Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Masih ada cinta

 

 

Waktu itu mata kami sama-sama membaca notis yang dilekat pada papan kenyataan.

“LD class was cancelled, extended to next week.” Dia membacanya dengan kuat. Lirik mataku serta merta beralih padanya. Dia tersenyum sambil mengangkat bahu. Senyumnya kubalas.

“Assalamualaikum.” sapaku

“Walaikumsalam. Apa khabar awak?”

“Alhamdulillah sihat. Awak?” soalku sambil meneliti bentuk wajahnya yang sedikit berubah. Ya wajahnya berubah kerana rambut barunya. Kali terakhir aku berbual dengannya bulan lepas. Waktu itu rambutnya masih panjang melebihi 3 inci. Sekarang nampak lebih kemas dengan potongan gaya ala moden. Segak.

“Awak tengoklah saya ni makin membulatkan? Confirmlah saya sihat walafiat.” Jawabnya dengan sedikit senyum berlagak. Tubuh polosnya kupandang dari atas ke bawah. Dia memang makin berisi sedikit terutama di bahagian pipi dan perut. Tangannya yang mengusap perut membuat aku tergelak.

“Dah lama kita tak berborakkan?”

“Semenjak kerja group kita dah settle awak pun busy je dengan program kolej awak.” Balasku mengangkat kening.

“Awak rindu saya tak?” soalannya buat aku tersengih dan serta merta juga aku mengangguk. Dia tergelak kecil sambil mengeleng. Ketawaku menyusul. Canda tawaku dengannya tak pernah hilang walau dah sebulan tak bertegur sapa.

Muncungnya diarahkan ke sebuah sebuah pondok cendawan tepi tasik di hadapan dewan kuliah. Tempat yang selesa untuk bersantai berbanding berdiri di tengah-tengah koridor. Aku mengangguk senyum. Kami berjalan beriringan ke pondok cendawan.

“Saya teringat kata-kata awak bulan lepas, awak kata awak teringin nak kahwin. Bilalah awak nak kahwin ni? Saya tertunggu-tunggu kad jemputan awak tau.” Usikku sekadar membuka topik perbualan sebaik sahaja punggung kulabuhkan di atas kerusi.  Dia tergelak besar. Mungkin terkejut dengan soalanku yang tak sepatutnya kuajukan.

“Tak jumpa calon lagi.”

“Alah..alasan lapuk!"

“Amboiii....” Matanya menatapku tajam. Aku menutup mulut menahan gelak.

“Awak ingat senang ke nak kahwin? Nak mencari pasangan ni macam nak pilih baju kat kedai. Nak yang saiz fit dengan badan, nak warna dan fesyen yang memikat hati, tak merimaskan, dan yang paling penting nak yang selesa.” Balasnya merenung tepat ke wajahku sambil memegang koler jaket kulit hitamnya. Sedikit berlagak macho.

“Hmmm..memilih sangat..” ringkas kubuat kesimpulan sambil menjeling. Pandangan ku buang ke arah tasik. Sesekali ekor mataku mencuri pandang wajahnya. Aku ingin lihat bagaimana riaknya bila diusik. Ternyata dia bersahaja dengan wajah selamba.

“Biasalah orang banyak duit ni taste tinggi sangat kan? Nak beli baju pun banyak kerenah.” Tambahku.

“Awak, tak memilih?” dia menyoal dengan mata yang tajam. Keningnya terangkat tinggi.

“Bakal suami awak, awak nak yang macam mana?” tambahnya. Soalannya membuatkan aku berfikir seketika. Wajahnya kurenung. Semestinya saya takkan cari suami yang pemilih macam awak Ihsan.

“Saya belum fikir lagi soal tu. Belum terlintas dalam fikrian saya. Saya bukan macam awak yang dah teringin nak kahwin, nak bercinta.” jawabku acuh tak acuh.

“Biasanya perempuan yang tak sabar sangat nak kahwin...”

“Pardon me???”

“Nothing..” jawabnya laju sambil tersengih.

“Awak ramai peminat kat kolej ni. Bukan susah nak pilih. Nak yang comel-comel? Ada je freshie yang baru masuk tu ramai. Nak yang sebaya? cari je kat dewan kuliah. Awak ada rupa, dari kerabat keluarga terhormat, pelajar cemerlang, waris lelaki tunggal ayah awak pula tu. Lengkap pakej lelaki idaman para gadis.” Tuturku sesuka hati. Tapi memang benar, itulah yang sering diwar-warkan oleh rakan-rakan perempuanku tentang lelaki bernama Mohd Ihsan.

Kedengaran ketawa kuatnya. Seketika kemudian dijuihkan bibirnya sambil menggeleng. Aku balas dengan sengihan. “Seriouly, mencari pasangan hidup tak semudah awak bercakap Hani." Ucapnya bersemangat sambil menarik nafas dalam-dalam. Riaknya mula bertukar serius.

"Saya tak nak bini, yang saya nak ialah isteri.”

Bini? Isteri?  “Apa bezanya?” Soalku juga serius.

“Kalau saya nak bini sekarang juga saya boleh dapat. Cakap je kat ayah saya untuk tawarkan hantaran tinggi-tinggi kepada siapa-siapa untuk jadi bini saya, mesti laju je ada yang nak.”

“Kalau saya, saya tak nak.” Lincah saja mulutku menjadikan diri sendiri sebagai contoh untuk menidakkan pernyataannya.

Dia memandangku seketika sebelum melepaskan ketawanya. Aku turut ketawa. Tapi ketawaku tak seasli ketawanya kerana kelucuan. Aku ketawa sekadar menutup perasaan maluku sendiri.

“Bercakap memang senang bagi orang yang banyak duit. Tapi awak jangan lupa pada kenyataan, tak semua hati boleh dibeli dengan wang ringgit.” Sambungku menjelaskan. Itulah jawapan sebenarnya patut aku utarakan awal tadi. Tak sepatutnya aku menjadikan diri sendiri sebagai contoh.

“Thats what i meant!” Tuturnya dengan nada tinggi. Aku mencebik kehairanan. Aku tak faham, apa maksud awak Ihsan?

“Saya tak nak hati yang boleh dibeli dengan wang ringgit. So, saya nak ISTERI untuk dunia dan akhirat, bukan BINI untuk dunia sahaja.” Tuturnya dengan menekankan perkataan isteri dan bini.

“Saya nak isteri yang akan terima saya kerana diri saya. Bukan kerana apa yang saya miliki. Harta dan kedudukan tidak akan kekal. Saya nak isteri yang sanggup kongsi segalanya dengan saya. Susah senang dengan saya, suka duka dengan saya. Segala-galanya dengan saya.”

“Setiap orang tidak tahu bagaimana perjalanan takdir yang perlu dilaluinya. Sebagaimana naik turunnya ombak kehidupan, mungkin suatu hari saya ditakdirkan jatuh sakit, atau jatuh papa kedana, saya hanya mahu isteri saya berada di sisi.” Tuturnya dengan nada semakin perlahan. Kepalanya ditundukkan sambil kakinya yang menguis-nguis pada rumput.

Aku tersenyum sendiri sambil meneliti Ihsan. Ku renung wajah seriusnya. Siapakah sebenarnya lelaki di hadapanku itu? Tanggapan negatifku terhadap lelaki itu sedikit demi sedikit terhakis. Ketika dia mengangkat wajahnya, aku cepat-cepat melarikan mata jatuh ke meja. Sambil ketawa kecil, buku di atas meja ku kemas dan memasukkan ke dalam beg.

“Nak ke mana? Kelas LD kan cancelled?” tegurnya.

“Saya nak balik. Lagi lama saya dengan awak kat sini lagi saya cair dibuat awak.” Ucapku sambil mengangkat punggung dari kerusi. Matanya terbeliak, terkebil-kebil memandangku. Aku segera berpaling. Tanpa menoleh aku mengatur langkah pergi. Tak sampai beberapa saat kedengaran ketawa Ihsan.

 

---------------

 

Hari minggu berikutnya Ihsan ajak aku temankan dia melawat ke rumah atuk saudaranya di Bukit Tiara. Mulanya aku menolak kerana segan. Tak berani aku nak jejakkan kaki ke tempat-tempat milik keluarga berada apatah lagi keluarga golongan ternama. Maka aku menolak sekeras-kerasnya. Tapi Ihsan, dia gunakan helah supaya aku setuju. Katanya atuk saudaranya sakit. Padahal waktu aku bersua di hadapan datuk saudaranya, sihat walafiat saja Tuk Anjak tersenyum riang menyambut kami di ladang angsanya. Tak patut sungguh Ihsan kata TuK Anjak sakit. 

Selain Tuk Anjak juga aku sempat bertemu dan berkenalan degan Kak Alia, kakak Ihsan dan suaminya yang suka berhujung minggu di ladang angsa Tuk Anjak. Satu persatu keluarga Ihsan aku kenali. Dan nyata mereka sangat berbeza dari tanggapan negatifku tentang golongan mereka sebelum ini. Bukan sekali aku melawat Bukit Tiara. Setiap hujung minggu aku akan ke sana semata-mata nak jumpa Tuk Anjak. Aku senang menghabiskan masa melayan cerita-cerita Tuk Anjak.

Pada suatu hari di ladang angsa Tuk Anjak, Ihsan telah menyuarakan sesuatu. Ketika itu Tun Anjak meminta diri mahu ke stor. Ihsan yang semakin merapat bersuara perlahan dengan nada serius,

“Hani, saya nak tanya awak sesuatu..”

“Tanya je lah..” ucapku sambil lewa. Anak-anak angsa yang berbunyi sambil berkeliaran ke kolam kecil menjadi tumpuanku sambil tanganku ligat mengisi bekas-bekas makanan mereka.

“Kalau sekarang ni ada seorang lelaki kata dia sukakan awak, awak nak bercinta dengan dia tak?”

Aku berpaling dari menghadap anak-anak angsa. Wajah Ihsan kutenung. Keningku berkerut.

“Siapa?” soalku.

“Takkan Tuk Anjak kot..” jawabnya.

Ihsan kupandang lama. Berfikir sambil melihat keseriusan dalam anak matanya. Ada sesuatu dalam anak matanya yang bersinar. Tiba-tiba saja aku jadi gemuruh lantas aku menggeleng kasar. Ku sambung semula mengisi makanan dalam bekas. Satu persatu bekas kupenuhkan dan semakin jauh Ihsan ku jarakkan.

Suasana hening bila keadaan senyap menguasai. Bunyi anak-anak angsa yang tadi bising juga tidak lagi kedengaran. Dengan ekor mataku, aku memandang Ihsan yang menyandar pada pagar kayu tidak jauh dariku. Sambil bersandar renungannya jauh ke hadapan. Raut wajahnya buat aku serba salah. Tiada lagi riak riangnya.  Maafkan saya Ihsan..awak dan saya takkan mungkin..

Aku cepat-cepat memenuhkan bekas makanan angsa, rasa serba salah dan tidak selesa tanpa gurauan Ihsan membuatkan aku tak senang. Selesai saja di situ aku meminta diri pada Tuk Anjak sebelum meminta Ihsan menghantarku pulang.

Sejak balik dari hari ladang Tuk Anjak, sehingga ke hari ini aku jarang jumpa Ihsan. Sudah dua minggu, aku hanya tersempak dengannya di kafe sekali saja. Itu pun awal minggu lepas. Sekadar bertegur sapa bertanya khabar sepatah dua dan Ihsan segera meminta diri beredar.

Beberapa minggu berlalu, kami kembali berhubung cuma tidak sekerap dulu. Sekali dapat bertemu, aku yang akan memulakan perbualan. Mengajaknya duduk semeja sekadar berbual-bual seperti biasa. Aku menanya itu dan ini, terutama tentang Tuk Anjak dan angsa-angsanya. Ihsan banyak diam, sekadar menjawab sepatah-sepatah pertanyaanku. Di penghujung semester, aku dapat tau Ihsan sedang bercinta dengan seorang gadis bernama Sofia.

 

-------------------

 

Masa berlalu begitu pantas. Hampir 3 bulan aku tak berbual-bual dengan Ihsan. Terserempak dengannya bukan tak pernah, cuma sekadar bertegur sapa. Untuk duduk semeja berbual panjang tidak lagi. Aku tahu kedudukan Ihsan. Dan aku juga tak akan pernah lupa akan kedudukan aku.

Aku masih ingat raut wajah Sofia ketika sekali aku terserempak dengan Ihsan dan Sofia di sebuah pusat membeli belah. Seperti biasa apabila aku dan Ihsan bersua, kami akan bergurau kecil. Ihsan kata lama tak berborak dengan aku, maka aku diajaknya makan tengah hari bersama dia dan Sofia. Aku pantas menolak. Ihsan kata aku lupa kawan, kata aku sombong. Mahu tak mahu, aku kena turutkan.

Sepanjang makan, aku dan Ihsan berborak panjang. Sesekali Ihsan buat lelucon dan aku menambahnya. Kemudian kami sama-sama tergelak. Bagiku sebagai sahabat, sejauh mana kedudukan itu berbeza, kemesraan tidak perlu dihapuskan. Tapi Sofia tak faham akan itu. Sofia dia sekadar tersenyum. Aku bukan ahli tilik wajah, tapi aku tahu maksud riak senyum yang Sofia tunjukkan. Hati perempuan, pasti tidak lari dari cemburu.

Habis saja makanan, aku segera meminta diri. Ihsan ajak lagi ke pameran kerjaya di tingkat atas, dan aku menolak dengan alasan hendak balik cepat. Padahal memang tujuan aku utama aku hari itu hendak ke pameran kerjaya di situ. Tanpa berlengah, aku segera meminta diri untuk pulang. Ketika mengatur langkah, sempat aku berpaling melihat seketika Ihsan dan Sofia yang berjalan ke arah bertentangan. Wajah Ihsan kelihatan bahagia di sisi Sofia. Nafas kutarik dalam-dalam lalu kuhembuskan bersama perasaan yang tak sepatutnya kupendam. Biar perasaan itu terbuang jauh-jauh.

 

----------------

 

Sampai sahaja aku di halaman Villa Angsana tiba-tiba saja kakiku berat untuk melangkah turun dari kereta. Villa Angsana milik keluarga Sofia tersergam indah dan kehadiran tetamu golongan atasan membuatkan aku naik segan. Lama aku berkira-kira nak masuk atau tidak. Kelibat Kak Alia di pintu masuk membatalkan niatku untuk berpatah balik. Aku turun dari kereta terus mendapatkan Kak Alia yang yang sibuk mempelawa tetamu masuk ke dalam. Kakak Ihsan itu sajalah yang aku kenal di situ, yang lain-lainnya pastinya kerluarga Sofia. Masing-masing sibuk menjemput tetamu segera masuk.

“Lambat sampai Hani..” sapa Kak Alia.

“Maaf kak, Hani sesat tadi.”

Kak Alia menggeleng tersenyum. “Dah berpeluh-peluh dah Hani ni. Jom masuk, majlis dah nak mula tu.” Pelawa Kak Alia segera menarik tanganku masuk ke dalam villa. Sambil mengelap peluh di dahi aku melangkah ke dalam Villa Angsana.

Villa Angsana berseri-seri dengan hiasan indah bertemakan warna hijau. Di ruang tamu utama, di tengah-tengahnya tersusun barisan dulang-dulang hantaran kedua belah pihak. Di kelilingi oleh tetamu yang hadir duduk bersila dan bersimpuh. Kak Alia mengajak aku ke bilik bakal tunang Ihsan. Aku menolak. Segan. Aku tak berapa kenal sangat dengan Sofia. Sekadar dikenalkan oleh Ihsan saja pada empat bulan lepas dan sesekali bertegur sapa bila berjumpa Ihsan bersamanya. Sambil bergerak dengan senyap aku menyelit di satu sudut tepi dinding. Mengambil tempat duduk bersama tetamu perempuan yang lain. Kak Alia lesap ke tingkat atas.

Aku tak tahu aku duduk di bahagian pihak perempuan atau pihak lelaki. Aku dah tak kesah, janji aku duduk di tempat yang sedikit tersorok. Duduk di sudut itu, mataku meliar di celah-celah orang. Sesekali berbalas senyum dengan tetamu bila bertemu pandang. Rata-rata mereka berdandan dengan mewahnya. Kaum hawa anggun-anggun semuanya. Berseri-seri. Para adam pula segak dengan batik dan baju melayu. Seperti menghadiri majlis perkahwinan saja.

Di satu sudut pula kelihatan dua orang sedang memakai pakaian sedikit berbeza dari yang lain. Berkot hitam tanpa lengan. Salah seorang memegang kamera besar dan seorang memegang buku kecil dan sebatang pen. Wartawan agaknya. Majlis orang-orang kenamaan, wajarlah semuanya serba serbi. Sofia dan Ihsan memang pasangan yang serasi, datangnya daripada keluarga yang sama kedudukannya, eloklah liputan media esok lusa.

Mataku tertancap pada beberapa orang yang memakai pakaian bertemakan hijau di kawasan tengah. Wajah Datuk Hassan dan Datin Maznah kelihatan. Tersenyum gembira diapit oleh beberapa saudara mara mereka. Di belakang Datuk Hassan, kelihatan Tuk Anjak, sedang berbual-bual dengan lelaki di sebelahnya. Mataku terus meliar sampailah mataku bertemu dengan sepasang mata yang sangat ku kenal. Ihsan segak dengan songkok di kepalanya. Tergaris senyum di wajah putih bersihnya. Cepat-cepat kubalas dengan senyum dan anggukkan. Saya tepati janji saya Ihsan, saya di sini hadiri majlis pertunangan awak.

Pandangan kami serentak beralih pada anak tangga. Sofia turun diiringi anak-anak gadis dan Kak Alia rapat memimpin lengan Sofia. Cantik sungguh Sofia dengan kebayanya. Aku pandang Ihsan semula. Matanya tak berkelip pandang Sofia. Tanpa sedar aku mengeluh. Ternyata ada suatu perasaan yang semakin membeban di hati.

Majlis pertunangan berlangsung dengan sempurnanya. Aku tak ikuti acara pertunangan hingga selesai. Ketika upacara menyarungkan cincin, aku segera berdiri bersama beberapa tetamu yang lain. Tetamu yang lain begerak rapat ke depan mahu mengambil gambar, aku pula menyelit ke belakang mahu ke luar. Aku perlahan-lahan mengangkat kaki dari situ. Ketika aku bergegas nak menyelit, lengan baju kurungku ditarik. Aku menoleh.

“Tuk Anjak!”

“Hani ok?”

Aku pandang Tuk Anjak. “Hani ok?” ulangnya lagi. Aku pantas mengangguk sambil mengukir senyum sedaya yang mungkin. Tuk Anjak membalas senyum. Tangannya menyentuh bahuku lalu diusap perlahan. Renungannya seketika membuat aku hampir menitiskan air mata. Seperti membaca apa yang tersirat di hatiku.

“Makan dulu baru balik cu.” Pesan Tuk Anjak. Aku sekadar mengangguk dan meminta diri untuk ke ruang makan.

Aku menjamah sedikit juadah sebelum meminta diri pulang. Ketika hendak melangkah pulang, Ihsan mengiringiku ke tempat letak kereta. Akhirnya aku berkesempatan berbual dengannya bersendirian.

“Saya gembira awak bahagia. Tahniah, atas pertunangan awak.” ucapku mendatar sambil senyum melihat ada bahagia di wajahnya. Ternyata Sofia orang yang tepat yang mampu membahagiakannya.

“Cinta itu yang membahagiakan, rasanya manis Hani.” Ucapnya. Aku mengangguk-angguk mengiyakan saja. Seketika itu kami berdiam. Masing-masing berfikir. Aku tak tahu apa yang difikirkan oleh Ihsan tika itu. Dan dia, tahukan apa yang aku fikirkan? Fahamkan dia akan perasaan yang aku rasa sekarang ini?

“Awak tak pernah bercinta?” Soalnya tiba-tiba. Aku tunduk menguntum senyum. Ihsan, soalan awak sangat pedas! Bagaimana untuk aku menjawabnya? Ya, aku hanya pernah mencintai, dan itu pun untuk pertama kali. Untuk merasa cinta berbalas kemudian saling bercinta, aku langsung tak pernah.

Melihat aku diam tak menjawab dia bertanya lagi,

“Tak nak cuba bercinta?”

“Bercinta hanya sekali untuk saya, iaitu dengan suami saya.” Laju aku menjawab. Dia tersengih sambil merenungku. Aku cuba larikan mata.

“Semoga awak temui suami awak segera dan merasa cinta.” Ucapnya dengan senyum. Aku sekadar mengangguk. Cukuplah setakat ini topik cinta menjadi perbualan kita Ihsan. Biarlah inilah kali terakhir saya dengan awak, kerana awak sudah sah menjadi tunangan orang. Kukenyitkan mata lalu mengarahkan anak mata pada belakangnya. Sofia di muka pintu sedang menunggu dengan senyuman yang mekar. Ihsan menoleh lalu tersenyum. Aku membuka pintu kereta sambil meminta diri untuk pulang.

 

------------------------

Hari ini aku terima hadiah hasil tungkus lumusku menuntut ilmu selama tiga tahun. Segulung izajah dalam genggaman. Aku hadiri hari konvokesyen tanpa ditemani keluarga. Cukuplah aku seorang menerima ijazah ini dan kuhadiahkan pada mak dan ayah di kampung nanti. Melangkah saja keluar dari dewan canselor aku mengambil kesempatan bertemu rakan-rakan untuk mengucapkan tahniah. Sesekali aku berselisih dengan beberapa rakan-rakan coursemate Ihsan, masing-masing tak lupa juga mengucapkan tahniah. Rakan-rakan Ihsan sahaja yang aku temui, batang hidung Ihsan langsung aku tak nampak. Aku keluarkan fonsel dari poket, aku menekan butang cari sehingga nombor Ihsan tertera. Teragak-agak untuk kutekan butang dail. Lama aku tak berhubung dengan Ihsan melalui telefon. Segan rasanya. Sejak dia bertunang pada cuti akhir semester bulan lepas aku langsung tak pernah menghubunginya. Bertemu pun tak pernah.

Rasa ingin bersua dengan Ihsan cukup kuat merangsang aku untuk menekan butang dail. Aku dail tapi tak berjawab. Aku cuba dail beberapa kali lagi, talian masih tak berjawab. Ihsan awak di mana? Saya nak jumpa awak sebelum saya balik kampung..

Rintihku dalam hati semakin membuak. Ketika itu kelibat seorang rakan Ihsan yang ku kenal berada di hadapan tangga dewan canselor. Aku segera mendapatkannya.

“Rey, nampak Ihsan tak?”

“Ihsan kan buat medical treatment kat Amerika.”

“Medical treatment? Amerika?” ulangku kehairanan. Rey mengangguk dengan kening berkerut. Wajah ku yang terkejut dengan jawapan Rey membuatkan Rey kehairanan.

“Kenapa dengan Ihsan?”

“Oh, awak tak tahu eh?” soal Rey. Aku menggeleng. Sudah lama aku terputus hubungan dengan Ihsan, masakan aku tahu menahu perkembangan tentang diri lelaki itu lagi.

“Ihsan kan accident bulan lepas. Kaki dia memang susah nak pulih. So minggu lepas dato dan datin bawa dia ke Amerika. Diorang nak cuba teknologi rawatan dekat sana. Tadi yang ambilkan ijazah Ihsan pun, atuk sedara dia. Katanya tak pasti bila Ihsan akan balik.” Jelas Rey.

Ihsan accident?? Aku makin terkejut. Hatiku mula diserbu resah.

“Kat mana awak jumpa atuk sedara Ihsan, Rey?”

“Tadi kat dalam dewan. Tapi tadi baru je nampak dia lalu kat sini. Agaknya ke parking lot kat belakang. Kalau nak jumpa sempat lagi kejar tu.”

“Ok thanks Rey! I’ve to go. Congrates for your graduation!” Ucapku kelam kabut. “Thanks, you too!” Balas Rey berserta anggukkan sebelum aku mengatur langkah bergegas ke tempat letak kereta.

Dari jauh kelibat seorang lelaki menggamit pandanganku. Cara jalan dan potongan rambutnya dari belakang cukup ku kenal.

“Tuk Anjak!” jeritku sambil berlari-lari. Lelaki separuh abad itu memberhentikan langkahnya lalu menoleh.

“Hani!” Tuk Anjak mengukir senyum menyambutku.

“Tuk..” laju tanganku mencapai tangan Tuk Anjak. Salam hormat kuhulur. “Tuk, apa yang jadi pada Ihsan?” soalan kupaculkan sambil tercungap-cungap. Wajah Tuk Anjak yang melepas keluh panjang membuatkan aku tambah risau.

“Kenapa tak bagi tahu Hani Ihsan kemalangan?” soalku lagi sebelum menelan air liur menahan sebak.

“Maafkan Hani, Tuk tak tahu nombor contact Hani..”

Aku tunduk mengeluh. Tuk Anjak memang tak ada nombor telefon aku. Tapi, Ihsan ada. Kenapa Ihsan tak hubungi aku? Aku tahu aku bukan siapa-siapa yang penting pada Ihsan, tapi sebagai kawan aku juga berhak untuk tahu. Sampai hati awak Ihsan..

“Lagi pun Hani kan sibuk dengan praktikal, takkan tuk nak ganggu Hani.”

Wajah Tuk Anjak kurenung. Tuk Anjak tak nak susahkan aku, tapi aku lagi susah kalau tak dapat tahu. Kalau ada apa-apa terjadi pada Ihsan dan aku masih tak tahu memang aku akan menangis tak henti-henti depan Tuk Anjak.

“Bagaimana keadaan Ihsan sekarang tuk?”

“Alhamdulillah Ihsan selamat.” Jawab Tuk Anjak sambil mengusap bahuku. “Cuma kedua belah kakinya sukar nak pulih.”

“Tapi boleh pulih kan?”  Tuk Anjak menggangguk. “Perlukan masa yang lama dengan rawatan berterusan.”

“Bila Ihsan akan balik? Hani nak jumpa dia tuk.”

“Tuk tak pasti bila. Tapi Ihsan tak lama kat sana. Paling lama pun seminggu. Cuma nak cuba mesin teknologi rawatan pemulihan kat sana je. Kalau serasi dengan Ihsan, Ihsan akan balik bersama mesin tu. Tak perlu Ihsan lama-lama dekat sana.”

Aku menggangguk. Nafas kutarik dalam-dalam dan hembus bersama keluhan panjang. Tangan Tuk Anjak masih pada bahuku. Diusap perlahan. Kemudian tangan Tuk Anjak mencapai topi di kepalaku. Dibetulkan topi yang senget.

“Senyumlah Hani. Tak baik sedih-sedih hari ni. Sepatutnya Hani bergembira, hari ini kan hari Hani bergelar graduan.”  Aku sekadar menggangguk cuba mengukir senyum. Dalam hati wajah Ihsan masih berlegar-legar.

Sebelum berpisah aku berikan nombor telefonku kepada Tuk Anjak. Aku perlu tahu perkembangan Ihsan walau di mana dia berada. Cukuplah berberapa bulan aku dan Ihsan terputus hubungan, berita kemalangannya pun aku langsung tak tahu. 

 

-----------------

 

Pagi itu aku ketika berada di kampung, aku terima panggilan dari Tuk Anjak memberitahu Ihsan sudah balik dari Amerika. Pagi itu juga aku bertolak dari Kota Bharu menuju ke Kuantan. Aku sampai di Bukit Tiara petang. Aku terus ke rumah Tuk Anjak. Aku bukan tak tahu alamat rumah Ihsan, tidak jauh dari rumah Tuk Anjak. Cuma aku segan untuk ke sana bersendirian. Biarlah aku melawat Ihsan bertemankan Tuk Anjak.

“Tuk tak bagi tahu Ihsan Hani nak datang. Tuk takut Ihsan marah.” Terang Tuk Anjak ketika kami melangkah masuk ke rumah Ihsan. 

“Tak apa Tuk, pandai-pandailah Hani nanti.” Jawabku. Ketika itu kelibat Datin Maznah muncul di tangga ruang tengah. Aku tunduk tanda hormat. Datin mengukir senyumnya sambil menuruni anak tangga.

“Ni lah budaknya Nah.” Tuk Anjak bersuara. Datin Maznah mengangguk-angguk. Aku memerhati sekeliling. Budaknya apa? Tiada seorang budak-budak pun di ruang itu ketika ini? Akukah yang Tuk Anjak maksudkan?

“Nak melawat Ihsan?” soal Datin Maznah membuat aku sedikit terkesima. Lantas aku mengangguk. Mulanya aku teragak-agak untuk menyalam tangan Datin kerana seganku pada Datin Maznah tak sudah-sudah. Datin tersenyum sambil menghulurkan tangannya, perlahan aku menyambut. Kucium tanda hormat.

“Naiklah, bilik Ihsan yang  paling hujung sebelah kiri.”  Aku menggangguk.

“Hani naiklah dulu, Tuk Anjak ada hal nak cakap sikit dengan Datin. Nanti Tuk menyusul.” Tuk Anjak memberitahu. Aku mengangguk saja. Perlahan-lahan kulangkahkan kaki ke atas.

“Kita putus Ihsan!”

Aku memperlahankan langkah dan berhenti di tepi pintu bilik Ihsan yang terbuka. Mataku menjengah luas ke dalam. Kulihat Ihsan di duduk di kerusi rodanya berhadapan dengan Sofia yang sedang berpeluk tubuh. Wajah Sofia serba salah walau angkuhnya jelas kelihatan. Sedang keadaan Ihsan pula meruntun hatiku. Pada kerusi rodanya dia mendongak memujuk dan merayu pada Sofia.

“Lupakah pada janji Sofia? Sofia takkan tinggalkan Ihsan walau apa pun terjadi?” soal Ihsan sayu. Sofia berdiam. Keningnya berkerut sambil menelan air liur.

“Tolong jangan tinggalkan Ihsan, Sofia..” rayu Ihsan lagi.

“Ihsan, awak tak faham!”

“Apa yang Ihsan tak faham?”

“Dulu lain..sekarang lain..”

“Apanya yang lain Sofia?”

“Dulu memang.. Sofia cakap memang senang. Sofia sanggup apa saja. Sebab Sofia tak laluinya lagi! Sekarang Sofia sedar Sofia tak sesanggup apa yang Sofia ucapkan dulu. Sofia tak sanggup Ihsan, Sofia tak nak hidup dengan tunang yang macam ni....” kata-kata Sofia putus di situ.

“Ihsan akan pulih Sofia! Cuma perlukan masa!” marah Ihsan.

“Sofia tak sanggup tunggu! Sekarang ni pun Sofia dah tak tahan. Macam mana Ihsan nak jaga Sofia dengan keadaan Ihsan macam ni? Nak temankan Sofia keluar pun tak larat. Sofia pula yang nak kena jaga Ihsan sampai pulih. Nak jaga sampai setahun? Sofia tak sanggup."

“Mana cinta awak Sofia?” Ihsan bergerak merapati Sofia. Tangannya cuba memegang tangan Sofia. Berharap Sofia tidak bermaksud akan kata-katanya. Pantas juga Sofia mengelak menghindarkan dirinya ke belakang.

“Cinta saya dah hilang.. dan saya nak cari cinta yang lain!” Putus Sofia sambil berundur ke belakang lagi.

“Sofiaaaa...” Bergenang mata Ihsan menahan sebaknya. “Semudah itu kau berubah Sofia..”

“Maafkan saya, saya tak sanggup!” Sofia meletakkan cincin tunang di atas meja kecil tepi dinding lalu bergegas menuju ke pintu. Hampir dia terlanggar aku yang statik berdiri di luar pintu. Terhenti langkahnya di hadapanku. Mata kami bertentang. Dia segera melarikan matanya lalu mengelak ke tepi. Berlalu meninggalkan bilik Ihsan.

Di dalam bilik, Ihsan sedang duduk terkejut dengan kelibatku. Perlahan dia cuba mengukir senyum tapi aku tak membalasnya membuatkan dia tunduk. Dia tunduk lalu perlahan mengalihkan kerusi rodanya membelakangkan aku. Aku melangkah masuk dengan sebak yang menggunung. Perasaan di dalam hati tak dapat kubendung. Aku dekati Ihsan. Aku merendahkan kaki duduk di hadapannya. Kedua belah tangannya kugenggam kuat. Mataku bertentang dengan mata Ihsan yang kemerahan. Ada air yang bergenang ditahan dari tumpah.

“Sudikah awak terima saya jadi isteri awak?”

Ihsan terpinga-pinga. Aku tahu dia terkejut. Aku biarkan dia merenung mataku, aku harap dia faham akan maksudku ikhlas.

“Awak..”

Aku mengangguk meyakinkan. Ketika itu juga air yang bertakung di kelopak mataku menitik.

“Awak tak cintakan saya, jangan kerana simpati awak sanggup!” Ihsan cuba menarik tangannya. Aku genggam lebih kuat. Matanya yang dilarikan masih kutenung.

“Maafkan saya Ihsan. Saya sebenarnya dah jatuh hati pada awak lama dulu. Tapi waktu di rumah Tuk Anjak hari tu, saya belum bersedia. Saya tak bersedia dengan kedudukan saya. Dan waktu itu juga saya tak dapat menerima kedudukan awak.”

“Kedudukan apa?”

“Taraf kedudukan kita berbeza. Saya berasal dari keluarga nelayan. Cerita latarbelakang saya tak secantik cerita latarbelakang awak Ihsan.” Ucapku. Seraya itu aku tunduk.

“Kedudukan itu yang awak maksudkan? Huh, apa yang ada pada kedudukan?! Awak dan saya tak ada bezanya! Jangan pernah membezakan kedudukan kerana itu hak Allah.. ” Ihsan bersuara tinggi. Pandangannya dipalingkan ke arah lain.

“Maafkan saya Ihsan.. saya.. saya cuma tak bersedia. Saya takut. Saya takut dengan keluarga awak.”

“Itu alasan awak tolak cinta saya dulu?” Aku mengangguk. Ihsan tersengih sinis.

“Awak memang kejam Hani..” ucapnya membuat air mataku mengalir laju.

Aku mendongak sambil menarik nafas dalam-dalam. “Saya tak mahu kehilangan awak.” Ihsan memandangku. “Masih adakah sisa perasaan awak untuk saya?” aku melihat ke dalam anak matanya.

“Awak tak kesah nak jaga saya yang tak berupaya?”

“Saya nak jadi isteri awak, bukan bini awak.”

Ihsan merenungku. Lama. Keningnya berkerut lantas tersengih. Perlahan-lahan senyumnya terukir.

“Awak wajib jadi isteri saya untuk selamanya.”

“Alhamdulillah...” kedengaran suara dari luar pintu. Aku dan Ihsan menoleh. Tuk Anjak dan Datin Maznah sedang tersenyum simpul. Aku memandang semula Ihsan yang tersenyum penuh makna.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) baiknya hani..cinta sejati la katakan..
  • 2) nice!
    baiknye hani tue..
  • 3) hihi nurie pandai menulis cerita2 yg sweet
    (mcm riri gak ) eh?

    hehe.
    nice one!
  • 4) clap2..mmg karya nurie..
  • 5) susah nak cari isteri, senang cari bini...
    nice...
  • 6) best citer ni..
  • 7) cerita yang menyentuh hati... jika dia ditakdirkan menjadi milik kita, walau sejauh mana dia lari, kita tetap mampu mengejar...

    cerita yang baik nurie. syabas!

    p/s: caha, lepas ni saya nak cuba genre aksi pula. tak mahu romantis-romantis lagi. ahaks!

  • (Penulis)
    8) rain & rasyidah : biasa watal heroin dalam cerita, semua baik2. pernah cuba tulis watak heroin yg antagonist, tak terkata ganas semacam.
    caha : ni lah pengaruh novel sintak yang tak siap2.
    paktam & pinkygul & diana : makasih sudi baca
    riri : makasih juga. selamat mencuba.


  • (Penulis)
    9) *watak
  • 10) wah..
    cinta sejati..
    entah bila dapat kumiliki..
    ewahh..
    nice one nurie..
  • 11) wah.. bergenang air mata saye beberapa kali. (kalau bukan dalam opis mmg da nanges da!)

    cuma saya sedikit terganggu dgn scene terakhir sofia dan ihsan tu. mcm terlalu kebetulan. mungkin adegan tu buleh jadi satu penceritaan saja samada dr pihak ihsan ataupun tok anjak. tapi overall mmg best!

Cerpen-cerpen lain nukilan nurie

Read all stories by nurie