Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Pemuda kecil

Cerpen sebelumnya:
Luruhnya Dedaun Rindu
Cerpen selanjutnya:
dia...

Ummi menjenguk ke luar jendela yang terbuka luas. Senyuman terbit tatkala sinar matanya menatap keletah Umar yang sedang mengajar Ulya berbasikal. Umar anak yang sulong. Bulan hadapan, genaplah umurnya 6 tahun.

“Ulya, Abang dah penat tolak Ulya. Kita masuk dululah, nanti kita sambung bila Abi balik”, suara nyaring Umar kedengaran menerobos dibawa angin.

Ummi kian galak tersenyum. Umar anak yang pintar dan petah berkata-kata. Kata-katanya seperti anak-anak yang sudah berumur dan rasional sekali tanda kefahamannya yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya, Umar dipenuhi rasa ingin tahu.

Ummi sedar, Umar anak yang berbeza daripada orang lain. Hal ini mungkin kerana didikan Abi dan Ummi yang berbeza daripada ibu-bapa yang lain tetapi ini tidak lah memberikan kesan negatif bahkan perkembangan Umar adalah sangat positif. Umar khatam Al-quran bermula dari umur 5 tahun dan gemar membaca majalah dan akhbar. Alhamdulillah, Ummi sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang begitu memahami. Demi memenuhi keperluan anak-anak yang dahagakan ilmu pengetahuan, suami Ummi, Abi telah ringan sekali mewujudkan sebuah mini library yang dipenuhi ensiklopedia, akhbar dan majalah. Ummi tahu, pendidikan sejak kecil adalah yang terbaik dan Insya-Allah, Ummi dan Abi takkan pernah jemu mendidik anak-anak termasuklah Ulya yang kini tekun belajar mengaji dan membaca.

Pembukaan tirai 2009 menandakan tibalah masanya untuk Umar menerima pengajian formal seperti kanak-kanak lain. Berdasarkan pengalaman, ianya akan jadi sangat mudah bagi Umar yang kini bersedia menyerap segala ilmu yang bakal dicurahkan pendidik bertauliah.

 

“Baiklah anak-anak, hari ini, Muallim akan mengajar tentang lukisan... Boleh Muallim tahu, anak-anak suka lukis apa?” Muallim memusatkan pandangan kepada setiap pelajar. Tidak ada yang mengangkat tangan menyebabkan Muallim kecewa.

“saya suka lukis bunga” kedengaran suara nyaring dari belakang. Namun tiada tangan yang diangkat keudara.

Tak beradab! Jerit Muallim dalam hati. Dia menahan sabar terhadap murid-murid yang masih baru dengan sistem pendidikan.

Muallim tersenyum lalu menyoal “siapa nama kamu?”

“Umar bin Abi Umar... Emm... saya tinggal di Taman Perumahan Baitul-harakah” Umar menjawab tanpa bangun. Tidak langsung berasa malu sebaliknya seronok dapat berkenalan dengan Muallim.

Tapi...

Kurang ajar! Sepatah ditanya, sepuluh dijawabnya! Muallim masih berperang sendiri. Oh, anak-anak ini amat perlukan didikan aku. Sesuai dengan nama tempat ini ‘Taman Didikan Kanak-Kanak Konvensional’.

“Umar... lain kali, kalau nak jawab soalan, mesti angkat tangan lepastu berdiri baru jawab... boleh?”

Umar mengangguk.

“kenapa Umar suka lukis bunga?”

“sebab... bunga...”

“Umar...apa Muallim cakap tadi?”

Umar tersipu-sipu. Dia bangun dari bangku sebelum menjawab kembali, “sebab bunga cantik dan ada banyak warna”

Muallim tidak berpuas hati dengan jawapan Umar. Kerana bunga banyak warnalah, nanti ada sahaja murid yang mewarnakannya seperti batang, juga ada yang mengecat dengan cat hijau seperti daunnya. Hish, huduh benar. Budak-budak, apalah tahunya...

“Haah... Umar pandai. Bunga cantik, tapi ada satu warna sahaja tau. Bunga warna merah!” Muallim membidas. Memasukkan jarum doktrin.

Umar melugu. Berfikir. Otaknya cuba menyerap, tapi... aneh, berat sekali... “Tapi... Muallim, Umar selalu tengok bunga macam pelangi, warna-warni. Dekat taman bunga, taman permainan, depan rumah Umar...”

“Umar! Muallim tak mau dengar apa-apa lagi. Muallim kata warna merah, warna merahlah” Muallim menjegilkan mata. Budak-budak macam ni kena tegas sikit, baru dengar kata.

Umar menunduk. Mukanya masam sampailah loceng balik berbunyi.

 


Balik rumah, Umar terpaksa berperang dengan diri sendiri. Otak kecilnya berputar. Benarkah bunga warna merah... tak!!! Bunga macam manusia; banyak warna, banyak jenis!

 


Keesokannya, Muallim masuk ke kelas macam biasa. Bersamanya ada kertas lukisan dan krayon.

“Hari ni kita nak lukis bunga. Anak-anak boleh ambil krayon dan kertas di hadapan ya!”

Murid-murid Muallim berlari ke hadapan, mengambil kertas lukisan dan sekotak krayon sebelum kembali ke tempat duduk dengan wajah gembira untuk mulakan melukis.

5 minit.

10 minit.

30 minit.

Muallim memandang kepada pelajar-pelajarnya. Ada yang sudah siap melukis dan ada juga yang masih terkial-kial mewarnakan bunga mereka.

“Yang dah siap melukis, boleh tunjuk pada Muallim...”

Berpusu-pusulah yang lelaki dan perempuan ke hadapan untuk mendapatkan tandatangan dan bintang daripada Muallim. Umar memerhatikan semua yang sudah ditanda oleh Muallim. Aida dapat 3 bintang, Raju dapat 4, Sami’ dapat 1... Umar nak dapat lagi banyak... Umar pergi ke hadapan, sambil menunjukkan lukisannya kepada Muallim.

Tapi...

Wajah Muallim merah tanda marah. “Umar ni, kenapa tak nak dengar cakap! Cuba tengok kawan-kawan lain, semua buat bunga warna merah.”

Umar memanjangkan leher, mengintai lukisan orang lain. Eh, kenapa dengan semua orang ni? Krayon banyak, tapi semua macam dah sepakat, warna merah juga yang dipilih. Umar lihat lukisan sendiri. Warna ungu dan kuning untuk bunga seri pagi dan bunga loceng.

“...tapi Muallim, Umar buat bunga lain...”

“Dah, Muallim taknak dengar apa-apa lagi. Kalau Umar nak dapat markah tinggi dalam peperiksaan nanti, dengar cakap Muallim!” Muallim membidas sambil pen merahnya melakarkan ‘C-‘ di atas lukisan Umar.

Loceng balik berbunyi nyaring.

 


Di rumah, Umar duduk lama di ruang tamu. Matanya terpasung pada kaca televisyen tapi otaknya ke lain. Tepat jam lima, Abi pulang dari tempat kerja. Wajah Abi kepenatan tapi, Umar tak mampu tunggu lagi. Dia perlu bertanya.

“Abi... Abi penat ke?”

“Sikit je...” Abi senyum.

“Umar tanya boleh?”

“Boleh... meh duduk kat sini” Abi menarik Umar duduk di sebelahnya.

Ummi keluar dengan membawa gelas berisi sirap ais lalu diletakkan di atas meja. Ummi pandang Umar, dan senyumannya pecah “Eh. Anak Ummi dekat sini... tak perasan tadi... Umar nak air jugak ke?”

Umar geleng. “Tak nak, Umar nak Abi”

Ummi senyum dengan jawapan Umar.

“Abi, bunga ada berapa warna?”

Abi senyum. “Banyak! Bunga Ummi sahaja dah warna-warni. Belum campur bunga dekat seluruh Malaysia dan dunia...”

“Abi nak Umar dapat A ke C dalam peperiksaan?”

Abi teguk air dari gelas sementara Ummi duduk di sebelah Umar. Ummi seperti terpinga-pinga dengan persoalan yang dilemparkan Umar namun, Ummi tidak sekali-kali mencelah kerana anak walaupun kecil, tetap mempunyai hati dan perasaan. Mereka juga mahu bebas mengutarakan pendapat mereka.

Abi lalu memandang Umar. “Abi nak anak-anak Abi berjaya dengan cemerlang. Kalau A lambang kejayaan, Umar kena buktikannya...kenapa ni?”

Umar pandang Ummi dan Abi bersilih ganti. Dia memulakan cerita;

“Tadi, dekat sekolah,Umar lukis bunga warna-warni, Muallim kata tak boleh sebab bunga ada satu warna je. Warna merah. Lepastu, dia bagi umar C. Muallim kata, kalau nak berjaya, Umar kena ikut cakap dia.”

Ummi tersentak. Ketakutannya menjadi nyata. Benarlah dakwaan penduduk Baitul-Harakah mengenai bahaya doktrin di sekolah pendidikan konvensional. Ummi semakin tak keruan. Sesuatu perlu dilakukannya.

 


Esok, di sekolah; sebaik sahaja menghantar Umar, Ummi berjalan ke bilik guru, mencari-cari guru bernama Muallim. Harapnya, sempatlah dia bercakap sebelum waktu persekolahan bermula.

 “Assalamualaykum... cikgu ni Muallim ke?”

“wa alaykum salam. Ya, saya Muallim..”

Ummi menceritakan perasaan kurang senangnya dengan cerita Umar sebelum meminta pengesahan yang akhirnya tanpa disedari, telah menyebabkan Muallim yang bangga dengan gelarannya sebagai ‘guru pakar’ naik angin. Belum apa-apa lagi, Muallim membalas dengan suara keras.

“Puan, kami buat ni untuk masa depan anak-anak di sini. Kalau Puan rasa apa yang kami amalkan selama 15 tahun ini salah dan Puan rasa Puan boleh lakukan yang lebih baik, silakan. Keluarkan anak Puan yang bernama Umar dan puan boleh lah bina sekolah sendiri dengan sistem yang disukai”

“...Muallim sebenarnya dah salah faham... bukan... saya tak maksudkan macam tu...”

“Dahlah, saya betul-betul malas dengan ibubapa yang rasa diri sendiri cerdik...” Muallim berlalu dengan angkuh.

Ummi terdiam. Ini lah yang dibimbangkan dalam sistem pendidikan, seorang guru yang merasakan dirinya sentiasa betul. Ah, sangat membimbangkan!

Ummi kembali semula ke kelas Umar dan menggamit anak muda itu.

“Jom kita balik...” kata Ummi. Dadanya sebak melihat wajah jernih yang memandang tanpa pengertian.

Umar, buah hati pengarang jantung Ummi, kesayangan Abi, harapan ummah! Janganlah sampai rosak di perjalananmu, anakku.

Sampai di rumah, Ummi tak terus merebahkan diri. Setiap masa adalah usaha yang dinilai oleh Allah. Ummi menyelak helaian yellow pages, mencari-cari nombor telefon taman bimbingan kanak-kanak islam yang berdekatan. Nombor yang diperolehi didail satu persatu, cuba sedaya upaya mencari ruang untuk menempatkan anak mudanya.

“...buat masa sekarang tempat ni dah penuh. Tapi macam ni lah Puan, kami cuba juga menempatkan anak Puan di kelas-kelas yang ada dengan syarat, anak Puan perlu lulus ujian awal sewaktu kemasukan esok” kata-kata Mudarris dari Tabika Al-Muzammil benar-benar menenteramkan.

Ummi mengucapkan terima kasih sebelum meletakkan gagang.

 


Keesokannya, selepas diberikan taklimat dan Ujian awal, Mudarris memanggil Umar ke biliknya. Bersama-sama nya ada seorang lagi guru muda. Ummi turut mengiringi Umar, mahu mendengar sendiri keputusan ujian awal.

“Assalamualaykum, Umar” Murabbi, guru muda menegur dengan mesra.

“Wa alaykum salam” Umar menjawab sepatah.

Murabbi memandang Umar dan Ummi bersilih ganti sebelum memulakan, “sebenarnya, tak ada markah lulus untuk ujian kami. Yang kami mahu lihat betapa Umar berani untuk menghadapi cabaran dan mengutarakan pemikiran.”

“Umar, boleh Murabbi tanya soalan?”

Umar mengangguk. Sepatah pun tidak di jawab.

Murabbi mengeluarkan kertas ujian awal milik Umar. Di bahagian belakang sekali, ada lukisan pelbagai jenis bunga. Bunga-bungaan tersebut merupakan lakaran awal yang perlu diwarnakan oleh pelajar. Cuma, kesemua bunga-bungaan tersebut telah diwarnakan dengan satu warna sahaja; merah dan mempunyai daun berwarna hijau. “Bunga ada berapa warna?”

Umar menunduk. Agak sukar untuk dia menjawab soalan ini. Kecelaruan pemikirannya timbul lagi. Tapi kali ni Umar nekad, Umar mahu ‘A’.

“...bunga warna merah...” jawabnya lemah.

Murabbi senyap. Ummi termangu sendirian. Anak muda, bebaskanlah pemikiranmu...

Murabbi keluarkan sekeping gambar. Gambar bunga-bungaan yang disusun membentuk pelangi. Bunga merah dibariskan di atas, diikuti bunga oren, kuning dan seterusnya sampai ungu.

Murabbi melutut di hadapan Umar, sambil mengunjukkan gambar, dia menyoal anak kecil itu “Umar, kenapa boleh ada gambar pelangi ni?”

Umar menunduk sahaja. Tangan halusnya menarik lengan Ummi supaya merangkulnya, mencari sedikit kekuatan. Dada Ummi resah seperti dada kecil dalam rangkulannya.

Murabbi menghadiahkan kucupan di kening pemuda kecil. Dia tahu, alunan itu sudah menghilang dipuput bayu, lama dahulu...

Sebab bunga macam manusia; banyak warna, banyak jenis...

Cerpen sebelumnya:
Luruhnya Dedaun Rindu
Cerpen selanjutnya:
dia...

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.7
3 Penilai

Info penulis

Zulkifli Zakaria

;>
Jo3y | Jadikan Jo3y rakan anda | Hantar Mesej kepada Jo3y

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Jo3y
Kisah 2 daerah | bacaan
Pemimpin Seribu Tahun | bacaan
Pahlawan yang bosan | bacaan
Adam dan Hawa | 4098 bacaan
Mahar buat isteri | 3277 bacaan
Mencari malaikat | 3385 bacaan
Bangun dan rebah..... | 6364 bacaan
Rhapsody kasih... | 2544 bacaan
Soyuzers... (Part 1+1/2) | 2272 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

11 Komen dalam karya Pemuda kecil
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik