Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

[Cerpen] Sekudus Kasihmu Kuperlukan #5

 



Petang itu seperti biasa – redup, nyaman, tenang, dan menyegarkan. Aeesya mengambil Aeeman dari buaiannya sebaik bayi kecil itu menangis, terjaga dari tidurnya yang panjang. Sebaik berada dalam dakapan Aeesya, bayi itu diam. Selesa berada bersama mamanya. Perlahan-lahan, Aeesya mendukung Aeeman ke bahagian luar rumah.

“Mama! Mama!” panggil si kecil Balqis sambil melambai tangannya. Tika itu Ameen sibuk melayan karenahnya di laman rumah.

Aeesya mara menghampiri Ameen. Sejenak Ameen menoleh sebelum bingkas berdiri. Dia mengacah-acah tangannya untuk bermain dengan bayi lelaki 8 bulan itu. Bayi itu teruslah hidup gelaknya melihat Ameen bermain dengannya.

“Papa nak cium baby Aeeman,” ujar Ameen sebelum melabuhkan bibirnya di pipi kudus milik Aeeman.

Balqis yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati melompat-lompat bersuara, “Balqis nak cium Aeeman jugak! Balqis nak cium Aeeman jugak! Eeeii… papa tak malu! Haha…” Anak kecil berusia 4 tahun itu menutup matanya tatkala melihat Ameen mengalih ciuman ke pipi Aeesya pula.

“Ish, abang ni! Malulah kat Balqis tu,” Aeesya tersipu-sipu sebaik selepas dicium pipinya. Mukanya yang cerah menjadi kemerah-merahan.

“Tak salah kan abang cium Humaira? Saja nak tengok kesahihan panggilan manja untuk isteri abang,” Ameen memandang nakal kepada Aeesya. “Hah, sekarang papa pun nak cium pipi Balqis jugak!”

Balqis serta-merta menjerit apabila dirangkul papanya dalam dakapan. “Tak nak! Tak nak!” jeritnya dalam tawa yang mencuitkan hati. “Papa ada janggut kat dagu! Geli!” Tawanya semakin menjadi-jadi apabila Ameen memainkan janggut sejemputnya di leher Balqis.

TON! TON!




Sebuah kereta Mazda MX berhenti di luar perkarangan rumah Ameen. Hisham dan isterinya Masrah keluar dari perut kereta itu.

“Ibu! Abah!” Balqis lantas meluru ke arah Hisham dan Masrah.

“Anak abah sihat? Ada nakal-nakal dengan Papa dan Mama?” tanya Hisham sambil mengangkat anak sulungnya. Semenjak pasangan suami isteri itu bergiat aktif dalam bisnes mereka di Shah Alam, Hisham setiap hari akan meninggalkan anak-anaknya di rumah sepupunya, Aeesya, dari pagi sampai petang. Sejak itulah Balqis terbiasa memanggil Ameen dan Aeesya sebagai papa dan mama.

“Balqis budak baik, tak pernah nakal-nakal,” celoteh anak kecil itu. “Tadi Papa ajarkan Balqis doa untuk ibu bapa.”

“Ya ke? Macam mana? Ibu nak dengar,” sampuk Masrah.

Allahumaghfirli waliwalidaiya warhamhuma kama rabbayani soghiro. Ya ALLAH ampunilah dosa kedua ibu bapaku sepertimana mereka mengasihiku sewaktu kecil.”

“Bijaknya anak abah,” puji Hisham sambil menghadiahkan sebuah kucupan di dahi anaknya.

“Abang Sham dan Kak Mas masuklah dulu. Saya buatkan air. Mesti penatkan driving dari Shah Alam ke Kelana Jaya ni,” pelawa Aeesya.

“Eh, tak payahlah nak susah-susah Aeesya. Cukuplah kamu berdua tolong jagakan anak-anak kami. Nanti tak berbalas pulak budi kamu,” ujar Hisham.

“Alah, kejap je Abang Sham. Bukannya lama. Lagipun kita kan keluarga. Memanglah perlu tolong-menolong,” pujuk Ameen agar Hisham menerima pelawaan mereka.

“Bukan tak nak, Ameen. Cuma malam ni kami nak bertolak ke Langkawi, ada conference kat sana. Pasal tu nak cepat,” jelas Masrah, memberitahu perkara sebenar.




“Kalau macam tu, biar saya ambil barang-barang Aeeman dalam rumah kejap.” Aeesya menyerahkan Aeeman kepada ibunya sebelum masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu dia keluar dengan membawa bakul barangan Aeeman dan Balqis. Selepas bersalam-salaman, pasangan Hisham dan Masrah meminta diri untuk pulang.

Rumah Semi-D dua tingkat itu kembali menjadi sunyi. Ameen menghampiri Aeesya sebelum merangkul pinggang langsing itu. “Abang pun teringin nak ada anak,” bisik Ameen perlahan. Rambutnya beralun-alun ditiup angin petang.

“Tak lama lagi, kita pun ada anak sendiri. Cuba abang rasa perut Humaira,” Aeesya menurunkan tangan Ameen ke perutnya. “Kelmarin Aeesya check kat klinik Wardah. Wardah beritahu, Humaira dah berbadan dua. Baru nak masuk sebulan setengah.”

Riak wajah Ameen ternyata gembira dan dalam masa yang sama, terkejut. “Syukur alhamdulillah ya ALLAH! Mengapa tak beritahu abang awal-awal?”

“Humaira nak cari masa yang sesuai, macam sekarang. Baru romantik!” Aeesya tertawa manja, tangannya membalas genggaman lembut suaminya.

“Macam tu, terpaksalah abang cuti setiap malam,” seloroh Ameen nakal. Aeesya yang mulanya tidak faham, baru dapat menangkap maksud Ameen. Dicubitnya lengan suaminya. Ameen mengaduh kesakitan, yang ternyata dibuat-buat. Cubitan seorang isteri solehah tidak lebih seperti gigitan semut kecil, bak kata orang – cubit-cubit sayang.

“Okey! Okey! Abang janji tak nakal lagi,” ujar Ameen, tawanya masih bersisa. “Cuma nakal sikit je. Auchh!” Aeesya meningkatkan tahap cubitannya. “Gurau senda kan pengukuh kasih suami isteri, sunnah nabi.” Jemari yang digunakan Aeesya mencubit ditarik Ameen perlahan sebelum dikucupnya lembut. Dalam hatinya berdoa, “Ya ALLAH, kekalkanlah kebahagian rumah tangga kami dalam lembayung rahmat dan cintaMU.”




“Abang pernah dengar tak kisah ayah yang derhaka kepada kepada anak?” tanya Aeesya.

“Rasanya pernah, tapi abang nak dengar dari isteri abang sendiri,” jawab Ameen.

“Kisahnya begini, ada seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab. Dia mengadu bahawa anaknya menderhakainya. Lantas, anak lelaki tersebut dihadapkan kepada Umar al-Khattab. Si anak bertanya, ‘Wahai Amirul Mukminin, adakah anak mempunyai hak daripada seorang ayah? Apakah hak-hak itu wahai Amirul Mukminin?’ Abang tau tak apa hak-hak tu?” tanya Aeesya bijak.

Ameen buat muka berfikir. Hakikatnya dia tahu kerana kisah ini pernah dijadikan bahan tazkirahnya ketika sekolah dulu. “Abang dah lupa lah.”

“Lepas tu kan, Umar al-Khattab menjawab, ‘Hak-hak seorang anak daripada ayahnya ialah memilih ibu yang baik-baik untuknya, diberikan nama yang indah, dan diajarkan tentang al-Quran’. Si anak kemudian berkata lagi, ‘Sesungguhnya ayahku ini tidak melaksanakannya sedikit pun. Ibuku seorang Negro janda bagi seorang Majusi, memberi Ju’ul sebagai namaku, dan langsung tidak mengajarkan al-Quran kepadaku.’ Umar al-Khattab lantas berkata kepada lelaki yang mengadu itu, ‘Sesungguhnya engkaulah yang derhaka ke atas anakmu.’ Lelaki itu kemudiannya diberi hukuman yang setimpal,” cerita Aeesya panjang lebar.

“Cerita yang baik untuk seorang yang bergelar ayah dan suami. Daripada ketiga-tiga hak tu, hak pertama abang dah terlepas. InsyaALLAH hak kedua dan ketiga bakal dilaksanakan. Abang pun nak berkongsi tentang sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya: Sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama-namamu dan nama-nama orang tuamu. Berilah nama yang baik [HR Abu Daud]. So, nama-nama anak kita mestilah yang indah-indah,” ulas Ameen kepada isterinya.

“Humaira terfikir nak namakan anak kita Ameen Muhammad Yusuf, in case if we get a baby boy. Ameen tu nama gelaran nabi dan nama abang. Muhammad dan Yusuf pulak diambil dari surah-surah pilihan yang selalu dibacakan untuk ibu mengandung, and of course nama-nama nabi jugak,” jelas Aeesya persis seorang ustazah.

“Bijak isteri abang. Sedap nama tu. Abang teringat sebuah hadis Nabi SAW yang lain yang maksudnya; Namailah anak-anakmu dengan nama para nabi. Dan nama yang paling disukai ALLAH ialah Abdullah dan Abdurrahman. Dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah [HR Abu Daud dan Nasa’ie]. Kalau dapat anak perempuan, abang nak nama anak kita…”


bersambung…

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) sulaman yg baik..
  • 2) alamak. sangat bermaklumat.
    alhamdulillah. sejuk baca chapter ni
  • 3) menarik
  • 4) seharusnya bab ini dijadikan bab 4 dan bab 4 dijadikan bab 5. lebih kemas. bimbang pembaca akan keliru...

Cerpen-cerpen lain nukilan aminmuslim

Read all stories by aminmuslim