Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

BUNDA PARI-PARI

 

Sejak kecil, mama sering bercerita tentang manusia perempuan bersayap putih di pergunungan Alaska. Ia bertubuh indah dan berparas cantik. Sayapnya besar sehingga ke punggung dan berwarna serakan perak berkilauan. Ia bernama Bunda Pari-Pari. Wajahnya sempurna tak dimamah usia. Bunda pari-pari berhuni di pergunungan tinggi Alaska yang seumur hidup alamnya bersalji tebal. Bersekitar lautan biru berair jernih yang tidak pernah tercemar. Bunda pari-pari sukakan lautan. Dia hidup dikelilingi gugusan burung merpati yang berbulu putih tulus serta berparuh perak. Mata burung merpati itu tajam seperti elang serta berwarna abu-abu keemasan dimana mampu melihat ke seluruh bulatan dunia. Ia burung merpati sakti.

 Setahun sekali, bunda pari-pari menitip burung-burung saktinya terbang ke seluruh perusuk dunia, menyibar lautan mencari kanak-kanak yang mempunyai impian tidak tercapai. Kanak-kanak yang bernasib malang dan berjiwa sendu akan segera ke pantai untuk bertemu dengan sang merpati sakti. Ada yang inginkan permainan baru, kegembiraan yang baru, malah meminta hidup dalam suasana yang baru. Melepasi nasib malang mereka. Sang merpati akan menyampaikan segala hajat kanak-kanak itu kepada bunda pari-pari.

 Setiap tahun, bunda pari-pari memilih tujuh impian dari tujuh kanak-kanak terpilih untuk dikabulkan. Bunda pari-pari akan membuka almari saktinya yang berwarna keemasan di puncak gunung alaska. Dimana tersimpan sebatang tongkat sakti berwarna keemasan serta melentur setipis jarum akupuntur yang  sukar dilihat mata kasar. Di puncaknya, tertekap seketul permata berlian bak burung serindit yang bertenggek di atas sebatang ranting yang nipis. Ikut beralun ketika digerak-gerak. Permata itu bersinar terang sehingga malam yang suram ikut bercahaya diserlah pantulan spektrumnya.

 Tongkat sakti itu digunakan bunda pari-pari bagi menyempunakan hajat-hajat yang telah dipilih tadi. Kanak-kanak yang muram akan menjadi riang. Gaun yang cacat akan berubah cantik. Hari yang suram gondol akan bertukar kepada hari yang cerah dirimbuni tumbuhan berbunga yang berwarna warni.

 Dan hanya impian kanak-kanak yang bertuah sahaja akan dikabulkan setiap tahunnya...

 

*****

 

“Mama........”

 Suara Sarah yang serak pilu berdengus lemah. Mengundang manusia-manusia lain yang berada di sekitar ikut memerhatikan gadis kecil itu. Sarah cuba beransur-ansur membuka pelupuk matanya. Rasa sakit dan ngilu menguasai seluruh sendi anggota tubuh dimana-mana. Kepala menanggung kepedihan sehingga mata sukar untuk diterjah buka.

 Dalam samar-samar, dia lihat segala disekelilingnya berwarna putih. Dinding keseluruhan ruang berselubung putih. Katil bertiang besi putih bersadur cadar yang serba putih. Selimut di tubuhnya juga. Ada manusia-manusia berseragam putih ikut mundar mandir di sekitar. Dia bingung. Fikirannya keras memikirkan dia ada di mana.

 ‘Mama... Sarah dimana ya. Di syorga kah?’

 Hatinya berdesah. Dicari kelibat mama di sekitar ruang yang putih bisu itu. Mama tiada di mana-mana. Sarah mulai merasakan hening putih yang melatar di kiri kanan membuat jiwanya suram. Tapi dia ingat, Mama pernah kata, putih itu tanda suci dan tulus. Guru di tadikanya, puan hanim juga pernah bilang, putih itu tanda tidak tercemar dan bersih. Dan eyangnya yang tua itu dulu juga pernah menakut-nakutkan dia. Katanya putih itu petanda kematian. Tanda kain kapan! Sarah terus berkeluh lemah. Kepala rasa tambah memberat bagai dipalu. Sakit yang menyengat hingga ke sekujur tubuh. Dipejamkan matanya lagi. Tidur..

 “Kasihan ya budak sekecil itu. Harus tempoh malang!”

 “Siapa yang akan menjaganya selepas ini ya. Kan semua keluarganya mati!”

 “Amat kasihan! Untung nyawanya selamat...”

 “Untung apa! Kalau dia saja yang tinggal sebatang kara! Pasti dia sengsara”

 Suara orang-orang disekitar terdengar samar menerobos halwa telinga sarah. Sarah terjaga dalam keadaan tubuh yang tak selesa. Mata bundar kecilnya dibuka perlahan-lahan. Terlihat paras makcik laila, adik mama, duduk berteleku disamping sosok kiri katil. Bersama wajah sekeruh air kali yang tercemar dalam. Mata makcik laila memerah sendu seakan habis upaya untuk menahan tangis. Tangannya lembut mengelus mesra ubun-ubun sarah.

 “Sarah di mana, ya?” Suara sarah tenggelam-timbul berpadu serak kegugupan. Masih dalam emosi yang tak stabil.

 Makcik laila terus menghambur esak tangis. Seraya memeluk suaminya yang turut ada disitu. Jiwa sendunya tambah melarat memandang wajah sarah. Dahi sarah berkerut kehairanan. Di pandang sayu wajah pakcik rashid, meminta kepastian.

 “sarah di hospital, sayang.. berehat lah ya”

 Sarah cuba menyungging senyum pada pakcik rashid, dalam kondisi tubuhnya  yang terasa amat lemah. Dia akur. Mata dan cepu kepalanya seolah-olah terbius dengan suasana dingin di sekitar. Pelupuk matanya perlahan-lahan terpejam. Erat semula.

 Sarah hanya berusia enam tahun ketika tragedi itu berlaku. Dia masih ingat peristiwa di malam natal itu. Ketika dia bersama mama, papa dan kak siskanya sedang bersiap untuk menghadiri sebuah acara keluarga di sebuah hotel di pusat kota. Ada majlis makan malam bersama keluarga besar papa di sana. Hari itu juga merupakan harijadi sarah. Tarikh yang sama dengan hari sambutan natal. Mereka sekeluarga akan ikut menyambut ulangtahunnya sekali nanti di sana.

 Mama kata, dia anak yang bertuah kerana lahir di tarikh yang sama dengan hari natal. Seakan seluruh manusia bercuti dan bersuka-ria menyambut harijadinya bersama-sama. Seperti seluruh manusia mendoakan dirinya. Membuat rahmat sering melimpah-ruah. Mama sering bercanda lucu tentang kisah itu. Cerita yang selalu di ulang-ulang saban tahun pada setiap sambutan harijadinya. Dan mereka sekeluarga seakan terancang untuk berlakun ketawa mesra mendengarkannya. Lagi dan lagi. Sehingga Sarah sendiri juga sudah boleh menghafal.

 Sarah mengenakan sehelai gaun yang comel untuk majlis itu. Warna merah bata kesukaannya, hadiah dari mama. Kakaknya, siska juga berdandan rapi dengan gaun yang serba putih bercorak bunga kecil merah. Begitu juga papa dan mama. Mereka menaiki kereta papa untuk ke sana. Dalam kereta, sarah dan kak siska menyanyi riang sambil tertawa-tawa. Mereka sekeluarga dalam suasana yang amat membahagiakan. Kebetulan pula, hari itu jatuh pada hari cuti natal. Suasana di kiri-kanan jalan begitu meriah dengan lampu-lampu yang berkerdipan aneka warna.

 Tiba-tiba sebuah lori yang berisi penuh dengan muatan kayu-kayan terbalik di hadapan jalan mereka. Muatan kayu-kayu itu terlerai berselerakan di setiap sudut jalan. Ikut merempuh beberapa kenderaan lain disekitar. Sebatang kayu menghentak kereta kecil mereka. Papa gagal mengawal kemudi, lantas kereta mereka terdorong ke luar lantasan jalan. Langsung menjunam ke gaung dalam.

 Menurut makcik laila, sarah tercampak keluar dari keretanya ke tepi jalan. Sarah selamat. Orangramai yang berada di sekitar prihatin menghantarnya ke hospital. Manakala papa dan kak siska ditemui mati tersangkut di tebing gaung yang curam. Tubuh mereka berkecai. Sayangnya, mayat mama tidak dapat ditemui. Menurut makcik laila, tubuh mama mungkin jatuh memasuki gaung bersama kereta mereka. Mama bersemadi di laut dalam.

 Ternyata di malam natal itu, nasib sarah tidak bertuah seperti setiap kali harijadinya. Dia kehilangan seluruh keluarga tercinta.

 

 ***

 

Kini sarah sudah berusia sembilan tahun. Gadis yang membesar cantik itu tinggal bersama makcik laila dan pakcik rashidnya. Hanya mereka sahaja, sanak saudara yang ada disisi. Memberi kesinambungan kasihsayang. Membina jati diri lewat hati yang tergores duka. Justeru memadamkannya dari naungan trauma. Keluarga sarah meninggalkan harta yang begitu banyak untuknya. Pakcik dan makciknya itulah yang menjadi pemegang amanah justeru penjaga sehingga dia menginjak dewasa pada usia 21 tahun.

 Sejak tragedi, sarah menjadi seorang gadis yang agak pendiam. Bisu pada semua suasana. Malah tidak acuh dengan segala perkara. Tidak suka berkawan dengan kanak-kanak lain. Apalagi berkongsi cerita atau bermain bersama. Dia mengongkong diri dalam dunia lingkungannya sendiri. Menghalang sesiapa sahaja yang mahu masuk ke dunia fantasinya. Hanya seekor kucing bernama bobby yang sering meneman masa luang. Sering diajak bermain, bercakap-cakap malah tempat meluahkan rasa hati.

 Setiap malam, sarah memanjat ke loteng rumah melalui tangga balkoni dari biliknya. Bobby juga ikut dibawa bersama. Dia gemar menatap bulan dari situ. Baginya, rupa bulan yang bersinar kuning seakan bayangan semburat wajah mama. Sarah sering berhalusinasi, mama datang menemaninya lewat bulan itu. Bercerita seperti di waktu dia kecil. Mendodoi lagu kanak-kanak yang indah. Menyentuh sanubarinya dengan senyuman keibuan yang amat dirindukan.

 Sarah juga sering bercerita aktivitinya sepanjang hari kepada bayangan mama. Berbicara tentang sekolah. Berceloteh tentang si kucing bobby yang banyak karenah. Justeru meluahkan rasa rindu yang sarat pada papa, mama dan kak siska. Sarah tambah riang ketika hari bulan mengambang penuh. Dia boleh menatap wajah mama dengan jelas. Malah mereka dapat bersama agak lama. Dia selalu tertidur bersama bobby di atas loteng itu, ditemani bayangan mama.

 Ketika hujan turun diwaktu malam, dimana bulan terpaksa menyorokkan diri. Sarah sering menangis. Dia sedih kerana tidak dapat memanjat ke loteng menemui mama. Malah mama juga tak dapat datang menemuinya seperti biasa. Dia berisak tangis hampir sepanjang malam. Sehingga makcik laila dan pakcik rashid terkadang bimbang. Berasa hairan melihat dia menangis setiap kali hujan turun di malam hari. Pelik! Pernah terfikir di hati mereka mungkin sarah dirasuk hantu. Barangkali di sihir orang. Tambahan pula si kecil itu mewarisi harta yang besar. Mungkin ada yang iri padanya. Puas mereka membawa sarah ke doktor-doktor terkenal untuk dirawat. Namun semuanya gagal. Doktor bilang jiwa sarah dicengkam rindu pada keluarganya. Hati mereka sayu mendengarkan.

 Sarah teringat cerita mama tentang bunda pari-pari sewaktu dia kecil dulu. Perempuan sakti yang mampu mengkotakan hajat kanak kanak kecil. Burung merpati perak miliknya yang dilepaskan ke seluruh dunia mencari kanak-kanak yang punya impian. Juga cerita pertemuan dipantai untuk memberi hajat. Sarah mengimpi untuk bertemu mamanya. Sarah ingin agar mama dapat menemaninya setiap saat, tanpa halangan rintisan hujan, mahupun sinar matahari menenggelami bulan. Sarah ingin hajatnya dipenuhi. Dia berhasrat mengemuka impian pada bunda pari-pari. Justeru menyampaikannya lewat burung merpati perak di tepi pantai.

 Setiap tahun, sarah sering dibawa bercuti di desa pakcik rashid pada harijadinya. Menemui datuk dan nenek yang ikut menyambut  bersama-sama. Adakala mereka ke hotel-hotel yang mewah untuk bertemasya dengan sanak saudara. Ingin menghibur hatinya yang gundah. Namun sarah tidak pernah mampu beriak riang. Hatinya masih mengenang keluarganya yang hilang. Puas seisi keluarga cuba mengembirakan dia. Ternyata gagal.

 Tahun ini genap usia sarah sepuluh tahun. Dia membuat permintaan untuk menyambut harijadi di pantai cherating. Tanpa datuk nenek. Tanpa sanak saudara. Tampa sambutan majlis seperti selalu. Juga tanpa sebuah kek hari jadi. Sarah hanya ingin menyendiri bersama bobby. Tanpa gangguan. Makcik dan pakciknya hairan dengan saranan itu. Setelah mendapat izin dari doktor keluarga yang merelakan hasratnya, mereka terus akur. Mungkin cara ini mampu mengembalikan kegembiraan di hati gadis kecil itu. Biarlah, asal sarah kembali pulih seperti kanak kanak lain.

 Mereka bercuti di pantai cherating selama enam hari. Menetap di hotel mewah yang bertatap dengan jaluran pantai yang luas. Laut tampak terbentang berbalam dengan langit biru yang berkanvas gombolan komulus awan. Menyorot warna-warna alam yang mendamaikan hati. Begitu indah! Kedua suami isteri itu membiarkan sahaja apa yang mahu dilakukan sarah di situ. Memberikan kebebasan. Memenuhi hasratnya untuk bersendiri. Moga sarah boleh bertingkah riang seperti dulu.

 Setiap petang, di kala ufuk jingga mulai mengapai penghujung langit, sarah sering membatu diri di pinggir pantai. Dibawah pohon kelapa berdaun padat yang memayungi dia dari sengatan matahari. Bersama si kucing bobby yang patuh menemani dalam gendongan. Sarah menanti burung merpati berparuh perak itu. Menunggu untuk meminta disampaikan hajat kepada bonda pari-pari. Impian bertemu mama. Dia nekad menanti. Malah berdoa.

 Sudah tiga hari sarah patuh menunggu. Tiada satu burung pun yang lewat mendatangi pinggir pantai itu. Bayangan objek terbang pun tidak ada. Hati sarah gusar. Tiga hari itu, dia tidak bermain-main ombak. Tidak merayau menikmat keindahan pantai. Tidak mengapai riang seperti manusia lain di sekitarnya. Malah tidak berminat berbuat apa-apa. Hanya menanti.

 Tatkala malam sudah berlabuh, makcik laila melaung pada sarah agar naik berehat di hotel. Memutus penantiannya yang terasa sia sia. Dia melangkah hampa. Putus asa untuk mengapai hajat pada bunda pari pari. Pelupuk mata kecilnya berkaca-kaca, lantas digenangi air bening. Kecewa!

 ‘Mama! bilakah sarah dapat berjumpa mama!’

‘sarah rindu!’

 Hari ini, hari ke empat sarah terus menanti. Lusa dia sudah harus pulang ke ibukota. Meneruskan tuntutan hidup seperti sediakala. Sarah masih duduk di bawah pohon kelapa itu. Menatap langit dengan mata yang memerah gundah. Membiarkan bayu laut mengelus tubuhnya mesra, menyejuk raga. Dia menangis kerana putus asa. Berasa penantiannya tetap sia sia.

 Tiba-tiba seorang wanita menyapa. Wanita yang sebaya mamanya. Berkulit cantik seperti mulus kulit cengkerang tidak bercela. Matanya bundar abu abu bercahaya. Penuh sinar tulus yang mendamaikan raga. Indah sekali. Menyerlah manis lewat senyum yang menguntum di bibir.

 Wanita itu berpakaian rapi penuh pesona. Berbaju kebaya labuh berona putih tulus bersama kain batik corak tampuk manggis. Tampak tradisional dengan selendang putih panjang yang melitupi rambutnya yang disanggul rapi. Begitu cantik seperti maharani dahulu kala. Sarah terpana. Wajah keibuan wanita itu persis melepaskan aura rindu buat mama.

 “Kenapa menangis?”

 Bahu sarah dielus mesra. Seolah-olah memaut simpati yang dalam.

 “Tidak lah”

 Sarah malu-malu. Air matanya diseka dengan seledang panjang penuh kasihsayang. Sarah terharu.

 “Sarah rindu mama sarah ya!”

 Sarah terpaku. ‘Bagaimana boleh tahu namanya sarah?’. Sarah menatap tajam ke wajah cantik itu. Seakan mencari kepastian.

 “Makcik ini siapa?”

 Wajah sarah sudah berkerut dipaut kehairanan.

 “Panggil sahaja Bonda!”

 Senyum tetap tertulus buat sarah. Sarah terpegun

 “Makcik Bonda pari-pari ke?”

 Sarah membibit curiga dalam benak. Peliknya nama!

 “ Sarah percaya pada pari-pari?”

 Tangan wanita itu mengelus ubun ubun kepala sarah. Menyimbah dingin raganya yang kehilangan. Tubuhnya sudah berlabuh disisi sarah.

 “Sarah sedang tunggu merpati pari-pari. Sarah nak sampaikan hajat sarah. Sarah mahu jumpa mama sarah”

 Sarah bersuara lirih. Mempamer jiwa yang diselubungi rindu yang sarat.

 “Tiada pari-pari di dunia ini sarah. Itu cerita dongeng. Orang mati juga tidak boleh hidup kembali”

 Sarah sebak. Dia cuba menafikan kata-kata itu, tapi hatinya mula percaya

 “Sarah rindu mama!!”

 Sarah sudah berisak. Hatinya rawan. Wanita yang bergelar bonda itu mendakap tubuh kecil sarah. Membelai terus ubun-ubun serta pundaknya, memaut tenang. Sarah terbuai dalam dakapan keibuan itu. Jiwanya damai diperlakukan begitu.

 “Sarah nak tahu tak bagaimana hendak menghantar rindu pada mama sarah yang ada di syorga?”

 Suara bujukan itu mengoyah hati sarah yang trenyuh. Tatapan Sarah melotot pada bonda dalam-dalam. Persis kalbunya dibangkitkan dari limbahan kelam.

 “Boleh kah bonda?”

 “Sarah boleh menulis salam rindu diatas pasir sana. Tulislah apa saja. Dan bila ombak datang lalu memadamkannya pergi. Itu bermakna salam tulisan itu sudah dikirim ke syorga”

 “Sarah mahu kirim untuk mama. Boleh bonda ajar?”

 “ Marilah!”

 Bonda mengajar sarah menulis di atas pasir yang memutih halus. Berpena ranting yang dikutip dari sekitar pohon yang merendang. Bonda mendidik dia mengeja perkataan yang mahu ditulis. Sarah melakar ayat “Rindu mama” berkali-kali, sehingga dia lelah. Seolah-olah mempamer betapa dalam rasa rindu itu lewat coretannya yang banyak. Lantas apabila ombak menghambur, membuat lakaran itu lenyap, sarak melonjak gembira. Sarah yakin tulisannya dikirim buat mama di syorga.

Sarah pasti mama mendengar kerinduannya. Bonda memang benar-benar mengembirakan dia. Sepanjang petang itu mereka bermain coretan itu bersama-sama.

 Sewaktu kirmizi mulai tenggelam melabuh malam, makcik laila sudah melaung padanya. Meminta dia pulang.

 “Bonda, bolehkah kita bermain lagi esok?”

 “Ya! Bonda menunggu di sinii!”

 Sarah melonjak riang. Tubuh kecilnya melompat-lompat. Dicapai si kucing bobby dalam dakapan. Di kucup kedua belah pipi bonda, selantas bonda yang ikut mengucup dahinya mesra. Setelah itu sarah berlari riang, pulang ke hotelnya.

 Malam, sarah benar-benar tidak dapat menyorok perasaan sukacitanya. Dia makan malam penuh berselera. Sesekali dia menyanyi riang. Senyum juga seakan melekat terus lewat bibir kecilnya yang comel. Makcik laila pelik melihat gelagat sarah. Begitu juga riak pakcik rashid yang menatapnya penuh hairan. Sekilas mereka berdua bersaling pandang seperti tidak percaya apa yang dilihat. Apa yang merubah sarah? Namun mereka bersyukur jika hasrat mereka tertunai. Moga sarah tidak membisu dan menyendiri lagi. Moga sarah gembira normal seperti kanak-kanak lain. Malam itu sarah tidur nyenyak sekali. Dibuai dakapan mama. Dibelai pelukan bonda.

 Esoknya, sarah bertemu lagi dengan bonda. Bonda mengajak dia mengutip cengkerang siput dan karang di landas pantai. Bonda bilang itu adalah hadiah dari syorga, yang ditabur alam untuk kenangan mereka yang dirindu. Sarah riang mengutip setelah mendengarkannya. Dia mahu menyimpan kenangan yang banyak buat mama. Seperti mana besar kerinduan yang tersemat dalam dada. Mereka berlumba mengutip sebanyak yang mampu. Mereka berkejaran. Saling membaling karang dan cengkerang. Membuat rangkaian perhiasan yang indah dengannya. Malah membina istana pasir bersama. Sarah gembira. Bonda benar-benar menjadi teman yang baik untuknya.

 “Sarah, biar pun mama sarah sudah tiada, tapi ingatlah yang roh mama sentiasa menjaga sarah. Mama ada dimana-mana. Seperti udara yang dihirup. Tidak kunjung pergi!”

 “Bagaimana kalau sarah masih rindu sama mama ya bonda?”

 “Sarah pejamkan mata ya. Bernafaslah perlahan-lahan. Hirup penuh dalam dada. Lantas bayangkan wajah mama sarah. Pasti dia hadir”

 “Bonda, kenapa mesti begitu?”

 “Kerana mama sarah hidup di sini! Dalam hati sarah. Sentiasa ada disana”

 Sarah hampir menitiskan airmata. Jiwanya haru. Sekilas tangan polus bonda yang mendekap pada dadanya, dia sentuh. Dia kucup bersama mata yang sudah berkaca-kaca. Sarah memeluk tubuh bonda. Seakan tidak mahu melepaskan. Erat! Bersama wajah yang sudah membasah.

 “Bonda, bolehkah sarah sayangkan bonda? Seperti mama?”

 “Boleh, sarah!”

 Bonda mengurat senyum tulusnya buat sarah. Menyumbar serelung kasih yang sarat. Tubuh mereka terus berpeluk mesra. Bersama air mata yang menitis haru. Hening!

 *****

 

Pagi ini, pakcik rashid mengemas keperluan mereka untuk pulang ke ibukota. Percutian mereka sudah tamat. Sarah termangu. Dia resah untuk pulang. Dia tak mahu berpisah dengan bonda.

 “Kita harus pulang, sarah! Cuti sudah habis”, pujuk makcik laila

 “Sarah mahu jumpa bonda dulu! Nanti bonda tunggu-tunggu sarah. Kasihan bonda!”

 Wajah kecil sarah terus merayu. Dia mahu diberi kesempatan bertemu bonda. Pamit terakhir.

 “Bonda itu siapa? Mana orang sepelik itu di sini! Sudah lah. Kita pulang ya!” bujuk pakcik rashid pula. Siapa pula bonda? Adakah sarah berhalusinasi? Hatinya melotot hairan.

 Sarah meronta-ronta agar kemahuannya diturut. Dia menangis. Meraung agar ditemukan dengan Bonda. Tangan kecilnya terkapai-kapai menunjuk arah pantai. Kecoh suasana di lobi hotel itu dengan karenahnya. Semua pengunjung ikut memerhatikan mereka.

 “Ada apa encik rashid?”

 Pengurus hotel bergegas datang mendapatkan mereka dengan riak yang resah. Gusar dengan kekecohan di ruang lobi itu.

 “Sarah mahu jumpa bonda!”

 Sarah merayu lagi. Wajahnya sudah membasah dengan air mata. Mengutus haru

 “Bonda mana, sarah?”

 Pengurus hotel itu bertanya lagi. Wajahnya terpancar aneh. Bagaimana mahu mencari seorang “Bonda” di sini. Pelik!

 Sarah menceritakan tentang bonda. Yang sering mengajak dia bermain di pantai. Yang selalu menemaninya setiap petang. Sarah jelaskan wajah bonda yang keibuan. Berkebaya labuh putih. Berselendang putih. Cantik seperti mama

 Pengurus hotel itu terpaku. Wajah memucat lesi setelah mendengar cerita sarah. Pakcik rashid dan makcik laila sudah saling berpandangan mengusar hairan. Pengurus itu menjemput mereka sekeluarga ke ruang pejabatnya di tingkat dua. Membukakan pintu untuk mereka memasuki perut kamar mesyuarat. Terlihat sebuah potret besar berbingkai indah di situ. Potret seorang wanita berpakaian rapi yang masih menyerlah ayu. Penuh pesona!

 “Itu Bonda!”

 Sarah sudah menjerit keriangan. Tangan kecilnya menuding tajam ke potret besar itu. Tubuhnya sudah melompat-lompat gembira.

 “Itu gambar ibu saya. Semua orang mengelar dia bonda disini! Seperti nama hotel ini. Hotel seri bonda”

 Pengurus hotel itu tergamam. Suaranya gugup dalam getar yang dalam. Menyerlahkan wajah yang memucat tidak berdarah. Pakcik rashid dan makcik laila melotot hairan melihat gelagatnya

 “Tapi....”

 

“Dia sudah meninggal dunia lima tahun lalu.”

 

Cerpen ini ada kenangan yang tersendiri : pernah disiar di majalah karangkraf sempena hari ibu mei lalu.. pernah dipapar di laman penulisan2U.net... dan semasa merangkanya, baru kenal dengan adik ridh... ada teman2 yang messagwe minta di paparkan di kapasitor, lantas dipersembahkan... moga teman2 KAPASITOR dapat menghayatinya... salam syg buat semua ibu...

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) saya sedih baca citer nie..mesti dia lonely sgt2
  • 2) cerpen yang punya nilai sentimental bagi saya, kak adreena. saat kita mula saling kenal dan bicara...
  • 3) wlpun agak pjg, dan klise, berjaya jugak menghabiskannya.

    kak, cmner akak dpt idea tulis cerita cmni? sgt best!

  • (Penulis)
    4) thanks adik rain, robot dan ridh..
    kasih ibu memang tiada galang gantinya...
  • 5) saya sangat kagum..
  • 6) sedih nye... dah nangis..
  • 7) teringat arwah ibu saya.. thx 4 d excellent short story, kak!

  • 8) wau...realiti yang berlatarkan fiksyen..

    perolahan cerita yang menarik..gaya bahasa juga ringkas tapi puitis..saya suka

    cerpen yang memang layak untuk disiarkan dalam majalah..ada nilai sentimental yang tersendiri
  • 9) kasih ibu membawa ke syurga

Cerpen-cerpen lain nukilan adreena

Read all stories by adreena