"Yang lebih memabukkan daripada wiski adalah air mata seorang perempuan" - Pak Usman Balo, Imam Kg Sg Penchala
Di lorong kota ini, atau lebih tepat lagi lorong kota sundal ini, pernah menjadi saksi pertemuan aku dengannya; Gadis Pan-Asia bermata bulat dengan rambut hitam bergelombang yang menyerlahkan lagi paras anggunnya. Gadis yang buat kau sanggup menggadaikan segala yang melekat di tubuhmu atau yang mengisi kocekmu hanya untuk mendapatkan satu malam romantis dengannya. Dari jauh aku lihat dia menangis. Sedu sedannya buat aku tidak hirau pada dentum bass yang terbias atau lelaki negro yang melalak di dancefloor.
"Malam yang panjang", aku menyapa, duduk di sebelahnya. Gestur tubuh yang aku buat-buat untuk mengkhabarkan betapa aku tidak hairan dengan gadis cantik yang menangis di sebelahku. Cuma beberapa saat, bola matanya yang berwarna coklat ditujukan tepat pada mataku, kembali dia meneguk wiski yang tinggal separuh di gelasnya. Sedu sedan yang tertahan-tahan masih jelas di wajahnya.
"Air mata perempuan macam kau, lebih memabukkan daripada segala jenis arak, bir, atau wiski di bar ini", cubaan kedua. Kali ini, mataku cuma melilau, memerhati dinding-dinding bar yang ditampal poster-poster Bob Marley.
Lelaki negro tadi belum selesai melalak.
Tidak. Aku bukan opurtunis. Cuma malam itu begitu asing dan membosankan. Atau barangkali aku teringat pesan bunda, betapa air mata perempuan sangat berbahaya. Aku, sebagai lelaki, dengan mudah, bakal lemas di samuderanya. Dia, adalah samudera itu. Tenang dan tak terduga. Samudera yang menyimpan segala rahsia yang cuma bisa diuraikan dengan satu-satunya hal yang paling aneh pernah menimpa seorang anak manusia; Cinta.
"Kau boleh terus menangis, biarkan segala kesedihan menjadi milik kau seorang, atau............." aku berbasa-basi, menyalakan rokok sebelum menyambung, "atau seperti wiski itu, kau boleh berkongsi denganku".
Aku tidak tahu apa yang merasuk aku untuk terus bertanya tentang kesedihannya. Kuriusiti maksima yang pernah melanda aku. Dan dia, si perempuan sundal yang menganggap aku tak lebih dari radio rosak yang tidak harus dihiraukan. Celaka! Dia fikir dia siapa?? Sekali lagi, yang terakhir kali, kalau dia tidak menjawabku, aku akan melangkah pergi, tentu saja selepas maki hamun buatnya.
Selembut bayu pagi, dengan jemari mulusnya, rambut yang terurai menutupi telinganya disisipkan ke tepi, lalu dia memandangku. Kali ini dengan lebih perhatian. Aku mengagak, sebentar lagi aku akan mendengar suara perempuan yang anggun bagai bidadari ini.
Aku silap. Dia cuma terus menatapku dengan tatapan maha rahsia, diselubungi kesedihan yang dahsyat, tatapan yang aku tidak pernah lihat dari mana-mana gadis sebelumnya. Pipinya merona merah; oleh wiski atau kesedihan yang ditanggungnya? Aku tidak tahu. Air matanya gugur lebih laju. Momen menjadi perlahan, aku sempat melihat tiga titis air matanya gugur dan terus larut dalam gelas bersama wiski di dalamnya.
"Kau mahu cuba aku, habiskan ini...", perlahan tapi jelas aku dengar ayat-ayat yang tersusun keluar satu-persatu dari bibir yang merah dan basah. Otomatis, bibirku mengukir senyum tipis. Sempat aku tersentuh jemarinya yang halus dengan kuku-kukunya yang mungil ketika menyambut gelas yang dihulurkannya kepadaku.
Perlahan-lahan, cecair dalam gelas itu mengalir masuk, melepasi tenggorokan, terus ke perut. Mataku masih tidak lepas menangkap wajahnya; tak ubah kiub rubrik yang tak akan pernah bisa aku selesaikan.
Cuma beberapa milisaat, selepas aku meletakkan kembali gelas di atas meja, seperti ribut badai, tidak! Seperti pecah gontai, juga tidak! Seperti tsunami, ah tidak, tidak! Atau seperti letusan berapi? Seperti gempa bumi dengan 9.6 skala richter? ... Seperti apa? Aku tidak punya kata yang tepat untuk menggambarkannya.
Aku cuma sempat melihat ruangan pas-pasan, semacam kamar, berdinding putih, dengan lelangit kamar juga putih, tanpa noda, tanpa setitik pun bendasing yang mengisi ruangan itu, kecuali seorang perempuan yang telah dikutuk oleh dewa-dewi, menanggung kesunyian berkurun-kurun lamanya. Hanya bila malam purnama, dijelmakan dalam tubuh, lepas ke dunia.
Sesudah itu, aku mendapati aku bukan yang dulu lagi. Maksud aku, secara fizikalnya aku bukan seperti kamu yang membaca ini. Aku berubah menjadi haiwan berkaki empat, putih berbulu, dengan sepasang bola mata berwarna hijau yang bercahaya setiap kali melihat bulan purnama mengambang.
Sendirian, aku berkeliaran, merangkaki malam-malam buta, saban malam, di lorong-lorong kota sundal ini, mencari perempuan yang pernah memberiku minum wiski bercampur tiga titis air mata.
*** 05jan2010
|