Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Bunga

Cerpen sebelumnya:
Perempuan Itu Memang Ingin Pulang
Cerpen selanjutnya:
Fasa baru

DI HUJUNG kota ada sebuah rumah yang diperbuat dari batu yang berkonsepkan rumah Inggeris lama milik seorang wanita tua. Wanita tua yang sudah hampir dua puluh tahun hidup seorang diri. Keseorangan di rumah sederhana besar itu. Suaminya sudah lama meninggal dunia. Satu-satu anaknya pula telah pergi berhijrah ke bandar besar dan tidak pernah pulang menjenguknya di sini setelah sekian lama.

Di dalam sebuah kebun yang panjangnya enam kaki persegi dan lebarnya juga enam kaki persegi letaknya di sudut kanan halaman rumah wanita tua itu ditanam pelbagai jenis bunga. Ada mawar aneka warna, ada anggerik berbagai-bagai corak, ada seri pagi rona ungu dan ada dahlia yang kuning kelopaknya. Indah dan mengasyikan. Pokok-pokok bunga mawar ditanam di penjuru timur, cantik tersusun. Pokok-pokok anggerik pula ditanam di ufuk barat, disokong dengan kayu-kayan agar tampak lebih berseri. Di sekeliling pagar, ada pokok-pokok seri pagi yang menjalar sementara di bawahnya deretan pokok-pokok dahlia yang kuning tumbuh subur.

Setiap pagi wanita tua yang hidup seorang diri itu akan menyiram pokok-pokok bunganya sambil bernyanyi kecil. Hatinya gembira melihat bunga-bunga yang menguntum dengan warna-warna yang mempersona. Kala petang tiba, sekali lagi dia akan menyiram pokok-pokok di kebunnya itu. Sebulan dua kali, dia akan menabur baja supaya pokok-pokok bunganya terus menghasilkan bunga-bunga yang rekah mewangi. Itulah rutin yang dilakukan wanita tua itu setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun.

Sehinggalah suatu pagi, wanita tua itu tidak lagi bangun menyiram pokok-pokok bunganya. Bunga-bunga yang mekar di kebun itu mula diterpa gusar. Ke manakah wanita tua itu pergi? Ada sesuatu yang buruk telah berlaku pada wanita tua itu, kah?

“Cik Mawar, Cik Mawar, kamu rasa tuan kita itu jatuh sakitkah?” tanya Seri Pagi pada Mawar yang sedang menguntum mekar.

“Entahlah Cik Seri Pagi, saya tidak tahu,”

“Semalam saya ada dengar tuan kita itu batuk-batuk. Dengarnya agak teruk,” sampuk Anggerik yang tumbuh berdekatan dengan bilik wanita tua itu.

“Oh, teruklah kalau begini. Jika tuan kita sakit, siapa lagi yang hendak menjaga kita?” soal Mawar berbaur risau.

“Iya, betul cakap Cik Mawar. Apa yang perlu kita buat Cik Anggerik?” tanya Seri Pagi pula.

“Kita tidak mampu buat apa-apa. Kita tidak boleh bergerak,” jawab Anggerik.

“Jangan risau kawan-kawan. Walau kita tidak boleh bergerak, sekurang-kurangnya kita masih boleh berdoa. Mintalah pada Tuhan agar tuan kita itu panjang umur agar boleh terus menjaga dan menemani kita,” ujar Dahlia yang sejak tadi mendiamkan diri.

Pokok-pokok bunga itu mula berdoa. Seketika kemudian, pintu rumah dibuka. Seorang wanita tua dengan rambut putih penuh uban, menyarung baju labuh rona putih susu kelihatan di muka pintu. Wanita tua itu seperti biasa dengan tongkat di tangan kanan, terbongkok-bongkok berjalan keluar. Dia melangkah ke arah pili air yang dipasang getah panjang.

“Maafkan aku kerana lambat memberi kamu minum bunga-bungaku. Aku kurang sihat,” ujar wanita tua itu lalu memulas pili air dan mula menyiram pokok-pokok bunganya.

Selesai menyiram, dia duduk di atas permaidani rumput yang menghijau. Dia memerhati sekeliling. Hatinya gembira. Bunga-bunga yang ditanam hidup dengan baik. Tiba-tiba dia mengeluh. Terlalu berat kedengaran.

“Aku sudah semakin tua. Kesihatanku kebelakangan ini tidak begitu baik. Sering sahaja lelahku datang tidak kira masa. Kakiku ini juga serasa tidak larat lagi untuk melangkah,” ujar wanita tua itu lagi pada bunga-bunga di sekelilingnya.

Mawar, Anggerik, Seri Pagi dan Dahlia yang mendengar berasa sayu. Mereka bersimpati pada wanita tua itu. Setiap dari mereka keberatan untuk berpisah dengan tuan yang telah menjaga mereka dengan baik dan memberi kasih sayang yang melimpah-ruah.

“Umurku mungkin sudah tidak panjang lagi. Bila-bila masa sahaja aku boleh dijemput oleh Tuhan, pergi meninggalkan kamu semua,” ujar wanita tua itu lagi.

Mawar dan Seri Pagi sudah menangis teresak-esak. Dahlia pula hampir rebah ke tanah sementara Anggerik diam tanpa apa-apa reaksi. Mungkin di luar Anggerik tampak tabah namun di dalam hati, pasti sedang hebat bergelora dengan hiba dan duka.

“Aku risau. Kelak, bila aku tiada, bagaimana dengan kamu semua? Siapa yang hendak menjaga dan membelai kamu? Siapa yang hendak menyiram kamu pagi dan petang? Aku tidak tahu,” luah wanita tua itu.

Bayu yang bertiup sepoi-sepoi membuatkan anak rambut wanita tua yang beruban itu menari-nari. Sedikit-sebanyak ia menghantar damai dalam hati. Bunga-bunga itu turut resah seperti mana yang tuan mereka alami. Apakah nasib mereka di kemudian hari andai tuan mereka itu sudah tiada lagi dari muka bumi ini?

Bunyi enjin kereta rona hitam berhenti di halaman rumah menampar pendengaran wanita tua itu membuatkan dia tersentak. Lehernya dipanjangkan bagi melihat gerangan pemandu kereta mewah tersebut. Seorang gadis yang memakai pakaian korporat kelihatan begitu elegan, keluar dari perut kereta.

Gadis yang memakai cermin mata hitam itu mengulum senyum. Perlahan-lahan melangkah ke arah wanita tua yang sedang duduk bersimpuh di atas rumput itu.

“Apa khabar ibu? Ini Maria, anak ibu,” ucap gadis itu lalu duduk di sebelah ibunya.

“Maria? Benar ini kamu Maria?” soal wanita tua itu seakan tidak percaya.

“Ya, ini saya, anak ibu. Saya ke mari untuk menemani ibu. Saya tidak akan tinggalkan ibu lagi,” ujar gadis itu.

Wanita tua itu terus menerpa anak gadis yang telah sekian lama menghilang. Dia mendakap anaknya itu erat, seakan tidak mahu lepas. Mawar, Seri Pagi, Dahlia dan Anggerik yang melihat turut mengulum senyum. Nampaknya, mereka tidak perlu risau lagi. Mereka sudah dapat tuan baru yang akan turut sama menjaga mereka nanti.  Debunga mula bertebaran seiring dengan tiupan angin, membawa bersama haruman yang cukup mempersona!

 

TAMAT

Cerpen sebelumnya:
Perempuan Itu Memang Ingin Pulang
Cerpen selanjutnya:
Fasa baru

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.4
7 Penilai

Info penulis

Rizai Reeani / Ridha Reewani

Saya adalah penulis yang gemar menulis dalam genre cinta dan umum. Menulis pada saya bukanlah setakat mencoret bait-bait indah dan puitis tetapi lebih kepada menjiwai tulisan yang dikarang. Tidak kisahlah dalam kelompok arus perdana mahupun frinjan, tulislah sesuatu yang dapat menghiburkan dan dalam masa yang sama, memberi teladan. 
ridhrohzai | Jadikan ridhrohzai rakan anda | Hantar Mesej kepada ridhrohzai

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ridhrohzai
Melodi Cinta | 6253 bacaan
Cinta Yang Terlewat | 4313 bacaan
PCB#2: Aku dan Bro Ramu | 2503 bacaan
Biskut Kelapa Manis | 3505 bacaan
Surat buat Cikgu | 7555 bacaan
Permintaan | 2543 bacaan
Pusaka | 2861 bacaan
Luruhnya Dedaun Rindu | 3363 bacaan
Terima Kasih Cinta | 4603 bacaan
Menggapai Mimpi | 3996 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

18 Komen dalam karya Bunga
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik