Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Sepupu Muda Tuah

Cerpen sebelumnya:
Gerimis Salju The Cerpen(.ost Jawapan Cinta)
Cerpen selanjutnya:
Infiniti diri (3) :Kekal dalam gelap

                Sudah lebih seratus tahun sejak baginda sultan pertama, Sultan Iskandar Shah mencemar duli baginda di tanah ini. Dan lebih seratus tahun juga Melaka itu teguh sebagai kerajaan berdaulat. Namun Cuma hamba panjatkan doa dan harapan supaya kekal duduknya Melaka begitu buat kedua ratus tahunnya.

                Hamba, lahir ketika zaman emas Melaka, tika semuanya hebat belaka. Waktu itu negeri amat makmur. Mengemis simpati jalanan sirna daripada bumi Melaka. Rakyat Melaka dinaungi kesaksamaan dan kerana keadilan itu rakyat menyumbang tenaga tak henti-henti untuk bersama-sama membina negeri. Semuanya sudah tahu kata asal yang mendasari Melaka. Rakyat umpama akar dan raja itu pohonnya.

                Maka terlalu malulah bagi sesiapa yang bermalas-malasan dan bersedap-sedap tanpa membuat jasa satu pun. Apatah pula ingin berlaku derhaka terhadap Sultan atau melanggar batas-batas kanun kerana golongan yang seperti itu tiada tempat di Melaka.

                Hamba, lahir dalam zaman emeas Melaka lahir sebagai lelaki Melaka. Hamba lelaki Melaka, tidak boleh senantiasa berduka. Duka hamba suatu luka dalam, berdarah hingga ke dalam-dalamnya lagi. Hamba sendiri melihat, menjadi saksi bibit-biti retaknya dalaman Melaka, merebak ke tiang-tiangnya sehingga runtuhnya Melaka dilanggar Feringgi, sampai negeri itu tidak berbaki melainkan tinggal arang, bara dan debu yang bersisa.

                Segala Khabar dalam istana hamba ikuti daripada tukang bawa mulut, kisah pembesar bertelingkah berebutkan pangkat. Pentadbiran banyak didasari pilih kasih sehingga hasad menjalar di setiap lubuk hati. Akhirnya Baginda Sultan Mahmud yang gemar sahaja berhibur itu menghukum bunuh tanpa sebarang usul dan periksa. Tercalar busuk daulat Tuanku. Apapun itu semuanya perkara-perkara yang berlalu.

                Sesudah, segalanya berlaku terlampau pantas. Feringgi dating ke Melaka belayar membawa angkuh dan tipu helah. Ada aturan mereka rancang. Ada hasrat lebih besar daripada datang berdagang. Hasrat untuk menundukkan Melaka di bawah telapak kaki baginda Putera Henry mereka, suatu impian orang-orang gasar seperti mereka yang tak mengerti apakah ertinya daulat dan maruah.

                Dan perang pun pecah dan Melaka pun tumpas.

                Terhenti sebentar takat itu. Pena pelepah yang dipegangnya terkatung di udara menitikkan sedikit dakwat hitam. Kemudian beberapa titik air mata pula jatuh menimpa warkah yang kekuning-kuningan itu. Tampang wajah kuning langsat itu pula mula memerah nyata. Bibirnya kemek mengetap, menahan sebak yang mengembang dalam dada. Kelihatan amat perit.

                Mata yang memerah air mata dibuka. Dia tersedar warkah tadi sudah mula mengembang kerana air matanya. Gesit diambilnya sehelai kain putih dan ditekap pada tompok-tompo basah. Air mata diseka dengan lengan baju. Sebak tinggal berbaki sedu-sedan. Dadanya turun naik laju kemudian terhenti. Pena pelepah dicapai semula.

                Seperti hamba katakan tadi, semuanya sudah berlalu. Semua sudah menjadi sejarah. Dan manusia tak pernah mempunyai kudrat atas masa lampau. Apa yang mendatang dihadap seadanya, berusaha untuk mencapai masa depan yang dihajati. Kemudian bertawakal kepada-Nya. Itulah pegangan hamba.

                Sekarang hamba cuba untuk menghilangkan duka ini tetapi tidak termampu. Duka hamba terlalu mendalam. Hamba masih mencuba untuk tidak menangis bila terkenangkan tanah kelahiran hamba. Hamba tahu air mata hamba tidak sakti. Oleh itu ditabahkannya hati ini dan dikejapkan tempat letaknya agar tidak tergetar oleh sedih. Selalu sahajalah diingatkan diri ini agar bersabar sentiasa kerana ganjaran percuma diberikan tuhan kepada orang-orang yang bersabar.

                Namun walau dalam duka, hati hamba ini masih menyimpan bara dendam. Hamba berseteru dengan Feringgi. Tapi hamba tak punya rentaka mahupun sebuah istinggar. Sebab itu, hamba hanya kerjakan ini sahaja, Hamba berdagang barangan. Hamba kutip dan kumpulkan segala kekayaan dalam pelayaran Taming Sari ini.

                Niat hamba moga-moga dapat dicurahkan kekayaan ini di tanah Jauhar agar dibantu orang-orang sana. Atau hamba tidak pulang belayar di Selat Melaka tetapi disumbangkan saja harta ke tangan orang-orang muslim di sini. Kerana hamba takutkan hamba akan kembali gila tangis seperti dahulu bila di Selat Melaka kerana diri inilah yang melihatkan kampong halamannya dimusnahkan.

                Abdul Qawi nama hamba. Dipanggil Qawi sahaja oleh orang lain. Tetapi hamba sangsi masakan hamba hamba bersifat seperti nama hamba untuk pulang ke Nusantara. Segala ingatan zaman anak-anak dan zaman muda telah hamba tolak ke tepi sudut fikiran. Bukan untuk dilupakan tetapi sebagai kenang-kenangan sahaja, bahawasanya hamba pernah jadi rakya Sultan dan dahulunya hamba orang Melaka. Tidak akan hamba lupakan.

                Walaupun begitu, Feringgi yang hasad itu pernah mencuba melesapkan nama Melaka daripada lipatan sejarah. Daripada yang hamba dengar, kota Melaka langsung bertukar rupa kepada kota batu. Malahan kitab Sejarah Melayu dirampasnya sebelum Tun Sri Lanang datang menyelamatkannya semula. Mungkin Feringgi tidak pernah mendengar kata sepupu tua hamba bahawa kami ini takkan hilang di dunia.

                Berhenti sebentar. Dia merenung ke warkah. Ruang untuk lebih banyak nukilan sampai ke hadnya. Dia berfikir panjang sebelum menyambung.

                Hamba pasti suatu hari nanti, entah bilanya waris-waris anak Melaka akan bangkit. Mereka akan bangkit dan mereka akan khususkan satu hari bagi mengingat kembali bahawa mereka pernah jatuh hina, jatuh menjadi pelarian di bumi sendiri. Namun tak banyak yang tahu bahawa jatuh itu bukan untuk terus terduduk. Jatuh itu untuk berdiri semula.

                Usai mencatat. Tangannya terketar-ketar menahan sedih sambil menggulung warkah itu. Matanya masih merah berair. Perlukan udara luar yang segar untuk menenangkan diri. Dalam biliknya udara pengap amat, bercampur masam asin air laut.

                Dia keluar dengan lutut yang longlai tetapi digagahi juga. Melihatkan langit dia terimbau kembali Melaka. Walau di sini langitnya biru juga, tapi langit ini kontang tak disemaki awan gemawan gemuk-gemuk, putih dan gebu. Malah terasa biru Selat Melaka lebih biru daripada laut di sini walaupun birunya sama sahaja.

 

                “Melaka sekerat tanah,

                  bukan sekangkang kera,

                  bumiku dan punah,

                  tinggal sebatang kara.”

 

                Dia berpantun sendirian.

                Terkenangkan waktu bermain bersama anak-anak saudagar. Kini semua itu, semuanya sudah tiada. Tinggal Taming Sari sahaja yang dekat dengannya untuk menemaninya. Taming Sari kapal dari dermaga Melaka. Taming sari mempunyai roh membelai jiwanya yang kesunyian. Dia jarang-jarang sekali meninggalkan Taming Sari.

                              

                “Aku si anak dagang,

                  ini Taming Sariku sayang,

                  bawa barang dan dagang,

                  jadi abu pun aku sayang.”

 

                Lantas dia melalukan jemarinya pada jalur-jalur urat kapal itu. Taming Sari sudah ikut menua sepertinya. Dia berjalan-jalan santai di atas kapalnya. Terjumpa pula sebiji batu putih.

                Batu itu dia ambil. Kemudian genggamannya dikepal-kepalkan. Bentuk batu itu yang sedikit bujur mengingatkannya pula sepupu tuanya. Dia teringatkan Tuah. Lalu batu itu dilemparkan ke laut. Mula-mulanya tenggelam ditelan biru laut, akan jatuh terus ke dasar sehingga tak lagi dijumpai. Ia dilupakan.

                Tetapi tidak begitu. Batu itu kembali timbul ke permukaan. Rupanya lebih cantik sebelum jatuh dicampak ke laut. Kelihatan bersinar-sinar seperti mutiara berapungan di permukaan. Dia tersentak. Kuat.

                “Ahmad, mari ke sini!!”

                “Ya Tuan Qawi.”

                “Katakan kepada semua anak kapal, kita akan berlayar semula dalam masa seminggu.”

                Ahmad melongo. “Tuan, ini bukan musimnya berlayar ke barat.”

                “Kita ke timur.”

                “Tapi…”

                “Hantarkan saja utusan berkuda ke saudara kita di sana. Khabarkan bahawa aku punya urusan lain yang lebih utama.”

                Ahmad mencengang. Rona mukanya tampak tanda persoalan.

                “Ahmad, kita akan ke Bentan.”
 
 

Cerpen sebelumnya:
Gerimis Salju The Cerpen(.ost Jawapan Cinta)
Cerpen selanjutnya:
Infiniti diri (3) :Kekal dalam gelap

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.7
3 Penilai

Info penulis

kepalakotak

Suka menulis. Masih belajar nak gunakan kapasitor ni.
kpalakotak | Jadikan kpalakotak rakan anda | Hantar Mesej kepada kpalakotak

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kpalakotak
Saya Sibuk | 1673 bacaan
Lasman Singgah ke Kedai di Lorong Yang Tersisih Sedikit Daripada Jalan | 1978 bacaan
Kompatabiliti | 1602 bacaan
Lingkungan | 1670 bacaan
Memburu Ajaib | 641 bacaan
Saya Nak Power!! | 2405 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

1 Komen dalam karya Sepupu Muda Tuah
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor


Kapasitor Bookstore

I Know What You Did Last Summer

It was only an accident -- but it would change their lives forever. Last summer, ...
Price: RM 5.00


Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik