Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Perempuan Itu Memang Ingin Pulang

Cerpen sebelumnya:
BACK TO HISTORY
Cerpen selanjutnya:
Bunga

pon

            Hujan turun begitu lebat sekali, mencurah-curah membasahi permukaan jalanraya. Titik-titik hujan yang turun begitu deras menerjah ke cermin keretanya menghasilkan bunyi yang agak menganggu tumpuannya. Pohon-pohon di tepi jalan jelas bergoyang-goyang ditiup angin. Sesekali kilat sambar menyambar. Kabus tebal menghalang jarak pandangannya.Tiada lampu jalan sepanjang dia melalui jalan itu. Hanya cahaya dari lampu keretanya sendiri sahaja membantu pemanduannya.

               Jam digital di keretanya menunjukan pukul dua belas lima minit malam. Sistem pendingin keretanya telah diturunkan ketahap minimun, itu pun kedinginan masih tetap terasa. Kereta dipandunya perlahan dan berhati-hati. Johari bimbang juga untuk memandu laju dalam keadaan cuaca begini. Mungkin ada pokok tumbang di atas jalan atau air naik melimpahi jalan, fikir Johari.

            Telah hampir setahun Johari tidak pulang ke kampung. Rindu terasa bila mengenangkan ibu dan ayahnya berdua sahaja yang masih di kampung. Manakala kakak dan abang-abangnya yang lain telah lama berhijrah ke bandar. Kali terakhir dia pulang pada Aidil Fitri yang lalu. Sejak menjawat jawatan pengurus selia projek di sebuah syarikat pemaju perumahan dia agak sibuk memantau projek-projek perumahan di beberapa buah negeri di utara. Ini pun dia pulang kerana ibunya yang seakan merajuk kerana telah lama dia tidak menjenguk mereka di kampung.

         Radio di keretanya sedang memainkan lagu-lagu tahun 60 an. Dia cukup terhibur mengengar lagu-lagu itu yang menjadi temannya sepanjang perjalanan pulang ke kampong. Walau pun umurnya baru mencecah 28 tahun, dia begitu meminati lagu-lagu sebegitu. Agaknya kerana sering mencuri dengar ayah memasang lagu-lagu 60 an ketika dia balik bercuti. Dia tersenyum sendiri bila membayang bagaimana ayah mengoyangkan badannya yang agak tinggi dan gempal itu mengikuti rentak lagu-lagu 60 an.

          Terlihat papan tanda menunjukan Tanjung Karang, dia tahu hanya tinggal dua puloh kilometer sahaja untuk sampai ke rumahnya. Di kiri dan kanan jalan semuanya masih hutan. Hanya sesekali sahaja dia berselisih dengan kereta yang datang dari arah bertentangan. Laluan ke Tanjung Karang melalui Rawang dan terus ke Ijuk memang agak sunyi pada waktu malam.

           Dalam keadaan jalanraya yang sunyi sepi dan gelap gelita dia terpandang sebuah kereta di tepi jalan. Lampu belakang kereta itu menyala. Tiba-tiba dia terlihat satu susuk badan  keluar dari kereta dan terus melambai kepadanya. Keretanya telah sedikit kehadapan melepasi kereta itu. Segera dia memperlahankan keretanya sambil memandang melalui cermin pandang belakang. Dalam kegelapan itu, samar-samar dilihatnya seorang perempuan berbaju kurung berwarna cerah melambai kepadanya. Payung yang dipegang perempuan itu terbuai-buai ditiup angin.

             Walau pun merasa agak cuak juga malam-malam sebegini, dia segera memberhenti keretanya. Kasihan melihat perempuan itu yang berlari-lari anak di dalam hujan menuju ke arah keretanya. Pasti kereta perempuan itu rosak. Memang malam-malam begini tidak banyak kenderaan yang melalui kawasan ini.  Kalau ada pun tidak ramai yang mahu berhenti menolong.

             Wanita berbaju kurung itu menghampirinya sambil membongkokkan badannya mengetuk cermin kereta. Dalam kegelapan itu, masih dapat dilihat perempuan itu kebasahan. Mukanya ternampak pucat sahaja. Usianya mungkin dalam lingkungan awal tiga puluhan. Badan perempuan itu mengigil menahan kesejukan.

Dia menurunkan sedikit cermin keretanya. Tempias hujan mula masuk menerjah ke dalam kereta. Muka Johari yang agak berisi itu mula dibasahi air hujan.

             ”Maaf Encik. Saya nak minta tolong. Kereta saya rosak. Boleh  tumpangkan saya sampai ke kampong Terung. Dah tak jauh dari sini.” kata wanita berkenaan.

             Dia curi-curi merenung wajah wanita itu. Rasanya macam dia kenal perempuan itu. Walaupun telah lama meninggalkan kampungnya dan jarang-jarang balik, rasanya dia kenal perempuan itu.

             ”Saudari ni, Fatimahkan? Anak Hj Kassim? Masuklah.” Johari segera membukakan pintu kereta sambil menjemput perempuan itu masuk kereta.

             ”Ya, saya Fatimah. Mak sakit petang tadi. Itu yang saya pulang juga ke kampong malam-malam macam ni, tapi kereta tu buat hal pulak.” Balas perempuan itu perlahan lalu  masuk ke kereta sambil memeluk dirinya menahan kesejukan. Ada keharuman bunga melur mengiringi perempuan itu.

             Johari menjeling sedikit ke arah perempuan itu. Kasihan dia melihat perempuan itu mengigil kesejukan. Dia kebasahan. Walau pun begitu kecantikannya tetap terserlah. Kulitnya yang putih dan rambutnya yang basah lenjun itu panjang mencecah ke bahu.

            Johari menghulurkan tangannya ke tempat duduk belakang sambil teraba-raba mencari sesuatu.

             ”Ambillah kain pelikat saya ni. Awak kesejukan tu. Balut badan awak dengan kain pelikat ni.”

             Dihulurkan kain pelikat yang terlipat rapi kepada Fatimah. Kain pelikat berwarna kehijauan bercampur putih sentiasa ada didalam keretanya, digunakan untuk sembahyang apabila pergi bertugas di luar kawasan.

             Fatimah menyambut huluran kain pelekat itu. Segera dibuka lipatannya dan dibalut ke badannya.

            ”Terima kasih kerana pinjamkan kain pelikat ini.” Ujar perempuan tersenyum memandangnya.

            Dia teringat kisah Fatimah sepuluh tahun dulu. Satu kampung kecoh apabila Fatimah tiba-tiba sahaja hilang dari kampung. Hanya sekeping nota sahaja yang dtinggalkan. Nota itu bertulis meminta ayah dan ibunya tidak mencarinya lagi. Dia ke Kuala Lumpur bersama teman lelaki yang dicintainya. Puas ayah dan ibunya berusaha mencarinya ke merata-rata tempat hingga sampai ke Kuala Lumpur tapi gagal. Sejak itu tiada lagi berita tentang Fatimah. Kehilangan itu benar-benar mengecewakan dan memalukan keluarga Fatimah terutama ayahnya Tuan Hj Kassim, yang merupakan imam masjid Kampung Terung.

            Perempuan di sebelahnya itu hanya diam sahaja. Tiba-tiba dia terdengar perempuan itu menangis teresak-esak. Dijeling semula perempuan itu. Perempuan itu sedari tadi hanya tunduk kebawah, rambutnya terhurai menutupi sebahagian wajahnya. Johari menjadi serba salah.

           ”Kenapa awak menangis?” Soal Johari memecah kesunyian sambil menjeling ke arah perempuan itu.

              Disedari sejak perempuan itu mula masuk ke kereta, ada bau yang harum seumpama bauan bunga melor di dalam keretanya. Sesekali bau itu agak kuat dan kekadang hanya sedikit baunya. Dia sengaja buat tidak peduli sahaja.

                 ”Saya rindu, rindu ibu dan ayah. Saya ingin kembali kepada mereka memohon kemaafan atas sikap saya dahulu. Awak tahukan cerita saya!” Perlahan sahaja suara perempuan persis berbisik dalam esak tangisnya.

                  Johari mengangguk dan terus hanya mendiamkan diri. Di luar kereta, hujan masih terus lebat, diikuti oleh petir berdentuman, kilat sambar meyambar memancar hingga kawasan di sekitarnya menjadi terang seketika. Pokok-pokok bergoyang-goyang ditiup angin. Sesekali dirasakan petir itu berdentum terlalu hampir dengan keretanya.

              ”Jantan tu memang celaka!!. Dia jual aku pada tokey-tokey cina tu. Dia jadikan aku pelacur!!! Kerana cinta aku turut kehendaknya walau dihalang oleh ibu dan ayah. Sekarang aku sungguh menyesal!” Getus perempuan itu.

               ”Tapi... itu salah aku juga. Aku tinggalkan ayah, aku tinggalkan ibu, aku tinggalkan keluarga, aku tinggalkan kampung ini demi cinta. Demi cintaku kepada lelaki keparat tu.” Suara si perempuan itus perlahan dan teresak-esak.

            ”Dia mengkhianati ku. Dia mengkhianati cintaku. Aku bunuh kau, aku bunuh kau. Hahahaha!!” Tiba-tiba suara perempuan menjadi kasar aebuah gunung berapi sedang meledakkan laharnya.

             Johari sedikit tersentak dan terkejut. Dia sedikit menoleh ke arah perempuan itu, wajah perempuan itu masih tidak terlihat. Wajahnya terlindung oleh rambut yang mengurai kebawah. Tumpuannya pada pemanduan sedikit tergugat.

            Selang beberapa waktu perempuan itu kembali menangis. Johari agak sedikit risau terganggu dengan tingkahlaku perempuan itu. Sekejap dia menangis dan sekejap dia ketawa. Di hatinya mulai timbul kecurigaann tentang perempuan itu. Rasa seram mula menjalar di hati Johari. Keretanya dilajukan sedikit. Dia sedikit gugup.

            ”Aku dibawa ke merata-rata tempat. Aku diperdagangkan dari hotel ke hotel untuk dinikmati oleh lelaki-lelaki jahanam itu semua. Mereka mengawal aku setiap masa hingga tak dapat aku melarikan diri.” Sambung perempuan itu lagi.

            ”Semalam jantan sial itu membawa aku ke sebuah apartment di Pulau Pinang. Katanya malam nanti ada seorang Datuk akan melanggan aku. Selepas habis Datuk itu meratah tubuhku, jantan sial itu pulang dalam keadaan mabuk. Aku dibelasah sepuas-puasnya. Katanya Datuk itu tak puas hati dengan layananku. Aku lari masuk ke dapur. Lalu ku capai sebilah pisau. Sebaik jantan sial itu masuk ke dapur, aku rodok perutnya dengan pisau itu. Aku rodok lagi dan rodok lagi. Darah jantan sial itu bersemburan hingga lantai dapur itu menjadi merah. Hahahaha!!!! Puas hati aku! Aku dah bunuh dia!!! Puas hati aku melihat dia bergelimpangan mampus!!!! Hahahah!!!!

                 Suasana kembali senyap. Johari bagaikan kehilangan kata-kata. Hanya terdengar esakan perempuan itu bertingkah dengan bunyi titik-titik hijun yang menerjah cermin kereta. Radio keretanya tidak lagi berbunyi. Dia sendiri tidak sedar sejak bila radio itu tidak berbunyi.

          ”Abang takut ye?” tanya si perempuan memalingkan mukanya ke arah Johari sambil mempamerkan senyumannya. Giginya yang putih tersusuh indah Rambut basahnya yang basah lenjun menutupi wajah diselak sedikit. Wajahnya pucat. Matanya kelihatan sedikit kemerahan merenung tepat ke arah Johari.

            Johari kian cemas, bimbang perempuan itu melakukan sesuatu di luar kawalan. Dijeling lagi ke arah perempuan itu. Johari mula membayangkan perempuan itu tiba-tiba mencekik lehernya. Namun tidak ada reaksi yang luar biasa. Perempuan tetap menyandarkan badannya ke kerusi sambil wajahnya ditundukkan ke bawah.

            ”Aku berdosa kepada kedua ibu bapa aku. Tolong hantar saya kerumah ibubapa saya di Kampung Terung. Saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang dulu tu Saya terlalu mengikut hati tanpa mendengar nasihat ibubapa.” Pinta perempuan itu lembut  dan kembali menangis teresak-esak................................

Cerpen sebelumnya:
BACK TO HISTORY
Cerpen selanjutnya:
Bunga

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.1
9 Penilai

Info penulis

Sang Penyu

turtle with zero brain
Upenyu | Jadikan Upenyu rakan anda | Hantar Mesej kepada Upenyu

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Upenyu
TANAH SUKU EKAR | 4529 bacaan
Bisik Angin Teluk Bidara | 3022 bacaan
Di Sayap Kupu-Kupu Terbang | 4564 bacaan
Cerpen Kontot: Rajuk | 2562 bacaan
Kabus Dari Seberang | 3701 bacaan
Gerimis dan Pelangi | 2664 bacaan
Surat Cinta Threasia | 3485 bacaan
Syawal Terakhir | 3923 bacaan
Kerana Zuriat | 21435 bacaan
Rintik hujan di Kundasang | 2482 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

17 Komen dalam karya Perempuan Itu Memang Ingin Pulang
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik