, maka dengan berat hati aku mengambil keputusan untuk keluar dari rumah. Tidak tertanggung rasanya kesengsaraan mendiami sebuah mahligai yang tersergam cantik namun diliputi debu dosa. Kerisauan dan teguran aku tak bermakna pada mereka. Bahkan menjadi bahan sindiran. Baik mama, mahupun papa mereka tegar untuk terus hanyut di lembah kekufuran. Maafkanlah hamba Ya Allah kerana tidak mampu mengembalikan mereka ke jalanMu.   

Pagi ini, aku melangkah lesu ke pejabat. Masih ada fail yang bertimbun untuk diteliti. Beberapa orang bayi akan diserahkan kepada keluarga angkat mereka. Ada beberapa pasangan yang baru menghantar butiran lengkap untuk memohon anak angkat dari sini setelah mengisi borang permohonan. Aku masih tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja. Pen yang dari tadi bermain di jari, ku tutup dan letakkan di atas meja. Agaknya otak ini tepu sangat dibebani kerja. Mengakui ada benarnya telahan itu, aku bangun dan keluar dari bilik. Suara tangisan bayi begitu meruntun hati. Tersentuh mendengar tangisan itu. Aku berkira-kira untuk meninggalkan seketika kerja yang melambak. Naluriku terpanggil untuk menatap anak-anak kecil itu. Dengan senyuman, aku mengorak langkah penuh semangat.  

Comelnya bayi-bayi ini. Tersentuh hatiku bila mendukung salah seorang bayi yang sedang merengek. Terdiam terus bila berada dalam pangkuanku. Aku terleka melayaninya. Teringat saat mula-mula menerima kedatangan bayi bernama Nafis Ali yang masih merah suatu masa dulu. Beginilah telatahnya. Senyap setelah diletakkan dalam dakapanku.

Ku renung wajah mereka. Suci dan bersih. Masih terhindar dari menanggung sebarang permasalahan hidup. Moga mereka menjadi anak soleh dan solehah apabila dewasa kelak. Kasihan pula bila mengenangkan kanak-kanak di sini yang telah kehilangan ibu bapa sejak kecil. Peluang mencurahkan bakti di rumah kebajikan Rasa Sayang ini membuatkan aku semakin menghargai ikatan kekeluargaan. Walaupun terasa untungnya masih memiliki ibu bapa, nasib kami ku rasakan tak jauh beza. Masing-masing punya kekurangan. Sesungguhnya, kita telah biasa diterapkan dengan bidalan ini sedari mencelikkan mata. Tiada seorang manusia pun yang sempurna dalam dunia ini.

Seakan ringan kepalaku yang terasa berat sejak semalam. Cepat sahaja kerja yang terbengkalai disambung. Aku pandang lagi firman Allah yang dicetak pada kalendar berwarna biru di tepi komputer riba. Terasa insaf seketika diri ini. Kesyukuran segera aku panjatkan kepadaNya lantaran dibukakan hati untuk berbakti di sini. Menyelami pahit maung dan susah payah setelah seseorang itu bergelar anak yatim.

Tahukah kamu orang-orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang tidak mengambil tahu tentang hal anak yatim dan tidak menggalakkan untuk memberi makan pada orang miskin. (Surah Al-Maaun, ayat 1-3)

Aku menikmati makan tengah hari tanpa sebarang rasa. Bukannya tidak bersyukur, namun setiap ulas nasi yang ku suap bagaikan lekat di kerongkong. Pada masa ini aku teringatkan saat bahagia aku, mama dan papa makan tengahari di rumah. Mama sendiri yang memasak dan menghidangkan air tangannya kepada kami. Tapi kini, segalanya bagai direnggut oleh kesenangan yang dicari oleh kedua-dua ibu bapaku. Keasyikan mengejar nikmat dunia telah melontar aku jauh dari sisi mereka. Namun sebagai anak, aku tetap menyayangi mama dan papa.

Kerana mama dan papa aku berpeluang mengenal dunia. Kerana kasih sayang mereka, aku menjadi Lutfil Hadi yang dilimpahi kasih sayang yang tiada tolok bandingnya. Kini fikiranku tepu. Dengan langkah kosong, aku meraba saku seluar. Kerana panasnya cuaca, aku singsing lengan kemeja putih berjalur coklat yang dipakai. Resah hati dan hangatnya suasana tambah merimaskan. Telefon bimbit ku dekapkan pada telinga. Sabar menanti dengan harapan panggilan ini akan bersambut.

“Assalamualaikum. Mama,” senyap. Aku masih menunggu untuk mendengar suaranya.

“L?” aku terpempan. Terpana mendengar panggilan yang sekian lama ditinggalkan sejak melangkah keluar dari rumah itu.

“Ini Lutfil ma. Mama sihat?” kedengaran bunyi dengusan di hujung talian menimbulkan rasa kurang enak. Dengan siapakah mama meluangkan masa? Apakah aktiviti yang sedang dia lakukan?

You tunggulah. Anak I called ni. Janganlah merajuk baby,” tawa itu semakin jelas mengacah pendengaranku. Mama bukan menjawab pertanyaanku sebaliknya memujuk rayu seseorang.

Dengan siapa mama sedang berbicara? Masakan dengan aku semanja itu? Yang pasti, suara lelaki itu bukan suara papa. Jantungku berdegup kencang. Adakah pemergianku selama enam tahun masih belum cukup membuka ruang untuk mama bertaubat? Mungkinkah dia masih tetap dengan jalan yang dipilihnya dahulu? Memberikan kemewahan kepada jejaka muda dengan syarat mereka menuruti apa sahaja kehendak mama! Astharafirghullahaladzim…aku terkaku. Sesungguhnya saat ini aku perlukan pedoman dariMu Ya Allah.

“L, mama minta maaf ya. Auntie Nomi panggil tadi,” aku tak mampu berpura-pura lagi. Tergamak mama menipu! Tahukah dia bahawa aku terlalu kecewa?

Air mata menitis tanpa diundang. Kecewa, sakit hati, simpati dan sesal datang bertimpa-timpa. Ku hela nafas sedalam mungkin. Menghimpun kekuatan untuk menamatkan perbualan. Aku masih perlu menghormatinya sebagai wanita yang telah melahirkan dan membesarkan aku. Walaupun bukan sebagai isteri yang taat kepada papa. Sebut soal papa, entah bagaimana perkembangan dirinya? Tentu sahaja perniagaan yang diusahakan semakin maju. Aku sering melihat gambar papa tersenyum pada muka depan majalah korporat dengan penampilan segaknya.

Adakah bar mini di rumah juga semakin bertambah keluasannya? Itu yang aku tak mahu tahu. Itu yang aku mahu hindari. Susah hendak menerima bila insan yang kita cintai menjadikan air kencing syaitan sebagai minuman harian. Terasa berat khilaf yang aku tanggung sekiranya terus menghuni satu bumbung dengan mereka. Keinginanku untuk membetulkan kesilapan, disanggah sama sekali berlandaskan teori anak-anak perlu mentaati ibu bapa. Namun, papa terlupa ayat seterusnya. Selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.    

It’s okay. Got to go now. Have a lot work to do. Assalamualaikum,” sebaik memutuskan talian, aku terduduk di situ. Menghamburkan rasa hati yang menyesakkan dada. Terhinggut bahuku melempiaskan perasaan.

“Menangislah kalau itu yang boleh buat awak rasa tenang,” perlahan sahaja nadanya.

Namun cukup mendamaikan. Aku berpaling menghadap si dia. Tenang hatiku melihat penampilannya yang sopan dan ayu. Halida, gadis pemalu yang berdedikasi melaksanakan tugas. Sudah agak lama kami tidak bersua. Dan hari ini, bagai anak kecil yang kehilangan gula-gula, aku terus menangis di hadapannya. Tanpa rasa malu. Dia berteleku, menemaniku tanpa berkata apa-apa.

*                                  *                               *

“Mama, papa, hari ni Lutfil Hadi datang. Lutfil nak sampaikan berita gembira. Menantu mama dan papa dah selamat lahirkan cucu perempuan. Kami sepakat untuk namakan dia Liyana Insyirah. Alhamdulillah. InsyaAllah Lutfil akan cuba jadi bapa yang terbaik dan mengasihi dia sebagaimana mama dan papa pelihara Lutfil masa Lutfil kecil. Mama, papa bersemadilah dengan tenang di sana. Doa Lutfil sentiasa mengiringi kalian,” aku membuka surah Yassin dan memulakan bacaan dengan tenang.

Andai dulu, berita pemergian kedua-dua ibu bapaku akibat nahas kapal terbang amat payah untuk ditelan, kini aku telah belajar menerima segala hakikat dengan redha. Lambat laun, aku juga akan menuruti mereka. Cuma penyebab dan ketikanya menjadi rahsia. Janji Dia apabila tiba masa kelak.

Katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhanmu kamu akan dikembalikan. (Surah al-Sajdah, ayat 11)

Sebagai anak, tiada lain mampu aku lakukan. Hanya terdaya membantu mereka dengan terus mendoakan kedua-duanya selagi hayat masih ada. Selesai menyedekahkan bacaan ayat suci, aku menggulung tikar yang menjadi alas duduk buat seketika. Langkahku meninggalkan pusara diiringi dengan senyuman kesyukuran mengenangkan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada diri ini. Anak sulung kami, Nafis Ali kini semakin bijak. Kanak-kanak comel itu telah berusia lapan tahun.

Kehadiran adiknya, Insyirah takkan mengurangkan kasih kami buatnya malah membuatkan ikatan kekeluargaan semakin erat. Malah, aku begitu menghargai pengorbanan isteriku yang telah melahirkan zuriat kami. Melihatnya kesakitkan begitu, membuatkan aku berfikir kembali saat mama melahirkan aku dulu. Terima kasih mama, papa. Kerana kalianlah, Lutfil lahir. Dapat menjadi seorang suami dan bapa. Melindungi insan yang Lutfil kasihi. Betapa aku gembira kerana berjaya jua melunaskan ikrar untuk Nafis, menjadi suami kepada Halida. Ibu yang memberikan kasih sayang tak berbelah bagi buat anak-anak kami.

Sesungguhnya, apabila anak Adam meninggal dunia maka akan terputus segala amalannya kecuali tiga perkara. Yang pertama adalah sedekah jariah, diikuti oleh ilmu bermanfaat yang telah disampaikan semasa hayatnya, serta doa dari anak yang soleh.

Rujukan:

http://intim.wordpress.com/2007/03/14/prosedur-mengambil-anak-angkat-mengikut-undang-undang-di-malaysia-menerusi-jabatan-kebajikan-masyarakat-jkm/

http://ashthy.wordpress.com/2007/06/22/amalan-yang-tak-terputus/

http://anakyatim.com.my/?page_id=5 (Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al Munirah)

 

http://nurjeehan.wordpress.com/2007/08/23/syahadah-hindar-gangguan-syaitan-ketika-hadapi-maut/

Cerpen sebelumnya:
Kerna Syiqah 2
Cerpen selanjutnya:
Bangku Kayu

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.2
12 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2385 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6143 bacaan
Berikan Hatimu | 3947 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3505 bacaan
Tiada Sesalku | 2814 bacaan
Laksana Bulan | 2881 bacaan
Seribu Impian | 3826 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3288 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3663 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3376 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

23 Komen dalam karya Dia
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik