Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

M01S09 - Arukh Safuna (ii) (re-production)

 

Siri 01 - Urusan Seri Paduka Baginda :: jojo

Siri 02 - Menyusuri Sungai Nil :: rea | pc (eme)

Siri 03 - Misteri Surat Kulit Kambing :: zu (_therain_)

Siri 04 - Dua Dunia :: caha

Siri 05 - Tanah Hanyut :: valium

Siri 06 - Tujuh Syarat :: miszmextor

Siri 07 - Sumpah Terlerai Sudah :: Syud

Siri 08 - Kembali ke asalan :: syazmiey

Siri 09 - Arukh Safuna (bahagian satu)

 

Di suatu daerah yang belum diketahui

 

Sawa terdiam. Ceritanya patah dalam beberapa ketika. Jujurnya, ular bercorak batik itu mulai bingung untuk menyambung cerita Si Todak yang seakan-akan telah menamatkan cerita tajaan paduka Apun. Lidahnya yang sedia bercabang entah kenapa tidak pula menjumpai helah atau dongengan sesuai untuk dibicarakan.

Dia menjeling ke arah peha Paduka Apun, tersedia helaian kulit kambing gurun yang kesembilan helainya. Alangkah sedapnya daging kambing itu, diratah mentah-mentah. Namun, selagi tak dihabiskan bicara, selagi itulah harus berkampung di sini.

Wajah Cenderawasih yang mula dihambat kantuk sedikit menambah gusar. Celaka. Jikalau bukan kerana burung gemuk ini yang memulakan dongengan ini dengan leceh, tak mungkin segalanya akan jadi begitu rumit bila tiba gilirannya. Sama keji dengan tuannya, Jauhari Albert, penulis jalanan yang suka menyepak kucing.

Matanya melilau lagi kepada kumpulan haiwan yang lain. Si burung kecil, Murai dan kucing gebu, Parsi, peliharaan adik beradik Fathreas dan Emily, dua tukang roti diRaja. Senang-senang saja, mereka mengangkat tuan mereka sebagai sultan dan putri. Juga sempat pula membunuh Cenderawasih dalam dongengan mereka.

Juga ada Serama, ayam kecil berbulu cerah, belaan Zuraicerdas, pedagang sayur. Ini lagi hebat, idea mana yang dihambat ayam katik ini, sampai bercerita jauh mengemudi zaman. Di sisi serama ada Suci, platipus yang dibela oleh Kahar, malim[1] kapal dan pedagang makanan laut kering. Sebelah-menyebelah dengan kakak tua bernama Garuda, milik Mak Tua Leyla, ahli nujum, ahli falaq dan pakar takwil.

Sudut yang lain, Ara, anak pokok yang terpisah dari kumpulan pepohon yang bergerak ke atas bukit, langsung dibesarkan oleh gerau diRaja, Nek Syuhada. Ada sama, seekor kijang bergelar Emas, jagaan Miss Mextor, tabib negeri yang ternama. Akhir sekali, di sebelah ular batik ini diam ikan bermuncung tajam milik seorang ahli bahasa asing yang ternama Pendita Syaz, Todak yang baru sahaja menamatkan dongengannya.

Mereka inilah sembilan hidupan terpilih untuk membuat dongengan khas untuk ditulis oleh Paduka Apun.

“Setiap satunya diberikan giliran
Setiap ceritanya mesti bertautan
Setiap katanya tiada tiruan
Maka hasilnya khas untuk Sultan.”

Itulah kata Paduka Apun, waktu awal sembilan hidupan ini dipanggil. Inilah Balai Bicara Istana Sulaiman. Dekat dalamnya, semua hidupan mambu berinteraksi antara satu sama lain. Berkat kepakaran Nabi Sulaiman yang dulu mampu bercakap dengan semua jenis makhluk.

Sekarang, waktu ini, setelah berjalan-jalan waktu , selepas beralih-alih lidah, dari pekan ke pedalaman, dari sungai ke lautan, dari pulau ke darat, dari langit ke bumi sudah dipelosori, dari Cenderawasih ke Todak telah disudahi, tibalah gilirannya. Sawa sekejap melingkar sekejap menegak..

Dia bingung, bagaimana mesti cerita ini bergerak lagi? Harusnya dia tidak menerima pelawaan Paduka Apun, harusnya dia duduk saja menjaga bendang, atau mencari tikus, atau apa sahaja. Tapi, Paduka Apun merupakan penjaga diRaja hidupan di atas pulau, memang tidak boleh tidak, wajib menurut segala kata, wajib mengikut segala bicara.

“Apakah harus kita tangguhkan penceritaan ini?” Paduka Apun meletakkan pena bersepuh emas ke tepaknya. Matanya melirik ke pasang mata hidupan yang lain. Ada yang bergeleng-geleng ada yang mengangguk-angguk, ada yang telah tersengguk melayan kantuk.

“Tapi Paduka, molek rasanya kita tamatkan sahaja secepat mungkin.” Suci si platipus menyanggah.

“Betul Paduka, kami ini harus balik ke kawanan, mesti pulang ke sarang, mesti patah ke lubuk, juga duduk semula ke tanah. Sudah lama sungguh kita berkampung menyiapkan dongengan ini.” Todak mengukuhkan kata-kata Suci. Mentang-mentang dia sudah berjaya mengakhiri gilirannya.

“Paduka, yang dijanji harus ditepati, giliran yang ada harus dipatri.” keras kata-kata Cenderawasih. Takut juga kalau-kalau Paduka Apun tersentuh hati. Langsung pupus keturunan kalau lancangnya melebihi batas.

Kawannya Dodo, sekilas sahaja hilang dari muka bumi dek melawan arahan Paduka. Paduka adalah mulut dan telinga istana bagi hidupan selain manusia. Maka hitam kata Paduka, hitamlah dari Istana. Putih kata Paduka, begitulah dari singgahsana.

Dek lancang dan kerasnya suara Cenderawasih, tiadalah yang berani menyambut. Semua hanya menunggu kata putus dari lidah Paduka.

Paduka Apun diam. Kata-kata itu ada benarnya, tapi ilham bukanlah satu paksaan. Maka tidaklah patut untuk memaksa Sawa berdongeng, sedangkan jauh dari mampu. Dia diam dan berfikir.

Maka tiadalah kedengaran apa waktu itu. Melainkan tiba-tiba ada bunyi derapan kaki meratus. Berselang-seli. Pasti lebih dari dua kaki.

Paduka Apun memandang pintu utama Balai Bicara Istana ini. Kebiasaannya kalau ada tetamu yang datang, atau rakyat jelata mahu bertandang, di sinilah tempat awal menyatakan hajat. Inilah bilik khas Paduka Apun. Maka, selian mengawal hidupan selain manusia, Paduka Apunlah juga pintu kepada Sultan.

Bunyi telapak kaki makin dekat. Kesemua sepuluh pasang mata mengadap pintu. Masing-masing berkira-kira.

“Izin masuk Paduka!” Langkahan dari luar terhenti.

“Masuk Morto.” Paduka kenal benar suara kasar itu. Dari hulubalang terbilang Istana. Sempat dijelingnya ke arah kumpulan sembilan hidupan supaya memberi ruang untuk Morto dan kumpulannya.

Pintu Balai Bicara terkuak. Langsung melangkah masuk Morto yang tegap dan sasa. Di belakangnya menurut beberapa pengawal muda dan juga lima orang yang tidak dikenali usul dan asal. Siap berikat di kaki, siap berikat di tangan.

“Apa cerita, apa berita, apa gembira, apa celaka yang kau seret ini Morto?” Paduka melurut-lurut janggutnya.

Morto tersengih. Membetulkan pedang di pinggangnya. “Gerangan bukan sebarangan, gerangan datang bukan utusan. Paduka Apun, khabarkan kepada Yang Gah Mulia Sultan yang dilimpahi kurnia Tuhan, kita ini bawakan lima saudara entah melata di tanah kita.”

Berkerut-kerut dahi Paduka, langsung dia bangun dan mendekati lima gerangan entah siapa.

“Lima bersaudara, lagaknya macam ceritera dongengan yang sedang kita sama fikirkan. Hahaha.” Sawa, yang dari tadi diam, tak semena-mena berbicara.

“Entah-entah, mereka ini Daeng-Daeng yang dikejar Firaun. Hahaha.” Ular itu semacam cuba membuat jenaka.

“Benar, kamilah Daeng berlima. Dikejar Firaun Remeses II. Perjalanan yang bawa kami ke tanah ini.” Gelak keletah Sawa terputus. Gerak kaki Paduka terhenti. Salah seorang dari lima lelaki itu membalas kata-kata ular batik itu. Lagaknya seperti yang paling matang.

“Jenaka rupa apakah yang sedang kamu ucapkan? Alasan bentuk apakah yang kami mahu bicarakan? Kalau ya mahu melepaskan diri, jangankan sebarangan bicara diberi.” Keras sedikit suara Paduka Apun. Terasa bodoh benar lelaki di hadapannya jika mahu menggunakan dongengan yang terpacul dari mulut Sawa sebagai alasan.

“Benar, kamilah Daeng berlima. Dari mana tuan hamba semua tahu tentang kami?” lelaki yang lain pula menyambut.

“Nama hamba Daeng Fauzol, yang tadi itu kekanda hamba, Daeng Fathul”

“Hamba Daeng Khairol.” Lelaki yang ditengah-tengah bersuara.

“Hamba Daeng Sentol.”

“Hamba pula...”

“Daeng Mentol? Yang gemuk dan suka kentut?” Celah Paduka Apun.

“Ya, betul! Hambalah yang... tidak gemuk sangatpun.” Ujar lelaki yang memang berisi dan bulat.

“Tapi, mana pula tuan hamba mengenali hamba? Ah, ini mungkin sebab gosip liar yang melanda mesir. Mesti Firaun dah keluarkan surat pekeliling, dah tampal nama hamba di serata dinding dan papan kenyataan. Matilah kita kekanda, matilah. Tak guna kita melepaskan diri dari Mido si celaka tu. Memang tak ada hasil.”

Hidupan yang ada di situ saling berpandang-pandang. Daeng berlima yang berlutut saling menjeling-jeling. Paduka Apun dan Morto juga semacam bertaut mata.

“Morto, leraikan ikatan mereka. Hamba mahu mengadap Sultan. Penting.” kaki paduka segera meninggalkan Balai Bicara, menuju ke Balai Penghadapan, dicapainya helaian kulit kambing yang tadi disimpan. Hatinya sibuk menyusun ayat. Dia harus mengadap Yang Gah Mulia Sultan Pulau Bahtera, Sultan Arukh Safuna. Ya, mengadap.

[1] Penunjuk jalan/jurumudi

*** *** ***

Istana Sulaiman

Suasana dalam Balai Penghadapan tepu. Sultan Arukh Safuna diam atas peterana mendengar penjelasan Paduka Apun, sambil membelek-belek helaian kulit kambing, antaranya masih tintanya belum lagi kering. Sembilan hidupan masih rasa bermimpi-mimpi. Ceritera mereka rupanya kenyataan yang sedang berlaku. Morto dan pengawal bawahannya, juga lima Daeng terus terpinga-pinga.

Beberapa waktu, Paduka Apun beralih ke tempat duduknya di bahagian kanan peterana. Dia mengambil helaian baru dan bersedia dengan tinta basah. Inilah sambungan penceritaan ini. Harus tidak satu bahagianpun dia cicirkan.

“Tiada satu makhlukpun yang datang tanpa tujuan
Tiada satu hudhud yang datang sini tanpa khabaran
Tiada satu angin singgah di sini tanpa bauan
Tiada satu bunyi datang tanpa alasan.”

Sultan Arukh Safuna memulakan bicara.

“Maka ceritakan sebab kamu berlima tersadai di Pulau Bahtera ini?”

Berpandang-pandang lima Daeng sesama sendiri. Melihatkan begitu maka bersuaralah Daeng Fauzol.

“Dari Mesir diamnya kita
Hidup di hulu sungai perkasa
Mencari rezki aman sentosa
Sampai dihambat raja celaka

Disuruh pergi tanpa periksa
Kitapun lari takut disula
Membunuh utusan Otaku Durjana
Membuat Firaun bertambah murka

Di padang pasir terjumpa perawan
Datangnya turun dari gemawan
Entah dijogan Mido si suruhan
Putera raja datang melawan

Ke tanah hanyut dibawa pergi
Tanah sumpahan penuh misteri
Tujuh syarat dibuat ganti
Maka terlerai sial negeri

Menyambut syukur dibuat kenduri
Tapi untung tidak sekali
Mido datang melanggar negeri
Kita dijual sebagai ganti

Negeri Mesir tujunya tempat
Dalam kici[1] disuruh berangkat
Memikir bala demikian kuat
Layar dikalih seberapa cepat

Tengah segara[2] barang[3] berhari
Sampai berlabuh kita di sini
Tiada mahu merosak negeri
Kadar menumpang selamat diri.”

Didengarilah Sultan Arukh Safuna akan cerita dari Daeng Fauzol. Benarlah dia bijak berlaku, terpilih benar bicaranya. Bermacam-macam ranjau dan liku, onak dan duri telah menjadi pengalaman mereka. Tidaklah satupun berlainan dengan cerita yang tertulis dari kulit kambing Paduka Apun. Didengarilah Sultan sampai habis dan sampai tertangkapnya mereka di tepi pantai oleh Morto.

Sembilan hidupan masih terkagum-kagum. Benar dan ajaib.

“Tahukah kamu, semua yang kamu bicarakan telah tertulis di sini sebelum kamu semua menjejakkan kaki di sini?” Paduka menyerahkan kulit kambing kepada lima Daeng.

Maka dicapailah lima Daeng kulit kambing tersebut. Setiap ayat dibaca dengan teliti. Merasa takjub dan hairanlah mereka akan kesahihan cerita yang tertulis. Langsung tiada yang bercanggah. Perihal Mentol kentut yang menjadi rahsiapun jelas tertulis rapi. Morto yang dari buntu, turut sibuk sama membaca kulit kambing dan merasa kagum.

“Yang Gah Mulia Sultan! Yang Gah Mulia! Ada warita penting!” sekonyong-konyong[4] suara kecil dari luar memecah sunyi di Balai Penghadapan. Pintu gerbang utama terbuka.

“Wah, ramainya berkumpul! Morto, Paduka Apun dan rakan-rakan, juga er... siapa ini?”

“Masuk tak beralas salam, biadap sungguh kamu hudhud.” Sultan Arukh Safuna sedikit murka.

“Maafkan hamba Yang Gah Mulia Sultan. Hamba datang membawa berita sensasi.” Burung kecil yang sekian lama menjadi tulang belakang bahagian risik Istana itu terhongoh-hongoh [5]menghampiri Sultan.

“Hamba terima gosip dari rakan-rakan burung, mereka sibuk re-tweet yang Firaun Remeses II sangat murka sekarang ini.”

“Jadi apa kaitan dengan kita? Cis, tak mendatangkan hasil betul kamu ni!”

“Dengar dulu Yang Gah Mulia Sultan. Dia dikatakan akan menggunakan senjata khas Tujuh Pembawa Maut, dan juga sesuatu yang kita paling geruni, Sphinx gergasi. Sebab Firaun mahu memburu...”

“Lima orang lelaki dari Mesir?” Sultan mencelah.

“Ya, Yang Gah Mulia Sultan memang pandai bijak dan kacak. Esok boleh naikkan haji hamba.”

“Dan kalau dia tahu lima lelaki itu ada di sini, maka sasarannya adalah kita.” Muka Sultan berubah. Hudhud memandang lima orang lelaki ditengah balai. Masakan benar.

“Tapi Yang Gah Mulia Sultan, selagi Sphinx itu belum dikejutkan dari tidurnya, selagi itu pencarian takkan bermula. Lagipun, kita cukup pasti yang Firaun tak akan berani mengganggu sempadan kuasa kita.” suara HudHud sedikit bergetar.

“Mafkan Patik tuanku Sultan empunya Istana, rasanya, kami harus beredar dari sini. Semua geruh[6], hanyalah patut ditempuhi oleh kami berlima, tidak elok kalau kami babitkan kepulauan ini bersama.” Daeng Fathol bersuara. Daeng yang lain sama mengangguk.

“Tidak. Beta tidak percayakan kebetulan, setiap perkara ada sebabnya. Maka inilah sebabnya kamu dihanyutkan ke sini.” Sultan Arukh Safuna berdiri tegak. Melangkah turun dari peterana.

Morto tidak sedap hati. Paduka Apun terhenti tulisannya. “Tapi Sultan...”

“Tidak ada tapi lagi. Sudah lama kita diamkan kekejaman Firaun di tanah Mesir. Sedangkan kita dilimpah kurniakan kelebihan yang setara. Sebelum Sphinx gergasi bangun dan membaham kepulauan ini, sebelum Tujuh Pembawa maut dilepaskan ke tadahan kita, kita akan bergerak.” Sultan Arukh Safuna mengeluarkan pedang berhujung emas yang lama tidak dicabut dari sarungnya.

“Kita akan langgar negeri Mesir. Kita akan runtuhkan Piramid, kita akan kuburkan Firaun di dalamnya.”


[1] Perahu kecil dan bertiang dua

[2] Lautan

[3] Lebih kurang

[4] Tiba-tiba

[5] Tergopoh-gapah

[6] Nasib buruk/sial

 

*** *** ***

Kem Penyelidikan Sementara, Gua Merah.

Kegelapan malam itu semacam tidak menjadi selimut yang cukup enak untuk menidurkan Diya. Selepas terjaga dari mimpi dan berbual dengan Cik Dujan dan Proffesor Achol, dia berasa tidak sedap hati. Yang Gah Mulia Sultan Pulau Bahtera. Beberapa kali gelaran itu bermain-main dalam benaknya. Matanya dipejam, dipaksa pejam walaupun otaknya enggan berhenti berfikir. Dia cuba mengimbau mimpi sebentar tadi. Sedikit demi sedikit.

 

*

 

Bermula dengan cubaan dia melarikan diri dari Istana Tanah Hanyut. Tak semena-mena dia dengar khabaran dia akan menjadi paduka ratu. Datangnya ke dunia itupun bukan inginnya, inikan lagi disuruh kahwin, lagilah kena jadi ratu. Lagipun, ini bukan cerita Narnia, kalupun cerita Narnia, tak adalah sampai disuruh kahwin. Pantas Diya menukar pakaian pemberian dayang-dayang Tuanku Mahmud Seri, dipilihnya yang paling lusuh agar nampak seperti orang biasa. Kemudian peempuan itu melangkah senyap-senyap keluar dari pintu belakang.

 

Apabila bertembung dengan pengawal istana, dia memberitahu bahawa dia adalah utusan dari Mak Tua untuk berjumpa bakal paduka ratu. Keluar sahaja dari Istana milik Tuanku Gombang Mahmud Dewa itu, Diya cuba mencari lima Daeng bersaudara. Namun berita kehilangannya cepat pula tersebar. Setiap sudut Tanah Hanyut pengawal berkeliaran mencarinya. Mahu atau tidak, cuma ada satu jalan untuk keluar dari situ. Laut.

Dia bergegas ke tepian pantai, mencuri sebuah sampan dan cuba mendayung ke tengah laut. Mujur ada dibawa sama buah-buahan dan bekalan air yang tersedia waktu dia berada di dalam istana. Berdayunglah dia tak berarah, tak bertuju. Cuba keluar dari jalan yang buntu. Hampir seharian dia mendayung, tiba-tiba langit berubah, angin menderau, ombak mengganas. Dari kejauhan, jelas ada sesuatu berlaku di Tanah Hanyut, ada cahaya yang kuat dari sana. Apakah celaka atau sakti yang sedang berlaku?

Sambil dia berfikir tentang hal yang berlaku di Tanah Hanyut, ombak beralun kuat. Sampan itu, sekejap berkolek ke kiri, kejap ke kanan. Datang pula rasa menyesal, kalau dia kekal di Istana, mesti tak berlaku hal sebegini. Sedaya-upaya dia mengawal sampannya,. Tapi kuasa alam lebih kuat, perkara terakhir yang Diya sempat lihat, adalah segulung ombak yang sangat tinggi menerkam sampannya.

Selepas itu apabila matanya terbuka, seperti ada duri setiap otot dan sendi. Kulitnya rasa seperti melepuh-lepuh. Perit tak terkata.

“Sudah terjaga akhirnya. Alhamdulillah.” itulah ayat pertama yang didengari Diya. Dia cuba mengangkat kepala mencari puncanya.

“Jangan bergerak, tuan hamba belum sihat.” seseorang memegang tangannya dengan lembut, sebelum membetulkan kedudukan batal di belakang kepalanya.

“Hamba di mana? Apa yang berlaku?” klise sungguh ayat pertama yang terpacul dari mulut perempuan itu. Tekaknya semacam berpasir, saura yang keluar perlahan dan kasar.

“Haus. Ada air?”

Kepalanya diangkat rendah dan disuapkan secawan air. Diya meneguk beberapa kali.

“Tuan hamba berada di teratak buruk hamba. Tiadalah hamba tahu kejadian apa yang menimpa tuan hamba, melainkan tuan hamba dijumpai di tengah laut sewaktu hamba memberi makan todak-todak di lautan.” suaranya lembut, pasti perempuan. Lembut juga tangannya. Kepala Diya diletakkan ke bantal kembali selepas diberi minum beberapa teguk air.

“Lautan? Di manakah kita? Siapa tuan hamba” kali ini suara Diya lebih lancar, walaupun masih terketar-ketar menahan peritnya badan.

“Hamba Syaz. Orang di sini memanggil hamba Pendita Syaz. Oh ya. Hamba memang membela todak-todak di lautan, kerana itulah tanggungjawab dari Yang Gah Mulia Sultan Pulau Bahtera ini.”

“Sultan Pulau Bahtera?” bingung.

“Ya, tuan hamba sekarang berada di atas Pulau Bahtera. Dekat pulau ini, tiadalah satu apapun berlaku melainkan dengan izin Allah dan izin Yang Gah Mulia Sultan. Itulah sebab hamba membawa tuan hamba pulang ke rumah hamba. Tuan hamba nampaknya bukan dari negeri ini. Kalau diketahui pengawal, takut disuruh mengadap ke Istana. Melihatkan keadaan tuan hamba, amatlah zalim untuk menyuruh tuan hamba bergerak walaupun selangkah.” panjang lebar penerangan Pendita Syaz.

Diya tidak tahu samada dia patut bersyukur atau sebaliknya. Dia sudah lepas dari Tanah Hanyut, telah lepas juga dari mati di tengah laut. Tapi mungkin mati adalah jalan yang paling baik untuk melepaskan diri dari zaman yang begitu jauh dari asalnya. Mengeluh kuat. Sekarang dia terbaring di suatu tempat yang tidak diketahui, entah apa lagi yang akan menimpanya.

“Kenapa mengeluh? Kerana diselamatkan atau kerana lambat diselamatkan?”

“Tidak. Hamba bersyukur diselamatkan. Lagipun hamba tidak ingat apa yang berlaku sampaikan hamba hanyut di lautan.” berbohong, itulah cara terbaik untuk mengelakkan bercakap tentang asal-usulnya, tentang lima Daeng dan juga apa yang berlaku di tanah hanyut.

“Baguslah. Sudah tiga hari tuan hamba terbaring kaku. Baguslah sekarang sudah terjaga. Semalam, ada khabar tentang lima lelaki datangnya dari luar ditangkap dekat pesisir pantai pulau ini. Hamba fikirkan, manalah tahu, mereka mahu mencari tuan hamba.”

“Lima orang lelaki? Hamba mungkin tidak kenal. Maaf. Hamba tidak ingat apa-apa yang berlaku.” matanya dipejamkan. Mungkinkah mereka lima Daeng bersaudara? Kalau benar, mengapa mereka berada di tempat selain Tanah Hanyut?

“Tidak mengapa. Itu cuma tekaan hamba. Tuan hamba berehatlah, tadi siang hamba sudah panggilkan tabib, sekejap lagi datanglah dia. Mungkin dapat merawat luka dan lecur tuan hamba.” Pendita Syaz beralih ke mejanya yang penuh dengan buku-buku lama.

Beberapa waktu selepas itu, datanglah tabib yang dikatakan oleh Pendita Syaz. Seorang perempuan juga. Namanya Miss Mextor, kerana asalnya dari negeri Parsi. Dia melihat kulit Diya sebelum mencampurkan beberapa adunan. Kemudian disapu seluruh badan Diya. Begitu perit sampaikan terasa mahu terkeluar biji mata menahan sakit.

Tabib itu begitulah pandai mengubat, separuh hari sahaja Diya sudah boleh duduk dan berjalan perlahan. Malah tabib itu tidak ke mana-mena, melainkan sibuk menguruskan Diya. Waktu itulah, tiba-tiba berbunyi sesuatu seperti gendang bertalu-talu. Diya terkejut, tabib Miss Mextor dan Pendita Syaz saling pandang memandang.

“Nampaknya, hamba terpaksa beredar dahulu. Bila keadaan sudah tenang nanti hamba datang melihat tuan hamba. Berehatlah.” tabib itu tergesa-gesa meninggalkan pondok kediaman Pendita Syaz.

Hilang sahaja bayangnya, bunyi itupun diam. Diya memandang wajah Pendita Syaz, meminta penjelasan.

“Itu adalah genderang dari istana. Setiap bunyi mempunyai arahan berlainan. Yang tadi itu ada dua arahan.” Pendita Syaz tersenyum sambil tangannya sibuk menyusun semua buku-buku yang berselerakan..

“Yang kedua, adalah untuk semua orang kembali ke kapal. Kebanyakan orang yang berada di atas Pulau Bahtera sebenarnya datang dari pelbagai kapal dan perahu yang berada di sekeliling pulau. Jadi arahan itu adalah untuk semua kembali ke kapal masing-masing dan bersedia. Itulah tabib Parsi itu bergegas, mahu pulang ke kapalnya.”

“Bersedia? Untuk?”

“Untuk menyahut arahan dari paluan yang pertama. Sudah lama tak kedengaran. Arahan untuk siap sedia berperang.” tenang sahaja jawapan dari mulut Pendita Syaz. Diya bertambah bingung.

Selang beberapa waktu, genderang dibunyikan lagi sekali, kali ini dipalu dengan rentak berbeza. Diya dapat melihat raut wajah Pendita Syaz yang berubah.

“Arahan untuk menaikkan sauh dan layar Pulau Bahtera. Ini perang yang besar. Sampaikan Pulau Bahtera akan berlayar luar dari kelaziman.” Pendita Syaz menjengah ke luar, melihat keadaan sekeliling.

“Tuan hamba tunggu di sini, kalau ada sesiapa datang, jangan dibuka pintu. Hamba mahu ke istana mendapatkan berita.” dengan wajah jelas pucat, cepat sahaja Pendita Syaz hilang dari pandangan.

Diya masih bingung, namun masih juga menjengah ke luar tingkap. Semua orang sibuk ke sana, ke mari. Apa lagi yang akan berlaku? Dari jauh dia nampak satu layar yang cukup besar dinaikkan. Kemudian, tanah tiba-tiba dirasakan melambung tinggi, sebelum seakan-akan bergerak. Hatinya berkocak. Jiwanya bergolak.

Bila malam sudah menjelang, barulah pulang Pendita Syaz. Dibawakan juga makan malam. Wajah pendita amatlah tidak senang. Sambil menjamah makan malam, sambil dia bercerita tentang kejadian Pulau Bahtera yang sememangnya sebuah bahtera yang sangat besar. Dia juga tadi membantu pegawai istana, Paduka Apun untuk menulis surat kepada negeri-negeri lain untuk mempelawa pahlawan mereka sama-sama berperang dengan Firaun Remeses II.

Kali ini wajah Diya yang berubah. Dua nama yang cukup dia kenal, Paduka Apun, berkali-kali tercatat dalam surat kulit kambing kajiannya. Juga Firaun Remeses II, yang mengejar lima Daeng bersaudara.

Melihatkan wajah Diya berubah, penditapun sambung bercerita tentang hal yang berlaku di Istana. Lima lelaki yang tertangkap adalah dari Mesir dan dikejar oleh Firaun. Dia juga bercerita tentang perjalanan mereka dan bagaimana ajaibnya semua itu tertulis dalam lembaran kulit kambing, untuk dongengan tajaan Paduka Apun.

Mata Diya terjegil. Inilah kunci kajian dekat Gua Merah. Kulit kambing tajaan Paduka Apun. Mungkin inilah sebab dia berada di dunia ini, untuk lebih memahami kajian di Gua Merah. Mahu atau tidak, dia harus melibatkan diri. Dia harus pergi berjumpa lima Daeng bersaudara, atau berjumpa dengan Paduka Apun.

“Siapakah gerangan Sultan kepada negeri ini?”

“Yang Gah Mulia Sultan Arukh Safuna.”

*

Itulah pertama kali dia mendengar nama itu. Diya resah, subuh sekejap lagi bakal jelang, tapi menguappun belum lagi. Dia mahu tidur, bila dia tidur, dia akan berada di dunia sana, di dalam plot cerita kulit kambing. Dia mahu tahu apa terjadi selanjutnya, yang paling penting sekali, dia mahu tahu ke mana perginya baki beberapa kulit kambing yang lain.

Tapi, di dunia sana sedang bersedia untuk menghadapi peperangan besar. Beranikah dia menghadapi semua ini? Patutkah dia menceritakan hal sebenar kepada Pendita Syaz? Adakah dia mesti terlibat dalam peperangan antara kerajaan terbesar di darat dan kerajaan terbesar di laut? Serabut.

Matanya menjeling ke arah jam, kemudian dia bingkas bangun dan menuju ke bilik air, mengambil wudu’ dan membuat solat hajat. Moga diberikan petunjuk dengan apa yang berlaku beberapa hari ini.

*** *** ***


chapter terakhir akan dikeluarkan bersama e-book versi PDF keseluruhan siri ini. Dalam kemasan terakhir (setahun lagi ke? hahahahaha)

 

nantikan : M01S10 : PEPERANGAN

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Klasik

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Ya Allah, berikanlah aku kekuatan membaca 5 episod yang terlepas ini. haha

Cerpen-cerpen lain nukilan zInggOf

Read all stories by zInggOf