Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Satira

Demi Wawasan 2020

Cerpen sebelumnya:
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2)
Cerpen selanjutnya:
Sengal Haji Gedebe

Kota ini telah hancur sepenuhnya. Pernah kau dengar Malaysia? Ya itu dulu. Sekarang, Malaysia hanyalah sebuah kota sampah mayat dan laut darah. Manusia berselerakan di sepanjang jalan, halaman rumah atau di mana-mana sahaja. Tidak lagi terdengarkan suara kanak-kanak yang riang bermain di taman permainan. Suri rumah tangga sudah tidak ada yang berlonggok di hadapan rumah menjual cerita sesama mereka. Waktu petang yang dulunya hening dan tenang, kini cuma suram dan muram. Langit yang dulunya jingga bahagia kini semakin merah dengan melankolik jiwa yang derita. 

Kemusnahan ini langsung tidak pernah kita fikirkan apatah lagi bayangkan dulu. Bukankah kita ini rakyat 1 Malaysia yang sangat rukun tetangga? Bagaimana kehancuran sampai menjajah tenang kita? Kini sudah tidak ada nama Malaysia di peta dunia. Malaysia ialah kota kemusnahan. Malaysia kini cuma dikenali oleh dunia sebagai M. Mungkin M untuk mati.

Aku ini salah seorang rakyat Malaysia yang terselamat. Mungkin sebilangan kami yang tinggal ini, mahu Tuhan tunjukkan sesuatu. Termasuk aku, mungkin.

Tahun ini, 2015. Lagi lima tahun sahaja untuk menyambut tahun 2020. Tahun yang penuh signifikasi untuk seluruh rakyat Malaysia dulunya. Falsafah yang mengangkat Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia satu ketika dulu. Misi dan impian yang digubah menjadi satu tentatif perjalanan politik di Malaysia. Sejujurnya, aku bangga dengan corak pemikiran dan pengembaraan imaginasi begitu. Ke hadapan dan positif. Tapi sayang, nampaknya cita-cita dan impian itu sudah musnah sepenuhnya.

"Aisyah!" jeritan Pak Itam mengganggu aku. Sekelip mata, tiupan angin bertukar ganas bagaikan taufan sedang menghampir. Di hadapan aku angin berpusar bagai mahu menelan seluruh isi bumi. Aku menepuk tanah, bertahan dengan susunan nafas teratur. Tubuh yang hampir melayang menjadi keras bagaikan batu, pegun di tempatnya. Sesaat kemudian, keadaan kembali tenang. Pak Itam sudah berdiri di hadapan aku dengan wajah garang.

"Kau dah buat latihan fizikal hari ini?" soalnya tegas. Aku membisu. Sebenarnya, aku sangat culas mahu mengikuti jadual yang satu ini. Aku pencinta seni. Jiwa aku halus. Malah, antara semua yang terselamat hanya aku yang tidak punya kuasa luar biasa. 

Kuasa luar biasa? Pasti keadaan ini sangat komikal bagi manusia rasional lain. Tapi inilah hakikatnya. Kemusnahan kota ini juga sesuatu yang luar biasa dan tidak rasional. Sebenarnya, kuasa luar biasa ini tidak tahu bagaimana menjelma. Seminggu yang lalu, bila gempita terakhir kedengaran, semua manusia di kota ini tidak sedarkan diri. Dua hari selepas itu, aku terjaga dan di samping aku 50 manusia lain memandang aku tanpa kerdip. Sehari selepas itu baru aku tahu bahawa kesemua mereka punya kuasa tapi tidak aku. Malangnya, akulah yang terakhir terjaga kerana keesokan harinya semua manusia yang terdampar sudah mula berkulat.

Baru sahaja Pak Itam mahu membuka mulut memarahi aku, tiba-tiba bumi bagaikan dilanda Tsunami. Seperti tadi, aku cuma mampu mengawal pernafasan untuk kekal pegun di tempat sedia adanya aku.

Zeos datang lagi. 48 manusia lain bagaikan di rasuk, bermata merah membontoti lelaki itu. Matanya sebelah kiri sudah bertukar menjadi hitam seperti batu. Tangan kanannya sudah berbalut dengan senjata. Menurut Pak Itam, Zeos adalah lelaki bionik yang menjadi dalang dalam kehancuran kota Malaysia. Kecut perut aku melihat Zeos. Sejak terjaga, inilah kali pertama aku melihat Zeos. Lelaki bionik berperangai syaitan!

Pak Itam memandang aku kesal. Mungkin kerana aku tidak boleh diharapkan untuk berperang. Angin kembali berpusar seperti waktu Pak Itam mendapatkan aku tadi. Kali ini pusaran itu kian lebar. Sedar-sedar sahaja 48 manusia yang dirasuk itu sudah terlentang ke tanah. Kini Pak Itam berhadapan dengan Zeos.

Pertarungan antara Pak Itam dengan Zeos sangat hebat. Susah untuk aku memberi diskripsi lengkap. Mata aku kurang jelas, samar-samar. Cuma yang aku nampak ialah pusaran angin yang gah dan sinaran cahaya yang menembusi pusaran itu. Semakin lama, pusaran itu menjadi semakin kecil. Akhirnya yang aku nampak Pak Itam tertiarap ke tanah. Mukanya hancur sebelah. Aku terus berdiri. Menggigil. Aku? Cuma aku sahaja yang terselamat di kota ini?

Sementara itu Zeos kian menghampiri aku. Aku menjadi gelabah. Mengapa aku yang ditakdirkan hidup antara semua? Aku yang terakhir bernafas di kota ini adalah manusia yang tidak punya sebarang kebolehan dan keistimewaan. Aku tidak punya sebarang kuasa yang membolehkan aku melawan Zeos!

Susuk Zeos walaupun tidak begitu besar dan menakutkan, namun masih mendatangkan gerun aku. Aku duduk bersila, menarikan rentak nafas baik-baik untuk seketika. Dalam keadaan tenang ini aku terkenangkan semua impian dan cita-cita aku. Aku mahu menjadi anak seni, aku sukakan seni. Aku punya kebolehan melukis, aku mampu bersajak, menulis cerita, menangkap gambar, apa-apa sahaja! Aku boleh tenggelam dalam dunia aku sendiri dengan seni.

Dan entah datang dari mana, hati aku membulat tekat. Keganasan Zeos akan aku hapuskan dengan jiwa seni yang aku miliki. Tentu Tuhan mahu tunjukkan sesuatu pada aku. Jika tidak, mengapa aku ditakdirkan tinggal melawan Zeos seorang diri?

Aku pegunkan ketakutan yang semakin melebar di hati. Aku pandang wajah Zeos yang buruk itu. Baru aku perasan, Zeos ini hanyalah lelaki tua bersifat bionik dan berperangai syaitan! Lalu, aku tiba-tiba sahaja menjadi bersemangat.

Aku lakarkan sebuah kota di atas tanah. Zeos masih berdiri di hadapan aku dengan gelak bangga seolah-seolah apa yang aku lakukan adalah manifestasi ketakutan. Zeos dengan galak menyangka bahawa kemenangan sudah menjadi miliknya secara total. Mungkin dari segi psikologi, Zeos betul. Tapi Zeos lupa bahawa melukis juga adalah suatu terapi yang baik untuk merencanakan minda dan menenteramkan perasaan. Aku tersenyum diam-diam, takut jika Zeos menyedari rancanganku.

Lukisan yang usai dilukis itu aku coretkan beberapa baris ayat yang tulus dari hati aku, "Tuhan itu Maha Besar yang mendatangkan setiap perkara dengan sebab yang adil. Kalau kota ini tidak adil dimusnahkan seperti ini, maka Tuhan kembalikanlah bahagia kami. Jika tidak maka sertakan aku sekali dalam kemusnahan ini." Setelah siap, aku hembuskan nafas lega tepat ke arah lukisan itu. Tanpa di sangka-sangka kota ini bagaikan mahu terbelah. Bumi retak betul-betul di antara dua tapak kaki Zeos.

Seketika, terkangkang-kangkang Zeos cuba berlagak tenang di hadapanku. Saat rekahan tanah menjadi semakin luas Zeos kelihatan semakin kaget. Lelaki bionik yang tua itu cuba menyelamatkan diri dengan menolak dirinya yang berperut boroi itu ke arah tanah lapang jauh dari tempat kami berada sekarang. Namun segalanya bagaikan sudah terlambat. Di saat Zeos cuba untuk melompat itu, langkahnya seperti menzalimi tubuh itu. Langkahnya tidak sampai lalu Zeos di telan bumi.

Aku terdiam. Kota ini sudah hancur, Zeos sudah mati dan aku kebuntuan sendirian di sini. Apa yang patut aku lakukan sekarang? Berhijrah ke kota lain adalah mustahil. Bagaimana mahu mendapatkan pasport sedangkan kota Malaysia sudah tidak wujud lagi. Bukankah Malaysia kini ialah M? Aku buntu.

Air mata aku hampir sahaja menitis bila aku terdengar suara seseorang memanggil aku.

"Aisyah!" kasar suara itu. Aku memandang. Pak Itam?

"Bukankah kau telah mati?" soal aku bingung. Namun Pak Itam cuma menghadiahi aku senyuman senget seperti kambing. Ah, bencinya! Namun aku lega. Setidak-tidaknya aku punya teman di kota ini.

Wawasan Tun Mahathir mungkin bakal tercapai. Aku akan mulakan bersama Pak Itam, sedikit-sedikit. Bukankah sikit-sikit itu lama-lama akan menjadi bukit? Aku membuat telahan sendiri.

Pak Itam bertanya aku. "Kita mahu mulakan dengan misi yang mana?"

Aku jungkit bahu. Entah kenapa, tiba-tiba Pak Itam menjerit memanggil namaku.

"Aisyah!!!"

***** 

Aku terpisat-pisat seketika. Di hadapan aku Cikgu Ashman berdiri dengan wajah cengeng. Kulitnya yang gelap dan misainya yang tebal itu mendatangkan gerun di hati aku. Rupa-rupanya aku tertidur tadi.

"Bangun!" arah beliau. Aku bangun dengan perlahan-lahan. Wajah aku tundukkan memandang ke lantai.

"Apa awak akan lakukan untuk menjayakan sasaran negara demi mencapai 70 juta rakyat Malaysia menjelang 2020?"

Inikah yang mahu disoal Pak Itam tadi? Aku bermonolog sendiri.

Perlahan-lahan, aku melawan pandang wajah Cikgu Ashman. Dengan jelas aku menjawab, "Saya akan lahirkan anak enam orang cikgu!" Mulut Cikgu Ashman ternganga dan kelas bertukar menjadi hingar bingar dengan tawa kawan-kawan sekelas.

 

Cerpen sebelumnya:
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2)
Cerpen selanjutnya:
Sengal Haji Gedebe

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.0
2 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2371 bacaan
Kanibal Malaya | 2840 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 4041 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 9987 bacaan
Naskah | 2249 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3468 bacaan
pcb#2: Lecuran | 2783 bacaan
Tuhan itu cinta | 2762 bacaan
no title | bacaan
NUR IV | 2041 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

4 Komen dalam karya Demi Wawasan 2020
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik