"Komplikasi dalam komunikasi jadi
konfrontasi.”
Aku memanggilnya KKK. Bukan Ku Klux
Klan maksudku; tapi ianya hanyalah versi dan mainan perkataan aku sendiri.
Komplikasi, komunikasi, konfrontasi. Frasa itu selalu menjadi siulan mulutku
sendiri setiap kali aku berasa marah. Sudah menjadi tabiat aku untuk mengawal
rasa marah. Perasaan yang sengaja kutekan. Mungkin juga lebih kepada keganasan
yang disimpan, bak harimau terkurung di zoo.
Aku selalunya kelihatan seperti
seorang yang pendiam. Aku selalunya kelihatan seperti seorang yang gembira; “happy-go-lucky”.
Sengih, walau selalunya tiada perkataan yang keluar. Senyum, walau tiada komen
yang diberi. Gelak, tapi tidak kutambah kutukan punca gelak yang keluar. Kenalan
aku memanggilku “cool”, “slumber”, “lepak”, “gerek”. Tenang, bahasa formalnya.
Tapi masih ada fakta yang tidak
menjadi pengetahuan umum. Aku seorang yang pemendam. Mungkin ianya kena dengan
sifat pendiam aku. Aku selalu pendamkan apa yang aku rasa. Marah, aku senyap.
Geram, aku diam. Sedih, aku pura pura letih. Tidak akan ada riak yang timbul.
Tidak akan ada kerutan dahi yang membuka rahsia aku. Paling tidak, hanya
mulutku berkumat kamit membisikkan frasa kata ajaibku. Atau sekurang kurangnya
tiga perkataan ajaib itu.
Cuma bisikan tiga perkataan ajaib itu
yang mampu menenangkan aku. Mengingatkan aku betapa pentingnya untuk tidak menimbulkan konfrontasi.
Mengingatkan aku betapa bahayanya jika aku gagal menahan gelodak amarah.
“Mus.. komplikasi.. dalam komunikasi..
jadi konfrontasi..” bisikku lagi kepada diriku sendiri. Nafas kutarik sedalam -
dalam yang boleh. Percubaan yang entah kali ke berapa untuk aku mengosongkan
mindaku. Aku melepaskan nafas perlahan
lahan.
Tidak berjaya. Magik ini sudah tidak
berjaya lagi. Aku tetap tidak merasa tenang. Aku geleng-gelengkan kepalaku. Bukan.
Bukan ini apa yang ku harapkan. Bukan perasaan ini yang ku minta mintakan. Bukan
perkataan ini yang selalunya diberikan oleh kenalan.
Sedih? Dalam keadaan begini?
Aku sedih? Pada saat ini? Pada masa
ini?
Amarahku membara kembali. Aku tidak
menjangkakan aku boleh sedih dalam keadaan begini. Aku menghenyakkan punggungku
ke sofa kulit empuk di ruang tamu itu. Aku merenung ke siling; ke lantai di
hadapanku; silih berganti. Tanganku berteleku menongkat daguku.
Tiada perasaan puas. Ada perasaan
sedih. Jangkaan aku salah. Lari – melencong harapan aku. Sial. Keji sungguh
kau, hati.
Mataku melirik ke jam tangan yang
terikat di pergelangan kiriku. Permukaan jam itu menonjolkan nombor digital
untuk menentukan masa, dan ia lengkap berserta tarikh untuk hari ini..
04:24 pm, 8/4/2009.
*******************************************************************************
6 Februari 2009, Nasi Lemak
Antarabangsa, Kg. Baru..
“Faz, camne kau dengan Mus sekarang?”
tanya Amir yang masih mengunyah nasi lemak sebagai santapan makan malam.
Faz tersedak. Teh yang dihirupnya
tersembur sedikit. Diambilnya tisu dan dia mengelap bibir mongelnya yang
berjujuran dengan teh yang tak sempat ditelan. Tangannya membetulkan sedikit
cermin mata yang dipakainya. Amir tergelak melihat telatah Faz yang terkejut
dengan soalannya itu.
“Sorry. Erm, aku macam tu jugaklah
dengan Mus. Dia okay je, cukup la kasih sayang dia bagi kat aku” seloroh Faz. Matanya
redup seperti menyembunyikan sesuatu walaupun mulutnya masih mengukir senyuman.
Faizal yang duduk di hadapannya sedar akan riak wajah Faz.
“Tak ada tapi?” ujar Faizal.
“Tapi?”
“Iyalah, dia okay.. tapi?”
Muka Faz berubah. Jelas yang dia tidak
mampu menyembunyikan lagi perkara sebenar yang tersimpan rapi dalam hatinya.
Namun untuk menuturkan apa yang dia sendiri tidak puas hati, atau seperti apa
yang dikatakan Faizal, “tapi”; dia sendiri tidak tahu dan tidak pasti apa yang
kurangnya Mus. Faz berpura-pura membetulkan tudungnya yang tidak senget. Dia
mengeluh.
“Tapi dia lagi muda dari aku. Bukan
setahun dua, tapi empat!” kata Faz separuh menjerit.
“Hey relaxlah. Kitorg tanya je” tegur
Nasir yang senyap sejak dari mula mereka sampai.
“Then kenapa kau terima dia on the
first place?” tanya Faizal lagi.
“Entahlah. He’s okay, perfect. Perhatian
untuk aku cukup dia bagi. Sekarang ni pun dia dah mula kumpul duit walaupun
tengah study lagi. Tang tu memang nampak
la dia bersungguh – sungguh nakkan aku.”
“Tapi?”
“Tapi entahlah. Mungkin aku je terlalu
fikirkan faktor umur tu kot sekarang. Lagi satu, dia macam kurang suka aku
lepak dengan korang. Mungkin perasaan aku je la kot yang tu, pasal dia tak
pernah cakap lagi dia tak suka aku keluar dengan korang.”
“Kau rasa dia terlalu mengongkong?”
“Lebih kuranglah. Dia tu ada baran
sendiri gak walaupun nampak macam pendiam. Pernah sekali dia marah aku pasal
aku asyik cerita pasal korang kat dia”.
“Time korang dating? Salah kau gak
tuh!” tempelak Nasir.
“Kenapa salah aku pulak?”
“Iyelah, korang dah lah jarang
berjumpa. Bila jumpa kau bukak cerita pasal orang lain yang takde kena mengena
dengan dia. Kalau dia jumpa kau tapi dia duk bercerita pasal perempuan lain
agak agak kau bengang tak?”
Faz terdiam.
“Tapi, aku bukan cerita apa pun.
Cerita aku lepak lepak dengan korang je. Takkan itu pun tak boleh? Memang la
aku bengang kalau dia bercerita pasal perempuan lain, tapi aku dengan korang
bukan ada apa-apa pun.” terang Faz panjang lebar, cuba menegakkan benang yang
basah.
Nasir cuma menggeleng-gelengkan
kepala. Faizal dan Amir cuma mampu tersenyum penuh makna.
“Jadi kau nak mintak break dengan
dia?” tanya Amir.
“Entah. Aku takde sebab yang kuat
untuk buat camtu lagi.”
“Oh. Kalau kau dah break nanti bagitau
kat aku.”
“Kenapa?”
“Boleh lah aku pulak masuk line. Aku
lagi tua dari kau, jadi lepas la syarat kan?” seloroh Amir.
Gelak ketawa mereka panjang membelah
malam. Ketawa Amir yang paling kuat. Dalam hilai ketawa mereka itu, mata Amir masih
melirik manja ke arah Faz, yang kelihatan comel dan manis bila dia ketawa.
*******************************************************************************
6 April 2009, di pejabat Faz..
Telefon bimbit Sony Ericsson yang
dalam mode silent milik Faz tiba tiba bergetar di atas meja. Faz cepat cepat
mengambilnya. Satu SMS yang tiba.
“Sayang, boleh tolong belikan I McD
tak? I terlambat sikit masuk ofis hari ni, tak sempat nak lunch. Tolong ye?
Love you.” SMS dari Mus.
Mus kini telah menamatkan pelajarannya
dan kini kembali ke pejabat Faz bekerja sebagai seorang pekerja baru.
Dahulunya, pejabat ini merupakan tempat Mus melakukan latihan praktikalnya.
Semasa latihan praktikalnya itulah mereka berkenalan, dan dari situlah bibit –
bibit cinta mula berputik antara mereka.
Mus sepatutnya bertugas dalam shift
petang hari ini, tapi nampaknya dia terlambat buat kali kedua dalam minggu ini.
Faz mengeluh pendek. Tidak dapatlah dia untuk makan tengahari bersama – sama
Mus hari ini. Faz terus bangun dan melangkah keluar untuk makan seorang diri seperti
semalam. Selesai makan, Faz membelikan sebungkus McDonalds seperti apa yang
diminta. Dia meletakkan bungkusan itu di atas meja Mus yang masih kosong dan
kembali ke kubikelnya sendiri.
Setengah jam kemudian, tiba tiba Yahoo
Messengernya berkelip kelip menandakan ada orang yang cuba menghubunginya.
Terdetik dalam hati Faz, “mesti Mus baru sampai ni.”
Mus: Hi yang, thanks for
the McD. Sorry eh tak dapat temankan you lunch hari ni.
Faz: It’s okay. Dah makan
belum McD tu?
Mus: Tengah. Baru makan kentang je ni.
Faz: Hey, makanlah kat
pantry tu. Nanti kang ada boss bising pasal makan kat dalam opis.
Mus: Eh, nape lak?
Faz: Kan bau. Sampai sini I
bau tau.
Mus: Alah, bukan bau busuk
macam durian ke. Takde pelah.
Panas hati Faz bila Mus cakap begitu.
“Susah sangatkah hendak keluar ke pantry untuk makan?” bentak Faz. Terus
ditutupnya program Yahoo Messenger. Terus dia berpura-pura untuk sibuk membuat
kerja.
Masa berlalu pantas; sedar-sedar hari
sudah petang dan masa bekerja sudah tamat untuk Faz. Dia mengemas barang
barangnya dan terus melangkah keluar dari pejabat. Dalam perjalanannya untuk ke
kereta, dia nekad menghantar satu SMS kepada Mus.
“I want to breakup with you.”
Selepas SMS dihantar, Faz terus
menutup telefonnya dan mengorak langkah masuk ke kereta Kelisa birunya untuk
pulang ke rumah.
*******************************************************************************
8 April 2009, 02:00 pm.
Sudah dua hari aku tidak berjumpa
dengan Faz. Sudah dua hari aku tidak mendengar sebarang khabar berita dari Faz.
Dia tidak langsung mengaktifkan telefon bimbitnya. Sudah dua hari juga dia
tidak datang kerja. Sudah berhentikah dia?
Aku amat tertanya-tanya mengapa dia
buat begini pada aku. Tanpa penutupan yang sempurna, dia terus menghilangkan
diri. Minta putuskan hubungan. Apakah salah aku? Makan kentang goreng di masa
kerja?
Amat tidak logik. Amat tidak
munasabah. Amat tidak memuaskan hati. Sungguh celaka.
Aku resah dan gelisah. Makan tidak
kenyang, tidur tidak lena. Jiwaku langsung tidak tenteram. Marah. Keliru. Hal –
hal lain langsung aku tidak pedulikan lagi. Aku terus berjumpa dengan
pengurusku dan terus meminta cuti, mengatakan aku kurang sihat untuk bekerja
hari ini.
Aku mesti mendapatkan jawapan sebenar.
Aku terus ke keretaku dan memecut laju ke rumah Faz. Malam sebelumnya, aku
sudah pergi ke rumahnya tapi tiada balasan apabila aku ketuk pintu rumahnya. Keji,
bukan?
Aku memberhentikan keretaku di kawasan
parkir selang tiga blok yang jauh sedikit dari rumahnya. Aku bercadang untuk
berjalan kaki ke rumahnya. Dengan tiadanya bunyi enjin keretaku, dia tidak akan
tahu aku yang tiba. Elemen kejutan amat kuperlukan sekarang.
Pintu rumahnya kuketuk.
Dia membuka pintu dan terkejut melihat
aku. Sebelum dia sempat menutup kembali pintu rumahnya, aku menahan dengan
tanganku dan menolak pintu itu supaya terkangkang luas. Faz kelihatan terkejut
dengan tindakan berani aku. Aku terus masuk ke rumahnya, dan meletakkan bagasi
aku ke atas sofa kulit empuk miliknya.
“Faz, why are you doing this to me?
Kenapa? Apa sebabnya tetiba you nak mintak breakup? You ada orang lain? I ada
buat salah?” soalku bertalu talu.
Faz mengambil tempat duduk di
hadapanku. Kakinya disilangkan. Rambutnya nampak cantik mengurai, lembut
merangka wajah putihnya.
“Apa yang you nak sebenarnya, Mus?”
Faz bertanya aku kembali. Bunyi soalan itu amat menyindir. Perasaan amarahku
membuak buak secara tiba-tiba.
Dan aku berbisik perlahan terhadap
diriku sendiri. Tanganku menggapai bagasi hitam yang terletak disebelahku.
“Faz, I need a closure. Not a sudden
thing like this. Bukan ini caranya. You sepatutnya dah faham I. Selagi I tidak
puas hati, I takkan berganjak”.
“I don’t have anything to explain to
you, Mus. I dah nekad. I nak putus dengan you. I tak rasa kita serasi lagi.”
Aku cuba menahan marah dan masih bersabar.
Dadaku berombak kecil menahan marah. Aku tetap berbisik dengan diri sendiri.
Nafasku perlahan. Tanganku menggengam bagasi hitam disebelahku, genggamanku
kuat membuatkan kepalan tanganku berubah putih.
“Marah? You don’t have the rights,
Mus. This is my house. You better leave now. Or you nak I telefon polis?”
sindir Faz lagi.
Cukup.
Amarahku membuak-buak.
Aku tidak tahan lagi.
Aku tidak dapat berfikir rasional
lagi.
Kosong.
Mindaku kosong.
Aku tidak kenal siapa perempuan
didepanku ini.
Dan itu membuatkan naluri haiwan aku
terlepas dari sangkar. Aku terus menjerit kuat dan menerkam ke arah Faz. Tangan
kananku yang tadinya kosong menggenggam bagasi kini terhunus pisau kecil –
pisau pembuka surat yang tersisip di tepi bagasiku. Entah bila tanganku dapat
menggapai pisau itu, aku sendiri pun tidak tahu.
Satu libasan yang terkena leher; dan
arteri Faz memancutkan darah merah membuak-buak. Tanganku merah. Tompok tompok
merah terkena mukaku. Terasa panas darah Faz.
*******************************************************************************
Jam berdenting. Satu, dua, tiga,
empat, lima kali.
Aku tersedar dari lamunanku. Sudah
pukul lima. Diam tak diam setengah jam masaku terbuang. Melayan perasaan hatiku
sendiri. Hanyut, dalam kesedihan yang tidak sepatutnya hadir. Aku sepatutnya
berasa puas. Bukan sedih.
Tapi kini sudah pukul lima. Aku tidak
banyak masa.
Aku bangun dan pergi mencari sinki.
Jumpa. Ada sabun sekali. Aku membasuh tanganku yang merah bergelimpangan dengan
darah keji perempuan kutuk itu. Aku basuh sekali senjata pembunuhanku. Penuh
berhati – hati. Aku tidak mahu meninggalkan kesan jari.
Pisau yang kini bersih ku sisipkan
kembali ke dalam bagasi hitamku. Aku mengambil sehelai tuala kecil dan mengelap
segala permukaan yang mungkin aku sentuh. Aku selerakkan ruang tamu yang
tersusun kemas itu. Aku kembuh laci laci yang rapat dan menjatuhkannya ke
lantai.
Puas. Harap tiada jejak aku yang
tertinggal. Aku mengambil bagasiku dan mula menuju ke pintu. Aku pandang ke
atas siling. Ada kesan darah. Ku toleh ke arah mayat yang terbujur kaku dengan
mata terbeliak. Ada sekelompok darah.
Faz mati. Aku yang membunuhnya.
Senyuman jahat terukir di wajahku.
Terlintas satu frasa baru yang bersesuaian dengan keadaan ini. Tiada lagi KKK.
Frasa itu tidak berguna lagi. Hanya frasa ini yang menerangkan perasaanku
sekarang..
“Akhirnya, kau tetap ku yang punya...”
Penafian: Cerita ini hanyalah fantasi dan khayalan nakal penulis di hujung minggu. Tiada yang hidup atau yang mati terlibat dalam penceritaan cerpen ini. Jika ada yang terlibat, ianya hanyalah kebetulan semata-mata.
|