Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1)

 

NOTA: rasanya ini adalah cerita paling mengarut pernah aku tulis. Entah apalah yang aku fikir masa tulis cerita ni. Okey, cerpen ni panjang, dan aku bahagikan jadi 2 bahagian. Bahagian ke-2 kemungkinan besar aku akan siarkan esok (kalau rajin)

 

Hari ini hari Selasa dan aku benci Yana. Yana kawan aku. Dia seorang perempuan. Sangat cantik. Sekurang-kurangnya cantiklah pada mata aku kalau pun bukan pada mata kau semua. Ya, ya,  aku tahu aku memang puji semua perempuan cantik. Tapi, Yana ini lain. Cantik dia luar biasa. Tengok....! aku puji Yana pun nak dengki. Kenapa nak pendengki sangat ni? Aku tak ada pun kata kau semua buruk, kan? Aku sebenarnya rasa semua perempuan dalam dunia ini cantik-cantik belaka. Cuma Yana tu terlebih cantik sedikit saja daripada kau semua.

Hari Selasa dan perasaan benci pada Yana tidak ada kaitannya langsung. Hurm, mungkin sikitlah. Aku pernah melamar Yana pada hari Selasa tetapi dia tolak lamaran aku mentah-mentah. Malah, dia terus sahaja terima lamaran Pak Bruno. Apa kejadah!

Oops! Aku mencarut ke? Okey, minta maaf banyak-banyak.

Aku tahu mesti ramai yang beriya-iya suruh aku cerita fasal Pak Bruno, kan. Kau, kau, kau semua memang suka buat aku naik angin, kan? Okeylah, memandangkan Pak Bruno ini ada kena mengena dengan kehidupan Yana, aku akan ceritakan serba sedikit tentang diri dia. Sudah bersedia, ke? Tapi, kalau kau semua dengar macam acuh tak acuh pun tak apa. Bukannya seronok sangat pun kisah dia ini.

Pak Bruno ni memang orang asal dekat kampung aku. Umur dia bukan 42 tahun tapi baru 24 tahun. Muda lima tahun daripada aku. Mesti kau semua tertanya-tanya kenapa aku panggil dia Pak Bruno, kenapa tak panggil saja Bruno sedangkan dia kalau ditilik dari segi fizikal dan kehitaman rambut dah memang sah muda lagi. Muda lima tahun daripada aku lagi tu!

Hah... bukan kau saja yang pelik aku pun sama! Bila aku tanyakan pada Pak Bruno dia cuma jawab,

“Tanya mak ayah aku sendirilah!”

Amboi, garangnya! Nampak sangat tak berkenan sungguh dia pada namanya.

 Kalau dilihat dalam kad pengenalannya, nama penuhnya adalah Pak Bruno bin Awang Selamat. Sedap nama ayah, kan? Tapi kenapalah nama anaknya serupa macam nama pak cik petani tanaman kapas dari Texas, Amerika? Aku pun tidak dapatlah hendak mengorek apa sebab-sebab yang kuat si ayah Pak Bruno ini meletakkan nama anaknya sebegitu rupa. Mungkin nama ‘Pak’ itu lebih manja kedengarannya di telinga ayahnya. Mungkinlah... itu andaian aku sahaja.

Tapi, itu hal nama Pak Bruno. Nama ayahnya lain hal pula. Kalau mengikut teori dan kajian kurang berilmiah daripada orang kampung aku, (kurang ilmiah bukan sebab orang kampung aku bodoh, tapi sebab mereka terlupa hendak letak kredit nama dan bukti pada mana-mana catatan bertulis. Ditambah dengan tidak dapat pengesahan daripada mana-mana profesor sejarah yang bertauliah) walaupun nama ayahnya adalah Awang Selamat, tetapi orang ramai memanggilnya dengan nama Awang Kenit. Awang Kenit diberi nama sebegitu rupa bukanlah kerana saja-saja suka, tetapi bersebab. Sebabnya tentulah sudah terang lagi bersuluhkan cahaya matahari yang si Awang Kenit ini kenit orangnya. Namun begitu, kenitnya pun bukan terjadi tanpa sebab. Kenitnya juga bersebab, dan inilah yang aku dengar dari orang-orang kampung sekitarku.

***

Menurut mereka, pada masa dahulu di zaman kanak-kanaknya Awang Kenit tidaklah kenit sebenarnya. Pertumbuhan fizikal badannya adalah normal dan sihat seperti kanak-kanak yang lain, malah Awang Kenit adalah di antara kanak-kanak lelaki yang sihat tubuh badan di antara rakan-rakannya yang lain. Namun begitu, disangka panas hingga ke petang tetapi hujan mencurah-curah di tengah hari. Ada sesuatu yang aneh berlaku pada Awang Kenit semasa dia di usia sembilan tahun.

Pada suatu petang, Awang Kenit bersama empat rakan yang lain telah bersedia dengan satu permainan. Permainan anak-anak kampung yang popular ketika itu bukanlah futsal, catur atau aktiviti window shopping bersama pasangan kekasih (nota: aktiviti window shopping adalah sejenis permainan mengikut pandangan penulis) Pada petang yang bersejarah itu Awang Kenit dan empat rakannya telah bermain satu permainan tradisional dan sememangnya terkenal di seantero alam – main sembunyi-sembunyi atau sesetengahnya menyebut main sorok-sorok. Ada bermacam-macam jenis sorok-sorok dalam permainan ini. Ada sesetengah main sorok-sorok selipar kawan. Ada juga yang main sorok-sorok barang kawan. Tapi, pada petang itu Awang Kenit dan rakan-rakan akan bermain sorok-sorok diri. Mereka akan menyorokkan diri mereka secepat yang mungkin berdasarkan kiraan yang ditetapkan. Kemudian, rakan yang mengira itu akan mencari setiap seorang dari rakan mereka yang menyorok itu. Siapa yang paling akhir dijumpai, dialah pemenang utama. Cara-cara bermain memang kedengaran mudah tetapi percayalah ia memerlukan tenaga dan kebolehan mencari tempat persembunyian dengan kadar masa yang terhad. Awang Kenit pada masa itu adalah di antara kanak-kanak yang mempunyai bakat semula jadi dalam permainan sorok-sorok ini. Sama ada sebagai tukang cari atau tukang sorok, kedua-duanya dapat dikuasai dengan cemerlang sekali.

Pada petang tersebut, Awang Kenit telah mengambil posisi sebagai tukang sorok di mana dia dan tiga lagi rakan yang lain iaitu Mat Kerinting, Said Legam dan Ramli Panau akan menyorokkan diri masing-masing daripada seorang lagi rakan mereka yang akan menyandang posisi tukang cari iaitu Jidin Kuyu. Perlu diingat disini bahawa kesemua nama rakan-rakan Awang Kenit yang terlibat dalam permainan ini tidak menggunakan nama sebenar. Hanyalah nama gelaran semata-mata. Nama-nama mereka yang sebenarnya tidaklah “secantik” itu rupanya. Lebih cantik lagi sebenarnya, tapi gelaran-gelaran di belakang nama itu kononnya lebih mesra. Kononnyalah...

Maka tibalah saat permainan pun bermula. Jidin Kuyu duduk di bawah sebatang pohon rambutan kepunyaan Mak Temah Gelang sambil menutup matanya dengan kain basahan ibunya sambil mengira sehingga ke angka tiga puluh. Bertempiaranlah keempat-empat rakan tadi mencari tempat persembunyiaan yang paling strategik sekali. Setelah tamat kiraan yang ketiga puluh, maka bermulalah misi pencarian Jidin Kuyu. Berpeluh-peluh Jidin Kuyu mencari rakan-rakannya. Untuk pengetahuan semua, Jidin Kuyu memang tidak gemar diletakkan di posisi sebagai tukang cari ini, tetapi disebabkan dia telah kalah dalam undian terpaksalah dia menerima keputusan seadanya. Sambil-sambil mengira tadi dia sempat berdoa dan berharap agar matanya terang dan otaknya ligat berfikir di mana tempat persembunyiaan mereka. Dan, selepas lima minit berlalu Jidin Kuyu merasakan bahawa doanya seakan termakbul. Dari jauh lagi dia sudah nampak kelibat Mat Kerinting yang menutup hidungnya dan menahan daripada bersin.

Apalah bengap sangat si Mat ni nak menyorok sampai ke dalam reban ayam.

Sekuyu-kuyu mata si Jidin Kuyu, janganlah dipandang rendah akan kebolehan matanya itu.

Tidak sampai beberapa minit, Mat Kerinting sudah dapat dicekup oleh Jidin Kuyu. Timbul sedikit rasa bangga di hati Jidin Kuyu tapi cepat-cepat dia beristighfar.

Huh, hal macam ni pun nak riak!  Marah hati kecil si Jidin Kuyu.

Setelah misi mencari Mat Kerinting selesai, kini tiba pula misi mencari tiga rakan yang lain.

Tiba-tiba Jidin Kuyu terdengar sesuatu yang pelik di sebelah kirinya. Memang tidak jauh dari sebelah kirinya. Nampak gayanya bunyi pelik itu memang sah datang dari sebuah jamban kecil. Untuk pengetahuan kau semua, memang jamban-jamban di kampung Awang Kenit dan rakan-rakan letaknya di luar rumah. Alahai...takkan kau tak tahu. Emak ayah kau tak pernah cerita? Tak apalah, abaikan persoalan kenapa jamban-jamban di kampung Awang Kenit dan rakan-rakan letaknya di luar rumah dan bukan di dalam rumah sebagaimana yang berada di rumah kau. Tidak penting sangat untuk cerita ini.

Bunyi pelik itu semakin lama semakin pelik.

Ssssshhhhh....syuuuuuhhhh....ikh!

Hendak dikatakan ular, mustahil. Ini bukan bunyi ular.

Bunyi tersebut secara tidak langsung menimbulkan rasa curiga kepada Jidin Kuyu. Perlahan-lahan dia mengorak langkah ke arah jamban tersebut.

Satu langkah...

Dua langkah...

Tiga langkah...

4, 5, 6, 7..., 10..., 15..., 25 langkah. Jidin Kuyu berhenti. Betul-betul depan pintu jamban tersebut. Bunyi pelik kedengaran lagi, tapi kali ini lain pula nadanya.

Fuuuuh....fuuuuuh.....huuuuu!

Naluri Jidin Kuyu seolah-olah telah dapat menghidu kejayaan kedua. Tanpa berlengah Jidin Kuyu segera menendang pintu jamban ala-ala hero filem Tamil, Rajnikanth. Jika kau semua melihat perisitiwa tersebut, percayalah kau mungkin akan terpana dengan Jidin Kuyu. Penuh bergaya dan berkarisma.

“Sah! Aku dah agak, dah awal-awal. Memang kau!”, Jidin Kuyu separuh menjerit sambil ketawa berdekah-dekah. Ketawa meraikan kejayaan keduanya.

Said Legam tersipu-sipu malu. Pecah lubang! Jidin Kuyu macam tahu-tahu saja yang dia menyorok dalam jamban.

“ Memang dari mula aku dah tahu. Tak ada tempat lain dah. Pelik aku, kenapalah jamban juga yang jadi kegemaran kau nak main sorok-sorok”, Jidin Kuyu berkata-kata seperti ibu-ibu sambil menggeleng. Tidak lupa juga dia turut mencekak pinggang. Habis sudah lagak dan gaya Rajnikanth dalam dirinya.

“Bukan aku nak sangat menyorok dekat jamban ni, tapi itulah. Asyik nak buang air je bila main sorok-sorok ni”

“Isy, peliklah kau ni. Sakit ke?”

“Entah. Tak ada apa-apa pelik pun yang jadi dekat aku. Agaknya rasa teruja sangat, tu yang sampai nak terkencing-kencing aku dibuatnya”, Said Legam tersenyum-senyum sumbing.

“Teruja dapat main sorok-sorok?”, Jidin Kuyu tanya untuk dapatkan kepastian.

Said Legam mengangguk perlahan. Senyum lagi si Said Legam.

Senyumnya, ikh! Tak usah cakaplah. Tak berkenan Jidin Kuyu memandangnya.

“Kau memang pelik, Said”, balas Jidin Kuyu.

Pencarian Jidin Kuyu diteruskan lagi. Sudah dua orang rakannya telah dapat dikesan dalam masa tidak sampai sepuluh minit pun.

Lepas ini giliran siapa pula. Jidin Kuyu berjalan ke hulu ke hilir. Kadang-kadang matanya melilau dekat semak-semak belakang rumah kosong Pak Zain Tebu. Tak ada. Kosong. Mencari-cari di belakang-belakang rumah jiran-jiran. Tak ada.

Manalah lagi dua orang ni.

Bisik hati Jidin Kuyu. Nadanya, tentulah nada tidak puas hati. Sudah dekat lima belas minit mencari. Macam buat kerja sia-sia pula rasanya. Tiba-tiba, nalurinya berkata-kata sesuatu.

Pandang atas.

.

..

...

....

“Hoi, turunlah! Aku dah nampak kau!”, jerit Jidin Kuyu. Rupa-rupanya elok saja Ramli Panau bertenggek dekat atas pokok rambutan Pak Akob Botak.

“Cis, macam mana kau boleh jumpa aku dekat sini!”, Ramli Panau berasa kecewa kerana berjaya ditemui.

“Jangan pandang rendah dengan naluri aku”, balas Jidin Kuyu sambil tersenyum lebar. Kejayaan ketiganya dalam masa lebih kurang dua puluh lima minit.

Sekarang Jidin Kuyu mahu mengorak langkah untuk mencapai kejayaannya yang keempat pula. Misi mencari Awang Kenit diteruskan. Jidin Kuyu masih mengharapkan nalurinya untuk mengesan bayang-bayang, fizikal dan juga aura Awang Kenit. Ke hulu ke hilir Jidin Kuyu mencari-cari Awang Kenit. Badannya sudah mula berpeluh-peluh.

Setengah jam berlalu. Peluh mula mengambil tempat di kedua-dua belah ketiaknya.

Tak boleh jadi, ni.

Empat puluh dua minit berlalu, Jidin Kuyu terpaksa meminta pertolongan tiga rakan yang lain untuk mencari Awang Kenit. Nalurinya gagal memberi apa-apa tindak balas untuk mengesan Awang Kenit. Hampa.

Hari sudah semakin senja nampaknya. Perasaan marah dan hampa bertukar menjadi perasaan risau. Sudah sejam lebih. Dimanakah Awang Kenit?

“Patut ke kita bagitahu mak bapak dia?”, Mat Kerinting mula bersuara.

“Jangan!”, Said Legam menegah.

“Aku risaulah kalau jadi apa-apa dekat dia”, jelas terpampang kerisauan di muka Mat Kerinting. 

“Jangan fikir bukan-bukan”, Jidin Kuyu mula menenangkan.

Mereka terus mencari-cari kelibat Awang Kenit. Hampir-hampir saja mereka berputus asa. Saat azan Maghrib berkumandang, tiba-tiba kedengaran satu suara aneh lagi mencurigakan dari satu arah, iaitu rumah kosong Pak Zain Tebu. Suara esakan sayup-sayup kedengaran. Mereka berempat saling berpandangan. Menelan air liur masing. Mahu pergi menuju ke arah rumah kosong itu atau terus buka langkah dan segera pulang?

Bersambung...

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) demimu Kamalia, aku sanggup stop buat keje lain, dan baca!!
  • 2) Wah, rasa thriller semacam pula. (segera baca yang seterusnya. zup!)

  • (Penulis)
    3) kuru: yaw! terharu kite...

    ridh: baca part 2, barulah tahu betapa thriller nya cerpen ni. fuh!
  • 4) haha umang ai. tiba-tiba kisah awang kenit yg lama. ingat kisah bruno atau si penulis!

    apakah yg jadii..
  • 5) Tajuk nya pun dah buat tertarik

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia