Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Wahai Bulan

 

 

               Suasana waktu malam pada hari ini lebih cerah daripada waktu yang semalam-semalamnya. Pada malam ini, bintang-bintang bertaburan dengan lebih luas dan cerah. Seolah-olah menjadi penghibur bagi insan yang sedang berhati lara, dan pemberi ilham bagi para pemikir yang sentiasa memikirkan akan kebesaran Ilahi. Keindahannya cukup memikat dan mengagumkan. Itulah tanda-tanda hamba yang diciptakan tuhan. Sentiasa indah dan mengujakan. Sekalipun bukan pada sifat luaran, ianya tetap ada pada unsur-unsur manfaat dan fungsinya. Tetapi tidak bulan, sekalipun ia nampak berseri, ia tetap suram seperti hari-hari semalam. Wajah bulan seperti sedang kesepian menanggung rindu yang amat mendalam. Sekalipun ia bercahaya, tetapi nampak kelam. Sambil bertemankan bintang-bintang, suasana yang terlihat sangat indah tetapi penuh rasa sayu.

                Akid, anak sulungnya Sahara Huda yang berumur lima tahun, berlari keanak-anakan  menuju kedalam bilik tidur. Memanjat katilnya yang agak berselerak dengan kereta Ferrari, kapal, motorsikal dan kapal terbang mainannya. Setelah naik ke atas tilam, akid terdiam sebentar sambil terduduk. Dia melihat permainannya yang bersepah. Kemudian dicapainya kapal terbang mainan dan dibelek-belek. Akid seolah-olah berfikir sesuatu sambil menunjukkan minat. Tidak hairanlah walaupun banyak lagi permainan lain yang lebih menarik di hadapannya, kapal terbang juga yang dicapainya. Hanya kerana Akid lebih meminati permainan itu. Mungkin juga cita-citanya bila sudah dewasa nanti. Seperti ayahnya. Suasana bilik tidur yang indah membuatkan Akid rasa bahagia dan selesa. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam sambil tangannya masih lagi memegang kapal terbang. Alat permainannya yang lain dibiarkan berselerak di atas tilam tanpa dikemas. Kapal terbang mainan yang masih lagi berada di tangannya terus diperhatikan dengan penuh minat.

                Tidak lama kemudian, kelihatan Sahara Huda masuk ke dalam bilik anak lelaki sulungnya itu. Melihat Akid bersama alat-alat permainan yang lain bersepah di atas tilam membuatkan Sahara Huda berasa tidak selesa dan sedikit marah.

                “sayang, kenapa tak kemas dulu sebelum nak tidur, kan ibu dah cakap, sebelum nak tidur kemas dulu.”, terang Sahara dengan lembut bernada marah.

                Akid yang sedang asyik memerhatikan kapal terbang idamannya itu terhenti seketika dan memalingkan wajah ke arah ibunya yang amat disayangi.

                “ops, sory bu.. terlupa, hehe.. “, jawab Akid sambil tersenyum manja.

                Sahara Huda tersenyum, kata-kata anaknya itu menyejukkan hatinya.

                “dah, kemas cepat, pandai anak ibu…”

                Tanpa berlengah Akid terus bangun dari tilam dan mencapai satu-persatu permainannya lalu diletakkan di tepi meja yang berhampiran. Kapal terbanglah permainan terakhir sekali yang diletakkan di meja sebelah kirinya. Selepas itu, akid baring semula ke tilamnya, menarik selimut tebal yang khas untuk dia, sangat cantik, selesa, dan lembut. Sahara Huda yang duduk di sisi katil tersenyum melihat Akid. Dia mengusap rambut Akid yang lembut tetapi sedikit panjang, sambil melemparkan senyuman manis kepada Akid.

                Melihat wajah ibunya yang menyejukkan jiwa, dia juga turut tersenyum selesa, keindahan wajah ibu tidak setakat pada luaran, tetapi meresap ke dalam jiwa, lalu jadi tenang,bahagia dan gembira, apabila melihatnya. Akid memeluk bantal busuknya dengan lebih erat sambil mengiringkan badannya kekiri. Terus menatap alat permainannya yang baru dikemas tadi, terutamanya kapal terbang. Sahara juga turut memalingkan wajahnya melihat perkara yang serupa dengan Akid.

                Akid terdiam sebentar, adakalanya seperti seorang yang mengantuk  yang hampir tertidur, adakalanya seperti sedang memikirkan sesuatu yang menarik minatnya. Sahara memalingkan wajahnya kembali ke arah Akid, mengemaskan keadaan selimut yang menutupi tubuh anak kesayangannya itu.

                “dah, tidur ok.. jangan takut lagi, sebab orang lelaki mesti berani, ibu nak keluar kejap, nak bual-bual dengan atuk, dengan nenek… tidur sayang”, kata Sahara lembut, mengusap kembali rambut Akid kemudian mengucup dahinya.

                “ibu… bila ayah nak balik, Akid rindu sangat dekat ayah. Ibu kata ayah pergi kerja sekejap je, ayah tak balik-balik pun…”, tiba-tiba Akid bersuara, kata-kata itu walaupun tidak selalu, tetapi kerap disuarakannya.

                Dan setiap kali pesoalan itu terkeluar dari mulut Akid, hati Sahara pasti tersentuh, dia juga memendam rindu yang teramat mendalam terhadap suaminya yang tercinta, Dr. Rashid. Sudah seminggu Akid tidak bertemu dengan ayahnya. Walaubagaimanapun, rindu Akid kepada ayahnya tidak sehebat dan seagung rindu Sahara Huda. Hanya emosi itu dipendam dan disembunyikan daripada penglihatan Akid, andai dia punya sayap, sudah lama Sahara terbang jauh mencari kekasih hatinya itu. Ternyata perpisahan ini amat memeritkan dan memedihkan.

                Dr. Rashid tidak boleh berbuat apa-apa, demi tugasnya, dia terpaksa meninggalkan cintanya, Sahara walaupun dengan waktu yang  lama. Kepulangan Rashid belum pasti, menambahkan lagi resah di hati Sahara.

                Sahara cuba mengawal emosinya yang tersentuh, jawapan yang diberikannya itu tetap sama dengan hari-hari yang sebelumnya.

                “ayah pergi kerja, kejap lagi ayah balik sayang, ibu janji ayah mesti balik, sebab ayah pun rindu dekat Akid, dekat ibu, hmm dah Akid tidur dulu, ok sayang..”, kata Sahara dengan sayu, perasaannya tidak seperti pada hari-hari yang lepas. Entah mengapa, pada malam ini jiwanya lebih terasa rindu bercampur hiba, perasaan rindunya lebih mencengkam jiwa.

                “pulanglah sayang, pulanglah cepat, aku amat merinduimu…”, hati Sahara Huda berkata-kata. Suatu suara yng tidak mampu di dengar oleh telinga manusia, tapi mampu dirasai oleh setiap jiwa insani.

                Akid seolah-olah percaya, kata-kata ibunya disemat dalam hati, dia amat meyakini, suatu hari nanti ayahnya pasti akan pulang. Akid berwajah sayu, kemudian menarik nafas panjang, menjadikan dirinya terasa tenang semula. Dengan perlahan-lahan, matanya ditutupkan.

                Sahara berasa sedikit lega, perasaan rindu yang membebani telah pun sedikit reda apabila melihat Akid memejamkan mata. Diusap rambut dan diamati wajah Akid dalam-dalam. Seolah-olah ingin berkata sesuatu kepada anaknya itu, tetapi tidak bersuara.  Sahara mahu anaknya mengerti dan memahami, betapa dia teramat merindui Rashid. Andai sehari bagaikan setahun, entah berapa tahun telah Sahara tunggu kepulangan insan yang dicintainya itu. Terasa amat menyeksakan.

                Sahara melihat mainan kapal terbang kepunyaan Akid dengan perasaan yang berat. Sahara tidak sanggup menatap kapal terbang mainan dengan lama, lalu terus memalingkan wajahnya ke luar tingkap. Terlihat bintang-bintang bersinar dan bergemerlapan, seolah-olah memberinya harapan dan sedikit kebahagiaan sebagai pengubat rindu yang mendalam.

                Sahara bangun dari sisi katil Akid, lalu dengan perlahan menuju ke arah tingkap. Dia melihat bintang-bintang yang bertaburan indah. Hatinya bahagia. Senyuman terukir dibibir Sahara. Tingkap kaca lutsinar dibukanya dengan perlahan-lahan. Angin malam yang tiba-tiba menyerbu masuk membuatkan Sahara berasa kesejukan. Rambutnya yang indah, beralun perlahan. Sahara memeluk tubuhnya dan mengusap kedua-dua belah lengan, menghilangkan kesejukan malam. Memalingkan wajah kearah Akid yang kelihatan semakin enak tidur dibuai angin malam. Risau juga Sahara, takut-takut Akid terjaga dari tidurnya yang enak.

                Akid masih lagi tidur dengan nyenyak. Sahara berasa lega, kemudian memalingkan wajahnya semula melihat bintang-bintang dengan perasan bahagia. Dia berterima kasih kepada bintang dan bersyukur kepada Tuhan, kerana telah melihat suatu keindahan yang amat menakjubkan. Sahara berasa tenang, setenang suasana pada malam ini.

                Pandangan matanya digerakkan perlahan-lahan, dan terlihatlah bulan yang bersinar suram. Perasaannya terus berubah. Sahara berasa hiba apabila melihat bulan, entah mengapa. Walaupun begitu, dia terus menatapnya lama-lama. Seolah-olah terkenang sesuatu yang menyedihkan. Apabila melihat bulan, Sahara terus tengelam, tenggelam bersama seluruh dirinya.

                Apabila melihat wajah bulan, hatinya terbit rasa rindu dan cinta, hatinya sentiasa berharap. Agar kekasih hati yang amat dicintai segera pulang. Wajah bulan seolah-olah sengaja membuatkan Sahara menerbitkan rasa cinta yang mendalam kepada Rashid. Jiwa Sahara menerbitkan sumpah setia, setia kepada Rashid untuk selama-lamanya.

                Lama juga Sahara termenung melihat wajah Sang Bulan. Ibu Sahara, juga nenek kepada Akid hanya terdiam dihadapan pintu bilik apabila melihat keadaan Sahara Huda. Nenek Safiah hanya tersenyum. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Sahara. Kehadiran nenek Safiah langsung tidak disedari oleh Sahara.

                Nenek Safiah memegang lembut bahu Sahara, tersenyum sambil melihat bulan yang bersinar suram. Sahara sedikit terkejut, khayalannya terhenti.

                “cantik bulan malam ni, .”, kata nenek Safiah. Cuba menenangkan hati Sahara.

                “iya ibu..”, jawab Sahara sambil tersenyum, terus melihat bulan kembali.

                Bapa Sahara, Hanafi yang hanya lalu di hadapan bilik mereka terhenti, lalu tersenyum. Senyuman yang penuh dengan makna yang mendalam. Kemudian terus berlalu dari situ.

                “Rashid pasti pulang tak lama lagi, dia seorang insan yang menjadi kebanggaan negara, Sara perlu bergembira dan berbangga.”, kata nenek Safiah dengan rasa terharu.

                Sahara cuba menahan sebak. Melihat wajah ibunya membuatkan hatinya tenang. Dia amat meyakini kata-kata ibunya itu. Kata-kata ibunya itu membuatkan hati Sahara sedikit gembira.

                Sahara tidak mampu berkata apa-apa. Dia terus memandang wajah bulan bersama ibunya. Kali ini hatinya berasa tenang dan lega, dan berharap agar doa ibunya itu termakbul. Rashid dapat pulang dengan selamat.

                Bapa Sahara berjalan menuju ke ruang tamu. Duduk di kerusi dengan selasa dan mencapai senaskhah surat khabar. Sudah menjadi kebiasaannya membaca akhbar pada waktu malam. Lalu membaca ruangan depan akhbar tersebut yang juga menjadi berita kebanggaan dan harapan seluruh rakyat Malaysia.

“3 Angkasawan Malaysia Berjaya Menjejakkan Kaki Di Bulan Hari Ini…”

                Sahara Huda terus berharap, agar Rashid segera pulang kepangkuannya.

-TAMAT-

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) idea yang menarik sdr. sastern. cuma, jika perbaiki huruf kecil, huruf besar dan tanda baca, pasti nampak lebih kemas...

    terus lestari dalam berkarya...
  • 2) oh?
    hehehe
    ok. endingnya agak menarik. tapi keseluruhan cerita agak mendatar.

    percubaan yang baik

Cerpen-cerpen lain nukilan Sasterns

Read all stories by Sasterns
No stories.