Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

TEMUDUGA KERJA

 

Henry Si Ayam Serama bangun awal pagi ini. Kemeja ungu dan seluar hitam telah siap dikanji dan diseterika semalam. Kasut kulit juga siap, kemilau-kilat hingga boleh dijadikan cermin. Butir peribadi, segala macam sijil termasuklah sijil memenangi Pertandingan Ayam Serama Tercantik sudah siap disusun rapi dalam fail transparen. Tali leher warna sedondon milik ayahnya yang dipinjam juga sudah tergantung kemas di tepi kemejanya. Henry Si Ayam Serama sudah bersedia.


“Henry, kamu sudah hafal semua fakta yang penting?”, tanya ibu Henry, Pamela Si Ayam Serama.


“Sudah, ibu.”, kata Henry sambil mematuk jagung yang ditabur tuannya, Sir Thomas Riley Knight.


“Siapa Menteri Ketenteraan yang keempat?”, tanya Pamela tiba-tiba. Buat Henry tersedak dan terbatuk-batuk terkejut.


“Encik Ensar Eminovic!”, jawab Henry dengan penuh bangga dan teruja.


“Dari keturunan?”, tanya Pamela semula.


“Oh.. keturunan Itik Laut jenis King Eider.”


“Bagus, anakku. Tidak sia-sia ibu membesarkan kamu.”, kata Pamela sambil mengibas kepaknya ke kepala Henry.


Henry tersenyum manja. Dia segera menghabiskan sarapannya. Lalu, sebelum keluar, dia cium pipi ibunya dan terus berjalan laju menuju ke perhentian bas. Pamela berdiri di pintu memandang Henry berjalan. Dalam hatinya, dia berdoa panjang, minta kali ini, Henry berjaya.



                                                                              ***********



“Hey, Henry!”, Preston Si Marsupilai menegur Henry. Dari jauh lagi, dia sudah nampak Henry. Terima kasih kepada kasut kulit kemilau-kilat yang Henry pakai.


“Hey, Preston! Wah.. Kacak sungguh kamu hari ini. Kamu hendak ke mana?”, tanya Henry. Dia terus beratur di belakang Preston.


“Hari ini saya ada temuduga di Suruhanjaya Kebajikan. Kamu pula hendak ke mana?”, tanya Preston sambil membetulkan tali lehernya yang ditiup angin.


“Saya juga ada temuduga tapi di Suruhanjaya Ketenteraan.”


“Suruhanjaya Ketenteraan? Kamu pastikah kamu mahu bekerja di situ?”


“Kenapa pula?”


“Majoriti pekerja dan pegawai di situ adalah dari keturunan Itik Laut.”


“Ah.. takkan tidak ada keturunan Ayam Serama bekerja di situ?”


“Ada tapi sebagai pencuci tandas, pembancuh kopi dan pengawal keselamatan.”


“Jadi, saya tidak punya peluanglah untuk lulus temuduga hari ini?”


“Ada, jika kamu punya kawan atau saudara yang bekerja di situ.”


“Kamu? Kamu kenal sesiapakah di Suruhanjaya Kebajikan?”


“Ya. Sepupu kepada anak tiri kawan mak cik saya bekerja di situ sebagai penolong pegawai. Menurutnya, saya memang sudah dijamin lulus. Temuduga ini hanya untuk melengkapkan prosedur saja.”


Henry Si Ayam Serama mula bimbang. Benarkah apa yang dikatakan Preston sebentar tadi? Kalaulah benar, atas tujuan apa iklan jawatan kosong itu disebarkan ke seluruh negara?


“Baiklah, Henry. Bas saya sudah sampai. Saya pergi dulu, ya. Semoga berjaya!”, ucap Preston Si Marsupilai sambil melambai-lambai pada Henry.


Henry balas lambaian Preston dengan satu lambaian yang lemah. Tiba-tiba dia rasa segalanya sudah tidak berguna lagi. Kemeja ungu yang diseterika, seluar hitam yang dikanji serta usahanya menghafal struktur organisasi dan sejarah kerajaan yang berusia 571 tahun itu selama tujuh hari tujuh malam adalah sia-sia.


Bas yang ditunggu Henry sudah sampai. Pemandu basnya menekan hon beberapa kali sambil menjerit pada Henry, adakah dia mahu naik atau tidak. Oleh kerana tidak mahu buat pemandu bas dan seluruh penumpang bas itu menunggu lama, Henry naik juga ke perut bas, walaupun dia masih lagi tidak pasti samada mahu atau tidak hadiri temuduga itu.


                                                                        ***********


Masih ada baki 10 minit lagi. Henry di luar ibu pejabat Suruhanjaya Ketenteraan. Alang-alang sudah sampai, dia putuskan untuk hadiri temuduga itu. Walaupun kebanyakkan calon yang datang adalah dari keturunan Itik Laut dan Angsa, Henry tetap mahu mencuba. Siapa tahu, Preston salah dan dia berjaya menjadi Ayam Serama pertama menjawat jawatan Pegawai Khas Tentera Darat di situ.


“Puan, saya mahu bertanya. Di manakah Dewan Tentera Darat 1?”, tanya Henry pada penyambut tetamu yang namanya Samantha, dari keturunan Itik Laut jenis Black Scoter.


“Naik ke tingkat tiga. Dewan itu berada di sebelah kiri kamu. Dan, sila panggil saya Cik. Saya belum berkahwin lagi.”


“Oh.. maafkan saya, Cik. Terima kasih.”


Dengan gementar dan cemas, Henry naik ke tingkat tiga. Wah.. Terkejut sungguh Henry bila lihat ada satu barisan panjang yang beratur di luar dewan itu. Semuanya kemas dan segak bergaya. Memang nampak berkaliber dan berkemampuan. Henry tiba-tiba rasa rendah diri pula. Lebih-lebih lagi bila 70% daripada barisan itu adalah dari keturunan Itik Laut.


Selepas menunggu hampir dua jam, nama Henry dipanggil untuk masuk ke dalam dewan temuduga. Tiga pegawai Suruhanjaya Ketenteraan lengkap dengan pakaian seragam dan beret sedang menunggu Henry.


“Silakan duduk, Encik Henry Jerome Tabak.”, kata pegawai yang pertama. Tanpa ragu lagi, ketiga-tiga pegawai itu adalah dari keturunan Itik Laut.


“Terima kasih.”, jawab Henry dengan penuh sopan. Dia duduk tegak. Postur yang baik melambangkan keyakinan dan ketegasan si empunya diri. Sepuluh markah untuk pembawaan diri. Bisik Henry dalam hati.


“Jadi, Encik Tabak. Boleh perkenalkan diri?”


“Saya Henry Jerome Tabak, berumur 24 tahun berasal dari Selatan Dongmakdol. Saya lepasan Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Antarabangsa dan Komunikasi kelas pertama dari Kolej Militari Diraja Dongbakgul.”


Ketiga-tiga pegawai itu mengangguk-angguk sambil menulis sesuatu di atas kertas yang tertera nama dan butir peribadi Henry.


“Kenapa kamu mahu bekerja dengan Suruhanjaya Ketenteraan?”, tanya pegawai yang kedua.


“Saya ingin bekerja dengan Suruhanjaya Ketenteraan kerana saya amat meminati bidang militari dan saya amat berbangga dengan tentera-tentera kita yang tanpa mengeluh penat, lelah serta jemu, melindungi negara. Jadi, ini salah satu cara saya untuk membalas budi tentera dan kerajaan yang telah buat tidur malam saya nyenyak.”


Fuh! Kali ini, Henry memang yakin dia akan lulus temuduga itu. Kali ini dia yakin benar yang jawapannya itu cukup kuat dan kukuh untuk buat ketiga-tiga pegawai itu terharu!


“Saya pasti Encik Tabak sedar yang tidak banyak keturunan Ayam Serama berkhidmat di suruhanjaya ini. Jadi, adakah Encik Tabak rasa selesa untuk bekerja dalam persekitaran begini? Maksud saya, dikelilingi oleh pegawai-pegawai keturunan Itik Laut?”, tanya pegawai yang ketiga.


“Ya. Saya yakin saya boleh bekerja dalam persekitaran begini kerana saya percaya pada kerja berkumpulan dan untuk menjadi seorang yang profesional, saya tidak boleh memilih dengan siapa saya mahu bekerja atau siapa ketua saya. Saya yakin dengan kebolehan saya dan saya yakin juga pada kebolehan semua pegawai-pegawai di Suruhanjaya Ketenteraan.”


“Bagus.”, kata pegawai yang ketiga itu dengan senyuman lebar dan puas hati. Keyakinan Henry makin menebal.


“Baiklah, Encik Tabak. Terima kasih. Temuduga yang menarik. Encik Tabak boleh keluar sekarang. Tunggu berita gembira dari kami, ya?”, kata pegawai yang pertama.


“Terima kasih, Encik. Selamat tengahari.”, jawab Henry sebelum keluar.


Henry keluar dari dewan temuduga dengan hati yang puas dan keyakinan yang lebih tebal dari lemak platipus. Dalam beberapa bulan lagi, dia akan jadi pegawai di Suruhanjaya Ketenteraan. Pasti ibu dan ayahnya bangga. Dan, pasti Preston akan menutup muka, malu kerana telahannya salah.


                                                                    ***********


Genap tiga bulan selepas hari temuduga itu, keputusannya keluar. Surat-surat yang membawa berita gembira mula sampai pada pemiliknya. Surat-surat yang membawa berita tidak gembira juga sampai pada empunya badan. Cuma mungkin, moodnya saja yang berbeza.


“Tak apalah, Henry. Lain kali, kamu pergilah temuduga di tempat lain. Mungkin bukan rezeki kamu untuk bekerja di Suruhanjaya Ketenteraan.”, pujuk Pamela.


“Tapi, ibu, pada hari temuduga itu, segalanya berjalan lancar. Saya dapat menjawab setiap soalan mereka dengan baik. Mereka pun kata temuduga itu menarik. Mereka kata saya bagus!”, marah Henry. Sungguh, dia tidak puas hati dan rasa sangat jengkel.


“Sabarlah, Henry..”, itu saja yang mampu Pamela katakan. Dia tahu anaknya itu memang layak untuk menjawat jawatan itu. Tapi, dia juga tahu, sistem pengambilan pekerja di Suruhanjaya Ketenteraan itu atau suruhanjaya mana-mana sekalipun, sebenarnya tidak berlandaskan kelayakkan dan kelulusan. Lebih tinggi jawatan kenalan kita di dalam satu-satu suruhanjaya itu, maka lebih besarlah jaminan kita untuk lulus temuduga. Memang begitu cara mereka bekerja.


                                                                            ***********


Henry Si Ayam Serama sudah siapkan semua yang diperlukan pada malam sebelumnya. Kemeja biru dan seluar hitam siap dikanji dan diseterika. Butir peribadi dan sijil disisip kemas dalam fail transparen. Kasut kulit juga sudah berkilau-silau, hanya menunggu untuk Henry memakainya saja.


Selepai sarapan, Henry mencium pipi ibunya, Pamela Si Ayam Serama, lalu terus berjalan laju menuju perhentian bas. Pamela memandang Henry hingga bayang anaknya itu lenyap dari penglihatan. Hanya selepas itu, barulah dia masuk ke dalam rumah dan menutup semula pintu.


“Hey! Henry!”, jerit Preston Si Marsupilai. Terima kasih pada kasut berkilau-silau Henry, Preston dapat mengecamnya walau dari jauh.


“Hey, Preston. Kamu hendak pergi kerja?”, tanya Henry.


“Ya. Bagaimana dengan temuduga kamu tempoh hari?”


“Hmm.. Saya gagal..”


“Maafkan saya. Saya tidak tahu.”


“Tak apa. Lagipun, saya sudah dapat kerja. Hari ini hari pertama saya.”


“Yakah? Tahniah! Awak dapat kerja di suruhanjaya mana?”


“Di Suruhanjaya Adat dan Budaya Keturunan Ayam Serama.”


“Oh.. Baguslah. Kan sudah saya kata, kamu hanya akan dapat kerja di suruhanjaya yang majoritinya keturunan Ayam Serama.”


“Ya. Mungkin juga.”


“Inilah realiti negara kita, Henry. Walaupun rakyatnya ramai yang bijak bestari dan berkelulusan luar negara, ketuanya masih lagi di bawah tempurung. Masih lagi bertindak melulu dan hanya mementingkan poket sendiri. Memang patutlah negara kita masih lagi berada dalam kelompok negara dunia ketiga!”


“Hmm.. kamu patut bertanding untuk jadi Presiden. Pasti ramai yang akan mengundi kamu.”, kata Henry sambil menepuk-nepuk bahu Preston. Preston ketawa kecil. Bas yang mereka tunggu telah pun tiba. Mereka masuk ke dalam bas. Ibu pejabat Suruhanjaya Kebajikan dan Suruhanjaya Adat dan Budaya Keturunan Ayam Serama adalah bersebelahan. Kini, Preston tidak lagi sendirian ke pejabat. Dia sudah punya teman iaitu Henry Si Ayam Serama.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) baguslah hulubalang.. I got the message behind this story..
  • 2) sangat bagus! ini baru hulubalang! amat tersirat sekali. pandai kamu memanipulasi watak dan latar dengan keadaan yang sebenar. tahniah!
  • 3) ada-ada jela cerita hulubalang ni..

    em da last2 tu br nampak mesejnya..

    well done!

  • 4) kalo buat kartun, bagus utk perkembangan tak kanak-kanak sebab ada mesej yang tersendiri..

    sorang yg pandai buat katun sila kerjasama dengan hulubalang buat katun pasal ni.. pastu pastikan disiarkan di kaca televisyen *cam nak kena banned adalah.. huhuhu*
  • 5) oh ya.. rasa cam lebih sesuai letak di bawah satira.
  • 6) saya suka dengan mesej yang cuba disampaikan pada pembaca..
    anda mmg berbakat..
  • 7) Erm..
  • 8) Satira itu memang sesuatu yang halus.. Tepat dan padat.. heh.. Mungkin..... Akan ada yang terasa..
  • 9) hehe
    satira ni cam tak cukup memerli lagi ni.
    tapi pembinaan watak-watak dia menarik
  • 10) Persepsi yang berlebihan.
  • 11) teringat masa baca buku cerita kanak-kanak dulu. gaya bahasa sama cuma msg je lain

  • (Penulis)
    12) rain - terima kasih.

    ridrohzai - terima kasih.

    nurcahaya - terima kasih.

    shazmiey - sebab manusia memang sering sakit bila dihentak kenyataan.

    mizz_aszni - terima kasih.

    sekopi - sebab manusia memang sering sakit bila dihentak kenyataan.

    cahatomic - tak cukup memerli? cukuplah ni. nanti takut ada yang cedera parah.

    upenyu - berlebihan itu memang aset aku.

    kamalia - terima kasih.

  • 13) haha
    kreatif!
  • 14) mendalam...
    tp tu r realiti...
    phit pun kne telan jgak..

  • (Penulis)
    15) babymilo - terima kasih.

    wf1234 - realiti memang sentiasa pahit.

Cerpen-cerpen lain nukilan hulubalang

Read all stories by hulubalang