Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

1000 Dinar

 


Jam 2.00 petang

Matahari semakin meninggi ke barat. Memancarkan panas terik. Yang cukup terik. Peluh mula mengalir di pipinya. Bermula dari tepi telinga, meleleh turun ke pipi. Bersempadan dengan hidungnya. Namun, dia tetap berdiri di situ. Di atas jalan berturap tar di hadapan sebuah perhentian bas.

Perhentian bas merupakan nadi untuk pengangkutan awam di pecan kecil itu. Di situ penduduk di daerah itu menaiki bas untuk ke bandar Temerloh, yang terletak tujuh kilometer dari pekan kecil  itu. Warga tua, pekerja awam, pelajar sekolah dan sesiapa sahaja yang menghuni pekan itu setia menggunakan perkhidmatan bas tambang di situ. Tiada tren laju, tiada komuter dan tiada LRT.

Susuk tubuh memenuhi segenap ruang di bawah bumbung perhentian bas. Mereka sebolehnya tidak mahu berpanasan di luar. Cuaca panas boleh buat mereka sakit. Mungkin demam. Mungkin pening-pening. Dia tidak kisah semua itu. Biar panas. Biar sejuk. Dia perlu lakukan juga. Dan, dia tersenyum apabila terpandang sebilangan manusia yang berteduh di bawah bumbung perhentian bas itu. Ada, yang mengipas-mengipas dengan surat khabar. Ada yang menghentak kaki geram kerana bas belum lagi tiba. Ada yang berbual-bual hal persekolahan. Ada juga yang sedang membelek-belek surat khabar.

Dia bergerak ke perhentian bas itu. Dengan tercapik-capik. Bukan, dia bukan tempang. Dia tidak cacat. Dia sempurna. Tapi, selipar sebelah kirinya terputus. Dan hanya diikat dengan getah secara tidak kemas. Dia masih lagi mampu berjalan dengan sedikit capik. Tangan kanannya menyeluk beg usang kecil yang dibawanya. Sebotol air minuman dan beberapa keping kad tersusun di dalam beg usang itu. Setebal sebuah novel kad-kad itu disusun.

Kad-kad itu ialah ayat seribu dinar yang bersaiz poket. Digenggamnya ayat seribu dinar bersaiz poket itu dan menuju ke arah seorang wanita separuh usia. Dihulurnya sekeping kad itu dengan tangan kanannya. Seumpama mengerti, wanita itu menyeluk beg tangannya dan mengeluarkan sekeping not berwarna biru laut. Wanita itu mengambil kepingan ayat seribu dinar dan tersenyum. Dia mengangguk tanda terima kasih dan beredar menuju ke arah seorang remaja gempal di kerusi sebelah. Mengulangi perkara yang sama seperti yang dilakukannya terhadap wanita tadi. Namun, kali ini tindak balas remaja gempal itu tidak seperti wanita tadi. Remaja gempal itu menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu.

Ya, itulah pekerjaannya. Menjual ayat seribu dinar. Menjual kepingan yang mengandungi tulisan dari kitab Allah. Mengandungi ayat yang membawa pelbagai faedah. Ayat dari surah At-Talaq ini jika diamalkan ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut. Namun, sesetengah masyarakat memandang enteng terhadap apa yang dilakukannya, memanggil dia budak pengemis.

Di satu sudut, kelihatan seorang lelaki. Berdandan kemas, berkemeja dan agak tampan. Lelaki itu sedang membelek surat khabar. Tekun. Di tangannya ada sebatang pen dan kadang-kadang terlihat seperti sedang mencatat sesuatu di halaman akhbar tersebut. Rupanya, lelaki kacak itu sedang mencari kerja. Seorang penganggur.

Sejak beberapa hari lepas lagi Fairus mencari kerja. Namun, hampa. Fairus cukup berharap rezeki datang bergolek kepadanya hari ini. Tetapi, permulaan hari ini semacam bakal mengheret tiupan angin malang buatnya. Sepatutnya dia ke bandar dengan motor kapcainya. Nasib badan, enjin motornya tiba berhenti dari berfungsi sewaktu perjalanan ke bandar. Terpaksalah Fairus berjalan kaki ke perhentian bas.

Dia seumpama mengerti dengan situasi yang dihadapi Fairus. Seperti ada yang menarik kakinya, dia berjalan terus ke Fairus. Tidak mengendahkan kelibat manusia lain di sekeliling. Walhal, susuk-susuk tubuh yang sedang menanti bas di perhentian bas itu mungkin adalah sumber rezekinya. Namun, dia tetap mahu menghulurkan ayat Al-Quran yang dijualnya itu kepada Fairus. Seumpama Fairus punyai satu kuasa yang menariknya. Tatkala dirinya tiba hampir dengan Fairus, dia memerhati lagak Fairus. Dia menghulur kad ayat seribu dinar itu kepada Fairus.

Fairus masih kusyuk memerhatikan iklan kerja kosong di ruang akhbar. Matanya ditarik ke satu iklan yang buat hatinya berbunga. Mungkin itu rezekinya. Namun, ada sesuatu yang seumpama menganggu keceriaan hati kecilnya. Ah, budak mengemis, getus Fairus. Budak perempuan pengemis itu menarik-narik baju Fairus. Meminta simpati.

“Ah, jijik. Berambus kau dari sini,”

Fairus menyentap kasar tangan budak perempuan yang menarik-narik bajunya tadi. Budak itu masih setia menunggu dan berharap agar Fairus menyua sedikit wang. Fairus kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya. Model lama. Skrin tidak berwarna dan agak uzur sekali keadaan telefon bimbitnya. Dibaluti dengan pita selofan. Semua itu tidak kisah buat Fairus. Yang penting, dia dapat membuat panggilan telefon yang mungkin membawa tuah kepadanya. Yang mungkin memberi ruang pekerjaan buat dia yang menganggur itu. Fairus kemudian mendail nombor yang dipaparkan di ruang iklan itu. Budak pengemis tadi masih lagi setia menunggu belas dari Fairus. Diharapnya Fairus membeli ayat seribu dinar itu. Agar Fairus dikurniakan rezeki dari Yang Maha.

Fairus gagal membuat panggilan keluar kerana telefon bimbitnya kekurangan kredit. Aduh, keluh Fairus. Dia terpandang sebuah pondok telefon awam yang berada beberapa meter dari tempatnya menuggu bas. Fairus bangun dan dengan kasar menolak budak perempuan yang menjual ayat seribu dinar. Dengan tergesa-gesa, Fairus menuju ke arah pondok telefon.

 Mujur dia tidak jatuh bila ditolak Fairus tadi. Dia tidak mahu mengalah. Dia membontoti Fairus ke pondok telefon. Fairus tergesa-gesa untuk membuat panggilan. Ketika Fairus cuba keluarkan syiling dari sakunya, kunci motor Fairus terkeluar dan terjatuh ke dalam longkang berhampiran pondok telefon itu. Fairus tersentak. Dia pun tersentak. Fairus menghempas ganggang telefon dengan kuat.

“Aduh, Kunci aku jatuh pula! Ini semua kau punya fasal.”

 

Fairus dengan kasar menolak dia ke tanah. Dia jatuh tersungkur. Beg lusuhnya yang menyimpan lebihan kad seribu dinar tadi juga terjatuh. Bertaburan kad-kad yang tercatat ayat Al-quran itu. Botol air minumannya juga jatuh ke tanah dan tidak semena-mena botolnya terbuka. Air dari mula menitik ke tanah. Setitis demi setitis.

Jam 1.45 petang

Lorong di belakang deretan kedai berhampiran perhentian bas itu kelihatan kotor dan jijik. Penuh sampah sarap yang dibuang. Kedengaran bunyi titisan air menitik dari pili yang bocor. Setitis demi setitis. Kedengaran juga kicauan burung. Tapi, kicauan burung itu datang dari speaker radio. Kicauan burung yang dirakam untuk menarik perhatian burung walit membuat sarang. Nanti akan dikutip sarang-sarang itu untuk jualan. Dari jauh, kelihatan Ika berjalan terseret-seret. Tercapik-capik. Selipar kiri Ika telah terputus.

Ika berasa cukup dahaga sekali. Dia tahu ada pili air yang bocor di lorong itu. Lorong itu menjadi jalan pintasnya untuk ke perhentian bas untuk mengemis. Tidak, Ika bukan mengemis. Ika hendak jual ayat Al-Quran. Kata ayah, ayat Al-Quran itu kalau diamalkan membawa keberkatan dan dimurahkan rezeki. Sebab itu Ika nak jual ayat itu. Agar orang lain pun dimurahkan rezeki.

Sampai saja di pili air bocor itu, Ika menahan botolnya. Selepas agak penuh. Dia meneguk dengan laju. Cuaca panas buat dia rasa cukup dahaga sekali. Selepas tengkaknya berasa selesa, Ika memandang seliparnya yang putus. Ika sayang akan selipar itu. Selipar itu ayah yang belikan. Ika membelek-belek di tanah. Dia terpandang satu gumpalan kecil berwarna jingga. Ika tersenyum. Dia mengutip getah di tanah itu dan mengikat seliparnya yang putus itu. Ya, kini seliparnya sudah tidak putus.

Jam 1.15 petang

Ayah masih lagi mencangkul di belakang rumah. Ayah perlu menjaga kebun nanas milik Pak Din Badek, sebagai syarat sewa pondok kecil milik Pak Din Badek di kebun itu. Ayah dan Ika tinggal di pondok kayu kecil di tengah-tengah kebun nanas itu. Dengan upah itulah Ayah beli beras, garam, gula dan kopi. Tapi, dengan upah kecil itu, Ayah tidak mampu membayar yuran sekolah Ika.

Ayah batuk-batuk dan peluh yang merembes mula membasahi baju lusuhnya. Berasa lelah sekali dan Ayah memberhentikan kerja-kerjanya. Dia berjalan masuk ke pondok. Setelah masuk, Ayah menuju ke para di sudut dapur. Terdapat radio model lama dan pita kaset. Perlahan-lahan, Ayah mengangkat potret Ibu, yang meninggal setahun lalu. Ayah memandang potret ibu dan taufan rindu terus melanda dan bergelombang di hati Ayah.

Ayah kemudiannya memasang kaset kumpulan Revolvers dan corong radio bernyanyi lagu Perpisahan, lagu kegemaran ayah. Di dalam bilik, Ika sedang menulis sesuatu. Sayup-sayup kedengaran melodi lagu yang dipasang Ayah.

“S,E,K,O,L,A,H”, perlahan-lahan Ika mengeja dan menulis perkataan sekolah atas sebuah kertas kotor. Perkataan ‘sekolah’ yang ditulisnya itu betul, tetapi huruf ‘e’ yang ditulisnya terbalik. Ika hanya sempat merasai alam persekolah selama semusim. Kemudian, Ibu meninggal. Ayah yang dulu bekerja di kilang sarung tangan diberhentikan kerja kerana syarikat tersebut ingin mengurangkan jumlah kakitangan dek kegawatan ekonomi. Wang pampasan yang diterima berjumlah kecil dan tidak mampu menampung perbelanjaan harian mereka. Mujurlah Pak Din Badek baik hati sewakan pondok kecil di kebun nanasnya.

Sambil mendengar muzik yang dipasangnya tadi, Ayah menyediakan makan tengah hari untuk Ika. Ika mencapai tudung dan menutup kepalanya. Wang hasil jualan kad-kad ayat seribu dinar semalam masih lagi belum disimpannya. Ika masukkan wang itu ke dalam sebuah tin aluminium yang sedikit berkarat. Dicapainya kad-kad yang akan dijualnya hari ini yang tersusun kemas di atas para yang separa roboh di dalam biliknya. Ika memasukan kad-kad itu ke dalam sebuah beg usang yang sudah sedia kala terisi dengan sebuah botol air.

Kedengaran batuk kuat dari dapur. Sejak Ibu meninggal, rokok daun menjadi teman setia Ayah. Ika tak suka Ayah merokok. Ika tak mahu Ayah pergi tinggalkan dia keseorangan. Tetapi, Ika tak terdaya untuk menasihati Ayah.

“Ika, turun makan nak,” Ayah dengan nada penuh kasih sayang.

Ika perlahan-lahan ke dapur. Dibuka tudung saji. Ika memandang sajian yang terhidang. Nasi kosong, sebotol kicap dan ikan bilis goreng. Lama Ika tenung dan dia mengeluh.

“Lauk ni lagi. Hari-hari makan..”

Belum sempat Ika menghabiskan ayat itu dia terkejut dengan ketukan kuat oleh Ayah. Ayah dengan marahnya telah mengetuk meja dan pinggan berisi nasi yang dipegang ikan terjatuh.

“Tak bersyukur! Makan saja apa yang ada. Makan pun nak memilih!”, tengking Ayah.

Ika tersentap dengan tengkingan Ayah, mencapai beg yang berisi kad-kad doa suci serta botol dan terus berlari keluar. Ayah pula, berasa kesal kerana meninggikan suaranya pada Ika. Sejak Ika menyusur keluar dari dinding rahim Ibu, sehingga minit-minit tadi, itulah pertama kali Ayah meninggikan suara kepada Ika.

Ika terus berlari menentang arus angin dan sungai air mata mengalir deras ke lembah pipinya. Ika terkejut. Ika tersentak. Ayah tidak pernah marah Ika. Ayah tidak pernah tengking Ika. Ayah sudah tidak sayang akan Ika. Teresak-esak Ika berlari dan tiba-tiba kakinya tersadung sesuatu.

Ika jatuh tertiarap. Beg yang berisi kad-kad ayat dan doa suci tercampak dari genggaman. Selipar yang dipakainya juga terlucut dari kepilan kaki. Ika dengan sedu sedan mengutip barangnya yang tercicir. Dipandangnya selipar kesayangan yang dibeli oleh Ayah. Selipar kiri telah terputus talinya. Di tetap memakai selipar yang putus itu dan berjalan terhincut-hincut.

Jam 2.16 petang

Hari ini membawa angin malang buat Fairus. Masih belum memperoleh kerja, motorsikalnya rosak, telefon bimbit kehabisan kredit, kini kunci motornya pula jatuh ke dalam longkang yang busuk baunya. Ini semua salah budak pengemis. Bentak hati Fairus. Budak pengemis yang asyik menganggunya dari tadi. Fairus mencangkung di hadapan longkang dan menggaru-garukan kepalanya yang terasa sedikit gatal mungkin akibat kelemumur.

Dia yang ditolak Fairus tadi perlahan-lahan bangun. Mencangkung di sebelah Fairus. Dia mencelupkan tangannya ke dalam longkang yang busuk itu dan mencari-cari kunci motor Fairuz. Dijumpainya dan dicucinya dengan baki air di dalam botol yang tertumpah tadi. Setelah hilang kotoran, dia menyerahkan kunci itu kembali kepada Fairus.

Fairus dengan tersipu-sipu mengambil kunci motorsikalnya kembali. Rona merah mula mewarnai pipinya. Fairus berasa malu sekali. Cukup malu.

Jam 7.45 petang

Ayah sedang solat Maghrib. Selepas memberikan salam kedua, Ayah berdoa agar mereka dicucuri rahmat dan Allah limpahkan rezeki kepada mereka anak-beranak. Ayah mahukan Ika mendapat pelajaran dan pendidikan.

Ika sebenarnya sudah melangkah masuk ke pondok kecil mereka. Dia terdengar doa Ayah. Selepas Ayah mengaminkan doa, Ika terus memeluk Ayah.

“Ayah, Ika minta maaf.”

“Nak, Ayah pun.”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) syabas... susunan cerita tersusun. peranan ayat seribu dinar memang ada dalam cerita ni, tapi ko tak tekankan lebih mendalam pada subject ko tu..??
  • 2) aku ingatkan pasal duit tadi, hujung bulan ni aku cuma nampak duit 'ja, hahaha... nice story jazli

  • (Penulis)
    3) status,
    terima kasih. sebenarnya, ini adaptasi short movie aku, yg tajuknya namunku punya hati. Draft awal skrip memang 1000 Dinar, tapi dapat komen macm tu juga dari team production aku. jadi, ditukar tajuk. terima kasih atas teguran!

    rebel,
    cerita ni datang masa tak ada duit, datang orang minta sedekah pula. ha ha
  • 4) sesuatu yang unik pada cerpen ini adalah teknik imbas kembali yang digunakan. namun, bagi sebuah cerpen, cerita ini agak 'tergantung'. apakah pengakhiran hidup mereka?

    percubaan yang baik...
  • 5) menyokong kata-kata saudara ridh. cukup terkesan tapi belum cukup sampai.

    apapun, syabas!

Cerpen-cerpen lain nukilan jazli_ali

Read all stories by jazli_ali