Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

PCB#1: Bicara Ini Memori Bersama Sang Dewi

Cerpen sebelumnya:
EGOIS CINTA
Cerpen selanjutnya:
Akhirnya sudipku berguna juga!

(I)

PERNAH cahaya membawa aku sampai ke sini.

Pada seorang gadis.

Yang cemong, namun masih dia tercantik.

Gadis ini, bayang-bayangnya Aphrodite. Yang mencetus hasad pada dewi itu tatkala Hyppolytus memutus untuk memuja-mujanya. Yang menyingkir dan menyeret sehingga sang dewi tergamak membasahkan lidahnya dengan pesona.

Persalinannya ringkas. Cuma sutera putih yang memanjang terus ke paras lutut. Terkemas bersama sulaman perak yang meliliti di bahagian leher dan di setiap hujung rekaannya. Sepasang sandal tersarung di kaki dan sebuah busur besar disandang di belakang tubuh bersama seberkas anak-anak panah yang tersimpan rapi di dalam sebuah tarkas.

Yang diikat kemas di pinggang kecilnya.

Dia, tetap anggun walaupun nyata kesemua yang membalut dan melekat di tubuhnya itu benar-benar sudah lusuh.

 

WAKTU ini menjelang pagi. Aku dan si gadis. Di puncak bukit di sebuah wilayah yang dia kenalkan sebagai, “Troas, wilayah buat yang terhebat.”

Berhampiran kami terpasak sebuah kota. Walaupun begitu kami cuma duduk-duduk sahaja menikmati alam. Cuma terkadang perhatian kami teralih pada kota yang dari sini cuma berbalam-balam. Sementelah bulan di langit juga sudah tidak menyuluh terang semenjak gerhananya tamat tempoh beberapa hari yang sudah.

Aku di sini, pada waktu ini. Bukanlah kerana keanggunannya. Bukan kerana kesaktiannya. Bukan juga kerana sebelas lagi Olimpus itu. Malah, bukan langsung kerana Homer.

Terus ini sahaja yang aku selalu soalkan. Pada si gadis.

“Apa sebenarnya yang kamu mahu?”

Benar. Dalam hati ini selalu resah, yang mendesak-desak. Padahal aku cuma mahu pulang. Tidak mahu jadi saksi pada apa-apa. Pertelingkahan. Peperangan. Kematian. Aku tidak mahu.

Tapi dia. Cuma merenung aku, terus-terus merenung tepat ke wajah aku. Sampaikan kulit yang membalut ini terasa hangat. Mempesona sampaikan aku merasa ianya menembus ke dalam bola mata.

“Masa hadapan. Berikan lagi padaku tentang masa hadapan.” rayu si gadis. Dia tidak pernah jemu. Malah masih berdegil untuk terus memujuk aku.

 “Gadis, berkali-kali sudah aku katakan, pergilah tanyakan pada Apollo. Bukankah dia yang lebih tahu? Malah lidahnya, bukankah yang lebih benar dari kalangan kamu?”

Si gadis masih merenung pada aku. Wajah mulusnya terus berharap. Lalu aku tukaskan padanya.

“Mengapa? Apa yang membuatkan kamu teruja benar hendak mengetahui tentang masa hadapan? Bukankah lebih baik jika ianya terus kekal sebagai misteri? Paling teruk, aku sendiri pun tidak pernah mahu tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Entahkan baik, entahkan buruk. Mungkin kamu akan suka dengar jika ianya perkara yang baik, tapi bagaimana jika kamu tahu esok kamu akan mati? Dan waktu ini, apa kamu cuma akan berserah?”

Dia tertawa. Gadis itu dengan tawa kecilnya. “Kamu terlalu banyak bercakap.” balas si gadis.

Aku jadi terpinga sebentar. “Oh, eh?”

Kemudian kami berbalas pandang dan ketawa bersama.

 

HUTAN sudah berhenti bernafas. Mungkin buat sementara. Pagi masih lagi menunggu dijamah cahaya matahari. Bulan yang tipis sudah hilang entah ke mana. Mujur butiran bintang yang masih berminat mahu mendengar terus-terus setia menemani kami. Sedang langit semakin berwarna. Angin subuh pula mengacah-acah menolak dedaun kering sehingga mencipta desiran.

Tubuh aku ini menggigil cuba menahan kesejukan.

Pada si gadis, aku selalu mencuba untuk berkasar supaya dia berkecil hati. Tapi dia bagaikan salji yang selalu dingin, seolah-olah tidak mengapa. Malahan aku pula yang terpaksa bergelut dengan rasa, rasa yang tidak mampu menipu yang semakin hari menjadi semakin ganjil.

Aduhai! Bakal jatuh hati aku kalau dibiar terus-terusan begini.

“Benar, Apollo tidak pernah berbohong. Tapi bukan tentang masa hadapan. Apollo tidak tahu bahkan tidak akan pernah tahu.” jawab si gadis pada rekomendasi aku sebentar tadi. Tutur nadanya belum pernah meninggi.

“Kamu sudah dengar terlalu banyak.” aku pula cuba memberi amaran pada si gadis.

Aku percaya masa hadapan seelok-eloknya biarlah tersimpan. Yang buruk lebih banyak dari yang baik. Lagipun apa salahnya jika nikmati saja hari ini, hari yang sedang kita jalani. Apa salahnya?

“Aku mahukan realiti. Ini bukanlah kehidupan yang aku mahu.” betah si gadis tidak mahu mengalah.

Aku ketawa. Gelihati sangat mendengarnya.

Gadis itu berpaling. Wajahnya terus kelat.

Lalu aku soalkan padanya.

“Bukan kehidupan yang kamu mahu? Apa, pura-pura merendah dirikah? Kamu kan yang dipuja-puja, disembah, dihadiahkan doa setiap masa oleh manusia. Itu bukan kehidupan yang kamu mahu? Alasan apakah?”

Ya, ini provokasi. Aku juga tidak pernah putus asa. Malah diam-diam, aku mahu gadis ini pergi jauh-jauh dengan rasa kecewa. Entah mengapa dalam masa yang sama aku rasakan hati ini akan jadi begitu senang jika dapat menyakiti perasaannya.

“Kamu lebih angkuh daripada para Olimpus.” balas si gadis.

Buat seketika dia bermenung. Sehingga setitis air jernih mengalir membasahkan pipi cembungnya. Aku cuma menonton. Ah, menangislah kamu sepuas hati. Jangan harap aku akan datang menenteramkan.

Kemudian dia menyambung. “Itu semuanya Homer. Bukan aku. Bukan kami.”

“Lelaki buta itu yang terlalu kecewa dengan kehidupannya. Maka dia mula menulis, walaupun begitu dia tidak ada hati untuk menulis yang baik-baik. Maka dengan tulisan, dia rakus mencipta percakaran, peperangan dan kemusnahan. Dengan nafsu, dialah yang mencorakkan tamadun ini.”

 “Dan kamu semua sangat menikmatinya, bukankah?” aku tanyakan semula pada si gadis. Dan aku bakal berikan apa yang dia mahu.

“Kamu benar-benar mahu tahu tentang masa hadapan, bukan? Itulah yang diperkenalkan kepada kami sebagai sistem. Yang mengasingkan. Yang menindas. Yang melarik kehidupan bebas di luar batasan, yang mengangkat nafsu sebagai Tuhan. Itulah masa hadapan.”

Sebentar gadis itu menyeka pipinya yang basah. Lalu dia tersenyum. Pahit.

Entah mengapa jantung aku berdegup kencang.

“Apa lagi yang melesukan hidup selain daripada kehancuran?” soal si gadis.

“Cinta barangkali.” aku cuma berbasa-basi. “Cinta kan memang selalu melesukan pemiliknya.”

(II)

LEWAT subuh, kami dikunjungi oleh sekumpulan 7 orang lelaki yang mendakwa utusan Priam. Sang pemerintah kota yang berbalam-balam itu.

 “Raja benar-benar bermohon pada kalian.” khabar salah seorang daripada mereka sambil sepasang tangannya menyerahkan segulung skrol yang punya mohor pada percantuman gulungannya.

Embun pagi sedang sibuk mengalir ke pucuknya dedaun. Bagaimana menjemukan pun rutin mereka, tetaplah embun memilih untuk mengikut fitrah. Baginya, graviti bukan untuk dicabar.

Aku berkalih pandang pada si gadis. Kaki kiriku sambil menguis ranting-ranting kayu yang tidak sempat habis dimakan api dari unggun yang baru sahaja menyepi.

Dan buat beberapa detik kami semua mendiamkan diri.

“Ianya sudah ditakdirkan. Seperti yang telah disampaikan kepada Priam melalui saudaraku, Apollo. Inilah harga yang Troy perlu membayarnya.” balas si gadis ringkas.

Wajahnya yang tadi sayu tiba-tiba mencerah. Sepasang matanya yang bulat, kembali bersinar. Kudratnya bahkan tidak seperti tadi. Semangatnya paling terbaharu. Serta-merta gadis ini, seolah-olah reinkarnasi.

Ketua kepada para utusan itu termangu-mangu sambil cuba memujuk. “Apa tiada cara lainkah? Bukankah kalian punya kuasa yang cukup untuk melindungi kota kami?”

Kalian? Eh, aku cuma watak picisan di dalam epik ini.

Para utusan di belakangnya mengangguk-angguk tanda setuju. Aku maklum sudah terlalu lama mereka memuja-muja, dari satu generasi jatuh ke generasi yang seterusnya. Keyakinan mereka tidak pernah berubah, mana mungkin bila mana doktrin ini adalah jaminan kepada gaya kebebasan dalam hidup.

Dan sekarang mereka pasti ini adalah masa yang paling sesuai buat yang dipuja untuk membalas semula pemujaan mereka.

Terus ada yang tersenyum. Ada yang memejamkan mata sambil menggenggam jemari sebagai simbolik kepada pengharapan. Tidak kurang juga yang teruja melihat si gadis sampaikan tidak sedar air liurnya merembes ke dagu. Mungkin ini pengalaman pertamanya.

Sedang aku sendiri masih diserang berdebar-debar setiap kali memandangnya.

“Tanyakan pada cinta Paris dan Helen.” kepada mereka si gadis memberi jawapan dan sekaligus sebagai arahan supaya para utusan itu pulang semula ke kota mereka. “Priam sudah tahu tentang ini, maka berhentilah menghantar rayuan. Kami tidak perlukan arahan dari manusia.”

Para utusan tunduk kelesuan. Sebuah lagi perjalanan panjang yang tidak berhasil. Perjalanan yang mewakili seluruh penghuni kota yang kini sedang menyumpah-nyumpah putera bongsu Priam itu. Namun tidaklah ianya dihamburkan secara terang-terangan.

Perbuatan Paris jadi tanggungan kota dan isinya. Apabila perajurit-perajurit Troy sudah terlalu lama bersenang-lenang. Mereka jadi gemuk kerana asyik dengan makan-makanan. Manakala marhaen pula tidak berhenti berkeramaian. Berpesta dan leka dengan kegemilangan.

Anak-anak kecil pula terlalu ramai membanjiri lorong-lorong. Merekalah yang meningkatkan perbelanjaan kota saban tahun.

Pada Priam yang terlalu bermurah hati.

Pada Hector yang terlalu disanjungi.

Sedang Paris tidak suka keadaan begini. Dia jadi benci. Dia jadi hasad. Malangnya Paris terlalu muda untuk lebih pandai berfikir. Helen memang cantik. Mungkinlah tidak secantik gadis ini.

Ah! Angau.

Tapi sebaiknya Paris tidak perlu merosakkan pelan damai yang sudah diusahakan begitu lama. Ini boleh jadi sabotaj terbesar yang pernah dilakukan dalam sejarah.

 

GADIS ini sudah berubah. Personalitinya tidak sama seperti tadi. Waktu kami cuma berdua. Sekarang dia lebih dominan. Perlu. Kerana dia yang menguasai kota dan orang-orangnya. Manusianya kata Homer. Untuk itu dia perlu dilihat tegas dan tepat dan melupakan sebentar tentang mesra, cepat dan betul.

Aku memerhatikan utusan-utusan Priam menuruni bukit dengan langkah yang longlai. Ini entah kumpulan ke berapa yang memanjat bukit ini untuk bertemu secara personal dengan kami semenjak Priam mendapat khabar yang Troy akan dilanggar.

Si gadis berjalan menuju ke cenuram. Membiarkan wajahnya dielus bayu samudera yang bertiup lembut. Di hujung sana warna-warna darah sedang menjalar dan kelihatan berceracak di permukaan bumi. Subuh sudah melepaskan anak pagi yang seterusnya.

“Kita selalu tewas pada cinta. Begitu juga kamu. Satu masa yang pernah kamu buta kerana Orion. Yang sudah punya kekasih yang kamu puja-puja. Sampaikan saudaramu kehabisan akal untuk menyedarkan kamu. Tapi lihat sekarang, pada akhirnya kamu sudah berpijak di dunia yang nyata.”

“Apa yang kamu cuba katakan?” tanya si gadis yang sedikit terpinga.

“Peluang. Mereka layak untuk peluang kedua. Paris mungkin gopoh, bodoh. Proses matang itu bukankah mengambil masa. Maka dia perlukan peluang, begitu juga dengan Helen. Malah Hector, hanya jika kamu tahu Troy akan musnah tanpa Hector.”

Si gadis berkerut. “Troy akan musnah tanpa apa?”

Dari kejauhan terdengar bunyi tetuang sayup-sayup. 10,000 armada dijangka melanggar kota ini. Malah beritanya tambah menggerunkan apabila nama Achilles disebut-sebut sebagai pemimpin armada Yunani. Troy perlukan Hector. Dan Hector bakal pergi. Aku tahu itu. Mungkin dari petikan sejarah. Mungkin juga propaganda dari filemnya.

“Armada Yunani sudah tiba.” aku cuma bersuara perlahan.

Gadis itu mengangguk. Dia memandang ke arah aku dengan wajah ingin tahu. Mungkin mahukan kepastian pada kenyataan aku sebentar tadi. Sebelum tetuang berbunyi.

Aku buat tidak faham. Pengulangan tidak perlu. Malah duduk sahaja di sini sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa. Dari sejarah, aku tidak begitu pasti apakah Homer memang sengaja mencipta mereka, dewa-dewi Yunani ini dengan gambaran pengakhiran yang sebenarnya mereka langsung tidak berguna?

Tetapi gadis ini sepatutnya berbeza, dia bukannya seperti mereka. Kehebatan gadis ini terletak pada prinsipnya. Ketika dewa-dewi yang lain sibuk melobi Zeus untuk sebuah prestij. Dia memilih untuk berkotor di hutan-hutan. Ketika yang lain ketakutan, gadis kecil ini dengan beraninya masuk dan mencari Cyclops untuk meminta mereka binakan sebuah busur beserta panah sebagai senjata saktinya.

Mungkinkah waktu ini aku sebenarnya lebih sangsi tentang rasa. Maka apakah rasa ini? Deru dan kocaknya seperti ombak di sana yang sudah bertempur dahulu sebelum kami. Yang mendorong kapal armada Yunani dan yang menjadi benteng kota lalu menolak semula kapal-kapal itu ke tengah laut.

Jika benar, terus apakah rasa ini cinta?

Mustahil!

Di bibir gadis itu sekali lagi mengukir sebuah senyuman yang menjunamkan jantung aku ke dalam lubang hitam yang paling dalam, buat seketika sebelum dia menarik lengan aku sambil berkata, “Ayuh.”

(III)

DAN kemudian cahaya membawa aku kembali semula. Di sini.

“Jadi, kamu percayalah pada Homer? Pada kehebatan, kemuliaan dan kekuasaan dewa-dewi Yunani?” Persoal seorang sahabat pada suatu hari ketika kami sedang menghadap rezeki di sebuah restoran yang mendakwa mereka mamak. Total.

Dan mamak total sepatutnya muslim.

Aku cuma berdiam. Sebentar ya sahabat. Pengulangan ini membawa kembali aku ke sana. Malah rasa ganjil pada diriku ini tidak pernah menyurut walau gadis itu telah hilang bagai titis-titis hujan pertama yang menyingkirkan kemikal yang melekat pada udara.

Sekelip mata.

Namun hilang bukannya terhapus. Memori si gadis telah tersimpan kemas pada bahagiannya.

Dan sahabat terus memandang aku dengan wajah yang begitu teruk sampaikan dahinya berkerut-kerut.

Aku cuma tergelak kecil. Inilah melayu. Melayu memang begitu. Bukan?

Cepat saja mahu buruk sangka. Kemudian berspekulasi. Kemudian membuat tuduhan melulu di sana-sini. Cintakan pada yang buruk-buruk. Cintakan pada yang hasad dan dengki. Hobinya cuma merangka kehancuran buat bangsanya. Ya, merangka kehancuran buat bangsanya.

Sama saja seperti Homer. Barangkali.

Cerpen sebelumnya:
EGOIS CINTA
Cerpen selanjutnya:
Akhirnya sudipku berguna juga!

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.8
8 Penilai

Info penulis

Ben Nizari

rebelliben | Jadikan rebelliben rakan anda | Hantar Mesej kepada rebelliben

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya rebelliben
BANDAR MATI #1 | 2951 bacaan
Sepetang Bersama Churchill | 2033 bacaan
Misteri Perkuburan Purba | 2105 bacaan
Karma Sebatang Aerial | 2317 bacaan
Naratif Faezul Lurus Bendul | 2734 bacaan
Siri Bercakap Dengan Puntianak (Ep. 1) | 1951 bacaan
Siri Bercakap Dengan Puntianak (Pilot) | 1981 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

15 Komen dalam karya PCB#1: Bicara Ini Memori Bersama Sang Dewi
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik