Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kepada Michelle: Jika Aku Berpindah Saat Kau Kembali, Pohon Mangga Itu Telah Ku Lantik Sebagai Ganti Hatiku (Bah. 1)

 

   Kalau hadapan rumah lecak sebab jalan asyik rosak memang perkara biasa. Kalau longkang besar depan rumah selalu tersumbat bila hujan lebat setiap malam Sabtu, itu pun memang selalu berlaku. Apatah lagi kalau bumbung terbang bila ribut atau bunyi caci maki jiran belakang rumah setiap awal pagi. Kedua-dua belah mata aku ini memang selalu menjadi saksi jiran-jiran datang dan pergi. Maklumlah golongan seperti kami ini bukan semuanya mampu bayar sewa rumah.

 

Semuanya adalah satu kebiasaan bila tinggal di kawasan perumahan teres kos rendah. Lebih-lebih lagi di kawasan perumahan tempat aku tinggal ini.

 

Tapi, yang tidak biasanya ialah bila muncul jiran baru yang bukan selalu kita lihat. ‘Kita’ di sini bukan merujuk kalian, tetapi merujuk kami yang tinggal di kawasan perumahan teres kos rendah ini. Gaya dan lagak jiran baru ini seperti orang-orang atasan. Senang cerita, orang kayalah!

 

Pada mulanya memang aku tidak percaya ada orang kaya yang datang pindah ke kawasan perumahan kami ini. Lebih-lebih lagi cerita itu dibawa oleh Anjelika sendiri. Anjelika merupakan gadis yang berusia sembilan belas tahun yang bekerja sebagai pembancuh kopi di kedai kopi Puan Biyanka yang putih melepak itu. Anjelika adalah seorang gadis yang  tidak gemar membaca novel Suzzane’s Diary for Nicholas karya James Patterson sambil menghirup secawan teh bunga. Dia juga tidak suka membancuh kopi pekat untuk Encik Lalo di waktu petang.

 

Tetapi, Anjelika sangat gemar mengemop lantai kedai Puan Biyanka pada setiap pagi. Dia juga suka bercerita tentang segala hal yang berlaku di kawasan perumahan kami ini sambil memintal-mintal rambut kerintingnya.

 

Dan itulah yang dilakukan oleh Anjelika pada petang Isnin kelmarin. Pada mulanya aku tidak percaya langsung dengan ceritanya memandangkan Anjelika juga gemar menokok tambah ceritanya. Tetapi, bila aku mula melihat dia berhenti memintal-mintal rambut kerintingnya dan dahinya berpeluh-peluh sambil bercerita kepadaku, aku merasakan yang dia serius!

 

Puan Biyanka yang sedang menghidangkan sepiring kuih karipap berperisa kacang tanah kepada Alfonso si tukang gunting itu juga tercengang-cengang mendengar cerita Anjelika. Apatah lagi dengan Encik Lalo. Mulutnya ternganga luas, matanya sengaja dibuka besar-besar dan beliau tidak sudah-sudah menggeleng-geleng mendengar cerita Anjelika. Usaha Encik Lalo untuk mengambil hati Anjelika dengan berpura-pura terpegun mendengar cerita gadis itu ibarat meragakan pakaian cantik kepada si buta kerana Anjelika tidak memandangnya walau dengan sebelah mata sekalipun.

 

Sahlah Encik Lalo seperti buntat hendak jadi gemala!


Pulangnya aku dari kedai kopi Puan Biyanka, aku tertanya-tanya tentang orang kaya yang berpindah ke sini. Siapa namanya? Bagaimana rupanya? Dan yang paling memeningkan, apa alasan yang membawanya berpindah ke kawasan perumahan teres kos rendah ini.

 

Setibanya aku di hadapan rumah, aku lihat rumah kosong berbumbung biru yang betul-betul lima puluh lima langkah setentang dengan rumahku itu sudah terang benderang.  Seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an tiba-tiba muncul dari dalam rumah itu. Hatiku rasanya sudah hampir ke saat koma pada saat  sepasang bebola mataku yang baru berusia tiga puluh tujuh tahun  ini tertancap ke arah wanita itu.

 

Dia keluar sambil berjalan-jalan mengambil angin di sekitar halaman rumahnya. Sesiapa sahaja yang melihat rumah itu tentu sekali dapat memberitahu bahawa apalah sangat halaman yang ada pada sebuah rumah teres kos rendah. Hanya ada tiga buah pasu bunga usang berisi bunga-bunga kertas ungu, putih dan jingga di  sebelah kiri pagar rumah itu. Tidak lupa juga sebatang pohon mangga yang tidak pernah berbuah lagi semenjak rumah itu kosong di hadapan rumah itu.

 

Dan, itu adalah pohon mangga tunggal yang pernah wujud di kawasan perumahan kami. Tidak ada yang lain. Tidak ada…

 

Wanita tua itu berjalan beberapa langkah ke arah pohon mangga itu. Membelek-belek daun-daun mangga. Sekadar perasaan atau sememangnya benar-benar berlaku, aku terdengar pohon itu seolah-olah membisikkan sesuatu kepada wanita itu.

 

“Kau dan aku. Kita sama-sama semakin menginjak ke arah kematian”

 

Masakan aku mampu mendengar bisikan tersebut. Lebih-lebih lagi daripada sebatang pohon mangga pula. Aku tersenyum lalu menggeleng-geleng akan kebodohan sendiri. Dasar kaki berangan!

 

Aku terus memerhatikan gelagat wanita itu dari halaman rumahku yang juga sekangkang kera ini. Berpakaian blaus merah gelap sepadan dengan seluarnya, dia mula menyedari kehadiran aku. Lalu, tanpa disuruh dia tersenyum nipis. Mungkin sebagai tanda salam perkenalan. Aku membalas dengan teragak-agak kerana tercalit perasaan malu yang menebal apabila wanita tua itu rupa-rupanya menyedari kehadiran aku. Segera aku menuju masuk ke dalam rumah. Gemuruh rasanya dada ini!

 

 Percayalah tidak pernah berlaku sebelum ini dengan mana-mana wanita. Tolonglah, aku memang lelaki naïf!

 

Di sebalik tingkap rumahku yang berdebu itu, aku masih lagi cuba-cuba untuk mengintai kelibat wanita itu. Sah, dia adalah orang yang dikhabarkan oleh Anjelika tadi berdasarkan cara pakaian dan gayanya. Orang-orang atasan! Bukannya sukar untuk mengenal orang-orang dari golongan begini.


Bak kata Anjelika, kebelakangan ini hanya golongan mereka yang memenuhi dada-dada akhbar dan kaca televisyen sebagai golongan yang sering disanjung.

 

Tiba-tiba aku melihat wanita itu seolah-olah dipanggil atau terpanggil oleh seseorang (mungkin sesuatu) dari dalam rumahnya. Segera dia meninggalkan pohon mangga yang tadi sempat ‘berbisik’ kepadanya dan masuk ke dalam rumah.  

 ***

Entah apa yang merasuk aku pada malam itu. Aku kembali menyelak langsir lusuh  dan melilau-lilau di sebalik tingkap rumahku yang berdebu itu. Sekali-sekala aku terbersin akibat debu-debu yang terus-menerus bermain dengan lubang hidungku. Dari jauh aku lihat rumah wanita itu masih disinari dengan cahaya mentol. Cahaya mentol hijau!

 

Sekilas aku lihat jam dinding kayu pemberian ayahku sudah menginjak ke pukul 11.38 malam. Tanpa aku pedulikan waktu itu, aku menyusun semula pandanngan ke arah rumah wanita tersebut. Sesusuk tubuh yang pasti milik wanita itu berdiri di sebalik samar-samar cahaya mentol hijau tadi. Wanita itu berdiri di tengah-tengah ruang tamu dan seolah-olah berbicara dengan seseorang. Tanpa aku duga dia menarik tangan seorang lelaki yang aku tidak jelas wajahnya.

 

Dan, kejadian selepas itu semacam meninggalkan satu kesan kurang enak di hatiku. Rasanya mahu sahaja air mataku ini mengalir. Tetapi apa alasan yang aku perlu beri kepada kedua-dua belah mataku untuk membenarkan air mata ini mengalir? Hanya kerana aku melihat wanita itu menari dengan seorang lelaki? Siapa wanita itu, aku sendiri pun tidak terjawab.

 

Sejujurnya, aku ingin memberitahu kalian aku kurang gembira apabila melihat mereka berdua menari di sebalik simbahan cahaya hijau itu tetapi mataku ini gagal berpaling daripada terus melihat mereka. Pada saat aku berkonfrontasi dengan akalku agar lekas-lekas sahaja ke kamar tidur, tiba-tiba radio yang aku buka sejak dari pukul 10.03 malam tadi memutarkan sebuah lagu

 

You'll never know how much I really love you
You'll never know how much I really care

Listen
Do you want to know a secret
Do you promise not to tell, whoa oh, oh

Closer
Let me whisper in your ear
Say the words you long to hear
I'm in love with you… *

 

Ah, celaka sungguh Lennon dan rakan-rakannya! Benar-benar memahami aku pada saat ini. Selain mereka juga telah berjaya menghamburkan air mata yang aku tahan sejak lima belas minit tadi dengan sepenuh hati.

 

Lalu, aku terus sahaja mengaku kalah dengan akalku dan kakiku mengiyakan kekalahan itu untuk terus sahaja masuk ke kamar dan tidur. Lelaplah mata…

 

Jika diizinkan Tuhan, percayalah esok hari aku mahu dadaku gemuruh lagi...

Bersambung...


Nota

Ibarat meragakan pakaian cantik kepada si buta – kerja sia-sia

Buntat hendak jadi gemala – tidak sedar diri

* Sebahagian lirik yang terdapat dalam cerpen di atas adalah daripada salah sebuah lagu The Beatles yang masyhur – “Do You Want To Know A Secret”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) hahaha tengok tajuk dah rasa nak baca. tapi kejap! saya nak ke loyat dulu. mlm kang saya baca
  • 2) Kamalia memang tak pernah mengecewakan aku...
  • 3) stuju! kamalia sllu bawak citer yg len dr yg len.
    gaya penceritaan yg bgus! tahniah kama! ;p
  • 4) dia jatuh cinta pandang pertama kah?
  • 5) ahh ..... best!
    penceritaan kamalia adalah seperti kamalia

    hehe. melankolik juga. hihi
    ok sambungan pliss!
  • 6) ini bahagian 1 kan? the best part dalam cerpen kau ini adalah rinci'an dia dan homework kau.. hampir teliti. A. Samad Said adalah penulis yang punya rinci yang sangat teliti. Lagi pula beberapa perenggan awal dalam cerpen ini mengingatkan aku pada cerpen 'Longkang' karangan dia.

    sungguh, kau bagus kamalia!

  • (Penulis)
    7) kurusawa & robot: terima kasih
    syud: itu kena tunggu bahagian akan datang. tapi rasa2nya lepas baca bahagian ni semua pun tahu apa yg lelaki tu rasa kat perempuan tu

    caha: melankolik itu adalah kamalia haha!. terima kasih
    ben: yup! aku baca2 balik, bahagian ni agak klise jgk, tapi sebab perincian yg aku sengaja buat tu, nmpak lain skit terima kasih
  • 8) hah terpaut ke dia di situ?
    cerita-cerita kamalia mmg tidak pernah mengecewakan
  • 9) klu kamalia mengecewakan kurusawa aku akan turut kecewa..
  • 10) Baru hendak membaca kerana menunggu sambungan sehingga tamat. Baru enak menghadamnya.

    Saya setuju dengan ben. Mungkin kerana inilah keistimewaan POV pertama, dan anda aplikasikan dengan baik sekali.

  • (Penulis)
    11) paktam: aku pn turut kecewa kalau kurusawa kecewa...

    ridh: sebenarnya saya pndai guna POV pertama je. POV lain tak pnah try lagi
  • 12) super!

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia