Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Autobiografi

pcb#2: Lecuran

Cerpen sebelumnya:
Farish Haiqal
Cerpen selanjutnya:
Janji Syuk

“Abang, abang terpijak apa sampai melecur tapak kaki itu?” soal Hakim, anak buahku. Abang adalah panggilan manja antara aku dan rakan sekerja. Aku selesa begitu. Bagi aku siapa aku bukanlah penting. Jawatan aku di dunia bukan tanda aras tingginya taraf aku pada Tuhan.

Aku tersenyum.

Lecur ini adalah tanda peringatan dari Tuhan untuk aku. Meski lebih 20 tahun pengalaman itu berlalu, namun kerana bekas lecur ini kekal di kakiku, kenangan itu tidak akan pernah hilang.

Dimensi pemikiran manusia pasti menidakkan perincian kisah yang pernah aku lalui. Namun aku tidak akan teragak-agak untuk bercerita.

Namun, aku tidak akan bercerita seperti budak sekolah rendah yang baru belajar mahu menulis. Tidak akan ada baris seperti, ‘Semua orang di dunia ini ada cerita yang tidak boleh dilupakan. Begitu juga dengan saya…’

Jadi bagaimana harus aku ceritakan kisah ini? Mungkin aku boleh mulakan ia dengan cara ini.

Entah berapa lama aku sudah ketiduran. Bila terjaga sahaja, aku bagaikan berada di dunia asing. Terpisat-pisat sebentar, aku sendirian. Tanpa ada sesiapa di sisi aku. Benar, tempat ini bagaikan sudah ranap. Kemusnahan berada di mana-mana. Dunia ini bagaikan daun-daun kayu yang dimakan ulat. Di mana sebenarnya aku?

Keterasingan ini membawa aku mengingat kembali apa yang sudah terjadi. Kosong! Aku tidak mampu membawa sebarang visual dalam kotak imaginari aku. Apakah sebenarnya yang sedang terjadi? Ah, begitu banyak soalan. Pada waktu ini yang aku perlukan adalah jawapan. Aku benar-benar buntu. Serabut.

Abrahah al-Asyram al-Habasyi!

Ya, tiba-tiba sahaja sepotong nama itu diilhamkan Tuhan kepadaku. Namun, hampa. Tidak langsung aku tahu tentang manusia itu. Siapa dia? Satu soalan lagi timbul. Aku menggaru-garu kepala dengan rambut yang sedikit berbau, malah kusut.

Aku memandang jam SwissArmy di pergelangan tangan. Mati pada jam dua belas. Bagaikan tidak percaya, jam kesayangan aku ini mengkhianati saat-saat aku sangat perlukannya. Aku mengeluh berat. Perut pula bagaikan sengaja mahu menambah beban yang ada. Entah sejak bila ia dibiarkan kosong aku tidak tahu. Itu tidak penting. Yang paling mustahak ialah bagaimana aku mahu melepasi ujian darurat ini? Soalan keempat tanpa jawapan. Aku mengeluh berat.

Perlahan-lahan, aku bangkit dari dudukku. Rupanya sedari tadi aku bersandar pada sebiji batu besar. Cukup untuk aku menyorok dari sebarang malapetaka dan bencana. T-shirt Ecko dan Jeans Levis lusuh aku kibas. Debu-debu yang melekat pada pakaianku berterbangan di udara. Aku mengeliat kecil. Sekadar melepaskan sengal-sengal pada badan.

Pandanganku menular 360 darjah. Masih seperti tadi.

Aku melangkah beberapa tapak namun tiba-tiba kaki terasa panas. Bagaikan melecur! Ada perasaan pelik menyelinap ke hatiku. Mustahil kasut Nike yang sememangnya tahan lasak ini sampai menyebabkan kakiku sakit. Kasut ini sudah reput agaknya. Namun, semacam mustahil pula bila difikir-fikirkan lagi.

Aku mengangkat kaki sedikit. Meneliti apakah yang telah aku pijak tadi. Batu. Dan batu itu kelihatan berasap-asap. Kelihatan panas! Aku menggaru-garu kepala. Aku mendesah kali ini. Adakah aku telah terkena virus komputer lalu di hantar masuk dalam permainan alam maya? Ah, otak kartun sudah mengganggu cara fikirku.

Namun, tidak ada satu perkara pun yang rasional sejak aku terjaga dari tidur tadi.

Aku celaru. Sebenarnya aku hampir putus asa. Tidak ada satu apa pun yang logik pada kotak fikir aku. Tiba-tiba aku mendengar suara berdehem. Aku mencari-cari arah datangnya suara namun hampa. Kali ini aku melangkah sedikit berhati-hati. Jikalau boleh, tidak ingin terpijak batu panas ibarat lava itu lagi. Semacam melecur tapak kaki kurasakan. Sakitnya masih terasa. Firasatku mengatakan ia luka dan bakal bernanah.

“Hei manusia. Jauh kau termenung.” Sapa suara itu. Aku terkulat-kulat sendiri. Masih tidak kelihatan sesiapa di sini. Suara siapakah? Sebentar, katanya manusia. Adakah ini bermaksud yang bersuara itu adalah makhluk selain manusia? Jadi kalau bukan manusia itu apa?

Suara itu berdehem lagi. Kadang-kadang aku terasa bagai dipermainkan. Mungkin Sang Suara memang berniat mempermainkan aku. Dalam pada aku menjeruk rasa sendiri, aku cuba fokuskan pendengaran. Kali ini aku pasti, suara itu datangnya dari arah batu tempat aku bersandar tadi.

Pelik! Rasanya sejak tadi aku sendirian.

“Kau masih pelik bahawa yang bersuara ini bukan manusia pemusnah sama seperti kau?” soal Si Suara itu. Tercangak aku sebentar. Nampak gayanya Sang Suara sahajalah tempat aku menghuraikan segala misteri yang sudah kulalui ini. Ya, ini sahajalah harapanku yang tinggal.

“Siapa tu?” soal aku kemudiannya.

Ada bunyi dekahan ketawa melambung-lambung di udara. Frekuensinya agak tinggi hingga membuatkan telingaku terasa bingit.

“Sudah Gaharu Cendana pula, sudah tahu bertanya pula.” Balas suara itu.

“Batu, kau bercakap? Adakah kau manusia yang disumpah menjadi batu waktu siang dan bertukar menjadi manusia semula pada waktu malam?” soal aku. Aku teringat kisah dongeng rakyat yang Ayah bacakan ketika aku kecil dahulu. Kata Ayah, seorang Pangeran yang kacak telah disumpah hidup di dalam batu sehingga bertemu cinta sejati. Mungkin adanya batu ini serupa juga halnya dengan kisah itu. Diam-diam aku menyusun ceritera sendiri.

“Aku batu yang dengan kekuasaan Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dianugerahi kuasa bersuara hari ini. Kau lupa bahawa Tuhan itu Maha Berkuasa?” soal Sang Batu sinis.

Aku terdiam. Benar juga telahan Sang Batu itu. Jika dihitung kira bilangan solat Subuh sepanjang hayat 20 tahun hidupku ini kurang sepuluh kali aku tunaikan. Sebagai seorang yang beragama Islam, aku tergolong dalam orang-orang yang rugi. Ah, kenapa sahaja waktu-waktu ini baru aku sedar bahawa selama ini hidup aku dalam kerugian? Aku mengeluh lagi. Kali yang keberapa tidak pasti. Namun keluhan kali ini lebih kepada menyesali tindakanku yang lalu.

“Manusia sering lupa. Hanya ingat Tuhan masa susah. Tapi Tuhan itu sayang akan manusia. Maka keampunan untuk manusia terutamanya umat Muhammad terbuka hingga kiamat datang.” Sela suara itu lagi. Aku menganggukkan kepala. Apa yang dikatakan adalah benar. Tidak ada daya untuk aku membangkang.

“Wahai Sang Batu, di mana sebenarnya aku? Kenapa tempat ini kelihatan sangat pelik?” aku sudah mula tidak senang duduk. Bagaikan ulat kepanasan, segera aku tanyakan kegundahan hatiku.

“Kau di alam mimpi. Aku ini perutusan Tuhan buat kau. Datang aku sebagai daie, memberi peringatan untuk kau menjalani hidup-hidup yang mendatang.” Jawab batu itu.

“Mimpi? Tapi aku tidak tidur.” Sangkal aku pula.

“Kau sedang bermimpi di alam mimpi.” Terang batu itu. Aku diam. Sudah malas memikirkan segala kepelikkan yang wujud di depan mata.

“Kau nampak bangkai dan mayat yang berselerakkan itu?” soal batu itu. Aku sedikit tercengang. Bangkai? Mayat? Lalu kali ini aku perhatikan keadaan sekeliling betul-betul. Antara celahan runtuhan bangunan dan lapisan-lapisan debu ada tulang rangka manusia dan haiwan. Kelihatannya seperti gajah. Anggarannya aku tidak pasti. Sekejap sahaja aku sanggup melihat itu semua. Ngeri!

Hampir sahaja aku termuntah. Perasaan loya menyerbu ke tekak. Rasa senak pula terbawa ke perut kala itu.

“Kita di zaman gajah. Inilah kawasan Peperangan Tentera  Bergajah Abrahah. Inilah dataran kemusnahan seperti mana yang tertulis di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Fill.” Terang batu itu. Jadi soalan pertama sudah terjawab kini. Aku berada di satu sudut dunia sejarah, dalam paparan ngeri antara calit-calit darah dan longgok tulang-temulang manusia dan gajah.

Sungguh dahsyat panorama ini sehingga tidak ada kata-kata dapat aku ungkapkan. Aku berteleku seketika. Hampir terduduk bagai kehilangan semua tenaga.

“Wahai Sang Batu, aku ini manusia yang kurang ilmunya. Sudah lama aku tinggalkan Al-Quran apatah lagi membelek makna dari ayat-ayat Tuhan itu. Sudi tak kau ceritakan pada aku?” bercampur-baur perasaan aku kala itu. Malu tapi ingin tahu, sangat!

“Allah telah berfirman dalam Surah Al-Fill dari ayat satu hingga lima, bercerita tentang kisah sejarah ini. Maksudnya; Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,- Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras,- Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”

Betul. Saat aku terjaga dari tidur sebentar tadi, perkara pertama yang aku lihat adalah seperti berada di dunia yang musnah ibarat daun-daun kayu yang dimakan ulat! Maha Besar KekuasaanMu Ya Tuhan. Aku beristighfar di dalam hati.

“Tapi kenapa mimpi ini dinampakkan pada aku?” soal aku ingin tahu. “Tambahan pula aku ini cuma seorang remaja yang biasa-biasa sahaja. Aku tidak punya keterampilan seorang pemimpin. Malah aku remaja yang sosial dan gemarkan dunia.” Tokok aku lagi.

“Mungkin Tuhan mahu kau belajar dari sejarah. Bukankah setiap manusia itu adalah khalifah di muka bumi? Kau adalah salah seorang pemimpin akan datang, malahan sekarang juga kau sedang belajar dalam jurusan Politik. Langkah kaki kau seterusnya adalah kepimpinan.” Kata Sang Batu. Aku berteleku. Meski aku seorang pelajar jurusan Politik aku langsung tidak meminati bidang ini. Aku dipaksa oleh Ayah kerana ayahku salah seorang Ahli Parlimen yang terkenal di Malaysia. Kata Ayah, anak lelakinya harus mengikut jejak langkahnya menjadi seorang pemimpin. Benar, Ayah memang pemimpin tersohor namun aku tidak punya kualiti seperti Ayah.

“Abrahah mengarahkan 60 000 orang tentera dan 12 ekor gajah menyertai gerombolan ini demi menakluki perluasan politik. Namun ada kisah di sebaliknya. Mahu kau dengar?” soal Batu itu lagi.

“Aku sedang mendengar.” Perlahan, seakan-akan berbisik.

“Disebalik usaha Abrahah untuk menguasai jalur Mekkah dan daerah sekitarnya, sebenarnya pada masa itu kira-kira pada abad ke-5 dan 6 Masihi, ada dua kuasa besar yang saling bermusuhan. Kedua-duanya adalah Persia dan Roman yang berebutkan wilayah Hijaz di Timur Tengah. Mekah pada ketika itu masih belum dikuasai oleh mana-mana pihak. Lalu Abrahah mula menyusun strategi licik. Strategi inilah yang dikenali sebagai tipu daya sebagaimana dihuraikan dalam tafsir Al-Quran. Maka disebabkan itulah, Allah menghantar bala tentera berupa Ababil sehingga dikhabarkan bahawa langit pada masa itu bertukar menjadi gelap.” Panjang lebar huraian Si Batu kali ini. Aku mengangguk-anggukkan kepala. Baru kali ini aku faham benar tentang salah satu kisah di dalam Al-Quran itu.

“Ababil itu burung-burung yang membawa batu panas di paruh itu?” soal aku inginkan kepastian. Takut juga jika imaginasi aku tidak berlangsungan dengan kisah ini.

“Betul. Nampaknya kau sudah faham benar dengan kisah yang aku ceritakan tadi.” Ulas Sang Batu. Aku tersenyum, sedikit berbangga.

“Sudahlah. Aku rasa sudah masanya kau pulang ke alam sedar.” Kata batu itu.

“Tapi masih banyak yang masih belum terjawab.” Tingkah aku. Serasanya aku mahu belajar lebih banyak lagi. Ilmu Allah itu sungguh luas dan indah.

“Sedarlah ke duniamu. Aku harap kau bakal menjadi pemimpin perintis kepimpinan Islam. Belajarlah tentang keindahan Islam. Timba sebanyak mana pengalaman tanpa mengabaikan Al-Quran dan Al-Hadith.” Nasihat Si Batu itu lagi.

Aku anggukkan sahaja. Aku menarik nafas dalam-dalam. Bersedia untuk sedar dari mimpi ini.

“Bila kau sedar nanti, ubat tapak kakimu itu supaya jangan sampai luka melarat. Batu yang kau pijak itu boleh menyebabkan ia merebak menjadi penyakit cacar.” Ucap batu itu. Pada waktu itu suara itu kian bergema, namun menjadi semakin perlahan hingga akhirnya hilang begitu sahaja.

Dan akhirnya aku tersedar dari mimpi yang aneh itu. Ada rintik-rintik peluh di dahiku. Ruang bilik yang agak kecil aku pandang keliling. Aku bernafas bagaikan baru usai berlari dikejar anjing. Kipas yang berputar langsung tidak dapat member dingin kepadaku. Manik-manik peluh terus-terusan merintik laju.

Telapak kakiku bagaikan terasa sakit. Ada lecur di situ. Aku beristighfar. Benarlah apa yang telah aku lalui ketika bermimpi tadi. Aku menangis bagaikan anak kecil malam itu. Dua pertiga malam itu aku sertakan dengan munajat dan solat hajat. Aku mengucap, kembali kepada fitrah asalku. Fitrah beragama.

Cerpen sebelumnya:
Farish Haiqal
Cerpen selanjutnya:
Janji Syuk

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.6
5 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2283 bacaan
Kanibal Malaya | 2803 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 4014 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 9931 bacaan
Naskah | 2234 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3432 bacaan
Tuhan itu cinta | 2736 bacaan
Demi Wawasan 2020 | 2797 bacaan
no title | bacaan
NUR IV | 2014 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

11 Komen dalam karya pcb#2: Lecuran
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik