Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Syiah (Bahagian 2)

  • 1
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,632
  • FREE

 

Petang sabtu yang terik. Dengan sesekali angin berhembus masih gagal mengesamping marakan matahari yang terdiri dari gas panas sebelum menukar unsur hidrogen kepada helium melalui tindak balas gabungan nuklear pada kadar 600 juta tan. Sementara lapisan ozon giat mempertahankan bumi daripada sinaran ultraungu dan inframerah. Aku melangkah sedikit tergesa memilih jalan yang redup bagi mengurangkan pedih gigitan surya dipermukaan kulit. Dia pasti sudah terconggok di situ lebih awal. Mungkin seusai zohor. Sebaik melangkah masuk keperpustakaan, aku segera memerhati sekitar. Terlihat dia sedang duduk menekuni sesuatu.

“Assalamualaikum” aku menyapa memecah sunyi.

“Walaikumsalam” dia membalas sambil mendonggak sebelum menguntum senyum sebaik menyedari yang berdiri itu adalah aku.

“Khusyuk nampak. Sampai aku datang pun kau tak perasan” kata ku mengusik

“maaf, aku betul-betul tak perasan. Bila kau sampai?” soal dia ingin kepastian.

“Baru jer. Mana nak perasan kalau dah mabuk dengan buku” Dia hanya tersenyum sinis mendengar sindiran itu.

“Boleh kita sambung diskusi yang tertangguh hari tu” giliran aku pula bertanya.

“Ya, boleh. Hari tu kita berhenti sampai mana?” Dia bertanya atau mungkin sekadar menguji aku.

“Sampai Syiah Al-Kamaliah” jawab ku penuh yakin.

“Baik, sekarang kita sambung dengan Muhammadiyah”. Dia memberi saranan. Aku hanya mengangguk setuju.

Muhammadiyah adalah golongan yang menunggu kelahiran semula Muhammad bin Abdullah bin al-Hasan bin al-Hasan bin Ali bin Abu Talib. Walaupun beliau dibunuh, mereka berkata, “Muhammad bin Abdullah masih hidup. Beliau bersembunyi di bukit Hajar yang terletak di daerah Najd. Pada akhir zaman, dia akan diperintah keluar daripada persembunyian.” Terang dia memulakan diskusi.

“Seterusnya Syiah Hisyamiah. Golongan ini mempunyai dua puak, pengikut Hisyam bin al-Hakam al-Rafazi dan pengikut Hisyam bin Salam bin al-Jawaqi. Hisyam al-Hakim al-Rafazi adalah pengasas ajaran atau fahaman yang menyatakan Allah itu berjisim. Walaupun tidak sama dengan yang lain, tetapi boleh digambarkan dari segi zatnya walaupun sifat kuasanya tidak terhingga. Dia tinggi dan lebar, lebarnya sama dengan tingginya. Mereka juga berkata Tuhan itu nur yang bercahaya seperti perak yang bersih dan mutiara yang bulat. Dakwaan itu adalah bohong dan tidak ada bukti yang membenarkan dakwaan mereka.Mereka juga menghadkan sifat-sifat Allah yang maha sempurna itu dengan menyatakan ilmu Allah itu terhad. Mereka berkata, “Adalah mustahil Allah itu mengetahui segala sesuatu secara berpanjangan.” Mereka mendakwa Allah mengetahui suatu dengan didahulukan tetapi tidak mengetahuinya terlebih dahulu. Mereka berkata al-Quran itu tidak khalik (pencipta) dan bukan makhluk (diciptakan). Ia adalah perbuatan Allah seperti juga ilmunya. Mereka membenarkan derhaka kepada para nabi sedangkan imam-imam pula bersifat maksum. Mereka berhujah, nabi itu diwahyukan padanya” Dia berhenti sejenak sambil memandang aku yang sibuk membuat catitan.

“Hisyam bin Salam bin al-Jawaqi. Mereka lebih melampau lagi dengan membawa pegangan Mujasad dan Musyabihat. Mereka berpegang dengan fahaman yang menyatakan Allah itu berupa manusia yang tidak berdaging dan berdarah. Dia adalah cahaya yang putih yang mempunyai pancaindera yang lima. Mereka mendakwa Allah mempunyai tangan, kaki, hidung, mulut, mata dan telinga. Dia mendengar dengan yang lain daripada apa yang dia melihat dengannya. Seluruh pancainderanya berbeza-beza antara satu sama lain, separuh yang di atasnya berongga dan separuh yang di bawahnya tidak, mempunyai cahaya hitam dan putih, iradahnya. (berkehendak) ialah harakat (gerak). Sifat ini bukannya sifat bagi Allah dan bukan lain daripadanya. Apabila dia menghendaki sesuatu, dia bergerak. Maka berlakulah seperti kehendaknya” Dia berdehem bagi melegakan tekaknya yang sedikit sesak.

“Sekarang kita akan masuk kepada Ghaulah Al-Syiah. Kelompok fahaman Syiah yang dihukum terkeluar daripada Islam walaupun mereka mengaku sebagai pengikut Islam, kerana fahaman yang menjadi pegangan mereka jelas membatalkan akidah.

“Al-Saba’iah dalah pengikut ajaran yang dibawa oleh Abdullah Ibnu Saba'. Dia berasal daripada agama Yahudi kemudiannya mengaku Islam. Dia pernah berkata kepada Ali, “Awak adalah awak” Ia bermaksud, awak adalah Tuhan. Lalu dia dihalau ke Madyan. Selepas Ali meninggal dunia, dia menyebarkan ijarannya. Antara ajarannya, Yushak bin Nun adalah orang yang diwasiatkan oleh Musa, Ali juga diwasiatkan oleh Nabi Muhammad. Selepas itu, ajaran itu berkembang daripadanya fahaman-fahaman radikal yang lain. Kemudian, dia mendakwa Ali sebenarnya tidak mati. Beliau datang bersama awan, guruh adalah suaranya, kilat itu senyumnya, apabila bumi dipenuhi kezaliman, Ali turun memenuhi dengan keadilan. Kemudian dia membawa fahaman tanasukh al-arwah (selepas roh berpisah daripada jasad seseorang, roh itu berpindah pula ke jasad yang lain). Fahaman itu berasal daripada kepercayaan agama Hindu. Kemudian dia menyatakan, Tuhan menjelma ke dalam diri imam-imam yang dilantik selepas Ali” .

 “Seterusnya Al-Ismailiah. Golongan ini dianggap sebahagian daripada Syiah yang radikal dan terkeluar daripada agama Islam. Mereka percaya, yang menjadi Imam adalah Ismail bin Jaafar as-Sadiq, tetapi Isna Ashariah tidak mengiktiraf fahaman ini dan tidak mengiktiraf Ismail menjadi Imam selepas Imam Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Menurut mereka, Ismail adalah seorang yang melakukan kerja-kerja maksiat yang termasuk dalam dosa besar seperti meminum arak dan sebagainya. Namun, pengikut fahaman Ismailiah berkata, “Tidak mengapa dia mengerjakan dosa besar kerana dia maksum. Apabila dia minum arak, dia minum di bawah ilmu Allah.” Menurut Imam Abu Hasan al-Asy’ari, daripada fahaman Ismailiah ini juga lahirnya fahaman Qaramitah yang mengikut ajaran batiniah. Kemudian golongan Ismailiah bertelingkah dalam isu kematian Ismail. Ada di kalangan mereka yang berpendapat, Ismail tidak mati tetapi berpura-pura mati sebagai taqiah (menyelamatkan diri) daripada menjadi mangsa pemerintahan Abbasiah. Ada juga yang berpendapat, Ismail sebenarnya sudah mati maka anak-anaknya pula yang menjadi imam setepasnya. Ada juga berpendapat, yang menjadi imam selepas Ismail adalah anaknya Muhammad bin Ismail” dia cuba sebaik mungkin menjelaskan setiap buiran dengan terperinci.

“Duruz pula adalah kumpulan yang berasal daripada golongan pelampau Syiah yang pernah menegakkan Kerajaan Fatimiah di Utara Afrika. Pengikut kepada Muhammad bin Ismail al-Duruzi, yang berbangsa Turki. Sebahagian sarjana menyatakan dia berbangsa Parsi. Dia menjadi penyokong kuat kepada raja al-Hakim Biamrillah yang mengaku menjadi Tuhan. Dia dengan beraninya mengisytiharkan raja itu sebagai Tuhan di salah sebuah masjid di bandar Kaherah, Mesir. Kemudian, dia mengajak orang ramai beriman dan beribadah kepadanya tetapi golongan Durzi melaknatnya dan tidak menghormatinya lagi. Golongan Durzi mendakwa mereka adalah pengikut kepada Hamzah bin Ali al-Zuzani al-Farisi yang bergelar al-Hadi yang juga kenalan rapat al-Hakim Biamrillah. Al-Hakim memeritahnya supaya menerima jawatan pemimpin menyeru kepada fahaman Ismailiah dengan gelaran al-Sannadu al-Hadi dan diperintah supaya menjadikan Lembah Tim sebagai pusat kegiatannya. Apabila al-Hakim Biamrillah menghilangkan diri, golongan Durzi berpendapat dia menghilangkan dirinya bagi membuang kotoran murid-muridnya. Dia akan kembali semula apabila kezaliman di dunia ini sampai ke puncaknya dan dia kembali semula bagi menghitungkan orang-orang bukan Islam”.

“Terlalu payah mendapat rujukan mengenai dengan ajaran mereka kerana mereka sangat merahsiakannya. Mereka tinggal berasingan daripada orang ramai iaitu di kawasan bukit-bukau dan pergunungan di Lubnan. Walau bagaimanapun, mereka adalah pecahan daripada fahaman Ismailiah bil Batiniah. Antara perkara yang menjadi kepercayaan mereka adalah:

Mempercayai tanasukh, iaitu roh berpindah daripada orang yang sudah mati kepada jasad orang lain. Alasan mereka adalah walaupun jasadnya mati namun rohnya tetap hidup. Mereka juga berkata, “Iblis lahir dalam tubuh Nabi Adam, kemudian berpindah ke tubuh Nabi Nuh, kemudian ke tubuh Nabi Ibrahim, kemudian ke tubuh Nabi Musa kemudian ke tubuh Nabi Isa, akhirnya ke tubuh Nabi Muhammad.” Mereka berkata pula, “Syaitan itu lahir dalam tubuh Nabi Adam. Kemudian ke dalam tubuh Sam bin Nuh, kemudian ke dalam tubuh Nabi Ismail, kemudian ke dalam tubuh Yushak, kemudian ke dalam tubuh Syam’un al-Shafa, kemudian ke dalam tubuh Ali bin Abi Talib, kemudian ke dalam tubuh Qidah (salah seorang pemimpin golongan Qaramitah). Ruh orang yang mati akan kembali semula ke dunia ke dalam tubuh kanak-kanak yang baru dilahirkan. Percaya kepada Injil dan al-Quran dengan cara memilih ayat yang boleh ditakwil dan meninggalkan ayat-ayat yang tidak boleh ditakwil. Mereka berkata juga al-Quran itu diwahyukan kepada Salman al-Farisi. Kemudian ia diambil oleh Muhammad dan dia menisbahkannya kepada dirinya. Mereka menamakan al-Quran dalam buku-buku mereka dengan al-Mastur al-Mubin. Mereka cenderung tidak mengerjakan ibadah dan jihad kerana mereka percaya Raja al-Hakim Biamrillah menjelma kepada mereka pada awal tahun 804 Hijrah lalu menggugurkan perintah sembahyang, puasa, zakat, haji, jihad, wilayah dan syahadah.

“Akhir sekali Qaramithah. Mereka adalah pengikut kepada Hamdan bin al-As’as yang terkenal dengan Hamdan Qirmit. Qirmit bermakna melangkah pendek apabila berjalan. Ini kerana Hamdan dilihat pada zahirnya sebagai seorang yang bersifat zuhud dan fakir. Dia menetap di kampung daerah Teluk Parsi dengan mendirikan sebuah kawasan dan menamakannya dengan Darul Hijrah kononnya mengikut contoh nabi. Selepas berjaya mendapat pengaruh, dia menyebarkan ajarannya di daerah sekitarnya. Ajarannya juga berfahaman kebatinan. Antara cara dia mengumpul pengikut dan menegakkan ajarannya adalah dengan mengumpulkan harta yang menjadi milik bersama sehingga masing-masing mempunyai senjata bagi menentang sesiapa yang menghalang. Masalah makan minum diatasi dengan cara berkongsi. Kemudian, dia membawa pengikutnya supaya bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dengan tujuan berjinak-jinak dan berkasih sayang” Dia diam sekejap. Sedang aku rusuh menyalin butir-butir penting untuk dijadikan rujukan. Sebelum dia menambah.

“Pada tahun 513 Hijrah (12 Januari 930) , mereka menyerang Mekah dengan bala tentera yang dipimpin oleh Abu Tahir al-Janabi. Pada Hari Raya Haji, mereka membunuh jemaah yang datang ke masjid dan orang-orang yang tawaf. Mereka masuk ke dalam Kaabah dengan berkuda, kencing semasa tawaf, mencabut Hajarul Aswad dan mengambil perhiasan Kaabah sambil mencaci secara mengejek. “Kalaulah rumah ini menjadi Tuhan, nescaya dia menyiram api neraka ke atas kita. Sesungguhnya kami tinggalkan jenazah-jenazah antara telaga zam-zam dan bukit Safa yang tidak mahu kepadanya melainkan Tuhan yang mengaku Tuhan.” Batu Hajarul Aswad menjadi rampasan mereka selama 20 tahun sehingga tentera Islam dapat mengalahkan mereka dan mengambil semula Hajarul Aswad”. Aku merasa sangat terpukul dengan peristiwa yang diceritakan itu. Mendengar Baitullah diperlakukan sedemikian rupa kemarahan ku jadi meluap-luap. Aku jadi emosi.

“Jadinya tidak salahlah tohmahan banyak orang pada Syiah. Sememangnya mereka layak untuk ditohmah” terpacul ungkapan itu dari bibir ku.

“Aku tahu kau pasti emosi mendengar onar yang dilakukan oleh kelompok pelampau Syiah itu. Sebagai manusia yang dibekalkan dengan emosi, kau berhak untuk berasa marah.Tapi usah dibiarkan amarah itu menguasai diri. Jangan disebabkan nila setitik habis rosak susu sebelanga. Ingat dikalangan mazhab kita juga terdapat kelompok-kelompok ektrimis yang kebanyakkan tindak-tanduk mereka bukan sahaja bertentangan dengan pegangan kita Ahlusunnah Wal Jamaah tetapi menyelisihi Al-Quran dan Hadith. Namun kita semua berlepas diri dari tindakan mereka yang melampaui batas itu” dia sempat menerobos pandang kearah ku sebelum mendengus berat.

“Kekacauan yang dilakukan oleh puak pelampau syiah ini telah memberi implikasi besar dalam hubungan sunni-syiah. Sehingga ramai yang secara sembrono menghukumi semua syiah itu adalah kafir. Ini jelas bertentangan dengan hakikat sebenar. Aku pernah berkesempatan berdialog dengan seorang teman yang anti-syiah. Dia menyatakan yang syiah itu bukan Islam. Lalu aku menyanggah dengan Deklarasi Amman Jordan yang dikeluarkan pada 9 November 2004 telah didukung oleh Ulama pelbagai mazhab termasuk Imam Al-Azhar, Syed Tantawi, mufti-mufti negara Mesir, Jordan, Syria dan juga Sheikh Yusuf Al-Qaradawi. Di antara kandungannya menyatakan sebulat-suara telah dipersetujui bahawa 8 jenis mazhab diterima dan dianggap sah disisi Islam, yakni haram mengkafirkan sesama mazhab ini, iaitu

1- Mazhab Hanafi (sunni)
2- Mazhab Syafie (sunni)
3- Mazhab Hanbali (sunni)
4- Mazhab Maliki (sunni)
5- Mazhab Ja'fari (syiah)
6- Mazhab Zaydi (syiah)
7- Mazhab I'badi
8- Mazhab Zahiri

Tiba-tiba dia menjadi berang dan menuduh aku sebagai simpatisan Syiah dengan berusaha menghalalkan yang haram. Aku hanya diam kerana memahami situasi itu. Kemarahan yang ditunjukkan itu adalah bertitik tolak dari manifestasi cintanya kepada agama. Tapi sayang niat itu tidak pernah menghalalkan cara”. Dia menarik nafas sebelum melanjut.

“Aku sekadar menyampaikan yang benar tanpa menambah mahupun mengurangi barang sedikit. Seperti sabda nabi yang direkodkan oleh Ibnu Abi Ad-Dunya “Hendaklah kalian tetap berkata benar sekalipun menghadapi bahaya. Sebab di dalam kata-kata yang benar terdapat keselamatan” Begitu juga yang dicontohkah oleh Imam Syafie seperti yang dinukilkan dalam rangkap syairnya pada saat terfitnah sebagai syiah dizaman khalifah Harun Al-Rasyid kerana membela isi rumah Rasulullah “Jika sekiranya disebabkan kecintaan kepada keluarga Rasulullah s.a.w. maka aku dituduh Rafidhi (Syi’ah). Maka saksikanlah jin dan manusia, bahawa sesungguhnya aku adalah Rafidhi. Imam Ahmad Bin Hambal juga merintis jalan yang serupa berani berkata benar saat menyelisihi pendapat majoriti Muktazillah dizamannya. Secara terus terang dia berkata dihadapan Sultan Al-Makmun “Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah".

Aku jadi malu dengan ucapanku yang melulu. Seharusnya aku perlu lebih bijak mengendali amarah supaya tidak terbawa oleh emosi yang akhirnya hanya akan mempertontonkan kebodohanku sendiri. Benarlah sabda Rasulullah SAW seperti yang direkodkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya yang bermaksud : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah”. Aku perlu mempelajari kualiti ini dari Luqmanul Hakim yang sentiasa sederhana, sabar dan kritis dalam meneroka dunia ilmu yang sarat dengan beragam penafsiran dan jalur perspektif.

 

Bersambung...

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Oh, ada sambungan lagi. Memang banyak maklumat yang dapat dipelajari.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti