helpHelpfeedbackFeedback  Register
Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Selamat Datang Pelawat
Eh, masih belum mendaftar?
Log masuk jika sudah mendaftar
Penulisan > Cerita Pendek > Klasik
4.1
7 Penilai
Indera Panji dilanggar Todak
Tarikh Dihantar: 30/01/2007 | 22:12:39 PM | 362 Bacaan
Share

Indera Panji dilanggar Todak

(Alhamdulillah, karya ini telah tersiar di Tunas Cipta Januari 2009)

Syahdan, diceritera hikayat ini daripada Tok Selampit yang baru selesai petapaannya di Gunung Semanggul. Dahulu kala, sebelum Benggali Putih datang melanggar Melaka, tegaklah sebuah kerajaan di selatan Champa yang diberi nama Indera Panji. Akan nama rajanya, diberitakan bernama Raja Lestari.

Indera Panji ini hidup bersandarkan kepada pelabuhannya yang bernama Pelabuhan Indera. Oleh kerana terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Majapahit dan Champa, maka sibuklah pelabuhannya dengan jong-jong yang datang berteduh di sini tatkala laut bergelora. Secara umumnya, terdapat dua golongan rakyat sahaya yang tinggal di Indera Panji ini. Satu golongan yang hidup dengan maksiat di kawasan pelabuhan, dan satu golongan lagi yang beriman dengan Tauhid tinggal di hutan. Golongan yang warak ini diberi nama kaum Bertelinga Panjang dek kerana telinga mereka yang lazimnya lebih panjang dan lebih tirus berbanding manusia biasa.

Mengikut ceritera Tok Selampit, kaum Bertelinga Panjang ini telah mendapat wahyu Ilahi yang disampaikan oleh Nabi Allah Khidir A.S. Hiduplah mereka ini dengan rukun dan syariat Tuhan yang Maha Agung. Oleh kerana hidup mereka adalah di hutan, maka memanah merupakan kemahiran mereka yang paling tinggi. Diberitakan bukan sahaja mereka ini hebat memanah rusa, malahan burung rajawali yang terbang di udara itu pun boleh dialahkan. Begitulah kehebatan kaum ini yang diketuai oleh seorang pendekar sakti bernama Legolas.

Akan Raja Lestari ini, semakin hari semakin tua jugalah orangnya. Masygullah tuanku kerana ketika uban menutup kepala, masih tiadalah lagi dikurniakan waris. Hal ini menjadi kesusahan kepada baginda tuanku kerana jika tiada waris, maka bergoncanglah kerajaan Indera Panji jika ditakdirkan baginda wafat. Dikhabarkan kemasygulan ini kepada Bendahara Tun Gangsa.

“Wahai Tun Gangsa, apakah sampai beta menutup mata nanti.. beta masih tidak akan beroleh waris?”
“Ampun Tuanku. Patik faham akan kemasygulan Tuanku.”

“Apakah yang patut beta lakukan wahai mamak Bendahara?”
“Ampun Tuanku. Jika tiada keberatan, mahukah Tuanku mengikut patik ke Pelembang? Di sana khabarnya ada seorang tabib yang mustajab doanya.”

“Benarkah begitu wahai mamak Bendahara?”
“Ampun Tuanku. Sesungguhnya benarlah apa yang patik khabarkan ini.”

“Akan tetapi, pada siapa harus beta serahkan kerajaan ini sementara? Mamak Bendahara akan mengikut beta ke Palembang. Datuk Laksamana itu tiadalah boleh diharap kerana berzina sahajalah kerjanya saban hari. Akan Datuk Temenggung itu, arak sahajalah yang menjadi temannya siang dan malam.”
“Ampun Tuanku. Jika tiada bantahan Tuanku, patik cadangkan anakanda patik yang bernama Khalid Jones itu.”

“Khalid Jones? Bilakah mamak Bendahara mempunyai anak lelaki?”
“Ampun Tuanku. Bukan niat patik menyembunyikan Khalid Jones daripada pengetahuan tuanku. Tetapi, patik telah menghantarnya mengaji di Eropah. Di sana, anakanda itu belajar di bawah naungan kerajaan yang diperintah oleh Henry the Lionheart.”

“Baiklah, panggilah Khalid Jones itu mengadap. Katakan baginda Raja mahu ketemu.”
“Junjung perintah Tuanku.”

Gembiralah Bendahara Tun Gangsa akan hal ini. Maka, pulanglah mamak Bendahara itu ke rumahnya. Apabila sampai sahaja di rumah pada gelincir matahari, dilihatnya Khalid Jones masih nyenyak tidur.

“Bangun anak jahanam! Tuanku mahu ketemu anakanda di istana!”

Terkejutlah Khalid Jones dengan sergahan ayahandanya secara tiba-tiba itu.

“Apakah halnya tuanku menyuruh anakanda mengadap? Adakah kerana Tuanku tahu yang ayahanda telah mencuri 40 kati emas daripada perbendaharaan negara untuk membaiki rumah ini?”

“Diam anak jahanam! Tuanku yang bodoh itu mahu mencari pengganti sementara untuk Indera Panji. Tuanku mahu ke Palembang bersama ayahanda untuk bertemu seorang tabib. Bersiaplah! Pakai persalinan yang baik-baik.”

“Tetapi ayahanda, apakah hasilnya menolong Tuanku keparat itu? Bukankah ayahanda selama ini berdoa siang dan malam supaya Tuanku itu lekas mati?”

“Haha, inilah peluang ayahanda untuk merampas kerajaan Indera Panji ini. Sampai sahaja di Palembang, akan ayahanda suruh seorang panglima membunuh tuanku. Kemudian, ayahanda akan merajai Indera Panji ini! Sudah, jangan banyak bicara! Lekas bersiap!”

Syahdan, itulah niat buruk oleh mamak Bendahara Tun Gangsa kepada Raja Lestari. Maka, apabila dibawa sahaja Khalid Jones ke istana, gembiralah Raja Lestari kerana pengganti sementaranya adalah seorang pemuda yang pada pandangan matanya, baik belaka. Setujulah Raja Lestari dengan cadangan Bendahara Tun Gangsa itu.

Maka, pada suatu hari di penghujung Safar, bertolaklah Raja Lestari menuju ke Pelembang. Hal urusan kerajaannya diuruskan oleh anak Bendahara Tun Gangsa yang bernama Khalid Jones itu. Sebelum berangkat pergi, dinasihatkan oleh Raja Lestari kepada Khalid Jones supaya dijaga Indera Panji ini sebaik-baiknya.

Sukalah Tok Selampit menambah di sini akan latar belakang Khalid Jones itu. Walaupun telah dihantar mengaji di Eropah, tetapi yang dibawa pulang dari kerajaan Henry the Lionheart itu adalah sifat-sifat buruk Benggali Putih. Zina adalah kegemaran beliau. Bukan itu sahaja, hubungan baiknya dengan bangsawan-bangsawan di Eropah sana memudahkan beliau mendapatkan arak-arak mahal untuk diminum bersama-sama dengan kroni-kroninya.

Pabila Khalid Jones berkuasa, maka sengsaralah rakyat Indera Panji. Perkara pertama yang diwartakan dalam perlembagaan Indera Panji adalah pungutan cukai kepala di kalangan rakyat. Habis semuanya diarahkan supaya membayar cukai kepala setiap purnama. Tindakan beliau itu, tidak disanggah oleh mana-mana pembesar pun kerana Khalid Jones bijak merasuah mereka dengan arak, emas dan dayang istana. Hal ini mengakibatkan kemarahan Legolas, ketua kaum Bertelinga Panjang. Utusan yang dihantar oleh Khalid Jones kepada Legolas pulang dengan terkencing-kencing apabila hampir dipanah oleh Legolas di belalainya.

Mendengar kepada kegagalan utusannya mengambil cukai kepala daripada kaum Bertelinga Panjang, maka gentarlah Khalid Jones. Tiadalah Khalid Jones mengambil apa-apa tindakan kepada kaum itu kerana bimbang akan keselamatan belalainya. Tiadalah tentera Indera Panji berani melanggar kaum itu kerana kehandalan mereka dalam memanah.

Diberitakan pula akan perjalanan Raja Lestari dan Datuk Bendahara Tun Gangsa ke Palembang. Setelah sepurnama berlayar, seorang panglima yang bernama Si Pitung telah menerima rasuah daripada Datuk Bendahara dan membunuh Raja Lestari ketika baginda sedang beradu. Gembiralah Datuk Bendahara dengan kemangkatan Raja Lestari. Lantas, diarahkannya supaya jong itu berpatah balik ke Indera Panji. Dalam perjalanan pulang itu, dengan takdir Allah Ta’ala, bergeloralah laut dengan gelora yang maha dasyhat. Jong yang membawa Datuk Bendahara Tun Gangsa itu karam di tengah lautan. Menurut berita yang sampai ke telinga Tok Selampit daripada seekor burung hud-hud, mayat Datuk Bendahara Tun Gangsa telah dikoyakkan oleh seekor ikan gergasi di tengah lautan, wallahualam.

Akan halnya di Indera Panji, berterusanlah kehidupan sengsara dan penuh kemaksiatan di kalangan rakyatnya. Pada suatu hari di pertengahan Ramadhan, disuruhnya oleh Khalid Jones kepada sidang menteri untuk diadakan satu majlis keramaian demi meraikan Aidilfitri yang menjelang tiba. Bersetujulah sidang menteri dengan rencana Khalid Jones itu kerana masing-masing mereka akan dibekalkan dengan 3 orang dayang istana sebagai hadiah.

Arakian, pada 1 syawal berlangsunglah sebuah pesta maksiat di Indera Panji. Diadakan juga majlis nyanyian secara besar-besaran yang dipanggil Pesta Inderasia. Di penghujung pesta itu, dihalalkan pula oleh Khalid Jones untuk mengadakan pesta arak dan disusuli dengan pertandingan zina di kalangan pemuda. Pesta ini yang diadakan di Pelabuhan Indera, mendapat sambutan hangat daripada rakyat Indera Panji meskipun hidup melarat dibebani cukai kepala.

Kerana kemarahan Tuhan yang Maha Berkuasa, pada malam itu juga datanglah segerombolan ikan todak menyerang pelabuhan. Ramailah rakyat yang sedang mabuk dan berzina di Pelabuhan Indera yang mati ditikam todak. Gentarlah Khalid Jones dengan serangan todak itu lalu berundur beliau ke istana.

Hal ini berlarutan sehingga beberapa hari. Tiada sesiapa pun yang selamat ketika mendatangi pelabuhan. Ikan todak yang entah mana datangnya itu akan melompat menikam sesiapa sahaja. Murunglah Khalid Jones kerana dengan kehadiran todak di pelabuhan, maka bekalan arak yang dipintanya daripada bangsawan di jajahan Henry the Lionheart tiadalah boleh berlabuh. Bukan itu sahaja, malah jong-jong dari Champa dan Majapahit juga terkandas dan menukar haluan ke pelabuhan lain. Pasar di Indera Panji telah kehilangan pedagang dan ini mengakibatkan penderitaan rakyat Indera Panji.

Datanglah Datuk Laksamana memberi cadangan supaya soldadu Indera Panji berbuku betis di pelabuhan. Khalid Jones yang pada ketika itu sedang bersiram dengan dayang-dayang istana di Taman Larangan tanpa berfikir panjang terus bersetuju. Maka, dikerahkanlah oleh Datuk Laksamana kepada soldadu Indera Panji supaya berbuku betis di pelabuhan. Namun, kerana kebodohan Datuk Laksamana dan kebahalolan Khalid Jones di isana, ramailah askar Indera Panji yang tewas ditikam todak. Pulanglah Datuk Laksamana ke istana melaporkan keadaan malang di pelabuhan.

Khalid Jones semakin murung. Tekaknya sudah gatal mahu menonggang air kencing syaitan dari Eropah. Maka, datanglah cadangan daripada Datuk Temenggung yang ketika itu sedang mabuk dengan tuak. Dicadangkannya supaya mengambil batang pokok pisang dari ladangnya supaya dijadikan perisai. Gembiralah Khalid Jones dengan cadangan itu. Tetapi, Datuk Temenggung mengenakan syarat supaya dibayar pampasan sebanyak 80 tahil emas sebagai gantirugi padahal ladang pisangnya telah dipetik buahnya 3 purnama yang lalu. Bersetujulah Khalid Jones. Disuruhnya Penghulu Bendahari mengeluarkan emas yang diminta dari gudang istana.

Maka, berbondong-bondonglah askar Indera Panji menanam batang pisang di pelabuhan. Namun, tetap juga mengalami kegagalan. Setiap kali ada yang mahu menegakkan batang pisang di pelabuhan, akan muncullah todak dari air dan merobek dada mereka. Ketakutan dengan hal itu, maka berlarilah Datuk Laksamana sambil terlondeh-londeh sampingnya kembali ke istana melaporkan kejadian itu.

Sedihlah Khalid Jones. Tekaknya semakin gatal mahu menonggang arak buatan Eropah. Datanglah seorang pengawal istana mencadangkan supaya menggunakan kepakaran kaum Bertelinga Panjang dalam bidang memanah. Gembiralah Khalid Jones dengan cadangan pengawal istana itu lalu diutuskannya seorang utusan bagi menjemput Legolas datang ke istana bagi mewakili kaum Bertelinga Panjang. Akan pengawal istana itu pula, dipancung kepalanya oleh Khalid Jones kerana keengganan pengawal istana itu menerima dayang istana sebagai hadiah.

Akan Legolas ini, kasihanlah di hatinya melihat penderitaan rakyat yang hilang mata pencarian kerana lumpuhnya Pelabuhan Indera. Maka, bersetujulah Legolas untuk membantu. Dikerahkannya seluruh kaum Bertelinga Panjang supaya membawa busur dan anak panah masing-masing menuju ke pelabuhan. Apabila sudah bersedia, berjalanlah Legolah menuju ke pelabuhan dengan diawasi oleh kaumnya di belakang. Melompatlah beberapa ekor ikan todak cuba untuk menikam Legolas yang semakin hampir ke pelabuhan itu. Namun, sebelum sempat ikan todak itu menikam Legolas, matilah ikan todak kerana dipanah kaum Bertelinga Panjang.

Begitulah yang terjadi dari seawal syuruk hinggalah ke maghrib. Dengan izin Allah, habislah ikan todak di pelabuhan. Gembiralah rakyat dengan kejayaan Legolas dan kaum Bertelinga Panjang menghapuskan ikan todak itu. Ramailah yang bertaubat daripada kehidupan maksiat yang ditaja oleh Khalid Jones selama ini dan menerima Tauhid.

Pengaruh Legolas semakin berkembang semenjak kejayaan kaum Bertelinga Panjang menghapuskan ikan todak di Pelabuhan Indera. Timbullah niat jahat Datuk Temenggung menabur fitnah mengatakan Legolas dan kaum Bertelinga Panjang mampu menggugat kedudukan Khalid Jones. Jika ikan todak mampu dipanahnya, apatah lagi Khalid Jones dan sidang menterinya. Terpengaruh dengan kata-kata Datun Temenggung, maka Khalid Jones merencana sesuatu untuk menghapuskan kaum Bertelinga Panjang.

Pada hari ke-3 selepas kejayaan Legolas dan kaum Bertelinga Panjang menghapuskan ikan todak di pelabuhan Indera, Khalid Jones mengarahkan supaya seluruh kaum Bertelinga Panjang agar datang ke istana untuk bersantap dan meraikan kejayaan mereka. Sementelah pula, Khalid Jones mengumumkan mahu bertaubat daripada segala kemaksiatan beliau selama ini dan mahukan Legolas menyaksikan sendiri Tauhid yang bakal Khalid Jones peluk.

Gembiralah Legolas mendengar pengakuan Khalid Jones itu. Maka, seluruh kaum Bertelinga Panjang diarahkannya menuju ke istana tempat Khalid Jones bersemanyam. Disajinya kaum itu dengan santapan diRaja yang sedap-sedap. Manakala Legolas pula, dianugerahkan dengan persalinan yang baik. Namun, selepas majlis keramaian itu, jatuhlah seorang demi seorang kaum Bertelinga Panjang rebah tiada bernyawa ke bumi. Barulah Legolas tahu bahawa makanan mereka telah diracuni oleh Khalid Jones.

Akan Legolas pula, di saat beliau menggelepar menunggu ajal, dipancung kepalanya oleh Khalid Jones. Syahidlah Legolas bersama-sama seluruh kaumnya di istana. Mayat mereka telah ditelanjangkan dan dijemur di sepanjang pantai sebagai tanda kuasa Khalid Jones di dalam Indera Panji. Hal ini menakutkan rakyat yang rata-ratanya sudah bertaubat. Maka, kembalilah rakyat hidup dalam maksiat lantaran bengisnya Khalid Jones itu.

Syahdan. pada keesokan harinya, kedengaranlah bunyi dengung yang maha kuat dari hutan tempat tinggalnya kaum Bertelinga Panjang. Bunyi itu kedengaran sampailah ke Pelabuhan Indera. Khalid Jones yang kehairanan mendengar bunyi dengung itu lantas mengarahkan seorang utusan pergi menyiasat. Belumpun sempat sang utusan itu keluar dari gerbang istana, datanglah tentera nyamuk utusan Allah menyerang Indera Panji.

Paniklah seantero rakyat dan pemerintah. Nyamuk itu bagaikan kelaparan 3 purnama, lantas menyedut habis darah sekalian rakyat Indera Panji yang telah murtad dengan Tauhid Ilahi. Melihat kepada keadaan itu, larilah Khalid Jones dan sidang menterinya masuk ke balairong istana untuk mengelakkan dari diserang tentera nyamuk.

Namun, siapalah yang dapat menghalang murka Allah? Masuklah tentera nyamuk ke balairong istana lantas menyedut darah sidang menteri. Salah seekor dari nyamuk itu telah masuk ke dalam badan Khalid Jones lalu mendarat ke otaknya. Menderitalah Khalid Jones selama 3 hari dan 3 malam lantaran kesakitan yang maha dasyat itu. Menjelang hari ke-4, matilah Khalid Jones itu dengan penuh kehinaan.

Hancurlah Indera Panji dari mukabumi. Diberitakan orang, keturunan Khalid Jones masih hidup di bumi ini dan kini sedang memerintah sebuah kerajaan sekular di sekitar Nusantara.

Wallahualam.



HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.1
7 Penilai

Komen
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

Perihal Penulis
jojo
Hantar Mesejjojo

Karya
print CETAK
email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

Lain-lain karya jojo
M01S01 - Urusan Seri Paduka Baginda
Betelguese, Aldebaran dan Measat-70
Meeting - Siri 1
Kencana dan Arjuna
Lihat semua


iklaneka


iklan
Iklan PrasastiIklan Datakl
Iklan Kapasitor