Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Tirai Aidilfitri Semalam...

Cerpen sebelumnya:
Infiniti diri (3) :Kekal dalam gelap
Cerpen selanjutnya:
10 Hari Mencari Cinta

Kau pernah hadir dalam hidupku... kehadiran yang seketika namun buat selamanya. Kehadiranmu amat bererti sehinggakan belum pernah terlintas di hatiku untuk melupakanmu. Sesakit manapun perasaan ini, aku tetap ingin mempertahankan segala kenangan ini.

 Tiada siapa yang memahami. Apalah hak mereka untuk memaksa aku menutup tirai kenangan semalam? Sedangkan sewaktu aku terkapai-kapai mencari haluan, hanya engkau sudi menghulurkan tangan untuk memimpin diri ini merentangi apa sahaja dugaan. Terima kasih kerana membuka pintu persahabatan ini dan membiarkan aku berada di dalamnya buat selama-lamanya. 

 Zul Hanif, kau membuatkan air mataku menitis hingga ke saat ini. Kala terkenangkan mu, aku akan menangis dalam ketawa. Kegembiraan yang kau hadirkan terurai bersama kesedihan yang menjerut hati ini.

 Aku bagaikan seorang insan yang hidup dalam duniaku sendiri. Hanya ingin ditemani olehmu buat selamanya, walau aku tahu impian ini mustahil untuk menjadi nyata.Kau adalah satu-satunya teman terakrab yang aku pernah miliki lewat meniti kehidupan.

 Kalaulah aku tahu, 19 tahun itu telah aku bazirkan dengan mencurah kasih kepada yang terlalu mudah menyingkir kala diri ini dilanda kegetiran. Kau yang baru ku kenali, mampir dan mengukir senyum kemesraan.

Katamu... tiada manusia yang terpelihara daripada melakukan kesilapan. Kita bukan nabi, kita tidak maksum. Jadi, senyuman itu kau ukirkan agar aku sentiasa mengingatinya. Simpan di hati, ingatan dan mataku  jika kau tiada lagi untuk mengharungi kesulitan bersama.

 Program anak angkat menjalinkan silaturahim antara kita. Kau pelajar universiti swasta, manakala aku hanyalah seorang budak hingusan yang penuh dengan naluri ingin memberontak di rumah anak yatim ini. Tetapi kau tidak seperti mereka yang terus mengecam aku kerana kepincangan hidup, kau dekati aku dengan cara berhikmah sekaligus memotivasikan diri ini. Bidang psikologi yang engkau pelajari dimanfaatkan sebaiknya untuk kebaikanku. Saban waktu aku lalui dengan keriangan kerana mengenali mentor sehebatmu.

 Terlalu cepat waktu berlalu. Kau perlu berangkat pulang mengikuti ketetapan pengajianmu. Sekembalinya engkau ke sana, aku sekadar menyepi, terasing. Hanya angin dan laut menjadi teman untukku meluahkan rasa.

 Tetapi tidak ku sangka, kau menyimpan tekad untuk kembali lagi ke destinasi yang mencatatkan epilog kelamku ini.Jadilah kau budak baru kampung kita, dengan imej pemalu dan baik hati. Sebenarnya jika dilihat sekali imbas, kau tidak jauh berbeza daripada pemuda-pemuda yang pernah ada di sekelilingku, namun kau punya sesuatu yang tidak mereka miliki. Ketulusan. Ketulusan yang terpancar dari perbuatanmu,ketulusan yang terzahir dari ucap katamu.

 Kalaulah dari awal aku tahu, betapa aku sangat-sangat memerlukan kehadiran seseorang sepertimu. Aku akan memohon kepada Tuhan agar mempercepatkan pertemuan kita dan melambatkan perpisahan ini. Maka aku tidak akan begitu terasa kehilanganmu...

 Ah! Bodohnya aku bicara begini. Sedangkan segalanya bukan berpaksikan seliaan kita. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

 Petang itu, di pantai kita saling tersenyum dan bertatapan. Meski tanpa suara, aku benar-benar bahagia. Aku mengerti, kau bukanlah manusia yang gemar berbicara sewenang-wenangnya tentang hati dan perasaan. Jadi perlakuanmu itu sudah cukup bererti buatku.

 Keakraban kita menggamit kau untuk berhari raya di sini, tetapi kau katakan mahu menemani atuk dan nenekmu. Alasan lain pula, kau katakan ingin merasai sendiri pengalaman berhari raya di kampung. Tidak pernah sekalipun kau nyatakan, kedatanganmu ke sini hanyalah semata-mata ingin melihat aku di depan matamu. Dan aku, amat senang dengan sikapmu.

 Kau bijak mengasuhku mengenal jati diri. Mengingatkanku betapa pentingnya ilmu agama untuk menegakkan paksi hidup kita. Kerana nasihatmu, aku berubah perlahan-lahan. Al-Quran dan sejadah menjadi teman setia. 

Di bulan Ramadan yang mulia, hampir setiap malam kita ke masjid, menunaikan solat Tarawih. Malah, kau juga menghadiahkan aku kain pasang. Katamu, pakailah pada malam raya. Kau ingin sekali melihatku berbaju kurung, tentu ayu.

 Memandangkan permintaanmu itu tidak sesukar mana untuk aku tunaikan, sepasang baju kurung telah aku tempah. Nantikan sahaja malam raya menjelang, balasku setiap kali engkau bertanyakan perihal kain pasang itu.

 Andainya dapat kau lihat, Zul Hanif. Air mataku jatuh lagi. Kali ini lebih deras. Serasa bagai semalam kegirangan ku direnggut dengan tragis. Dan kini, ianya bagai diulang tayang kembali. Bunyi meriam buluh bersahut-sahutan, seolahnya ingin memberitahu bahawa mereka sedang bertanding bedilan siapa yang paling kuat. Aku benci bunyi dentuman itu! Aku benci! Kerana dentuman sebeginilah aku kehilanganmu. Inilah kenyataan pilu yang tidak akan aku lupakan sampai mati.

 Malam itu, kita berjanji untuk bertemu. Saling bermaafan secara rahsia tanpa ada yang mengetahui. Kita sepakat ingin sembunyikan perkara itu kerana engkau menghormatiku. Namun sedikit salah faham yang tercetus, membuatkan aku merajuk hampir sepanjang hari.

 Kau bergurau keterlaluan hingga membuatku terasa hati. Kau ungkit tentang asal usulku yang secara tiba-tiba menjadi jenaka bagimu. Dan aku yang keras hati ini enggan mengalah. Setiap panggilanmu aku biarkan, mesejmu langsung tidak aku baca.

 Tetapi permintaanmu bagai terngiang di telingaku. Perlahan-lahan, ku sarungkan jua baju kurung berwarna putih yang engkau hadiahkan dulu. Aku melangkah ke lokasi pertemuan rahsia kita. Mengharapkan kau telah menanti di situ. Dalam perjalanan, telefon bimbitku berbunyi lagi. Kau yang menelefon! Dengan ceria aku menjawabnya. Kita berbual seketika, namun lafaz maaf masih belum terluah.

 Hanya beberapa tapak yang tinggal sebelum tiba di lokasi itu, ku lihat kau tersenyum lalu mematikan talian. Namun secara tiba-tiba, bunyi dentuman yang terlalu kuat seakan menggegarkan tanah tempat kita berpijak.

 Aku hilang keseimbangan untuk berdiri lalu terdorong ke tepi jalan. Terasa bengang telinga ini, dan seakan pijar seluruh tubuhku akibat menghentam jalan raya. Aku berusaha untuk bangun dan mencarimu, namun kau tidak lagi berdiri di tempat yang sama.

 Dalam keadaan huyung-hayang, aku terpandang sesuatu. Telefon bimbitmu yang telah bersepai di tanah! Aku semakin resah. Meski pun di saat bunyi dentuman ini bergema aku mula merasakan sesuatu yang buruk telah berlaku, aku teruskan pencarian ini. Aku ingin melihat kau di depan mataku! Aku ingin memastikan kau berada dalam keadaan yang sama seperti tadi!

 Tanpa mempedulikan kesakitan, aku terus memanggil-manggil namamu. Seakan terdengar suara menyahut, aku segera berpaling. Dan air mataku tidak tertahan lagi saat melihat jasadmu terkujur beralaskan semak samun.

 Dalam menahan gigilan, aku menghampirimu. Tubuhmu berbau hangit belerang. Wajahmu terluka akibat terkena serpihan buluh. Baju Melayu putihmu pula sudah berubah warna, dan terkoyak hingga menampakkan dada. Kau kelihatan begitu seksa menahan kesakitan.

 Tetapi kau tidak tunjukkan kesakitan itu. Kau tetap tersenyum kepadaku bersama titisan air mata yang mengalir dari tubir matamu. Aku fahami bahawa setiap titisan air mata itu menyampaikan betapa tidak terperinya derita yang sedang kau tanggung. Dan senyumanmu adalah untuk memberitahuku supaya usah risau.

 Aku terdiam di sisimu tanpa sepatah kata. Hanya air mata yang setia mengalir mengiringi tragedi malang yang menimpa kita. Ku lihat kau menggelengkan kepala, sebagai isyarat agarku tidak menangis lagi. Tetapi semakin kuat esakanku di kala itu. Sebelum sepasang matamu tertutup rapat, sempat kau bisikkan satu kalimah ini... maaf. Dan aku sedar, bermula detik itu aku telah kehilanganmu, Zul Hanif.  

 Pada ketika jenazah kau dimasukkan ke dalam liang lahad, takbir suci Aidilfitri bergema melatari keheningan pagi. Aku yang masih larut dalam kesedihan, termangu sendirian memikirkan kelainan sikapmu yang mencetuskan pergaduhan antara kita kelmarin. Inikah maksud sebenar hasratmu? Ingin aku berbaju baru untuk menghantar kau bertemu denganNya buat selama-lamanya? Inikah sebabnya kau ingin melihatku berbaju kurung? Supaya aku dapat mengiringi pemergianmu dalam persalinan yang sopan, hadiah terakhir darimu.

 Zul Hanif, aku datang. Aku ingin menemanimu sehingga takbir berkumandang. Hari ini, genap setahun pemergianmu. Peristiwa itu takkan mampu untuk aku lupakan sehingga ke akhir hayat. Mana mungkin mampu aku singkirkan ingatan terhadap perkara yang telah menyebabkan aku kehilanganmu?

 Biarkan mereka terus berseronok dengan bedilan dan dentuman ciptaan sendiri. Biarkan... kerana mereka tidak pernah faham bagaimana teruknya perasaan kala berdepan suatu kehilangan. Natijahnya perbuatan itu, bukan mereka yang kehilangan nyawa.

 Jika binasa yang menimpa suatu hari nanti, tiada guna untuk menyesal kerana sesalan itu sudah tidak membawa sebarang erti. Dan aku, masih belum bersedia memaafkan manusia-manusia itu kerana sikap mementingkan diri mereka.

 Zul Hanif, aku pulang dulu. Semoga tahun depan, aku masih mampu datang ke sini dan meluangkan masa untukmu sehingga laungan takbir kedengaran lagi.

Cerpen sebelumnya:
Infiniti diri (3) :Kekal dalam gelap
Cerpen selanjutnya:
10 Hari Mencari Cinta

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.7
3 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2473 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6273 bacaan
Berikan Hatimu | 4060 bacaan
Tiada Sesalku | 2937 bacaan
Laksana Bulan | 2960 bacaan
Seribu Impian | 3960 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3390 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3788 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3473 bacaan
Flarus | 2326 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

5 Komen dalam karya Tirai Aidilfitri Semalam...
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik