Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Toyol Gendut Tali Kecapi

 

Nota penulis: Sudah agak lama tidak menulis, mungkin kualiti karya yang dihasilkan tak sebaik dahulu semasa mula bergiat dengan Kapasitor. Oleh kerana itu, aku cuma menulis cerita yang ringkas sebagai permulaan. Aku masih cuba mencari rentak untuk menulis dengan identiti sendiri dan secara aktif kembali. 

Malam Sabtu di awal bulan November. Seperti rutin biasa setiap purnama, kami berkumpul di rumah Sue untuk acara makan-makan tanpa sebab yang spesifik. Keadaan di rumah Sue malam itu seperti tongkang pecah dibuatnya. Dengan kehadiran empat jejaka bujang terlajak yang lapar, rumah teres dua tingkat itu bergegar dengan hilaian dan tawa pontianak kami. Malam itu masih lagi muda; anak bulan baru hendak menjengah menghulur ubun-ubun.

Munir, Dzul dan Anon masih lagi galak berborak mengenai gadis - gadis genit yang mereka temui di pusat membeli belah petang tadi. Seksilah, baju ketatlah, terbonjol-bonjollah, bergoyang-goyanglah. Aku cuma mendengar dengan sebelah telinga sahaja, sambil tergelak bila ada sesuatu yang lucu tertangkap di telingaku.

Mataku masih lagi tancap menghadap televisyen yang memaparkan siaran "Crime Scene Investigation" di saluran AXN. Lebih seronok rasanya menghadap kebijaksanaan Gil Grissom menyelesaikan kes pembunuhan dari melayan borak kosong mereka.

"Amboi Adek, dah dapat CSI tak mau dah borak dengan kitorang." Munir cuba mengusikku bila terperasan yang aku hanya melayan acuh tak acuh dengan lawak jenaka mereka.

Dzul mencelah tanpa diminta. "Yalah, mentang - mentang rumah kau Astro dah kena potong.."

"Eh celaka kau! Sempat lagi nak membahan aku tu!" jawabku. Jawapanku hanya disambut dengan deraian galak ketawa mereka.

Sedang rancak kami bergelak ketawa, Sue dan Rozie muncul di muka pintu dapur.

"Amboi gelak sakan korang ye? Nah, makanan dah siap. Tolong angkat bawa ke depan! Nak harap korang tolong dekat dapur, sorang pun tak muncul tolong!" bebel Sue kepada kami.

"Baik Kak Sue!!" sahut kami berempat. Sue sudah mula menjegilkan mata dan mencekak pinggang bila kami menjawab begitu. Sue tidak suka kami panggil dia "Kak Sue", terasa tua katanya. Tapi apakan daya, kami tetap suka mengusik sebegitu rupa bila ada peluang.

Mencicit kami lari ke dapur untuk tolong mengangkat segala peralatan dan makanan yang telah disediakan bila Sue sudah berdiri mencekak pinggang. Masing masing cuba menahan gelak bila lalu di sebelah Sue yang cuba membuat muka garang.

"Bertuah punya budak - budak!" jerit Sue dengan lantang.

Dan terburailah gelak yang cuba ditahan-tahan oleh kami..

************************************************************************************

Aku, Sue, Munir, Dzul dan Anon telah menjadi rakan rapat semasa di universiti. Kami bukanlah dari jurusan yang sama, atau belajar dalam tahun yang sama, tapi minat kami pada permainan komputer suatu masa dahulu telah mencambahkan persahabatan yang berkekalan sehingga kini. Namun, sejak masing-masing sudah sibuk dengan urusan kerja, hujung minggu sahajalah kami dapat berkumpul kembali. Itupun, sebulan hanya sekali.

Mereka memanggil aku "Adek" kerana akulah yang termuda dan paling kecil fizikalnya jika dibandingkan antara semua. Aku tidak pernah kisah. Apa ada pada nama dan fizikal, yang penting pertalian sahabat yang terjalin berkekalan walaupun masing-masing mempunyai perangai, minat dan sifat yang berlainan.

Jika disebut tentang minat, kami bertuah kerana Sue rajin memasak. Tidaklah bosan asyik makan di kedai sahaja. Sue juga bosan jika memasak untuk dirinya seorang, jadi dia selalu mengajak kami untuk makan-makan di rumahnya tanpa sebab yang spesifik.

Bagi aku, asalkan makanan percuma; rezeki jangan ditolak!

Malam itu, kami dihidangkan dengan nasi goreng mentega dan juga makaroni goreng. Tidak ketinggalan ayam goreng pandan, lengkong, dan juga air kordial dan potongan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Aku makan dengan penuh berselera sekali. Tak ditoleh kepalaku dari menghadap makanan yang sebegitu banyak.

Tiba - tiba Sue bersuara.

"Ish, apa korang bukak cerita CSI sambil makan ni, tak geli ke tengok cerita bunuh-bunuh penuh mayat macam tu?"

"Adek la yang bukak. Tengok Adek tu, selamba je makan sambil tengok. Gila perut kebal betul!" jawab Munir.

"Nama pun Adek. Badan je kecil, tapi makan tak ingat dunia! Kau bela toyol ke dalam perut boncet kau tu dek?" kutuk Dzul.

"Alah, aku metabolisma tinggi, makan banyak mana pun takleh gemuk. Janganlah korang cemburu pulak. CSI je pun, tu sume tipu, patung je la mayat tu" jawabku endah tak endah. Tanganku masih lagi menggenggam erat peha ayam goreng yang tercarik dek penangan nafsu makanku yang tidak henti-henti membaham.

"Perut tong sampah!" serentak mereka bertiga menjerit di telingaku.

"Cis!"

Pecah lagi gelak hilai tawa kami di kala malam semakin larut..

************************************************************************************

Satu jam kemudian, kami semua terbaring bergolek di sofa ruang tamu; kekenyangan. Riak puas terpancar di wajah masing-masing. Tiga pinggan nasi aku bedal. Dua mangkuk makaroni aku telan. Perut dah terasa sebu.

"Terima kasih Sue" tutur Anon.

"Bulan depan buat lagi ya. Sedap kau masak" sambungku.

"Ish, bulan depan tak mahulah. Bengkrap la aku kalau kau makan banyak macam tu. Hahaha!" jawab Sue.

"Haha. Okay bulan depan kita pergi makan kat Melaka pulak nak? Makan ikan bakar kat Umbai?" cadang Dzul.

"Haa menarik tu! Jom!" serentak kami menyahut

************************************************************************************
Sebulan selepas makan di rumah Sue.

Kami tiba di Medan Ikan Bakar Umbai pada pukul 8 malam. Angin laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa meliuk-lentukkan rambut Sue yang panjang mengurai. Makanan yang diminta masih belum tiba. Dzul dan Anon masih berborak tentang permainan komputer yang baru. Munir dan aku hanya menunggu sambil bekerja keras untuk menambahkan indeks pencemaran udara ke tahap tertinggi. Tidak ramai yang menjamu selera ketika itu. Cuma kami berempat ditemani dengan dua tiga kumpulan manusia lagi.

Apa yang menarik perhatianku adalah manusia yang duduk bersebelahan meja kami; seorang paderi yang lengkap berpakaian sut jubah hitam seperti baru pulang dari melakukan ritual "exorcist", ataupun upacara menghalau hantu.

"Ah, mungkin baru pulang dari majlis mass di gereja; hari ini hari Ahad. Janganlah bersifat perkauman, Adek.." terdetik hatiku sendirian. Aku cuma melemparkan senyuman kepada beliau.

"You're having dinner alone, sir?" aku cuba berbasa-basi.

"Ya, tiada yang sudi menemankan saya sekarang."

Cis! Pandai cakap Melayu pula!

************************************************************************************

Makanan kami tiba dalam sepuluh minit kemudian. Ada udang bakar yang masih merah dan hangat. Ada ikan siakap bakar yang dilumur dengan kuah pekat yang masih berwap. Ditambah pula dengan sotong goreng tepung dan nasi lemak bungkus yang boleh ditambah bila-bila masa. Amat menyelerakan!

Paderi di sebelah tidak lagi aku hiraukan. Ini waktu makan! Besar punya!

Aku melahap seperti tiada keesokan hari. Seperti inilah makanan terakhir aku sebelum mati. "The Last Supper"; bak banduan yang diberi keistimewaan memilih makanan terakhir yang sedap sebelum menjalani hukuman gantung.

Sotong goreng dicarik-carik. Disuap ke dalam mulut. Dibaham-baham tanpa perikemanusiaan. Kicap pencicah menitik-nitik mengalir di tepi bibir.

Nasi lemak dikaup tanpa henti. Udang bakar dikunyah-kunyah. Ikan bakar diratah-ratah. Tidak kupedulikan mata yang terjegil memandang keajaiban aku untuk makan dengan amat gelojoh. Dzul, Munir, dan Sue semua tertunduk-tunduk menghadap rezeki Illahi yang dilimpahkan kepada kami.

Tanpa disangka, mukaku tiba-tiba berubah. Terasa seperti ada jarum yang mencucuk trakeaku. Terasa seperti kerongkongku disepit menghalang udara dari mengalir ke peparu hitamku.

Oh tidak! Aku tercekik tulang ikan!

Tergopoh-gapah aku menangkap gelas air tembikai di sisi pinggan. Terkocoh-kocoh aku menelan air untuk menawarkan rasa sakit mencucuk-cucuk tekakku. Tersedak-sedak aku cuba untuk mematahkan "jambatan tulang" yang terbina di tengah-tengah leherku. Sue, Munir, dan Dzul tergamam.

Tiba-tiba, aku terasa ada tangan yang menepuk-nepuk belakangku dan mengurut leherku dalam membantu usahaku untuk tidak mati tercekik.

Sekali batuk; dan tercampaklah tulang ikan keluar dari mulutku.

Alhamdulillah, nasib baik tak mati!

"You okay son?" seraya suara paderi itu terpacul dari belakang.

"Oh, thanks. Terima kasih kerana membantu."

Bila masa pula dia ada di belakang aku? Ajaib sungguh!

Paderi itu kembali ke tempat duduknya. Dia hanya tersenyum melihat adegan drama yang baru sahaja berlaku. Sedikit sinis senyumannya itu. Aku cuma boleh tersenyum tawar. Ah, segannya!

"Dalam ajaran agama Kristian Katolik, ada tujuh dosa besar yang dikatakan boleh membunuh hati seorang manusia; salah satunya ialah terlalu kuat makan" ujar paderi tersebut.

"Mungkin kamu bukan penganut Kristian, tapi tak salah jika kamu beringat dan cuba mengawal diri dari makan secara berlebihan, kan?"

Aduh! Berdesing telinga aku mendengar nasihat paderi tersebut. Tiada lagi kata yang mampu aku tuturkan, kecuali menahan malu dengan muka merah padam bak udang dibakar.

Tak ubah seperti udang bakar yang baru sahaja toyol gendut ini telan..



P/s: Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Aku tidak pernah terjumpa paderi lagi semasa waktu makan. Semua unsur-unsur agama lain ini hanyalah pengaruh bahan bacaan kerana aku sedang membaca The Lost Symbol karya Dan Brown. Hihi! :P

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Jenaka

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Sila tolong beritahu jika font tulisan terlalu kecik. Ini copy paste dari OpenOffice, maka format mungkin sedikit lari sana sini. Wahh karya pertama ditulis dalam Linux!
  • 2) igt td pengalaman sendiri. btw, nice story.

    hehe..saya biasa masuk gereja pakai tudung..ok je sebab orang da kenal..kalau dah open mind ok je.

    masa baca dari awal, tercari2 apa motif tulisan? baca ending baru nampak.
  • 3) dalam Islam pun ade kan sunnah, "makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang"
  • 4) oit pakcik! malam2 ko menulis kat sini ya?? heee~

    Ye,ingat tu, jgn makan byk2 sangattt..kadang2 i pun terfikir, u ni ada membela ke? eh!upppss! sorryy..hahaha

    (ooo..patutlah semalam tak makan sehari...da tobat rupenyaa~ lalalalala~)

  • (Penulis)
    5) nurie: tq. hehe, tak salah pun msk gereja pakai tudung. ending baru nmpk motif eh? ye, sy terpengaruh dengan unsur2 kurang islamik sekarang kerana asyik membaca dan brown.

    babymilo: oit makcik! mana ade membela. lalalala~
  • 6) ko mmg ada bela toyol, kalau bukan toyol, mesti hantu raya. hahahahha.

    siot la aku takleh gi umbai. aku dah berair2 mulut ni. siot je. siot!!
  • 7) well...walaupun dah lama tak menulis, awak mmg hebatlah rearrangge. Sy mmg suka cerpen awak tulis.

    Apa yg boleh sy kata....cite ni mmg best sangat! *thumb up*
    Penceritaan yg ringkas dan mudah. Apa yg cuba disampaikan juga jelas.
    Menarik.Mencuit hati juga.

    All the best ye!
  • 8) idea bagus tapi cerita meleret sampai tercari-cari apa motif cerita ni. at the end... rupa-rupanya jgn gelojoh ketika makan..hehehe!
  • 9) ola rere!!

    nice comeback!

    ceritanya ringkas dan santai. di dalam genre jenaka, seharusnya diksi yang digunakan jelas dan tepat. saya kira motif cerita sudah boleh dilihat dari awal melalui frasa ini: "Tiga pinggan nasi aku bedal. Dua mangkuk makaroni aku telan."

    jelas yang watak tersebut kuat makan. kesinambungannya dijelaskan melalui kejadian di gerai makan.

    mesej yang diketengahkan sampai. teruskan menulis...

  • (Penulis)
    10) mangi: hahaha jin lapar je kot aku bela gaknye. ngehehe, lenkali kita gi umbai ye *wink2*

    putri_alya: wahhh..mekasih2. cerita simple sahaja. melayan tangan gatal, maka tulis dlm masa.. err.. kurang dr sejam. hehe. tu lah yg mampu

    kamalia: hahaha. itulahnye, bila baca blk agak meleret jugaklah. nak ilangkan gatal tgn je kan..

    riri: ola riri! "di dalam genre jenaka, seharusnya diksi yang digunakan jelas dan tepat". hmm..adakah diksi tidak berapa bertepatan dgn genre? mintak tunjuk ajar!
  • 11) oh, maksud saya, ayat yang awak gunakan dalam cerpen ni dah kira okey. cuma, jika ditulis cara frinjian, boleh lihat tulisan kamalia, kurusawa dan lain-lain yang saya kira unsur jenakanya diolah dengan baik tetapi tetap punya mesej untuk dijadikan teladan.
  • 12) hmm.. meleret sgt ni bro
    tak berapa fokus dengan ceritanya. nota kaki yg kata cerita ni hanya rekaan buatkan plot2 yg tak berkaitan - tapi aku rasa adalah pengalaman peribadi penulis - jadi dragging. kalau ni cerita benar, kurang sikit rasa x signifikan plot yg tak penting. hehe. sbb maybe penulis nak menulis pengalaman secara detail.

    ahaha ko faham ke ah komen aku ni.

    but mesejnya tetap ada. tulisan agak x jelas niat nya mahu frinj atau mainstream. inikah identitinya? ha ha. di tengah2!

  • (Penulis)
    13) hahahaha. dragging pasal nak menulis terlalu detail kot! frinj... secara realitinya aku tak reti lgsg. jadiklah identiti conflict sekejap. hehe. meh bg guide sket utk frinj meh.
  • 14) oh,oke..
    sekarang aku tau mane kau sumbat makanan banyak2..
    ade membela rupenye..
    hehehehe..

    tp aritu masa datang umah aku macam makan sikit je ek?
    segan ke?


    btw,lama tak bace tulisan kau..
    sama macam komen2 di atas,
    sedikit meleret but still menarik untuk dibace..
    thumbs up!
  • 15) hhahhaha... comel okeh!
  • 16) HAHAHA...
    serius mcm citer betul je.
    yeay! csi mmg best!
    btw, bace bismillah x sebelum makan tu?
    kalo x, patot la tercekik.
  • 17) wakakaka....setengah de klalarnye....setengah cam gerun habis...but, the story seem like menjalar2 ke serata tempat ke pelosok ceruk....tapi best gak...menarik n seronok di baca....

  • (Penulis)
    18) mamau: aritu jin malu2 kucen kat umah ko. wahahaha
    dayya: hee~ comel dan meleret. lenkali akan dicuba untuk kompakkan lg.
    papercat: sedikit2 ada la betul. tu yg mangi drooling tu err... ehehhehe. terlupa kot baca. tu yg tercekik
    akma: hehe..menjalar2 gk la mcm akar pokok. asalkan seronok, takpelah!
  • 19) Oke ini cerita gila lama tapi aku gali blk ni. Rasa bersalah.
  • 20) Teringat pulak makan kat umbai dulu...jenuh tunggu nasi kosong..rupanya nasi lemak je..huk huk huk!

  • (Penulis)
    21) eh ada lagi komen rupenya. Rajin ciksal baca balik cerita2 lama saya. HAHA. Mekaseh! Eh makan kat umbai dah tak bape best, skang lagi prefer Muara Sg Duyung.
  • 22) Muara Sg Duyung lagi best ke??..tak pernah pergi situ..anyway kalau kat selangor ni..pergi Bagan Lalang..best!

Cerpen-cerpen lain nukilan rearrange

Read all stories by rearrange