Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kedai runcit Junaidah dan Warung Pak Saman

  • 8
  • nurie
  • 15 years ago
  • 23,812
  • FREE

 

 

Kedai runcit Junaidah.

 

“Nah kak, 30 sen.”

“Kau ambil 6 bijikan?” Soal Junaidah. Budak lelaki itu mengangguk.

“Semuanya 40 sen. 20sen untuk tiga biji.” Sambung Junaidah. Terkejut budak lelaki itu. Matanya terkedip-kedip sambil tangannya menggaru kepala.

“Aik kenapa mahal kak?”

“Semua barang dah naik harga dik.”

“Apalah akak ni cekik darah! Gula-gula pun naik harga ke?”

“Eh budak kecik ni! Kau nak beli ke tak nak? Kalau nak 20 sen!”

Budak lelaki itu berkira-kira seketika. Gula-gula di tangannya digenggam. Sekeping 10 sen lagi di keluarkan dari poketnya.

“Nah!” Dicampakkan di atas meja, Lalu budak lelaki itu pergi dengan muka masam. Ditinggalkan Junaidah yang mengetap gigi depannya.

“Hingus belum pandai lap, nak banyak songeh. Bayar je lah 20 sen!” Bebel Junaidah sambil membuka laci menyimpan wang syiling 20 sen.

“Memang tak patutlah kau Jun. Gula-gula pun kau naikkan harga.” Sergah Rahimah yang muncul di hadapan kedai. Matanya menyoroti budak lelaki yang berlari ke arah kawan-kawannya.

“Macam kau baru kenal si Jun ni Mah.” Celah Hasmira. Suraya di tepinya menggeleng kepala sambil tergelak kecil.

“Hayyaa.. olang beniaga, memang mau untung ma....”  jawab Junaidah ala-ala tokei kedai runcit cina. Tiga rakan baiknya yang baru muncul itu diberikan senyuman panjang sampai ke telinga. Dia menumpu pada wajah Rahimah.

“Hah! Kau ada bawa majalah yang aku suruh beli tu tak?” Soal Junaidah sambil memanjangkan leher melihat kedua belah tangan Rahimah.

“Nah. Tapi bayar dulu tau!” Serta merta Rahimah meletakkan senaskan majalah di atas meja. Sambil tangan sebelahnya lagi menghalakan tapak tangan ke atas. Junaidah tersenyum girang sambil melompat-lompat apabila melihat muka depan majalah itu. Dia cepat-cepat menarik laci mengambil 6 keping not Rm1. Diletakkan di atas tapak tangan Rahimah.

“Baki 10sen tu kau ambillah.” Junaidah menyambar majalah di atas meja lalu meluru ke kerusi tepi meja bulat yang terletak berdekatan kaunter. Tempat khas untuk mereka berempat bersantai setiap kali berkumpul di kedai Junaidah. Suraya, Hasmira dan Rahimah masing-masing mengambil tempat duduk di kerusi yang tersedia.

“Aku tak nampak pun batang hidung kau minggu lepas Su. Kau ke mana?”

“Aku uruskan permohonan aku.”

“Jadi betullah apa mak kau cakap dengan mak aku hari tu.”

“Cakap apa?”

“Kau nak sambung belajar?” Suraya mengangguk.

“Mak kau setuju tak? Mak kau asyik mengeluh je cakap kat mak aku.”

“Memang mak aku keberatan nak bagi. Tapi aku nak juga. Aku minat sangat nak jadi wartawan. Dah cita-cita aku.”

“Macam mana kau masih semangat nak belajar ni Su? Menghadap buku hari-hari, menyingsing buku ke sana ke mari. Menghadam ilmu yang bagai nak mati. Kalau aku, dah tak sanggup aku Su. SPM tahun lepas pun aku rasa macam nak bunuh diri je..” Hasmira membebel sambil mengunyah gula-gula getahnya.

“Bukannya lama, 3 tahun aje pun. InsyaAllah semangat aku akan terus bertahan. Korang doakanlah aku.” Balas Suraya dengan senyum simpul.

“Alah Su, baik kau ikut je kami kerja kat kilang Hok Keng tu. Fikiran pun bebas. Takdalah pening kepala sangat. Gaji lumayan juga. Kat situ boleh cari pengalaman. Lepas tu dah ada pengalaman bolehlah merantau ke luar negeri cari kerja yang lagi baik.” Rahimah memandang tepat pada Suraya. Dia mahu sahabatnya yang satu itu sama mengikutinya bekerja bersama dia dan Hasmira. Pastinya bertiga lebih seronok.

Suraya senyum sambil menggeleng. “Aku tetap nak jadi wartawan!” Jawapan daripada Suraya berbunyi muktamad. Rahimah mengangkat bahu dan menghembus keluh. Dia tak tahu bagaimana untuk menukar fikiran sahabatnya yang satu itu.

“Kejarlah sangat cita-cita kau tu. Tinggi mana pun kau belajar tempat kau di dapur dan di sebelah katil suami juga. Baik kau belajar memasak ke belajar berdandan ke, macam aku ni.” Celah Jun sambil tersengih. Rambutnya yang yang ikal beralun dirapikan dengan tangan sambil memandang Rahimah dan Hasmira yang mula tergelak.

“Untuk apa?” Soal Suraya mengerutkan keningnya. Rahimah dan Hasmirah berhenti ketawa.

“Untuk dapat lelaki kayalah, untuk hidup senang lenang lepas kawin. Apalah kau ni Su, itu pun aku nak bagi tau!” Balas Junaidah sambil mendegus. Suraya mengangkat bahu dan tersengih. Rahimah dan Hasmira menyambung ketawa mereka.

“Patutlah si Rusdi lamar jadi makwe dia kau tolak.” Rahimah menyengetkan bibir sambil menyelak buku biru Junaidah yang penuh dengan gambar Hasnor Ahmad. Setiap majalah yang menempelkan muka Hasnor Ahmad pasti tidak ketinggalan dibeli oleh Junaidah. Gambar-gambar dan artikelnya diguting dari majalah dan dan dilekatkan di buku biru itu. Kalau Hasnor sendiri nampak buku itu mesti dia tekejut, dan mungkin juga akan tabalkan Jun sebagai peminat nombor satunya.

“Oh ho!” Junaidah menaikkan jari telunjuknya dan digerak ke kiri ke kanan. “No..no..no.. Rusdi bukan lelaki idaman aku. Hasnor Ahmad sajalah menjadi pujaan hati ini..” Tangannya didepakan lalu diletakkan di dadanya sambil mengulas senyum sampai ke telinga panjangnya. Hasmira dan Rahimah tergelak besar.

“Korang ambil aje lah Rusdi tu. Aku tak nak!” Ucap Junaidah angkuh. Hasmira pantas menggeleng. Rahimah juga sama. Suraya pula sekadar tersenyum. Dalam fikirannya terlintas wajah Rusdi. Kalaulah dia yang dilamar Rusdi, pastinya benih cinta yang ditanam bertahun-tahun lamanya akan bercambah dan berbunga serta merta. Tapi impian sekadar impian, Rusdi takkan mungkin jatuh hati padanya. Dia sukakan Rusdi, Rusdi pula sukakan Junaidah, dan Junaidah tak habis-habis dengan Hasnor Ahmadnya. Suraya menggeleng kecil sambil tersenyum sendiri.

“Kau tengok sini! Ni ha, berita Hasnor Ahmad dah bertunang tu tak betul. Gosip semata-mata! Kan aku dah cakap kat korang, tak betul punya!” Sambung Jun dengan semangat dan yakinnya.

Hasmira menarik majalah di hadapan Junaidah. ‘Hasnor Menyangkal Pertunangannya’ tertera besar-besar dengan font merah pada muka surat majalah itu. Artikel itu dibacanya. Seketika kemudian bibirnya dijuih. “Mana kau tau kebenarannya? dunia hiburan ni bukan boleh percaya..”

“Artis.. bukan boleh percaya sangat. Ada yang cakap anak dara, rupanya dah janda anak satu. Anak sendiri pun boleh dia tak nak mengaku. Anak dah meninggal sebab terjun dari tingkat 4 baru nak meratap-ratap..” Tambah Rahimah sambil jari telunjukknya melekat pada gambar artis wanita di sebelah atas artikel Hasnor Ahmad.

“Dah namanya pelakon, pandailah dia berlakon.” Suraya menyambung dengan selamba. Hasmira menganguk-angguk mengiyakan. Junaidah menjeling tarik muka. Baginya Hasnor Ahmad tetap seorang pelakon yang sejati. Tak hipokrit. Tidak seperti rata-rata artis lain. Ditenung tajam Rahimah yang tergelak. Bertambah kuat gelakkan Rahimah disusuli gelakkan Hasmira.

 

Warung Pak Saman

Setiap petang pada hari hujung minggu, wajib satu meja di bahagian sudut Warung Pak Saman dipenuhi oleh sekelompok anak muda Kampung Tualang; Anjak, Rusdi, Abu dan Leman. Pada hari-hari biasa mereka berempat selalunya mengerjakan hal masing-masing. Tapi itu pun jika ada kerja-kerja kampung yang menawarkan perkhidmatan mereka seperti membersihkan ladang, membajak tanah, mengutip buah, membina reban dan pagar atau apa sahaja kerja-kerja kampung yang boleh mengisi poket kosong mereka. Jika tidak ada kerja maka seperti biasa mereka akan melepak di Warung Pak Saman sambil bercerita angan-angan masing-masing.

“Kalau aku dapat si Jun tu, huh! Sebulan aku tak keluar rumah.” Ujar Anjak sambil meletakkan hujung rokok di bibirnya. Abu di kanannya serta merta menaikkan tangan menyalakan mancis disuakan kepada Anjak. Anjak menyedut dan menghembus dengan puas. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang meja mereka. Rusdi tersengih sambil menaikkan keningnya memandang Anjak. Dia mengangkat sebiji buah damnya.

“Dahlah lawa, bapa dia pulak banyak duit.. anak tunggal lagi.. ishk, seumur hidup bahagia kalau dapat si Jun tu!” Rusdi bersuara. Buah dam diletak dipetaknya. Anjak mengangguk-angguk mengiyakan lalu membalas dengan sengih. Dia tahu Rusdi juga menaruh hati pada Junaidah. Rata-rata pemuda Kampung Tualang menyimpan hasrat yang sama. Mahu memiliki Junaidah anak Hj. Usman orang kaya kampung mereka.

“Jangan nak beranganlah. Budak kampung macam kita tak adanya Jun nak pandang. Sebelah mata pun tak hingin. Lainlah kalau kau tu Hasnor Ahmad. Meratap-ratap Jun nak kat kau!” Sampuk Leman.

“Cis! Apalah yang ada pada Hasnor yang berambut durian tu sampai si Jun tergila-gilakan. Setakat berlakon apalah sangat!” Balas Rusdi menyenget bibir dengan angkuh. Sempat dijelingnya Pak Saman yang membancuh kopi sedang memerhatikan mereka. Sesekali Pak Saman menggeleng kepala.

“Sekurang-kurangnya dia pelakon, ada nama. Yang kau, apa kau ada?” soal Leman.

“Nafsu!” Celah Pak Saman yang muncul dengan secawan kopi. Ketawa Leman pecah, terbahak-bahak sambil melihat muka serius Pak Saman. Diikuti ketawa rakannya yang lain. Semua memandang Rusdi sambil memegang perut menahan ketawa. Rusdi turut ketawa kecil.

“Manalah si Junaidah tu nak kat engkau, asyik melekat je kat sini. Cubalah bawak berfikir tentang masa depan. Pergi kumpul duit banyak-banyak. Pergi berusaha cari kerja, bukan duduk melepak je menunggu kerja datang cari engkau.” Ujar Pak Saman. Rusdi menyegih pada Pak Saman yang meletakkan kopi di atas meja. Hujung rokok disuakan ke mulut. Disedut dalam-dalam lalu dihembus. Berkepul-kepul asap rokoknya bersatu dengan asap rokok mereka yang lain. Pak Saman mendengus dan berlalu menyambung kerjanya. Rusdi mengacau kopinya sambil menjeling Leman.

“Padan muka kau!” Leman membulatkan matanya pada Rusdi sambil ketawa.

“Eleh, macamlah kau tak teringin kat si Jun tu.”

“Kau ni Di, hati dia kat Hasmiralah!” Anjak laju menjawab. Leman di sisinya mengawal kembang kempis hidungnya sambil tersengih menampakkan barisan giginya yang tidak rata dan kuning kerana kerap merokok.

“Amboi-amboi, Hasmira pulak kau nak ya?” Rusdi menepuk-nepuk belakang Leman. Leman ketawa menahan segannya. “Boleh tahan jugak Mira tu, walaupun tak dapat tandingi lawa bergaya si Jun. Si Imah tu pun boleh tahan jugak.” Rusdi mengusap-usap dagunya sambil mengganguk-angguk. “Huh, dulu kecik-kecik diorang ni hingus je banyak, makin besar..makin melawa.”

“Suraya macam mana?” soal Abu. Anjak dan Leman memandang Rusdi.

“Su?..emm..” Kopinya dihirup seteguk. Diletakkan cawannya sambil memandang kawan-kawannya satu persatu. “Tak ada selera aku...” Jawabnya acuh tak acuh. Disusuli ketawa kuatnya. Leman, Abu dan Anjak turut ketawa. Riuh warung kopi pak Saman dengan gelakkan mereka tak henti-henti.

“EHEM! Tuuuu..” ucap Anjak yang secara tiba-tiba berhenti ketawa. Muncungkan di arah ke belakang Rusdi. Rusdi dan yang lain-lain menoleh. Mulut yang ketawa berdekah-dekah tertutup serta merta serentak melihat Suraya berdiri tidak jauh dari situ. Pandangan mata Suraya tepat ke arah Rusdi. Seketika kemudian dengan selamba Suraya menyambung semula langkahnya. Menuju simpang ke rumah Junaidah. Anjak dan rakan-rakan lain tercenggang melihat Rusdi serta merta bangkit dari tempat duduknya. Papan dam dan kopinya ditinggalkan.

“Abu, kau ganti aku main! Nanti aku datang balik!” Jerit Rusdi sambil meluru ke arah Suraya yang melintas jalan.

Suraya meneruskan langkahnya. Cuping telinganya menangkap suara Rusdi tapi dia tak endah. Rusdi melajukan langkahnya mendapatkan Suraya. Sampai di sebelah Suraya langkahnya diserentakkan dengan langkah Suraya.

“Maaf, aku tak bermaksud. Aku gurau je tadi.”

“Aku tak dengar pun.. ”

“Kau cakap macam tu, dah tentu kau dengar. Kau dah tahu aku minta maaf sebab apa.” Suraya diam seketika.

“Aku ingat kau kawan baik aku. Tak sangka kau kutuk aku Di.”

“Aku minta maaf. Aku gurau-gurau je. Macam kau tak biasa. Kitorang kat warung tu selalu bergurau.”

“Gurau-gurau pun bertempatlah. Aku ni perempuan. Aku tahu apa itu malu.”

“Ok..ok..aku minta maaf banyak-banyak. Memang aku tak sengaja. Ok?”

Suraya mengangguk-angguk. Sebenarnya gurauan Rusdi tadi tak terkesan sangat di hatinya. Walaupun dia  menyimpan rasa terhadap Rusdi, dia tetap berfikiran positif. Kalau sudah bertepuk sebelah tangan, untuk apa di sakitkan hati untuk mempeduli semua itu. Dia tak mahu ambil peduli pun apa-apa pun gurauan mereka di warung itu. Apa yang diucapnya pada Rusdi tadi sekadar untuk menunjukkan harga dirinya tidak boleh dipijak.

Seketika mereka berdiam berjalan seiring. Masing-masing memandang sawah padi Mak Menah yang menguning. Sambil fikiran masing-masing berlingkar tentang perkara lain. Sesekali Suraya menjeling wajah Rusdi, ntah apa yang difikirkan lelaki itu sambil berkerut kening. Rusdi juga sesekali merayapkan ekormatanya meneliti Suraya dari atas ke bawah. Rambut Suraya memang sentiasa bersanggul saja, jarang dilepaskan. Berbaju kurung lusuh, berselipar jepun besar milik ayahnya. Sebarang perhiasan di tubuhnya langsung tak ada. Wajahnya pucat bersih saja.

“Su, cubalah kau berdandan sikit. Macam si Jun, si Imah dan si Mira tu. Cun melecun, meletup-letup!” Rusdi tiba-tiba bersuara sambil tersengih. Suraya memandang tepat pada wajahnya. “Ini secalit mekap pun tak ada, macam mana orang nak ngorat kau.” Sambung Rusdi lagi.

“Aku tak perlukan orang ngorat aku,” Pantas Suraya menjawab sambil membuang pandang ke arah lain.

“Aku peliklah, anak dara lain semua gila meragam, kau pulak buat tak endah.” Suraya diam. Padangannya jauh ke hadapan jalan.

“Kau nak jadi anak dara tak laku ke?” Kata-kata Rusdi itu dibiarkan, berlagak seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Walaupun dia sebenarnya dengar dengan teliti setiap bait yang diungkap oleh Rusdi. Keluhnya disimpan. Tak mahu dihembus keluhnya di hadapan lelaki itu.

“Kau nak jadi andartu Su??” Soal Rusdi lagi dengan nada tinggi. Suraya menoleh sekilas.

“Di, belum masanya aku nak meragam. Belum masanya aku fikir pasal kahwin. Laku ke tak laku tak terlintas lagi dalam fikiran aku.” Rusdi di sebelahnya tersengih senget mendengar jawapan Suraya. Pemikiran Suraya memang tak sama macam gadis kampungnya yang lain. Jauh berbeza.

“Kalau ya pun aku tak laku, kau kan ada.. ” Tiba-tiba Suraya bersuara manja. Sekilas dijelingnya wajah Rusdi sambil tersenyum nakal.

“Erk!” Rusdi terkebil-kebil dengan matanya yang membulat pandang Suraya. Suraya mengetap bibir tahan gelak. Tak tahan geli hatinya melihat wajah Rusdi ketika itu.

“ADOIIII!!” sejurus itu juga kepala Rusdi terlanggar pada batang pokok ketapang yang melunjur condong di sudut halaman depan rumah Junaidah. Dia berjalan mengiring ketika memandang Suraya tadi, tak ternampak pokok ketapang sebesar setengah pemeluk itu. Suraya tekejut bukan kepalang. Jeritan Rusdi bagai beruang mengamuk memekakkkan telinganya. Disusuli sumpah seranah kejam Rusdi pada pokok ketapang yang tidak bersalah.

 

 

 

Tiga tahun kemudian..................

 

Kedai Runcit Junaidah

‘Hasnor Ahmad Melamar Wartawan Muda’

Terpampang headline besar di muka depan majalah hiburan kegemaran Junaidah. Berkobar-kobar Junaidah membuka majalah itu di hadapan dua lagi rakannya.

“HAH?!!!

Junaidah metakkan kedua tangan di pipinya dengan mata terbeliak.

“Su..Su..." Hamirah seakan tidak percaya. "Suraya!??” Hasmirah menyambung dengan nada tinggi. Di sisinya Rahimah yang sedang terlopong.

 


Warung Pak Saman.


“Dari lokasi, Suraya Syahari melaporkan, TV4!”

Berakhirnya laporan berita itu, serta merta Pak Saman menukar siaran televisyen. Empat pasang mata yang sedari tadi tidak berkelip memandang kaca tv serentak berkelip. Beralih ke arah Pak Saman yang memegang remote sedang duduk bersantai di meja di belakang mereka. Pak Saman khusyuk padang tv buat tak tahu.

“Lawa gila si Su tu. Kalau aku tau dulu, awal-awal lagi aku ngorat dia!”

Rusdi memandang ke arah Anjak yang bersuara penuh emosi. Dijelingnya Anjak sambil mencebik.

“Kan...dulu aku dah cakap dah si Su ni lawa, tanpa mekap pun lawa...asli...” Abu menjuih bibir.

“Eleh...bila masa pula kalau cakap? Aku tak pernah dengar pun.” Rusdi menjeling acuh tak acuh.

“Eh, err..err..adalah..aku cakap korang yang tak dengar..”

“Alah tu kau cakap dalam mimpilah tu.” Anjak tersengih mengejek.

“Kalau kau tau dia cantik kenapa kau tak ngorat dia dulu?” sambung Anjak

“Aku takut si Rusdi marah aku. Tulah kau Di, kalau tak dah lama aku ngorat dia.” Abu menjuih muncungnya menarikmuka dari Rusdi.

“Cis! Aku pulak kau salahkan!” Marah Rusdi.

“Alah satu kampung tahu Su suka kat kau dulu Di, kau je yang tak layan. Alih-alih dikebas juga oleh Hasnor si rambut durian tu!”  Leman menyampuk lalu melampiaskan ketawanya. Disusuli ketawa Pak Saman yang jarang-jarang ketawa di belakang mereka.

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) ntah apa2..sy pun tak paham..baca je la..*mode sedang mengasah pensel yg tumpul
  • 2) saya suka..
  • 3) nais nurie..sian rusdi tu..
  • 4) hehhe saya suka cerita ni
    dialognya ada unsur klasik. memang perbualan biasa org2 di desa.
    dah lama tak dgr dialog2 gini. selalu dulu saya baca dalam tiga dara pingitan dalam majalah gila-gila je.

    wah nurie sesekali menulis! hehe.
    ending dia nice
  • 5) bagus nurie... sy perlu cerita begini... penuh dgn suasana kampung.. smbil membaca, smbil tervisual suasana kampung.. lebih2 lagi dekat nak raya ni.. ehm.. buat drama raya pon mcm best nih..
  • 6) pilihan bait-bait kata yang sesuai dengan latar. menarik sekali. sudah lama saya tidak membaca kisah-kisah sebegini. santai dan diselitkan mesej. nice one nurie!!

  • (Penulis)
    7) terima kasih sebab membaca.
  • 8) wah,saya suke cerita ni..
    kelakar..
    hehehehe..
    sian kt rusdi..

Cerpen-cerpen lain nukilan nurie

Read all stories by nurie