Mata Hati Jiwaku

 

Pukul tiga pagi. Malam hening yang gelap dan sejuk itu tidak mendatangkan keselesaan buat Ba’in untuk lena nyenyak membuai mimpi. Sedang enak makhluk Tuhan yang lain merehatkan diri, mata Ba’in masih lagi terkebil – kebil tanpa ada rasa kantuk. Walaupun katil gergasi bersaiz permaisuri yang membuntang tubuhnya menawarkan kemewahan dan keselesaan, Ba’in masih lagi ralit terbuai dengan perasaan dan fikiran yang menerawang entah ke mana.

Shikin, isteri kesayangannya sudah mengerekot melayan mimpi indah di sebelah kanannya. Wajah manis dengan ruas pipi yang meninggi itu kelihatan tersenyum sendirian, seolah gembira di alam khayalan mainan akal yang cuba menyusun kembali maklumat di waktu begini. Rambut hitam lurus dan ikal beralun menutup separa dahi Shikin. Ba’in mengelus rambut isterinya lembut; jemarinya mengusap raut wajah wanita yang amat dicintainya itu.

Ba’in cuba untuk memusingkan badannya untuk menghadap Shikin, tetapi badannya tetap kaku tidak berganjak dari posisi asal. Dipaksanya juga untuk melingkar, tapi hanya sakit yang datang mencucuk. Ba’in mengeluh. Matanya kembali terkebil merenung siling putih tidak bercorak.

Shikin seakan sedar akan keluhan suaminya, lalu bangkit membuka mata melihat jika ada yang tak kena. Perlahan Shikin berbisik..

“Abang, kenapa tak tidur lagi?” ujarnya manja.

Terlakar senyuman di wajah Ba’in, lalu dia menolehkan kepala menghadap Shikin. Tiada suara yang keluar dari kerongkong; hanya anak mata Ba’in yang mengkhianati diri menunjukkan resah gulana di dalam jiwa. Shikin yang sudah lali dengan perangai suaminya menghulur tangan melingkarkan jari dengan lelaki kesayangannya itu.

“Janganlah difikirkan lagi ya bang. Dah takde rezeki abang untuk kerja kat situ.”

“Abang sedih, sayang. Tak apalah kalau tiada rezeki, tapi tak perlulah sampai hendak menghina abang. Hina rasanya dibuat seperti anjing.”

Shikin cuma senyap, termangu dengan luahan hati Ba’in. Jari jemari Ba’in dielus perlahan tanda percubaan Shikin menenangkan Ba’in.

“Bukan abang tak boleh buat kerja tu, tapi diorang hinakan abang; kata abang pendek, keras, menyusahkan orang lain. Tak guna jugalah ada sijil bagai-bagai, fizikal abang juga yang dipentingkan.”

Shikin tidak menjawab; telinganya sengaja ditulikan. Puas Shikin memujuk sedari petang, namun Ba’in tetap mengungkit kejadian semasa temuduganya siang tadi.

Sejak Ba’in lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya setahun lalu, Ba’in telah dibuang kerja dan dihina oleh kelompok manusia sekeliling.  Manusia – manusia kejam menganggap Ba’in seorang yang tidak lagi berguna. Walaupun kebolehan dan pengalaman Ba’in dalam bidang teknikal komputer seluas lautan Pasifik dan setinggi Gunung Everest, namun kehadiran Ba’in sahaja telah tidak disenangi oleh golongan korporat yang berlagak keparat.

Pernah panas telinga Shikin apabila ada manusia yang menyindir Ba’in tatkala dia datang untuk temuduga pertamanya selepas keluar dari hospital. Setiap bait perkataan yang didengar tatkala menolak kerusi roda Bain itu masih tertancap di minda Shikin..

“Duduk rumah sajalah kalau dah lumpuh tu. Sibuk je nak kerja kat office, mana ada tempat nak letak wheelchair tu..”

Bergenang mata Shikin bila terimbas kembali peristiwa itu. Apa tidak punya perasaankah golongan “orang terhormat” ini? Begitu kejikah golongan manusia berkolar putih ini?

“Kin...”

Lamunan Shikin terhenti bila terdengar suara suaminya memanggil.

“Abang mintak maaf..”

“Untuk apa?”

“Pasal abang selalu menyusahkan Shikin.”

Naluri kewanitaannya terusik, namun dikeraskan hati agar air mata tidak menitik.

“Abang tak dapat bagi nafkah langsung kat Shikin. Zahir, batin. Abang nak gerak sendiri pun dah tak boleh. Seluar pun sayang kena tolong abang pakaikan..”

Nafas Ba’in terhenti seketika. Perlahan nafas ditarik sebelum kata – kata diteruskan.

“Sayang.. kalau sayang nak mintak cerai pun, abang sanggup lepaskan sayang dari..”

Seraya itu Shikin bingkas bangun dan meletakkan jari telunjuk di bibir Ba’in. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar lebih lanjut luahan perasaan Ba’in.

“Bukan itu yang Shikin pandang bang. Kin sanggup bersusah payah dengan abang – Kin bahagia dengan abang. Sebelum ini abang dah banyak berkorban untuk Kin. Abang tak ingat?”

Tangan Shikin memegang peha kanan Ba’in. Ditepuk peha suaminya perlahan. Tiada reaksi dari Ba’in. Nyata Ba’in tidak dapat lagi merasakan sentuhan lembut Shikin.

“Bukan ini sebab yang Kin sayangkan abang. Kin tak pandang kekurangan abang ni. Tapi ini..”

Jari telunjuk Shikin menginjak perlahan dada Ba’in.

“Mata hati abang yang buat Kin bahagia. Personaliti abang yang Kin sayangkan. Abang yang pernah memberi kesenangan dan kebahagiaan buat Kin. Kin tak mahu pentingkan diri sendiri bang, tinggalkan abang bila abang kesusahan. Jangan cakap macam tu lagi ya? Kin tak nak dan tak akan tinggalkan abang.”

Ba’in merangkul pinggang isteri kesayangannya itu dan Shikin terus berbaring di atas dada Ba’in; tanda kemesraan yang terjalin sejak sekian lama. Ba’in mencium ubun-ubun Shikin. Air mata yang cuba diempang tidak lagi tertahan. Perlahan air mata mengalir tanda kebahagiaan nikmat rasa disayangi dan dihargai – sebuah kurniaan Tuhan yang masih lagi tidak ditarik daripadanya.

“Terima kasih sayang.”

Terukir secubit senyuman di wajah Shikin.

“Sama – sama bang. Tidur ok?”

Dan Ba’in hanya mampu mengangguk lemah. Nyata hatinya tersentuh dengan kesetiaan sang isteri..

*************************************************************

Jarum jam telah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Shikin yang baru pulang dari pasar membeli barangan runcit terjelupuk di sofa ruang tamu. Kipas di atas kepalanya berputar laju umpama dilanda taufan. Nafas dihela perlahan tanda penat.

Matahari masih lagi belum tinggi melangit mahupun tegak membakar di atas kepala, namun rutin Shikin setiap pagi kini amat melesukan. Setiap pagi, Shikin akan membantu suaminya bersiap sebelum ke pasar. Jika suaminya ada temuduga, Shikinlah yang akan menghantarkannya. Mujurlah pagi ini ada abang iparnya yang mahu membantu untuk menghantarkan Ba’in, maka Shikin hanya ke pasar sendirian menaiki bas.

Shikin amat mengagumi suaminya; walaupun dihina, lumpuh, dan perlukan bantuan untuk bergerak, namun tanggungjawab beliau masih belum diabaikan. Masih sanggup dia menebalkan muka untuk mencari sesuap rezeki. Masih tinggi egonya untuk meminta belas kasihan dari orang ramai; jauh sekali untuk menerima dana kewangan untuk orang kurang upaya.

Teringat Shikin bagaimana kerasnya hati Ba’in untuk tidak mengambil bantuan kewangan orang kurang upaya semasa dia cuba untuk memujuk suaminya itu..

“Tidak! Takkan sekali abang ambil apa yang bukan hak abang!”

“Abang, bantuan tu memang untuk orang kurang upaya bang..”

“Tak mahu! Jangan Shikin ambil! Selagi ada kudrat abang, selagi abang tak mati, malu abang untuk meminta-minta dan menagih belas orang!”

Dalam diam Shikin hanya tersenyum mengenangkan karenah suaminya itu. Dalam diam Shikin berikrar untuk membantu suaminya sehabis boleh untuk meringankan beban suaminya. Mungkin dia boleh melakukan sesuatu.. mungkin. Jika diizinkan.

Lamunan Shikin terhenti lagi apabila loceng rumahnya berbunyi. Segera pintu dibuka.

“Eh abang? Awalnya..” ayat Shikin tergantung bila raut wajah lelaki kesayangannya itu amat muram durja.

Ba’in hanya tunduk menggelengkan kepala. Shikin menggenggam lembut tangan Ba’in. Diramas perlahan tangan lelaki itu sebelum kerusi roda itu ditolak masuk. Abang iparnya sudah tidak kelihatan; mungkin sudah bergegas pulang untuk urusan yang lain.

Perlahan Shikin cuba menyusun kata dalam otaknya; hendak meluahkan hasrat hati yang terbuku sekian tadi.

“Abang..”

“Hmm..”

“Shikin nak tanya sikit boleh tak?”

“Gagal lagi sayang...”

Shikin tersenyum. Nyata kegagalan bukanlah suatu yang mudah untuk diterima Ba’in.

“Bukan itulah bang..”

“Hah? Jadi... apa dia sayang?”

Perlahan Shikin menghela nafas.

“Shikin nak mintak izin untuk kerja boleh? Untuk tolong ringankan beban abang..”

Tersentak Ba’in dengan permintaan isterinya itu. Kepalanya didongak memandang Shikin yang masih menolak kerusi rodanya ke ruang tamu. Matanya tajam memandang wajah isterinya itu, yang mana terpancar niat ikhlas seorang wanita yang ingin membantu seorang suami. Mata Shikin terkelip-kelip mengharapkan jawapan positif dari suami tercinta.

Shikin memberhentikan kerusi roda di hadapan sofa yang masih lagi hangat berbekas dari kesan duduknya sebentar tadi. Terus Shikin duduk menghadap Ba’in dengan pandangan yang masih lagi berharap.

Ba’in masih lagi merenung mata Shikin. Buat seketika tiada perkataan yang terucap dari mulutnya. Hanya pandangan tajam yang masih lagi menilai soalan itu.

Dan perlahan Ba’in menggelengkan kepala tanda tidak setuju.

Riak wajah Shikin bertukar kecewa.

“Kenapa tak boleh bang?”

“Abang tak izinkan..”

“Kenapa? Takut tak ada orang untuk jaga abang?”

“Bukan itu saja sayang..”

“Habis?”

Tangan Shikin digenggam perlahan.

“Abang tak nak orang kata abang dayus. Duduk rumah jadi tunggul kayu tak berguna..”

“Abang.. janganlah dilayan apa orang nak kata..”

“Tak boleh sayang. Itu kan dah tanggungjawab abang untuk mencari nafkah”

“Tapi abang dah tak mam..”

Kata-kata Shikin tergantung tanpa penutup. Ba’in hanya mampu tersenyum.

“Sayang, selagi abang tak mati, biarlah abang yang bekerja ya? Sudahlah, pergilah masak dahulu.”

Muka Shikin mencuka. Perlahan dituruti arahan raja pemerintah rumah itu. Namun dalam hatinya amat memberontak melawan keputusan diktator itu. Tanpa sedar langkah yang diatur sedikit keras seperti dihentak dalam berkawad, menunjukkan betapa geramnya hati dan niat baik yang ditangkis.

“Ego lelaki!” bentaknya perlahan.

*************************************************************

Ba’in hanya memandang langkah wanita kesayangannya itu dengan sayu. Dia mengerti kehendak Shikin yang hanya mahu membantu, tapi tidak sampai hatinya untuk menyusahkan lagi Shikin. Cukuplah dengan kesetiaan Shikin yang masih lagi di sisinya hingga sekarang. Bukan egoistik atau mengongkong, hanya perasaan tanggungjawab yang masih lagi menebal untuk memberikan segala yang terbaik untuk isterinya itu.

Ba’in mengeluh kecil. Dugaan yang diberikan-Nya ini amatlah berat, tapi sudah menjadi prinsip Ba’in untuk tidak senang mengalah. Dengan perlahan Ba’in menolak kerusi rodanya menghampiri meja panjang tempat bersemayamnya komputer riba yang umpama nyawanya satu ketika dahulu, semasa beliau masih lagi sihat dan boleh bekerja.

Komputer riba itu dibuka, dan punat kuasa ditekan perlahan.

Perkhidmatan Internet tanpa wayar disambungkan.

Pelayar Mozilla dilancarkan.

Laman Google terpancar.

Ditukarnya alamat laman web itu kepada Yahoo! Answers.

Pantas jemari Ba’in menaip melayari forum teknikal web yang menjadi tempatnya berlibur suatu ketika dahulu. Tempat dia membantu orang lain dalam menjawab persoalan teknikal. Hajat di hati hanya mahu meluahkan perasaan betapa susahnya untuk mendapat pekerjaan ditambah lagi dengan kekurangan akibat nikmat Tuhan yang ditarik daripadanya.

Namun hajat di hati terhenti apabila matanya tertancap pada satu post yang baru sahaja seminggu lebih diletakkan..

“Hi, my name is Kirk Rammond and I am blind. Despite my disability, I am a self-taught C programmer, and I do freelance job to code C applications for my local business.  Some of my own applications as link below, and if you’re interested in hiring me for your own project, please drop me an email...”

Ba’in tersentak. Ilham mencurah tiba-tiba dan ianya menyebabkan Ba’in mengorak senyuman di bibir. Kertas dicapai, dan pen yang terselit di poket baju dikeluarkan.

Kertas diconteng menghamburkan idea. Tangan laju menulis dan melakar model perniagaan, dan seketika kemudian Ba’in ralit dalam dunia sendiri menaip laju papan kekunci; bak butir peluru yang dimuntahkan berturut-turut.

Di dalam hatinya Ba’in cuma menyumpah diri sendiri.

“Kenapalah aku tak terfikir cara ini sejak dahulu?”

*************************************************************

Sudah seminggu Shikin melihat suaminya amat khusyuk menghabiskan masa di hadapan komputer riba. Tiada tanda-tanda menunjukkan yang Ba’in mahu keluar mencari kerja. Tiada tanda-tanda menunjukkan yang Ba’in bersiap untuk temuduga.

Sudah seminggu juga Shikin lihat suaminya asyik tersenyum sendirian.

“Ah, mungkin asyik bermain permainan komputer barangkali.”

Shikin bukanlah seorang yang amat arif dalam menggunakan komputer. Setakat mahu menaip, Microsoft Office, membaca email, tahulah.

Dan Shikin tidak banyak bertanya apa yang dibuat oleh suaminya itu. Asalkan Ba’in tidak melayari benda yang tidak senonoh atau yang bukan-bukan, dia diamkan sahaja.

Lega juga rasa hati Shikin bila melihat Ba’in tidak lagi bersedih atau asyik berfikir negatif. Lega apabila tiada rungutan dari Ba’in. Biarlah dia jika mahu bermain permainan komputer. Biarlah dia membina motivasi diri sendiri dahulu. Yang penting suaminya kelihatan bersemangat kembali.

“Ting tong!”

Loceng rumahnya berbunyi. Dijengukkan kepala ke arah pintu dan terpacul seorang posmen di atas sebuah motosikal buruk. Shikin segera keluar untuk mengambil surat.

“Kak, ni ada surat Poslaju. Tolong sign sini kak..” ujar posmen tadi sambil menghulurkan surat dan borang untuk ditandatangan.

Surat untuk suaminya.

Shikin bergegas masuk ke dalam rumah kembali selepas mengambil dan menandatangani surat yang dihulurkan. Surat itu dicop dengan tanda “United States of America”. Mukanya tertanya-tanya.

“Hairan..” getus benak Shikin.

“Bang, surat. Dari US. Surat dari siapa bang?” ujar Shikin sambil menyerahkan surat yang baru diterima kepada suaminya.

Ba’in mengambil surat tersebut. Ditelitinya sampul putih itu dan diserahkan kembali surat tersebut kepada Shikin. Terukir senyuman manis di wajah Ba’in.

“Awak bukaklah.”

Shikin amat terperanjat apabila surat itu dibukanya. Terselit sehelai cek bernilai $300 USD. Riak wajahnya terkejut amat sangat. Belum sempat Shikin bertanyakan dari mana, Ba’in bersuara.

“Abang buat kerja freelance kat Internet. Dari pengalaman yang abang ada, abang dah setup laman web untuk kerja consulting dan web design. Itulah hasilnya – abang dah dapat satu projek dari satu company US. Baru siap dua hari lepas.”

Shikin melongo. Terlopong mulutnya mendengar berita itu.

“Sekarang awak tolong masukkan cek tu dalam akaun bank ya?”

Shikin tidak mampu berkata apa. Nyata semangat dan keazaman Ba’in untuk menyara keluarganya masih tidak padam. Nyata jiwa kental Ba’in amat dikaguminya. Walaupun fizikal Ba’in kini tidak ada apa untuk dibanggakan, namun mata hati jiwa Ba’in untuk menunaikan janjinya kini terlaksana.

“Abang..”

“Ya?”

“Shikin fikir abang main game je kat situ..”

Dan rumah yang dahulunya suram kini gegak gempita dengan tawa hilaian Ba’in mendengar perkataan yang dihamburkan oleh isterinya itu..

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Nah! Comeback! hehe. Setelah lama tidak menulis, akhirnya siap juga cerpen ke 7. Lama diperam, harapkan masih belum busuk lagilah cerita ini. (uih..tetibe panjang pulak cerpen ni bila dibaca balik )

  • 2) wah wah, sweet sangat kan.
    salehin tu memahami betul jiwa perempuan shikin. eh i mean, ba'in.

    tu la perempuan, laki dpn pc bukan nye main game je tau. banyak lagi boleh. buat freelance, freeshow dan freetotry .. eh??

    welkambek rere!
  • 3) Comeback yang menjadi dan menyengat rere! Tahniah!

    Pengolahan awak tiada masalah bagi saya. Tenang dan lancar. Ternyata mesejnya ada untuk dipersembah. Saya gembira membacanya.

    p/s: ehem, ini dedikasi khas untuk kinkin ke? euww...
  • 4) wahh!
    tak sia-sia cerita ni diperam..
    nice!
  • 5) amboi rere..
    specially dedicated ke..


    btw, nice story..
    w/pon oku, tapi ade semangat juang yang tinggi!
    naiss..
  • 6) positif positif positif....
    simple but nice...
    kna jd positif mcm ba'in lar gni..
  • 7) Bain ni tak tau pasal World of Warcraft kot. Kalo tak mesti jenuh nak baya tiap2 bulan.. muahahaha
  • 8) cerita yg bagus, tahniah
  • 9) thumbs up. best!

    cam dah jd peminat cerpen rere la. ahahaha....

  • (Penulis)
    10) caha: eh eh? aku tadek masuk jd watak dlm tu weh

    riri: mekasih2.

    nurcahaya: mekasih juge.

    mamau: (no further comment )

    qaima: bagus2, sentiasa positif dan berkerja kuat k!

    jojo: kalau dia tau psl WoW..maka dia tak wat keje la kot wahahaha

    robot: sesama. eh? mekasih..

    putri_alya: tq tq. hehehe sile la minat. ~
  • 11) Cerita yang baik Rear.Akak bagi 5. Cuma...ada kesan psikologi berulang tanpa sedar...

  • (Penulis)
    12) Aha! Kesan psikologi berulang tanpa sedar tu benda baru! Apakah itu? Komen plz kak
  • 13) wah rere!
    hmm,tatau nak komen ape, sume pun org lain dah komen.
    teruskan usaha!

    btw,tengs sebab pinjam nama i,huhu
    *perasan*
  • 14) cerpen pengajaran yang mmg beri impak yang mendalam...walaupn x berupaya, tp ttp berusaha sedayanye...bagi org2 yang sempurna cukup fizikalnya, kalau still x reti2 nak berusaha, x tau lah camne...from this cerpen, best la gak, it shows yang betapa untungnya kalau berbinikan shiki tu, memahami n sanggup berkorban jiwa n raganya...

    bagi wanita2 di luar, contohi lah shikin n bagi lelaki di luar sinun gak, don't u ever menyusahkan bini2 anda...

    for overal, cerpen ni mmg best....
  • 15) wahhhh anda sudah bercinta dgn kinkin sejak bulan 7 tahun lepassss?!? cissss (tibe2 marah)

    tapi cerpen ini memang best! sungguh bertuah si shikin tuu.. macam saya bertuah dapat johari. (eh?) *menjeling pada suami dgn harapan ada cerpen di dedikasi untuk si nadia pula* ehem.
  • 16) panjangnye...x larat nak baca...huhu...nanti la...

  • (Penulis)
    17) babymilo: hehe. welcome2
    akma: bagus..dapat juga pengajarannya. syukur..
    nia: wahh suka2 buat spekulasi! belumlah! ehe.. *apa lg jo, nia da mintak cerpen dedication plak tu*
    CK: takpe2. pelan2 kayuh.

Cerpen-cerpen lain nukilan rearrange

Read all stories by rearrange