Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Monologku Seorang AA (Rewrite - Versi Sopan)

 

Nota penulis: Percubaan untuk menulis dalam framework cerita yang sama, tapi dengan bahasa yang lebih bersopan. Oleh kerana tidak mahu terikat dengan storyline yang sama (kerana storyline sebelum ini tidak berjaya disopankan :P) , maka inilah storyline yang digubah kembali. Versi sebelumnya sudah difilterkan perkataan kurang sopan oleh Cahatomic (mekasih Caha!), maka saya biarkan sahajalah di situ sebagai rujukan dan peringatan.

Segala komen amat dihargai! Sila silakanlah mengomen dan memberi pandangan bernas - tak kiralah dari segi kuro ke shiro :P (P/s: jangan gaduh gaduh lagi ye! Tak bestlah bergaduh2 :) )


“Jika ada si kurap yang datang merangkak, adakah kau akan mengangkatnya duduk setara denganmu, atau kau lebih sanggup menyepak sejauhnya?”

        Persoalan itulah yang terngiang-ngiang di kepalaku sejak semalam. Sakit kepala aku memikirkannya. Masih bergetar suara Mak yang menikam jiwa dan meruntun implikasi yang menyedihkan..

        “Berambus kau! Aku tak mengaku kau anak aku! Takde darah keturunan aku yang minum kencing setan tu! Takde! Keluar kau dari rumah ni!”

        Kaku. Dingin sekali suara Mak bila dijeritkan begitu. Kalah petir yang sabung – menyabung di luar. Desibel yang amat tinggi membenamkan bunyi bingit adik adikku yang lain. Semua menikus. Semua takut. Semua tak berani membantah.

Boleh pecah cermin, retak seribu!

        Maira hanya memandangku sayu. Syaz tersenyum puas. Wan? Tidak berani melawan. Mataku mula bergenang, tapi air mata yang hampir jatuh tetap ku empang. Hendak ku lawan, itu Mak. Hendak ku tawan, tahunya tidak. Hanya bibir yg terketap dan bergetar membayangkan perasaanku ketika itu.

        “Tapi mak, abang Fik cuba untuk berhenti tu!” Maira menyanggah.

        “Diam! Tak mana boleh berhenti nya tu! Aku tak percaya!”

        Aku melangkah meninggalkan medan perang yang terang – terang aku kalah; sudahnya aku yang dihambat dari rumah. Tidak terdengar langsung derapan tapak kakiku yang melangkah ke bilikku di tingkat atas. Longlai. Layu. Tidak bertenaga umpama ubur – ubur.

Bilikku? Tidak lagi..

            Usai mengemas baju lebih kurang, aku melangkah keluar. Untuk cuba memulakan hidup baru. Keseorangan. Mak kelihatan sibuk menyusun bunga plastik di tepi tiang. Terserlah senyuman dan lirik kepuasan di muka Mak. Puas kerana susunan bunga hipokritnya sedap pada pandangan mata. Mungkin juga puas kerana dapat mengawal keturunannya. Mungkin puas kerana dapat menidakkan kebenaran yang nyata.

Aku lebih hina dari bunga plastik?

            Sehina – hina aku pun, aku tetap tak dapat melupakan ajaran Abah. “Jangan sesekali keluar rumah tanpa salam Mak kau!”. Masih terngiang ngiang suara Abah walaupun telah lama dia pergi. Mak yang baru sahaja menjatuhkan hukuman maut ke atas dosa besarku tetap aku dekati. Ingin aku menyalami Mak buat kali terakhir. 

Salamku tidak bersambut. Hanya jelingan mata yang menyahut.

            “Mak...”

            Mak mendengus.

            “Mak, Fik tau Fik bersalah. Kalau beginilah keputusan Mak, Fik terima. Kalaulah Mak anggap Fik sebagai anjing kurap sekalipun, ingatlah Mak – Fik tetap anak Mak. Darah daging Mak”

            “ Memang! Memang kau anjing kurap! Takde darah daging aku yang sehina anjing kurap! Jadi jangan kau sebut kau tu darah daging aku! Pergi kau dengan buku Kristian kau nih!” Serentak dengan itu buku tebal berkulit keras berwarna biru gelap itu dilemparkan laju ke arahku.

            Buku tebal itu mengena bahuku. Jatuh, terkangkang dengan hanya kulit buku yang terpampang di hadapan kakiku.

The Alcoholics Anonymous (AA) Big Book.

            Buku yang telah menjadi pedomanku sejak dua bulan lalu kukutip dan kupegang erat. Biarlah apa orang kata, buku Kristian, buku orang putih – tapi ia tetap sudah berjaya menjalankan tugas dalam menghalang aku dari menelan cecair yang menjadikan aku; sampah.

Sampah? Heh. Ironik!

Walaupun kau yang menjadi punca semua ini, aku tak boleh marahkan kau, buku.

************************************************************************

        “Taufik!”.

        Tersentak aku yang sejak tadi hanya berteleku memandang komputer bimbitku tanpa apa aktiviti dilakukan. Mata melihat, tapi yang terpapar di otakku tidak seperti apa yang direncanakan oleh kornea mata. Aku mendongak memandang Bakar yang berdiri tegak seperti tiang bendera di sebelahku. Muka Bakar tidak menunjukkan apa apa perasaan. Robot sungguh. Atau mungkin aku sahaja yang tidak dapat membacanya?

Tapi betullah, macam tiang bendera.

            “Office saya. 5 minit.” arah Bakar. Dan terus berlalu pergi.

Ah sudah. Apa pulak salahku kali ini? Tiba-tiba je Hitler ni menurunkan titah..         

            Tanpa berlengah, kaki ku melangkah berat ke sidang penghakiman. Cuba untuk aku memikirkan apa pula salahku kali ini, namun mindaku buntu. Tiada apa yang berjaya dikorek dari minda kotor ini. Berkerut mukaku mencantumkan kening lebat hasil warisan Abah. Sedar – sedar, aku tercegat di hadapan pintu besar kayu berwarna hitam itu. Perlahan ku ketuk.

            Bakar sedang berbual di telefon. Hanya ekor matanya yang melirik menyuruhku masuk. Lepas sahaja kaki ku dari sempadan yang memisahkan takhta Hitler ini dengan askar askar bawahannya, tangan Bakar menyuruhku duduk. Aku cuma termangu menunggu perbualannya tamat. Telefon diletakkan, dan..

            “Mana laporan bulanan untuk team awak?” jerkah Bakar.

            “Maaf tuan. Still in progress”.

            Bakar hanya merengus.

            “Setakat ini, sudah dua kali awak lambat menghantar laporan. Ini dah masuk kali ketiga. You’re not like this before. Kenapa dengan awak?” suara Bakar berlembut denganku.

Biar benar orang tua ni? Tiba tiba bersikap kebapaan pulak..

            Aku terdiam. Keluhan kecil ku terkeluar. Mungkin inilah peluangku untuk berterus terang dan meluahkan segala yang terpendam. Bolehkah?

         “Tuan benar hendak tahu kenapa?”

         Tangannya mengisyaratkan aku untuk bercerita.

        “I drink. Alcohol, I mean.” berdebar – debar hatiku bila aku membuat pengakuan ikhlas itu. Adakah aku bakal dimaki?

        “So?” kening Bakar terangkat sebelah. Ceh buat gaya The Rock pulak!

        Aku mengeluh lagi. Tidak ada gunanya aku menyimpan rahsia; terbongkar sudah pekungku kerana ia menyebabkan kerjaku tidak sempurna. Aku bercerita dari mula aku menyertai A.A, sehinggalah aku dihalau oleh Mak semalam. Selesai aku bercerita..

        “Taufik, beginilah. Itu masalah personal awak, saya tak dapat membantu dalam hal itu. Tapi saya nasihatkan awak tumpukan sahaja pada kerja supaya ia dapat menolong awak untuk berhenti. Boleh?” balas Bakar setelah habis lima belas minit aku bercerita.

Terkesima aku dibuatnya. Tiada langsung simpati? Nasihat? Tunjuk ajar? Manager apa ni?

         “Dan, boleh awak siapkan laporan awak sekarang? Satu jam, cukup?”

         Betapa bodohnya aku untuk menganggukkan kepala tanda setuju, walaupun hati kecilku sudah sedar yang dia hanya memaksimakan genggaman kejinya terhadapku yang sudah sedia lemah. Keji sungguh watak korporat pengurusku ini.

         Menyesal aku meluahkan segala masalahku kepada Bakar, yang kini hanya pandang aku sebelah mata sahaja. Menyesal aku memberitahu keadaan aku yang kini dihalau keluar dari rumah ibubapaku. Menyesal aku memberitahu yang aku tidak lagi diiktiraf darah dagingku sendiri lagi. Menyesal aku memberitahu yang aku cuba untuk berhenti dari tabiat burukku itu. Menyesal aku membuka pekung busuk di dadaku – nyata ia hanya mereputkan kredibiliti diriku sendiri; teknik “come clean” langsung tidak berkesan dalam situasi ini.

Nyata hari ini aku tersalah langkah.

************************************************************************

         Malam Jumaat. Malam untuk suami isteri bermesra. Malam yang selalunya dihiasi oleh bacaan Yasin Abah. Malam yang selalunya aku duduk dirumah, hanya kerana aku takut dengan momokan Mak yang sering menyakat aku dengan hantu jerangkung. Malam suci.

Tapi itu 20 tahun yang lalu..

            Malam Jumaat kali ini menyaksikan aku kembali menyembah nafsu serakahku. Malam Jumaat kali ini menyaksikan aku kembali kalah. Malam Jumaat kali ini bakal menyaksikan aku kembali muntah hijau.

Malam Jumaat ini aku kembali ke La Bogella.

            Erma, pelayan La Bogella hanya tersenyum melihat aku dengan muka masamku. Dia sudah masak dengan perangaiku. Kalau datang dengan muka mencuka, sudah pasti aku akan minta air kuning yang serupa air nangka. Dengan lincah dia mengambil gelas kaca panjang dan menadah di bawah tong besi bersalut titik titik ais yang tersejat diluarnya.

            “Beer as usual?” Erma bertanya, manis senyumannya dengan mata melirik.

Nasib baiklah kau kata kau lesbian, kalau tak  sah aku ambil buat bini!

            “Plus this.” jawabku sambil menghulur sekeping kad kecil.

            Pantas dia membuka almari di belakangnya dan menarik botol kristal yang mengandungi cecair jernih. Smirnoff Vodka. Masih ada tiga suku botol. Kegemaran orang Russia. Kegemaran aku yang tak sedar diri Melayu.

            Tak sampai lima minit, penuh kaunter kayu oak di hadapanku. Satu botol Vodka, dua jag mixer, satu jag kecil air batu, satu gelas besar bir, satu gelas kosong. Aku meneguk bir sejuk itu secepat tangan yang menyambar. Satu tegukan, dan setengah gelas kosong. Masih sama rasanya; sedikit rasa rangup, sedikit rasa masam, bau rumput kering, dan buih yang menyelerakan. Lalu sahaja air kencing syaitan itu ke dalam tekakku, terasa seperti lava yang membakar dan menghakis kerongkongku perlahan-lahan.

“Ahhhhhhh....” aku mengeluh kenikmatan. Rasa seperti orgasme pun ada!

            Baru hendak dihirup tegukan kedua, tiba tiba aku tersedak akibat tepukan kuat di belakang badanku. KEDEPAP!

            “Hoi Taufik Munafik! Hidup lagi kau ye! Aku fikir kau dah mati!”

 Lahanat, hidup lagi mamat ni rupanya.

             Tak lain tak bukan, Danny yang menegur aku. Anak kelahiran Baba dan Nyonya ini memang kasar bahasanya; maklumlah anak jati Melaka. Walaupun berketurunan Cina, namun disebabkan selalu bergaul dengan orang Melayu, Danny amat fasih bercakap Melayu. Sekali tengok, memang orang akan fikir dia pelakon Korea atau Jepun; jambu, tapi boleh cakap Melayu.

             Teguran Danny aku biarkan. Tiada rasa aku mahu dikacau hari ini. Aku cuma mahu bersendirian. Mahu menenangkan diri. Inilah “last resort” ku untuk cuba mengawal diri dari menjadi gila. Gila dengan persekitaranku yang asyik menekan dan menghimpit.

Maaflah Danny, bukan hari ini. Aku tak mahu bergurau dengan kau.

            Danny hanya memandangku pelik. Biasanya aku akan memaki maki setiap kali dia memanggil aku “Munafik”. Nyata dia terasa hati, bila berkerut mukanya menanti jawapanku yang tak kunjung tiba. Pipi keringku ditepuk tepuk perlahan.

            “Bro, chill laa!” ujar Danny lagi.

Chill?

            Aku berpusing menghadap Danny. Tangan kananku masih memegang gelas bir yang masih berisi.

            “Chill eh?”

             Tanpa amaran, aku terus berdiri tegak di hadapan Danny dan mencurahkan kepala Danny dengan setengah lagi bir yang tak sempat kuminum.

             “Chill tak?” sindirku.

             Danny terpinga pinga bila aku buat begitu. Belum sempat Danny marah atau menumbukku, pisau lipatku sudah berada di lehernya. Pasti chill kan pisau ni, Danny?

            “Just not today, Danny. Not today..”

             Aku bersiul memanggil Erma dan menunjukkan sudut gelap di tepi tangga La Bogella. Tanganku mengarahkan Erma untuk membawa minuman yang terhidang di kaunter kayu oak itu supaya dialihkan ke sudut yang kutunjukkan. Erma bergerak tanpa membantah, nyata dia juga terkejut dengan pisau di tangan kiriku itu.

************************************************************************

             Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Kepalaku sudah berat, percakapanku pun sudah pelat. Mindaku sudah kosong, tapi perasaanku masih berubah ubah mengikut memoriku yang silih berganti. Teringat peristiwa malam semalam, air mataku mengalir. Teringat peristiwa petang tadi, aku mendengus sendirian. Teringat peristiwa sebentar tadi, aku tergelak sendiri.

             Danny sudah meninggalkan La Bogella sebaik sahaja aku membasahkan dia dengan bir sejuk itu. Mukanya marah, tapi melihatkan pisau lipat buatan Swiss ku itu, dia tidak berkata apa – apa.

Biarlah, apa aku peduli dengan kau Danny.

            Perutku bergelodak dengan segala macam air yang kini aku sendiri tidak ingat namanya. Tekakku kelat dan sakit, kering dibakar air asid dan asap rokokku sendiri. Dua hirupan terakhir yang tinggal. Dua hirupan lagi dan kepalaku akan rasa  betul betul kosong. Aku mula mengorak senyum tanpa dikawal. Ah, ini baru betul rasa di syurga! Tiada caci maki, tiada penghinaan, tiada kesedihan. Tiada pandangan penuh provokasi, tiada pandangan merendahkan integriti.

Eh, kenapa susah sangat nak tengok jam ni?

            Dan aku tergelak kembali kerana apa yang ku angkat itu ialah kaki. Bukan tangan. Apalah, kaki dengan tangan pun kau dah tak boleh beza ya Taufik?

            Gelas terakhir itu aku angkat. Dua hirupan terakhir itu aku teguk. Serentak dengan itu, perutku sudah tidak tahan lagi. Ia mengganas seperti lava gunung berapi yang mahu meletus. Terus aku tertunduk menahan sakit; dan meletuslah segala lava isi perutku yang sudah bercampur baur; hanyir, cair, dan busuk. Rasa seperti nyawa ditarik oleh Malaikat Maut. Tegang segala urat urat leherku. Mengecut rasa kerongkongku. Tercalar rasa trakeaku. Basah seluarku dan bajuku dengan muntahku sendiri.

Masa untuk pulang..

            Aku melangkah longlai keluar dari La Bogella. Aku melambai kepada Erma, sambil bibirku menuturkan perkataan “sorry” kerana dia terpaksa mengemas muntah-muntahku itu; namun tiada suara yang keluar.

Ah biarlah, pandai pandai lah nak faham.

           Kedegang! Aduh! Sempat lagi terlanggar pintu. Ah, kakiku sudah tak betul lagi. Macam tersangkut pula aku di pintu itu. Sambil tergelak tanpa kawalan, aku bertatih keluar dari pintu yang ku lihat seperti ada dua ini.

Hehe, nasib baiklah tanganku ada dua juga.. hiks!

            Dalam keadaan aku terhoyong – hayang, tiba tiba telefonku berbunyi mendendangkan lagu rock kegemaranku..

Then it comes to be that the soothing light at the end of your tunnel..

Was just a freight train coming your way..

            Terkocoh – kocoh aku menyeluk poket seluar, tapi tak terjumpa pula telefon.

Eh apa pula line putih kat bawah kaki aku ni?

            Aku tunduk cuba memegang garisan putih putus-putus yang ada di bawah kakiku ini. Serentak aku tunduk, telefonku mengengsot keluar dari poketku, jatuh di atas jalan. Tanganku cuba menggapai telefonku yang terjatuh.

Eh kenapa terang sangat ni?

            Aku menoleh ke kananku. Ada cahaya di depan mataku. Dan bunyi hon kereta menusuk kaviti telingaku lima saat selepas itu. Hanya dua bunyi terakhir itu yang aku sempat dengar dan masih aku ingat sekarang - satu; bunyi hon kereta. Dan dua; bunyi telefonku yang tak sempat ku genggam dan masih memainkan lagu rock kegemaranku..

Then it comes to be hell, yeahh. Then it comes to be hell, yeah. Then it comes to be hell!

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ok skit dr versi lg satu tu...hahaha!
  • 2) wah, this is better..
    versi lain pon bst ek?
    hehehe..
    penambahan dan tokok tambah yang penuh berperisa..
    i like!
  • 3) teruskan berkarya. Yang dulu tu pun ok juga sebenarnya, cuma agak menyinggung.
  • 4) mmg tdk dpt dinafikan...
    kamu berjaya berada di mn2 versi pn..
    nice..
    sy suka..
  • 5) terima kasih untuk kiriman cerpen ini semula dalam bentuk yang lebih sopan. keseluruhannya bagus! saya rasa versi yang ini lebih baik dari yang pertama kerana ada simpati yang lahir dari hati saya untuk watak utama berbanding versi yang lagi satu.

    teruskan menulis dan berkarya. sekian...

  • (Penulis)
    6) kamalia: mekasih2. hehehe. lain pendekatan yg digunakan untuk kedua versi

    mamau: better eh? kurang details kalau compared to versi before, tp lebih pada permainan perasaan. tu yg lebih perisa kot hehe.

    Kurusawa: tidak pernah menjangkakan ramai pula yg tersinggung. hehe. tetiba jadik epic legend plak ;p

    CZ: hehe mekasih2.

    riri: ada simpati yg lahir eh? yes berjaya la menonjolkan permainan perasaan tuh
  • 7) Akhirnya sampai juga rezeki saya untuk membaca setiap ayat dan baris sehingga ke akhirnya.Oleh kerana ia sekadar monolog maka biarlah tinggal sebagai monolog. cerpen ini berjaya untuk menceritakan emosi yang tertekan ,tidak stabil dan lemah. Cuma tertanya-tanya juga apa yang sebenarnya cuba dihidangkan sebab seperti tergantung tetapi nanti kena marah lagi.Jadi biar sahaja saya telan persoalan itu dan anggap seperti cerpen yang tidak mahukan saya faham. Terimakasih kerana menulis cerpen versi sopan.

  • (Penulis)
    8) mr_kajiwa: harapnya biarlah terubat perasaan kempunan tu erm sebenarnya memang itulah apa yg cuba diceritakan - emosi yg tertekan, tak stabil, lemah. mungkin juga tergantung dalam proses membuatkannya sopan - tapi takpelah.

    tunggulah cerpen sy yang seterusnya ye, yang ini; biar jelah bagi abes kat sini dengan apa yg telah terjadi
  • 9) haha
    tahniah rere dah buat versi sopan.
    bagi aku,dua2 citer pon aku boleh dapat ape mesej yg ko cuba nak sampaikan.
    tahniah lagi sekali!

  • 10) versi kali ini sedikit lain perasaan bila membacanya.. lontarannya lebih tenang dan mesejnya lebih mudah ditelan.. saya suka pengunaan ekspresi yang pelbagai terhadap sesuatu situasi, menunjukkan luasnya cabang pemikiran penulis. terima kasih..
  • 11) baik,kakak tunggu.Kamu pun tahu kakak baca setiap ayat,setiap perkataan dan setiap baris yang kamu tulis...
  • 12) wow...karya yang sgt hebat..
  • 13) tadi hanya berteleku memandang komputer bimbitku tanpa apa aktiviti dilakukan.

    tanpa apa ke or tanpa ada?

    nice one! versi sopan!! yeayyyy
  • 14) Pada 16-05-2009 at 20:48:09 PM, babymilo telah menulis:
    haha
    tahniah rere dah buat versi sopan.
    bagi aku,dua2 citer pon aku boleh dapat ape mesej yg ko cuba nak sampaikan. --> wahh kinkin ber'aku-kau' dgn rere dulu. sekarang? ehem ehem.. (boleh tak nak komen psl komen kinkin je dan bukan psl cerpen? kehkeh)

    hmm cerpen ni bagus, cume bile ade "" pada perkataan bahasa inggeris tu sedikit mengganggu flow la.. mungkin buat italic je pun dah cukup kot?
  • 15) wahahahahah!

  • (Penulis)
    16) cis kau nia. hahahaha. oh ada "" ek? baiklah lainkali buat italic plak

Cerpen-cerpen lain nukilan rearrange

Read all stories by rearrange