Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Pusaka

 

“AKU rasa kita dah sesatlah...” ujar Ida ketika kawannya di sebelah sedang tekun memandu.

“Hah? Kau jangan main-main Ida. Penat dah aku memandu ni,” rungut Aishah.

“Betul, aku rasa kita patut belok kiri masa kat simpang empat tadi. Cuba kau jalan depan sikit, kita tengok kalau-kalau ada signboard,” cadang Ida.

Aishah memperlahankan kenderaan. Cahaya lampu kereta tidak cukup untuk menerangi kawasan sekitar yang gelap. Lampu jalan tidak semuanya berfungsi dengan baik. Ada yang cerah dan ada yang malap cahayanya. Aishah tekun memandu sambil Ida memerhati sekeliling.

“Opocot mak kau!” jerit Aishah tiba-tiba sekaligus menekan pantas brek menyebabkan Ida sedikit terdorong ke depan.

“Kau ni kenapa?”

“Tadi ada benda melintas. Kucing kot,” jelas Aishah lalu kembali memandu.

Dentuman guruh sesekali disahut dengan kilat sabung-menyabung. Deru angin rakus menerjah dedaun pokok yang merimbun. Pandangan mata Aishah masih fokus di hadapan. Sejak sepuluh minit yang lalu, tidak ada walau sebuah pun kenderaan yang melintas. Aishah mula berasa tidak sedap hati. Dia melirik jam di dashboard. Sudah hampir pukul 3.00 pagi.

“Wei, sebiji motor pun aku tak nampak dari tadi. Kau ni jumpa ke tidak signboard tu?” omel Aishah.

“Hah! Tu! Tu! Perlahan sikit. Aku nak baca apa yang ditulis kat signboard tu. Kampung Paya Beremban. Eh?” jelas Ida terkejut.

“Kenapa?” soal Aishah apabila melihat wajah Ida yang berkerut.

“Kalau tak silap, kita pernah lalu jalan ni tadi,” getus Ida.

Aishah menelan liur. Hujan mula turun rintik-rintik membasahi cermin kereta.

“Kau silap baca tak. Aku tahulah kau ada rabun malam tapi takkan tulisan sebesar tu terpampang pun kau tak nampak,” perli Aishah.

“Agaknya kot. Wei, dah hujan ni. kau rasa kita sempat sampai tak?” soal Ida mengubah topik perbualan.

“Entahlah. Dah kau kata kita sesat. Manalah aku tahu. Tulah, aku suruh bertolak petang tadi, kau degil. Kata awal sangatlah. Sudahnya, rumah pengantin pun kita tak nampak,” Aishah merungut lagi.

“Bukan apa, majlisnya pagi esok. Kalau kita bertolak awal pun, nak buat apa? Tak pasal-pasal nanti kena tolong buat kerja. Kita ni dah lah pemalas,”  balas Ida.

Aishah mencebikkan bibir. Sepatutnyanya mereka dalam perjalanan ke rumah sahabat mereka semasa di universiti yang akan berkahwin esok. Rumah sahabat mereka itu di Kuala Terengganu dan mereka bertolak dari Rembau selepas Maghrib tadi. Sahabat mereka, Akma amat berharap agar mereka datang menghadiri majlis perkahwinannya.

Mahu atau tidak, Aishah dan Ida dengan separuh rela mengambil cuti dan memandu ke Kula Terengganu berdasarkan peta yang dikirim Akma melalui e-mel.  Selepas merentas lebuh raya selama hampir empat jam, mereka tiba di sempadan negeri Terengganu dan berdasarkan peta yang diberi, seharusnya mereka berdua boleh sampai dalam masa satu setengah jam lagi tetapi entah bagaimana meeka boleh tersalah arah. Sudahlah ini kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Terengganu.

“Eh, depan tu macam ada rumah! Kita turun tanyalah,” usul Ida.

“Kau biar betul! Dah pukul 3.30 pagi kak oi! Orang tengah asyik membuta, kau nak mengacau pula,” tolak Aishah.

“Dah tu, kau nak kita menonong tanpa arah? Sampai besoklah kita tak jumpa rumah penganti tu tahu tak? Bukannya kau tak tahu, malu bertanya kan, sesat jalan?” sempat Ida menyindir.

Rintik-rintik hujan mula kasar membasahi bumi. Sesekali guruh berdentum membuatkan Aishah berisghtifar di dalam hati. Aishah memberi signal ke kiri lalu masuk ke halaman rumah batu satu tingkat yang agak luas halamannya itu.

Cahaya lampu kalimantang menerangi anjung rumah tersebut. Aishah mematikan enjin dan Ida mencapai payung di tempat duduk belakang. Lantas, kedua-duanya keluar dari perut kereta Kancil milik Aishah itu lalu berjalan menuju ke rumah tersebut.

“Assalammualaikum,” laung Aishah sambil mengetuk pintu berulang kali.

“Assalamualaikum, ada orang tak?” jerit Ida pula.

Tidak berapa lama kemudian, pintu dibuka dan terjengul wajah seorang wanita tua di muka pintu. Rambutnya sudah penuh ditumbuhi uban. Badannya pula sudah bongkok namun wanita itu masih mampu berjalan tanpa tongkat.

“Maaf makcik, kami menganggu. Kami ni dah sesat. Jadi, nak tanya jalan sikit,” ujar Aishah.

“Hmm... masuklah...” balas wanita tua itu.

Aishah dan Ida melangkah masuk. Serentak dengan itu, daun pintu ditutup kuat membuatkan mereka berdua tersentak lantas berpaling. Wanita tua itu hanya tersenyum.

“Duduklah cu...”

Ida dan Aishah mengambil tempat di atas kerusi kayu yang beralaskan kusyen lusuh. Ida memerhati sekeliling. Dalaman rumah itu tampak sudah uzur benar tapi masih dijaga rapi. Di ruang tamu ada televisyen, meja kopi dan rak perhiasan.  Sempat dia memandang jam di dinding. Tepat pukul empat  pagi.

“Maaflah kami kejutkan makcik tengah-tengah malam ni. Kami ni dari Rembau, nak ke rumah kawan di Kuala Terengganu. Maklumlah, kali pertama datang sini, itu yang sesat,” jelas Aishah.

“Err... makcik, boleh saya tumpang tandas sekejap?” pinta Ida, mencelah perbualan Aishah.

Wanita tua itu mengangguk. Katanya tandas di sebelah ruang dapur. Ida segera bangun lalu menuju ke tandas. Tampak tidak tahan benar. Aishah kembali memandang wanita tua yang sejak tadi tidak lekang dengan senyuman.

“Makcik tinggal seorang je ke?” tanya Aishah sekadar berbasa-basi.

Wanita tua itu menganggukkan kepala, masih lagi tersenyum.

“Ooo... apa nama tempat ni makcik?”

“Kampung Paya Beremban,”

“Ini dekat daerah Kuala Terengganu kan makcik?” soal Aishah lagi.

Wanita tua itu mengangguk sebagai jawapan.

“Rumah kawan saya tu di Kampung Pinang Tunggal, jauh lagi ke dari sini?”

Kali ini wanita itu menggelengkan kepala. Ada kelegaan yang terpancar di wajah Aishah. Nampaknya sempatlah mereka sampai ke rumah sahabat mereka itu.

“Berapa jauh lagi makcik?”

Aishah pelik apabila wanita itu masih lagi menggelengkan kepalanya. Tersirap darah Aishah apabila melihat kepala wanita itu berpusing lantas jatuh ke lantai. Aishah pantas berdiri. Kepala wanita itu masih terus menggeleng ke kanan dan ke kiri. Tubuhnya pula masih kaku tidak bergerak.

“Ida! Ida!” jerit Aishah namun tiada suara yang menyahut.

Aishah segera berlari ke arah dapur namun langkahnya terhenti apabila melihat api sedang marak menyala yang memenuhi pandangan matanya. Peluh mula merenik di dahi. Ke mana pula Ida ni?

“Mak!” mata Aishah bertembung dengan tubuh wanita tua tanpa kepala tadi.

Di tangan wanita itu ada kepala yang sedang menjelir lidah ke arahnya. Aishah terperangkap. Tidak tahu mana hendak lari lagi. Bajunya sudah basah dek peluh. Ketakutan yang menyelubungi dirinya usah diteka.

 

*  *  *  *  *

IDA berasa lega selepas keluar dari tandas. Sempat dia memerhati ruang dapur yang agak luas itu. Rajin juga wanita tua itu mengemas. Ida membuka tudung saji di atas meja makan. Masih ada sisa baki makanan lagi. Ada beberapa ketul ayam masak merah dan sedikit ulaman. Perutnya terasa pedih tiba-tiba. Baru dia teringat yang dia masih belum makan malam.

Ida segera ke ruang tamu untuk meminta jika wanita tua itu dapat memberikannya sedikit makanan. Sampai di ruang tamu, dilihat tiada siapa di situ. Eh, ke mana pula wanita tua itu dengan Aishah pergi?

“Cari apa cu?”

Hampir luruh jantung Ida apabila ditegur oleh wanita tua itu dari belakang. Segera dia mengurut dadanya. Laju nafasnya turun-naik.

“Makcik, kawan saya tadi pergi mana?”

“Ada di bilik, berehat...” ujar wanita tua itu.

“Err... makcik, ada nasi lagi tak?” tanpa segan Ida bertanya.

“Cu lapar ya? Mari, nenek bagikan makanan...” pelawa wanita tua itu.

Ida bersama-sama wanita tua itu berlalu semula ke dapur. Wanita itu menyendukkan nasi untuk Ida. Gadis itu kelihatan sudah tidak sabar untuk menikmati sajian di depannya. Ida membuka tudung saji tadi dan terbeliak matanya apabila pinggan yang diisi ayam masak merah tadi dipenuhi dengan ulat dan ulam-ulaman bertukar menjadi lipan.

Ida terdorong ke belakang. Pinggan nasinya sudah berubah dipenuhi dengan cacing-cacing yang mengerekot.

“Cu, kenapa tak makan? Kan ke cu lapar tadi? Makan cu... makan... hihihihihi.....” wanita tua itu mengilai mengakibatkan bulu roma Ida tegak berdiri.

Ida cuba berlari ke ruang tamu tetapi dihalang oleh wanita tua itu. Dia membawa pinggan berisi ratusan cacing itu mendekati mulut Ida. Ida menoleh ke belakang dan terkejut melihat rakannya Aishah sedang merenungnya tajam.

“Tidak! Tidak! Pergi! Pergi!” tempik Ida.

“Cu... makan cu... makan...” wanita tua itu semakin mendekati Ida.

“Pergi! Pergi!”

Ida bergerak ke meja lalu mengambil kerusi untuk melindungi dirinya. Ida memandang Aishah yang kaku tidak bergerak di penjuru dapur. Masih tajam merenung ke arahnya. Apakah bala yang menimpa dirinya kala ini?

Kumat-kamit mulutnya membaca surah-surah yang diingat namun dirasakan bacaannya tunggang-terbalik. Ketakutan semakin mencengkam dirinya. Wanita tua itu semakin rapat. Kali ini wajahnya sudah bertukar rupa.

Dengan mata yang merah dan lidah panjang terjelir, wanita itu kian hampir. Rambutnya yang beruban sudah bertukar hitam mengerbang. Jari-jari yang berkedut sudah berubah menjadi panjang dengan kuku yang tajam. Dahi wanita itu berlubang dan mengandungi ulat-ulat yang bergerak di serata wajahnya. Sebelah muka wanita itu hangus, hitam-legam.

“Pergi kau! Pergi!”

“Hihihihihihi.....” wanita tua itu terus mengilai.

Di luar guruh berdentum disertai dengan kilat sabung-menyabung. Hujan lebat mencurah-curah bersama deru angin yang menggila. Tiba-tiba tubuh Aishah terbang menghala ke arah Ida dan gadis itu menjerit sekuat hati.

“Allahuakbar!!!”

 

*  *  *  *  *

 

SAYUP-SAYUP kedengaran suara azan Subuh berkumandang menerjah ke telinga Ida. Gadis itu membuka matanya perlahan-lahan. Dia cuba menggerakkan tubuh namun tangan dan kakinya seakan terkunci, tidak berdaya untuk bergerak. Tubuhnya terlentang lalu dengan sisa-sisa kekuatan yang ada, dia cuba meniarap.

Ida memerhati sekeliling. Langit masih lagi kelam namun di ufuk timur, ada secarik cahaya yang kelihatan. Puas otaknya berputar mengingati apa yang terjadi semalam. Selepas dia bertempik nama Tuhan Yang Maha Esa, keadaan sekeliling terus berubah sunyi dan dia perlahan-lahan mula rebah.

Hampir terkeluar biji mata Ida melihat rumah batu yang ditumpanginya semalam hanya tinggal runtuhan. Dindingnya hitam bagai dijilat api. Tunggu! Mana Aishah? Melilau dia mencari rakannya itu dan akhirnya tertancap pada sekujur tubuh tidak bermaya berhampiran dengan semak-samun. Ida cuba bersuara namun tersekat di kerongkong.

“Masyaallah! Nak, kenapa ni? Ya Allah!” suara seorang perempuan kedengaran.

Ida sempat melihat beberapa susuk tubuh yang bertelekung mengelilinginya sebelum matanya terkatup rapat semula.

 

*  *  *  *  *

 

 “BEGITU ceritanya...  hmmm...” ujar wanita yang dipanggil Mak Dayah itu lalu menghela nafas panjang.

Wanita itu memandang wajah suaminya yang tenang tanpa sebarang reaksi. Kemudian, dia beralih pada wajah dua orang anak gadis yang duduk di hadapannya.

“Apa kita nak buat bang?”

“Nampaknya, kita dah tak boleh pandang ringan lagi. Rumah tu harus diruntuhkan juga. Walau pun tanah tu tanah pusaka, tapi tak ada waris yang menuntutnya. Kalau dibiarkan, takut lagi ramai yang terkena,” ujar Pak Itam, suami kepada Mak Dayah.

“Apa maksud pakcik?” soal Aishah.

Gadis itu sudah mula bersemangat selepas Tok Imam kampung tersebut menziarahinya. Ida juga tidak terkecuali. Selepas mereka berdua bangun dari tidur, di sisi mereka ada Mak Dayah. Mak Dayah menerangkan bagaimana mereka di bawa ke rumahnya Subuh tadi. Dan kini, mereka sedang duduk di ruang tamu, mendengar apa yang ingin disampaikan oleh kedua-dua warga tua itu.

“Rumah tu dah hampir dua tahun keadaannya dibiarkan begitu selepas kejadian kebakaran yang menimpa sebuah keluarga yang tinggal di sana,” ujar Mak Dayah, menarik perhatian gadis berdua itu.

“Rumah tu asalnya diduduki sepasang suami isteri bersama dua orang anaknya. Turut sama tinggal emak lelaki tersebut. Satu hari pasangan suami isteri dan anak-anaknya pergi keluar ke bandar. Tinggallah emaknya seorang. Dah tu, berlaku kecurian dan emak lelaki itu terbunuh di ruang dapur sewaktu cuba lari. Dah lah dibunuh, dibakar pula rumah tu. Tak lama lepas tu, pencuri tu pun dapat ditangkap,” panjang lebar bicara Mak Dayah.

Ida dan Aishah masih fokus pada cerita Mak Dayah yang mengenakan baju kurung rona hijau pucuk pisang itu. Ada simpati yang menjalar di hati tatkala mengenangkan nasib wanita tua yang bertemu dengan mereka semalam.

“Selepas kejadian tu, pasangan suami isteri tersebut pun berpindah ke bandar bersama-sama dengan dua orang anak mereka. Rumah tu terbiar begitu sahaja sampailah sekarang. Ada juga sekali dua penduduk kampung ni nampak kelibat wanita tua membawa jamung api sekitar rumah tersebut. Mungkin rohnya tak dapat bersemadi dengan aman. Rumah tu peninggalan arwah suami wanita tersebut. Kira dah jadi rumah pusaka,”

Aishah dan Ida mengangukkan kepala. Akhirnya mereka faham kejadian yang menimpa mereka berdua semalam. Memang satu pengalaman yang sukar dilupakan. Setengah jam kemudian, mereka berdua meminta diri. Rupanya, Kampung Pinang Tunggal memang tidak jauh dari Kampung Paya Beremban. Lebih kurang 15 minit dari situ.

Sepanjang perjalanan, Ida dan Aishah hanya membisu. Deringan telefon bimbit milik Ida memecah keheningan. Panggilan dari rakannya Akma. Ida memberitahu bahawa mereka akan sampai dalam sepuluh minit lagi. Sedang asyik berbual, Ida perasan papan tanda Kampung Paya Beremban melintasi matanya. Namun, segera dia menggelengkan kepala. Pasti dia tersilap pandang kali ini...

 

TAMAT

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Saspens

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) pertama kali menulis genre begini.mohon tunjuk ajar untuk perbaiki kelemahan...
  • 2) oke menyesal bace waktu maghrib
    seram ridh
  • 3) huhu, menakutkan jer. best riri!
    gelojoh btl si ida tuh, selambe dtg umh org mtk makanan.hehe.
    oke, ending dia bot lambat nk tangkap nih.heehe
  • 4) hehe... kecut akak..
    dah la sorang2 kat bilik nih... wwuuuaaaahhh

    akak tak reti buat genre gini, ridh... akak ni penakut skit hehe

    citer ridh ni berjaya menyeramkan... berjaya ridh bwk genre seram ni..
    satu perkembangan yang baik...

    suka bahasa ridh masa di bhg intro... sempurna dan detail indah..
    nice..

    seram mmm ridh
  • 5) tabikk utk riri!
    hehe
    sebab berani cuba benda baru.
    *tepuk tepuk*

    saya masa baca tadi ...
    eik
    jap
    ni riri try buat jenaka ke
    atau memang seram ni.

    wei!! ni riri ke?
    biar betik!
    haa
    sampai camtu skali tau saya terkejut. ahaha.

    tapi seramness dia tak cukup seram.
    adakah saya prejudis sbb riri yg tulis?

    i wandah myself
  • 6) opocot mak kau...adehh..riri buat sy terkejut la thn 2010 ni..huhu..nice one riri..eksperimen yg baik..teruskan usaha anda yg suci sesuci ehem2..hehehe..

  • (Penulis)
    7) saya tak pasti ia seram atau tidak. risau juga jika jadi kelakar. huhu...

    ucu: waktu maghrib? aduhai...

    robot: endingnya? hmm... saya akan kaji semula.

    kak adreena: kecut perut juga saya waktu nak post cerpen ni. takut tidak berkesan. percubaan pertama ini maish banyak yang perlu diperbaiki.

    caha: aduhai, sampai begitu sekali. saya juga rasa kurang seramnya. ramai rakan mengatakan begitu. ia tidak seram tetapi saspens. mungkin yang arif menulis kisah seram boleh bantu.

    saya sedang cuba menulis dalam genre lain. tetapi genre cinta tetap di hati. hehe...

    paktam: salah satu azam tahun baru ni. haha...

    terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi pandangan. amat hargainya...
  • 8) karya seram yang mantap. mungkin boleh diselitkan dengan unsur pengajaran sikit. tapi yang sekarang pun dah kira bagus. syabas!
  • 9) kalau ridh yg ala-ala penulis jiwang ni buat cerita seram, saya mmg tabik la .
    bukan senang buat cerita seram. tapi endingnya...apakah maksud itu? adakah ida dan aishah sebenarnya tak pernah keluar pun dr Kampung Paya Beremban atau hanya Ida dan Aishah saja manusia betul dalam cerita ni? Mak Dayah dan lain2 adalah manusia jelmaan?
    huuuuu~
  • 10) huhuhu. a bit confusing in the end of da story.wawaaw.

    tapi sangat seram, sekarang pkl 2.30 oke? wawawa. macam mana nak balik bilik ni?huhuhu
  • 11) adeh..nyesal seh baca time2 ni... wah2, cik wan dh pandai nak ubah selera ye.. good try.. keep it up ^_^

  • (Penulis)
    12) aminmuslim: terima kasih untuk cadangan itu. akan perbaiki di lain masa.

    kamalia: hehe... saya pun main hentam-keromo je menulis cerita ni. entah mengapa saya yang baca tak rasa seram. huhu... endingnya? gimik kot? hehe...

    dayya: sebenarnya saya pun keliru bila baca semula. haha... akan cuba betulkan. ish, gigihnya bekerja sampai lewat balik...

    koizumi: sedang mencuba. tetapi saya tetap rasa kekok. susah benar nak menghasilkan cerpen ni.

    terima kasih semua sudi membaca dan memberi komen. sangat hargainya...
  • 13) mmg susah sbb awk keluar dr zone biasa. xpela..mencuba tak salah. kalau xcuba, kita xtau kn ^_^

  • (Penulis)
    14) koizumi: betul, betul, betul...
  • 15) menyinggah di ruang ini n dah bace n menghayatinya....jalan cerita yang menarik, sampai ke hati saya....hehehe

  • (Penulis)
    16) akma: gembira ia mendapat tempat di hati. terima kasih sudi singgah membaca...

Cerpen-cerpen lain nukilan ridhrohzai

Read all stories by ridhrohzai