Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Fantasi Mental Gila

Cerpen sebelumnya:
Berbaloikah?
Cerpen selanjutnya:
Cinta Gila!

Nota Penulis: Tidak boleh tidur malam membuatkan otak aktif menyusun data, tetapi kadang-kadang data yang disusun adalah berkecamuk. Nah, akibat insomnia, Fantasi Mental Gila tercipta! :P

 

Semua manusia ada fantasi sendiri. Tidak kiralah fantasi seks liar, angan – angan, delusi, atau motivasi diri sendiri untuk menempuh segala dugaan dalam hidup. Perbezaan itulah yang mencorakkan kehidupan dengan pelbagai warna. Namun, setiap manusia ada satu persamaan. Masing-masing akan gembira jika fantasi dapat berubah menjadi suatu realiti seperti yang diharapkan.

Benarkah?

Khairul merupakan seorang lelaki yang kelihatan normal pada luarannya. Tinggi, putih, kacak dan bergaya lagak eksekutif korporat. Bukan sedikit manusia bertentangan jantina yang terpikat dengan ketampanan beliau. Namanya acapkali menjadi mainan gosip para wanita di kala senggang semasa di pejabat. Kehadiran beliau untuk makan tengahari bersama selalunya disambut lirikan senyum dari telinga ke telinga oleh golongan hawa.

Tetapi tiada satu pun yang melekat di hati Khairul. Semuanya dek fantasi tidak masuk akal beliau. Di hatinya, hanya permainan video yang bertakhta. Begitu obsesnya Khairul terhadap permainan video sehinggakan wanita idaman pun kalau boleh mestilah berpakaian dan berbentuk seperti watak heroin permainan video tersebut.

Ya! Khairul lebih mudah terpikat dengan karakter “Night Elf” yang berkot kulit binatang dan pucat seperti mayat di dalam World Of Warcraft (WoW) berbanding gadis Melayu putih yang bertudung.

Apa yang sering terlafaz dari mulutnya adalah..

“Hai, kalaulah aku ada awek, aku nak dia pakai macam Night Elf tu. Dengan set Shadow Suit macam NPC tu, perghh meleleh air liur kalau aku usung awek camtu! Lepas tu pulak bagi dia bawak pedang Excalibur tu..wow!”

Dan setiap kali frasa itu terlafaz, setiap kali itu jugalah Amir menggeleng kepala. Sudah masak benar perangai teman sebiliknya itu.

Bodoh punya obsesi!

*******************************************************************************************

 “Hoi! Balik balik tak tukar baju tak apa terus menghadap komputer?” jerit Amir di muka pintu sejurus pulang dari kerja.

“Ada raid hari ni, aku balik awal tadi. Hari ni pelancaran instance baru, item baru. Lagipun, guild aku ada perempuan baru join woo...”

Amir hanya tersenyum sinis. Kalau ada sahaja penambahan baru kepada permainan tersebut, sudah pasti Khairul akan ponteng kerja dan balik lebih awal dari masa yang ditetapkan. Pasti beliau teruja untuk mencuba tentangan maya yang baru ditambah.

Raid sahaja yang difikirkan!

Seperti biasa, Amir tidak berkata apa. Sudah tidak larat untuk beliau menegur kelakuan Khairul. Sudah tidak betah lagi untuk dia mencuba membawa Khairul ke jalan yang benar.

Nampak gayanya makan berseorangan lagilah hari ini!

Amir terus dengan hal sendiri. Mandi, bersiap untuk ke surau di hadapan rumah sewa untuk menunaikan solat Maghrib. Usai berpakaian, dicapainya kunci motorsikal di hadapan pintu rumah.

“Amir! Balik nanti belikan aku nasi bungkus satu! Nanti aku bayar!” jerit Khairul.

“Cis! Jadi hamba abdi lagi aku!” getus Amir di dalam hati.

*******************************************************************************************

Malam itu angin bahang meranjau dalam hening kegelapan. Panas tak terkata membuatkan Amir terjaga dari lena ditengah malam. Jam menunjukkan jarum pendek menghala ke pukul empat. Amir membuang baju yang dipakainya ke lantai.

Khairul sudah terjelepuk di hadapan paparan komputer yang masih terang. Watak Undead yang mewakili dirinya pun sudah terbaring tidur di atas tanah virtual yang gelap. Amir bangun untuk melihat paparan tersebut dengan lebih dekat.

Congratulations, you've conquered the Zul`Gurub instance!” perkataan berwarna kuning emas tertulis di atas watak tulang Undead tersebut.

Amir cuma tersenyum. Tidak dinafikan Khairul memang hebat bermain permainan tersebut. Kalau tidak, masakan Khairul bergelar juara WoW Malaysia.

Nasi yang dibelikan masih tidak terbuka dari bungkusan. Nyata Khairul leka bermain sehinggakan makanan pun tidak disentuh. Hanya senyuman sinis yang terukir di wajah Amir bila terpandangkan bungkusan nasi tersebut.

Pagi esok Khairul pasti bermegah dan menceritakan kehebatan sendiri kepada Amir!

Amir kembali ke katil empuk untuk menyambung tidur yang terganggu.

*******************************************************************************************

Guess what?” Khairul, dengan mulut penuh mengunyah makanan semalam, menegur Amir yang masih mamai hasil baru bangun pagi.

“Tau dah.”

“Apa yang kau tahu?” tanya Khairul kembali bila melihatkan Amir hanya acuh tak acuh menjawab persoalan retorik Khairul.

“Kau menang macam biasa.”

“Tak, bukan itu yang aku nak beritahu. Semalam, awek yang baru join guild aku tu cabar aku. Dia kata, kalau aku dapat kalahkan dia dalam battle petang kang, dia sanggup keluar date dengan aku dengan costum macam character dia sekarang!”

Terbuntang mata Amir mendengar pengakuan Khairul. Terkatup mulut Amir, terkesima.

“Mesti aku menang punya! Aku nak bunuh dia nanti sampai terguling-guling kepala Night Elf tu kena spell Deadly Poison Cloud aku! Kemudian boleh pancung dengan Lightning Sword aku ni! Hahaha!”

Gila! Fantasi Khairul hampir menjadi kenyataan!

*******************************************************************************************

Seram dan menakutkan. Itu yang dapat Amir gambarkan petang itu. Sekembalinya Amir dari tempat kerja, hanya bunyi patukan jari terhadap papan kekunci yang dapat didengarnya. Seketika kemudian bunyi Khairul menjerit-jerit seorang diri.

“Arghhh... jaga kau! Yarghh!! Nah ambik!! Hahahaha!!”

Pertarungan siber antara dua jantina itu amat hebat. Darah menyembur dari setiap tetakan yang Khairul lepaskan. Sekejap sekejap, terang paparan komputer itu bila lawannya menghamburkan Lightning Shock. Tubuh Khairul bergerak-gerak ke kiri dan kekanan mengikut pergerakan karakternya. Terlompat-lompat tulang Undead dalam paparan komputer tersebut, terlompat-lompat jugalah tulang temulang tuan punya badan di alam realiti. Terleka juga Amir melihatkan kehebatan Khairul beraksi di dalam permainan itu, sehinggakan dia sendiri terlambat untuk ke stesen bas. Hari ini Jumaat, maka sudah menjadi kelaziman Amir untuk pulang ke kampung setiap hujung minggu. Mujur tidak tertinggal bas.

Khairul masih leka bermain semasa Amir keluar dari rumah. Berpeluh-peluh Khairul dalam usahanya untuk menumpaskan lawan. Yang terhambur dari mulutnya hanyalah..

“Yarghh! Sikit lagi.. sikit lagi.. Nah!! Deadly.. Poison Cloud!! Hiyarghh!! Tetak!!”

Pedang kuning yang terikat di tulang skapula Undead tersebut menetak kepala Night Elf yang terdedah akibat serangan sebelumnya. Darah menyembur dari karotid leher hasil pukulan tersebut. Kepala Night Elf tersebut putus, berguling-guling dan akhirnya berhenti. Badan watak tersebut jatuh rebah ke bumi yang tidak nyata.

Fine, you win. I'll see you tomorrow at Dome, KLCC like promised. Here's my number: 0123456789 – Jenna.”

Sebaik sahaja perkataan itu terlukis di skrin komputer, Khairul menjerit girang. Akhirnya! Fantasi yang dinanti akan tiba jua. Tidak sia-sia Khairul berusaha gigih dalam permainan komputer tersebut.

Khairul tersenyum puas. Namun senyumannya itu tidak lama. Tiba-tiba, mata Khairul menjadi putih seperti terpusing di dalam soketnya sendiri. Mukanya menjadi pucat. Tangannya keras. Mulutnya terbungkam kaku. Khairul jatuh dari kerusinya bak nangka busuk yang gugur. Memori Khairul seolah terpadam.

Khairul pengsan tidak sedarkan diri?

*******************************************************************************************

Khairul terjaga daripada kedudukan baring dalam keadaan hari yang sudah mula hendak terang. Matahari sudah memancarkan sinar ke muka dunia. Tidak tahu apa yang terjadi, kepala Khairul terasa berpinar-pinar. Tangannya kelihatan basah dengan suatu cecair.

Merah. Pekat.

Khairul menjilat cecair merah yang berlumuran di tangan. Kelat, dan beliau pasti ianya darah. Khairul menyemak dirinya jika ada yang terluka. Tiada.

Skrin paparan komputer menunjukkan watak tulang berbaring di tanah maya. Sama kedudukannya seperti Khairul yang terbaring sepanjang malam, jika benar dia terbaring. Terdapat darah juga di tangan tulang tersebut.

Khairul terpana. Dia duduk di kerusi kembali, cuba mengingati apa yang telah terjadi. Yang pasti, satu malam telah hilang dari ingatan.

Jam meja digital Khairul mengukir nombor 07:34.

“Eh, aku janji dengan Jenna nak berjumpa pukul 8..” getus Khairul.

Tangkas Khairul bangun dan bersiap untuk menghadiri temujanji yang telah dirancangkan. Hal darah di tangan terlupa seketika dari memori. Khairul mandi dan mengenakan pakaian yang paling segak. Maklumlah, sarapan pagi dengan fantasi hidup! Bukan senang Tuhan hendak merealisasikan fantasi gila Khairul!

Sesampainya di KLCC, Khairul pelik bila melihatkan ramai orang berkerumun di hadapan kafe Dome. Khairul mendekati dan memanjangkan leher menjengah; apalah yang menarik perhatian orang di kala pagi ini?

Khairul terkejut apabila imej yang sampai di benak adalah tubuh keras kejang seorang wanita berbangsa Cina yang berpakaian seperti orang purba. Berkasut but warna coklat, baju perisai ringan diperbuat dari kulit, sarung tangan hitam dengan telefon bimbit di genggaman.

“Macam Night Elf..” monolog hati Khairul.

Mata Khairul meliar ke atas mayat wanita Cina tersebut. Pada mulanya, hanya bahagian kaki sehingga perutnya yang jelas di mata Khairul. Khairul mengengsot semakin rapat ke depan untuk melihat dengan lebih jelas.

Terjojol mata Khairul apabila dilihat leher wanita tersebut terputus dua!

Kepala wanita tersebut masih elok tercatuk di tepi bahu kiri, siap dengan tiara kuning yang unik. Kelihatan mukanya hitam keungguan, seperti mati diracun. Bibirnya kusam. Lidahnya terjelir.

Muka hitam keungguan? Seperti mati diracun? Kepala terputus?

Tiba-tiba ayat yang Khairul lontarkan kepada Amir dua hari lepas menghantui benak Khairul seperti radio yang mengulang-ulangkan rakaman yang telah direkod terlebih dahulu..

“Aku nak bunuh dia nanti... sampai terguling-guling kepala... kena spell Deadly Poison Cloud aku... kemudian boleh pancung.. dengan Lightning Sword aku ni!”


Eh? Night Elf?

Darah di tangan? Bunuh? Racun? Pancung? ...Jenna?


“Tak mungkin..”

Pantas Khairul mengeluarkan telefon bimbitnya. Menggigil jari Khairul mendail nombor yang disalinnya pagi tadi sebelum melangkah keluar rumah.

Tertancap telinga Khairul dengan nada dering tema permainan WoW.

Telefon bimbit dalam genggaman mayat Cina tersebut bergetar-getar.

Khairul terduduk. Tangannya menggigil. Otak Khairul buntu. Tiada yang jelas dapat diingati. Tiada bukti alibi yang dapat Khairul kemukakan. Satu malam tidak dapat diingat langsung. Tiada kegembiraan akibat fantasi yang menjadi kenyataan. Perasaan Khairul berkecamuk, mental Khairul bercelaru. Fantasi, realiti?

Fantasi Khairul menjadi kenyataan?

Benar, fantasi Khairul terlaksana dengan kuasa Tuhan. Tetapi fantasi yang mana?

Cerpen sebelumnya:
Berbaloikah?
Cerpen selanjutnya:
Cinta Gila!

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.1
9 Penilai

Info penulis

[re-arrange]

Easily triggered, hot - headed, stands by what I believe is right and logic man with a pride and ego. Have stands and my own principles. Logic before emotion. Emotionally cold and ignorant.Can be romantic at times (to the one whos dear for him), love to try everything new. Love to think, and take challenges as much fun. Ironic things cracks a laugh in me. Thoughtful is my forte. Follow my Twitter at @rearrange.
rearrange | Jadikan rearrange rakan anda | Hantar Mesej kepada rearrange

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya rearrange
Hilang | 3352 bacaan
Refleksi Diri | 3108 bacaan
Beruang Itu Tak Bersalah! | 2519 bacaan
Annoyingly Angry | 2226 bacaan
PCB#3: Saat Ginjalku Terhenti | 2869 bacaan
The Standing Ovation | 3617 bacaan
Toyol Gendut Tali Kecapi | 3374 bacaan
Mata Hati Jiwaku | 4043 bacaan
Mahu Lekas Maju | 2411 bacaan
Monologku Seorang AA (Rewrite - Versi Sopan) | 3205 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

28 Komen dalam karya Fantasi Mental Gila
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik