Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Kemaafan Dendam Yang Terindah

Cerpen sebelumnya:
July's Night (seram)
Cerpen selanjutnya:
Xie-xie Ni

            “Bunga lagi?” Kavitha mengangkat keningnya sebaik sahaja Salma tiba di meja kerjanya. Salma hanya mendiamkan diri namun di dalam hatinya turut bertanya soalan yang sama. Salma menghenyakkan punggungnya ke atas kerusinya yang dilapik dengan bantal kecil empuk yang dibeli ketika membuat liputan berita di Acheh dulu.

            “Cemburu sungguh aku dengan kau ni Salma. Dahlah popular, peminat mesti ramai. Yang kasi bunga ni mesti salah seorang peminat fanatik kau!” Kavitha mencubit lengan Salma sebelum dibalas Salma dengan tamparan ke pinggulnya. Salma hanya tersenyum mendengar usikan Kavitha.

            “Entahlah Kavitha, aku pun pelik dengan bunga yang setiap hari ada di atas meja aku ni. Kalau sehari dua tak apa, ini sudah seminggu. Mawarlah, tulip, kekwa, hari ini lili. Aku takut, selagi tak habis bunga kat dunia ni, selagi itulah pengirim bunga rahsia akan terus menghantar bunga,” Salma membelek-belek jambangan bunga lili yang dibalut cantik dengan kepingan kertas lutsinar bercorak dan ikatan reben berwarna keemasan. Kavitha membuat riak wajah menyampah pada Salma. Salma hanya ketawa kerana dia tahu benar perangai, Kavitha, kawannya semenjak di universiti ini memang gemar bergurau. Tiba-tiba, terjatuh sekeping kad dari celahan jambangan bunga lili itu. Salma segera membongkokkan badannya dan mengutip kad ucapan itu.

            “Eh, bacalah cepat apa yang tertulis dalam kad itu!” Kavitha separuh menjerit mengucapkan kata-katanya itu. Dia teruja ingin mengetahui identiti peminat rahsia Salma. Jeritannya menarik perhatian beberapa rakan pejabat yang sedang melakukan tugas masing-masing.

            “Kau ni, bisinglah! Sabar, aku nak bacalah ni.” Salma membuka lipatan kad ucapan itu dan membaca apa yang tertulis di dalamnya dalam nada berbisik agar dapat didengari oleh Kavitha.

            “Dari yang amat mengagumimu, Zayd.” Salma terpegun seketika membaca kenyataan itu. Matanya membulat. Andai benar ini peminat rahsiaku, namanya, namanya seperti nama…

            “Itu saja? Itu saja klu yang diberi si Zayd ni? Aiii, sampai ke tua lah kita tak tahu siapa peminat kau ini Salma,” Kavitha mencebikkan mulutnya. Salma melipat semula kad ucapan itu, menyelitkannya kembali ke celahan jambangan bunga dan meletakkan jambangan bunga lili itu ke sisi mejanya agar tidak menganggu perjalanan kerjanya hari ini. Salma sekali lagi membalas keluhan Kavitha dengan senyuman sambil membuat isyarat tangan agar Kavitha kembali ke meja dan menyambung kerjanya. Dia merasakan tidak ada apa yang dapat diulas atau dikomen olehnya tentang jambangan bunga, kad ucapan, mahupun Zayd ini sendiri. Lagipun, draf soalan temubual dengan Menteri Alam Sekitar yang belum disiapkannya adalah lebih penting dari hal itu. Dia tak mahu hanya kerana soal peribadi, profesionalisme yang sudah sebati dalam kerjayanya terjejas.

            “Oh, macam inilah kawan. Dah ada peminat rahsia terus kawan baik dihalau!” Kavitha tersengih pada Salma sebelum melangkah pergi dari meja Salma. Salma melambai-lambaikan tangannya pada Kavitha sebelum menyelak helaian-helain kertas yang tersusun kemas di dalam raga berlabel ‘DRAF’ di hadapannya. Tiba-tiba, telefon mejanya berbunyi. Salma agak terkejut, kerana di fikirannya, masih terselit persoalan tentang siapakah Zayd. Dia mengangkat telefon yang semakin bingit berdering.

            “Hello, Salma, TV6, siapa di sana?” Sunyi seketika di hujung talian.

            “Hello?” Salma mengulangi sapaannya.

            “Hello…” terdengar suara di hujung talian yang memang amat dikenali Salma. Suara yang sudah lama tidak didengarinya. Suara yang dulu pernah melukai hatinya.

            “Kenapa telefon? Kalau bukan disebabkan soal kerja saya, atau kematian, atau kecemasan, rasa-rasanya tak ada sebab untuk menelefon saya,” Salma cuba mengawal emosinya.

            “Banyak sebabnya, banyak yang perlu diselesaikan,” suara di hujung talian makin mendesak. Salma mencebikkan bibirnya. Matanya mulai berkaca. Bagi Salma, kelukaan dalam hatinya tiada penyelesaian. Lukanya sudah berparut, entah ubat apa yang mampu menghilangkan kesan itu.

            “Kedegilan dan dendam tak akan memimpin kita ke jalan bahagia,” getaran suara di hujung talian menandakan kesedihan yang turut sama dialaminya.

            “Ini bukan kedegilan atau dendam. Ini zuriat ketidakadilan,” Salma meletakkan gagang telefon sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya. Air mata yang sudah tidak mampu diempang mengalir deras di pipinya yang kemerahan. Sedu-sedannya menarik perhatian Kavitha yang sedang membuat fotokopi berhampiran mejanya. Kavitha segera menuju ke arah Kavitha.

           “Dia?” Kavitha dapat meneka punca Salma menangis. Salma mengangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiakan soalan yang ditujukan Kavitha. Dia tak mampu berkata-kata.    

            “Apa yang dia nak?” Kavitha memegang tangan Salma untuk menenangkan sahabat karibnya itu.

            “Dia nak berjumpa. Selepas enam tahun, baru dia nak jumpa aku..” Salma menjawab juga soalan Kavitha dalam sedu-sedannya. Kavitha terdiam seketika. Dia menggenggam erat tangan Salma seolah-olah meminjamkan kekuatannya kepada Salma.

            “Pergilah Salma, pergi jumpa dengannya. Siapa tahu, kali ini segala-galanya akan baik semula. Mungkin ada alasannya kenapa dia tak pernah cuba mencari kau selama ini,” Kavitha menasihati Salma. Padanya, cukuplah penderitaan jiwa yang selama ini disimpan oleh Salma. Walaupun pada zahirnya Salma penuh keyakinan dan kegembiraan, namun, rahsia ini hanya dia yang tahu. Salma memandang tepat ke anak mata Kavitha tanda mendapatkan kepastian tentang cadangan yang diutarakan oleh Kavitha tadi. Kavitha mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia yakin, ini yang terbaik untuk Salma.

*****************************************

            “Salma, ibu tak faham apa yang ada dalam kepala Salma? Tak pernah terlintaskah  dalam fikiran Salma yang ibu buat pilihan ini sebab ibu sayang pada Salma!” Suraya mengetuk-ngetuk pintu bilik anak perempuannya itu. Dia merajuk lagi. Merajuk dengan kedegilan ibu yang tidak pernah cuba memahami kehendak hatinya.

            “Cuba tengok macam Saloma, dia ikut cakap ibu. Buat apa yang ibu suruh. Cemerlang pula tu. Kejayaan menantinya di hadapan,” Suraya masih lagi cuba memujuk Salma.

            Tiba-tiba, pintu bilik yang terkunci tadi terbuka. Salma berdiri di hadapan ibunya dengan mata yang kemerahan.

            “Saloma? Semuanya tentang Saloma, kan? Hanya kerana dia cemerlang dalam sains, matematik biologi, fizik, tak bermakna dia lagi bagus daripada Salma! Salma bagus dalam sejarah, bahasa Inggeris, aktif dalam kokurikulum, tapi ibu tak pernah pandang semua itu! Ibu Cuma nampak apa yang lebih pada Saloma si ulat buku tu. Kalau tak kerana kami kembar, mesti Salma dah ingat yang Salma anak angkat ibu!” Salma menghempas pintu biliknya. Kegeramannya meluap-luap. Air matanya deras mengalir di pipinya yang merah kepanasan. Hari ini dia puas meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Dia mahu ibu tahu bahawa hatinya terluka setiap kali dibandingkan dengan adik kembarnya sendiri. Dia mahu ibunya tahu bahawa jiwanya sengsara setiap kali guru-guru di sekolah membandingkan reputasi dia sebagai anak pasangan doktor, tetapi tidak mampu cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Biar ibu tahu, Salma ini ingin membuat keputusan hidupnya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

            Suraya kaku di hadapan bilik Salma. Dia tidak pernah menduga akan mendengar apa yang baru sahaja didengarinya dari mulut Salma. Suaminya yang dari tadi sekadar mendengar apa yang terjadi dari ruang tamu pergi mendapatkan Suraya untuk memujuknya.

            “Sayang, abang rasa kita memang agak mendesak. Salma lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Salma dan Saloma dua individu yang berbeza. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan tersendiri. Biarlah Salma tentukan sendiri bidang apa yang ingin diteruskannya di universiti kelak.” Suraya memeluk suaminya. Dia tidak menyangka niatnya yang hanya ingin melihat kejayaan anak-anaknya menjadi suatu tekanan kepada Salma, dan akhirnya, menjadi satu tamparan yang hebat pada dirinya sendiri.

****************************************

            Restoran kek yang bakal menjadi tempat pertemuan dua jiwa yang sudah lama terpisah ini kelihatan lengang dan sunyi. Salma melihat jam tangannya. Sudah pukul 10:15 pagi. Jiwanya bergelora.Walaupun Kavitha menawarkan diri untuk menemaninya, namun baginya, biarlah hal ini diselesaikannya sendiri.

            “Minta maaf terlambat, tadi ada pesakit yang datang secara tiba-tiba. Tak bolehlah nak mengelak dari kerja. Apa khabar, kakak?” Saloma memulakan perbualan sebaik sahaja dia sampai dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang berhadapan dengan Salma. Salma hanya menganggukkan kepalanya bagi menjawab soalan adiknya itu. Sudah lama mereka tidak bertemu. Salma menatap wajah adiknya lama-lama. Entah bagaimana, walaupun umur mereka sama, namun Salma dapat melihat kematangan terpancar dari riak wajah adiknya itu. Mungkin bebanan tugas sebagai seorang doktor telah mencuri masa adiknya untuk memanjakan diri. Pandangan dingin Salma kepadanya menyebabkan Saloma menjadi agak gundah.

            “Lama tak jumpa. Kakak nampak hebat,” Saloma cuba menghidupkan perbualan sekali lagi. Saloma tidak akan berputus asa. Kedinginan Salma akan dicairkannya dengan penjelasan yang akan menjernihkan segala-gala kekeruhan yang mencemari perhubungan mereka selama ini.

            “Terima kasih. Kakak gembira dengan hidup kakak,” Salma menekankan perkataan ‘gembira’ di hadapan Saloma. Saloma faham apa yang cuba disampaikan Salma. Menjadi seorang wartawan memang impian Salma. Dia sanggup melawan ibu hanya kerana ingin menegakkan pendiriannya. Saloma gembira mendengarkan kegembiraan kakaknya itu.

            “Tujuan Saloma ingin berjumpa kakak sebab Saloma ingin meminta maaf akan kejadian yang berlaku enam tahun lepas,” Saloma menundukkan kepalanya. Mata Salma berkaca apabila Saloma mengungkapkan kata-kata itu. Kepedihan itu masih dirasakannya.

            “Kak, saya bukan sengaja menjerkah kakak di hadapan saudara-mara kita. Tak terniat di hati saya untuk memalukan kakak. Cuma waktu itu, saya sudah tak dapat menahan kemarahan saya, kegeraman saya. Andai kakak berada di tempat saya ketika itu, kakak pasti akan memaafkan saya hari ini,” air mata Saloma semakin laju menitis.

            “Kau panggil kakak anak derhaka, dik…anak derhaka,” Salma menekupkan wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan.

            “Kak, semenjak ayah meninggalkan kita selama-lamanya akibat kemalangan yang menimpa kedua ibu bapa kita, ibu yang lumpuh, semakin kesunyian. Di rumah tempat kita membesar itulah ibu menghabiskan hari-hari terakhirnya merindui arwah ayah, merindui kita, kak. Tapi, kerana dendam dan salah sangka yang kakak simpan selama ini, kakak tak pernah sekalipun melawat ibu. Setiap kali Hari Raya menjelma, saya tahu kakak sengaja menawarkan diri untuk membuat liputan di luar negara agar dapat memberi alasan pada ibu mengapa kakak tak dapat pulang ke kampung. Kak, TV6 sentiasa ibu pasang. Dia takut andai terlepas sebarang liputan yang kakak lakukan, dan setiap kali menonton kakak di kaca TV, ibu akan menangis,” Saloma berhenti berkata-kata. Sedu-sedannya menyukarkan dia untuk menyambung kata-kata. Dia memandang ke wajah Salma yang sudah mula menunjukkan riak kekesalan. Saloma cuba menenangkan dirinya. Dia perlu mengumpul kekuatan untuk meneruskan ceritanya agar Salma akan faham apa yang telah terjadi selama ini.

            “Kak, saya yang menjaga ibu sebelum ibu pergi meninggalkan kita. Hari-hari, ibu menangis, merayu kepada saya supaya pergi mencari kakak dan membawa kakak pulang. Ibu ingin sekali bertemu dengan kakak untuk meminta maaf, untuk menyatakan penyesalannya kerana tidak pernah cuba memahami kakak. Hati saya bagai dihiris-hiris apabila mendengar rintihan ibu. Saya hubungi kakak dengan nombor telefon bimbit terakhir yang kakak berikan pada ibu, namun saya tahu, kakak sudah menukar talian. Saya telefon kakak di pejabat, berkali-kali meninggalkan pesanan, namun tak pernah kakak balas. Besar sangatkah dosa ibu kepada kakak sampai kakak buat ibu begitu? Besar sangatkah kesalahan ibu hanya kerana cuba memikirkan yang terbaik untuk anaknya sendiri? Saya tahu, kakak juga membenci saya, tapi ketahuilah kakak, saya tak pernah merasakan bahawa ada di antara kita yang lebih disayangi oleh ibu, kerana saya hanya mengikut kata ibu untuk menggembirakan hatinya. Menggembirakan hati insan yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik kita. Perlukah kakak membenci saya kerana semua itu?” Saloma mengeluarkan sekeping tisu dari beg tangannya untuk mengelap air matanya yang semakin deras mengalir. Salma hanya terdiam mendengar kata-kata Saloma. Entah mengapa, penyesalan menghempap dirinya seolah-olah langit menghempas bumi. Entah mengapa, Salma tidak pernah memikirkan semua itu tika dia menghidupkan bibit-bibit benci kepada ibu dan Saloma. Entah mengapa kini, dia terasa ingin mengulangi masa, berjumpa dengan ibu dan mencium kakinya memohon ampun. Tapi, semua itu sudahpun berlaku. Hanya kesedihan dan kekesalan yang membalut hatinya kini.

            “Kak, saya berjumpa kakak bukan untuk menghimpit jiwa kakak dengan rasa bersalah. Bukan untuk membuat kakak rasa teruk dengan diri sendiri. Saya hanya ingin kakak fahami sebab mengapa saya memarahi kakak di hari pengkebumian ibu dulu. Kak, kakak lambat tiba. Ibu meninggalkan kita berdua dalam kerinduannya pada kakak. Nama kakak disebutnya sebelum mengungkapkan dua kalimah syahadah dan meninggalkan dunia ini di atas pangkuan saya. Bila melihat saja muka kakak di hari itu, kemarahan dan kegeraman ini tak dapat dibendung lagi. Saya minta maaf, kak. Saya minta maaf,” sedu sedan Saloma yang semakin kuat menarik perhatian pekerja restoran yang sedang melakukan tugas masing-masing. Salma memejamkan matanya. Dia merasa kehilangan buat seketika. Perlahan-lahan, dia membuka matanya, dan memegang tangan Saloma.

            “Dik, akak yang bersalah. Selama ini, kakak hanya memikirkan tentang diri sendiri. Rupa-rupanya, bukan ibu, tetapi kakak yang tak pernah cuba memahami hati dan perasaan orang lain. Kakak yang degil, dik. Kakak yang bersalah. Kakak yang patut minta maaf,” Salma menggenggam erat tangan adik kembarnya itu. Saloma mengangguk-anggukkan kepalanya. Saat itu, Saloma dan Salma dapat merasakan dua jiwa yang merindui satu sama lain selama ini, bertaut kembali. Salma dan Saloma ingin mencipta kebahagiaan di hadapan mereka. Tiada apa lagi yang mampu memisahkan mereka berdua lagi.

            Tiba-tiba, telefon bimbit Saloma berbunyi. Saloma segera menjawab panggilan itu.

            “Kak, ada kecemasan di hospital. Saya terpaksa mengundurkan diri dulu. Tak puas rasanya bertemu dengan kakak. Oh, macam inilah. Apa kata kakak datang ke rumah saya untuk makan malam hujung minggu ini? Lagipun ada sesuatu yang ingin saya sampaikan pada kakak” Wajah Saloma bercahaya dengan penuh harapan yang Salma tidak akan menolak permintaannya. Salma mengungkapkan persetujuannya. Selepas mereka sama-sama bertukar nombor telefon dan alamat rumah, Saloma bergegas pergi. Salma menyandarkan dirinya ke kerusi yang sedang didudukinya. Jiwanya terasa berat. Mungkinkah benar dia seorang anak derhaka? Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga…air mata Salma mengalir laju.

*****************************************

            Salma melangkah masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat milik Saloma dan suaminya yang juga seorang doktor. Salma kagum melihat hiasan dalaman rumah Saloma yang sangat indah. Sesuailah dengan status dia dan suaminya, bisik hati kecil Salma. Saloma memimpin tangan Salma ketika membawanya ke ruang tamu.

            “Kak, ini suami saya, Azman,” Saloma memperkenalkan suaminya yang membuat riak wajah terkejut melihatkan persamaan ketara antara wajah isterinya dan Salma.

            “Pertama kali lihat Salma di TV saya memang terkejut, tapi lama-lama dah biasa. Saloma dah ingatkan saya supaya bertenang hari ini, tapi saya masih lagi terkejut melihat awak hari ni.” Jenaka Azman membuatkan Saloma tersenyum.

            “Tak sangka doktor pun pandai bergurau,” Salma membalas jenaka Azman.

            “Kak nak makan dulu ke?” Saloma bertanya pada Salma. Salma terdiam buat seketika.

            “Tadi kakak baru lepas buat liputan di Putrajaya, ada jamuan sikit tadi. Mari kita bersembang dulu,” Salma melabuhkan punggungnya ke atas sofa ruang tamu yang diimport khas dari Itali. Saloma menuruti cadangan kakaknya. Azman memberikan privasi kepada kedua-dua adik beradik itu dengan mendaki anak tangga menuju ke kamar tidur.

            “Kak nampak resah. Ada apa-apa yang menganggu fikiran kakak?” Saloma memegang erat tangan Salma.

            “Dik, kakak merasa sangat berdosa pada ibu. Ibu pasti kecewa, benci pada kakak. Kakak tak dapat hilangkan perasaan bersalah itu, dik,” mata Salma berkaca. Saloma hanya tersenyum.

            “Kak, kan antara tujuan saya mengundang kakak ke rumah saya ni untuk menyerahkan kakak sesuatu?” Saloma mengeluarkan sekeping surat dari beg tangannya yang terletak di atas meja kopi di hadapan mereka berdua. Salma mengambil surat itu dari tangan Saloma. Dia segera membuka lipatan-lipatan surat itu. Air matanya mula mengalir apabila menatap tulisan yang tertera pada surat itu. Dia kenal benar akan gaya tulisan itu.

 

Sayang ibu, Salma,

            Ibu faham akan kemarahan dan kebencian yang terbuku di hati Salma. Ibu tahu Salma sering menyangka bahawa ibu tak pernah cuba memahami diri, hati, jiwa dan perasaan Salma. Ibu tahu, Salma sering menyangka bahawa ibu selalu melebihkan Saloma. Ibu ingin meminta maaf andai benar semua ini dirasai oleh Salma. Ibu hanya ingin menyatakan pada Salma yang ibu cuma ingin memberi dan menetapkan apa yang ibu rasa terbaik dalam hidup anak-anak ibu. Namun, ibu sebenarnya gembira apabila Salma menegakkan pendirian Salma sendiri. Andai kata Salma tidak berbuat demikian, ibu rasa tidak mungkin Salma akan menjadi seceria, segembira yang dapat ibu saksikan dan dengar tentang kehidupan Salma dari Saloma.

 

Salma,

            Ibu berharap benar dapat berjumpa dengan Salma. Teringin melihat senyuman ceria yang penah dulu ibu saksikan sewaktu Salma masih kecil. Ibu amat merinduimu. Walaupun Saloma ada menjaga ibu, tapi ibu juga inginkan belaian dari Salma, anak ibu yang degil tapi penuh dengan keyakinan diri. Ibu tahu, mungkin pada Salma, cukuplah Saloma, anak kesayangan ibu ada di sisi, tapi ibu sayangkan Salma juga. Mungkin kerana Saloma sering menurut kata ibu, perhatian ibu agak lebih kepadanya.

 

Salma,

            Apa yang setiap ibu di dunia mahukan adalah kebahagiaan dan kejayaan untuk anak-anak mereka. Ibu bangga melihat kedua-dua anak ibu berjaya dalam hidup dan kerjaya masing-masing. Cuma apa yang ibu harap, tiada dendam yang tersemat lagi di hati kita. Dan andai kata kita tak dapat bertemu lagi, ibu hanya ingin Salma tahu bahawa ibu tidak pernah marahkan Salma. Ibu tahu, ini cuma salah sangka di antara kita semua.

 

                                                                                                            Yang menyayangimu,

                                                                                                           

                                                                                                                        IBU    

 

            Salma menangis sambil membaca apa yang dicoretkan oleh arwah ibunya. Jiwanya terasa ringan, tenang apabila mengetahui perasaan ibunya. Salma melipat kemas semula surat itu dan mengenggamnya erat. Dia mengalihkan pandangan kepada adiknya yang sedang menangis dalam senyuman di sisinya.

            “Dik, kakak ingin mengucapkan terima kasih kerana menyempurnakan impian ibu yang tidak dapat kakak realisasikan,” Salma memeluk adiknya. Saloma tidak dapat membalas kata-kata Salma. Dia hanya mampu memeluk erat kakaknya itu.

            “Dik, kenapa adik tunggu enam tahun untuk memberitahu kakak semua ini?” Salma mengerutkan dahinya sambil melepaskan pelukan mereka berdua. Saloma terdiam seketika.

            “Kak, kalau boleh saya tak mahu lagi berjumpa dengan kakak kerana malu dengan diri saya sendiri selepas peristiwa di hari pengkebumian ibu. Saya sentiasa tertanya-tanya samada kakak sudah memaafkan saya atau belum. Namun, kerana surat amanah ibu ini, saya tabahkan hati untuk menghubungi kakak. Malahan, Azman juga merasakan bahawa sudah tiba masanya kami merungkai kekeliruan ini. Saya minta maaf kerana menunggu terlalu lama, kak” Saloma meletakkan tapak tangannya ke pipi Salma.

            “Apa maksud Azman untuk merungkaikan kekeliruan?” Salma cuba mendapatkan kepastian.

            “Ibu?” kedengaran satu suara di belakang Salma. Dia berpaling ke belakang. Seseorang sedang berlindung di balik sebuah jambangan bunga besar. Salma mengambil jambangan bunga yang seolah-olah dihulurkan untuknya dan disebalik jambangan bunga itu, berdiri si comel tersenyum kegirangan.

            “Anak kau ke Saloma?” Salma menjerit keriangan. Saloma membalas soalan Salma dengan senyuman. Salma menarik tangan anak saudaranya itu dan memeluknya. Seingat Salma, sewaktu hari pengkebumian ibu, Saloma ada mendukung seorang bayi, namun dia tidak menyangka bahawa bayi itu ialah anak saudaranya sendiri.

            “Umurnya tujuh tahun. Saloma namakan dia sempena nama ayah. Bijak seperti ibu dan petah bercakap macam makciknya juga!” Saloma gembira melihat Salma yang sedang melayan anaknya.

            “Nama ayah? Zayd, jadi ini Zayd? Bunga..,” Salma membulatkan matanya.

            “Ya, saya Zayd, peminat rahsia wartawan Salma Zayd. Saya selalu suruh ibu hantar bunga pada makcik. Suatu hari nanti saya nak jadi macam makcik!” Zayd menghadiahkan Salma kucupan di pipi. Salma memeluk Zayd lebih erat.

            “Zayd selalu keliru samada wartawan di kaca TV itu ibunya atau orang lain kerana wajah kita seiras. Kadang-kadang dia ingatkan ibunya wartawan, bukan doktor. Sejak akhir-akhir, dia semakin kerap bertanya tentang kakak. Jadi, Azman dan saya rasa, kami dah tak dapat menyembunyikan perkara sebenar. Inilah kekeliruan Zayd yang cuba kami selesaikan,” Saloma menggosok-gosok kepala anaknya. Salma dapat merasakan kegembiraan sebenar mula terbit dalam hatinya. Hidupnya kini terasa lebih sempurna.

************************************************

“Bunga lagi?” Kavitha memuncungkan bibirnya memandang jambangan bunga yang ada di atas meja kerja Salma. Salma yang baru sahaja sampai ke tempat kerja hanya tersenyum.

“Ni mesti anak buah aku yang hantar lagi. Dah banyak kali aku pesan jangan bazirkan duit ibu dia,” Salma duduk ke atas kerusinya dan mendail nombor telefon Saloma. Dia ingin bertanya pada Saloma samada Zayd yang menghantar bunga kepadanya dua, tiga hari ini.

“Eh, tak ada pun Zayd suruh Saloma hantar bunga pada kakak.” Salma terdiam.

Bukan Zayd? Jantung Salma berdegup kencang dalam debaran.

Cerpen sebelumnya:
July's Night (seram)
Cerpen selanjutnya:
Xie-xie Ni

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.9
8 Penilai

Info penulis

Ismal Ishak

Saya seorang yang gemar berjenaka, jadi itu patut jadi expectation terbesar dalam karya saya.   Tapi, untuk jadi drama juga bukan satu perkara yang sukar. :)
Ancalime | Jadikan Ancalime rakan anda | Hantar Mesej kepada Ancalime

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Ancalime
Bidadari | 2856 bacaan
The Pain | 2669 bacaan
Bas (Part 3) | 2135 bacaan
Bas (Part 2) | 2095 bacaan
Bas (Part 1) | 2300 bacaan
Senarai Sara | 9431 bacaan
PCB#2: Aku Klise | 2194 bacaan
Separuh Hati | 2364 bacaan
Waiting for Cristy | 2530 bacaan
Zira: "Is It Time to Make a Change?' | 2336 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

11 Komen dalam karya Kemaafan Dendam Yang Terindah
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik