Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2)

 

Nota: Ini adalah bahagian ke-2 dan terakhir untuk cerpen 'Demimu Yana, Aku Sanggup Mati'. Diharap, para pembaca cerpen ini tidaklah mengalami pening-pening lalat setelah selesai membaca cerpen ini. Sebenarnya, cerpen ini akan menjadi sangat menarik jika pembaca sendiri dapat meletakkan diri pembaca ke dalam watak-watak di dalam cerpen ini terutama watak utamanya (ayat promosi ni!). Okey, selamat membaca :)


Bahagian 1


Suara esakan tersebut semakin lama semakin kuat. Kali ini memang mereka akan terus sahaja melangkah pergi. Oops, bukan melangkah lagi, terus mahu pecut saja!. Tiba-tiba terpacul sesuatu dari dalam rumah kosong tersebut. Bukan sesuatu sebenarnya, tapi seseorang.

“AWANG!!”, serentak keempat-empat rakan tersebut menjerit.

Rupa-rupanya suara Awang Kenit yang teresak-esak di dalam rumah kosong itu.

“Hoi! mana kau menyorok, hah? Penat aku cari”, tanya Jidin Kuyu. Geramnya timbul balik.

“Dekat rumah kosong tu la”, jawab Awang Kenit sambil teresak-esak.

“Aku cari banyak kali dekat rumah kosong tu. Tak nampak pun kau”

“Aku nampak kau ke hulu hilir depan aku. Bila aku panggil kau buat tak tahu je”

Kali ini memang lima sekawan tersebut benar-benar terdiam. Sudah tidak mampu lagi untuk bersuara pun. Nafas pun seolah terpaksa disedut dan dilepaskan dengan penuh berhati-hati. Takut-takut ada yang lain memerhati.

Malam itu Awang Kenit demam panas. Hendak bercakap pun tidak mampu. Seolah-olah ada sesuatu yang sudah mengunci mulutnya. Selama seminggu, demam Awang Kenit tidak juga kebah. Hendak tak hendak, terpaksa jugalah ke klinik walaupun keluarga Awang Kenit tidak percaya sangat dengan doktor moden ini. Pergi ke klinik, doktor hanya menggeleng. Sudah pelbagai jenis ubat Awang Kenit telan. Demam masih tidak sembuh. Duit semakin susut. Maka, sebelum emak dan ayah Awang Kenit berputus asa, Mak Temah Gelang telah mencadangkan satu idea yang tidak kurang menariknya untuk memulihkan kembali kesihatan Awang Kenit.

“Bomoh Jenal boleh tolong rasanya ni”

“Doktor pun dah geleng kepala. Bomoh? Isy, mengarutlah kau ni Temah!”

“Tak cuba tak tahu. Kau ni, semua orang kau tak percaya!”

Hendak tak nak, terpaksalah emak ayah Awang Kenit berjumpa dengan Bomoh Jenal. Manalah tahu Bomoh Jenal dapat membantu dengan izin Tuhan.

Hendak dipendekkan cerita tibalah emak, ayah beserta Awang Kenit di rumah Bomoh Jenal. Jika dilihat keadaan Awang Kenit sememangnya menyedihkan kita semua. Muka tidak bermaya dan semakin kurus. Maklumlah demam panas. Demam panas memang menyeksakan.

“Anak kau ni kena tegur ni?”

“Kena tegur?”

“Dengan hantu kangkang”, beritahu Bomoh Jenal dengan muka serius. Bukan dibuat-buat, tapi memang serius yang serius.

“Hantu kangkang?”

“Hantu kangkang ni, kalau kamu semua nak tahu adalah versi jantan untuk hantu kopek”

“Hantu kopek?”

“Hantu kopek tak tahu ke?”

“TAK...!!”, serentak satu keluarga tersebut menjawab termasuklah sekali dengan Awang Kenit yang sedang sakit-sakit itu.

“Apalah kamu semua ni. Nama saja duduk dekat kampung. Jenis-jenis hantu pun tak kenal. Baiklah, aku bagitahu serba sedikit tentang hantu kopek dulu. Hantu kopek ni ada juga yang panggil hantu tetek. Hantu ni suka serang...”

“Ooo...hantu tetek! Cakaplah awal-awal. Manalah kami tahu hantu tetek ni ada nama samaran”, celah ayah Awang Kenit.

“Cis, hantu tetek kenal pula!”

“Okey, sambung balik cerita, tok”

“Hantu kopek ni suka serang kanak-kanak. Mukanya macam nenek yang dah umur seratus tahun. Hantu kopek akan menyerang mangsanya menggunakan buah dadanya yang melayut. Kalau nasib tak baik, habislah mangsa tu lemas dalam pelukan hantu kopek ni. Sebab itu, anak-anak, sebelum maghrib dah mesti kena ada dekat rumah.”

“Kalau hantu kopek serang dengan buah dada yang melayut. Hantu kangkang pulak?”

“Hantu kangkang lain sikit senjatanya. Memandangkan hantu ni adalah versi jantan untuk hantu kopek, hantu kangkang menggunakan zakarnya untuk serang mangsa”

“Cara serangnya macam mana tok?”

“Err...caranya tok tak tahulah. Tok pun tak pernah ada pengalaman kena sorok dengan hantu kangkang ni. Tapi, aku rasa kamu ni kena tegur je. Tak adalah sampai ke tahap kena serang lagi”

Selepas selesai sesi bersoal jawab dengan Bomoh Jenal, Bomoh Jenal pun memulakan sesi perubatannya. Macam-macam yang dibacanya. Tidak tahulah apa isinya, tetapi yang pasti sepatah pun tidak difahami oleh Awang Kenit sekeluarga. Tiba-tiba Bomoh Jenal tanya satu soalan kepada Awang Kenit.

“Nak, boleh tok tahu nama kau”

“Awang Selamat”

“Huh!”

“Kenapa tok?”

“Padanlah hantu tu kacau kau. Hantu tu suka dengan nama kau”

“Kenapa pulak hantu tu nak suka nama saya? Saya bukan curi nama dia pun”

“Mana kau tahu kau tak curi nama dia?”

“Jadi macam mana ni, tok?”

“Kau kena tukar nama”

“Nama apa saya nak tukar pulak, tok?”

“Tak apa. Yang itu biar tok fikirkan. Kau balik dulu. Tok akan sediakan ubat untuk kau”

Selepas tiga hari berlalu, kesihatan Awang Kenit semakin lama semakin pulih. Dan, sekarang kau semua pun mesti sudah dapat agak nama apa yang Bomoh Jenal cadangkan kepadanya.

Alahai, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Tentulah AWANG KENIT! Awang Kenit memang tidak menyukai nama barunya itu, tetapi apakan daya dia takut juga jika hantu kangkang itu kembali menyerangnya. Walaupun dia sendiri tidak pernah pun tahu yang menyerangnya adalah hantu kangkang. Maka, sejak dari itulah dia membawa nama Awang Kenit itu kemana-mana pun. Awang Selamat hanya tinggal kenangan di dalam kad pengenalan dan surat beranak sahaja.

Entah, apalah bala yang menimpa Awang Kenit. Selepas daripada kejadian serangan hantu kangkang itu, tumbesarannya tidak meningkat. Tingginya hanyalah seperti kanak-kanak yang berumur sembilan tahun sehinggalah ke tua. Selain daripada ketinggiannya, segala-galanya adalah normal. Mungkin itulah sebabnya Bomoh Jenal memberinya nama Awang Kenit. Sudah diketahui rupa-rupanya apa yang bakal terjadi kepadanya selepas itu.

Hah! Itu cerita tentang ayah Pak Bruno. Apa kena mengena Yana pula dalam cerita ayah Pak Bruno ini?

***

ADA! Awang Kenitlah punca kepada kebenciaan aku pada Yana sekarang ini. Yana yang kini sudah pun menerima lamaran Pak Bruno.

Sebenarnya cerita Awang Kenit itu belum habis lagi. Semasa umurnya genap dua belas tahun dia telah bermimpikan seseorang. Sepertimana klise mimpi-mimpi yang misteri, seorang tua berjanggut panjang mencecah tanah dan berpakaian putih datang menemui Awang Kenit di dalam mimpinya. Orang tua itu telah memberitahunya satu rahsia.

“Hai anak muda. Kembalilah engkau ke rumah kosong yang menyimpan sejarah kau dan si kangkang itu pada esok pagi sebelum matahari terpacak tepat di atas kepalamu. Di situlah akan ada sesuatu untukmu. Ambil ia, tulis kemahuanmu. Dengan izin, akan termakbullah hajatmu”

Dan, itulah ia. Benda yang dijumpai oleh Awang Kenit di rumah kosong tempat dia diserang oleh hantu kangkang itulah yang membuatkan aku benci pada Yana. Yana sebenarnya kena tipu bulat-bulat dengan Pak Bruno.

Baiklah...baiklah, mari aku terangkan dengan terperinci apa yang berlaku sebenarnya. Awang Kenit bangun esok paginya dengan satu pertanyaan mengenai mimpi itu. Dia berada di dalam dilema sama ada mahu percaya atau tidak akan mimpi tersebut. Alang-alang sudah bangun pagi, pergi sajalah ke rumah kosong itu. Ketakutan tetap menghantui diri Awang Kenit walaupun sudah hampir tiga tahun kejadian serangan hantu kangkang itu berlaku. Namun, semangat ingin tahu lebih lagi menguasai dirinya. Sebaik sampai ke rumah kosong itu, Awang Kenit pandang kiri kanan dulu. Selepas itu dia melangkah perlahan-lahan ke dalam rumah itu. Dia tidak tahu apa yang perlu dicarinya. Orang tua itu hanya memberinya kiasan sahaja.


Ambil ia, tulis kemahuanmu.

Memang Awang Kenit tidak faham. Baru dua belas tahunlah katakan. Bukan sahaja Awang Kenit, kalau budak umur dua puluh satu tahun pun belum tentu dapat faham kiasan itu. Hendak dijadikan cerita Awang Kenit mencari-cari benda yang tidak diketahuinya itu selama hampir satu jam. Dia semakin berputus asa. Marah pun ada, geram pun ada. Rasa diri diperbodohkan oleh mimpi sendiri. Namun, tiba-tiba bebola matanya tertancap pada satu buku kecil yang kelihatan usang di satu sudut rumah kosong itu. Nalurinya segera berkata-kata:

Mungkin ini yang orang tua itu maksudkan.

Dipendekkan cerita memanglah buku tersebut yang dimaksudkan oleh orang tua di dalam mimpi itu. Bukunya memang kelihatan usang sungguh seolah-olah datangnya bukan dari zaman itu. Di dalamnya kosong sahaja. Tidak bertulis apa-apa pun. Gembira bukan kepalanglah Awang Kenit akan penemuan berharga itu. Dia mula cuba-cuba menuliskan satu perkataan pada muka surat pertama.


Minah Becok


Tidak sampai beberapa minit kemudian, Minah Becok yang merupakan rakan sekampung Awang Kenit muncul di hadapannya. Tidak semena-mena Awang Kenit terkejut. Terkejut bukan kerana Minah Becok tiba-tiba muncul di hadapannya sekelip mata kerana Minah Becok sebenarnya dari kedai runcit membeli barang dapur. Yang membuatkan Awang Kenit terkejut adalah kerana tidak menyangka apa yang ditulis di dalam buku tersebut benar-benar menjadi kenyataan.

Selepas penemuan buku tersebut, segala apa yang dihajati oleh Awang Kenit termakbul sudah. Hendak mendapat isteri yang cantik, dia sudah dapat. Mahu menjadi peniaga roti canai terulung di kampung itu, dia sudah buktikan. Cuma yang peliknya, tidak pula dia mahu berhajatkan untuk jadi lebih tinggi. Itu memang pelik.

Dan, selepas ketiadaan Awang Kenit, buku itu diserahkan kepada anaknya Pak Bruno dan Pak Brunolah yang mewarisi buku itu sekarang. Nah, sekarang mesti kau semua sudah dapat mengagak bukan macam mana Pak Bruno itu dapat memikat Yana!. Tentu sahajalah dengan bantuan buku itu. Sebab itu aku bencikan Yana. Yana tidak tahu hendak bezakan mana satu cinta palsu, mana satu cinta sejati.

Jadi, sekarang ini aku ada misi. Aku mahu mencuri buku itu dari Pak Bruno. Aku mesti dapatkan Yana balik, walaupun saat ini aku bencikan dia. Aku tahu, lambat laun cinta sejatiku akan mengatasi kebencian itu. Yana, tunggu aku akan datang mendapatkanmu!

Mencuri buku itu dari Pak Bruno bukanlah sesukar yang disangka. Senang sahaja seperti makan nasi lemak kerang panas. Masuk mulut, kunyah, telan. Begitulah caranya aku memperdaya Pak Bruno. Pada suatu pagi aku telah pergi ke rumah Pak Bruno dan mengajaknya untuk bersarapan di warung makan ‘Kalau Kita Gembira Makan Lagi’. Menggunakan kuasa wang dengan membelanjanya nasi lemak kerang panas di warung tersebut aku mula mengorek cerita tentang bagaimana dia mampu membuatkan Yana menerima lamarannya. Kau semua ingat aku tahu cerita fasal buku yang Awang Kenit jumpa itu sebab orang kampung yang beritahu ke? Kalau kau ingat macam tu, kau semua memang silap besarlah. Mustahillah rahsia besar macam itu Awang Kenit hendak beritahu orang kampung. Lagipun Pak Bruno sudah diberi amaran oleh arwah ayahnya supaya menyimpan rahsia itu elok-elok.

 Jadi, dari mana aku dapat tahu? Tentulah dari mulut Pak Bruno sendiri. Saat aku merasuahnya dengan tiga bungkus nasi lemak kerang panas di warung makan ‘Kalau Kita Gembira Makan Lagi’ itulah Pak Bruno memberitahu aku segala-galanya tentang buku itu. Punca segala Yana menerima lamaran si Pak Bruno. Aku turut berjanji kepada Pak Bruno untuk membelikannya sarapan nasi lemak kerang panas selama seminggu yang akan datang sekiranya Pak Bruno berjanji untuk meminjamkan aku bukunya itu. Alasanku, konon mahu melihat keberkesanan buku itu ke atas diriku. Ajaib benarkah buku itu sehingga boleh terkabul segala permintaan? Dan, jangan kau semua terkejut sekiranya permintaan aku itu dipersetujui! Kawan, jangan sesekali kau pandang rendah dengan kuasa nasi lemak kerang panas. Lebih-lebih lagi jika dibeli di warung ‘Kalau Kita Gembira Makan Lagi’

Mungkin kedengarannya agak kejam, tapi patutkah aku menggelarkan Pak Bruno itu sebagai bodoh? Kejam? Hah, kau semua tidak perlu hendak tipu akulah. Kalau kau berada di tempat aku ketika itu kau juga akan mengatakan Pak Bruno itu bodoh. Oh, sebelum aku lupa Pak Bruno pernah mengalami kemalangan dahsyat lima tahun lepas. Jatuh dari pokok kelapa dengan kepala terhentak ke tanah dulu. Bahagian yang paling seronok adalah Pak Bruno hilang ingatan selama sehari selepas peristiwa itu dan itulah punca kepada ‘kebodohan’ Pak Bruno hari ini kalau kau semua hendak tahu.

 Keesokkan harinya Pak Bruno menunaikan janjinya dan aku pun menepati janjiku. Inilah namanya persefahaman di antara dua pihak. Aku dapat buku ajaib itu dan Pak Bruno akan kenyang dengan nasi lemak kerang panas selama seminggu. Pulang sahaja dari berjumpa Pak Bruno aku duduk di atas pangkin di hadapan rumahku, mula membelek-belek isi buku tersebut. Kosong tanpa sebarang tulisan. Mustahil!

Aku mula rasa sangsi dengan keajaiban buku itu. Rasa menyesal merasuah Pak Bruno mula terasa dalam hati. Namun, sedikit sebanyak naluri aku memujuk supaya aku mencuba dahulu keberkesanan buku itu. Lalu aku pun menulis sesuatu.


Lalat


Senyap. Tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Aku mula rasa kecewa bercampur geram terhadap Pak Bruno...dan juga diri sendiri. Namun, tiba-tiba seekor lalat terbang betul-betul di hadapanku. Aku tersentak, tapi disebabkan aku ini seorang yang agak pesimis aku menafikan keajaiban buku itu.


Lalat, dekat mana-mana pun ada!

Aku mula memikirkan sesuatu yang agak mustahil untuk hadir pada ketika itu. Aku mula berfikir sambil memejamkan mata. Kemudian aku buka mataku dan menarik nafas dalam-dalam lalu menulis sesuatu di dalam buku itu.

.

..

...

....

 

Suri Yana


Selesai sahaja menulis nama Yana, aku pejamkan mataku semula. Tidak sanggup aku menghadapi realiti jikalau buku ini menipu aku. Namun, tiba-tiba dari jauh aku terdengar ada suara memanggil namaku.

“Abang Atan...ooo...abang Atan!”

Sah, buku ini memang ajaib! Suara lunak merdu itu memang aku kenal sangat. Kalau bukan Yana siapa lagi. Aku buka mata perlahan-lahan. Perlu aku tegaskan di sini, nikmat menatap wajah Yana tidak perlu tergesa-gesa. Saat aku memalingkan wajahku ke belakang, aku lihat Yana tersenyum lebar....di samping Pak Bruno.

Aisy, celaka! Macam mana si malaun ni boleh ada sekali dengan Yana.

“Abang Atan terima kasihlah sebab sudi belanja Pak Bruno makan nasi lemak kerang panas tu. Baiknya hati abang”, kata Yana ketika dia sudah mula duduk di sebelahku. Tidak terkecuali Pak Bruno juga duduk tanpa dijemput.

Aku cuma mampu tersenyum. Pahitnya senyuman itu. Aku lihat Pak Bruno sudah tersenyum lebar macam kerang busuk sambil mengusap rambut Yana. Hina sungguh aku rasa ketika itu. Pada masa itulah satu ilham jahat muncul dalam kepala otak aku. Aku tidak mahu terus menerus membenci Yana kerana dia menerima lamaran Pak Bruno. Aku tidak benci sebenarnya, malahan tidak keterlaluan aku katakan yang sayangku padanya melangit tingginya. Alahai, cinta, cinta.

Jadi, bagaimana mahu menyelesaikan masalah tiga segi ini? Salah satu watak harus mati. Dan dalam cerita tiga segi versi aku, yang harus mati tidak lain dan tidak bukan adalah Pak Bruno. Buku ajaib tadi seharusnya dapat membantuku. Ketika Yana dan Pak Bruno sedang sibuk bergurau senda (tanpa menghiraukan aku. Oh, kecewanya), aku menulis sesuatu di dalam buku itu.


Pak Bruno mati!


Hah! Sekarang baru puas hati aku. Pada waktu itu kau tahu apa yang ingin aku rasakan?  Aku cuma ingin duduk-duduk menikmati angin sepoi-sepoi bahasa sambil menunggu saat kematian Pak Bruno. Aku mengandaikan kepalanya mungkin akan ditetak oleh Mat Wira yang berpenyakit skizofrenia itu kerana menyangka Pak Bruno adalah hantu penanggal yang selama ini mengganggu orang kampung. Atau mungkin dalam beberapa minit sahaja lagi dia akan disantau angin oleh mana-mana bomoh yang pada asalnya hanya mahu menguji kehebatan santau tersebut lalu secara tidak sengaja telah membunuh Pak Bruno.

Setelah beberapa minit masih tiada lagi tanda-tanda kematian Pak Bruno. Dia masih lagi bergembira dan bahagia dengan Yana. Pak Bruno, nikmatilah sepuas-puasnya sementara masa masih ada.

Kemudian, Pak Bruno berpaling ke arahku.

“Atan, aku lupa nak bagitahu kau satu benda”

“Apa dia?”, tanya aku acuh tak acuh.

“Tak adalah penting sangat. Cuma saja nak bagitahu kau, lepas ayah aku jumpa buku tu, malamnya dia mimpikan lagi orang tua tu. Orang tua tu cakap buku yang ayah aku jumpa tu kebal dengan seluruh keturunan aku. Maknanya mana-mana orang luar yang dapat buku tu dan nak buat benda-benda tak elok dengan keturunan aku, dia akan terima balik balasan sama macam apa yang dia tulis dalam buku tu”

Aku ternganga mendengar kata-kata Pak Bruno, dan pada masa itu jugalah seekor lalat (ya, lalat sama yang muncul ketika aku mahu mencuba keajaiban buku itu!) tiba-tiba masuk ke dalam mulutku lalu menerjah terus ke kerongkongku. Aku terbatuk-batuk dan cuba meminta bantuan Pak Bruno dan Yana sebelum jatuh terkulai ke tanah. Pak Bruno dan Yana hanya mampu melihatku dengan pandangan terpinga-pinga.

Ya, ajal awal-awal lagi telah menyatakan bahawa nyawaku yang akan pergi dahulu dan bukannya Pak Bruno.

Aku menyesal kerana ada niat mahu membunuh Pak Bruno. Ah, terlambat sudah! Sepatutnya pada masa itu, saat Yana duduk di sebelah aku di atas pangkin di hadapan rumahku, aku patut menyatakan ini kepadanya:


 

“SURI YANA, DEMIMU AKU SANGGUP MATI...!”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) seronok baca. Tahniah !
  • 2) nais one!! mula2 macam sentap jugak apesal awang kenit konker cerita ni... tapi memang cara lah ending!

  • (Penulis)
    3) kuru: tahniah juga kerana tak pening2 lalat. terima kasih

    ancal: awang kenit mmg gila glamer. cerita pasal dia je dah nak 10ms
  • 4) Awak memang sangat kreatif Kamalia! Terhibur membacanya. Twist yang menjadi.

  • (Penulis)
    5) ridh: terima kasih ridh. mengarut sikit ending nya. tapi, layankan aje la, ye dak? hehe
  • 6) wahh. hehe sempoii. tulisan kamalia memang buat saya seronok baca

    saiko sungguh tajuk dengan endingnya! haha.
  • 7) kool! nyaris aku hilang akal... hehe..

  • (Penulis)
    8) caha: psiko jgk la kalau yana tau cerita ni. thanks!

    toti: aha, hilang akal? ni letakkan diri dalam kasut atan ke, pak bruno ke? atau yana? hehe
  • 9) lalat
  • 10) haha..lawak betol la. yang dongeng hantu tu pun betul eh!

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia