Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Flarus

  • 7
  • adra
  • 15 years ago
  • 3,463
  • FREE

 

Lembah Namleh…

Pekikan sahabat baiknya langsung tak dihiraukan. Tangannya masih kejap mengenggam batang cangkul. Wajahnya nampak muram. Namun tiada setitis pun air mata yang mengalir. Hanya tubuhnya kaku di kawasan berpasir itu. Pemandangan bergunung di sekelilingnya dipandang tanpa perasaan.

"Flarus, kenapa kau masih belum pulang? Hari sudah senja. Tentu ibu kau bimbang. Aku tahu, kau sedang bersedih. Namun, kau akan mengecewakan Loa jika terus berkelakuan begini. Kau masih ada anaknya untuk dijaga. Aku mengerti, Loa itu kambing kesayangan kau,” sekilas wajah cemas Alore ditatap. Dia mengerti akan kebimbangan sahabat karibnya itu. Sebelas tahun mengenali antara satu sama lain, Alore satu-satunya sahabat sejati yang dia ada. Flarus melepaskan keluhan berat. Alore menepuk bahu remaja bertubuh tegap di depannya.

 “Berikan aku sikit masa lagi. Kau jangan bimbang. Aku cuma mahu menemani Loa buat sementara. Tentang anak kambing aku, kau tolonglah awasinya malam ini. Sampaikan pada ibuku, anaknya akan pulang lewat malam untuk pergi berburu. Sudah lama kita tidak merasa daging pelanduk,” ucap jejaka itu lagi. Cukup tenang. Alore hanya mengangguk sambil mengukir senyuman. Dua anak muda berusia tujuh belas tahun ini kemudiannya berjabat tangan.

 “Jaga dirimu sahabatku,” pesan Alore sebelum berlalu. Tautan tangan mereka dileraikan.

 Mentari di ufuk barat kian tenggelam. Anak muda ini tersenyum puas bila usahanya mendaki lembangan berjaya membuahkan hasil. Seekor pelanduk tewas. Tepat bidikan panahnya melumpuhkan haiwan tersebut. Dengan baju yang comot dan lusuh, dia mengatur langkah untuk kembali ke rumah.

 Pintu rumah yang diperbuat daripada jerami dan ranting kayu ditolak perlahan. Tidak mahu menganggu ibu yang tentu sahaja sedang lena. Namun telahan Flarus meleset sama sekali. Api lilin masih bernyala sewaktu dia melangkah ke dalam rumah. Senyuman manis ibu yang sedang menjahit kulit untuk dijadikan pakaian menyambut kepulangannya.

 “Dapat hasil yang memuaskan anakku? Meleret senyuman kamu,” sengaja Frenza mengusik anak terunanya.

 “Ya ibu. Tentu sekali. Daging ini cukup untuk mengisi perut kita buat tempoh sebulan,” jawab Flarus sambil menepuk-nepuk pelanduk itu sebelum meletakkan hasil buruannya ke atas lantai. Setelah menyimpan peralatan berburu di tempat khas, jejaka itu menghampiri ibunya.

 “Ibu, rehatlah dulu. Esok masih ada masa untuk menyiapkannya,” wanita ini masih tekun menyudahkan jahitan.

 Frenza hanya tersenyum mendengar bicara anak tunggalnya. Perangai Flarus tak ubah seperti mendiang bapanya, Korr. Seketika kemudian keluhan berat dilepaskan dari mulut Frenza. Kalaulah anaknya ini tahu, kalaulah anaknya ini mampu mengerti. Namun dia akur, belum tiba masa untuk anak remajanya mengetahui segala yang disimpan rapi selama ini. Hakikat sebenar tentang kisah suaminya yang terkorban sewaktu Flarus berusia dua tahun.

 “Ibu belum mengantuk. Kamu tidurlah dulu. Esok kamu masih perlu bangun pagi dan menjaga kambing-kambing kita,” ujar Frenza. Dia mengusap pipi Flarus. Nampak sangat anaknya ini keletihan. Kematian kambing kesayangannya setelah melahirkan seekor anak membuatkan anak remaja ini menyembunyikan diri dan bersendirian sehari suntuk. Tahu-tahu sahaja Flarus pulang membawa hasil buruan.

 “Baiklah ibu. Jika ada apa-apa, jangan lupa kejutkan saya. Saya lena macam mana pun, ibu mesti kejut,” pesan Flarus lalu mengucup dahi ibunya. Frenza mengusap rambut anaknya. Ekor matanya memerhatikan si anak merebahkan badan ke atas lantai yang dialas dengan jerami.

 “Selamat malam, sayang,”ucap Frenza lembut.

 “Selamat malam ibu,” balas Flarus sebelum memejamkan mata.

 Anak kambing berwarna putih keemasan itu dibelai dengan penuh kasih sayang. Dia membawa anak kambing itu ke dalam pelukan. Diciumnya bertalu-talu. Tetapi hairan, langsung tiada bau hamis mengacah deria baunya. Ternyata si putih keemasan ini berbeza dengan kambing-kambing peliharaan Flarus yang lain.

 “Kenapa kau langsung tak sama seperti ibu mu?” Flarus membelek-belek kambingnya dengan rasa pelik.

 Masakan Loa yang berbulu hitam boleh melahirkan anak berbulu putih seperti ini? Bulu putihnya pula aneh sekali, seakan bersilau keemasan. Lebih menghairankan, tiada seekor pun kambing jantan dewasa berbulu putih di penempatan ini. Sejak awal kelahirannya, penduduk lain berpusu menyaksikan anak kambing putih ini. Masing-masing menggaru kepala. Lantas satu sahaja soalan menerpa benak mereka. Dari mana Loa mendapat baka cantik begini? Namun senang sahaja bagi Flarus untuk menghuraikan persoalan itu.

 “Tentu saja anak kambing saya mewarisi baka daripada nenek moyangnya,” dan penduduk kampung semua terdiam. Mengakui kebenaran kata-kata Flarus. Pemuda yang penyabar dan merupakan gembala kambing termuda di Lembah Namleh. Walhal sepanjang mengembala kambing, belum pernah Flarus melihat mana-mana kambing memiliki bulu sebegitu.

 “Oh ya! Aku masih belum memberikan nama kepadamu. Sudah hampir sebulan kamu lahir, maafkan aku. Selesa berbicara bagaikan kau juga manusia sepertiku,” remaja ini terus bercakap-cakap sambil mengusap muka anak kambingnya.

“Nama apa ya sesuai denganmu?” seketika dia berfikir sambil bercangkung di sisi anak kambing itu.

 “Nigu! Mulai sekarang, kau adalah Nigu!” Sebut Flarus dengan penuh teruja. Entah mengapa, hatinya terdetik untuk menamakan anak kambing ini dengan nama demikian. Nigu menggeselkan kepalanya di belakang badan Flarus.

 “Manjanya kau!” lantas Nigu dirangkul mesra. Flarus tergelak bahagia. Memori bersama Loa sentiasa utuh dalam dirinya. Namun dia mampu menghadapi kenyataan bahawa kambingnya telah mati. Dan kini dia punya Nigu untuk dibesarkan dengan sepenuh perhatian.

 “Cepatlah kau membesar,” ucap Flarus lagi. Sudahnya dia meluangkan masa bersama Nigu hingga ke petang.

 Kejaiban menjelma…

 “Alore! Mari ikut aku! Aku mahu tunjukkan sesuatu kepadamu!” Teriak Flarus dengan wajah cemasnya. Alore turut berdebar. Bimbang ada perkara buruk menimpa sahabat karibnya itu.

 “Apa yang telah berlaku? Mengapa kau tampak begitu cemas?” Soal Alore sambil kakinya laju berlari, mengikut rentak Flarus yang sedang tercungap-cungap. Flarus sekadar menggeleng kepala. Alore jadi buntu dengan perilaku sehabatnya.

 “Cuba kau lihat? Ajaib bukan? Aku sendiri pun susah hendak mempercayainya,” Ucap Flarus dengan teruja sambil tangannya menunjuk ke arah Nigu dan sebuah tong kayu. Dia terus menerpa ke arah kambing berwarna putih keemasan itu lalu membelainya.

 Bekerut-kerut dahi Alore. Anak muda ini menggenyehkan matanya berulang kali. Benarkah apa yang dia saksikan ini? Ataupun sepasang matanya sedang menipu? Flarus menjengahkan mukanya ke dalam tong kayu itu. Tangan kirinya memegang butir-butir permata berwarna putih kehijauan itu. Setiap inci butiran halus itu diperhatikan dengan teliti.

 Sungguh Flarus merasa aneh apabila pagi tadi, Nigu yang masih belum bunting mahupun beranak telah mampu mengeluarkan susu. Sepanjang sepuluh tahun pengalamannya mengembala kambing, inilah pertama kali kejadian seumpama ini berlaku. Dan jika diikutkan faktor usia juga, Nigu belum cukup matang untuk menghasilkan susu dalam usianya yang baru mencecah sebulan. Cecair putih itu terus bertitisan daripada puting anak kambing dan membeku lalu membentuk butiran kecil berkilat jernih yang berwarna kehijauan seolah kilauan zamrud. Namun tidak Flarus ketahui apakah nama permata itu sebenarnya?

 “Kambing ini benar-benar pelik. Mana mungkin dalam usia sebegini, Nigu berupaya mengeluarkan susu?” Alore mengunci bibir setelah menghabiskan bicara. Meninggalkan persoalan bermain di benak Flarus. Jantungnya merasa debaran yang bukan kepalang. Namun wajahnya tetap dimaniskan. Menyelindungi kecelaruan fikirnya daripada pengetahuan sahabat karibnya itu. Sedang Flarus termenung sendiri. Sel mindanya sedang bercabang memikirkan di manakah munasabahnya perkara sebegitu berlaku terhadap kambingnya? Apakah segalanya bukan dongengan? Raut wajah Flarus terus berubah kelat.  

 “Alore, orang lain tidak boleh tahu mengenai perkara ini. Aku bimbang Nigu akan diapa-apakan,” luah Flarus gusar. Alore yang seakan mengerti gelodak rasa sahabatnya menepuk-nepuk bahu Flarus.

 “Jangan bimbang. Aku akan rahsiakan perkara ini,” ucap Alore yakin. Dipandangnya anak mata hijau milik Flarus. Pandangan mereka bersatu. 

 “Terima kasih, sahabat. Engkaulah satu-satunya teman yang memahami diriku,” ucap Flarus lantas memeluk sahabat karibnya.

 Erat dan kejap! Alore menundukkan wajah. Dia semakin serba salah. Namun bayangan hitam yang menjelma dalam pandangannya terus melenyapkan semua rasa itu. Senyuman sinis terukir di bibir Alore. Cuaca cerah mula beransur mendung. Langit mulai kelam. Angin kencang serta kilat sabung menyabung memaksa Flarus menambat Nigu ke dalam kandangnya. Lalu dia dan Alore beriringan menuju ke rumah masing-masing.

 Hati Frenza berdebar-debar. Nalurinya kuat mengatakan sesuatu yang tak elok bakal berlaku. Sewaktu menyiapkan pakaian untuk anak kesayangannya pagi tadi, jari Frenza tercucuk jarum. Mujurlah sedikit sahaja lukanya. Bunyi pintu ditolak menyakinkan ibu ini bahawa anaknya telah pulang. Terjengul susuk tubuh Flarus yang kebasahan. Membulat mata Frenza, namun segera dia menarik nafas lega. Bersyukur kerana anaknya tidak ditimpa sebarang kecelakaan sepanjang perjalanan.

 “Ke mana kamu pergi? Sepatutnya jika awal-awal sudah nampak langit mendung, terus pulang ke rumah. Mujurlah tiada apa yang berlaku. Bimbang ibu bukan kepalang tadi,” akhirnya terlepas juga bebelan ibunya. Flarus akur. Dia rela menadah telinga.

 Anak muda yang masih termengah-mengah ini terus menghela nafas untuk melepaskan lelah. Pertanyaan ibunya tidak segera dijawab. Tong kayu dalam pegangannya diletakkan di hadapan si ibu yang sedang menguli doh. Tangan Frenza yang dari tadi ligat mengulit adunan tepung itu langsung terhenti. Adakah petanda yang lenyap sejak beberapa tahun lalu muncul kembali?

 “Ibu! Cuba lihat, apakah sebenarnya objek ini?” Suara Flarus mengembalikan dirinya ke alam nyata. Hairan jejaka ini melihat perlakuan ibunya. Sekejap wajah si ibu nampak marah, sekejap bagaikan sedang bersedih.

 “Dari mana kamu mendapatkannya? Pulangkan kembali kepada tuannya. Kita sama sekali tidak berhak untuk memiliki permata ini!” Meninggi nada Frenza secara tiba-tiba. Flarus terpempan. Mengapa ibu menengkingnya begitu sekali? Sedangkan selama ini, menjentiknya pun ibu belum pernah. Dia dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang. Ditatang bagai minyak yang penuh.

 “Ibu, kenapa ibu marah-marah begini? Kita tidak perlu memulangkan pemata ini kepada sesiapa pun. Semuanya hak kita. Nigu yang mengeluarkan susu sebelum tiba waktunya. Apabila titisan susunya membeku, terbentuklah objek yang berkilau ini,” mencerlung mata Frenza. Dadanya berombak. Matanya serta merta terasa panas. Ditatap wajah polos Flarus yang tidak mengerti amarahnya kala ini.

 “Maafkan ibu sayang. Ada sesuatu yang perlu kamu tahu,” kedengaran sayu suara Frenza. Dia mendakap Flarus semahu-mahunya. Remaja berusia tujuh belas tahun ini semakin tidak mengerti bila esakan ibunya mula kedengaran. Seketika kemudian, Frenza mengelap tangannya. Dia menapak ke suatu sudut tersorok dalam rumah ini. Flarus hanya mengekori langkah ibunya. Memerhatikan tingkah laku si ibu dengan penuh kemusykilan.

 Frenza berhenti di situ. Lantas dia menyelongkar objek-objek yang terdapat di sebalik tirai pendiangan. Matanya tertancap pada senaskah buku yang diperbuat daripada kulit kambing. Tanpa berlengah, tangannya menarik buku tersebut dengan penuh berhati-hati. Flarus tercengang. Adakah terlalu banyak perkara yang perlu dia ketahui?

 -Riwayat yang tamat ada pun silih berganti. Tewas Lusier tak ertinya padam. Lalu kebangkitan Zagus bahawasanya satu petanda. Putih kehijauan, terbitlah dari anak putih silauan emas bulunya-

 Berkerut-kerut dahi Flarus. Sungguh dia gagal memahami ayat-ayat tersebut. Sudah beberapa malam dia mengulang baca. Namun tetap buntu. Ibu hanya membiarkan dia mengkaji sendiri buku tebal itu. Dibeleknya pula muka depan.

 “Korr Lusier Zagus?” Naik tepu otaknya berfikir.

 Blara turquoise…

 Ibu buat tak endah. Nampaknya Flarus tak punya pilihan lain. Terpaksalah mengkaji, menyelidik sampai otak bengapnya ini faham sendiri. Sampai naik keras matanya mentelaah. Pentingkah semua pengetahuan ini? Sedangkan dia merasa terbeban. Malam kian larut, bertemankan api lilin dia teruskan usaha. Namun peluh yang mula merembes menimbulkan ketidakselesaan. Pantas Flarus menuju ke sungai.

 “Yuhuuu!” Teriaknya ceria lantas melakukan terjunan tanpa mengambil kira tahap kesejukan air sungai itu.

 Kedinginan air sungai memberikan rasa nyaman yang bukan kepalang. Segala beban yang bersarang dalam mindanya bagaikan lebur sekelip mata. Sedang dia asyik bermandi mandi, dalam samar dia bagaikan terpandang kerlipan cahaya bersinar-sinar dari celah pepohon. Semakin lama semakin nyata. Matanya digosok berulang kali. Mimpikah dia?

 “Flarus,” kedengaran bagaikan namanya diseru.

 Naik meremang bulu roma Flarus. Dia berenang ke daratan lalu mencapai pakaian yang dicampakkan ke tepi tebing. Kelam kabut anak remaja ini menyarungkan pakaian. Sejuk menggigil langsung tidak dipedulikan. Dia lebih takut dan geli melihat makluk di hadapannya. Hendak kata manusia, ada sayap seperti burung. Rupanya cantik, berambut panjang ikal. Juga berkaki dua persis manusia. Pakaiannya pula bagaikan terus melekap pada kulit seperti kain organza. Sepasang sayap makhluk ini berwarna biru turquoise, dan paling mengelirukan adalah figuranya menyerlahkan identiti wanita. Malah suaranya yang merdu hampir membuat Flarus pitam.

 “Flarus, engkau tak perlu takut wahai sahabatku,” Flarus gigit bibir. Dia terduduk di situ juga. Lembik lututnya mendengarkan perkataan sahabat.

 “Maaf jika aku meninggi diri, namun harus aku tegaskan bahawa seumur hidupku ini, belum pernah aku bersahabat dengan makhluk pelik seperti kamu,” cukup sopan suara Flarus. Tidak bermaksud untuk menyindir, tetapi melindungi diri sendiri. Makhluk pelik ini melemparkan senyuman.

 “Kau ditakdirkan untuk menjadi sahabatku. Kita akan bersama-sama menentang kejahatan,” kening Flarus bertaut. Dia terpana.

 “Tentu saja kau sedang bergurau. Walaupun aku bengap, namun bukannya tidak tahu membezakan kenyataan dan pembohongan,” makhluk ini terus tergelak.

 “ Nampaknya kau memang lebih bengap dari apa yang kau sangka. Sedikit kebodohan dan bengap, untuk membentuk jati diri seorang kesatria yang baru. Oh! Maafkan aku kerana terlupa memperkenalkan diri. Aku Blara, gadis turquoise yang telah terkurung dalam tawanan kuasa gelap Hores sejak berkurun lamanya. Aku tak dapat memberikan pertolongan saat bapamu terkorban untuk menentang Hores lima belas tahun lalu. Kekalahan ini telah menyebabkan kaum Lusier jatuh ke dalam tahanan Hores,” mata Flarus terkebil-kebil.

 Cerita dongeng apakah yang sedang didengarinya ini? Dia bergegas pulang. Mindanya bercelaru. Ingin mencari kepastian. Adakah dia sedang dipermainkan? Katakanlah yang seluruh alam sedang bergurau dengannya.

 “Ibu, tolonglah bangun. Saya perlukan bantuan ibu,” tangan ibunya yang sedang lena digoyang berulang kali.

 Terpisat-pisat Frenza bangun. Melihat kesungguhan pada wajah anaknya, dia terpaksa bersetuju untuk menceritakan segalanya. Sudah tiba waktu untuk Flarus mengetahui siapa mendiang bapanya. Dan setiap perkara yang menjadi rahsia, dirungkaikan untuk pengetahuan Flarus. Frenza rela, andai anaknya juga bakal mengikuti jejaka Korr untuk membela nasib kaum mereka.

 "Kau dah tahu kan bagaimana Korr terkorban?” Pertanyaan Blara menggigit sanubarinya. Flarus menunduk. Namun linangan air matanya tak mampu diselindungkan.

 “Tak salah untuk kau menangis demi seorang bapa. Ayahmu seorang kesatria lagenda, menjadi sanjungan kaum Lusier. Aku sangkakan, beribu tahun akan datang bakal muncul seorang lagi kesatria. Namun takdir menentukan, bahawa dirimu yang menjadi gembala waris Zagus seterusnya. Terlalu cepat dari apa yang aku bayangkan. Nigu, mungkin merupakan anak kambing terakhir dari baka Zagus. Kerana hanya yang terakhir dapat mengeluarkan permata Krosto,” Flarus mengangguk-angguk. Dia memandang Blara yang duduk berhadapan dengannya. Terlalu banyak yang gadis rama-rama ini tahu. Tentu dia merupakan salah seorang pejuang yang sangat hebat pada zamannya.

 “Kau ajarkan aku bagaimana cara untuk melumpuhkan kezaliman Hores kepada kaum kita. Bimbinglah aku untuk menamatkan riwayat kejahatan yang dihidupkan olehnya sejak zaman berzaman? Aku mahu kuasa gelapnya tersungkur dalam kegelapan yang dia ciptakan itu,” sungguh yakin nada Flarus.

 Dia menentang pandangan Blara. Seketika fikirannya melayang kepada Alore. Sudah lama tidak bertemu dengan sahabat karibnya. Bergurau senda, berburu bersama seperti dulu? Flarus berkirak-kira untuk singgah sebentar ke rumah Alore setelah selesai menuntut ilmu dengan guru barunya ini.

 -Mati jasadnya tidaklah berguna. Harus pisahkan roh sekalian. Panahlah Gesar, hentikan degupnya. Lenyaplah adanya Hores selamanya-

 “Jika kau sudah mahir memanah, kita beralih pada pengajaran seterusnya. Setiap kalimat ini mengandungi erti yang tersirat. Cuba fahami, kemudian beritahu padaku apa yang kau tahu. Jangan cepat berputus asa,” pesan Blara seringkali menjengah telinganya.

 Flarus tekun menghadap buku itu. Dia sungguh bernasib baik kerana tidak perlu melibatkan diri dengan menghafal mahupun mempraktikkan mana-mana mantera kuno. Jemarinya menyentuh butir-butir halus yang berkilauan. Rasanya dia mengerti makna yang tersirat di sebalik istilah Gesar. Dalam bahasa kuno, gesar maksudnya panah jernih. Mungkinkah Kostro sumbernya? Tercarik senyum di bibir Flarus.

 “Alore! Alore! Aku datang!” laung Flarus dari luar rumah. Berkali-kali dia memanggil nama sahabatnya itu. Namun batang hidung Alore tidak kelihatan. Flarus hampa. Dia mengatur langkah untuk pulang. Alore bangun dari pembaringannya. Susah payah dia mencuba untuk bangun. Digagahkan jua kakinya untuk menapak ke depan.

 “Flarus! Maafkan aku sahabat. Terlalu lama kita tidak bertemu. Aku menghadapi masalah kesihatan,” kedengaran sungguh lemah suara Alores. Demi terpandangkan wajah pucat sahabatnya Flarus jadi hiba. Dia merasa bersalah lantaran mengabaikan kebajikan sahabat baik yang dikenali sejak berusia dua tahun itu.

 “Usah meminta maaf sedangkan aku yang bersalah. Maafkan aku kerana mengabaikan engkau sahabat,” ucap Flarus. Alore menggelengkan kepala seraya mengukir senyuman.

 “Engkau terlalu baik padaku. Pulanglah, tentu masih banyak kerja yang hendak engkau dilakukan. Usah bimbang akan perihalku,” bersama kata-katanya, Alore menghampiri Flarus.

 Dia menatap wajah sahabatnya dalam-dalam. Bening pandangannya menyelami anak mata hijau Flarus. Dibelai setiap inci wajah sang sahabat, lalu Alore mendakap tubuh Flarus. Erat. Terlalu sarat dengan kasih sayang yang disemai selama ini. Tanpa sedar air mata lelakinya jatuh.

 Kesatria Flarus dan mantera magis…

 Sejak pulang dari menemui sahabat karibnya, minda Flarus tak henti berfikir mengenai perihal Alore. Bening mata anak muda itu menimbulkan rasa kurang enak di hatinya. Blara perasan akan perubahan sikap jejaka itu. Cuma dia malas hendak mencelah dalam permasalahan Flarus. Anak muridnya ini punya kebebasan sendiri. Flarus merengus. Sudah dia hafal kesemua mantera kuno itu. Namun hati dan fikirannya bagaikan melayang. Hanya jasad yang duduk menghadap Blara. Meski Flarus khuatir akan tahap penguasaannya terhadap mantera kuno, nyata ada sesuatu yang dia bimbangkan melebihi perkara tersebut.

 “Ayah bunuhlah saya! Tolong bunuh saya, tamatkan sahaja riwayat saya, kerana saya tak sanggup melihat kawan baik sendiri dibunuh oleh ayah! Tolonglah! Telah saya relakan ayah meneguk darah daripada tubuh ini,” Jasad Hores yang tadinya menyerupai asap hitam, bertukar wajah. Dia menjelma sebagai seorang lelaki tua berwajah mengerikan. Tajam matanya menikam anak muda yang pucat di hadapannya.

 “Aku akan bunuh kau dan dia. Aku akan jadikan kau umpan untuk membunuhnya. Bersedialah kau untuk mati!” suara itu bergema. Hujan lebat mula membasahi Lembah Namleh. Serentak dengan laungan Hores, Alore menggelupur kesakitan bila tombak beracun Hores menikam perutnya. Pengorbanannya sebagai seorang sahabat berakhir sia-sia. Darahnya tidak menjamin bapa yang kejam daripada berhenti membunuh orang lain.

 “Argh!!” Jeritan dan rintihan itu langsung tidak menimbulkan simpati. Meski perlu membunuh anak sendiri, dia takkan menyesal. Sebab dirinya adalah Hores bertuankan kegelapan. Nalurinya disimpan untuk mengabdi kejahatan. Dia membela Alore untuk meluaskan empayar kejahatan, bukannya menyuntik kebaikan dalam diri anak tersebut.

 “Alore! Itu suara Alore!” Bentak Flarus.

 Buku tebal itu dicampak entah ke mana. Tangan Flarus mencapai busur dan anak panah Gesar. Senjata itu penting untuk melindunginya. Blara tergamam. Untuk menyampuk dia kelu. Hanya terdaya mengikut jejak Flarus dari belakang tanpa mendedahkan pengenalan dirinya yang sebenar. Laju Flarus berlari meredah kepekatan malam untuk menemukan Alore. Kemungkinan diserang binatang buas tidak dihiraukan. Hanya dengan memastikan sahabat karibnya selamat, dia akan berpuas hati.

 Dada Flarus bergetar hebat. Kakinya terpaku bila melihat darah membuak keluar dari mulut dan hidung serta membasahi sebahagian baju Alore. Tergigil dia menghampiri jasad sahabatnya yang sedang nazak. Menggeletar tangannya memangku kepala Alore. Desah nafas sahabatnya kedengaran amat perlahan.

 “Siapa yang menyakitimu sehingga begini sahabatku? Siapa?” Flarus meraung di situ juga.

 “Hores,” ucapan itu terzahir dari mulut Alore namun tiada suara yang kedengaran. Flarus yang sedang terhinggut menahan tangis mendekatkan telinga ke bibir Alore namun gagal memahami butir bicara sahabatnya. Nafas Flarus seakan terhenti bila kepala sahabat karibnya terkulai. Tahulah dia, mereka berdua tak mungkin bersama lagi selepas ini. Dan dia akan berjuang sendirian untuk berburu.

 “Alore!” raung Flarus. Bergempita jeritannya. Blara menepuk lembut belakang anak muridnya.

 “Bertenang, Flarus. Aku mampu mendengar apa yang Alore perkatakan. Hores adalah bapanya. Dan Hores membunuhnya untuk mengumpan kau ke sini,” Berombak dada Flarus menahan amarah. Matanya memerah. Menghimpun kesedihan yang tidak terkata. Kini dia perlu meneruskan pemburuan sendiri. Memburu Hores yang terlalu banyak berhutang dengan dirinya dan kaum Lusier!

 “Muazues(Bangkitlah)!” Bergetar suaranya tatkala menuturkan mantera itu. Blara setia menanti di sisi Flarus. Ingin sekali melihat musuh ketatnya yang bermaharajalela setelah dirinya tertawan dalam kurungan.

 “Berani kau menyeru aku budak hingusan!” kepulan asap hitam itu sekali lagi berubah bentuk. Hores menjelmakan dirinya seperti tadi. Keningnya terangkat bila melihat kelibat Blara. Tajam renungannya langsung tidak menggentarkan Blara.

 “Aku dah tahu kau terlepas namun tidak ku sangka dirimu sungguh berani. Mengambil tempat dalam pertarungan maut ini dengan mempertaruhkan budak hingusan yang naif sebagai anak muridmu,” sinis nada Hores. Blara menjeling.

 “Teruskanlah usahamu untuk menakluk dunia ini dengan kejahatan,” bicara musuh ketatnya disambut dengan ketawa jahat. Bagai bergegar Lembah Namleh dengan aura jahat Hores.

 “Aku langsung tidak gentar dengan budak hingusan ini,” kata Hores dengan bongkaknya. Flarus bersiap sedia dengan busur yang sentiasa disangkut pada bahunya. Dia cuma perlu membidik Gesar tepat ke kepala Hores tidak kira dari arah mana pun. Masa itu akan tiba nanti. Kilat semakin kuat sabung menyabung. Awan mula berkeladak hitam. Mata Hores menjadi merah, semerah api yang membara.

 “Berhenti panggil aku dengan nama itu. Aku bukan budak hingusan. Aku kesatria yang ditakdirkan untuk menamatkan riwayat kuasa gelapmu!” laung Flarus. Saat itu Hores kembali pada jisim ringannya, kepulan asap hitam. Flarus tergamam, namun ilmu kepahlawanan mengajarnya agar bertenang dan menggunakan kebijaksanaan dalam apa jua situasi.

 “Ayuh! Percayakan aku,” Flarus ternganga buat seketika. Matanya berkerdip tak percaya bila Blara menjadi seekor burung merpati putih gergasi yang bersayap biru. Ekornya bersinar bagai disinari cahaya putih. Kekok untuk Flarus menaikkan badannya di atas Blara. Perlahan-lahan dia cuba menyimbangkan badan untuk bertarung pada posisi yang betul. Sedang dia berusaha membetulkan duduknya, jalinan lut cahaya biru jernih seakan melingkari kaki dan bahagian pinggangnya.

 “Galur hikmat ini akan seimbangkan kedudukanmu,” Flarus mengangguk. Kata-kata Blara memberi kelegaan.

 “Ayuh kita bertarung! Blara!” Laung Flarus dengan penuh keazaman.

 Banyak anak panah biasa dilepaskan untuk mengaburi mata Hores. Walaupun kuasa gelap itu bergerak pantas namun kelemahannya adalah mudah keliru dan cepat berpuas hati dengan pencapaian dirinya. Seperti sekarang! Inilah masa untuk mengelirukan Hores dengan magisnya.

 “Horo(angin pasir)!” Sekelip mata, angin yang membawa pasir bagaikan puting beliung memerangkap pergerakan Hores. Kuasa gelap itu terkaku di dalam lingkaran angin tanpa dapat berbuat apa-apa.

 “Dia makin lemah,” bisik Flarus. Blara ketawa.

 “Cepat Flarus. Gunakan kesempatan ini. Kita tak boleh berlengah,” pesan Blara dengan penuh semangat.

 “Baiklah!” Sahut Flarus dengan semangat yang berkobar-kobar.

 “Somboho bie(Hampiri dia)!” Flarus senyum yakin. Kepalanya diangguk berulang kali. Kini mereka berada di sisi atas kepulan asap Hores.

 “Inilah waktunya,” bisik Blara. Flarus mengeluarkan anak panahnya. Busur itu ditarik dan kemudiannya menunggu masa untuk dilepaskan.

 “Nakuerapui masela(halakan padanya)!” dan anak panah Gesar itu tertusuk tepat pada kepala Hores.

 Gesar merujuk kepada anak panah berwarna jernih yang dihasilkan daripada proses pencairan semula permata Krosto dan dibentuk sendiri oleh Flarus dengan bimbingan Blara dan Frenza. Inilah hikmatnya Nigu mengeluarkan susu permata tersebut. Untuk menjadi azimat dan senjata perjuangan Flarus membela kaum Lusier. Raungan kehancuran kuasa gelap melebur bersama lesapnya kepulan asap hitam Hores. Flarus menghela nafas lega. Lalu Blara mengibaskan sayapnya, mempersembahkan terbang yang penuh dengan kemegahan. Khas untuk penghormatan kesatria muda berusia tujuh belas tahun ini.

 “Bagus, Flarus. Tahniah! Kau telah membebaskan seluruh kaum Lusier dari belenggu hitam Hores! Sekarang mari kita himpunkan semula kaum mu,” sepasang sayap Blara berkibar dengan bangganya. Menerbangkan kesatria muda ke destinasi yang telah kembali pada zaman kegemilangan. Menyatu padukan seluruh kaum Lusier ke penempatan asal mereka, Lembah Namleh.  

 

 nota: cerita ni mungkin agak biasa jalan ceritanya , selain dekat dengan mitos inggeris namun diselitkan unsur ketimuran juga hehe. cukup membuatkan saya lega kerana meluahkan satu lagi imaginasi berdasarkan rujukan dalam cerita2 epik fantasi yang sy dah tonton. jika ketemu kebetulan, atau plot yang lebih kurang saya minta maaf awal-awal. selamat membaca =) ini sekadar untuk hiburan. komen membina dari kawan2 semua amat saya alukan.

     

 

            

 

  

 

 

        

 

 

.        

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) -makanan yang mengenyangkan, sehingga tak mampu dikunyah kesemuanya..sambung esok sebelum mata tertutup.
  • 2) mcm cte eragon plak..
    hehehe..
  • 3) Akak sudah membaca berkali-kali tetapi akak tidak jumpa penerangan tentang kekejaman kaum Hores. jadi akal seperti tidak dapat berimaginasi mengenai keperluan untuk menentang.Cuma disebut kezaliman dan kuasa gelap..apa? kurang jelas di situ rasanya. yang lain okay.
  • 4) seperti kata mizz_aszni, macam cerita eragon pula. saya dapat rasakan dan bayangkan keadaannya. bagus adra... yang lain, tiada masalah.

    (tiba2 rasa nak cuba untuk menulis genre begini pula. hai, bila agaknya tu? hehehe... )
  • 5) ooo....
    lawan ngan magik erk??
    hebat...
  • 6) font kecik sgt ni.
  • 7) part Flarus tiba-tiba balik rumah lepas tu cuma balik Blara macam caca-merba. ke Blara ikut sekali Flarus balik rumah? hehe

    macam tu juga part Flarus tiba-tiba nak pergi jumpa Alore, macam pelik sangat cara mereka bertemu dan tiba-tiba sebak, begitu juga kenapa lama tak jumpa. Patut ceritakan, mungkin Flarus berguru dengan Blara dekat dengan air terjun dan terpencil dari kawasan luar beberapa purnama?

    apapun. teruskan daya imaginasi kamu!

Cerpen-cerpen lain nukilan adra

Read all stories by adra