Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Konfrontasi Tiga Suku

  • 2
  • toti
  • 13 years ago
  • 2,803
  • FREE

 

Langit meredup dengan awan komulus berskala kecil terbentuk hasil daripada gerakan angin vertical dan horizontal. Gerakan angin tadi menyebabkan gumpalan awan semakin besar dan saling bertindih. Nun dibawah pohon ru yang rendang, ada seorang lelaki pertengahan usia sedang galak berpidato sambil diperhatikan sekumpulan orang-orang yang berpakaian putih dengan bermacam ragam. Suaranya terdengar lantang.

"Perhatikanlah sistem yang sedang berjalan sekarang ini. Yang kaya akan menjadi bertambah kaya sedang yang miskin akan terus melarat tanpa pembelaan wajar".

Dia mendiam seketika sambil memandang khalayak.

"masa telah membuktikan kepada kita semua bahawa sistem sekular yang menjadi pemangkin kepada perjalanan kapitalisme ini telah gagal secara total dalam membela nasib rakyat. Dan lebih parah lagi, sistem ini telah menjadi musibah besar kepada pendukungnya. Lihat sahaja keadaan kita pada hari ini. Kita ditekan oleh peningkatan kos sara diri yang begitu tinggi. Sehinggakan pendapatan isi rumah tidak lagi mampu menampung bebanan ini. Dalam ketiadaan pilihan akhirnya ramai dari kita akan terjerumus ke dalam lembah kredit yang tak berhujung”.

Ramai dikalangan khalayak yang mengangguk setuju dengan hujahnya. Namun terdapat juga mengeleng-gelengkan kepala. Tidak kurang pula yang ketawa.

“Maka tidak hairanlah jika hutang isi rumah dinegara kita ini merupakan yang tertinggi dirantau asia. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Negara menunjukkan kadar paras hutang isi rumah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun 2009 berbanding 63.9 peratus pada tahun 2008. Peningkatan yang sangat membimbangkan dan dijangka akan terus meningkat untuk tahun 2010.”

Jumlah khalayak makin bertambah. Terpanggil oleh pidatonya yang mengumamkan.

“Jadi persoalannya sekarang, siapakah yang mengaut keuntungan dari musibah ini? Tidak lain dan tidak bukan, adalah juak-juak kapitalis yang kepentingan mereka dipelihara secara baik oleh sistem kita. Musibat inilah yang mengepalai syarikat-syarikat perbankan dan malaon ini jugalah yang merencana ekonomi negara. Kita dimangsakan demi memenuhi ambisi gila kapitalis. Mereka menikmati hidup di atas penderitaan kita. Ibarat menangguk di air keruh!”

Keadaan menjadi riuh seketika dengan suara sorak khalayak. Dia senyap sebentar bagi meredakan suasana.

“Apalah gunanya lagi kita mempertahan sistem yang korup. Sedang ianya telah jelas dieksploitasi secara besar-besaran oleh susuk kapitalis yang hanya mengejar keuntungan semata. Dimata mereka kita sekadar alat yang diperalat untuk mencapai matlamat. Kita perlu segera menghentikan kezaliman ini. Walaupun terpaksa membayarnya dengan harga yang sangat mahal”.

 Dedaunan kering  pohon Ru itu berguguran  satu persatu  seiring gemuruhnya tepukan. Langit masih lagi meredup namun suhu pidato lelaki setengan baya itu masih belum ada tanda mahu surut.

“Sudah sampai pada ketikanya untuk kita beralih kepada suatu sistem yang lebih telus dan mampan. Sekularisme telah gagal menghadirkan kemaslahatan untuk manusia sejagat seperti juga halnya dengan anarkisme, komunisme, liberalisme, pluralisme dan seangkatan dengannya. Sistem bobrok ini hanya memberi manfaat kepada segelintir manusia yang kemudiannya memanipulasi kelemahan dari sistem tersebut untuk keuntungan maksima sehingga memudaratkan seluruh umat. Lihat saja apa yang telah berlaku kepada Indonesia, Thailand, Myanmar, Argentina dan Greece. Mereka terpaksa mengadai kedaulatannya kepada IMF untuk membolehkan mereka melangsaikan hutang-piutang yang menggunung”.

Dia sempat menelan air liur sebelum menyambung kembali pidatonya.

“Jika kita masih terus membiarkan sistem ini berlangsung, bermakna kita telah memilih mati sebelum ajal. Bersiap-sedia untuk membontoti  jejak negara-negara tersebut. Dan bila keadaan itu berlaku, sang tirani yang telah dibeli seluruhnya oleh juak-juak kapatalis akan mengarah semua rakyat supaya mengubah gaya hidup dan berjimat-cermat. Walhal, untuk menampung hidup tanpa gaya ini saja sudah tidak mencukupi. Celah mana lagi hendak dijimat? Yang perlu berjimat-cermat itu adalah orang yang hidupnya diselimuti kemewahan kerana golongan ini saja yang mampu untuk membazir. Tak masuk dek akal jika rakyat yang hidupnya serba kurang dan tinggal berasak-asak dalam gebuk dan rumah kotak disuruh mengubah gaya hidup”.

Sekali lagi tepukan dan sorak khalayak bergema. Mereka nyata terkesima dengan hujah dan fakta yang dihidangkan oleh lelaki itu. Auranya begitu kuat dan memikat. Sementara itu awan komulus semakin banyak terbentuk. Sekaligus mengubah atmosfera menjadi semakin dingin dan angin turut menukar halalaju menjadi sedikit kencang. Sesekali awan hitam yang dibawa angin itu menghalangi sinar mentari.

“Bagaimana kita boleh menjadi satu, bila orang lain yang membazir tapi kita yang dikerah untuk berjimat? Bagaimana kita boleh menjadi satu, bila mereka yang salah tadbir tapi kita yang menanggung akibat? Oleh yang demikian kita harus segera menggerakkan perlawanan ini demi menghentikan penganiayaan masal yang selama ini kita deritai. Hak sebagai rakyat disekeping tanah berdaulat wajib diangkat tanpa sebarang syarat!”

Langit sudah tidak berdaya untuk menampung beratnya awan komulus dan proses presipitasi pantas mengambil tempat. Rintik-rintik halus itu menjatuh kebumi sebelum diserap oleh tanah. Lelaki itu masih utuh di situ, setia berdiri di bawah rendangnya pohon Ru. Sedang khalayak pergi menghindar.

Tiba-tiba ada suara yang memekik.

“Anwar buat apa tercegat lagi bawah pokok tu. Mari balik hari dah hujan”.

Perempuan yang berseragam jururawat itu cuba memujuk. Namun dia masih enggan berganjak.

“Ingat perlawanan perlu diteruskan walau dalam apa jua keadaan kerna menyerah itu bukan pilihan. Lawan tetap lawan!”

Dia membalas spontan. Kelihatan ada dua orang lelaki bertubuh sederhana besar menuju kearahnya.

“Tolong bawakan dia ke wad 18”.

Arah perempuan itu. Sementara dua lelaki tadi memimpin Anwar beredar meninggalkan pohon Ru. Anwar hanya akur tanpa perlawanan ketika dipimpin pergi sambil diperhatikan pesakit-pesakit lain yang juga sedang menuju ke wad masing-masing.

“Demi negara yang tercinta, dicurahkan bakti penuh setia, demi raja yang disanjung tinggi, kesetiaan tak berbelah bagi. Kepada pemimpin, kepada rakyat, khidmat diberi penuh taat. Sama berkerja, sama berusaha sedia berkhidmat untuk semua. Rela berkorban apa saja……”.

Suaranya nyanyian Anwar semakin menjauh dan perlahan-lahan menghilang sebaik melintasi pintu yang tertera Wad 18 Khas, Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Anwar for prime minister. eyh cop, ANWAR????
  • 2) Hmm... Berat ni.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti