Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Imtihan

  • 22
  • syud
  • 14 years ago
  • 4,601
  • FREE

 

Hujan turut renyai-renyai. Perlahan-lahan dia bangkit dari rebah. Bahunya sudah sedikit senget. Kelopak mata kirinya sudah bengkak dan sedikit pecah. Malah bibir mungilnya juga sudah mulai membiru. Kakinya berdengket-dengket. Dia terjelepok jatuh ke tanah. Hampir sahaja wajahnya tersembam ke dalam lopak air warna coklat kekuningan itu.

Amin melibas pandang, tiada kelibat orang di sekeliling. Matahari juga sudah mula tenggelam di ufuk Barat.  Dua tiga kali dia menggenggam lalu menghentakkan tangannya ke tanah. Badannya yang sedikit terdedah setelah beberapa butangnya hilang entah ke mana tidak dipedulikan lagi. Dia harus segera pulang!

“Ibu…” Amin melaungkan nama itu lemah. Serentak itu wajah cemas seorang wanita yang masih belum kering wuduknya terpacul di muka pintu. Resah membasahi hati seorang ibu itu. Ibu Amin dengan segera mendakap anaknya. Bibir yang pecah dan berdarah itu dilapnya perlahan dengan hujung telekung. Hanya satu persoalan bermain di hatinya, ‘Kenapa dengan Amin?’

“Amin terjatuh tadi.” Cubaan pertama untuk Amin berbohong. Wajahnya segera ditatap ibunya itu. Mata mereka bertentangan.

“Tengok ibu. Jangan menipu.” Lama mereka bertentang. Akhirnya Amin mengalah. Wajahnya dikalihkan dari terus menatap bening coklat anak mata itu. Dia segera berlalu. Turut sama berwuduk sementara ibu menyalin telekung putih tadi dengan yang baru.

Allahuakhbar!

Amin mula menjadi imam. Makmumnya cuma ibu seorang. Amin tak pernah kenal ayahnya. Malah ibu tak pernah mahu bercerita tentang ayah. Amin, satu-satunya anak ibu pula tak pernah ingin bertanya lebih lanjut.

Yang Amin tahu. Sejak kecil lagi di sinilah tempat dia dibesarkan. Dia tak pernah kenal atuk atau neneknya. Dia tak pernah tahu sama ada dia punya makcik atau ayah saudara. Dia tak pernah ada peluang untuk bergelak ketawa bersama sepupu-sepupunya. Itupun jika dia punya mereka. Satu-satunya tempat dia menumpang teduh kasih sayang selain dari ibu adalah dari Nek Som, jiran mereka yang rumahnya hanya beberapa langkah dari rumah mereka.

Nek Som janda anak dua. Dua-dua anaknya sudah berkahwin. Cucu-cucunya sudah besar-besar belaka. Semuanya sudah masuk fasa remaja di mana tiada siapa enggan lagi pulang ke kampung yang membosankan itu. Tiada siapa rela menemani Nek Som berkebun. Menjengah pokok-pokok  pisang di tanah gambutnya yang berekar-ekar luasnya  itu. Selalu yang setia bermain di tali air sementara menanti Nek Som habis mengutip jantung pisang, Aminlah. Kadang-kala Amin turut sama berbakti pada tanah. Sama-sama membina batas-batas baru untuk anak-anak pokok.

Amin meneruskan rakaat kedua. Ibu masih lagi di belakang. Setia menjadi makmum dan mengaminkan setiap patah dalam Al-Fatihah. Amin bangun dari rukuk. Bait-bait ayat bahawa Allah mendengar puji-pujian langsung keluar dari mulutnya.

Sami'allaahu liman hamidah

Kadangkala, Amin terasa sepi. Walaupun ibu dan Nek Som sentiasa ada di sisi. Tetap sepi itu tak pernah usai. Seperti jatuhnya rintik hujan petang hari itu. Sesepi itu juga hatinya. Amarah Amin tak mampu disurutkan oleh cuaca petang itu. Dia benar-benar marah tatkala ibu diherdik dan dihina!

Dia mampu mendengar jika mereka mengatakan Amin bodoh. Dia mampu menerima jika dirinya dikatakan dungu. Katalah apa sahaja mengenai dirinya tetapi jangan sesekali dihina ibu! Sungguh, dia tidak dapat bertabah dengan kata apa sekalipun walaupun sedikit cuma. Hatinya berantakan. Jiwanya memberontak dan petang itu jadi saksi, biar berpatah arang berkerat rotan. Amin takkan mengalah!

Selama dia membesar, ibu bukanlah orang seperti yang diperkatakan mereka. Amin tahu, rakan-rakannya semua mencemburui dirinya.

Biarpun  tidak berbapa, tidak berkeluarga. Seperti kebiasaan orang-orang lain. Amin selesa. Sekurang-kurangnya Amin tahu, ibu sangat menyayangi dirinya. Nek Som juga tidak kurang dan tidak lebih. Sayangnya pada Amin seperti menyayangi cucunya sendiri.

Amin pelajar pintar. Setiap hari dia menjadi imam solat Zohor di Musollah sekolahnya sementara menanti waktu masuk sekolah. Amin baru di tingkatan dua tetapi jiwanya sangat besar. Kata cikgu, Amin sangat istiqamah dan ikhlas dalam setiap perbuatannya.

Pernah satu ketika, Cikgu Nikmah meminta Amin mengangkat buku-buku latihan yang ada. Ada orang-orang bercakap di belakang. Kata mereka, Amin mengampu. Kata mereka, Amin anak emas cikgu.

Amin butakan telinga. Amin tulikan telinga. Dia masih ingat pesan ibu; berbaktilah pada guru seperti mana Amin berbakti pada ibu. Besar pahalanya berbakti pada mereka yang memberikan ilmu buat kita.

Dia masih ingat waktu Hafizah menegurnya. Minta diajarkan mata pelajaran Geografi. Hafizah yang sangat terkenal dengan kebijaksanaan dan kecantikannya itu buat ramai lelaki jatuh hati tapi tidak dengan Amin.

Rabbir firli. Warhamni. Wajburnii. Warfa’nii. Warzuqnii. Wahdinii. Wa’afinii. Wa’fuannii.

Amin dan ibu sama-sama duduk di antara dua sujud. Memohon belas. Memohon petunjuk dan rahmat. Terakhir, mereka memohon keampunan dariNya.

 Amin ikhlas mahu membantu, mengajar apa yang patut. Tapi ramainya manusia tidak pernah mahu berpuas hati.

Buktinya?

Sebelum dia mula bersolat Maghrib itu, sebelum dia jatuh ke tanah dengan bengkak pada bibir dan luka di sana sini. Amin baru pulang dari sekolah dengan raga kosong dan wang jualan nasi lemak ibu dari Gerai Pak Mail. Dalam perjalanan pulang, dia disapa Hisham, Adi dan Zairul. Ketiga-tiganya memandang sinis pada Amin. Mereka mendekat. Cuba menahan Amin.

“Oi Amin! Ada hati engkau nak mengorat Fizah ye?.” Hisham sebagai ketua mula menegur. Amin ditahan di tengah-tengah jalan itu. Malang sungguh hari sudah merangkak senja. Tiada lagi kelibat orang lalu lalang atau motor menuju ke masjid. Masing-masing sudah siap sedia di sana ataupun sudah berada di rumah.

Amin diam. Tak berani langsung mahu bersuara. Yang dituturkannya cuma satu.

“Aku tak ada niat langsung nak bercinta dengan Hafizah. Cuma tolong dia dengan subjek Geografi. Itu aja” Amin diam lagi. Ibu pernah berpesan, kalau kata kita mampu menimbulkan amarah. Maka berdiam diri itu adalah lebih baik.

Zairul mula masuk campur. “Tolong konon… Engkau ingat kami ni buta ke? Heh. Sedarlah diri tu sikit. Kau tu dahlah asal entah mana-mana. Dasar anak haram!.” Amir mengetap bibir mendengarkan tohmahan demi tohmahan.

Melihatkan Amin cuma diam. Adi pula mula masuk campur. “Korang tau tak, Mak aku cakap Amin ni memang betul anak haram. Sebab tu perangai pun macam haram. Waktu datang ke kampung kita ni, emak dia dah mengandung pun. Entah-entah  memang betul emak dia tu pelacur!.”

PANG!

Amin menyepak pipi Adi menyebabkan Adi tersembam ke tanah. Dia menggenggam penumbuknya kuat-kuat. Bersedia untuk menerima apa saja. Pantang baginya bila ibu dihina walhal dia tahu, ibunya bukan begitu!

“Bangsat!.” Adi meludahkan darah pekat dari celah mulutnya ke tanah. Dia kembali berdiri.

“Berani engkau lempang aku??! Celaka kau Amin!!.” Adi mengisyaratkan Hisham dan Zairul supaya turut sama masuk campur dengan tangannya.

Amin bersedia. Penumbuknya sudah digenggam kemas dan sedia untuk menerima apa jua serangan. Hisham melepaskan tendangan ke dada Amin tapi cepat-cepat Amin menunduk. Dia membalas dengan menyepak pelipat kaki Hisham menyebabkan teman sekelasnya itu terduduk. Adi cepat-cepat mencapai kayu di bahu jalan. Menghayunkan sekuat hati ke arah Amin.

Amin cuba mengelak tapi dia ditumbuk di bahagian bibir oleh Zairul. Amin mengerang kesakitan. Rahangnya terasa pijar. Pandangannya berpinar-pinar. Dia terjatuh ke tanah dan dibelasah teruk oleh mereka bertiga. Dia disepak seperti anjing. Tak cukup dengan itu, duit hasil jualan nasi lemak habis dirampas oleh mereka bertiga. Bakul raga teruk dirosakkan oleh Hashim.

Assalamualaikumwarohmatullah

 Dua kali Amin mengulang ayat. Memberikan salam kepada para Malaikat di kiri dan kanan. Sesudah habis bertasbih dan bertahmid. Amin membaca doa. Kemudian dialihkan badannya ke belakang. Menghadap ibu.

Jari jemari ibu ditariknya lembut. Diciumnya perlahan-lahan. Air matanya tumpah satu persatu dan ibu terasa hangatnya air mata Amin Maghrib itu. Ibu mengangkat wajah Amin. Mengelap air mata yang tumpah membasahi pipi Amin.

“Kenapa ni?.” Ibu bertanya. Suara ibu juga sepertinya dipaut hiba. Seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran Amin.

“Amin minta maaf ibu. Duit nasi lemak hilang. Bakul raga ibu pun rosak teruk. Maafkan Amin. Amin menipu tadi. Maafkan Amin….” Air matanya masih lagi meluncur laju. Selama ini dia hanya mendengar bualan. Sebentar tadi, pertama kali dia dicerca secara langsung. Pertama kali ibu dihina di hadapan matanya. Amin gagal menahan sabar.

Ibu hanya diam. Sebentar kemudian ibu bangun menuju ke gerobok kayu berdekatan. Perlahan-lahan ibu mencapai kotak kayu yang berhias cantik.

“Ibu..?” Amin bertanya bila saja ibu menggenggam tangannya. Ibu letakkan sekeping gambar di atas telapak tangan Amin. Potret sekeluarga.

“Ini keluarga ibu sayang…Ini nenek Amin. Ini atuk Amin.” Amin terdiam manakala ibu meneruskan kata-katanya.

“Maafkan ibu sebab tak pernah berterus-terang. Ibu tahu orang kampung banyak bercakap belakang mengenai ibu tapi ibu tak punya daya untuk melawan sebab sedikit sebanyak, apa yang diperkatakan mereka ada benarnya…”

Amin mengangkat wajahnya. Apa yang benar ibu?? Amin ingin tahu!

“Waktu ibu datang ke mari. Ibu baru berusia tujuh belas tahun. Dalam usia semuda itu, apalah yang mampu ibu lakukan. Tanpa suami, perut ibu sudah mula menampakkan isinya. Ibu bawa Amin waktu Amin masih lagi dalam kandungan. Nek Som orang yang mula-mula mengambil berat tentang ibu. Malah menjaga ibu sampailah kamu lahir.”

Tanpa suami??! Maknanya benarlah selama ini Amin anak haram! Ibu, benarkah ibu pelacur??

Amin masih diam. Matanya sudah mula berkaca-kaca. Amin lihat ibu juga sudah mula menangis. Suara ibu sebak.

Segala pertanyaan tadi Amin diamkan. Cuma hatinya yang tak henti-henti bersoal. Selebihnya, Amin tarik tangan ibu. Amin rangkul ibu erat-erat. Lama dia tidak melihat ibu menangis. Ibu hatinya cekal. Jarang dia melihat ibu bersusah hati. Senyuman tak pernah lekang dari bibir ibu yang sentiasa berselawat itu. Menuduh ibu pelacur adalah sesuatu yang mustahil!

Amin menuturkan kata-kata pada cuping telinga ibu dengan perlahan sekali.

“Ibu…Amin dah besar. Amin sedia menerima segalanya kecuali tohmahan liar mengenai ibu. Tolong ceritakan ibu. Amin ingin tahu..”

Ibu menarik nafas panjang. Gambar yang masih lagi dalam genggaman Amin ditunjuknya.

“Ini abah. Ini emak ibu. Ini kakak dan abang ibu. Masing-masing jarak usia agak jauh dari ibu. Abah meninggal waktu Ibu sekolah rendah. Abah tinggalkan ibu dengan emak ibu. Kakak dan abang masing-masing dah berkeluarga ketika itu…”

Amin mengangguk perlahan-lahan. Pertama kali dia menatap wajah kedua orang tua ibunya. Pertama kali dia ketahui yang dia punya pakcik dan makcik. Malah mungkin sepupu-sepupunya sudah bekerja kini.

“Waktu ibu enam belas tahun, emak berkahwin baru. Ibu tak tahu kenapa tapi mungkin kerana sunyi. Selalu ibu tengok emak diam. Kadang-kadang dia rindu pada kakak dan abang tapi mungkin mereka sibuk jadi jarang-jarang mereka pulang.” Ibu kesat air matanya dengan hujung baju kurung. Tangisnya masih lagi tidak reda.

Dalam diam Amin faham, ibu pasti rindu pada nenek. Empat belas tahun terpisah. Mana mungkin tidak ibu merindu. Sedangkan kalau Amin terpisah dengan ibu sebentar pun boleh jadi nanar.

“Satu malam, ayah baru ibu pulang dalam keadaan mabuk. Emak tak ada ketika itu. Emak ke rumah Tok Siah di Kuala Selangor, menjaga anak Tok Siah yang baru berpantang. Malam tu, hujan turut dengan sangat lebat, ibu dah tertidur tapi ibu terkejut bila tiba-tiba dada ibu terasa sesak. Bila ibu buka mata….Syaitan tu dah menindih ibu. Puas ibu melawan. Puas ibu menjerit minta tolong. Tapi tak ada siapa mendengar…tak ada siapa membantu ibu…”

Ibu menangis teresak-esak. Bahunya terhingut-hingut menahan sendu.

“Jadi..Amin anak atuk tiri Amin sendiri?.” Amin bertanya manakala ibu cuma mengangguk perlahan. Ya Allah. Sungguh, lelaki itu adalah manusia bernafsukan binatang! Sanggup dia memperlakukan ibu sedemikian rupa? Ibu yang polos. Ibu yang cuma seorang wanita biasa.

Ibu terus bercerita bagaimana kemudiannya lelaki tua itu terus-terusan cuba mengambil kesempatan bila saja ada peluang. Ibu ceritakan pada nenek tapi ibu dimaki.Ibu diherdik dan dimarahi. Nenek seperti kerasukan syaitan. Kata nenek ibu yang cuba menggoda suaminya!

“Waktu itu, benarlah kata orang. Ada masanya keluarga sendiri menjadi orang asing, dan orang asing menjadi keluarga sendiri..” Ibu menarik nafas. Menyambung ceritanya kembali. “Bila perut ibu makin membesar. Ibu tinggalkan kampung. Ibu tak tahan dicaci dan diherdik emak. Puas disuruhnya ibu gugurkan kandungan ibu. Ya Allah. Amin tak berdosa sayang. Ibu takkan mungkin buat sesuatu seperti itu!.”

Ibu hela nafas berat. Membelai perlahan rambut Amin dan mengucup ubun-ubun anaknya itu perlahan-lahan.

“Ibu tekad larikan diri sampailah ke kampung ini. Alhamdulillah, Allah bersama dengan ibu sayang. Allah berikan ibu Nek Som. Nek Som lah orangnya yang banyak berjasa dan sama-sama membesarkan Amin dengan ibu.” Amin menangis. Dengan erat dirangkulnya ibu. Ibu tak salah! Ibu bukan pelacur seperti yang diperkatakan mereka. Bila ibu sejujurnya bercerita. Rasa hormat atas ketabahan ibu bertambah-tambah di dalam hatinya.

“Ibu tak kisah apa yang orang nak kata pasal ibu. Yang penting, Allah berikan ibu rezeki. Allah berikan ibu Amin. Anak yang cukup baik buat ibu. Anak yang tak pernah sekalipun mengatakan ‘ah’. Ibu sayang Amin..” Ibu hentikan kata-katanya sampai di situ. Kemudian ibu bangkit dari duduk dan menyimpan gambar itu kembali.

“Ibu?.” Amin memanggil ibunya perlahan. “Ye Amin?.” Cepat-cepat dia bersujud. Kaki ibu dipegangnya kemas.

“Ya Allah Amin! Kenapa ni?.” Ibu menarik Amin untuk kembali berdiri.

“Maafkan Amin ibu sebab tak percayakan ibu. Selama hari ini banyak sangat curiga Amin pada ibu. Ampunkan Amin ibu. Ampunkan Amin…” Amin menangis lagi.

Ibu cuma tersenyum. Tak sedikit pun ibu marah.

“Amin tak salah. Ibu yang salah sebab tak pernah berterus terang. Anak ibu dah cukup besar untuk memahami erti dunia. Sebab itu baru sekarang ibu berani bercakap...” Ibu mula melipat telekung dan sejadah. Amin senyum kembali. Turut membantu.

Kini rasa kagum atas kecekalan ibu bertambah-tambah lagi. Tak sedikit pun ibu mengeluh atas ujian dariNya.

Tok! Tok! Tok!

Amin dan ibu saling berpandangan bila mana kedengaran suara memberikan salam. Ibu mencapai tudung di kepala katil manakala Amin sudah mula bangun dan menghampiri pintu kayu rumah mereka. Perlahan-lahan jarinya menjatuhkan kunci di bahagian atas dan bawah.

Sebaik sahaja pintu terbuka, tersembul wajah seorang lelaki tua berkopiah putih. Uban putih memenuhi seluruh kepalanya seiring dengan wajahnya yang dimamah usia. Sehelai serban hijau corak kotak-kotak melitupi bahunya. Lelaki itu tersenyum ke arah Amin. Amin terpinga-pinga.

Ibu yang sudah siap dengan tudung menghampiri Amin. Wajahnya benar-benar terkejut.

“Subhanallah!. Ayah???!.”


Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) nak bagi 4, rasa rendah
    nak bagi 5, rasa .. sket lagi nak capai tapi belum capai.

    takpe. kasi 5 dulu.
    kapasitor v5 nanti ada 4.5. so saya akan bagi 4.5 lain kali. haha!

    satu isu berat yg syud kupas.
    saya teruja nak tahu bagaimana endingnya masa baca tadi.
    impotenkah? dramatikkah?
    rupanya syud mengambil pendekatan tergantung. masih satu penamat yang menarik. syabas!

    setakat amin kena belasah dituduh anak haram. itu biasa.
    tapi amin tanya mak, dan mak cerita dia memang anak haram. itu kool.

    susah juga nak buat plot tu.

    tahniah syud. saya kira material karya bulanan ni
  • 2) bercerita semasa sedang solat seolah2 menampakkan yg solat mereka tak kusyuk. ke mmg sengaja buat begitu?

  • (Penulis)
    3) haha. thanks caha. tadi ingat nak cakap 'eh takpa.takyahlah rate. tinggalkan dalam kotak komen 4.5'

    pendekatan tergantung dirasakan bersesuaian dengan keadaan cerita ini. tak perlu komplikated. mesejnya jelas. Allah menguji hambaNya.

    saya cuma rindu menulis.err.sebenarnya internet asyik gila. so semalam habiskan satu malam menaip. GAHAHAHA
  • 4) tulisan semalaman pun terus begini
    menyampah dengan yew!

    i kalau tulis begini akan ambil masa 3 bulan.
    itu pun kalau tulis.
    masalahnya i cuba pun tak. ha ha!

  • (Penulis)
    5) jo: yang bercerita itu narrator. seiring dengan latar waktu cerita terjadi. sambil itu flash-back. sengaja dibuat begitu. bukan diorang tak khusyuk. err..ke bila tulis jadi macam tak khusyuk?

  • (Penulis)
    6) caha: takyahlah menyampah dengan ai. ai bukan perfect pon. tulisan sekadar biasa-biasa saja. tak dapat lagi mengatasi sifu-sifu hebat macam yew,jo,kak myelina, abg sf, zinggof, valium dan sbg.
  • 7) ai sifu? phuleez.. last tulis pon 3 tahun lepas, skang tulis coding je. nak tulis pasal isu anak haram? ai doa qunut pon tak betul tajwid lagi taw~

  • (Penulis)
    8) jo: ahahaa. macamlah ai dah lepas tajwid qunut

    jarang menulis, tapi sekali tulis. pergh. terus rasa nak nyanyi 'Tunjuk Ajarku Sifu!'
  • 9) entah. last i tulis pun 2007. tu pun bukan mencapai piawaian arus perdana.

    lepas tu i tulis buletin aje dan komen-komen sosial terhadap karya org
  • 10) Hebat! Berani. Cuma gaya melankoli -sudah jatuh ditimpa tangga- ini agak keterlaluan menimpa masyarakat kita. Hmmmm........
  • 11) best2.. drama tv. hehe

    teknik flashback tu bagus utk membuatkan pembaca baca sampai habis. even jalan crita biasa. nice syud,,! hoho
  • 12) nice syud!! mmg ada ramai org xbernasib baik diluar sana tu..

  • 13) kemas susunan ayat

    ajar sikit mcm mana nak tulis cerpen pjg berjela mcm ni?

  • (Penulis)
    14) caha: yang ini mencapai arus perdana ke? err.saya sekadar menulis. bersosial dan menulis bulletin dah berada di luar bidang kuasa

    kurus: anda pasti? kalau saya katakan ini kisah benar bagaimana?

    rizzy: thanks! harap-harap TV3 sudi terbitkan buat cerekarama. eh tetiba.

    pinkyunki: imtihan setiap manusia itu berbeza. macam di bumi Palestin, mereka terima bedilan demi bedilan. :'(

    kamalia: terima kasih. cuba sedaya upaya menulis secara kemas. aaaa. tulis berjela ni mengarut je. haha. main tulis je.
  • 15) cerita syuhada ada nilai moral yang bagus dan kredit untuk kamu kerana rajin.

    cuma, dari apa yang aku perhatikan cerita kamu ini ada kecelaruan sudut pandang, aku tidak berapa jelas samada ianya dari sudut pandang narrator atau watak (amin dan ibu), kalau ada masa mungkin boleh di susun semula. kalau rajinlah.

    masih aku puji kerana nilai moralnya
  • 16) best2. suka membaca karya2 syud dari dulu lagi.
  • 17) nice... syud
    tema yang agak berat tapi nada emosi begitu baik dilaksanakan
    gimik ending pun bagus..

    karya syud nampak serius... congrat
  • 18) sebab itu saya bilang "..menimpa masyarakat kita.." . Mengapa?
  • 19) Saya kira kecelaruan POV adalah kerana teknik plot yang digunakan. Imbas kembali, kemudian imbas muka tetapi jalan ceritanya masih boleh difahami dan mesejnya jelas dan sampai.

    Syud berani kupas isu yang berat ini dan ternyata, ia sebuah karya yang baik.

  • (Penulis)
    20) ben: masih lagi bermain dengan sudut siapa. er. sebenarnya kalau nak betulkan pon tak tahu sebab memang celaru! hi hi. kalau kamu baca Ellyana lagi celaru kot.

    lya: thanks alya!

    adreena: sedang cuba bertatih menjadi dewasa. cubaan untuk membawa tema berat. alhamdulillah. thanks! *happy*

    kurusawa: kalau ikut statistik, kebanyakkan kes rogol berlaku dari kalangan orang yang dikenali. sebab itu pepatah ada je mengatakan 'haruan makan anak'. 'harapkan pagar, pagar makan padi'

    ridh: itulah. saya masih lemah di bahagian itu. haihhh
  • 21) yayang i suka!
  • 22) wow!

Cerpen-cerpen lain nukilan syud

Read all stories by syud