Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Deja vu Elton John

Cerpen sebelumnya:
Ciko Kembali Berairliur Basi
Cerpen selanjutnya:
Zainon & Wahab

Hari ini Elton John seolah-olah mendapat tahu yang dia akan mengalami sesuatu yang luar biasa. Lelaki separa umur ini bangun dari tidur dengan satu perasaan aneh melanda dirinya. Segala-galanya seperti pernah berlaku tetapi dia lupa di mana, dan bila ianya pernah terjadi.

Lalu, Elton John mengandaikan bahawa seekor gagak telah mencuri ingatannya itu lalu membawanya terbang jauh ke sebuah gunung berapi yang separa aktif. Itu andaian Elton John. Tetapi, hakikatnya gagak itu telah membawa ingatannya ke sebuah istana untuk dihadiahkan kepada Puteri Mariana sempena ulangtahun baginda yang ke 16.

Melangkah keluar dari rumah pangsanya, Elton John tidak pernah lupa memakai cermin mata birunya yang diletakkan di atas meja tulis. Tetapi, hari ini cermin matanya berada di atas meja dapur.


Memakai stoking hijau dan bukan stoking ungu pada hari Jumaat memang bukan kebiasaannya, tetapi itulah yang berlaku kepada Elton John pada hari ini.


Roti bakar bukanlah makanan kegemarannya pada bulan Februari, tetapi Elton John memakannya sehingga lima keping  pada tarikh ini, iaitu pada dua puluh sembilan hari bulan Februari, tahun dua ribu lapan.


Memang benar, hari ini segala-galanya lain buat Elton John namun seakan-akan pernah terjadi sebelum ini.


 “Déjà vu”, bisik Elton John.


Elton John tetap meneruskan tugasnya hari ini sebagai penghantar surat. Tetapi tidak sekali-kali untuk surat cinta. Elton John alergik. Badannya akan mengalami kepedihan yang melampau apabila dia menghantar surat cinta.


Sebenarnya, dulu-dulu Elton John tidak pernah pun berkeadaan begitu. Dia normal sahaja bila disuruh menghantar surat-surat cinta. Tetapi, segala-galanya berubah apabila Alwani gadis kecil molek yang berwarna-warni itu menolak cintanya. Alwani hanyalah seorang gadis peminta sedekah yang sering meminta sedekah di bawah sebatang pohon mangga di hadapan rumah pangsa Elton John.  Setiap hari Elton John akan melalui pokok mangga tersebut lalu mengirimkan sepucuk surat cinta kepada Alwani.  Malangnya, Alwani membuang semua surat-surat cinta yang diberi oleh Elton John kepadanya.


“Dengar sini! Hidup tak selalunya indah. Surat-surat cinta ini terlalu indah untuk aku terima. Aku takut aku akan lupa diri lalu mengorbankan hidup aku di kemudian hari. Berhenti memberi surat-surat cinta kepadaku!”


Selepas daripada itu, Alwani tidak pernah lagi dilihat duduk meminta sedekah di bawah pohon mangga di hadapan rumah pangsa Elton John. Selepas daripada peristiwa itu jugalah, Elton John mula alergik kepada mana-mana surat cinta. Elton John percaya bahawa kata-kata terakhir Alwani itu merupakan satu sumpahan buat dirinya.

 

Lupakan sebentar kisah Alwani si gadis berwarna-warni itu.

 

Maka, Elton John pun menghantar surat-surat seperti biasa walaupun pada hakikatnya dia dapat merasakan segala-galanya akan berubah sebentar lagi.

 

Tiba-tiba seekor gagak terbang dan melintas betul-betul di atas kepala Elton John. Sepucuk surat terikat di kaki gagak itu.


“Déjà vu”, bisik Elton John.

 

Lalu, jatuhlah surat itu mengena kepala Elton John dan sememangnya gagak tersebut berhajat mahu memberi surat tersebut kepada Elton John. Elton John mengambil surat tersebut dan membaca perlahan-lahan.

 

Tuan,

Pertama sekali, berjuta maaf dipohon kerana mencuri sedikit ingatan tuan. Ingatan tuan diambil atas permintaan daripada tuan puteri sendiri sebagai kenang-kenangan.

 

Manira mengerti saat tuan membaca susunan-susunan ayat di dalam surat ini, tubuh tuan akan menanggung kepedihan yang tidak terhingga. Namun, tuan janganlah sekali-kali cuba untuk membuang surat ini kerana isi kandungannya kemungkinan besar dapat mengubah kehidupan tuan seluruhnya pada masa akan datang.

 

Tuan,

Ini adalah perutusan cinta yang datang dari jauh. Perutusan ini adalah sebagai perantara kepada sekeping hati yang kering kepunyaan seorang puteri.  Sepanjang hidupnya, tuan puteri memerhatikan tuan dari jauh. Kisah tuan dan Alwani paling tuan puteri sangat senang sekali. Kesenangan tuan melihat Alwani menjadi kegembiraan di hati tuan puteri.


Tetapi sayangnya, tertolaknya cinta tuan oleh Alwani membuatkan tuan berduka cita sehingga ke hari ini. Tahukah tuan, duka citanya kehidupan tuan akibat kesombongan Alwani menolak cinta tuan menjadi racun dan nanah jualah di hati tuan puteri. Racun dan nanah ini menyebabkan hati tuan puteri menjadi kering dan tidak bermaya. Hanya tunggu retak menanti belah.

 

Tuan,

Secara tidak sedar, tuan telah meniupkan satu sumpahan berbisa buat tuan puteri. Betapa pedihnya keadaan tuan tatkala terkena sumpahan Alwani saat menerima mana-mana surat cinta, begitu jualah keadaannya yang berlaku kepada hati tuan puteri saat tuan berduka cita. Ah, sungguh tidak disangka tuan dan tuan puteri sememangnya senasib. Kini, hati tuan puteri telah ditambat pada sebutir bintang untuk dirawat kerana tuan puteri sendiri tidak sanggup melihat hatinya yang terus kering menunggu masa untuk hancur berderai. Sungguh pun begitu, yang sebenarnya hanya ada satu cara sahaja untuk memulihkan keadaan hati tuan puteri. Hanya tuan sahaja yang mampu dengan izin Tuhan.

 

Maka, manira telah dipertanggungjawabkan oleh tuan puteri untuk menyampaikan perutusan ini kepada tuan. Tuan, kiranya jika tuan sudi, manira mahu menjemput tuan hadirkanlah diri pada malam ini di bawah pohon mangga tempat kenangan tuan dan Alwani. Puteri Mariana ada menunggu di sana. Harapan manira agar tuan serta tuan puteri akan beroleh kebaikan.

 

-Gagak-

 

Tanpa disedari, Elton John telah jatuh pengsan selama beberapa jam akibat tidak mampu menanggung kepedihan tubuhnya yang melampau selepas tamat membaca surat tersebut. Apabila dia tersedar, langit telah pun membawa siang pergi. Gelap pula datang menjelma.

 

“Déjà vu”, bisik Elton John.

 

Elton John tahu dari mula lagi bahawa sesuatu yang luar biasa pasti akan berlaku kepadanya. Dari kejauhan dia melihat seorang gadis berwajah pucat berdiri di bawah pohon mangga kenangannya dengan Alwani. Elton John tanpa berlengah segera ke sana. Setibanya Elton John di bawah pohon mangga itu, gadis berwajah pucat itu tersenyum lemah dan bersuara.


“Tuan, saya, Puteri Mariana dengan penuh rendah diri ingin menawar diri mahu mengahwini tuan. Saya berasa amat kerdil sekali pada ketika ini. Namun, saya berharap tuan dapat menerima tawaran saya ini untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan tuan”

 

Suasana senyap agak lama sebelum Elton John mula bersuara.

 

“ Dan…saya menerimanya”

 

Tubuh kering Puteri Mariana menggigil dan bergetar.

 

“Déjà vu”, bisik Puteri Mariana.

 

 Lalu, Puteri Mariana jatuh pengsan setelah mendengar jawapan yang keluar dari mulut Elton John.

 

Elton John, lelaki separa umur ini merasakan bagai ada kuasa sakti yang menarik segala sumpahan Alwani ke atas dirinya.

 

Bagi Puteri Mariana, tiada keindahan di dunia ini melebihi indahnya cinta. Tiada jeritan yang melebihi ratapnya cinta. Hatinya yang ditambat pada sebutir bintang sudah dipulangkan kembali. Pulih seadanya.

Cerpen sebelumnya:
Ciko Kembali Berairliur Basi
Cerpen selanjutnya:
Zainon & Wahab

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.4
8 Penilai

Info penulis

kamalia

Hopeless romantic tapi kemungkinan besar menghidap philophobia. Meminati karya-karya luar kotak tidak kira dari genre apa, sambil disulami elemen cinta atau satira (tidak kira puisi, cerpen, lukisan, novel atau apa saja). Karya yang hebat secara peribadi adalah yang mampu membuatku termenung beberapa ketika kerana begitu terkesan. Kalau mahu lebih dramatik, mampu merembeskan air mata dan terkedu selama beberapa minit.    
kamalia | Jadikan kamalia rakan anda | Hantar Mesej kepada kamalia

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kamalia
Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni) | 14950 bacaan
Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku | 4840 bacaan
Satu Perasaan Yang Tak Terungkapkan | 7744 bacaan
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban | 4545 bacaan
Stesen Ajaib | 3318 bacaan
PCB# 3: Duniaku, Alice In Wonderland! | 5491 bacaan
PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat | 4725 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2) | 3238 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1) | 3297 bacaan
PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal | 4229 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

21 Komen dalam karya Deja vu Elton John
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik