Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Di Hati

 

Di hati bersama mengembara
Tiba masanya tika saatnya ku terasa
Meredah lautan kasih sinar iman yang subur
Redup menyinar hati sanubariku

Kutabahkan hatiku dibuang berkelana
Gerimis hati terpaku sukma
Semoga hidayahNya kan terus menyinar
Penuhi alam kegelapan


Masa itu datang lagi. Bila saja ia datang, Lokman terasa seperti ingin meninggalkan bumi dia sedang berpijak. Mahu saja dia bawa diri ke tempat yang jauh. Ke tempat yang tiada orang bertegur sapa. Ke dalam gua mungkin. Atau berlari ke langit saja. Tiba-tiba dia terasa tidak sabar pula untuk cepat-cepat menghabiskan pengajiannya. Sedih benar dia.

Sepanjang empat tahun berada di negara orang, sebenarnya masa-masa beginilah yang Lokman tunggu. Kesempatan untuk berkelana ke menjelajah bumi Tuhan. Kesempatan untuk berkenal-kenal meluaskan silaturrahim mengeratkan ukhuwwah dengan sahabat yang punya sama fikir. Dia selalu senyum sendiri bila melihat anak-anak muda bersemangat dan berlumba-lumba mengejar ilmu dan mengejar pengalaman. Sepanjang jalan, ukhuwwah dibina. Tapi nampaknya tahun ini lain sedikit.

Sudah sekian lama dia berusaha mengajak namun tidak ramai yang ingin turut bersama. Disangkanya ramai yang bermasalah kewangan seperti mana dirinya sendiri. Tapi bila masa berbual-bual, dirasanya mungkin dia seorang saja yang sedang dibelenggu masalah itu. Rakan lain dilihat asyik membeli belah dan merancang lawatan ke tempat-tempat yang lebih meriah, lebih tinggi citarasa barangkali. Hatinya dilanda gerimis. Dia tahu dia hanya mampu mengajak. Dia tahu bukan dia yang menentukan segalanya. Cuma dalam hati, dia gusar sebenarnya. Takut-takut usahanya selama ini tidak diterima dan sekadar menambah murka Tuhan padanya.

Berikan kekuatan dalam mencari sinar
Di jalan ini kuhadapi duka dan sedu sepi
Bersama teman-teman harungi perjuangan
Biarpun kekurangannya ada takkan ku gundah


Lokman sayu lagi. Ungkapan 'mencari sinar' dirasakan sangat tinggi baginya. Saban malam dia berdoa kepada Tuhan yang Maha Kuasa moga jalan yang dipilihnya ini menuju kepada sinar yang sebenar - dalam jutaan sinar-sinar yang menjanjikan bahagia walau padahal hanya untuk seketika. Dia takut tersalah pilih. Dia tahu kadang-kadang jalan ini memang ada duka; dia tahu ada kalanya jalan ini jalannya sepi. Tapi dia juga tahu, dalam jalan ini dia masih punya teman dan punya rakan yang boleh ditumpang berpaut kalau-kalau semangatnya luntur suatu masa nanti. "Biarlah kurang sedikit," bisik hati Lokman.

Kita akan bersama menempuh segalanya
Bersatu hati mendamaikan jiwa yang keluh resah
Janji patri bersama ikatan teguh setia
Berjaya menuju gerbang impian kita harapkan


Indahnya ukhuwwah...
Pandangannya dialih kearah pokok-pokok yang kini tidak lagi berdaun.
Bunyi angin bergeseran dengan ranting-ranting terkadang mendamaikan jiwanya.
Biarlah kalau tiada rakan-rakan dekat yang ingin sama bersemangat pun. Dia tidak akan sekali berpatah hati. Akan diteruskan jua perjalanan dalam jalan ini. Tidak juga dia akan berpatah arang dengan sesiapa. Dia ada gerbang impian yang mahu dicapai.

Di hati kita bersama.. 
Di hati kita melangkah..
Jangan dipisahkan kasih bersaudara.. 
Jangan didendamkan ukhuwah yang terbina..


Lokman memandang skrin komputernya kembali. Dalam senarai lagu-lagu itu, dia memilih DeHearty - Di Hati. Tertulis dengan dakwat merah pada skrin, Request Accepted! Nasyid itu berkumandang lagi. Kali ini air mata Lokman berguguran.


Nukilan,
echopena
Dec 12, 2006
Cleveland OH 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) aiseh, kempen cerpen bertema muzikal aku baru nak buat kemudian. kau dah hantar dulu utk nov-dec ni temanya autobiografi. hehe.

    apa yang merunsingkan ni saudara T. perjuangan berkelana membina ukhuwwah kini sudah berdua. lebih lengkap.

    apakah yang request accepted di situ. terlalu samar klunya.

  • (Penulis)
    2) hehe ok2 nanti akan rajinkan diri tulis autobiografi lah kalau begitu
    ini kisah lama lewat tahun 2006
    ditulis bersempena radio Malaysian Islamic Study Group yang baru dilancarkan ketika itu
    boleh request lagu.. dengar sambil study pagi-pagi buta

Cerpen-cerpen lain nukilan echopena

Read all stories by echopena
No stories.