Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Siti Nursoleha binti Hamid (reposted)

 

Siti Nursoleha binti Hamid anak kepada Makcik Loyah dan Pakcik Hamid Nyior Muda amat santek orangnya. Siti Nursoleha binti Hamid pandai bergaya dan bermekap. Maklumlah dia lepasan Bukit Timah Finishing School. Setiap kali ada keraian pasti Siti Nursoleha binti Hamid jadi juara Ratu Kebaya, Ratu But dan Ratu Karoke. Miss World juga tidak seperti Siti Nursoleha binti Hamid. Miss World hanya tahu bercakap merapu dan menggoda pelobi pertandingan. Siti Nursoleha binti Hamid tidak.

Disamping santek, Siti Nursoleha binti Hamid juga pandai dan bijak bestari. Senang saja Siti Nursoleha binti Hamid menyelesaikan masalah statistik dua data dengan bilangan populasi sama atau lebih daripada tiga puluh sewaktu menuntut di Tingkatan Tiga Damai. Lalu Siti Nursoleha binti Hamid pun mendapatlah tawaran dari Univerditas Ageng Tirtayasa fakultas Ekonomi. Namun setelah berjumpa dengan sahabat karibnya petang tadi, Siti Nursoleha binti Hamid terus menelefon ke universiti tersebut.

Lalu Siti Nursoleha binti Hamid pun dengan suara lunak yang makin delenggokkan, dan bahasa sopan yang makin diindahkan, terhambur segala air mata Situ Nursoleha binti Hamid menolak tawaran dengan cara baik. Maka penerima panggilan disana pun setujulah.

Ini semua kerana berita Mami Moonah sedang mencari jodoh untuk anak menakannya tersebar luas. Dengar khabar anak menakan Mami Moonah itu segak. Hidung mancung pipi merah tak tersorong-sorong. Kulit putih melepak. Kerjanya pun bagus. Doktor tapi kini bermastautin di Jordan. Bila dunia memerlukan, dia seperti super hero mencelah-celah peluru menyelamatkan orang. Ya. Dia menyertai Medicin Sans Frontier atau orang kampung Siti Nursoleha binti Hamid panggil Doctors Without Borders. Pernah ketika dalam hujan peluru di Timor Leste dia tertembak di punggung sewaktu sedang melarikan seorang anak kecil ke tempat selamat. Namun kecekalan hatinya menidakkan segala sakit. Peluru besi itu dirasakan seperti ubat suppositori sahaja. Begitulah mulianya anak menakan Mami Moonah itu.

Diberitakan juga bahawa Mami Moonah akan membuat satu odisen ala Akademia Fantasia di rumah banglo tepi bendang yang dia sudah hidup disitu lebih tigapuluh tahun bersama Mamu Maidin. Poster-poster dan surat pekeliling sudah diedarkan. Namun kerana rumah Siti Nursoleha binti Hamid berada di hujung kampung, cuma berita bawaan mulut teman baik sahaja yang jadi sumber informasi.

Lalu Siti Nursoleha binti Hamid pun menyusun strategi. Kerana Siti Nursoleha binti Hamid tahu, Makcik Loyah dan Pakcik Hamid Nyior Muda pasti membantah kepergian Siti Nursoleha binti Hamid ke odisen itu nanti kerana mereka berdua masih menganggap Siti Nursoleha binti Hamid belum pun bersedia menikah. Strategi memujuk Makcik Loyah dan Pakcik Hamid Nyior Muda adalah mudah saja. Siti Nursoleha binti Hamid hanya perlu mengikut sahaja arahan mereka dan berbuat baik selama seminggu menjelang odisien itu. Lalu strategi itu dijalankanlah. Terkejut kedua-dua ibubapa Siti Nursoleha binti Hamid atas perubahan anak mereka. Adik beradik lelaki Siti Nursoleha binti Hamid juga begitu sehinggakan mereka berpakat selepas tujuh hari akan mereka berkumpul bacakan Yaasiin kepada Siti Nursoleha binti Hamid kerana bimbang satu-satunya saudara perempuan mereka itu buang tabiat nak mampus.

Cukup seminggu, malam sebelum odisen. Sewaktu Makcik Loyah dan Pakcik Hamid Nyior Muda sedang duduk-duduk minum kopi sambil bergelak tawa menonton Spontan. Sewaktu adik-beradik lelaki Siti Nursoleha sedang bergilir-gilir ambil wudhu untuk membaca Yaasiin, tiba-tiba Siti Nursoleha binti Hamid pun memeluklah Makcik Loyah. Siti Nursoleha binti Hamid pun berkata:

“Wahai ibu, Siti Nursoleha binti Hamid ingin meminta ampun sekiranya kata-kata Siti Nursoleha binti Hamid ini nanti membuat ibu marah.”

“Wahai anakku intan payung bantal busyuk, apakah gerangannya hal sehingga ibu terasa begitu?”

Adik-beradik lelaki Siti Nursoleha binti Hamid curi dengar dari dapur. Mungkinkah Siti Nursoleha binti Hamid akan berkata benda-benda pelik? Semakin yakinlah mereka bahawa Siti Nursoleha binti Hamid itu hayatnya tiada panjang lagi. Mereka terus pasang telinga, kecuali adik bongsu mereka yang memasang fon telinga untuk mendengar lagu.

“Ibu, ayah. sebenarnya Siti Nursoleha binti Hamid sudah bersedia menikah. Er..”

“Apa? Betulkah? Sudah ada calon-calonnya? Katakan saja, perlukah ayah dan ibu membuat undian sistem pesanan ringkas atau pakai juri saja?” soal Pakcik Hamid Nyior Muda.

Siti Nursoleha binti Hamid geleng. “Bukan. Siti Nursoleha binti Hamidlah yang akan menjadi calonnya.”

Mendengar perbualan itu adik beradik lelaki Siti Nursoleha binti Hamid pun legalah, kerana mereka tidaklah akan kehilangan satu-satunya saudara yang boleh disuruh memasak itu ini. Mereka pun bersurailah. Muhammad Nur Adnan bin Hamid pula melepaskan angin yang ditahan-tahan sejak tadi. Muhammad Nur Hisham bin Hamid pula ke dapur menggoreng telur. Muhammad Nur Ikhwan bin Hamid pula keluar senyap-senyap ikut pintu belakang untuk pergi latihan gamelan.

“Apakah maksud Siti Nursoleha binti Hamid?” tanya Makcik Loyah pula.

“Ibu, ayah, tiada dengarkah khabar dari Mami Moonah? Dia kan mahu mencari jodoh untuk anak menakannya di Jordan itu? Katanya anak menakan itu segak, bekerja bagus dan berhati mulia? Bukankah itu ciri-ciri calon menantu lelaki tunggal ibu dan ayah?”

Mendengar kata itu, Makcik Loyah meraung kuat tiba-tiba. Naik sheikh dia. Cawan Vantage corak Pink Roses dibaling ke dinding. Habis berkecai cawan yang dibeli bayar ansur melalui skim kutu sama Mak Usu Leha dan Kawan-kawan. Sehingga Pakcik Hamid Nyior Muda terpaksa memujuk isterinya itu untuk masuk ke bilik.

“Ayah, apakah silap kata Siti Nursoleha binti Hamid? Adakah ibu berbalah sama Mami Moonah sehingga ibu begitu? Katakan, ayah! Katakan!”

“Bukanlah begitu halnya anakku. Tapi..ah! Ayah Tiada tahu mahu memberitakan bagaimana.”

“Katakan saja ayah!”

Pak Hamid Nyior Muda mengeluh. Dia keluarkan sehelai kertas dari poket seluarnya yang tersidai di atas sofa. Diberinya kertas itu kepada Siti Nursoleha binti Hamid. Lalu Siti Nursoleha binti Hamid pun bacalah.

MAMU MOONAH MENCARI-CARI!!!

Haluu oghang kampung! Mami Moonah dok caghi calon jodoh untuk anak menakan mami. Anak menakan mami tu kan uuuuuuuuuui (dua ibu jari naik) baguih! Segak! Kulit putih, hidung mancung, kening tebai. Hati mulia! Tuuu dia! Dok di Jordan… bulan depan balik sini. Toksah dok ghisau aih!Line clear!

“Lalu apa halnya ayah?”

“Bacalah sehingga habis, Siti Nursoleha binti Hamid.”

Nama dia Saripah Salimah Sayed Abu Bakar Al-Habshee.

Lain semua Siti Nursoleha tiada ingat. Cuma sayup kedengaran suara Muhammad Adnan bin Hamid menyebut semua nama adik-adiknya dan menyuruh mereka mengambil wudhu lagi.

 

 

 

 

as posted also in http://penulisan2u.my using my literary double of Khal Hijazy. first posted in kapasitor.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Jenaka

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) uuuuuuuuuuuuuui (3 ibu jari naik, campur ibu jari kaki satu)

    lain kali check dulu siti nursoleha binti hamid
  • 2) ok...tapi jgn guna nama saripah salimah sayed abu bakarAl-Habshee...salah tu jika keturunan ahlul baits pasti sya @ sha @ tiada apa depan dia cuma ada Al-habsee saja....saripah ni mgkn jawa tapi ada al-habsee bkn al-habsyee@al-habsyi (keturunan Rasulullah)...wallahua'lam sekadar perkongsian

  • (Penulis)
    3) kelambit: ini fiksyen. otherwise aku panggil dia National Geographic.

    mosh: hahaha! aku nak imajin kau buat camtu. ahahaha
  • 4)

    sangat menghiburkan. olahannya tidak mendatar...

Cerpen-cerpen lain nukilan MissClarks

Read all stories by MissClarks