Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

MAAF BUAT AYAH

 

Hadilla di selubungi bingung. Pagi yang muda pada hari itu ditempohnya dengan wajah nan suram. Nalurinya berselubung kelam yang dalam. Sekitar ruang pejabat yang terkaku dalam empat tembok konkrit padu itu seakan melemaskan dirinya dalam diam. Ruang yang menjadi kebanggaan pada dirinya selama ini. Lambang gemilang dalam kerjaya.

 “Ada apa-apa yang Puan nak saya sediakan pagi ini?”. Wajah tua setiausahanya menyembul dari balik pintu gagah ruang kamar pejabatnya. Seakan berkerut keraguan melihatkan dia hadir di pejabat dengan sikap tidak acuh dan berhias wajah yang tidak beres. Tidak memberi salam kepada mereka seperti selalu.

 “Tak ada apa-apa lah kak Maznah. Cuma saya nak bersendirian rasanya hari ini. Tunda semua appointment saya ya!”. Hambar suara hadilla menjenguk rasa. Dan setiausaha yang setia berbelas tahun itu pun berlalu setelah meletakkan fail-fail urusan, secawan kopi serta sebotol air mineral di atas meja kerja di hadapannya.

 Kamar itu kembali sunyi. Hadilla menyibak tirai langsir berwarna biru laut yang menutupi jendela kaca di sepanjang sudut kanan kamar. Cahaya matahari yang muda menjingga menumpah masuk ke seluruh sudut dalam ruang. Seakan memberi nafas pada kelam suasana. Hadilla merebahkan tubuh dalam paduan kerusi empok bersadur baldu kelabu di hadapan meja kerja. Matanya mengawang ke sekitar ruang bilik  yang luas itu, seraya melayan fikiran yang tak menentu.

 Bilik itu tersusun indah dengan perabut yang mewah memenuhi citarasa korporat. Terletak meja ruang kerja beserta kerusi bergaya senada di sudut timur kamar. Seluruh ruang timur diselubungi dengan kabinet rak buku dari kayu jati mewah yang menutupi hampir separuh dinding kamar. Ia mengisi penuh segala dokumen, fail-fail kerja dan buku-buku ilmiah miliknya. Ruang jendela kaca bernada suram yang meneroboskan serakan cahaya tersusun luas menghadap seluruh ruang dinding barat. Terletak set sofa bercitarasa Inggeris yang lengkap di antara dua dinding itu, bersama pintu masuk dari kayu kukuh yang dibina di dinding perantaranya. Hampir semua sudut dilimpah dengan keutuhan warna coklat kayu jati yang memenuhi keseluruhan ruang. Warna kelabu lantai berkarpet tebal itu ikut memewahkannya

 Meja kerja yang melengkung huruf L itu ditempah khas binaan kayu nyatuh yang utuh dari luar negeri. Permukaannya bersadur kaca padu yang tebal dengan deretan ukiran-ukiran klasik gothic bersulam penuh di setiap bucu meja. Kaki empat sudutnya juga melengkung dengan gaya klasik serta bersulam dengan ukiran yang senada. Tampak mewah! Dipermukaannya tersusun kemas sederet rak tiga tingkat dengan dokumen-dokumen pejabat yang tersusun kemas di sebelah kiri. Peralatan alatulisnya tercegat kaku di sudut kanan bersama minuman yang disediakan oleh kak Maznah tadi. Di ruang tengah hadapannya pula terletak dokumen tugasan bersama buku temujanji hariannya siap untuk dirujuk.

 Hadilla mendengus lemah. Kemewahan ruang yang terhidang dihadapannya tak mampu menenangkan jiwa yang bergelora.

 “Pergilah Ila menjenguk. Dah begitu lama orang tua tu terkedang kaku di hospital itu. Nampaknya seperti masanya sudah tak lama!” Terdengar sayup-sayup suara Mak Long membujuknya malam tadi mengegar di nubari

 “Saya dah cukup baik melayan dia rasanya Mak Long. Dah tempahkan kamar yang khas untuknya di wad pertama. Siap membayar semua keperluan. Malah ada jururawat khas dibayar menjaga. Itu dah cukup baik jika membandingkan apa yang dilakukannya pada umi dan kami adik-beradik dulu.”

 “Ila masih menyimpan dendam? Dendam itu akan membakar diri, Ila. Harus dijauhkan!”

 “Saya tak mampu menjengah wajahnya Mak Long... terlalu luka!”

 Wajah Mak Long Saanah memenuhi ruang nubari. Adik umi yang berbakti menjaga mereka dan gemulah umi selama ini. Membalut luka mereka yang tercedera, setelah bubarnya tanggungjawab lelaki yang bernama ayah. Peneraju semangat hidup mereka sehingga berjaya ke hari ini. Bakti yang tak terluhur seumur hidup. Mak Long Saanah tahu apa yang mereka hadapi. Apa yang gemulah umi tempoh dengan jiwa yang lara. Bagaimana dia, tiga beradik mengaut hidup muda dengan penuh trauma. Mak Long saksi segala sengsara. Namun kini dia didesak agar menyibak luka itu kembali. Dia tak sanggup! Mak Long tidak mengerti!

 Hadilla mengeluh lemah. Jam mewah yang berpaut kaku di sudut atas pintu masuk dijerling tipis. Detak locengnya yang bergegar gagah melupus seketika fikiran yang kacau. Tepat waktu tengahari. Di luar sayup-sayup terdengar keriuhan dari suara para kakitangannya. Mungkin semuanya sibuk bergegas untuk keluar makan tengahari. Tampak sungguh lama perasaannya terjera di ruang biliknya itu. Sepanjang pagi dia tak dapat membereskan apa-apa kerja pun. Hanya melamun melayan hati kacau. Jiwa tambah pusang.

 “Pergilah Ila. Siapa pun dia, dia tetap seorang ayah yang tak dapat dicari ganti. Darahnya mengalir di setiap gerah tubuhmu. Tak dapat di kecuali!”. Suara bujukan Mak Long Saanah bergiang terus di halwa telinga. Seakan menekan-nekan dadanya yang tak kuncup debar. Hadilla meneguk rakus air mineral yang digapai dari sudut kanan meja. Cuba menyiram kepedihan dalam debaran hati. Mohon diberi ketenangan minda.

 Wajah gemulah umi yang dipotret indah di sudut dinding kamar, ditatap dengan batin yang kelam. Senyum umi yang menggoyah rasa, seakan penyejuk semangat. Hanya itu kenangan wajah umi yang diabadikan. Potret yang ditempah khas dari pelukis tersohor itu seakan hidup dalam bingkai besar bersadur rona emas. Sepasang mata bundar umi beralis indah penuh tarikan. Sinar mata itu yang menyimpan lara sampai mati.

 Umi sudah banyak berkorban. Sejak kecil mereka tidak pernah hidup dalam kesenangan. Penuh pahit dan getir. Terutamanya ketika ayah tidak henti-henti membuat onar. Ketika itu mereka hidup di sebuah pondok kecil milik nenek kepada umi. Di rumah pusaka itulah mereka membesar dan umi mendidik budi pekerti.

 Umi amat cekal jiwanya. Pelbagai kerja dilakukannya untuk menyempurnakan mereka dan membakti pada nenek yang sudah melarat tua. Siang umi berkerja di dusun pusaka milik keluarga. Adakalanya dia mengambil upah membasuh kain dan masuk ke rimba mencari herba terpilih yang mendatangkan duit. Malam pula, dia tidak pernah putus menjahit baju pada yang tekun mengupahnya. Jahitannya begitu halus sekali dan tiada tandingan di kampung mereka.

 Ayah pula jarang menampakkan muka. Sejak kecil mereka tidak pernah dilayan seadanya. Tidak bertanya khabar dan bertegur jauh sekali. Dia pulang hanya tika ingin berkehendakkan sesuatu dari umi. Justeru hanya untuk melunas hati perut. Umi selalu parah diperlakukannya. Raungan umi membuatkan mereka adik beradik saling menangis berpelukan mengincar lara malam. Tamparan, herdikan dan pukulan ayah pada ummi membesarkan mereka dalam naungan trauma.

 Hadilla masih ingat segala kemuncaknya hidup mereka di rumah pusaka nenek itu. Ketika itu dia hanya 4 tahun. Malam itu ayah pulang lagi membuat onar kepada mereka. Umi di pukul teruk dan kepalanya dihantuk keras ke lantai papan. Nenek yang cuba melerai di tolak ke luar tangga kayu yang curam hingga sampai ajalnya. Kak long yang cuba membantu umi, dihentak kayu api di kaki kanan sampai capek hingga kini. Ayah bagai dirasuk syaitan. Dia dan adik hanya saling berpelukan memandang, tanpa mampu berbuat apa-apa. Dan ayah menghilang lagi bersama barang yang dirampasnya.

 Esoknya suasana suram mengelilingi mereka. Gemulah nenek di kebumikan dengan sepenuh pilu di hati umi. Ibunya tewas ditangan suaminya sendiri. Namun umi tidak pernah kalah pada takdir yang menimpa. Umi terus bangkit. Bekerja tak behenti-henti seakan tidak menghiraukan lelah diri. Terus menbimbing mereka tampa gundah. Senyum tetap mengukir biar luka terus mencarik. Hanya tuhan yang tahu hati umi penuh duka sengsara. Ayah pula terus menghilang tidak pulang-pulang lagi. Mungkin sudah dapat apa yang dicitanya. Mereka aman buat seketika.

 Damai itu tidak lama. Hidup mereka bergolak lagi dikala rumah pusaka umi didatangi sekumpulan orang yang mencari ayah. Rusuh di wajah umi tampak tambah getarnya.

 “Kita harus pergi, nak. Kita harus tinggalkan tempat ini. Bersiaplah!”. Nada tenang yang berkisah diwajah umi mengkagetkan mereka. Mata umi yang berkaca menyulam derita pasti diingat mereka seumur hidup. 

 Mereka bergegas membungkus segala pakaian dalam selonggok kain yang besar. Segala keperluan sekolah juga tak lupa dicapai. Umi mengaul segala lauk yang dimasak ke dalam periuk nasi yang besar dan turut melonggok ke dalam sehelai kain batik untuk di gendong. Mereka meninggalkan rumah itu. Kak long dengan longgokan kain baju. Dia yang menjinjing sang adik yang terkapai-kapai mengikutinya. Umi dengan gendungan periuk di pangkuan. Mereka berjalan tanpa menoleh.

 Umi bertangis esak di sepanjang jalan. Tika itu hujan turun agak lebat, berpusar-pusar menyirami tubuh mereka. Airmata umi jatuh bergulir bersama rintis hujan ke seluruh wajah. Mereka basah kuyup lalu berlindung di parkin bas dipinggir kampung. Dari jauh dia nampak rumah pusaka nenek di runtuhkan orang. Dusun umi ditarah semuanya. Musnah begitu sahaja.

 “Mengapa mereka runtuhkan rumah kita umi? Kenapa kita kena keluar?” suara kecilnya penuh kaget meminta penjelasan umi. Umi terus termenung. Kak Long pula tak henti-henti berisak tangis menyapu air mata dengan tangan baju. Suasana begitu suram. Pertanyaan kecilnya tidak berjawab. Adik memeluknya dari belakang menahan gigil kesejukan. Umi meraih adik dalam pelukan lalu meraungkan tangis lagi. Dia terpaku tidak mengerti. Ternyata dia terlalu kecil benar waktu itu untuk memahami arti lara.

 Sepanjang malam, mereka sekeluarga bermalam di situ. Makan nasi bergaul lauk seperti rojak dari periuk nasi gendungan umi. Mulut kecil mereka disuap umi satu persatu dengan penuh sayu. Umi masih bertekad tenang. Lalu dalam gerimis malam yang membasah, mereka tidur berpelukan dalam pangkuan umi, menahan gigil sejuk. Sehinggalah Mak Long Saanah datang menjemput mereka di parkin itu. Ajak ikut hidup bersamanya di kota besar ini. Melayar hidup baru yang lebih sempurna.

 Setelah dia meningkat remaja, barulah pertanyaan masa kecilnya terjawab. Kaki Kak Long yang jadi capek dipukul ayah. Geran pusaka nenek yang dirampas ayah lalu di gadaikan pada pemiutang. Tanah dan rumah nenek dirampas juga atas ulahnya. Ayah membuatkan umi hilang segalanya. Ayah juga membunuh nenek yang tidak berdosa. Ayah terlalu kejam!

 Hadilla menyapu air mata yang bergulir pada kedua belah pipi. Sedan kecilnya meluruh segala kesedihan hati. Kenangan itu terlalu pahit untuk ditelan. Sungguh kelat untuk di kenang. Kisah pertemuan semula dengan ayahnya kini mengincar-incar hatinya tambah hancur. Luka lama berdarah kembali. Kenapa ayah harus muncul lagi, merobek hati mereka ke gaung yang dalam? Kenapa dia mencari mereka lagi? Mereka tak perlukan pertemuan ini! Tidak idamkan sama sekali!

 “Puan, kami nak keluar ni untuk makan tengahari. Puan nak kirim apa-apa? Puan ok ke?” Teguran kak Maznah, setiausahanya di balik pintu bilik, membuatkan lamunannya mati andar. Hadilla cepat-cepat menyeka air mata yang membasah di pipi.

 “Takpe lah, kak Maznah. Saya pun nak keluar ni. Tak balik lagi petang nanti”

 “Baiklah Puan. Saya pergi dulu ya!” kak maznah tergegas berlalu seraya menutup pintu kayu kukuh itu penuh teliti. Seakan gugup melihatnya dalam emosi yang seperti itu. Tampak aksi yang salah tingkah.

 Hadilla merapikan solekan di mata. Kunci kereta di genggam dari atas meja lantas mencapai beg tangan di laci kanan. Dia mahu keluar dari ruang yang melemaskan itu. Lari menenangkan diri.

 *****

 

Kereta dipandu meluncur laju di jalanan. Hadilla masih termangu-mangu mengemudi tanpa arah tujuan. Dia mati kutu. Fikirannya menerawang entah ke mana. Tingkap sisi keretanya dibuka bersama deru aircon yang masih terus melancar di ruang dalam. Angin yang deras menyibak-nyibak wajah dan rambutnya yang terurai. Angin juga mengibar-ngibar baju kurung hijau daun pisang yang dikenakan. Turut menyelak-nyelak lengan baju bersulam rajut di tangan kiri yang memegang kemudi. Sehingga parut itu jelas ternampak

 “Apa yang kau nak tenguk sangat ha! Suka sangat nak tenguk! Kau kemari sini. Aku tunjukkan kau yang nak tengok sangat tu! Kemari kau!”. Ayah mengheretnya ke dalam kamar umi. Dia ditangkap mengintai ayah yang sedang sibuk mengulung sesuatu di balik pintu kamar. Ayah membanting tubuhnya yang kecil itu tanpa belas kasihan. Tangan kecilnya sakit terpulas dalam genggaman tangan kekar ayah

 “Sakit ayah! Sakit! Jangan ayah! Sakit!” Raungannya memecah keheningan rumah pusaka. Umi tiada di waktu itu, kerana sibuk membasuh baju di rumah makcik Gayah. Nenek turut mengikut sambil menjenguk anak makcik Gayah yang bersalin zuriat pertama. Ayah menenyeh-nenyeh puntung rokok daun yang berbara ke lengannya sambil bergilir-gilir menyedutnya mengepul bara. Dia meronta-ronta menahan kesakitan. Ayah tidak peduli, malah tertawa seperti tidak siuman lagaknya. Mata ayah merah seperti dirasuk iblis dan berkhayal entah apa-apa. Seakan terhibur melihat dirinya yang masih kecil itu teronta-ronta menahan sakit. Peristiwa itu berulang-ulang sehingga hampir seluruh tangan kecilnya berbirat kesan cucuhan. Lebam-lebam di belakang tubuh kecilnya tak terkira, gara-gara penangan sepakan kaki ayah. Terlalu kejam!

 “Honnnnnnnnnn!” Bunyi kenderaan dibelakang mematikan lamunannya lagi. Dia menekan minyak, meluncur laju keretanya melintasi lampu merah. Airmatanya masih merembes jatuh. Esakan halus masih menaungi isi dada. Hatinya sebak. Dia memutuskan untuk behenti di pinggir pantai Danga yang panjang menjajar di tepi jalan itu. Menyambut sendu hati.

 Langit yang membiru tampak suram di balik kepulan awan komulus yang putih samar. Hadilla menenladahkan wajahnya. Membiarkan angin laut yang bersemilir mencecah lembut ke seluruh wajah. Tak peduli bahang matahari yang ikut menyentuh hangat kulitnya di tengahari itu. Dia nampak wajah umi di situ. Wajah dengan senyum penyejuk yang abadi.

 Wajah tenang umi melayar di matahati. Dia masih ingat di saat umi dilanda nazak hampir dipukul maut. Wajah umi tetap tenang. Umi jatuh ketika mengambil wudhuk di pagi hening itu. Jeritan Mak Long Saanah mengejutkan mereka adik beradik di bilik masing-masing. Kak Long memangku kepala umi yang berkerudung putih bersiap solat subuh. Wajah umi tetap segar menatap wajah mereka, adik-beradik satu persatu.

 “Umi akan pergi! Rasanya masa telah tiba. Kak Long jagalah adik-adik ya! Jejak lah ayahmu. Maafkan lah dia. Ayahmu cinta umi yang tiada tara. Biarpun dibalas tuba, dia tetap suami umi. Ayahmu jua. Maafkanlah dia. Kerana umi sudah lama memaafkan..”

 Umi berlalu tanpa rengkuhan sakit. Begitu tenang. Wajah umi yang memutih mulus persis manusia yang tidurnya dalam aman nyenyak. Senyum tetap terukir tanda jiwa nan damai.

 Hadilla berdesah pilu. Angin yang membelai wajahnya seakan tangan umi yang mengelus mesra. Airmatanya mengering dalam sejatan angin. Memaut damai.

 “Memaafkan itu amat indah, Ila. Contohilah umimu. Dia pergi dalam damai, kerana ada maaf dalam hati. Tiada dendam dibawa pergi dalam jiwa”. Bujukan Mak Long Saanah bergiang lagi. Seakan mempuput rasa

 Hadilla meneruskan pemanduannya lagi. Kereta Honda mewah itu meluncur laju di jalan aspal yang berwap bahang matahari, lantas memasuki ruang bangunan berwarna putih berbumbung merah yang tersergam besar di hadapannya. Hadilla terus terpaku menatap bangunan itu. Telefon tangannya tiba-tiba berdering.

 “Kau kemana Ila. Dia sudah nazak. Datanglah!” suara lengkingan Mak Long mengejutkan dirinya yang kaku. Dia tersentak seperti dilanda halilintar. Bagai mendapat semangat baru, dia keluar dari perut kereta lantas berlari anak memasuki ruang bangunan itu. Ke wad kelas pertama

 Hadilla melihat Mak Long saanah di ruang menunggu. Di tangannya memaut surah kecil yasin sambil mulutnya berkumat kamit mengalunkan ayat suci itu. Hadilla melangkah perlahan ke arahnya. Maklong berdiri menatapnya dengan mata berkaca.

 “Akhirnya, kau datang juga iIa!”, ucap Maklong perlahan. Ada haru pada nada suara itu.

 Hadilla memeluk Maklong erat. Seakan mahu melepaskan segala gemurat hati. Air matanya merembes lagi tanpa lelah.

 “Ila!”.

 Terdengar panggilan untuknya dari arah belakang. Hadilla menoleh. Dilihat Kak Long terjengkot-jengkot dengan kaki yang capek itu, melangkah ke arahnya penuh sayu. Kaki capek ulahan ayah. Bibirnya menguntum senyum haru. Tangan kanan menjinjing sang adik yang turut ikut serta. Adiknya yang belajar di Amerika itu seakan muncul mengejutkannya. Bilakah dia pulang? Hadilla terpana. Mak Long Saanah mengucap alhamdulillah dalam hati. Mereka adik beradik seakan berjanji untuk berkumpul di sini.

 “Kita akan sama-sama menempuhnya, Ila! Kita akan sama-sama tunaikan hasrat umi!”. Kak Long berucap tegas. Seakan memberi semangat kepada mereka adik beradik. Tangan mereka berpaut erat dalam genggaman padu.

 “Kak Long sudah memaafkan?”

 “Kita cuba memaafkan. Demi umi!”. Airmata bergulir di pipi kak Long. Adik sudah tersedu tangis. Maklong juga masih menangis haru.

 Mereka menyelak daun pintu putih wad kelas satu itu dengan jiwa yang sengaja didamaikan. Debaran masih penuh mengisi dada. Terlihat seorang tua terbaring lesu di atas katil serba putih. Wajahnya terlihat amat tua menanggung derita jiwa. Mata tua itu menatap mereka dengan kebil-kebil tidak percaya. Ada gurasan kesal penuh diwajahnya. Mata tua itu berkaca-kaca

 “Anakku! Maafkanlah ayah! Maafkan ayah!”

 Suara tua itu beringis bercampur sendu. Penuh derita. Mereka adik beradik mengamit haru. Airmata pecah di setiap wajah

 “Ayahhh!”

*******

Buat teman-teman di kapasitor

SELAMAT HARI BAPA

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) trimasih....nak! ahak ahak
  • 2) ceta ne best+kejamnya si ayah+murninya hati umi...memaafkan itu yang terbaik tp x taula dpt buat ke x..
  • 3) ah hebatlah!
    pembinaan watak yang kuat dan jalan cerita yang lancar. hehe saya suka cerita ni. maaf tak pandai komen cerpen...

    terima kasih jemput baca, best. selamat hari bapa!
  • 4) Kak Adreena!! Saya benar-benar menjiwai setiap watak yang ditulis. Seolah-olah saya adalah setiap watak itu. Sepeti biasa, sangat sarat dengan perasaan. Oh, ada manik-manik putih yang berladung di kolam mata. Saya yakin ia pasti akan jatuh berjuraian juga.

    Saya sangat suka yang ini antara koleksi cerpen Kak Adreena. Pengolahan yang sungguh baik. Sungguh melankolik! Ah, saya harus berhenti sebelum benar-benar diasak hiba.

    Tahniah kak! (bangun sambil bertepuk tangan)
  • 5) tiada kata yang dapat diucapkan..
    cerpen ini sememangnya menyentuh hati..
    tahniah kak!
  • 6) it's a good story overall. I love how you used such indah words to convey your story. However I felt that the description of the office is a bit too much. XD
  • 7) kak, cerita yg bgus! rasa nak menangis, sgt terasa.
  • 8) ok malaikat~

    malangnya saya bukan.
  • 9) tidak semudah itu

    kn syud kn
  • 10) common syud&aisyah, memaafkan tu kan lebih baik. satu part cerita ni yg bagus biler kita melupakan dendam, supaya hati kita akn jd tenang.
  • 11) memaafkan itu lbh baik.. mmg kita akan jd tenang bila melupakan dendam..

    tp x mungkin semudah itu kot.. *ini berdasarkan pemerhatian la*

    klu diri sndr x tau

    tp sy tetap sokong ape yg bot ckp tu
  • 12) nice story..
    forgive but not forget...

  • (Penulis)
    13) sebenarnya betul yang qaima ckp tu... forgive but not forget... itulah teman cerita ni sebenarnya...

    watak2nya tak ucap pun diorang ikhlas memaafkan... ending nya sengaja dibuat begitu, supaya pembaca memikirkan sendiri apa baik buruk kesudahannya...

    namun memaafkan itu memang indah... namun tak semua mampu menunaikannya..
  • 14) forgive tu of cosss...

    forget? i dun think so~ huhu
  • 15) jalan cerita begini dah banyak kali kita baca, tapi akak olah emosi watak dan reka plot tu jadikan cerita ni sangat bermaya. uhuu.

    betul ke eh ada org laki sekejam tu dan isteri sebaik tu?

    (dalam konteks ini, bagaimana aplikasi lelaki yg baik utk wanita yg baik serta sebaliknya?)
    sekadar bertanya, bukan menyoal.

  • (Penulis)
    16) ada kes-kes begini, cahatomic... sangat banyak...
    akak sendiri pernah melihatnya, malah lebih teruk lagi pun ada...
    semasa ikut kerja sukarela 3 tahun di Rumah Perlindungan Wanita MAWAR, Larkin

    kisah ni adalah kisah benar seorang perempuan bernama soeraya...
    Dia berlindung di pusat kami kerana jadi orang tak berumah..
    cuma bezanya, lakinya tak insaf lagi...
    Anak2nya masih trauma dan belum besar dewasa, untuk mengenal arti memaafkan

    Memang lelaki baik untuk perempuan yang baik...
    namun ada juga dugaan tuhan pada perjodohan..
    Moga ada hikmah soeraya itu bisa bertemu jodoh yang baik setelah ini...
  • 17) Teringat kata-kata seorang anak mangsa dera;

    SAYA SAYANG AYAH, TAPI AYAH PUKUL SAYA!!


    dammm you!!!
  • 18) dah laluinye...
    ssh nk pdam dndam tu..
    bkn sng....
  • 19) datang membaca
  • 20) setuju dengan jasper, olahan description ofis macam terlalu banyak. tapi mungkin nak menunjukkan ironi sarat ofis vs kosong hati dilla.

    anyway, gaya bahasa kak adreena memang tak pernah kalah! menangis jugakla baca cerpen ni. haha

  • (Penulis)
    21) ismal...
    ni karya lama sekali... ketika tu baya2 ismal... dara lagi.. hehe
    memang banyak kesilapan yang dipelajari semula dari cerpen in i...
  • 22) sangat mengharukan.
    boleh rasa sesak, kosong, derita setiap watak.
    yeah, it's easy to forgive but hard to forget.
    semoga iman menandingi segala.

    cik adreena, cayalah!

Cerpen-cerpen lain nukilan adreena

Read all stories by adreena