Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

BACK TO HISTORY

 

CERITA SATU


RINA PULANG KE PANGKUAN KELUARGA HULU KLANG: “Mak Cik Esah cukup misteri. Dia keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Dia hanya bercakap tidak lebih 10 kali sepanjang seminggu saya menumpang di rumahnya. “Rumah mak cik jauh ke dalam (kampung), mungkin di satu kawasan kebun. Banyak kali saya cuba berbual dengannya tetapi setiap kali bertanya, Mak Cik Esah hanya mendiamkan diri,” kata Nurkhairina Areni, 17, pelajarSekolah Menengah Teknik Muadzam Shah, Pahang, yang kembali ke pangkuan keluarga selepas hilang sejak 11 Mei lalu. Nurkhairina pulang ke rumahnya di Taman Al-Ridhuan, di sini, semalam selepas dihantar seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang hanya dikenali sebagai Mak Cik Esah, berasal dari Segamat, Johor, ke Stesen Putra-LRT di Kelana Jaya, petang kelmarin. Pelajar tingkatan lima itu tiba di rumahnya kira-kira jam 8 malam ketika anggota keluarganya yang lain sibuk berbincang mengenai usaha mencarinya. Menurut Nurkhairina yang lebih mesra dipanggil Rina di kalangan ahli keluarga, Mak Cik Esah juga sentiasa mendiamkan diri setiap kali dia meminta bantuan untuk menghubungi keluarganya. “Mak Cik Esah yang tinggal seorang diri di rumah kayu tradisional itu tidak pernah berbicara hal peribadi atau perkara lain berkaitan dirinya. “Perwatakannya lembut ketika berbicara tetapi seolah-olah enggan berbual dengan saya walaupun saya cuba berkali-kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Rina hanya bertemu Mak Cik Esah setiap kali dia keluar bekerja pada awal pagi dan adakalanya pada lewat malam apabila pulang dari tempat kerja. Menurut Rina, dia tidak pernah nampak pelawat datang ke rumah wanita itu atau sesiapa berada berhampiran kediaman berkenaan. “Sepanjang seminggu di sana, saya hanya membaca buku, termenung dan memikirkan apa akan berlaku selepas ini selain rindu pada keluarga. “Saya cuba meluahkan perasaan itu pada Mak Cik Esah tetapi berikutan kesibukannya bekerja dari awal pagi hingga lewat malam, saya pendamkan saja dalam hati,” katanya. Menurutnya, walaupun tidak banyak berbual, Mak Cik Esah tidak pernah lupa menyediakan makanan untuknya kerana wanita itu sering pulang lewat. “Selama seminggu, saya makan nasi berlaukkan telur goreng. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana Mak Cik Esah meninggalkan barang dapur untuk saya masak,” katanya. Rina berkata, dia terkejut apabila Mak Cik Esah memintanya mengemas barang peribadinya sebelum memberitahu dia akan menghantarnya pulang, pagi kelmarin. Gadis itu berkata, sebaik mendengar arahan itu, dia bergegas berkemas dan tidak sampai 10 minit kemudian, mereka bertolak dari Segamat ke sini. “Kami bertolak dari sana pada tengah hari dan sepanjang perjalanan menaiki kereta Honda lama berwarna merah miliknya yang dipandunya, dia langsung tidak bercakap dengan saya. “Saya memintanya menghantar ke Stesen Putra LRT Kelana Jaya dan Mak Cik Esah memberikan saya RM10 sebagai tambang. Dia terus berlalu sejurus kemudian,” katanya. Rina berkata, dia hanya sempat mengucapkan terima kasih kepada Mak Cik Esah dan wanita itu hanya tersenyum mesra sebelum beredar dari situ dengan alasan ada urusan lain. Menceritakan kejadian sebelum dibawa Mak Cik Esah pulang ke rumahnya pada 11 Mei lalu, Rina berkata, sebaik tiba di terminal bas Segamat, dia segera ke kaunter untuk membeli tiket bas ke Muadzam Shah. “Ketika sibuk mencari kaunter tiket, saya rasa ada orang meraba poket belakang seluar dan sejurus kemudian mendapati beg duit sudah tiada. “Saya terpinga-pinga dan risau selain berjalan mundar-mandir memikirkan apa perlu dibuat kerana saya tidak kenal sesiapa di sana,” katanya yang kehilangan wang tunai RM50 serta pelbagai dokumen lain. Rina yang ketakutan kemudian menunggu di terminal berkenaan dan berharap ada orang sanggup membantunya mendapatkan tiket pulang ke Muadzam Shah. Dia yang kepenatan dan kelaparan kemudian berbaring di pangkin terminal bas itu sebelum tertidur. Sebaik terjaga dari tidur keesokan paginya, Rina berkata, seorang wanita yang bersimpati mengajaknya tinggal sementara di rumahnya di perkampungan berdekatan bandar Segamat. Wanita itu juga berjanji menghantar saya ke Kuala Lumpur pada Rabu kerana pada hari berkenaan, dia ada urusan di ibu negara. Rina memeranjatkan keluarganya apabila tiba-tiba muncul di rumahnya di Hulu Klang, malam kelmarin. Menurutnya, dia sudah menghubungi rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Teknik Bandar Muadzam Shah dan berjanji akan memulakan persekolahan semula minggu depan.


CERITA DUA


KUALA LUMPUR: Wanita misteri dikenali sebagai Mak Cik Esah yang menghantar Nurkhairina Areni, 17, pelajar Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah, Pahang, kembali ke pangkuan keluarganya Rabu lalu, diyakini berniat baik dan mahu membantu dengan ikhlas.

Bapa pelajar itu, Areni Sahari, 45, berkata siasatan awal pihak polis mendapati Mak Cik Esah tidak mempunyai niat terselindung walaupun menurut cerita Nurkhairina, dia berkelakuan pelik dan tinggal berseorangan di kampung terpencil berdekatan bandar Segamat.

“Jika dia berniat tidak baik, mengapa dia sanggup menghantar Nurkhairina dari Segamat ke Kuala Lumpur dan memberinya tambang untuk pulang ke rumah.

“Mungkin dia terlalu sibuk untuk menghantar Rina atau malu untuk bertemu dengan keluarga kami. Saya tetap berasakan wanita itu ikhlas membantu anak saya,” katanya yang hadir bersama isteri, Halimah Abdullah dan Nurkhairina di pejabat Harian Metro, semalam.

Misteri kehilangan Nurkhairina terjawab dengan kepulangannya ke rumah keluarganya di Flet Taman Al-Ridhuan, Jalan Hulu Klang, di sini, kira-kira 8 malam Rabu lalu selepas sembilan hari dilaporkan hilang.

Kelmarin, Nurkhairina dilaporkan berkata, seorang wanita 40-an yang dikenali sebagai Mak Cik Esah membantu menghantarnya ke stesen Putra-LRT Kelana Jaya dan memberikan wang RM10 sebagai tambang untuk pulang ke rumah.

Sebelum itu, wanita itu menumpangkannya selama tujuh hari di sebuah rumah papan selepas terjumpa gadis malang itu di stesen bas Segamat, pagi Rabu minggu lalu.

“Mak Cik Esah melahirkan hasrat membantu saya selepas mengetahui dompet saya diragut dan berjanji akan menghantar saya ke Kuala Lumpur pada Rabu berikutnya,” katanya.

Menceritakan kembali pengalamannya tinggal bersama wanita itu, Nurkhairina berkata, perwatakan Mak Cik Esah lemah lembut dan memakai tudung membuatkannya percaya atas kejujuran wanita itu untuk membantunya.

“Walaupun tidak pernah menunjukkan minat untuk berbual dan suka berdiam diri, janjinya untuk menghantar saya pada pagi Rabu membuatkan saya percaya kepadanya.

“Saya tidak terfikir dia akan mengapa-apakan saya. Tambahan pula, ketika itu saya fikir Mak Cik Esah adalah satu-satunya harapan saya untuk kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Mak Cik Esah biasanya pulang kerja pada lewat malam dan tidur berhampiran dengannya tetapi amat kurang bercakap dan lebih suka mendiamkan diri.

“Saya pernah cuba bertanyakan keluarga Mak Cik Esah tetapi dia hanya memalingkan muka dan berdiam diri. Selepas itu, saya hanya bercakap dengannya apabila perlu.

“Sewaktu saya turun dari kereta di stesen Kelana Jaya, saya mengucapkan terima kasih tetapi Mak Cik Esah tidak berkata apa-apa dan hanya menghulurkan wang RM10,” katanya.

Menurutnya, rumah wanita itu yang terletak jauh dari rumah penduduk lain dan dikelilingi semak-samun membuatkan dia bosan apabila ditinggalkan berseorangan. Rumah itu juga terletak jauh dari bandar Segamat.

“Rumah itu hanya mempunyai dua tingkap dan hanya ada sebuah televisyen lama di ruang tamu. Agak lucu, tetapi saya terpaksa membaca buku teks yang saya bawa bersama ketika pulang bercuti di rumah untuk menghilangkan bosan,” katanya.

Nurkhairina berkata, dia tidak akan menjadikan peristiwa itu sebagai penghalang untuk bergaul dengan orang lain dan bertekad meneruskan cita-citanya untuk mencapai sasaran 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

“Sejak kecil, saya diajar berdikari dan bersemangat tinggi serta tidak mudah mengaku kalah. Siapa tahu mungkin peristiwa ini mempunyai rahmat di sebaliknya.

“Tidak mungkin peristiwa ini membuatkan saya fobia untuk berhadapan dengan orang ramai kerana sikap saya memang periang sebelum ini,” katanya.

Pada kunjungan itu, Halimah, 44, berkata anaknya sudah bergaul mesra dengan adik-beradik lain tetapi masih kurang berselera untuk makan kerana hanya memakan nasi berlauk telur ayam goreng sepanjang tinggal di rumah Mak Cik Esah.

Nurkhairina mencelah, perkara itu terjadi kerana rumah Mak Cik Esah tidak ada peti ais untuk menyimpan barangan mentah seperti daging atau ikan.

Menurut Areni, beliau tidak berhasrat menukar anaknya ke sekolah lain kerana tindakan itu dikhuatiri mengganggu tumpuan Nurkhairina bagi menghadapi SPM, hujung tahun ini.

“Peristiwa ini adalah sesuatu di luar dugaan kita sebagai manusia. Saya tidak fikir dengan menukarkan dia ke sekolah yang lebih dekat di ibu kota akan menyelesaikan masalah.

“Malah, menjadi satu masalah untuk menguruskan permohonan bertukar sekolah selain memaksa Rina menyesuaikan diri dengan persekitaran baru bersama teman dan guru berlainan.

“Jalan terbaik adalah meneruskan pelajaran di sekolah lama walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga. Ini memastikan dia dapat menumpukan perhatian dalam SPM tahun ini,” katanya.

Source: http://www.mesra.net/forum/lofiversion/index.php/t39853.html

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ha? Cerpen ke ni?
  • 2) salam daniesha,
    di ruangan karya kreatif ini hanya untuk tulisan sendiri sahaja.

    kalau mahu kongsikan sesuatu seperti ini, eloklah dihantar ke blog (komuniti)
    mohon dipindah ya
  • 3) mcm baca newspaper laks.hehe. xper2..teruskan berkarya
  • 4) ehm..
  • 5) datang melawat

Cerpen-cerpen lain nukilan daniesha

Read all stories by daniesha
No stories.