Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

KERUSI

 

Sudah lebih sepuluh tahun cikgu Azlan menjawat jawatan pengetua sekolah Menengah Batu Gajah Perak.Jangka masa itu memang lama tetapi bukan mudah untuk dia menjawat jawatan tersebut.Bermula dari seorang guru biasa, guru ko-kurikulum, guru penolong kanan sehinggalah pada jawatannya sekarang.

Usianya sudah setengah abad .Cikgu Harun, guru penolong kanan juga hampir seusia dengannya.Cikgu Harun dinaikkan pangkat setelah guru penolong kanan lama iaitu cikgu Majid meletak jawatan.Khabarnya mendapat jawatan eksekutif di sebuah syarikat.

Pelbagai kerenah terpaksa dihadapi oleh cikgu Azlan.Daripada masalah ponteng sekolah, penyelewengan wang koperasi, yuran PIBG yang dianggap tinggi,pertelagahan di kalangan guru,masalah para pelajar, percampuran yang hanya mengikut kaum sehinggalah kepada masalah perebutan kerusi di kelas-kelas.Guru di sekolah itu adalah seramai 67 orang termasuklah cikgu Harun.Memang susah menjadi seorang pengetua di sebuah sekolah yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum.Sekolah Menengah Batu Gajah mempunyai pelajar Melayu dan Cina yang hampir sama ramainya.Selebihnya adalah pelajar India dan beberapa pelajar kaum lain.

“Bagaimana sekarang?” tanya cikgu Azlan kepada cikgu Harun,guru penolong kanan.

“susah cikgu”

“kenapa?”

“masih berebut lagi”

Cikgu Azlan menanggalkan cermin matanya.Dia mengeluh.Masalah itu memang rumit.Tetapi banyak yang hampir selesai.Masalah penyelewengan di dalam koperasi sudah hampir diselesaikan apabila guru yang bertanggungjawab telah sanggup membayar ganti rugi.Yuran PIBG akan dikurangkan hasil rundingan dengan para ibu bapa pelajar.Tetapi masalah kerusi masih belum dapat diatasi.

“tak cukup lagikah cikgu”? soal cikgu Azlan yang agak tidak berpuas hati itu.

Pada tahun lepas banyak kerusi baru telah dibeli.Anehnya walaupun banyak kerusi masih tidak cukup lagi.

“kena makankah kerusi itu?” suara cikgu Azlan ditinggikan sedikit.Cikgu Harun hanya diam.

Kerusi yang dibeli sudah banyak yang patah kakinya.Banyak yang dihantar ke stor.Pak Cik Jamal telah telah berusaha membaikinya.Kerusi yang diperbaiki itu dikembalikan ke kelas berkenaan.Anehnya selang beberapa minggu kemudian kerusi itu rosak semula.

Masalah tidak cukup kerusi ada hikmahnya pula.Pelajar kini datang cepat ke sekolah.mereka ingin memastikan bahawa mereka mendapat kerusi.Jika lewat terpaksalah duduk di atas lantai.

“Eh ini kerusi aku.Aku yang dapat dulu.Kau jangan masuk kelas aku,tau” ujar Nizar meninggikan suara.Nizar,ketua kelas 5 Camry merenung tepat ke muka Zambry.

“Tapi, kawan sekelas kau juga sering mencuri kerusi dari kelas aku.” Balas Zambry dengan suara yang lebih tinggi.

Suasana semakin tegang.Masing-masing tidak mahu mengalah.Kerusi sebuah itu menjadi rebutan.Ia adalah sebuah kerusi berkaki besi dan sudah berkarat.Selain itu ada juga kerusi berkaki kayu.

“Hei, sudah…..sudah.Jangan berebut kerusi!” pinta cikgu Normah dan sekaligus melarang dua orang pelajar itu daripada terus bertengkar.

“Tapi ini kerusi saya, cikgu!” jelas Zambry

“Mana ada nama dia di kerusi ini cikgu!” balas Nizar pula.

“Jangan bergaduh kerana kerusi.Bukankah kamu datang ke sekolah untuk menuntut ilmu.”

“Kalau saya tidak ada kerusi bermakna saya tidak dapat duduk cikgu” ujar Zambry.

“Apakah paling pentingnya bagi kamu ialah duduk di atas kerusi? Mengapa kamu tidak berusaha mengatasi masalah itu secara muafakat? Salahkah kalau kamu berkongsi kerusi?” tanya cikgu  Normah, guru Bahasa Melayu.Satu masalah lain yang sering dia hadapi ialah ramainya pelajar yang kurang fasih berbahasa Melayu.

Nizar dan Zambry berpandangan.Mereka berasakan ada benarnya kata-kata cikgu Normah itu.Tetapi soalnya,pada zaman sekarang siapa lambat akan ketinggalan.Untuk maju seseorang itu harus berkorban dan perlu bertindak pantas.Orang yang bersikap lembut dan selalu mengalah akan dipijak.Nizar dan Zambry menyedari hakikat itu.Nizar sedar, dia bukanlah ingin berebutkan sebuah kerusi berkaki besi dan sudah berkarat itu.

Dia tahu, kerusi berkarat itu boleh mengotorkan baju atau seluar yang dipakainya.Dia juga amat menyedari bahawa kekotoran itu sesuatu yang tidak sedap dipandang.

“Saya harap salah seorang daripada kamu akan mengalah” pinta cikgu Normah.

Bagaimana kalau kita adakan peraturan tentang kerusi ini cikgu?” kata Nizar dan mengajukan satu soalan yang mengejutkan guru itu.

“Peraturan apa Nizar?”

“Satu peraturan bagi menentukan cara untuk mendapatkan kerusi dan tanpa berlakunya perselisihan faham sepertimana sekarang ini.” Jawab Nizar, seorang pelajar yang agak pintar di dalam tingkatan 5 Camry.

“Bagaimana caranya?”

Zambry hanya membisu.Hatinya berasa geram.Namun dia cuba menyembunyikan rasa amarah yang sedang menggelegak dalam kamar hatinya itu.

“Kita tetapkan satu peraturan yang amat jelas dan adil.Begini caranya-sekiranya kerusi itu berada di dalam kelas saya, ini bermakna ia dimiliki oleh para pelajar di dalam kelas saya dan begitulah sebaliknya.Ini bermakna kerusi itu milik semua dan berhak dimiliki oleh sesiapa sahaja.Asalkan pemilik itu menjaga kerusi yang diperolehinya.” Jelas Nizar.Terpegun cikgu Normah mendengarnya.

Ternyata ketua kelas 5 Camry itu memiliki wibawa sebagai seorang pemimpin.Nampaknya dia bersikap bijak dalam menentukan pemilik kerusi itu.

“Bagaimana Zambry?” soal cikgu Normah.

“Saya bersetuju.Demi keadilan.” Balas Zambry sambil mengukirkan sebuah senyuman.

Nizar  tersenyum puas.Cikgu Normah juga begitu.Dia bangga di atas sikap toleransi para pelajarnya itu.Selesailah masalah kerusi yang dihadapi oleh pelajar itu buat sementara waktunya.Dia memikirkan bahawa peraturan itu akan dimaklumkan kepada cikgu harun.

Selanjutnya Cikgu Normah berhadapan dengan masalah beberapa pelajarnya yang tidak fasih berbahasa Melayu.Pada hematnya, alangkah menyedihkan sekiranya rakyat Malaysia tidak tahu menggunakan bahasa kebangsaan mereka dengan betul.Negara sudah merdeka lebih 53 tahun lamanya tetapi masih ramai yang tidak menuturkannya dengan betul dan baku.

Kalau gagal mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan, ramai yang menyalahkan pihak sekolah terutamanya para guru yang terlibat mengajarnya.Tetapi masalah sebenarnya ialah sistem pelajaran dan pembelajaran yang mengagungkan bahasa asing lebih daripada bahasa ibunda sendiri.Mata pelajaran matematik dan sains diajar di dalam bahasa Inggeris kononnya bahasa asing itu bahasa kemajuan dan progresif.Akibatnya lahirlah pelajar pelajar yang merasakan diri mereka ala ala ‘mat saleh’ di bumi melayu.Terbitlah bahasa Melayu rojak atau  ‘manglish’ dalam pertuturan seharian mereka.Tidak kurang juga ramai anak melayu yang gagal di dalam subjek berkenaan kerana tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Ah apa dosa bahasa Melayu sehinggakan dihukum sebegitu rupa.Jangan salahkan aku jika tidak lulus peperiksaan, salahkan menteri!” gertak cikgu Normah di dalam hatinya.

Cikgu Normah yang mengajar tingkatan 5 Camry memerhatikan setiap pelajar di kelas itu.Kebersihan diri dan sekitar menjadi prinsip utamanya.Dia sedar  cikgu Azlan juga mementingkan aspek kebersihan.

Pada minggu lepas, semua pelajar tingkatan lima Lembap dikehendaki datang pada hari sabtu dengan tujuan untuk membersihkan kelas mereka.Cikgu Azlan berasa cukup marah apabila melihat kelas tersebut terlalu kotor.

“Kappal,sila duduk di tempat kamu!” arah cikgu Normah.

“tak ada kerusi cikgu” jawab kappal lembut.Cikgu normah terdiam.

“kappal,mari duduk di sebelah saya,” ajak Chin Peng.

Kappal menghampiri Chin Peng dan duduk di sebelahnya.

“macam inilah.Kita harus bersatu padu dalam segala hal.Memang masalah kerusi di sekolah ini, tidak pernah dapat diselesaikan.” Ujar cikgu Normah selepas memberikan pujian.

“cikgu,kenapa kerusi selalu tidak cukup?” Tanya Suzi pula.

“Entahlah Suzi.Barangkali para pelajar di sekolah ni suka makan kerusi,” balas cikgu Normah berseloroh.

Para pelajar tergelak mendengar penjelasan itu.Tiba-tiba terdengar bunyi bising apabila sebatang besi bergeseran.Bunyinya sedikit membingitkan.

“Kenapa ni?”

“kerusi ni cikgu,”balas pelajar tersebut.

“itulah kamu,ada kerusi tapi tak pandai jaga.Bila ada tak ada kerusi,berebut kerusi!”

“saya tak pernah berebut kerusi cikgu” jerit Perumal.

“kamu pun sama Perumal.Selalu berebut kerusi.Entah-entah selalu berbaling-baling kerusi pula.” Usik cikgu Normah.Kata-katanya itu berkesudahan dengan ketawa para pelajar di dalam tingkatan lima Camry.

“ala kerusi cikgu pun sudah goyang” beritahu Ruby.

Cikgu Normah yang sejak tadi berlegar-legar di dalam kelas melihat dari jauh kerusi tersebut.Ternyata kerusi itu sudah tidak ada apa yang dianggap istimewa.Spannya sudah koyak.Hati cikgu Normah dilanda perasaan geram.Ditahannya perasaan geram itu.

“kenapa pula kamu tidak mahu berebut meja. ha?” Tanya cikgu Normah cuba menyembunyikan perasaan kurang senang hatinya.

“sebab meja tak ada tempat sandar cikgu” jawab hasan yang tidak faham akan sindiran cikgunya itu.

Cikgu Normah berasakan hatinya semakin mendidih.

“kalau begitu kamu semua mahukan keselesaan walaupun terpaksa berebut dan mengambil hak orang lain?”

Para pelajar di kelas itu terdiam.Mereka tidak menyuarakan apa-apa apabila mendengar cikgu Normah meninggikan suaranya.

Taha tunduk.Kappal dan Chin Peng yang duduk semeja tidak berkata apa-apa.Suzi,seorang pelajar yang petah bercakap juga membisu.Mereka sedar suhu kemarahan cikgu Normah sedang meningkat naik.Oleh itu, tidak elok dilawan berbicara.Buruk padahnya.Mereka sedar.Cikgu Normah memang mudah naik radang.Begitulah guru perempuan.Dan menjadi seorang perempuan, jika kurang sabar kesannya ialah pada si anak.Dan menjadi seorang pemimpin,perempuan yang tiada bersikap sabar akan banyak mendatangkan masalah.

“tempat bagi seorang wanita adalah seelok-eloknya di rumah.” Demikian ujar ustaz Ridhuan yang dinyatakan di dalam majlis ceramah agama sempena Israk Mikraj.

Taha memandang ke hadapan.Apabila teringat kata-kata ustaz Ridhuan ,dia merasakan apa yang dinyatakan itu ada kebenarannya.Dia dapati, di sekolahnya para pelajar perempuan lebih pantas bertindak merebut kerusi.Apabila tidak diberikan kerusi  itu, mulalah dengan sikap perempuan mereka yang suka berleter itu.

Setelah tamat waktu mengajar, cikgu Normah meninggalkan kelas itu.Cikgu Normah meninggalkan kelas itu dengan wajahnya yang kemerah-merahan.

Di muka pintu kelas itu tadi dia telah terserempak dengan cikgu Azlan yang sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan sekolah.Cikgu Azlan memang selalu melakukan rondaan.Tujuannya ialah dia ingin memastikan bahawa guru terbabit menjalankan tugas mereka.Dia ingin pastikan bahawa Sekolah Menengah Batu Gajah dapat menjadi sekolah yang terkemuka.Dia berasa amat yakin dengan apa yang dicita-citakan itu.Dia telah menciptakan satu wawasan khusus untuk sekolah itu dalam tempoh lima tahun yang akan datang.Apa yang diimpikan itu akan direalisasikan sebelum dia menamatkan profesionnya sebagai seorang guru.

“kenapa cikgu keluar sebelum habis waktunya?” Tanya cikgu Azlan.

Cikgu Normah tidak pula menjawabnya.Dia ternyata berasa terkejut dengan kemunculan cikgu Azlan yang tidak disangka-sangkanya itu.Cikgu Azlan mengerti apakah perasaan cikgu Normah.Dia yang melakukan tinjauan keadaan di kelas hanya menggeleng-gelengkan  kepalanya.

“tidak cukup kerusi lagi?”

“ya cikgu!” jawab salah seorang pelajar tingkatan lima Camry.Mereka yang lain-lainnya seolah-olah menjawab serentak.Cikgu Azlan hanya tersenyum.

“itu jangan dibimbangkan.Saya akan berusaha supaya para pelajar tidak akan berebut kerusi lagi pada tahun hadapan nanti.Pihak sekolah akan menyediakan kerusi yang tahan lama dan bermutu.Tapi,asalkan kamu semua bertanggungjawab dalam menjaganya.Kerusi itu nanti adalah menjadi milik kita semua.Jangan sekali-kali kamu bersikap merosakkan kerusi yang telah kamu miliki.Adalah diharapkan peristiwa yang sering terjadi tidak akan berulang lagi.” Jelas cikgu Azlan.

Pada hari itu, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Batu Gajah semuanya tersenyum-senyum apabila mendengar jaminan daripada pengetua mereka.Cikgu Harun yang mendengarnya turut tersenyum bangga.

“rupa-rupanya kerusi merupakan masalah utama di sekolah ini.Ingatkan banyak masalah lain yang lebih rumit.” Rungut cikgu Azlan dan kemudian tersenyum apabila mengingatkan masalah kerusi.

Di kamarnya, dia duduk dan memandang ke arah pintu kamar yang bercermin gelap.

“tapi, kerusi aku masih empuk lagi.” Katanya sendirian. 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ermmm...satiranya amat memuaskan. sedikit typo yg boleh diperbaiki. flow cerita tu mungkin boleh dibaikkan lagi - mcm cepat sgt melompat antara dialog. yg lain2, powahh!!
  • 2) seharusnya di dalam sebuah cerpen tidak wajar mengandungi tema lebih dari satu. ia akan buatkan cerpen itu tampak sangat celaru dan longgar. percubaan yang memuaskan. teruskan menulis...
  • 3) sangat berbau politik.wahahaha.

  • (Penulis)
    4) cerpen mcm ni bez kalau merapu rapu

Cerpen-cerpen lain nukilan Bayumoslem

Read all stories by Bayumoslem
No stories.