Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

[Cerpen] Sekudus Kasihmu Kuperlukan #7

 



Dua tahun telah berlalu. Banyak perubahan yang telah berlaku dalam keluarga Ameen. Aeesya yang dulunya sekadar bisu kini telah lumpuh kaki. Nasib baik nikmat tangannya masih berfungsi seperti biasa. Kerusi roda menjadi teman setianya untuk bergerak ke sana ke mari dipandu oleh tangannya. Kadang-kadang Ameen yang membantunya untuk bergerak.

Ruhaidah pula tumbuh besar seperti kanak-kanak seusianya. Walaupun tidak sesempurna kanak-kanak lain, namun dia memiliki seorang ibu yang sangat menyayanginya. Malah, ayah angkat dan ibu angkatnya di sebelah rumah juga sangat mengambil berat akan dirinya. Abang Johan dan Kak Saida tahu, Ruhaidah merupakan kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian penuh agar dia tidak berasa terpencil.

“Assalamualaikum warahmatullah,” Ameen memberi salam di sebelah kanan bahunya. “Assalamualaikum warahmatullah,” mukanya diusap selepas memberi salam yang kedua.

“Salamatullah…” kedengaran suara kecil di belakang Ameen. “Salamatullah…”

Ameen segera berpaling ke belakang. Dahinya berkerut. Ruhaidah tersengih melihat abahnya yang kehairanan. Buat pertama kalinya, Ameen membalas senyuman anak tunggalnya itu. Dia sungguh terkejut melihat Ruhaidah mengikutinya solat. Selama ini Ruhaidah hanya memerhati di muka pintu bilik solat. Sungguh, Ameen bersyukur dalam hati. Ruhaidah nampaknya cenderung menjadi muslimah sejati persis ibunya.

“Meh sini salam abah,” panggil Ameen seusai membaca doa.




Ruhaidah berdiri dari tempat solatnya kemudian meluru memeluk Ameen. Perlahan-lahan Ameen melonggarkan dakapan Ruhaidah lalu dipangkukan di atas ribaannya.

“Lain kali, solat kena pakai telekung. Tak pun Aida kena pakai tudung,” ujar Ameen lembut sambil membelai rambut lurus anaknya. “Lepas tu, solat sebaik-baiknya kena ada alas macam sejadah. Untuk hidupkan sunnah nabi dan keselesaan solat.”

“Aida takde. Umi tak beli,” susunan ayat Ruhaidah walaupun masih belum teratur tetapi cukup berkesan kepada Ameen. Umi tak beli – maksudnya selama ini Ruhaidah hanya selalu meminta apa-apa dari ibunya yang bisu. Tak pernah bertanya dengan Ameen kerana Ameen kurang melayaninya.

Astaghfirullahal ‘adzim! Ameen, mana tanggungjawab engkau sebagai seorang ayah? Engkau dah lupakah dengan pesan nabi? Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya; Muliakanlah anak-anakmu dan didiklah mereka dengan sebaik-baiknya. [HR Ibnu Majah].

“Abah sakit ke abah?”

“Hmm… tak. Abah tak sakit,” ujar Ameen. “Cuma esok abah nak belikan hadiah untuk anak abah.”

Mata sebelah kanan Ruhaidah yang cantik membesar tanda gembira, sementara mata sebelah kirinya tetap sepet ke bawah. Ruhaidah memeluk abahnya gembira. Walaupun Ameen kurang melayaninya, namun dia sangat menyayangi Ameen kerana itulah wajah yang dilihatnya setiap hari. Aeesya yang memerhati dari luar tersenyum gembira melihat kemesraan yang bercambah di antara anak dan suaminya.

Keesokan harinya, Ameen telah mengajak Shamil ke pusat pakaian kanak-kanak. Dia tahu bahawa kawan baiknya itu bijak mencari pakaian kanak-kanak bercirikan muslimat kerana dua orang daripada tiga orang anak Shamil adalah perempuan. Dan kedua-dua puteri Shamil itu digayakan dengan pakaian muslimat.

“Aku selalu bawa anak-anak aku beli baju di Gedung Pakaian Anakku. Mudah nak cari baju islamik untuk diorang. Anak kau Ruhaidah selama ni pakai baju apa?” tanya Shamil ingin tahu.


Ameen tersengih-sengih untuk menjawab. “Hmm… memandangkan bini aku tak dapat nak keluar bersama belikan baju Aida, so aku belikan baju lengan panjang dan seluar panjang je. Corak macam-macam – Barbie, Upin Ipin, Sailormoon, Power Rangers.”

Shamil tergelak besar mendengar pengakuan Ameen. “Engkau ni tak habis-habis dengan kartun sampai pakaian anak kau pun corak kartun-kartun. Sepatutnya anak perempuan dibelikan baju berwarna lembut macam pink, kuning. Baguslah kalau kau biasakan Ruhaidah dengan baju lengan panjang. Tapi baju kartun-kartun tu aku tak boleh blah!” Shamil menyambung tawanya.

“Bini aku tak komen apa-apa pun tentang pakaian yang aku belikan tu. Engkau pulak lebih-lebih gelakkan aku,” Ameen cuba tidak tergelak walaupun hatinya ingin berbuat sedemikian kerana menahan malu. Adeih, pedih jugak kena gelak kawan sendiri! Inilah akibatnya kalau tak ada pengalaman membeli pakaian budak, monolog Ameen.

“Okey! Okey! Aku minta maaf. Cuma aku nak tanya satu soalan lagi. Baju Spongebob pun kau beli jugak ke?”

Ameen menggangguk. “Tapi bukan Spongebob sorang. Ada Patrick sekali.”

Shamil yang tidak mampu untuk membendung tawanya terus menarik Ameen masuk ke dalam kedai pakaian Anakku. Di situ, mereka membelek-belek pakaian untuk Ruhaidah. Dalam lapan set pakaian kanak-kanak muslimat diambil mereka. Ketika Ameen ingin membayar di kaunter, Ameen terlihat timbunan sejadah bersaiz kecil.

“Tolong kira semua,” Ameen meletakkan bakul pakaian di meja kaunter. “Termasuk satu sejadah kecil macam tu.”

Chasier itu mengambil sehelai sejadah hijau bercorak kubah kemudian ditunjukkan kepada Ameen, “Macam ni?” Ameen mengangguk. “Semua sekali RM167.85”

Selepas mengambil baki, Ameen melangkah keluar ke tempat parkir. Shamil telah sedia menunggu di dalam sambil membelek majalah Solusi yang baru dibelinya. Itulah sahabat baiknya Shamil, tidak pernah ketinggalan membeli majalah berilmiah itu sejak edisi pertama lagi. Dari pembacaan dalam majalah itulah yang menyebabkan Shamil banyak mengetahui pelbagai infomasi.


“Jazakalahu khairun katsira, ya syeikh! Kalau engkau takde, entah baju apalah aku beli untuk Ruhaidah kali ni,” ucap Ameen ketika berhenti di hadapan rumah Shamil.

“Afwan, ya maulana. Ini namanya khidmat kawan… ikramul muslimin. Kalau ada apa-apa hal lagi, call je aku. Sedia membantu!” Shamil menjabat tangan kawannya erat.

Alhamdulillah ya ALLAH. KAU berikan aku sahabat sejati. Dan KAU juga berikan aku peluang menggembirakan anakku yang selama ini aku abaikan. Alhamdulillah.

Enjin kereta dimatikan di hadapan rumah. Sebaik Ameen memberi salam dan membuka pintu, Ruhaidah terus meluru ke arahnya sambil menangis teresak-esak. Tas-tas pakaian Ruhaidah dilepaskan di atas lantai. Ameen memeluk Ruhaidah yang menggigil ketakutan. Mulutnya tidak berhenti menyebut nama umi. Kala itu, baru Ameen perasan ruang tamu rumah mereka bersepah-sepah seperti digeledah!

HUMAIRA!!!

bersambung...

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) saya suka bab ini. kali ini ia tampak santai dan tidak terlalu berat. teruskan...

    kanak-kanak memang comel belaka...

Cerpen-cerpen lain nukilan aminmuslim

Read all stories by aminmuslim