Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB#2: Aku dan Bro Ramu

 

PAGI itu hujan renyai-renyai. Langit masih belum diselimuti mega kelabu sepenuhnya. Masih ada cebisan sinar mentari yang kelihatan. Seperti hari-hari sebelumnya, aku tetap menjalankan rutin harianku tidak kira dalam panas mahupun hujan. Ia sudah termaktub sejak aku wujud, menjadi tanggungjawabku untuk bekerja setiap hari, 12 jam bermula dari pukul tujuh pagi sehingga tujuh malam. Penat? Aku tidak kenal erti perkataan itu. Asalkan aku dijaga rapi, itu sudah memadai untuk aku menjalankan tugasku.

Seorang lelaki tiba di sebelahku lalu memasukkan sesuatu ke dalam sebuah ruang kecil dalam tubuhku. Sesuatu yang membuatkan jantungku berdenyut. Oh, hampir terlupa untuk mengenalkan lelaki itu. Bro Ramu, berkulit hitam manis dengan rambut kerinting. Orangnya tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Sedang-sedang sahaja. Hidungnya tidaklah mancung bak seludang tetapi bibirnya memang seperti delima merekah dan giginya, putih bersinar tanda dia bukan seorang perokok. Aku suka melihat dia menguntum senyum. Senyuman yang membuat hari-hariku berlalu dengan begitu ceria.

Bro Ramu memiliki mata yang bundar. Keningnya pula tebal dan seakan bercantum di tengah-tengah. Kata orang, kening yang bercantum ni perwatakannya kuat cemburu. Sedikit-sebanyak akukau bersetuju kerana Bro Ramu ini pantang jika ada yang memuji aku. Pasti dijeling atau dibuntangkan matanya.

Aku bukan dipuji kerana cantik, bukan. Ikutkan, aku sama sahaja seperti rakan-rakan yang lain. Cuma mungkin kerana Bro Ramu menjaga aku dengan baik dan menyayangiku sepenuh hati, maka aku kelihatan lebih bergemerlapan dari rakan-rakan yang lain. Bro Ramu selalu membelai aku seakan aku ini temannya yang paling akrab. Ya, aku tidak nafikan itu. Bro Ramu dan aku seakan dua jasad yang mempunyai satu hati. Aku sangat bertuah kerana memiliki Bro Ramu sebagai teman.

Namun, sebaik mana pun Bro Ramu menjagaku, ada sahaja tangan-tangan gatal dan miang yang menodaiku. Organ dalamanku ditoreh sesuka hati. Dilakar dengan kata-kata nista. Itu belum lagi yang membuat dajal dengan mematahkan sendi-sendi yang ada. Sakit, tidak dapat aku gambarkan rasanya. Mujur Bro Ramu sudi berada di sisiku saban waktu. Dialah yang mengubati setiap lukaku dengan kasih sayangnya.

Aku sangat memahami hati temanku ini. Kerapkali dia menyumpah-seranah mereka yang menyakitiku. Jelas dilihat kemarahan yang bernyala-nyala di matanya yang bundar itu. Namun dia tidak punya kuasa untuk menghukum tangan-tangan durjana itu kerana tiada bukti yang kukuh. Tangan-tangan ini bijak menyembunyikan perbuatan terkutuk mereka.

“Selamat pagi Bipasha Basu!” ucap Bro Ramu padaku.

Aku senyum memanjang. Ya, itu nama panggilanku. Hanya Bro Ramu yang memanggilku begitu dan aku senang dipanggil begitu. Aku tahu Bro Ramu sangat meminati aktres Bollywood tersebut. Bipasha Basu itu cantik bukan? Siapa yang mengatakan dia tidak cantik, sila buat pemeriksaan mata.

Aku mula menjalankan tanggungjawabku. Bergerak membelah jalan raya yang mula sesak dengan kaum kerabatku yang lain. Bro Ramu bersiul kecil. Gembira nampaknya lelaki itu hari ini. Oh, aku tahu mengapa. Pasti pulang nanti saku seluarnya berisi. Hujung bulan, saat yang dinanti oleh semua yang bergelar pekerja.

Tidak sampai sepuluh minit perjalanan, aku berhenti. Seorang wanita berbaju kurung melangkah masuk ke dalam tubuhku. Bro Ramu menyapa wanita itu. Aku juga sudah teramat kenal dengannya. Wanita yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pusat beli-belah di bandar itu melabuhkan punggungnya di salah sebuah organ dalamanku.

Beberapa minit kemudian, aku berhenti lagi. Kali ini kelihatan seorang lelaki dan gadis pula. Pada pandanganku, mereka ini sepasang kekasih. Lihat sahaja kemesraan lelaki itu memaut pinggang si gadis. Pasangannya pula bukan main meliuk-lentuk di bahu si lelaki. Apatah lagi seakan mahu terjojol biji mata melihat pakaian yang disarung pada tubuh gadis itu. Apakah gadis tersebut terlalu miskin sehingga tidak mampu membeli baju yang seperti tidak cukup kain itu? Ah, fesyen. Wanita berbaju kurung yang melihat hanya tersengih. Aku tahu wanita itu pasti mengutuk di dalam hati. Aku yang melihat pun rasa meluat. Mereka tampak muda lagi, entah sudah punya hubungan yang sah atau belum.

Bro Ramu terus bersiul. Baru beberapa minit, aku berhenti lagi. Kali ini ada lima anak muda berpakaian seragam putih dengan seluar hijau dan kain rona biru melangkah masuk. Tiga lelaki dan dua perempuan. Bro Ramu mengangkat kening. Aku juga berperasaan yang sama. Setahu aku, Bro Ramu tidak akan membawa diriku ke sekolah. Sekolah tidak termasuk dalam destinasiku. Justeru, ke mana anak-anak muda ini hendak pergi? Bro Ramu sudah menggeleng. Aku tahu dia sedih. Yalah, ibu bapa penat bekerja mengumpul duit untuk menyekolahkan mereka, memberi pelajaran agar menjadi manusia berguna pada masa hadapan tetapi mereka alpa dan lebih gemar berpeleseran mengikut gejolak hati. Hendak ditegur, Bro Ramu tidak punya hak. Nanti dikata penyibuk pula.

Wanita berbaju kurung tadi ikut sama menggeleng seraya membuang pandang ke luar. Terkenang anak di rumah yang masih kecil agaknya. Aku berharap anak wanita itu tidak menjadi seperti mereka. Wanita itu pernah memberitahu Bro Ramu yang anaknya yang bongsu baru berumur lima tahun sementara anak yang sulung sedang melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang kedoktoran. Lihat, seorang tukang cuci boleh saja memberi didikan yang baik pada anak-anak. Inikan pula mereka yang punya harta melimpah-ruah. Seorang anak jangan terlalu disogok dengan kemewahan. Kelak mereka mudah lupa diri.

Aku berjalan lagi dan kali ini berhenti di hadapan sebuah kedai menjual basikal. Seorang lelaki berpakaian kemas menghadiahkan senyum pada Bro Ramu. Aku juga kenal lelaki itu. Seorang penjawat awam yang bekerja di sebuah pejabat pentadbiran daerah. Lelaki yang tidak gemar memandu atau dalam erti kata lain, mengalami Amaxophobia, sejenis penyakit takut menaiki kereta dek kerana kemalangan yang dialami setahun lalu. Kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah motosikal yang bergerak laju. Walau tidak mengalami kecederaan yang serius, tetapi penunggang motosikal yang merempuhnya itu masih koma sehingga sekarang. Walau bukan salah lelaki itu, dia tetap terkena tempias rasa bersalah.

Ah, orang yang memandu memang sentiasa hendak cepat. Terburu-buru walhal tiada apa yang perlu dikejarkan. Cubalah contohi Bro Ramu yang cermat dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ini. Baru selamat.

Tiba-tiba aku tersentak. Terasa salah sebuah dari organ dalamanku disentuh . Tidak! Aku melihat salah seorang dari kumpulan anak muda tadi menconteng sesuatu. Nombor telefon dan kemudian melukis benda yang sangat memalukan, yang menjatuhkan maruah diri. Rosak! Memang sudah rosak pemikiran mereka ini. Aku dengar ketawa mereka meletus tetapi perlahan saja. Tidak mahu Bro Ramu mendengar. Tak guna! Kali ini mereka menulis kata-kata lucah pula. Kurang ajar!

Sungguh aku mahu menjerit memberitahu bro Ramu akan perlakuan tidak senonoh mereka tetapi aku tahu jeritanku tidak mungkin didengari Bro Ramu. Tidak, aku tidak rela mereka menodai aku begini.

Bro Ramu tiba-tiba menghentikanku. Dia memakirkan aku di bahu jalan. Kemudian, dia bingkas bangun dari duduknya lantas menuju ke belakang tubuhku. Wajahnya dibengiskan. Aku tidak suka wajah Bro Ramu yang begitu tetapi aku tahu dia sudah tidak boleh sabar lagi.

“Tak ada kerja lain nak buat?” jerkah Bro Ramu.

Anak-anak muda tadi terkulat-kulat menerima herdikan Bro Ramu. Kali ini giliranku pula ketawa puas. Padan muka! Aku yakin Bro Ramu dapat melihat gerak-geri mereka dari cermin pandang belakang.

“Orang suruh pergi sekolah, belajar! Bukan memonteng. Dah lah ponteng, merosakkan harta benda awam pula. Kau orang ingat bas ni bapak korang yang punya?” marah Bro Ramu membuatkan anak-anak muda itu menundukkan wajah.

Seorang pelajar lelaki dengan rambut yang dibelah tengah bangun. “Jom guys!

Empat lagi rakannya mengikut langkah pelajar lelaki itu melangkah turun. Sempat dijeling Bro Ramu. Biadap sungguh! Bro Ramu hanya diam memerhati. Wanita berbaju kurung dan lelaki berpakaian kemas itu mengangguk, tanda bersetuju dengan tindakan Bro Ramu sementara pasangan kekasih tadi buat tidak endah sahaja. Maklumlah, orang bercinta ini hidup dalam dunia mereka sendiri. Sudah tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling.

Bro Ramu melangkah ke tempat duduknya semula. “Ada saja yang nak buat dajal pada Bipasha Basu aku ini,” rungut Bro Ramu.

Aku sangat gembira dengan Bro Ramu yang sangat menyayangi diriku ini. Syukur aku mendapat dia sebagai tuan yang menjagaku. Seketika kemudian, aku mendengar dia kembali bersiul dan aku, kembali bergerak menuju ke satu demi satu perhentian sambil terus memerhati manusia yang pelbagai ragam itu.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Autobiografi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Lama tak menulis cerpen begini. Layan aja...
  • 2) haha! mula ingat kereta. pastu ingat teksi. rupanyaaa basss!
    patutlah lepas dah ada pelanggan, ada orang lain lagi yang masuk. hehehehe last-last baru dapat faham!

    terima kasih ridh sudi menyertai PCB!
  • 3) riri da bagi hint awal dah tu .. bipasha BASu. kan riri kan?
  • 4) yeah! dah lama tak tunggang Bipasha Basu!!! oops!! riri rocks!
  • 5) kan...
    bas mini gitu bipasu tu
    hehe
  • 6) dulu kalau naik bas masa zaman sekolah menengah, kalau lelaki x duduk belakang sekali x cool. rela diri ramai2 kt belakang bas. tak tau sebab apa, mungkin sebab dpt ngk setiap awek yg naik, atau tak sempat bayar tambang sampai destinasi n naik bas free atau mungkin mentaliti sama kalau kat kelas atau dewan mesti nak saf belakang. anyway, tak pernah conteng belakang kerusi bas, tapi suke baca apa2 tah budak2 ni tulis dulu. biasa la dah nama budak2 ..
  • 7) amboi, bipasha basu

  • (Penulis)
    8) caha: Terima kasih awak. Dah lama tak menulis cerpen, mengubat rindu sebentar.

    ancalime: Awak sangat pandai!

    kurusawa: Hehehe... Pertama kali orang panggil saya rocks. Selalunya jiwang karat.

    kak reena: Kan,idea datang masa tengah naik bas.

    mosh: Tak dinafikan kenyataan itu. Cuma saya tak suka baca apa yang mereka tulis. Memualkan.

    kamalia: Tak pasal-pasal Bipasha Basu yang dapat nama. Hehehe...

    Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen.

Cerpen-cerpen lain nukilan ridhrohzai

Read all stories by ridhrohzai