Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat

 

Salah satu perkara yang sangat dilarang semasa hujan lebat adalah berbual melalui telefon bimbit. Selain daripada berdiri di bawah pokok besar dan memegang besi. Tetapi, pada hari hujan lebat dan kilat tidak henti-henti berlawan bunyi di antara satu sama lain, Zaleha (bukan nama sebenar) telah melakukan perkara terlarang tersebut. Berbual menggunakan telefon bimbit semasa hujan turun dengan lebatnya. Kilat pula sabung-menyabung sambil mengeluarkan satu cahaya terang yang tentu-tentunya menggerunkan bagi sesetengah orang.


Teringat kembali pada zaman persekolahan Zaleha, di mana ada seorang rakannya, Faris (bukan nama sebenar) yang menangis teresak-esak sambil duduk di belakang pintu kelas setelah mendengar bunyi kilat beserta cahayanya yang tiba-tiba memancar ke dalam kelas sewaktu hujan lebat. Pada mulanya satu kelas menjadi sedikit panik melihat tingkah lakunya. Namun, dalam diam Zaleha dan rakan-rakan yang lain terpaksa juga mengakui akan kelucuan situasi tersebut. Sebelum situasi tersebut menjadi lebih parah, iaitu satu kelas akan mentertawakan Faris dan bukannya menghulur rasa sedikit belas simpati, guru yang mengajar kelas Zaleha ketika itu segera membawa Faris ke bilik guru. Faris ditenangkan dengan segelas susu oleh guru tersebut. Tidak keterlaluan di sini jika disebutkan bahawa khabar angin yang bertiup agak kencang mengatakan bahawa selain memberi Faris segelas susu, guru tersebut turut menenangkan Faris dengan memberinya satu pelukan (ya, pelukan ala ibu-ibu terhadap anak mereka) supaya tidak menangis lagi. Masalahnya di sini, guru tersebut adalah wanita dan yang paling penting masih belum berkahwin. Ditambah pula, guru tersebut telah dilabel sebagai guru paling hot di sekolah pada ketika itu. Namun, lama kelamaan khabar angin itu pun berlalu lalu hilang dengan pantas, samalah seperti angin yang bertiup.


Ya, itu cerita tentang Faris, dan Faris tidak ada kena mengena pun dengan kisah yang akan diberitahu sebentar nanti. Cuma, semasa dalam keadaan hujan lebat begini dan kilat pula berlawan-lawanan di antara satu sama lain sambil mengeluarkan cahaya yang agak menggerunkan, wajah Faris terus sahaja menerjah ke dalam minda Zaleha. Rupa-rupanya setelah sekian lama kejadian itu berlaku, barulah Zaleha mengetahui bahawa Faris menghidap Brontophobia. Ia juga bolehlah dipanggil Astraphobia, Keraunophobia ataupun Tonitrophobia. Nama penyakitnya seolah-olah memberi gambaran betapa seriusnya penyakit Faris itu.


Okey, kali ini sudah-sudahlah dengan cerita Faris. Tidak ada kena mengena pun dengan kisah ini.


Baiklah, kita mula semula. Zaleha telah melakukan perkara yang terlarang ketika hujan lebat dan kilat saling berlawanan di antara satu sama lain, iaitu bercakap melalui telefon bimbit. Tambah membahayakan lagi, Zaleha turut melakukan dua perkara terlarang yang lain iaitu berdiri di bawah sebatang pohon besar (bayangkan pohon beringin di dalam imaginasi andan untuk menambahkan situasi yang sedikit seram) sambil memegang payung besi (ada ke payung besi? Okey, sila abaikan logik cerita ini) Untuk dijadikan cerita Zaleha telah terkena satu panahan kilat yang dahsyat dan telefon bimbit yang dipegangnya itu terlepas dari genggamannya.  Maka cerita pun bermula…


***

Zaleha dijumpai beberapa jam selepas itu tatkala hujan mulai reda dan angin dingin menggantikan kilat. Zaleha sudah mati. Mati serta merta di tempat kejadian. Dan aku? Memandangkan saat Zaleha dipanah kilat dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, maka tubuhku yang digenggamnya sambil melekapkan diriku ke telinganya turut tercampak jauh. Sayangnya, pihak polis tidak dapat menjumpai aku yang tersorok di celah-celah lalang panjang di sekitar kawasan tersebut. Namun begitu, umurku masih panjang. Bateri tidak rosak. Ajaib! Kalau tidak ajaib bukanlah kehidupan namanya, bukan?


Baiklah, sekarang ini cerita tentang Zaleha sudah tamat. Mulai dari saat ini kamu semua akan dibawa untuk membaca cerita aku pula. Sekarang sudah jam 12.00 tengah malam dan hari baru sahaja melepasi hari Khamis malam Jumaat. Sudah rasa keseramannya? Sebenarnya ini bukanlah cerita seram, jauh sekali cerita tentang penanggalan, hantu kum kum mahupun tentang pocong. Ini hanyalah kisah tentang aku, sebuah telefon bimbit kepunyaan Zaleha yang telah mati secara mengejut dipanah kilat sewaktu hujan lebat.


Pada jam 12.00 tengah malam itu aku berbunyi. Maksudnya di sini, aku selaku telefon bimbit arwah Zaleha berbunyi mendendangkan lagu My All nyanyian Mariah Carey. Ya, arwah Zaleha memang seorang yang hopeless romantic. Selama beberapa saat aku berbunyi namun masih tiada siapa-siapa pun yang mendengarnya. Aku berdiam diri. Mungkin pemanggil di sebelah sana hampa kerana tiada siapa yang ingin menjawab panggilan, aku berhenti berbunyi. Tapi untuk seketika sahaja. Selepas hampir lapan minit senyap, tubuhku kembali mendendangkan lagu My All dan bersyukurlah pemanggil tersebut kerana ia berlaku pada masa yang tepat! Seorang lelaki yang agak kacak juga telah menyedari deringanku. Tidak jauh sebenarnya jarak di antara diriku dengannya, maka dengan mudah dia dapat mengesanku. Tanpa berlengah lelaki itu terus sahaja mengambilku. Mungkin tertarik dengan suara lemak serak-serak basah Mariah Carey.  Muka lelaki itu tiba-tiba berkerut saat dia melihat ke skrinku.


0001112223

 

Itu nombor telefon pemanggil yang tertera di skrinku. Memang nombor yang cantik. Misteri juga sekaligus membuatkan lelaki itu berasa ingin tahu siapakah pemanggil yang menggunakan nombor tersebut. Nah, sekarang mari kita sama-sama mengikuti perbualan mereka dimulai dengan lelaki itu menjawab panggilan tersebut.


Helo.

Helo. Fahrin Ahmad ke?

Ya, saya Fahrin Ahmad. Eh, mana awak tahu nama saya ni?

Banyak yang saya tahu sebenarnya. Tapi, tak apalah yang penting panggilan saya ni berjawab.

Err…awak ni siapa sebenarnya? Penting sangat ke panggilan ni?

Saya akan beritahu awak siapa saya nanti, tapi awak perlu berjanji dengan saya tentang dua perkara. Boleh?

Eih, awak ni buat saya rasa suspenslah.

Boleh janji?

Okey, tapi apa yang saya dapat kalau saya berjanji?

Awak tak akan dapat apa-apa habuan, saudara Fahrin Ahmad. Tapi saya janji awak akan dapat satu pengalaman yang sangat bernilai yang mungkin tidak mampu dimiliki oleh ramai orang di dunia ini.

Hmm…bunyinya menarik. (diam seketika). Baik, tentang dua perkara tersebut saya berjanji.

Lega hati saya. Tentang dua perkara tersebut. Pertama, jangan terkejut dengan apa yang bakal saya sampaikan nanti. Kedua, tolong sampaikan pesanan saya nanti kepada seseorang.

Silakan.

Nama saya Azimah. Mungkin saudara pernah terbaca tentang saya. Mungkin ada juga orang lain yang pernah baca tentang saya. Tapi jika belum, tidak dapatlah saya ceritakan panjang lebar kerana saya sudah kesuntukan masa. Saya akan ceritakan hal yang penting sahaja.  Sayalah Azimah yang tinggal di Kampung Talam Terbalik itu. Sayalah Azimah yang sering berbaju kurung Pahang kuning atau kalau tidak pun akan berkebaya Nyonya merah jambu.Sayalah Azimah yang sering membawa gambar arwah Azam, suami saya. Sayalah Azimah yang sering diejek gila oleh orang-orang Kampung Talam Terbalik. Sayalah Azimah itu.

Hurm... seingat saya tak pernah pula saya dengar cerita tentang awak, tapi bunyi macam menarik. Jadi, apa yang perlu saya buat sekarang ni?

Senang saja, macam saya kata tadi. Cuma sampaikan pesan saya kepada  Mat Noor.

Mat Noor?

Kalau awak tahu cerita saya tentu awak kenal siapa Mat Noor. Say akan beri nombor telefon dia kepada awak dan awak tolong sampaikan pesanan saya. Nombornya, 01...

Eh, tungu, tunggu sekejap. Saya musykil sekarang ni. Kenapa perlu saya sampaikan pesanan awak sedangkan awak sendiri boleh telefon dia?

Tak boleh! Saya tak boleh bercakap dengan dia.

Kenapa? Gaduh?

Bukan. Sebab...sebab saya dah mati! Terpijak periuk api dekat dengan pili awam Kampung Talam Terbalik.

Hah!?

Itulah sebabnya saya perlukan bantuan awak. Saya kesuntukan masa. Awak sahajalah harapan saya. Saya mohon awak tolong beritahu Mat Noor supaya jangan rasa kecewa sebab selama saya berkawan dengan dia saya memang sudah lama tahu isi hati dia. Beritahu Mat Noor lagi yang saya pun rasa perkara yang sama. Jadi jangan bimbang, jangan sedih. Cuma doakan saya baik-baik saja di alam lain. Boleh tak? Helo, Fahrin Ahmad? Helo...Helo!

Tuuut...

Haih...patutnya kena bagi lagi satu syarat: Tolong jangan pengsan setelah menerima pesanan. Tuut...

     

***


Keesokan pagi, beberapa orang yang terkejut melihat Fahrin Ahmad terbaring di tepi jalan segera membawanya ke hospital. Nasibnya baik kerana dia tidak mengalami apa-apa kecederaan serius. Sedikit trauma barangkali. Aku? Fahrin Ahmad awal-awal lagi sudah mencampakkan aku ke dalam sebuah tong sampah belakang hospital sebaik sahaja dia menyedari aku berada di dalam poket seluarnya. Orang ramai tentu menyangka aku ini milik Fahrin Ahmad. Aku tidak tahu apa kesudahan cerita Azimah kerana semenjak daripada kejadian itu Azimah sudah tidak lagi menghubungiku. Eh...maksud aku, dia sudah tidak lagi mendail nomborku. Mungkin sudah berputus asa ataupun mencari-cari lagi telefon bimbit si mati yang lain untuk dihubungi. Entahlah...


***


Baiklah, itu cerita Fahrin Ahmad dan Azimah. Kau tahu tak, umur aku masih panjang. Terima kasih Tuhan! Walau dicampak ke dalam tong sampah aku masih lagi bernyawa. Bateriku masih lagi gagah untuk berfungsi walaupun sudah tinggal lagi dua bar sahaja untuk aku koma seketika. Itupun jika ada yang sudi untuk mengecasku semula. Kalau tidak aku mungkin akan koma selama-lamanya dan aku sudah mula bersedia dari segi fizikal dan rohani untuk menerima ketentuan itu. Jangan bimbang. Aku tabah!


Sehari selepas itu tubuhku berbunyi lagi. Lagu My All lagi. Kali ini seorang wanita yang cantik dan bergaya melalui kawasan tempat aku dibuang itu. Pada mulanya dia kelihatan tercari-cari dari mana datangnya lagu itu. Jelas sekali kelihatan raut mukanya berubah saat mendengar lagu dendangan Mariah Carey tersebut. Penuh dengan rasa cinta yang tidak kesampaian lagaknya dia. Jangan pandang rendah pada diriku, aku memang berpengalaman serba sedikit dalam mentafsirkan raut wajah sebegitu kerana arwah Zaleha sendiri pun selalu berbuat begitu. Lebih-lebih lagi apabila Abang Jeff tidak menjawab panggilannya.


Wanita itu mengambilku dengan penuh hati-hati sebaik sahaja dia menjumpaiku di dalam tong sampah tersebut. Kelihatannya dia tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja apabila melihatku. Seolah-olah baru sahaja menerima lamaran daripada lelaki idaman yang ditunggu-tunggu sepanjang umurnya.


0123456789

 

Itulah nombor yang tertera di skrinku. Wow! Cantiknya nombor. Mungkin juga akibat terpengaruh dengan nombor si pemanggil yang tertera di skrinku itu, maka tanpa membuang masa wanita itu segera menjawab panggilan tersebut. Ingat, aku ulang sekali lagi. Tanpa membuang masa walaupun tubuhku tadi jelas sekali berada di dalam tong sampah. Sekarang, bolehlah kita mendengar perbualan di antara wanita itu dengan si pemanggil dimulai dengan wanita itu menjawab panggilan tersebut.


Helo? (dengan penuh berhati-hati)

Helo, Fasha Sandha? Fasha Sandha ke tu?

Eh, ya...ya. Sayalah tu. Macam mana awak boleh tahu nama saya ni? Awak ni siapa? Apa kaitan awak dengan saya? Awak nak spy saya ke? Beritahu saya siapa yang upah awak?

Buat-buat bertenang sikit saudari. Janganlah gabra sangat. Saya ini bukanlah orang jahat. Dari mana saya dapat tahu nama saudari Fasha Sandha janganlah persoalkan sangat. Itu tak penting, yang penting sekarang ini saudari kena tolong saya. Boleh?

Eh, eh...awak ni siapa sebenarnya? Kenapa pula saya kena tolong awak?

Saya akan beritahu saudari siapa saya, tapi saya mohon sangat supaya awak tolong saya. Kali ini saja. Please...

(Berfikir seketika) Hmmm...hati saya memang dirundung sedikit keraguan. Tapi...entahlah, tiba-tiba rasa simpati tiba-tiba muncul secara mendadak.

Boleh tolong saya, kan?

Baik. Saya akan tolong tapi dengan satu syarat. Bukan fasal duit!

Okey! Ini bukan fasal duit. Ini mengenai sesuatu yang lebih besar daripada duit atau mungkin saudari menganggapnya sebagai satu hal yang remeh. Namun, tidak pada saya. Sebenarnya saya mengalami satu masalah yang sangat besar. Malah, menelefon dan bercakap dengan saudari pun saya rasa seperti sedang menunggu hukuman penggal kepala.

Awak jangan nak mengarut dekat sini. Lebih baik beritahu perkara sebenar sebelum saya tukar fikiran.

(Tarik nafas dalam-dalam). Nama saya Fared. Mungkin saudari tidak  kenal pun saya. Mungkin saudari sebenarnya pernah membacanya di mana-mana tentang saya. Itu bukan perkara pokoknya sekarang ini. (nada suara terketar-ketar). Cuma saya mohon dengan rasa penuh rendah diri agar saudari dapat menyampaikan pesanan saya kepada seseorang. Seorang wanita sebenarnya...erm.

Okey...permintaan yang sedikit aneh. Teruskan.

(Nada suara semakin tidak tentu arah) Err...ehm...fuh! Dia tinggal di belakang rumah saya. Tolong...tolong saya beritahu wanita itu yang saya akan berusaha untuk datang bertemu dengan dia.  Tolong pesan kepadanya lagi supaya teruskan bersabar sehingga saya   pulih. Saya janji saya akan pulih dari Caligynephobia demi dia! (mula   menangis teresak-esak)

Encik? Encik? Awak okey? Jangan menangis...jangan menangis. Saya rasa saya mungkin boleh tolong awak. Tapi macam mana saya mahu memberitahu dia. Ada alamat? Nombor telefon?

(Menangis semakin kuat) Err..ehm...hmm, ba...baik sila catat alamatnya. No. 3, Ja..jalan Pari-pari... Argghhhh!!!. Tuutt...tuutt.

Helo, encik! Helo! Helo!


Wanita cantik dan bergaya yang bernama Fasha Sandha itu terkejut dengan kejadian yang berlaku kepadanya tadi. Apa yang terjadi sebenarnya kepada Fared? Perasaan ingin tahu yang membuak-buak ditambah dengan rasa simpati yang melimpah ruah telah memaksanya menghubungi lelaki bernama Fared itu sekali lagi.


0123456789

 

Tuutt...tuutt...tuutt... tidak berjawab. Fasha Sandha hampa. Kali ini dia menunggu pula sehingga aku berdering mengharapkan lagu My All nyanyian Mariah Carey berkumandang. Tanpa sedar, hati Fasha Sandha menangis dalam diam mengenangkan keadaan Fared dan wanita pujaannya.


Setelah hampir dua jam dan tiga puluh tiga minit menunggu, akhirnya Fasha Sandha mengalah. Aku masih tetap tidak berdering. Fared tidak menghubungi nomborku lagi. Wanita tersebut meletakkan kembali aku ke dalam tong sampah. Ya, di dalam tong sampah tempat asal Fahrin Ahmad mencampakkan aku. Entah kenapa dia tidak mahu membawaku pulang. Terlalu sedih, mungkin.


***


Jika kau tanya aku, aku juga turut sedih dengan peristiwa yang berlaku ke atas Fared. Aku juga turut sedih kerana tidak berjaya membantu Fasha Sandha untuk membantu Fared. Sekarang aku terkapai-kapai (keseorangan?) di dalam tong sampah ini. Bateriku hanya tinggal satu bar dan aku was-was akan berjumpa dengan seseorang yang mampu menambah kembali nyawaku.


Pada saat ini jugalah tiba-tiba sahaja ada 2-3 khidmat pesanan ringkas (SMS) masuk ke dalam folder inbox aku. Nampaknya Arjuna meminta tolong untuk mencari Cinta-nya semula. Zahrah pula ingin menagih kembali cinta lamanya. Dan, Seriah pula meminta tolong siapa-siapa yang mampu mengajarkannya cara-cara membuat karipap sardin serta cekodok pisang yang sedap. Mana tahu dengan cara itu dia berjaya mendapat jodoh seperti ibunya.


***

Tolonglah siapa-siapa cari aku di sini. Bukan untuk aku tetapi demi para penghantar SMS tersebut. Aku sudah tinggal nyawa-nyawa ikan!





 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) (sambil berwajah jelik)

    "Apa istimewanya telefon bimbit ni sampai semua orang ternama nak sms, kol dan menjawab dia?????!!! Apa dia peguam? doktor? ahli muzik pun bukan kan??)

    nais ah kamalia... cuma pada permulaan tu bnyk gler gangguannye sebelum nak masuk ke cerita sebenar.
  • 2) tepon ni ala2 ghost whisperer ye? kreatip kreatip!

  • (Penulis)
    3) ancal: aku memang sengaja nak buat gangguan supaya kau stress gila bila baca hahahahaha! ok, terima kasih utk komen

    nia: telefon ni ala-ala penghubug kasih yang terpisah la kiranya hehe. thanks!
  • 4) aku xdela stress sanga dengan gangguan2 tu.. aku PALING stress bila aku klik link2 yang ko letak tu.. semuanya broken!!!

  • (Penulis)
    5) hahaha...baru ku perasan. kesian kau! masa aku nak post cerpen ni setting semua lari. aku pulak yg stress masa tu. ok dah edit!
  • 6) ok.. koolness. bia aku mencuba semula.
  • 7) nak bacaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

    ala...nape banyak sangat tulisan ni.....x nampak O_o
  • 8) wah wah wah!!....main ada link2 pula lagi!..tahniah Kamalia kerana idea yang menarik! tapi kenapa awak suka Fahrin Ahmad? kui kui kui
  • 9) hehehe bila bukak semua link2 tu
    wah perasan mcm kamalia menulis 1 jenis stail sahaja. jenis penceritaan bersahaja.

  • (Penulis)
    10) CK: eh, tak banyak la. sikit je tu. 10 minit je dah abis baca
    kuru: sebenarnya nak taip ikhwan zakaria, tapi tertaip fahrin ahmad pulak kihkihkih

    caha: eh, ye ke? tak perasan pulak...
  • 11) pelislah kamalia pelis!
    suka lah!
  • 12) Setuju dengan Caha, mengimbau semula tulisan Kamalia yang lepas-lepas, ternyata kamu punya style yang tersendiri. Dalam santai mengolah, isinya tetap ada.

    Rindu pada karya satira Kamalia.

  • (Penulis)
    13) clarky: uuuu...thanks!
    ridh: kalau baca betul2, cerita klise gila. terima kasih, ok! (p/s: satira tu mood kena sarcastic, emo datang baru best nak tulis)
  • 14) twilight zone la pula.
    Ya, telefon bimbit ini adalah 'orang penting'

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia