Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Cinta Menyala di Constantinople

 

OLEH:           FAHD RAZY

 

 

PAGI kesejukan meratah hingga ke sumsum, hujan mengguyur lebat semalaman. Hutan koniferus liar di kaki bukit steppe yang lembap dan senyap. Segenap daerah jadi suram- seolah-olah ribut dari Laut Aegean dan Crete datang lagi memberontak. Ayah ibu bersiap di ladang gandum mahu mengutip dan membersihkan perkakas tani untuk kami guna pada musim menuai yang bakal bertandang. Adik Antonios menghambat biri-biri ke padang ragut di balik bukit yang berkabus, seperti kapas. Rumput di situ segar-basah menghijau. Semua sibuk.

            Pagi yang dingin dan aku merenung di tingkap, menatap wajah-wajah hari yang mula ditakluk matahari. Kunjungan merpati putih kesayanganmu, Anytus, bersama warkah-warkah cinta dari sebalik tembok Theodosius itu sememangnya saban ketika ternanti-nantikan. Sesudah berminggu kota Constantinople keagungan Byzas itu disergap ledakan meriam yang dahsyat, aku jadi gundah mengenangkanmu. Gusar sungguh untuk kubuka dan menatap surat yang baru tiba di laman rinduku ini. Apakah terkandung khabar sentosa? Atau cuma perca-perca luka dari pedih deritamu?

Aku memejam mata, menggamit isi warkah-warkah cintamu yang terdahulu. Aku masih ingat. Ya. Masih ingat. Beginilah surat yang pertama hampir satu tahun yang lalu, surat yang tidak pernah kubalas:


Buat Natalya Dimas.

Kurindui sungguh-sungguh dirimu saban hari, saban malam, dari balik tembok-tembok Theodosius yang tersergam bongkak ini. Masih terkenangkan saat pertemuan pertama kita di desa kelahiranmu lima bulan dahulu, lantas kita sama-sama beristirehat di bawah larch yang segar itu. Sudikah lagi kau dengari puisi-puisi cinta yang kukutip dari segenap pelosok Byzantium, lalu kau bayar harganya dengan marak cintamu. Masih hangat lagikah, Natalya?

Manisnya cintamu.

            Natalya, minggu sudah aku ke Macedonia, hantar ibu yang sedang uzur. Maaf kerana tidak singgah ke Thessailoniki  menjengukmu. Ku harus segera pulang kerana kedaiku hanya dijaga oleh si Alexious yang tidak pernah kupercayai itu. Tambahan pula aku mahu memindahkan barang-barang dagang ke Macedonia secepat mampu. Sudah lima buah kereta kuda kubeli, lengkap dengan karavan. Kau sendiri sudah maklum bukan, ancaman puak-puak nomad penunggang kuda dari tanah darat Anatolia itu semakin mendekat. Penduduk Constantinople kesemuanya gusar.

Masih ingatkah pada Sultan Mehmet II, pemerintah Turki  yang pernah kuceritakan tatkala kau sedang tenggelam menghirup satu-satu susuk puisiku dahulu. Baginda sungguh mahsyur di kalangan pedagang Arab dan Parsi meskipun baginda adalah musuh kotaku yang paling menggerunkan. Aneh. Kata seorang pedagang Damsyik yang kutemui, baginda sangat taat kepada agama mereka, agama yang dibawa oleh orang-orang Arab itu. Baginda pemerintah yang tidak kemarukkan harta bahkan menggilai kitab-kitab pelajaran dan alim ilmuwan. Meskipun agama kita berbeza dengan agama mereka, namun aku terpikat dengan budaya hidup dan kepatuhan mereka kepada tuhan mereka- terutamanya Sultan Mehmet II itu.

Kami sedang berdepan dengan puak yang tidak takut mati. Tidak mengejar kemewahan dan dunia. Tidak menerima riba seperti kita semua. Mereka bangsa yang tidak minum arak atau mencumbui perempuan sewenang-wenang. Yang mereka tahu cuma beribadat kepada tuhan mereka di hamparan sejadah. Menyara hidup sekadar perlu. Berjuang demi kebenaran yang mereka perjuangakan. Mati tak pernah bererti kalah, bahkan kembali ke mahligai yang lebih tinggi nilai. Diam-diam jiwaku tertarik pada mereka, entahlah.

Aku rindukanmu, Natalya. Sungguh-sungguh.

Kau sendiri tahukan kota kami yang terbina di atas tujuh buah bukit ini sudah lama menjadi rebutan setiap empayar? Sejak era Constantine pada tahun 324M lagi kami diserang oleh orang-orang Mughal, Bulgar, Prusia, Jerman, Slavia, dan Rom termasuklah Philip dari Macedonia. Orang Turki dan Seljuk  juga sudah lama berhasrat menjajap kota kami, sejak zaman Sultan Murad lagi,  namun tembok-tembok Theodosius tetap utuh. Kini  Sultan Mehmet II sudah pula membina kubu Hissar Romeli enam batu dari kota kami di seberang Selat Bosphorus.

            Kau tahu Natalya, semua penduduk takutkan Sultan Mehmet. Constantine Paleologus sudah menutup gerbang kota buat pedagang dari timur serta  mula membentuk pasukan tentera untuk mempertahankan kota. Namun  kami kekurangan wang. Para peniaga haloba beramai-ramai menyembunyikan harta benda mereka. Mereka tidak sanggup untuk berperang. Ah…! Berbeza sungguh dengan tentera Islam Sultan Mehmet yang tidak mengetahui nilai wang. Mereka hanya mahu memilih kemenangan ataupun syahid. Mereka mahu mati kerana agama mereka.

            Ah! Natalya, lupakan tentera Turki. Lupakan Constantinople. Lupakan Anatolia. Aku kini adalah gurun Arab yang kedahagan hujan cintamu, Natalya. Kekeringan.

            Aku akan berpindah berhampiran tempatmu sesudah semuanya tenang. Ini janjiku. Aku mahu melamarmu sayang. Mahu lari dari libang-libu kota yang semakin tenat ini. Melihat tentera Islam, aku sangsi kami akan menang. Nantikan kedatanganku. Aku rindukan kehangatan rumah kecilmu, Natalya. Aku rindukannya, angin Steppe yang menggoda itu.

Leonidas Simpanis Constantinople  Disember 1452

            Ketika itu hatiku bimbang mengenangkanmu. Mahu saja aku lari menunggang kuda putih baka Mongol milik ayah itu meninggalkan Thessailoniki untuk bersamamu, Leonidas. Jiwa wanitaku turut merindui. Tetapi aku tidak boleh kerana ibu dan ayah memerlukan kehadiranku di sini. Aku perlu bersama mereka.

            Aku juga tidak mampu untuk membalas warkahmu ketika itu. Keadaan tidak mengizinkanku berbuat demikian. Maaf, kerana kau tidak berpeluang mengerti. Lalu telah kau terbangkan warkah kedua yang amat-amat kunantikan di ambang jendela rumah kecil ini. Warkahmu yang kedua dari sebalik tembok Theodosius, membunuh sunyiku dengan kejam:

 

            Natalya. Aku terbakar dalam rinduku padamu.

            Orang Islam sudahpun mendekat, berkubu di luar kota dengan ratusan ribu tentera. Bantuan dari panglima Giustiniani juga telah tiba bersama beberapa ribu orang terlatihnya dari Genoa, namun aku masih lagi ternanti-nanti warkah balas darimu. Merpati putihku, Anytus, pulang tanpa terikat apa-apa pada kakinya. Cuma kehampaan. Adakah kau sudah lupa pada lafaz cinta yang pernah kita persaksikan di kaki bukit dulu? Adakah cintamu dikit-dikit luput setelah berlalunya musim bunga seperti kuntum-kuntum daffodil yang semakin perang? Natalya, kasih kita adalah cinta Justinian dan Theodora yang membakar lewat musim-musim sengketa. Seputih kuntum-kuntum snowdrop menjelang musim bunga.

Aku rindukanmu. Natalya.

            Aku tahu kau kecewa lantaran keenggananku untuk pulang ke pangkuanmu. Constantinople yang terdesak telah membendungku. Rakyat Constantinople seramai dua ratus ribu orang sudah berpecah belah angkara Great Duke Notaros sedangkan tentera Sultan Mehmet II menyatu umpama gelombang besar Laut Mediteranean yang mahu membaham sebuah galleon kerdil yang teroleng-oleng. Kami di sini kebuluran, Natalyaku. Kedatangan paderi Vatican makin mengacaukan kesatuan kami. Kristian timur dan barat sentiasa dingin.

Aku terasa sungguh lemah. Bekalan gandum dari Rusia dan biri-biri dari Caucasus sudah tidak dapat masuk. Kami terkepung oleh pasukan tentera yang di dalam hatinya hanya ada nama tuhan mereka. Tuhan. Tuhan. Tuhan. Tidak seperti tentera kami yang berperang demi harta dan kemasyhuran. Aku sekadar mengharapkan cintamu mampu memberiku kekuatan untuk terus hidup, Natalya.     

            Kami semua kini berdoa di Hagia Sophia mengharapkan bantuan saban hari. Kata para paderi, tuhan akan mengutuskan barisan malaikat biru untuk menghancurkan para tentera Turki itu, tetapi kami hanya mengangguk, antara percaya atau tidak. Ironi, Constantinople kini dalam zaman kemelesetan paling dahsyat sepanjang kewujudannya sedang orang-orang berkuda di seberang Bosphorus itu sedang dalam kemuncak tamadun yang tertinggi sepanjang hayatnya. Segala muncung meriam kini telah dihalakan ke arah kubu kami dan dikit-dikit memamah batu-batan pada tembok Theodosius setebal hampir 36 kaki itu. Tidak tahu berapa lama lagi kami mampu bertahan.

Pernah dengar Urbann, jurutera Hungary yang masyhur itu? Dia telah membina meriam gergasi seberat 30000 paun dengan setiap peluru seberat 600 paun dan kini muncungnya gah membidik kota kami! Begitulah ngerinya tentera Islam yang melebihi 100000 orang itu. Bahkan  mereka membariskan para ahli agama mereka ke medan tempur untuk menanam semangat dan kesetiaan kepada tuhan dalam diri askar mereka. Aku kagum pada keimanan mereka pada tuhan mereka saat paderi-paderi kami kini bersembunyi di dalam gereja sambil berdoa. Berdoa. Berdoa. Berdoa. Mereka mengharapkan mukjizat semata-mata?

            Natalyaku.

Raja Constantine dan Giustiniani terus-terusan bertahan meskipun kebanyakan tentera kami tidak terlatih. Orang Turki telah menggali lubang untuk tembus ke dalam kota namun kami sirami dengan cairan panas. Ketika mereka memanjat tembok kami lontarkan dengan panah dan api. Namun saban detik kami digerubung ketakutan umpama diburu oleh bayang-bayang sendiri. Tatkala kami terdengar bunyi dari bawah tanah, bagai dirasuk kegilaan kami terlolong takut. Kami hampir gila.

 Setiap malam, aku dan penduduk kota takut-takut  merangkak keluar untuk membaiki tembok Theodosius. Tembok itu saban lama kian lemah. Apatah lagi Sultan Mehmet sendiri di atas kudanya yang gagah telah memeriksa setiap penjuru tembok untuk menggeledah ruang yang rapuh. Aku cukup mengagumi keperkasaan dan kepintaran Sultan Mehmet. Aku dengar, di dalam kesibukan berperang baginda masih sempat beribadat di tengah malam serta menatap kitab-kitab ilmu yang di bawanya. Kadang-kadang aku tertanya-tanya-‘manusiakah dia itu?’

            Natalya.

Maaf kerana tidak dapat bersamamu. Saban hari wajahmu mempuakai mimpiku. Aku cintakanmu. Nantikanlah kepulanganku nanti. Kini aku perlu berkawal di atas tembok, melepaskan panah-panah ke arah tentera Turki yang sudah nekad itu.

Aku dambakan khabar sentosa darimu. Aku merinduimu Natalya.

                        Leonidas Simpanis Constantinople April 1453

 

Ketika itu aku menangis, Leonidas. Ibu dan ayah memujukku. Maafkanku. Sepertimu, cintaku juga tidak pernah karam dibaham gelombang-gelombang Laut Aegean itu, bahkan seperti Pompeii dan Herculaneum dibaham tempikan Vesuvius aku melebur dek ledakan lahar itu, aku kini saban detik menanti-nanti kehadiranmu Leonidas.

 

Tetapi kau tidak akan memahami keadaan diriku ini. Natalya yang kaudakap cintanya dalam kenangan kelmarin bukan lagi Natalya yang sedang merinduimu kini. Keagungan cintaku padamu tidak lagi cinta buta, tetapi harus dilapisi oleh cinta lain yang lebih agung, lebih dari gunung Ararat yang gagah itu.

            Dengan nafas yang berdesah keras, aku membuka warkahmu yang baru tiba dari timur ini. Terasa rinduku jatuh berlambak-lambak di situ. Warkahmu yang ketiga, barangkali yang terakhir:

 

            Jiwaku Natalya Dimas.

            Aku bagaikan seekor Helang Emas yang kepatahan sayap ketika menyongsong angin mengejar kapal cintamu di kala-kala sengketa ini. Aku tidak tahu di daerah sepi mana aku telah rebah. Menanti khabar darimu yang tak kunjung-kunjung umpama membentengi tumpahan anak panah yang menghunjam segenap tubuhku tanpa perisai. Namun, tiada bisa yang lebih pedih melainkan rinduku yang tidak terjawab. Kau sudah lupakah pada pokok larch yang padanya terukir nama kita? Masih tegak lagikah pokok itu?

            Natalya.

Seperti yang telah kuduga, tentera Islam sememangnya tiada tandingan. Mereka membusur panah, membidik meriam atas nama tuhan mereka sedangkan kami semua hanya berdoa supaya tuhan menyelamatkan harta-harta kami. Bahkan ramai di antara rakyat yang melarikan diri menaiki kapal-kapal dan perahu melarikan harta mereka tanpa meninggalkannya untuk kami gunakan mepertahankan kota ini. Ketika itu, aku hanya mengharapkan magis cintamu supaya aku dapat terus berkacak di bumi Constantinople ini.

          Kau tentu sudah tahu bukan perihal  mereka yang telah mengangkat berpuluh-puluh buah kapal perang menyeberangi bukit-bukit Galata yang curam itu ke perairan Tanduk Emas dalam satu malam sahaja. Ramai yang mengatakan Sultan Mehmet itu ahli sihir, namun desah nubariku meyakini bahawa kekuatan itu lahir dari ketegaran nuraninya. Mereka orang Islam, orang Islam Natalya. Tentara yang tidak minum arak dan berseronok dengan kehidupan dunia semata-mata. Mereka melapisi segenap jiwa mereka dengan cinta yang luhur kepada Yang Mencipta, lalu dengan kelazatan cinta itulah maka lahirnya kekuatan luar biasa. Aku masih teringat kisah silam, ketika tentera Islam menyergap Andalusia di barat dahulu panglima perang mereka juga telah membakar kapal-kapal sendiri lantas tenteranya hanya ditinggalkan dua pilihan: mara dengan panji berkibar atau rebah sebagai syahid.

            Pasukan bantuan dari Panglima Giustiniani juga tidak segagah itu. Sebaik sahaja robohnya gerbang St Romanos itu mereka lari menaiki kapal-kapal mereka, meninggalkan Raja Constantine keseorangan mempertahankan kota. Sudah kukatakan, mereka berjuang demi harta dan ganjaran. Demi pulau Lesbos yang ditawarkan itu.

            Natalyaku.

29 Mei 1953, genaplah 53 hari kotaku dikepung dan pada hari ini juga orang-orang Turki berjaya menguasai ibu kota Byzantium yang telah tersergam lebih dari 1000 tahun ini. Aku menangis sepuas-puasnya kerana dua sebab. Pertama: aku sedih melihat kota pusaka moyang-poyangku akhirnya tersungkur ke tangan Islam. Kedua: aku gembira kerana bangsa yang menguasai kotaku ini adalah bangsa yang selayaknya. Bangsa yang amat kuyakini keluhuran dan ketegaran hatinya dalam menegakkan sandar hidup yang lebih harmoni.

Hari ini aku rebah, pertama kali melihat di depanku Sultan Mehmet yang namanya acapkali terbersit dalam monologku. Aku tewas. Bukan kerana kudanya yang tangkas atau ketajaman pedangnya, namun pada cahaya itu. Cahaya yang tidak pernah kutatap seumur hidupku. Dan pada detik itu juga aku telah pisahkan kita jauh-jauh, lebih jauh dari Parsi mahupun China. Lebih jauh antara igauan dan realiti. Maafkanku Natalya, kini aku sudah dapat melafazkan persaksianku kepada tuhan orang Turki dengan nurani yang yakin. Aku kini memeluk Islam. Allah tuhanku, Muhammad rasulku!

Natalya.

Maaf andai aku telah meledakkan kerusuhan di sukmamu. Kau sendiri mengerti, betapa aku rindukan kedamaian jiwa sebegini. Mencari takrif hidup nan hakiki, lalu kutemu dalam sengketa ini. Aku mahu sujud sepuas-puasnya. Aku tidak dapat memenuhi janjiku padamu. Cintaku pada jalan hidup yang kupilih ini lebih sayup. Aku tidak dapat mengahwinimu lantaran berbeza aqidah. Maaf sayangku…kita adalah malam dan siang yang tak bisa menyatu.

Oh ya, hari ini aku lihat Hagia Sophia bercahaya. Sebuah matahari jatuh di situ. Percayalah. Constinople telah menyala.

Leonidas Simpanis

Constantiople

Jun 1953

Aku menangis!

Dalam sujud aku sempat menguntumkan senyum damai.

 

****

Leonidas Simpanis.

Kuterima ketiga-tiga warkah cintamu yang sudah umpama pohon renek yang melarat di pulau terasing. Maaf kudamba lantaran kebisuanku tanpa sebarang perutusan khabar untuk mendamaikanmu lewat musim-musim sengketa nan berlalu. Ibu dan ayah tidak mengizinkan kita berutusan warkah.

Leonidas, mendengar khabar tentang Constantinople, aku turut menangis bersamamu. Juga kerana dua asbab: Pertama, hiba lantaran sengsara yang meragut damai pedomanmu. Kedua, aku terlalu girang lantaran ledakan perang itu telah menumpahkan kilasan cahaya hidayah yang mampu membekukan mentari sekalipun!

Benar, aku girang!

Usah terkejut. Aku tidak dapat mengkhabarkan kepadamu lebih awal bahawa aku telah lama sujud ke arah cahaya yang serupa denganmu. Sebulan sesudah kau membenihkan cintamu ke nubariku, aku telah mengikut rombongan dagang ayah ke Konya dan Aksaray lalu di saat itu jua aku telah melafazkan syahadah cintaku pada Penakluk Jagat. Dan lantaran itu jualah aku terpaksa membisukan keimananku lantaran perbezaan aqidah kita. Tapi kini tidak lagi.

Aku akan datang ke Constantinople, menunaikan janji dan melunaskan rindu yang selama ini memamah mentah-mentah jiwaku. Kita sudah punya satu aqidah, satu cinta agung yang saling menyatu di dalam nubari kita. Ambillah daku menjadi surimu sebelum cintaku menghancurkan diriku umpama batu-batu yang pecah dihempas ombak di Laut Marmora itu.

Meski siang dan malam terpisah jauh, namun bulan dan mentari tetapkan menyatu lewat gerhana. Tunggulah daku di Constantinople, kita akan berpimpinan menuju cahaya yang mendamaikan itu. Tunjukkan aku matahari di Hagia Sophia itu. Ikatlah aku dalam hubungan yang sah. Pokok larch yang terukir nama kita masih tegap, sekukuh cinta kita, Leonidas. Insya-Allah.

Natalya Dimas Thessailoniki Jun 1953

Ketika itu dia sedang bersila di lantai rumah, cuba mengamati kalimat-kalimat yang tertulis pada kitab Al Quran yang agak usang. Dalam kebeningan fajar yang terkuap dari celah-celah pergunungan di seberang Selat Bosphorus itu, terdengar bunyi ketukan bertalu-talu. Dia perlahan dan berhati-hati menguak pintu.

Anginpun lumpuh. Unggas terdiam. Ibarat gurun yang ditemukan awan, ombak mencumbui pantai. Constantinople jadi bisu.

Natalya?!

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Maaf, pemerengganan ada yang lari sikit. Tak tahu nak betulkan macam mana.

    Agak panjang sikit cerpen ini.
  • 2) mampir membacanya secara marathon...
    tentang empayar uttoman kah? perang salib?
    nice
  • 3) wau..
    hebatnye..
  • 4) eh? kenapa tiba2 ramai sangat yang dah komen ni? mesti saya baca sangat lambat. oh, menarik. kamu menghuraikan cerita dengan berkesan sekali. walaupun saya student politics yang mmg kena membaca bahan2 itu, tapi bila membaca cerpen kamu ia seperti melihat visual. meyakinkan. heh, hebat!
    *jeles*
  • 5) xtau nk komen..serah pada yang pakar..

  • (Penulis)
    6) adreena: ya, saya pinjam latar peristiwa pembukaan Constantinople (sekarang Turki) oleh Sultan Muhammad II dari turki uthmaniyah.

    wf1234: Terima kasih. Masih banyak yang perlu saya perbaiki.

    Dayya: Karya kamu pun apa kurangnya...paling kurang, kamu ada kelebihan bahan bacaan

  • (Penulis)
    7) paktam: terima kasih kerana membaca
  • 8) Puas! Lama saya tidak merasakan kepuasan membaca karya di dalam ruangan cerpen ini.

    Sememangnya awak seorang yang berpengalaman dan banyak membaca. Cinta yang digarap penuh hikmah dan teladan. Terima kasih untuk karya ini...
  • 9) nice story ^_^
  • 10) Salam..
    masih aktif menulis, bagus...
    btw, a good story :-)
  • 11) nice!
    tapi xpandai nak komen..
  • 12) wah. memang tiptop!
    dengan kosa katanya. dengan intinya.
    ini memang publishing material!

    jap. en fahd ni belajar course apa eh?

  • (Penulis)
    13) ridhrozai, ecam, choco, dan rasyidah, terima kasih kerana membaca

    cahatomic, medic.
  • 14) Macam jenis cerpen yg biasa terbit di dewan sastera.

    Lihat bagaimana fadhrazy mengolah latar tempat dan masa serta peristiwa zaman itu. Pergolakkan politik peristiwa2 itu diselitkan dalam kisah dua individu yang terkesan. Fadh mengutarakan dua tema utama di sini, CINTA dan pergolakkan POLITIK yang berlaku di Constantinople masa itu. Menarik!
  • 15) Sdr Fahd, cerpen ini sudah pernah tersiar di mana-mana penerbitan atau belum? Tahniah, kerana semakin maju dalam dunia penulisan. Semoga berjaya terus.

Cerpen-cerpen lain nukilan FahdRazy

Read all stories by FahdRazy