Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Apa itu indah

Cerpen sebelumnya:
Cekgu, kenapa saya ponteng..
Cerpen selanjutnya:
Ingat Kematian.

‘Tak semua yang kita nampak cantik itu indah belaka. Dan tak semua yang hodoh itu buruk belaka.’ Kata Emak. Saya diam. Walaupun diam-diam hati saya melawan tapi arwah Abah pernah berpesan Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Malah Ustazah di sekolah pun pernah memberikan pesan yang sama.

Tak baik melawan Mariam

Saya ketap bibir. Sakit tapi saya dapat rasakan bibir saya bergetar hebat. Malah dada saya terasa sesak. Air mata mula tumpah tapi dengan segera saya seka. Tanpa menoleh saya terus menaiki anak tangga. Menghempaskan badan ke atas katil sebelum menangis teresak-esak. Saya tak sedar bila tapi saya rasa ubun-ubun saya dicium perlahan oleh emak.

Emak pasangkan kelambu hijau sebelum membakar ubat nyamuk lingkar atas pinggan ayan di penjuru bilik.

Emak tarik kasut lusuh yang berada di tangan kanan saya. Malam itu, saya ingat lagi. Emak tidak tidur semalaman. Emak habiskan malam dengan menyiapkan tempahan baju kurung dan langsir. Malah emak juga bersengkang mata menampal kasut saya yang sudah koyak itu.

---

Sudah berapa hari saya monyok. Setiap kali ke sekolah, pasti saya disindir oleh kawan-kawan. Sudahnya, saya tarik muka. Muncung panjang sedepa. Malah selar kuning masak lemak kegemaran juga tidak berjaya membuatkan saya kecur bibir. Habis makan saya terus ke atas rumah. Menyiapkan kerja sekolah selepas bersolat zohor.

Petang itu Along pulang dari Kilang. Bunyi motornya sahaja sudah cukup buat saya berlari-lari ke tangga.

‘Along OT ye?’ Saya senyum lebar. Along mengangguk. Mata Along nampak tak bermaya. Letih barangkali. Selalu Along macam tu. Kerja lebih masa. Kalau shiftnya malam maka akan dia sambung dengan siang. Bila agak-agak penat baru Along tidak buat OT. Tapi duit tak pernah cukup dan saya tak pernah faham kenapa.

Along duduk melunjur. Merengus sedikit. Along mengadu lehernya sakit. Tanpa disuruh saya terus duduk dibelakang Along. Leher Along saya picit perlahan.

‘Along…kasut adik dah koyak. Boleh tak Along belikan yang baru?.’ Mulut saya terus lancar bertanya. Mana tahu Along ada duit lebih. Bolehlah Along belikan kasut North Star macam yang di pakai oleh Meena, anak tokay kedai emas di pekan. Selalu sahaja Meena memakai kasut baru tapi Mariam paling suka yang itu. Kasut North Star dengan jalur biru gelap pada tapak kasutnya.

Tiba-tiba Emak muncul dimuka pintu. ‘Berlubang sikit Along tapi tak apa. Emak dah tampal dah kasut Mariam tu.’ Emak terus mencelah perbualan kami. Saya tarik muka. Emak selalu begini! Bila saya hendakkan sesuatu cepat-cepat emak membantah. Emak tidak cakap tidak atau ya tapi emak selalu memberikan alasan.

Tahukah  emak hati saya sakit?!

Saya terus bangun dari duduk. Terus berlari masuk ke dalam bilik. Tompok yang mengiau di muka pintu tidak saya pedulikan. Hati yang sakit perlu dirawat!

---

Emak batuk-batuk di luar. Sambil kakinya sibuk menekan pedal supaya mesin jahit lama itu berfungsi, emak mengurut-ngurut dadanya.

Biarlah! Alongkan ada!

Emak terbatuk lagi. Kali ini semakin kuat. Sekejap-sekejap emak berhenti dari menjahit. Emak melaung memanggil nama Mariam tapi Mariam endah tak endah. Marah dalam hatinya masih bersisa.

Panggillah Along!

Along yang sibuk membetulkan motornya di depan masuk bila mendengar suara emak semakin perlahan.

‘Ya Allah Mak!.’ Terus Along rangkul emak yang sudah pitam di hujung tangga. Saya yang sedang sibuk melayan perasaan di beranda depan terus ke dapur bila Along berteriak.

‘Yam! Mak pengsan. Tolong Along papah Mak. Kita ke hospital sekarang.’ Saya cemas. Cepat-cepat saya angguk. Badan emak saya peluk dengan kuat. Emak…kenapa dengan emak?

Sepanjang perjalanan ke hospital saya rasakan tubuh emak sejuk. Angin malam yang menyapa kami membuatkan saya semakin risau. Emak, bertahan emak. Mariam minta maaf!

Bila kami sampai ke hospital. Emak terus dimasukkan ke bilik kecemasan. Along mundar mandir. Topi keledarnya sudah  diletakkan di tepi saya. Saya ketap bibir. Rasa bersalah menyelinap dalam hati.

‘Kenapa Adik tak jawab bila emak panggil tadi?.’ Along menyoal. Saya tidak keruan waktu itu. Diam memandang lantai.

‘Adik tak sayang emak dah ye?.’ Along menyoal lagi. Ya Allah Along, Adik sayang emak. Adik minta maaf.  Adik yang salah. Adik marah sebab emak seolah-olah abaikan permintaan adik.

Along diam membantu. Tak guna marahkan Mariam. Adiknya itu terlalu kecil untuk faham tentang dunia.

---

Sejak hari emak sakit. Mariam tak lagi monyok disebabkan kasut. Malah kasut yang emak tampal sangat cantik dimatanya. Kasutnya lain dari yang lain. Unik!

Mariam semat dalam hati yang kasut itu adalah hasil tangan emak. Kata Along, emak sengkang mata menyiapkan kasut itu. Emak pastikan kasut Mariam tak berlubang supaya tak basah jika terkena lopak air tika hujan.

Emak berikan kasih tanpa syarat buat Mariam.

Along kata lagi, masalah Mariam adalah kasut yang sudah koyak. Bila emak sudah tampal, bermakna kasut itu bukan satu masalah lagi.

Mariam akur. Kata Along ada benarnya. Antara kehendak dan keperluan, Mariam sudah semakin pandai membezakan.

‘Eh Mariam. Cantiknya kasut kau!.’ Meena gelak menyindir. Hari itu Meena memakai kasut baru. Kasut Nike serba putih.

‘Kasut siap ada petak-petak. HAHAHAHA’ Meena ketawa terbahak-bahak diikuti oleh kawan-kawan yang lain.

‘Emak aku yang jahit. Mungkin tidak cantik dipandangan mata kau tapi tak apalah.’ Ayat Mariam mula mengendur. Kata semangat dari Along hilang entah kemana.

Petang itu Mariam pulang dengan air mata.

---

‘Along…Along…kenapa duit kita tak pernah cukup?.’ Saya bertanya. Saya perlukan jawapan. Sekurang-kurangnya saya tak rasa lemah bila berhadapan dengan kawan-kawan.

Masalah kami adalah duit tidak pernah cukup. Kenapa tidak duit jatuh dari langit?

Along diam. Fahamkah Mariam masalah mereka?

‘Adik…nampak tak motor Along ni?.’ Saya anggukkan kepala. Motor arwah abah.

‘Motor ni walaupun dah tua, buruk di pandangan mata tapi Along tetap sayang. Sesuatu yang hodoh tak semestinya buruk belaka. Motor ni dah banyak berjasa pada Along, pada arwah Abah. Yang penting, dia masih berfungsi.’

Mariam anggukkan kepala. Tanda memahami.

‘Macam kasut adik. Walaupun dah koyak tapi dia masih berfungsi. Lagi-lagi bila emak dah tampalkan. Adik ingat lagi waktu adik baru dapat kasut tu?.’

Saya telan liur. Masakan saya lupa. Arwah Abah belikan dengan upah mengait Kelapa Sawit. Bila dapat kasut itu setiap hari saya pastikan kasut itu saya jaga dengan elok. Tapi makin lama, bila kasut itu mula buruk. Saya abaikan. Padahal itu pemberian arwah Abah!

Air mata saya mengalir lesu. Rasa rindu tiba-tiba menyelinap dalam hati.

‘Adik minta maaf Along. Adik janji akan hargai apa yang ada.’ Saya terus memeluk erat Along. Menangis teresak-esak dalam dakapan satu-satunya abang saya itu.

---

Petang itu waktu Along duduk minum petang dengan emak. Mariam curi-curi dengar perbualan emak dan Along.

‘Mak…buatlah rawatan. Leher mak makin hari makin bengkak. Risau Along tengok.’  Suara Along separuh memujuk. Emak yang sibuk menuang Te’O panas cuma tersenyum.

‘Tak ada apa-apalah. Daripada habiskan duit ke arah tu baik kita selesaikan hutang Abah. Kurang-kurang kalau emak dah tak ada, lega hati mak kamu adik beradik tak terbeban.’

Ya Allah, emak sakit apa??

Along terdiam. Emak memang degil. Setiap duit yang dihulurkan saban bulan mesti emak utamakan hutang abah. Kata emak, dia tak nak roh arwah terseksa. Kalau emak dah tak ada, dia tak mahu anak-anak terseksa menyelesaikan hutang. Kadang-kala bila Along bekerja terlalu kuat Emak akan marah-marah. Kata emak lagi, itu patutnya tugas emak.

Malam itu saya menangis.

‘Tuhan, saya lebih memerlukan emak dari sepasang kasut baru. Saya lebih memerlukan Along daripada perkara lain. Mereka keutamaan saya. Tolong bantu mereka Ya Allah!.’

Emak, Along. Adik faham kini. Semua perkara itu bersebab. Maafkan adik.

Cerpen sebelumnya:
Cekgu, kenapa saya ponteng..
Cerpen selanjutnya:
Ingat Kematian.

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.6
11 Penilai

Info penulis

Nursyuhada Azzman

saya adalah saya! :p
syud | Jadikan syud rakan anda | Hantar Mesej kepada syud

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya syud
Ilusi | 2751 bacaan
Imtihan | 3123 bacaan
~Bab 5: Tamat~ | 2486 bacaan
~Boyot~ | 3624 bacaan
~Bab 4: Luruh~ | 2227 bacaan
~Bab 3: Derai~ | 2659 bacaan
~Bab 2: Sempurna~ | 2793 bacaan
~Bab 1: Memori~ | 2420 bacaan
~H & A~ | 2643 bacaan
~Ellyna~ | 3104 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

26 Komen dalam karya Apa itu indah
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik