Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Rintik hujan di Kundasang

 

\"\"


”Carol, ikut sahaja aku lari ke tanah Melaya! Kita tinggalkan sahaja Negeri Di Bawah Bayu ini. Aku telah beli sekeping tiket penerbangan untukmu. Kita bernikah sahaja di sana. Aku akan membahagiakanmu. Ini janjiku!”

”Ikmal, jodoh kita bukan hari ini. Nenek sia seorang Bobolian. Seorang pawang yang paling handal di sini. Dia indak akan berbohong. Segala katanya sebelum ini semuanya benar. Katanya, kita akan bersatu dua puluh lima tahun dari sekarang. Sia akan menanti kau di sini bila saat itu tiba untuk menyambung semula cinta kita. Puncak gunung Kinabalu ini jadi saksi janji sia. Percayalah!

Patah-patah kata yang terungkap oleh Unduk Ngadau Tadau Keamatan Pekan Kundasang itu, akhir-akhir ini terngiang-ngiang di benaknya. Janji untuk bertemu semula selepas dua puluh lima tahun perpisahan. Benarkah? Dua puluh lima tahun itu terlalu lama. Segalanya boleh berubah. Dia sendiri sebenar tidak lagi mengingati janji itu.

Dahulu dia punyai keluarga yang bahagia. Kini dia benar-benar kesunyian. Dia kehilangan seluruh keluarganya. Isteri dan dua anaknya terkorban dalam satu kemalangan jalanraya lima tahun lalu. Hanya dia sahaja yang terselamat, tapi kaki kanannya tidak lagi berfungsi. Hanya sebatang tongkat dari kayu meranti menjadi teman setianya. Sejak itu dia hidup dalam kesendirian. Hanya ketabahan dan keredhaannya terhadap ujian Allah yang memberi dia kekuatan untuk dia ingin terus hidup, walaupun kebahagian yang pernah dimiliki hilang dalam sekelip mata.

Dua bulan yang lalu, tiba-tiba sahaja, dia sering didatangi mimpi-mimpi yang sama. Dia bermimpi seorang gadis berpakaian sungkit  hitam menari tarian sumazau di depannya. Dalam setiap mimpi itu si gadis melambai-lambai kepadanya menjemput dirinya bersama-sama menari. Mimpi-mimpi itu berulang kali hadir pada setiap lena tidurnya.

Dia mula teringatkan janji-janji yang pernah diungkapkan dua puluh lima tahun dahulu. Dirasakan kata-kata Bobolian itu seolah-olah nampaknya benar dan akan menjadi kenyataan. Akhirnya dia memutuskan untuk datang juga ke sini, ke Pekan Kundasang. Dia pasrah tapi yakin, walaupun tanpa kepastian,  janji itu pasti masih dipegang oleh si gadis idamannya dulu.

Apakah si gadis sedang menunggunya? Atau mungkin sahaja kedatangannya ini hanya satu yang sia-sia. Mungkinkah si gadis itu sekarang sedang berbahagia dengan kehidupannya. Berbahagia dengan suaminya. Berbahagia bersama anak-anaknya yang kini sudah dewasa. Sedangkan dia hanya bersandar pada janji, janji untuk bersanding di puncak gunung Kinabalu, berpelaminkan flora dan fauna, bertemankan dingin hembusan bayu dan bersaksikan awan gemawan.

”Ikmal, sia akan setia menanti kau di sini. Dua puluh lima tahun lagi, datanglah, kau pasti akan jumpa sia yang sedang menanti bersama sejambak cinta yang sentiasa mekar mewangi seperti hari ini. Nanti, hembusan angin dingin ini akan jadi pakaian pengantin kita.”

Gumpalan awan-awan berwarna putih bergerak lembut di langit Kundasang. Bergerak berkawan-kawan dalam pelbagai bentuk dengan seribu warna putih yang cukup mendamaikan. Pekan kecil di kaki gunung Kinabalu ini sentiasa sahaja diselubungi oleh hawa dingin yang kadang-kadang menyucuk hingga ke tulang hitam. Kebun sayur-sayuran dan bunga-bungaan meliputi hampir keseluruhan kawasan pekan ini menambahkan lagi indah pemandangan pekan kecil ini.

Dingin hembusan angin sepoi-sepoi menampar mukanya. Dalam sendirian itu dia terasa damai sekali. Sesekali rintik-rintik hujan turun beriringan bersama hembusan angin dingin itu membasahkan rambutnya. Deruan angin sering sahaja tertangkap di telinganya, seumpama lagu-lagu rindu tanpa bait-bait puisi

Dia masih di situ, duduk sendirian di bangku kafateria Kundasang War Memorial Park sambil menikmati secawan teh panas. Sejak lima hari lalu dia berada di sini, menjadi penggunjung tetap taman ini, tanpa gagal. Haruman pelbagai spesis flora dan fauna di taman ini amat menyenangkan. Kicauan burung-burung yang berkeliaran di taman itu begitu mengasyilkan sekali.

Ketika usianya baru menjengah dua puluh tiga tahun, dia telah dipindahkan dari Kuala Lumpur untuk bertugas sebagai pegawai pertanian di Kundasang, sebuah pekan kecil dalam daerah Ranau, Sabah. Dia yang tidak diberi pilihan, akhirnya akur. Tanah semenanjung yang tercinta ditinggalkan untuk memulakan tugas baru di daerah yang begitu terpencil dan asing sekali. Berada di dalam kelompok suku kaum Kadazandusun yang tidak pernah dikenali tetapi akhirnya benar-benar mengajarnya erti kehidupan, kemanusiaan dan cinta.

Masih dia ingat semasa mula-mula kedatangannya ke Kundasang, dia hanya menaiki sebuah bas buruk yang mengeluarkan asap hitam tebal untuk ke pekan ini. Perjalanan yang memakan masa selama lebih tiga jam dari Kota Kinabali. Perjalanan itu begitu memenatkan sekali. Di kiri kanan sepanjang perjalanan itu, yang dapat dilihat, hanya hutan belantara sahaja. Sayup-sayup puncak Kinabalu jelas terlihat berdiri gagah, menjadi lambang kemegahan negeri Sabah. Terlihat jelas sejalur putih air terjun yang menyelusuri keluar dari dada gunung Kinabalu.

Ketika itu Kundasang masih dikelilingi hutan dan belukar hijau. Dia sempat menyaksi dan menikmati alam bening Kundasang. Ketika itu pekannya hanya ada sebaris sepuluh unit kedai runcit yang dibina daripada papan tak bercat. Di situlah hasil tanaman orang kampong dijual. Dia pernah turut bersama budak-budak kampung meredah merata-rata, mencari buah markisa liar, memungut beri-beri hutan yang ranum. Itu semua kini nostalgia lama yang tidak boleh dikembalikan.


* * * *


”Maaf pakcik, kalau sia mengganggu. Nama sia Lailatulsarah atau panggil sahaja Sarah. Sia petugas Kundasang War Memorial Park ini. Sudah lima hari berturut-turut sia lihat pakcik di sini seolah menunggu seseorang. Kalau boleh sia tahu?”

ia sedikit tersentak. Lamunan kisah silamnya hilang. Seorang gadis dalam lingkungan umur 20 tahun menegurnya tiba-tiba. Kecil molek sahaja orangnya. Memakai baju t-shirt dan berseluar jeans hitam. Kulitnya putih sebagaimana lumrah gadis-gadis Kadazandusun yang pernah ditemui. Rambutnya panjang terurai hingga ke bahu. Pipinya kemerah-merahan.

Dia hanya tersenyum. Tidak terus menjawab. Direnung wajah si gadis. Sambil berusaha untuk mengumpulkan kata-kata. Gadis ini tidak mungkin mengerti, bisik hatinya.

”Pakcik sedang menunggu seseorang. Kami berjanji untuk berjumpa pada Tadau Kaamatan malam esok! Dua puluh lima tahun dahulu kami berjanji untuk berjumpa semula di sini.” Ungkapnya perlahan.

Matanya disorong jauh ke puncak gunung Kinabalu yang jelas terlihat dari situ walau pun awan-awan tebal mengelilingi puncak itu. Kemudian pandangannya dialih semula ke wajah si gadis.

”25 tahun dahulu?”

”Benar! Pakcik yakin dia pasti akan datang. Datang bersama sejambak bunga cinta. Nanti kami akan bersanding berpelaminkan puncak gunung kinabalu ini!” Sahutnya lagi sambil jarinya ditunjuk ke arah puncak itu.

”Kamu pasti menganggap pakcik sebagai seorang tua tempang yang telah nyanyuk!” Bicaranya lagi sambil tersenyum. Bagaikan ada titis air mata yang ingin keluar mengalir dipipinya tapi mampu ditahannya.

Si gadis hanya diam, seakan turut bersimpati. Matanya mengamati lelaki tua yang sejak lima hari lalu telah berada di Kundasang War Memorial Park ini. Walau pun lelaki tua itu tempang kakinya tetapi dia masih kelihatan segak. Masih mampu mengegarkan hati wanita. Namun padanya, di mata lelaki tua ini terpancar kesepian dan kesunyian yang begitu mendalam.

”Pakcik datang dari semenanjung semata-mata untuk menunaikan janji yang telah termateri dahulu?” Ada rasa kekaguman pada kata-kata si gadis seolah begitu menyanjung kesetiaan cinta seorang lelaki tua ini.

”Kalau boleh pakcik bertanya, siapa nama ibu kau? Wajah kau mengingatkan pakcik pada seseorang.” Lelaki tua itu mengunjurkan pertanyaan kepada si gadis.

”        Eeerrr.. nama ibu sia, Khalida Maisarah Abdullah. Pakcik kenal ibu sia.? Kalau boleh saya tahu nama pakcik?”

Dia hanya diam. Jawapan si gadis itu membunuh harapannya yang sebentar tadi tiba-tiba berbunga sebaik terpandang wajah gadis itu. Ada bayangan dua puluh lima tahu dahulu terlihat pada wajah si gadis. Tapi dia hampa.

Segera dituangkan air teh dari teko yang sedari tadi menjadi saksi perbualan mereka. Wap dari kepanasan air teh itu menguap ke atas menghasil aroma yang mempersonakan. Cawan yang dipenuhi air teh panas itu dicapai, segera diangkat ke bibirnya lalu terus dihirup. Sejurus separuh air teh itu dihirup, diletakan kembali ke atas piring putih.

”Nama pakcik Ikmal, Mohd Ikmal Bin Harun. Dahulu pakcik pernah berkerja di sini. Kau sendiri masih belum dilahirkan ketika itu.” Jawabnya sambil tersenyum. .

Ada sedikit rasa yang tiba-tiba mencuit hati gadis Kadazan itu. Nama itu seperti pernah didengarnya. Nama itu pernah diceritakan kepadanya. Nama itu pernah bermain dibibir ibunya. Apa mungkin lelaki ini yang sedang dinanti-nantikan oleh ibunya.


* * * * *


“Izou muhang id tondu tiso.. koni? (awak suka perempuan itu Bukankah?). Renungan mata kau itu memberitahuku!” Bisik Ben padanya pada satu malam di Tadau Keaamatan.

Benedict Apau, orang bawahannya yang sangat rapat. Dia lebih senang memanggilnya sebagai Ben sahaja. Benlah orang yang pertama menyambut dia disini, membawanya berkenalan dengan semua golongan masyarakat di pekan Kundasang. Malah dia menganggap lelaki Kadazan yang bertubuh sederhana ini tetapi tegap lebih sebagai kawan baiknya dan bukan sekadar orang bawahannya.

“Ah, mana mungkin seorang gadis yang baru ditabal sebagai Unduk Ngadau ingin berkenalan denganku.” Jawabnya perlahan.

”Jangan begitu. Kau sendiri bagiku seorang lelaki yang kacak dan tampan. Indak mungkin ada Sumandak yang akan menolak cinta kau. Biarku perkenalkan kau kepada dia!” Ben menarik tangannya menuju ke arah si gadis, lalu diperkenalkan.

“Onu abal nu? (apa kabar kau?) Sia kenalkan sahabat baik sia merangkap bos sia juga!” Ben memperkenalkan gadis itu kepada dia.

“Ohidas ih boh (sihat-sihat bah). Nama sia Carol Molly Anak Nyabot. Gembira berkenalan dengan kau.” Sambut Unduk Ngadau yang baru ditabal lalu tangan mereka bertemu.

Malam itu buat pertama kalinya setelah dua tahun di sini, dia menari tari sumazau, walau pun mulanya agak sumbang, dia terus juga menarik sambil si gadis tetap membimbingnya. Gadis itu seakan membawanya terbang melayang ke awan biru.

“Berdiri di hadapan sia. Angkat kedua-dua tangan kau ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, ikut alunan rentak, dengan perlahan-lahan dan lemah lembut.”

“Sekarang gerakkan kaki kau dengan langkah kecil, tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Ayuh! Mari kita terbang bersama. Bawa sahaja sia ke mana yang kau inginkan sambil kita nyanyi lagu ini.”

Pak pak kang kudo

Sumunsui dot jambatan

Jambatan dot Tamparuli

Pakasut tinggi oku

 

Sumunsui dot jambatan

Jambatan dot Tamparuli

Pak pak kang kudo

Pakasut tinggi oku

 

Silaka nodi kasutku

Naratu lod jambatan

Tinggal po dot sutakin

Nowitku ginumuli

 

Ontok di hari tiga

Tomu lod Tamparuli

Mingusuk po hilod kadai

Mogihum dot kasut tinggi

 

Mereka ketawa dalam kemesraan. Dalam keriuhan malam Tadau Keaamatan, dua insan bagaikan terasing. Seolah malam itu yang ada di situ hanya mereka berdua. Tenggelam dalam keasyikan. Cinta! Itu yang telah mereka temui. 


* * * *


“Aku menyintai kau Carol”

“Sia juga, tapi, hubungan ini ndak mungkin bah! Masa kau sanggup melukakan hati sahabat baik kau. Ikmal, sia ini tunangan Ben. Telah lama sia ingin berterus terang pada kau, tapi ndak ada kesempatan.\"

“Tidak mungkin! Aku sering bercerita kepada Ben betapa aku menyintaimu. Tidak sekali pun Ben menyatakan bahawa kau adalah tunangannya. Tidak mungkin! Usah permainkan perasaanku! Aku amat menyintaimu!”

Tidak pernah dia percaya bahawa Ben itu tunangan Carol. setahun tempoh perkenalan dengan Carol, tidak pernah sekali Ben bercerita tentang perkara itu. Bukan Ben tidak mengetahui tentang cintanya kepada Carol  tidak pernah disembunyikan. Malah Ben jugak yang sering memberi semangat kepadanya meluahkan rasa cintanya kepada Carol. Dia bingung. Kenapa Ben tidak berterus terang kepadanya.

“Ikmal, kami orang Kadazandusun amat menghargai erti kesetiaan sebuah persahabatan. Ben anggap kau sebagai sahabatnya yang paling baik. Malah dia juga anggap kau seperti abangnya sendiri. Kerana itu dia rela berkorban apa sahaja untuk kau Ikmal. Dia rela lepaskan sia pada kau asalkan kau bahagia.” Carol menjelaskan keadaan sebenar dengan harapan Ikmal mengerti. Matanya mula berkaca. Kenyataan ini amat pahit untuk ditelan.

Dia tersentak. Terdiam dan terharu. Tidak pernah dia menyangka sahabat baik itu sanggup berkorban sesuatu yang paling disayanginya, tunangannya sendiri demi seorang sahabat. Malah Ben sendiri juga mengesyorkan agak dia membawa saja Carol lari ke semenanjung kiranya hubungan mereka mendapat tentangan dari keluarga Carol. Apatah lagi tempoh perkhidmatannya di sini juga hampir tamat dan dia akan pulang ke semenanjung. Dia tidak mahu pulang sendirian. Dia ingin pulang bersama Carol sebagai isterinya.

“Ikmal, hari ini, indak mungkin sia menerima cintamu walau sebagaimana sekalipun aku ingin menyintai kau dan ingin hidup bersama-sama kau. Aku ndak sanggup memalukan keluargaku, ayah sia Vozoon, penghulu rumah panjang ini yang begitu dihormati oleh masyarakat kampung ini. Indak mungkin Ikmal! Indak mungkin sia akan memalukan mereka.”

“Aku akan tunggu kau di lapangan terbang, Carol!”


* * * *

Gadis itu bergerak masuk ke pejabatnya semula, meninggalkan dia sendirian. Dalam sendirian sebegitu, hembusan bayu itu datang lagi dengan segala keharuman bunga-bungaan. Dingin begitu terasa. Burung-burung tiba-tiba berhenti berkicau. Segalanya sunyi.

Beberapa minit kemudian gadis itu datang kembali. Tangannya memegang sekeping  sampul surat berwarna putih yang telah kekuning. Mungkin terlalu lama dimakan masa.

“Pakcik. Ada sesuatu yang ingin sia tunjukan kepada pakcik!” Gadis itu bersuara tenang, namun ada getaran pada suaranya.

Sampul surat usang itu dibuka. Sekeping gambar dengan warna yang telah pudar dikeluarkan. Gambar seorang lelaki dan seorang perempuan berpegangan tangan bersama sejambak bunga. Puncak gunung Kinabalu jelas di belakangnya.

“Pakcik, itu gambar ibu sia dua puluh lima tahun dahulu. Lelaki di sebelahnya itu seorang lelaki dari semenanjung. Kata ibu, namanya Ikmal. Kata ibu lagi, lelaki ini akan datang untuk bertemu ibu pada Tadau Keamatan tahun ini. Lelaki ini akan datang untuk menyuburkan cinta yang bersemi antara mereka dahulu. ”

Gambar itu dihulurkan kepadanya. Tanganya bergetar meyambutnya. Benar itulah gambar dia dan Carol. Tiba-tiba titisan air matanya gugur. Ada keharuan di hatinya.

“Di mana ibu kau sekarang? Ingin benar pakcik bertemu dengannya.” Ujar tidak tertahan. Sebak di dadanya. Apakah takdir ini benar-benar telah tercatat untuknya.

”Ikmal, sia akan setia menantimu di sini. Dua puluh lima tahun lagi, datanglah, kau pasti akan ketemu sia yang sedang menanti bersama sejambak cinta yang sentiasa mekar mewangi seperti hari ini. Nanti, hembusan angin dingin ini akan jadi pakaian pengantin kita.”

Gadis itu terdiam. Matanya mula berkaca. Ada keharuan terpamer di wajahnya. Gadis itu tunduk mencium tangannya. Ada esakan terdengar.

”Biar sia bercerita dahulu sebelum sia bawa pakcik bertemu ibu. Ibu berkahwin dengan tunangnya Benedict Apau setahun selepas pakcik balik ke semenanjung. Setahun kemudian sia dilahirkan. Namun takdir telah menentukan setelah sepuluh tahun perkahwinan, ayah mati dalam kejadian tanah runtuh di Mumbakut. Sejak kematian ayah, ibu memilih untuk terus hidup bersendirian walaupun ramai lelaki yang ingin mengambil ibu sebagai isteri. Lima tahun yang lalu, ibu mengambil keputusan memeluk agama islam dan menukarkan namanya daripada Carol Molly Anak Nyabot sama Khalida Maisarah binti Abdullah. Kata ibu dia sedang bersiap sedia untuk kehadiran seorang lelaki melayu dari semenanjung.”

Gadis itu berhenti sejenak. Menarik nafas panjang. Matanya yang  masih berkaca, perlahan-lahan dikesatnya dengan sehelai sapu tangan berwarna biru. Dia hanya membisu, sabar menunggu cerita seterusnya.

”Setahun yang lalu ibu disahkan mendapat penyakit barah payu dara peringkat ke empat. Sejak itu ibu sering sahaja keluar masuk hospital untuk mendapat rawatan. Hinggalah dua minggu yang lalu, ibu ndak mahu lagi di bawa ke hospital. Sebaliknya, ibu mahu sia membawanya ke taman ini. Maka setiap hari sia akan bawa dia ke taman ini seperti permintaannya. Kata Ibu dia sedang menanti seseorang.”

Gadis itu terdiam. Seakan sukar untuk menuturkan kata-kata. Sekali lagi ditarik nafas panjang dan dihela sepuas-puasnya.............

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Bahagian ke 2, insyaallah saya akan sambung segera.
  • 2) menunggu bab 2...

    best plot ceritanya..
    tak sabar menunggu klimaks cerita
  • 3) xsbr menunggu smbgannyer
  • 4) Hmmm...Pak Penyu errrrr...
  • 5) salam datang membaca pak penyu.

    terbaca komen kak maria, rasanya saya juga seperti ingin berkata perkara yang sama mungkin

    ceritanya menarik, tak sabar ingin menunggu sambungannya cuma... seakan pak penyu 'terganggu' mungkin ketika menulis cerita ini... tidak seperti kebiasaan...
  • 6) Teja pun ada memori indah di Kinabalu & Kundasang...pekan kecil yg damai, segar & penduduk yg ramah....

  • 7) kt kundasang war memorial park ada kafe ke? apasal masa sy pegi xde pon...

    bah, sia nunggu jak tajuk 2 ya.

  • (Penulis)
    8) Salam,

    Terima akasih kepada s emua yang membaca. Cerpen 1 dan 2 telah saya cantumkan disini, dibawah tajuk "Rintik hujan di tanah Kundasang.

    Harap dapat ulang membacanya.


  • (Penulis)
    9) Shazmiey, cafe itu hanya ada di minda saya.
  • 10) yang saya baca ni dah full story kan?

    WOWWWW
    ini barulah namanya cerpen yang lengkap. hehehehe.
    memang perlu kajian/pengalaman. jalan cerita yang menarik. penceritaan yang memukau.

    bukan calang-calang ni nak buat
    nice nice nice.
    tabik springg satuu!
  • 11) sedihnya saya baca..
    tahniah pak penyu!
  • 12) Wah! dah potong jalan ni.
    cerita yg bagus!
    Pendapat saya, dari segi dialog bahasa sabah, ada kesalahan dalam susunan ayat dan penggunaan perkataan. Sbg org sbh sy baca memang rasa pelik. Tak dpt 'masuk' dalam cerita kerana membayangkan latar di pedalaman sabah dgn bahasa yg kurang pekat dan sedikit keindonesian di situ. Tapi untuk memudahkan pembaca lain faham dengan baik rasanya ok. Bagaimanapun, penceritaannya cantik. Pak penyu dapat aplikasikan latar belakang perjalanan pak penyu di kundasang tu dgn cukup baik. Tahniah.

  • (Penulis)
    13) Wah! pucuk dipinta, ulam yang datang. Saya harap sangat kalau dapat nurie perbetulkan penggunaan bahasa sabah tu. Please. Hujung bulan ni insyaallah saya akan sekali lagi ke kundasang, nanti saya belanja buah salak kundasang.
  • 14) ok jak bah kalau pak penyu.
    ok sy betulkan beberapa yg sy nampak skrg.

    ”Ikmal, aku akan setia menantimu di sini." - 'menantimu' ganti dgn 'menanti kau'.
    Di daerah kundasang, penduduknya biasa menggunakan kau dan saya ('sia' ) sbg kata ganti diri dalam perbualan harian. Penggunaan 'mu' dan 'aku' pula sangat dipakai di daerah tawau, semporna, sandakan yg mana bahasanya dan lenggok tuturnya seakan keindonesian.

    lagi, penggunaan 'ketemu' dlm dialog seterusnya itu harus diganti dgn 'jumpa'. Sama juga perkataan 'telah' ganti dengan 'sudah'. 'kepada' ganti dgn 'sama'. 'nga' pula tidak wujud, gantikan dgn 'ndak' atau 'indak' yg membawa maksud 'tidak'.

    ok maklumat tambahan, perbezaaan bahasa melayu sabah (bkn kaum) di daerah di sabah memang ketara, umpama bahasa di antara negeri-negeri di semenanjung. Sebagaimana di sana anda boleh mengetahui orang kelantan seperti itulah di sini kami boleh cam siapa yg dari Tawau/Beaufort/Ranau atau Kundasang. Keseragaman yg sy nampak dlm bahasa sabah adalah penggunaan 'bah'.

    salak pun salak la.

    *aduh..sy taip balik komen, byk tul typo.
  • 15) hehe wah wah. tu dia. baru duk sabah kejap. sebiji cerpen ah keluar. hehehe.
    abang sham ke kundasang ada apa je ye?

  • (Penulis)
    16) Nurie, terima kasih. Salak tu kalau harganya masih RM10 4 kilo di Kundasang, nanti saya belikan 8 kilo untuk kita. Bole bah?

    Caha, ke kundasang itu untuk mencari rejeki. Sebenarnya kalau saya ada event, saya akan pilih hotel di Kundasang. Nyaman bah!



  • (Penulis)
    17) Dailog dalam cerpen telah saya tukar mengikut lengok bahasa pertuturan orang Sabah di Kundasang. Rasa cam pelik jugak sikit.

    Terima kasih Nurie.

    Sia = saya
  • 18) salam kembali pak penyu...

    saya rasa lega. lega kerana cerita yang sangat menyentuh hati. memang berdasarkan pengalaman dan imaginasi yang kreatif. banyak yang saya belajar kali ini. terima kasih...

    kalau macam ni, saya pun nak pergi melanconglah. mana tahu terkeluar idea cerpen yang baru...
  • 19) menarik skali cerpen ini..
    wpon sia indak penah lagi ke Kundansang..
    tp pak penyu telah membuatkan sia dapat merasai keindahan yang nyaman sekali di Kundansang..

    nice piece.. clap..clap..

Cerpen-cerpen lain nukilan Upenyu

Read all stories by Upenyu