Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Jalan Menggapai Bintang

 

Jalan Menggapai Bintang

 

 Ayoh Aji

 

Tanggal 10 Oktober 1968, lahirlah ambo di sebuah desa, Kampung Joh namanya. Kata arwah Mek, ambo dilahirkan dekat dengan surau kampung Joh. Sebut fasal surau ni, ambo teringat nama besar gemulah Tok Iman Haji Ya. Beliau tokoh agama di kampung ambo. Lo ni beliau diganti oleh Tok Imam Pak Sof. Berhampiran dengan surau inilah letaknya tapak rumah asal keluarga ambo. Tidak banyak cerita di sini yang ambo ingat (mungkin umur ambo dua atau tiga tahun masa ni). Ingat-ingat masa tu tahun 1973 atau tahun 1974.

 

Tok ambo namanya Haji Omar bin Haji Ma’il. Ambo panggil Ayoh Aji. Tok ambo ni jenis sayang kat anok cucu. Arwah Mek pun terlebih manje dengan tok ambo ni. Kata Mek, ”dah besar-besar pun Ayoh Aji dok dukung Mek lagi”. Sebab tu agaknya arwah Mek tak dibagi gi sekolah. Jadi arwah Mek ni tak tahu ‘nulih baco’. Kekangan zaman tu mungkin buat Mek tidak mendapat pendidikan. Mentaliti tok ambo mungkin tak terbuka lebih-lebih lagi Mek ambo ‘anok tino’. Ambo tak pasti pula adik-beradik Mek ambo hok lain bersekolah atau sebaliknya, tapi dengar cerita Pak Cik Abdullah dan Pak Cik Said jadi askar. Dapatlah juga anugerah tanah sekeping dua. Walaupun Mek tak tahu ‘nulih baco’ namun pesanan dan nasihat Mek selalu jadi bara yang membakar semangat ambo untuk berjaya dalam kehidupan. “Kalu mu tak ngaji betul-betul mu nak jadi gapo?” Kata-kata Mek itu meninggalkan kesan yang mendalam di dada ambo hingga lo ni.

 

Ayoh Aji, terima kasih cucuandamu ucapkan kerana Ayoh Ajilah peneman ambo masa ambo masuk sekolah darjah satu dulu. Seminggu juga ambo ingat Ayoh Aji kena hantar ambo gi sekolah. Maklumlah di kampung ambo takde prasekolah atau tadika. Jadi, rasa takut menebal dalam diri. Syukur berkat doa Ayoh Aji, ambo bulih dikatakan rajin juga ngaji sekolah. Sejak darjah satu lagi ambo lancar doh baca buku. Suka wei!.

 

“Di desa suci,

 aku diberi kesempatan ,

 melihat dunia,

 membesar bersama-sama,

didikan dan asuhan ,

tok, ayah bonda,

membekalkan aku ilmu  di dada, 

jadi aku anak yang cinta ilmu,

walau tidak sebijak Imam Syafie.


Cinta itu berbunga ,

jadi putik berbuah keinginan,

 mendalami ilmu,

 ingin perbaiki,

 kejerihan keluarga,

jerih hidup perit,

kuatkan azamku,

 bangkitkan semangat,

meredah  jalan,

menggapai bintang,

di  pelantar

langit ketujuh”.

Zaman kanak-kanak ambo agak nakal. Ayoh Ajilah sibuk gi cari ambo dalam bende, tepi hutan, dalam sungai dan kat rumah Mak Da Timah. Sabar benar tok ambo ni. Cucu-cucu tak lekat duk di rumah. Belukar mana tak diredah, bawa lastik cari burung candek kuning dengan saing-saing baik ambo seperti Mat Binjai dan Za Paknik Ade. Masa musim buah, segenap kebun orang kami makan buah. Kami tolong panjat tapi kami makan kenyang-kenyang dulu baru petik buah untuk tuan kebun. Pernah ambo makan kelapa mudo atas pokoknya... ‘demo boleh buat ke’?. Pada musim boh pulok kami sibuk menahan taut di segenap alur Sungai Joh (anak sungai) sampai kecut kulit baru teringat nak balik ke rumah.

 

Ayoh Aji ‘tinggalkan’ kami pada satu hari Jumaat tahun 1975. Tarikh tepat ambo tak ingat. Masa ni ambo baru nak kenal ABC. Terasa sangat kehilangan Ayoh Aji. Tinggallah kami di bangsal kecik ‘tupe’ tanah orang, Tok Besin namanya, cina kaya banyak tanah di kampung Joh. Di sinilah Mek ambo besarkan ambo empat beradik penuh dengan suka duka dan linangan air mata. Namun rasanya arwah sempat menikmati kebahagiaan atas kejayaan anak-anaknya.

 

Air Mata Ibu Yang Aku Lihat

 

Jumaat 1975

Ayahmu bonda - pergi buat selama-lamanya

Air matamu gugur

Hilang sudah tempat mengadu

Hilang sudah tempat mengharap kasih

Jadilah bonda anak yatim piatu

Air mata ibu yang aku lihat

Aku tak mengerti saat itu.

 

Jumaat 4 Oktober 1985

Suamimu bonda - menyusur ayahanda menemui yang Esa

Air matamu menitis lagi

Hilang sudah tempat mencurah kasih

Hilang sudah tempat bergantung harapan

Jadilah bonda ibu tunggal

Air mata ibu yang aku lihat

Aku mengerti kini.

 

Sabtu 26 Ogos 1995

Bonda - kau pergi meninggalkan kami selama-lamanya

Gugurkan air matamu kali ini?

Bonda kau tinggalkan kami sebagai hartamu

Bonda semoga rohmu dicucuri rahmat

Air mata ibu yang aku lihat

Aku jadi lebih mengerti kini.

 

Semasa Bersekolah Rendah

Masa berlalu. Ambo meneruskan pendidikan rendah bersama kawan-kawan sekampung. Zaman sekolah rendah ambo ni memang cukup nostalgia. Nama sekolah ambo tu SK Sungai Bagan. Ada enam kelas semuanya, dari darjah satu hingga darjah enam. Masih segar dalam ingatan cikgu-cikgu yang pernah ajar ambo. Cikgu Mat Nor orang Kuang Hitam ngajar ambo Bahasa Inggeris. Cikgu Nawi orang Tok Bok ajar ambo Matematik. Cikgu Sa’adah orang Tok Bok juga ajar ambo Bahasa Melayu. Cikgu Norizan ajar ambo Bahasa Inggeris. Cikgu Soh ajar ambo Pendidikan Islam dan Cikgu Ismail ajar ambo Bahasa Melayu. Hok lain ambo dah lupo ajar gapo. Tapi, ambo nok ucap terima kasih kat sumo cikgu ambo sebab cikgu sudi duk ajar ambo. Minta dihalalkan segala ilmu. Tak lupa Pak Teh Wahab tukang kebun, Pak Cik Abu Hasan jaga sekolah dan Pendi budak pejabat sekolah. Moga-moga anda semua sihat sejahtera hendaknya dan al-Fatihah  sekiranya ada dalam kalangan cikgu ambo tu yang telah kembali ke rahmatullah.

 

Satu Detik Itu

“Saban waktu kita dengari
perginya insan-insan yang mungkin kita sayangi
muda atau tua
sihat atau sakit
lapang atau sempit
miskin atau kaya
lelaki atau wanita
sama saja
tiba detik itu tidak terlewat sesaat
tidak detik itu tercepat sesaat
moga keinsafan menyentuh jiwa
membawa pulang hati ke syariat Ilahi.”

 

Hari-hari ambo gi sekolah jalan kaki. Kalau musim hujan, ambo gantung kasut kat leher sebab jalan becak. Sampai di sekolah baru ambo pakai semula kasut tu. Kalau tak gantung lagu tu, alamat kasut macam enam bulan tak basuh. Sekolah rendah nilah tempat ambo pandai baca dan menulis. Di sini jugalah tempat ambo bersukan dan belajar ilmu pengakap. Semuanya banyak memberi manfaat kepada ambo untuk mengenal kehidupan. Saing-saing sekelas dengan ambo masih lekat dalam benak ambo hingga lo ni. Memori terhadap Za Pak Nik Ade, Lan Kadir, Selan Pak Cek, Selan Hassan, Denan Hitam, Eddy, Mizi Yunus, Poh Chin, Awi Mat Kumbang, Yati Pak Bir, Yati Ali, Choo Siam, Hana Che Noh dan lain-lain tak pernah terpadam. Moga-moga kalian berjaya dalam kehidupan masing-masing. Tulah doa ambo buat demo.

 

Ambo bulihlah dikatakan antara murid yang pandai. Selalu juga ambo duk tunjuk kat saing-saing fasal Matematik dan Sains masa Cikgu Nawi yang garang tu duk aja dalam kelas. Masa Cikgu Nawi ni ada dalam kelas, semua senyap macam tikus takutkan ‘bapak kucing’ yang dah seminggu tak makan. Masa di sekolah ini juga ambo ada best friend, iaitu Hamizi. Gi ke mana-mana  sahaja kami selalu bersama-sama.

 

Terlalu banyak kenangan kami terutama semasa kami menjadi ahli pasukan pengakap sekolah. Sewaktu ambo belajar dalam tahun enam, dalam suatu perkhemahan pengakap, ambo dianugerahkan gelaran pengakap terbaik. Itulah antara kenangan yang terpahat alam ingatan ambo hingga ke hari ni. Ada satu tragedi berlaku semasa perkhemahan tu.  Anak Cikgu Soh, iaitu guru pengakap kami, mati lemas ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Klate ke Pulau Raya tempat kami berkhemah tu. Ambo masih terbayang betapa Cikgu Soh menjerit abih reng melarang anaknya berenang. Ketenangan Cikgu Soh  jelas terpancar kerana dia masih mampu menunaikan solat hajat setelah anaknya itu tidak timbul-timbul lagi di permukaan sungai. Tiga hari selepas itu baru mayat anaknya ditemui. Kami seluruh warga sekolah turut bersedih atas kehilangan anak Cikgu Soh. Tamat jah darjah enam,  ambo teruskan persekolahan ke peringkat menengah bawah pulok.

 

Semasa Bersekolah Menengah

Ambo ni bertubuh kecik jah. Nak banding dengan budak lain, ambo kelompok keciklah. Rumah ambo jauh juga dari sekolah. Banyak akiviti sekolah ambo tak dapat libatkan diri. Masa sekolah menengah bawah, ambo bersekolah di SMK Abdul Samad, Pulai Chondong. Tak banyak kisah ambo di sekolah ni sebab ambo ni murid biasa yang mengikut segala peraturan sekolah. Cuma sekali tu ambo kena tampar dek guru Bahasa Malaysia. Ambo ingat lagi. Cikgu tu namanya Cikgu Fauzi. Atas sebab membaca karangan kawan sekelas tanpa izin murid itu, dapatlah kami (beberapa orang) penampar free Cikgu Fauzi. Terima kasih, cikgu! Pengajaran hasil peristiwa tu kekal hingga sekarang dalam ingatan ambo. Sejak itu, ambo tak pernah nak ambik lagi hak orang tanpa memohon kebenaran. Alhamdulillah, “aku akan  genggam sampai mati tunjuk ajar tu, cikgu”.

Oleh sebab mendapat keputusan peperiksaan SRP yang baik, ambo berpindah ke SMK Machang untuk meneruskan persekolahan dalam aliran sains. Rasa janggal juga masuk ke sekolah baru ni. Ramai budok yang ambo tak kenal. Belajarlah ambo di sekolah ni macam biasa. Ada beberapa orang cikgu yang ambo suka usik. Guru fizik, iaitu Mr. Lim,.. ho, ho, cukup pekat dengan pelat Cinanya. Suka sangat ambo ajuk cakap-cakapnya,“Lu talak mahu belajaq mahu jadi apo?” Apa-apa pun ambo mohon maaf daripada semua guru ambo jika ada kenakalan ambo dan saing-saing ambo yang telah mengguris hati cikgu-cikgu. Sesungguhnya kalianlah yang telah menjadikan ambo ni orang.

Ambo tidak cemerlang mana dalam peperiksaan SPM. Kekurangan bahan rujukan mungkin satu sebabnya. Ambo tak mampu nak beli buku rujukan seperti anak-anak zaman sekarang. Pada ketika itu ambo cuma mengharapkan buku teks semata-mata. Hidup ambo miskin. Ya, ambo hidup dalam kemiskine. Yang ambo ada  cuma buku rujukan Pendidikan Islam(PI). Itu pun setelah ustaz beriya-iya suruh ambo beli dan memang berbaloi keputusan PI ambo. Ambo bulih A1. Bulih kata ambo hafal setiap infomasi dalam buku itu. Subjek lain hanya cukup untuk melayakkan ambo masuk ke tingkatan enam.

Ketika di tingkatan lima itu jugalah ayah ambo pergi buat selama-lamanya. Mungkin juga kerana kurang perhatian daripada ayah dan tiada teguran semasa mentelaah menyebabkan ambo jadi kurang cemerlang. Arwah ayah sibuk dengan kerjanya. Namun terima kasih ayahanda atas didikan ayahanda itu. Mek ambo yang banyak bersusah payah memberi galakan, bersengkang mata membuat kuih, nasi krabu, roti canai untuk isi perut kami adik beradik. Selebihnya dijual kepada jiran-jiran. Sejak kecil makanan utama ambo ialah roti canai Mek ambo yang rasanya sepuluh kali lebih sedap berbanding roti canai mamak pada zaman ini.

 

Ayah bonda

 

“Kamu yang teristimewa

Tidak pernah kelam memori anakanda pada ayah bonda

walau berabad ayah bonda tinggalkan kami semua

moga ayah bonda bersama-sama golongan solehah di sisi-Nya.

 

Bonda,

lembut tuturmu tak terperi

atur bicaramu bagai bait puisi

belaian kasihmu terpahat abadi

kekal mewangi dalam benak memori.

 

Ayah,

tegas katamu kuingati

keras bicaramu terkesan di hati

pesanmu amanat yang kupatuhi

kekal tertulis dalam lipatan hati.”


Selepas keputusan peperiksaan SPM keluar, ambo meneruskan persekolahan di SMK Hamzah Machang pula. Di sinilah sesungguhnya kepentingan pendidikan bertunjang di jiwa. Sedih juga kerana ambo miskin tapi tiada pun borang biasiswa yang cikgu hulurkan sedangkan cikgu tu sekampung dengan ambo. “Tak apalah cikgu. Barangkali tu bukan hak ambo agaknya”. Ambo berusaha sungguh-sungguh untuk berjaya ke menara gading. Adakala dari pukul dua petang sehingga larut malam ambo menyediakan review setiap subjek untuk kelas keesokannya.

 

Dalam serba kekurangan

aku perlu kuatkan perjuangan

gunakan segala peluang

dalam kemarau kemudahan

syukur

ada bantuan dari abang-abang

yang mengajar tanpa harapkan ganjaran

aku termasuk golongan cerdik dalam pelajaran

kuasai pengajaran.


Kejayaan

generasi awal belajar ke luar negara

membarakan lagi azam di dada

jika meraka boleh berjaya

aku pun tentu boleh berjaya

kena lipat  ganda usaha

jangan leka

baca, baca dan baca

sehingga tepu minda

daki tangga ke puncak menara.

 

Atas jerih perih berjurai air mata

susah payah ibu tercinta

aku capai jaya

dengan berkat doa

kepada yang Esa.


Selama satu setengah tahun bekerja keras di tingkatan enam, pada akhirnya ambo mendapat keputusan yang melayakkan ambo memohon masuk ke universiti. Semasa menunggu jawapan menerukan pengajian ke IPT, ambo bekerja mengisi polibag hitam dengan tanah untuk semaian anak kelapa sawit. Dapatlah sedikit upah yang ambo gunakan untuk beli kasut bola pertama berjenama Puma Worldcup, RM 120.00  masa itu. Gembira tak terhingga dapat kasut bola sendiri. Selama ni duk kenen-kenen kasut saing-saing ambo jah. Kasut ini ambo jaga dengan baik, sehingga hilang di tangan kawan sendiri. Sedih!..

 

Langit Ketujuh

“Musim, bulan,  minggu, hari yang berlalu
aku tuntut ilmu
SRP, SPM, STPM
aku tempuhi satu satu
semua memihak kepadaku

yang melayakkan permohonan ke ‘U’
satu detik itu
kuterima satu sampul yang kutunggu-tunggu
jawapan!
jawapan meneruskan pengajianku
ke UKM destinasi dituju.

Surat itu
mengundang gundah
di hati bonda
berat melepaskan aku pergi
biasalah mentaliti orang tua
kebimbangannya seakan membantutkan niatku
syukurlah
kepada arwah Mak Da Che Yah memujuk bonda
lepaskan aku pergi
terbuka pintu hati
merestui perjalananku.

Atas sebab kemiskinan
aku ingin capai kejayaan
ubah nasib jalani kehidupan
yang lebih baik untuk masa depan.

Masih kuingat akan kepiluan
pada hari aku sibuk menguruskan
dokumen pendaftaran pengajian
rumahku yang dibangunkan
atuk dan ayah bonda tersayang
terpaksa dirobohkan.
Kami hidup menumpang
atas tanah hak milik orang
kegembiraan meneruskan pengajian
disulam kedukaan kekal mendalam
tinggal ibu dan adik kejerihan
mengharap simpati belas ehsan
sanak saudara yang rela menumpangkan.

Pemergianku diiringi doa dan kesayuan
satu titik sejarah yang tak akan kulupakan
kini walau aku jauh diperantauan
masih terbayang wajah-wajah kesedihan
bonda! Akan aku simpan kenangan
buat pengubat rindu tak tertelan dek zaman
kasih sayangmu tiada tolok bandingan.

Kejerihan ini mengajar aku erti ketabahan
kejerihan ini mengajar aku erti kesabaran
syukurlah Ya Rahim Ya Rahman
takdir-Mu dan doaku seiringan
moga berkekalan
agar aku terus memperhambakan
diri kepada-Mu, Tuhan.

Atas restu dan doa bonda
aku jejak kaki di daerah asing
debar ketar jadi teman sepanjang perjalanan
kugenggam pesan bonda
kembalilah dengan sebuah kejayaan
tiada lain
tiada lain
bonda idamkan aku jadi pendidik
"ya, bonda kuturuti kemahuanmu'
kini aku bangga memegang amanah bonda
didik anak bangsa
bangunkan negara
berbakti kepada agama
di daerah ini aku
berdiri.

Rasa terhina akan diri  

bila rumah sendiri lenyap dari bumi

itulah kesannya tak punya harta sendiri

mengharap belas simpati

selama mana orang akan mengerti

satu detik pasti lenyap bersama mimpi ngeri.


Kutinggalkan kampung halaman

tanah kelahiran

demi mengejar sebuah impian

dengan berbekalkan sedikit wang

kutempuhi pengajian

satu semester sebelum mendapat pinjaman.

Empat tahun lamanya
sebelum aku dukung segulung ijazah
duniaku
sekitar kampus
jumpa lecturer di dewan kuliah
tidur di kamsis Dato Onn II
main di padang bola sepak
jumpa dara pujaan di perpustakaan Tun Sri Lanang (TSL).

Tahun satu
aku sudah wakil UKM
acara bola sepak
latihan bina semangat
temukan aku
dengan dara pujaan
kali pertama kupandang
matanya yang menawan
terusku tertawan.

Di situlah bermula perkenalan
menerbit rasa sayang
akhirnya aku ucapkan
janji setia bina bahagia
dan kini
dara itu jadi suriku
bahagia milikku.

Kenapa aku pilih dia?
atas nama setia
padaku dia menyerah cinta
rela bersama tak kira masa
susah senang sentiasa bersama
suka duka tawa ria ke hujung nyawa.

Sepanjang pengajian
dialah insan jadi teman
berkongsi masa dan ruang
sama-sama belajar kejar impian
cinta kian kembang
merapatkan lagi perhubungan
akhirnya kami bertunang
ikat janji ke gerbang perkahwinan
sebelum tamat pengajian.

Di kampus ini
kecintaan terus menunjang
kecintaan kepada ilmu
terima kasih guruku;
Prof. Hamid,
Prof. Sham Sani,
Prof. Samad Hadi,
Prof. Jamaluddin Jahi
Prof. Fuad Jali,
Prof. Shaharudin Ahmad,
Prof. Sulong Muhammad,
Prof. Katiman Rostam,
Prof. Asmah Ahmad,
Prof. Sharifah Mastura,
Prof. Abd Rahim Md Noor,
Prof. Noriah Ali,
Dr. Yaacob Jani,
ilmu yang dicurahkan
jadikan aku orang
tergenggam segulung ijazah dengannya
tidak terbalas di dunia ini
moga semuanya diberkati dirahmati Allah.


Semester satu aku masih dalam kebingungan

tak biasa dengan pelbagai tugasan

mencari bahan ke perpustakaan

dalam bahasa asing yang sukar nak faham

sudahnya gagal satu kursus kerana tugasan

tak ikut format penulisan

nak cari pensyarah asyik tak ketemuan

maklumlah pelajar baru katakan

syukurlah bila men ulang

 lulus cukup-cukup makan.

 Dalam kekalutan

mengejar kuliah dan tugasan

aku aktif bersukan

bola sepak jadi pilihan

masa minggu suai kenal ada pertandingan

pasukan kami jadi johan

dari situ aku mendapat tawaran

masuk team universiti kebangsaan

pegawai sukan memerhati permainan

dapat tempat dalam kesebelasan.

 

Aku ingat lagi kasut bolaku warna hitam

aku beli dengan wang upah isi polibag hitam

buat semaian sawit di ladang Sungai Bagan

kerja sementara selepas STPM

akhirnya kasut ini hilang

kawan pinjam tak pulangkan

namun banyak jasanya sepanjang aku jadi tuan

menjaring gol bila berlawan

dapatlah juga merasa anugerah sukan

perghargaan dari pihak UKM

cemerlang!

 

Kerana bola sepak juga aku bertemu cinta
latihan bina semangat ke Air Keroh, Melaka
menemukan aku dengan dara jelita
perkenalan membunga rasa bahagia
kupupuk persahabatan ke alam cinta
akhirnya kupunyai dia
menyatu hidup setelah bergelar mahasiswa.

 

Dari sini tekad cari pekerjaan
demi sebuah cinta dam impian
tamat pengajian aku terus kerja kilang
menumpang kawan di Pulau Pinang

dapatlah mengumpul sedikit wang

meneruskan hajat bonda

 kupohon
kursus diploma pendidikan

aku akhirnya ditawarkan
meneruskan pengajian Diploma Pendidikan
setelah melangsungkan perkahwinan.

 

Sekali lagi
terima kasih guruku;
Prof. Rohaty Majzub
Dr. Nan Khamis
di sini
aku belajar jadi pendidik
ilmu falsafahnya
ilmu psikologinya
ilmu pedagoginya
semua diserap
sampai jadilah aku seorang cikgu
aku berjaya jadi pendidik yang diimpikan
syukur kepada-Mu, Tuhan.

 

Setelah tamat Diploma Pendidikan
debar di hati menunggu jawapan
penempatan guru-guru sandaran
syukurlah aku ditempatkan berhampiran
SM Katholik Petaling Jaya tempat cari makan
syukur tak kena berjauhan
dari isteri yang tersayang
dah terbayang mungkin kena ke pedalaman
namun takdir membuat hatiku girang.

 

Maka bermulalah kehidupan
seorang guru yang diimpikan
kini menjadi kenyataan
mendidik anak bangsa jadi cemerlang
hari-hari berulang
naik motosikal itu saja termampu adakan
rasa takut bahaya di jalanan
maklumlah kenderaan bertebaran
keselamatan jadi keutamaan
berhati-hati pada setiap perjalanan
namun kita hanya mampu merancang
pernah aku kemalangan
terlanggar anjing yang melintas jalan
nasib baik awal pagi jalan lengang
kalau tak mungkin di langgar dari belakang
syukur pada-Mu, Tuhan.

Enam bulan kemudian
aku bertukar ke Pandan
atas keperluan tugasan
tiga tahun lamanya aku di Pandan
buat perjanjian dengan pihak pengurusan
selepas tiga tahun pindah ke Kajang
seksa juga berulang seharian
banyak masa habis di atas jalan
menempuh kesesakan yang tak berkesudahan
faham-faham saja trafik di Pandan
bertali arus tak pernah aman
sakit-sakit badan
mengejar masa elak kesesakan
kesian!

Kebahagiaan kami terasa
dikurnia puteri pertama
cerdik orangnya
belajar pintar selalu naik nama
anugerah tokoh pelajar dipegangnya
rasa bangga
moga terus cemerlang hingga dewasa.

Hadir puteri pertama
hilang bonda tersayang, hiba
semuanya bulan yang sama
bonda tak panjang umurnya
sebulan masuk hospital kena leukemia
tujuh hari tujuh malam kujaga bonda
akhirnya bonda pergi jua
yang Esa lebih menyayangi dari kami semua
al-Fatihah untuk bonda.

Di tanah Bangi
aku berkelana mencari rezeki
membina keluarga dan diri
bersama isteri
telah kumiliki rumah sendiri
ada kenderaan untuk ke sana ke sini
hampir lengkap kemahuan diri
harapan nak jadi tetamu Ilahi
di kota suci
moga dipermudahkan niat hati.

Di sini
kuberusaha memberi
didikan kepada anak-anak yang tertinggi
dapatlah nanti membawa diri
dapat hidup berdikari
menyumbang bakti
kepada ibu pertiwi
setelah aku tiada lagi
suatu hari nanti.

 

Mengapa aku di sini?
cintaku kepada kehidupan di Bangi
kian menebal menyemi
di sini aku ada misi dan visi
mengumpul memori
banyak aspirasi
menjayakan diri
kampung halaman sendiri
tiada apa yang menanti
tiada wasiat atau pusaka diberi
ayah bonda cuma membekal ilmu dalam diri.

Aku yakini
kehidupan aku di sini
kehidupan keluargaku di bumi Bangi
tiada apa nak dikesali
berkelana sehingga akhir nanti.

Bangi

 aku tetap di sini
telah 22 tahun kujejaki
bumi yang mengubah diri
jadi lebih berdikari
menempuhi pancaroba duniawi
ada suka ada duka mewarnai
namun takdir menyubur hati
kekal di sini.

 

 

Sebelum 22 tahun dulu

hidupku di desa bersama ibu

abang dan juga adikku

ibu tak tahu membaca

apa lagi menulis mengira

hanya kata-kata

menyuburkan rasa cinta kepada ilmu

membakar semangatku

cari ilmu

namun tidak semudah cerita ini.

 

Ibu sempat merasa

gajiku yang pertama

tak lama bersama aku untuk membalas jasa

ibu tak panjang usia

kerana penyakit leukimia

pergi meninggalkan aku selamanya

tinggalkan segala kenangan tak mungkin kulupa.

 

Bersama pemergian bonda

lahir puteri pertama

seakan mengganti kasih bonda

mengubat pilu di dada

sempat bonda

hadiahkan 60 ringgit buat cucuanda

katanya, “ buat beli rantai, hadiah dari dia”.

 

Dua tahun lamanya

aku memujuk hati menerima

ibuanda tercinta sudah tiada

adakala mengundang air mata

sebak mengenang kasihnya bonda

kepada kami empat bersaudara

moga tempatmu di syurga

dirahmati yang Esa.

 

Kini hanya

doa kupanjatkan sentiasa

buat bonda dan ayahanda

seperti mana yang dipinta

kenang mereka walau di mana jua

moga kita ditakdirkan akan berjumpa

di alam abadi kekal selamanya

bersama golongan yang bertakwa

Insya-Allah.

 

Daerah ini

pertama kali kujejaki

masih sunyi

hutan sana sini

belum banyak industri

damai dan murni

tiada pencemaran menyelubungi.

 

22 tahun telah pergi

Bangi kini

tidak lagi sunyi

rumah menggantikan hutan suci

industri tumbuh cepat sekali

kenderaan berganda setiap hari

kesesakan tak dapat nak elak lagi

kedamaian Bangi kian pergi.

 

Namun

aku mensyukuri

kebahagiaan meniti hari

kujumpa di sini

punyai isteri

yang sangat mengerti

yang sangat memahami

kemampuan keluarga kami

setakat ini.

 

Jika nanti

ada lebihan rezeki

atas usaha dan kerajinan diri

akan kusediakan yang lebih lagi

untuk keselesaan seisi

yang penting kesihatan diri

mampu beribadat kepada Ilahi

yang memberikan rezeki

dan kebahagiaan hati

kepada kami.

Di tanah Bangi

aku dikurniakan sepasang putera puteri

jadi permata hati menguji diri

puteraku anak istimewa berhati suci

mungkin kami juga istimewa di sisi Ilahi

dipilih membawa amanah ini

mereka hadir sebagai penyeri

bukan sebagai bebanan di hati.

 

Bukan sedikit ujian punyai anak istimewa

dari lahir hadapi masalah kesihatan

ulang alik kami ke hospital saban bulan

sampai kini masih ada rawatan

syukur umurnya panjang

masalah jantung dan leukemia hilang

aku percaya ini semua ujian Tuhan

kesabaran memihak kami sekarang.

 

Kini kedua-dua putera puteri

sihat menyeri

mengikat kukuh

 kasih sayang antara kami

terima kasih Ya Rahman

terima kasih Ya Rahim

dari kurnia-Mu

aku belajar erti kesabaran

aku belajar erti meredhai

ketentuan Ilahi.

 

Aku rasa aku cemerlang

bagi anak dagang serba kekurangan

menempuhi jalan menggapai ‘bintang’

yang aku dambakan.



CNM, 28/11/2010, 17.00 pm.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Ini biografi cikgu,kah? Terharu membacanya...

  • (Penulis)
    2) ya sebahagian suka duka kehidupan saya, terima kasih datang membaca..

Cerpen-cerpen lain nukilan ckgunikmie

Read all stories by ckgunikmie