Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Mahu Lekas Maju

Cerpen sebelumnya:
Wahyu
Cerpen selanjutnya:
Maya

“Ini peluang business yang serius! Tak tipu!”

Kamil hanya mampu terkebil kebil mendengar penjelasan Kak Nor yang begitu bersemangat mengenalkan dia dengan program perniagaan itu. Kedai nasi lemak “Maveles” yang masih riuh dan penuh dengan pelanggan seolah tidak melunturkan semangat Kak Nor yang separuh menjerit untuk cuba bercakap dengan Kamil. Kamil sudah tidak mampu berkata apa-apa; otaknya ligat terbayangkan duit yang bakal diterima seperti yang dicanang-canangkan oleh Kak Nor.

Kamil memetik pencucuh rokok dan menyalakan sebatang lagi rokok. Dahinya berpeluh, mungkin kerana baru sahaja habis menelan dua pinggan nasi lemak. Asap rokok dihembus laju.

“Tapi kak, bagaimana keuntungan ini boleh Kamil dapat?”

“Selalunya pembayaran dilakukan setiap minggu. Berapa pembayaran tu depends lah dengan berapa ramai yang Kamil berjaya tarik untuk menyertai program ini bawah Kamil.”

“Kamil faham kan dengan penerangan akak ni?” tanya Kak Nor, keningnya berkerut cuba menafsir apa yang bermain di dalam minda Kamil.

“Erm.. kurang fahamlah kak bab duit ni. Cuba akak terangkan balik, boleh? Maaflah, saya bab – bab sistem matriks ke apa, memang lemah sikit. Maklumlah, sekolah tak tinggi” sengih Kamil.

Okay, macam ni.. “ Kak Nor mengambil sekeping lagi kertas kosong dari fail birunya. Dilukisnya satu bulatan di tengah kertas. Nama Kamil ditulis di dalam bulatan itu.

“Katakan ini Kamil, dan Kamil berjaya tarik tiga orang untuk join. Untuk setiap orang, Kamil akan dapat komisyen 10% bersamaan RM 300. Setiap minggu akan dapat RM300. Faham?” terang Kak Nor sambil melukis tiga bulatan lagi di bawah bulatan pertama.

Kamil cuma menganggukkan kepala.

“Tiga orang ni dipanggil downline Kamil. Kamil berjaya je cari tiga orang, Kamil dapat naik pangkat – kitorang panggil Kamil sebagai Count. Faham?”

Kamil menganggukkan kepala lagi. Tak ubah seperti ayam yang sibuk mematuk bertih jagung!

Kak Nor meneruskan lagi penerangan. Dilukis lagi sembilan bulatan kecil dibawah bulatan yang sebelumnya. Disambung – sambung bulatan itu; serupa seperti sebatang pokok tanpa daun. Dalam satu nafas Kak Nor berbicara lagi..

“Selepas Kamil menjadi Count, kalau tiga orang lagi menyertai program ini di bawah downline Kamil, Kamil dapat komisyen sebanyak 5% seorang, jumlahnya RM450. Senang kan? Boleh faham?”

“Ohhh.... macam tu....” jawab Kamil.

Kak Nor tersenyum simpul. Penerangan yang lancar dan jelas itu akhirnya berjaya juga disumbatkan di dalam otak Kamil.

Alhamdulillah, dapat aku lagi seorang. Murah rezeki aku..” getus hati Kak Nor.

Kamil membenamkan rokok yang tinggal hujung di dalam asbak merah di hadapannya. Mukanya masih berkerut, seperti masih sesat dalam kegelapan kata-kata Kak Nor. Bibirnya seperti mahu mengungkapkan sesuatu, tapi tidak terluah. Kak Nor yang sedar akan hakikat itu terus bertanya kepada Kamil.

“Apa yang tak kena, Kamil?”

“Dari mana datangnya duit komisyen tu? Dari downline yang join? Jadi kalau tiada downline, maka tidak dapat apa – apalah ya?” ujar Kamil.

Tergelak kecil Kak Nor. Nyata budak ini masih tak faham.

“Bukan macam tu Kamil, program ini based on profit sharing jugak. Kalau Kamil tak dapat mencari downline, kitorang akan tolong. Kitorang akan carikan orang untuk Kamil, tapi Kamil kenalah buat presentation untuk mereka. Boleh?”

“Kitorang sendiri takkan dapat untung buta-buta Kamil, kalau Kamil tak jalan and tak dapat cari orang. Jadi kat situ, kitorang akan tolong, pimpin tangan Kamil perlahan-lahan, berikan training, latihan, sampai la Kamil selesa untuk mencari orang sendiri. Best tak?”

“Kita sama – sama Melayu Kamil, program ni bukannya tipu. Program ni dibuat oleh orang Melayu juga, untuk sama – sama kita tolong menolong. Sampai bila kita nak di takuk lama kan, balik – balik tengok orang putih saja yang kaya. Inilah jalan untuk Kamil majukan diri.”

Kamil terdiam. Panjang pula celoteh akak ni.

“Kamil tak mahu memajukan diri? Tak mahu kaya?” soal Kak Nor.

“Nak kak. Tapi halal ke buat business ni?”

Sekali lagi Kak Nor tergelak.

“Halal dik. Program ni berdasarkan jualan lampu aromaterapi ni ha. Kat France, ramai dah yang guna. Cuba Kamil fikir, sekarang ni semua pun nak cepat dan bersih. Dulu, makanan tiada yang cepat untuk dimasak, sekarang ni frozen food dah ada. Sampaikan mee bandung pun ada yang jenis frozen”.

“Bukan tu saja, lepas tu tengok, ada keluar air mineral secara commercial. Air pun orang nak cepat, dan bersih. Cuba Kamil fikir, selain makanan dan air, apa lagi unsur penting untuk hidup?” tanya Kak Nor, mukanya sungguh beriya-iya menunggu jawapan Kamil.

“Erm.. angin? Tapi angin tak perlu bayar kak, free!” jawab Kamil.

“Itu dulu Kamil. Dulu pun makanan dan minuman adalah percuma. Tapi sekarang, dengan pencemaran sana sini, lama lama nanti angin pun kene charge tau. Ini la dia, lampu aromaterapi ni ha. This is our future market. Baiklah Kamil join cepat, lagi cepat lagi pioneer Kamil, lagi untung besar. Kamil tak payah pun jualkan lampu ni, diorang dah ada target market kat France. Duit Kamil tu untuk pelaburan, itu yang profit sharing tu..” 

“Tapi, RM3000 tu mahal la kak. Mana Kamil ada duit banyak tu..”

“Kamil Kamil.. yang itu tak usah bimbang. Kamil kalau nak buat business biasa, agak agak Kamil kena keluar modal berapa?”

“Hmm.. 10 ribu kot?”

“Haa lagi banyakkan? Takpe Kamil, akak pun dulu start tak guna duit akak sendiri. Akak buat personal loan. Nanti kitorang boleh tolong Kamil untuk buatkan loan tu jugak, boleh?”

Kamil mengeluh. Penat juga melayan Kak Nor ni, ada saja jawapannya!

“Baiklah Kak, Kamil joinlah. Tapi Kak kena janji tolong Kamil nanti!” Kamil mengalah.

Kak Nor tersenyum lebar. Yes! Berjaya!

*******************************************************************************


Sudah seminggu Kamil menyertai skim “Matriks Laju Menguntungkan” itu. Pinjaman peribadi sudah pun diperoleh, dan Kamil dengan rasminya seorang ahli berpangkat Count setelah berjaya menarik tiga orang rakan serumahnya untuk menyertai bersamanya. Sudah tiga kelas training dihadirinya, kini Kamil amat yakin untuk menjalankan perniagaan tanpa produknya ini.

Malam ini, Kamil duduk di beranda rumahnya di kampung, di hadapan lima orang sepupunya yang ingin mengetahui rahsia Kamil yang mengaku dirinya seorang businessman hari ini.

Alright guys, nama perniagaan ini “Matriks Laju Menguntungkan”; dibina oleh orang Melayu kita jugak, dan yang senangnya, kau orang tak perlu menjual apa apa produk pun. Produk diorang memang dah established, dan market pun ada. Korang cuma perlu mencari orang untuk turut serta supaya diorang dapat tambah modal untuk menaikkan lagi untung diorang. Kalau diorang untung, maka korang pun untung. Senang kan?”

Laju Kamil menerangkan kepada sepupunya itu, bak bertih jagung yang dibakar. Setiap patah perkataan yang terpacul lancar diucapkan hasil latihan praktikal yang dihadiri di Kuala Lumpur. Habis diterangkan, Kamil hanya tersenyum puas.

“Ada apa apa soalan?”

Satu – satu sepupunya dipandang. Semua hanya mengangguk angguk dengan mata yang bersinar-sinar, kecuali seorang. Bercermin mata, Leman hanya tunduk menghadap komputer ribanya. Tangan Leman laju menaip papan kekunci di hadapannya tanpa muka diangkat.

Hai la geek seorang ni, dengar ke tidak cakap aku?” getus hati Kamil.

“Leman.. oo Leman. Kau dengar tak cakap aku? Faham tak?”

Leman hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham, tapi mukanya langsung tidak diangkat untuk memandang Kamil.

“Leman, kalau iya pun, pandang la aku ni.” Geram pula Kamil bila sepupunya yang muda dua tahun itu bersikap dingin sebegitu.

Mendengar Kamil yang tiba tiba seolah-olah marah itu, Leman mengangkat muka dan merenung tepat mata Kamil. Cermin matanya ditolak sedikit, dibetulkan di rangka muka yang kurus.

“Kau ni nak menipu kitorang ke Kamil? Kau dah research habis habis program ni?” jerkah Leman.

Kamil sedikit terkejut dengan tuduhan dan tohmahan Leman. Eh, kenapa pulak la mamat ni nak menuduh-nuduh?

“Aku tak tipu koranglah Leman. Aku sendiri dah dapat check RM300 untuk minggu pertama aku. Perniagaan ini fully legit. Aku dah pergi office diorang, besar. Aku dah tengok laman web diorang. Aku dah baca prospektus diorang. Dah research lah tu kan?”

“Itu je yang kau buat, Kamil?”

“Habis?”

“Nah.” Dihulurkan komputer riba itu kepada Kamil. Terpampang laman blog yang memberikan ulasan tentang “Matriks Laju Menguntungkan”. Kamil membaca seketika untuk lima minit, dan kemudian dihulurkan semula kepada Leman.

“Aku tak percayalah!” jerkah Kamil pula.

“Kenapa kau tak percaya? Bukan dah ada orang yang tolong buat ulasan dan kiraan? Sebenarnya duit kau tu tak sampai pun ke modal diorang. Kau cuma membayar untuk orang upline kau. Kau ambil duit orang bawahan kau untuk something yang kau fikirkan “profit”. Tipu tu semua Kamil. Tipu! Ini bukan business!”

“Kenapa pulak bukan business?” bantah Kamil.

“Kalau business mesti ada produk atau khidmat servis yang ditawarkan. Engkau? Apa value yang kau ada? Konon-konon ambil duit untuk pelaburan, tapi produk satu haram takde!”

“Bukan ke aku dah terang tadi tentang lampu aromaterapi? Itu produk la tuh!”

“Tapi kau tak menjual pun lampu tu. Kau yakin ke lampu tu jadi kegilaan ramai kat France? Can you really sell that thing? Boleh ke kau jual kat sini? Mana target market kau?”

Kamil terdiam, kaget dengan jawapan Leman. Pantas fikirannya berputar mencari idea dan jawapan untuk memangkah Leman kembali. Hatinya mula panas. Mentang mentang kau belajar sampai universiti, pandai pandai kau keluarkan perkataan orang putih ya?

“Leman! Kalau kau tak suka dengan business ni, kau boleh berambus! Jangan pulak pandai – pandai hendak melingkupkan aku. Macam ni ke Melayu, orang nak membangun kau cantas? Macam ni ke sedara, sama – sama sedara nak bagi untung pun kau tak mahu? Aku taulah kau belajar sampai universiti, kerja elok kat bandar Kuantan tu, tapi janganlah nak berlagak sangat!”

Nyata Leman terkejut dengan jerkahan Kamil itu. Leman langsung tak sangka bahawa Kamil sanggup menaikkan isu “Melayu” dan “Saudara” dalam hal ini. Leman hanya berniat untuk menegur, namun jelas kelihatan bahawa tegurannya disalah tafsir.

Ah sudah, aku dah tercucuk naga tidur..” hati kecil Leman berkata.

Sepupunya yang lain pun hanya memberikan pandangan tajam kepada Leman seolah – olah Leman telah membawa penerangan tareqat sesat untuk memurtadkan mereka. Nyata, mereka telah terpengaruh dengan “sales-pitch” Kamil. Nyata, janji manis Kamil yang kononnya bakal memewahkan hidup mereka sekelip mata sudah membutakan logik akal.

Lima lawan satu bukanlah satu pertandingan yang adil. Leman tidak larat untuk mendengar Kamil cuba menegakkan benang yang basah. Lantas, Leman berpaling untuk beredar dari situ, menuruni anak tangga kayu rumah makcik saudaranya itu.

“Tak apalah Kamil, aku tak berminat. Balik dulu!” jerit Leman dari bawah tangga.

“Pergilah! Kau tu memang tak kenang dek untung! Pergilah kau makan gaji buta sampai mati! Kalau aku kaya, jangan kau panggil aku sedara!” jerit Kamil membalas. Sombong.

*******************************************************************************


Minggu ketiga bulan Februari. Hari Sabtu.

Kamil baru sahaja bersiap-siap untuk pergi ke pejabat “Matriks Laju Menguntungkan”, niatnya pagi itu hendak mengutip cek ketiga hasil keuntungan untuk minggu ini. Segak sekali gayanya, siap dengan kot yang masih berhutang dengan Apek penjahit baju dan tali leher berwarna biru. Lagaknya tak ubah seperti seorang CEO syarikat global yang amat berjaya. Bau badannya harum sekali disembur dengan wangian berjenama Hugo.

Selesai bersarapan, Kamil terus menaiki motosikal cabuknya ke tempat destinasi. Kamil hanya tersenyum apabila mengenangkan motosikal yang hampir tanggal itu masih lagi dia gunakan sehingga hari ini. Pakai segak tetapi naik motosikal cabuk?

Tak apalah, lepas ni untung – untung aku dapat Mercedes pula..” fikir Kamil.

Sesampainya Kamil di simpang yang membelok ke pejabat “Matriks Laju Menguntungkan”, dia terperanjat bila melihat terlalu ramai orang yang berkumpul di luar pejabat tersebut sambil menjerit-jerit. Ada yang membawa sepanduk, ada yang membawa kain rentang. Kamil berasa aneh melihat keadaan tersebut.

“Ada rusuhan apa pulak kat sini? Ini bukan pejabat UMNO atau PAS!”  getus hati Kamil.

Tertulis perkataan “Penipu! Pulangkan Duit Kami!” di sepanduk dan kain rentang. Kamil mula rasa gelisah dan gundah melihatkan kumpulan orang itu yang semakin kuat melaung dan menjerit tanda protes. Diberhentikan motor cabuknya di tepi simpang itu dan dia berjalan kaki masuk ke laman pejabat.

Semakin dekat dia dengan luar pejabat mewah itu, semakin ramai kelompok manusia yang didapatinya berkumpul dan menjerit – jerit di situ. Ada yang mengamuk, menendang-nendang segala pasu, tong sampah, dan bekas-bekas hiasan yang sebelumnya elok menghiasi luar pejabat itu. Tidak kurang juga ada yang menangis, terduduk, terjelepuk di hadapan kaca yang memisahkan ruang luar dan dalam pejabat itu.

Mata Kamil tertancap pada tubuh seorang perempuan yang sedang terduduk menangis teresak-esak di tepi tiang yang menompang bangunan pejabat itu. Eh? Bukankah itu Kak Nor?

Kamil berlari-lari anak mendekati Kak Nor. Pantas sahaja dia mengajukan soalan kepada Kak Nor..

“Kak, kak, kenapa ni kak? Kenapa ramai orang macam rusuhan ni? Kenapa akak duduk menangis kat sini kak? Kenapa ni kak? Apa yang dah terjadi?”

Hanya esakan Kak Nor yang makin jelas kedengaran. Dalam sedu-sedan Kak Nor menjawab..

“Kita dah kena tipu Kamil! Kompeni ni tak wujud lagi! Duit kita dah hilang! Kita dah kena tipu!” Kak Nor menjawab, dan kemudian tangisnya semakin kuat.

Kamil terasa dunianya berpinar. Kamil amat tak percaya berita yang baru didengarinya. Kamil tak percaya hal ini boleh terjadi. Sedang Kamil cuba menelan berita pahit itu, tiba-tiba..

 

Satu botol plastik bergolek di hadapan Kamil..

Botol hijau itu mempunyai sekeping kain di mulutnya..

Dan kain itu sedang terbakar marak..

 

Bulat mata Kamil memandang botol itu, cuba meneka apakah botol itu sebenarnya..

*******************************************************************************


Keesokan harinya adalah hari Ahad yang tenang. Leman baru sahaja balik dari pasar Kuantan, membelikan barang rumah dan sayur-sayuran untuk isterinya masak makanan tengahari. Surat khabar yang terselit di bawah ketiak dibaling ke atas sofa di ruang tamu. Bungkusan barang-barang yang penuh ditangan diberikan kepada isterinya yang setia menunggu di pintu dapur.

“Abang pergilah minum kat ruang tamu tu, nanti sayang bawakkan makan pagi ye” ujar isterinya, Yunalis.

“Iyelah. Terima kasih sayang” jawab Leman. Leman hanya mengangguk sambil tersenyum. Penat pergi membeli-belah masih tidak hilang, maka dia duduk di atas sofa di ruang tamu. Surat khabar yang dibaling tadi dikutip kembali. Tangannya menyelak mukasurat pertama apabila matanya tertancap pada tajuk berita yang terpampang di depan matanya..

“Rusuhan Akibat Ditipu MLM – Seorang Cedera Parah”

Kuala Lumpur – Akibat tertipu dengan syarikat jualan langsung bersistem matriks, seorang pemuda berusia awal 30-an cedera parah di bahagian kaki dan muka akibat letupan “Molotov Koktel” yang dibaling oleh perusuh-perusuh yang berkumpul di hadapan pejabat syarikat itu. Pejabat itu yang telah ditutup sehari sebelumnya, telah menjadi tempat rusuhan berlaku yang mana akhirnya keadaan bertukar ganas dan tidak terkawal.

Pemuda itu bernama Raja Kamil Mat Yusuf telah didapati tidak sedarkan diri akibat letupan “Molotov Koktel” yang dipercayai telah dibuat sendiri di rumah oleh perusuh-perusuh, dan secara tidak sengaja meletup di hadapannya...

“Ya Allah, Kamil!”

Dalam keadaan masih tergumam, Leman pantas mencapai telefon bimbit untuk menelefon keluarga Kamil untuk bertanyakan keadaan sebenar.

"Tutt tutt.. tutt tutt.. tutt tutt.."

Cerpen sebelumnya:
Wahyu
Cerpen selanjutnya:
Maya

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.8
6 Penilai

Info penulis

[re-arrange]

Easily triggered, hot - headed, stands by what I believe is right and logic man with a pride and ego. Have stands and my own principles. Logic before emotion. Emotionally cold and ignorant.Can be romantic at times (to the one whos dear for him), love to try everything new. Love to think, and take challenges as much fun. Ironic things cracks a laugh in me. Thoughtful is my forte. Follow my Twitter at @rearrange.
rearrange | Jadikan rearrange rakan anda | Hantar Mesej kepada rearrange

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya rearrange
Hilang | 3385 bacaan
Refleksi Diri | 3170 bacaan
Beruang Itu Tak Bersalah! | 2549 bacaan
Annoyingly Angry | 2246 bacaan
PCB#3: Saat Ginjalku Terhenti | 2894 bacaan
The Standing Ovation | 3639 bacaan
Fantasi Mental Gila | 2178 bacaan
Toyol Gendut Tali Kecapi | 3408 bacaan
Mata Hati Jiwaku | 4074 bacaan
Monologku Seorang AA (Rewrite - Versi Sopan) | 3249 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

20 Komen dalam karya Mahu Lekas Maju
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik