Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB#3 : Amnesia Tentang Cinta Itu

 

PCB#3 : Amnesia Tentang Cinta Itu.

“Selamat hari jadi, Juliana…” ucapnya lalu meniup dua batang lilin yang menyala di atas kek itu.  Menitis airmatanya kerana menyambut hari lahirnya yang kedua puluh enam tahun dengan cara sebegini.  25hb Februari 2011, merupakan tarikh ibunya melahirkannya di Batu Pahat, Johor.  Tapi semuanya hanya menjadi rahsianya sendiri.  Semua sejarah hidupnya hanya tinggal sebuah diari yang rahsia.  Kini, sudah empat tahun dia melalui kehidupan sebegini.

“Akulah Salsabila…” katanya sambil memandang cermin, menatap dirinya sendiri.  Seorang gadis yang penuh impian dan kehidupan yang baru.

            Salsabila bersiap-siap untuk menghadiri satu temujanji dengan seorang pelanggan.  Walaupun permintaan pelanggan tersebut agak berbeza dari kebiasaan, namun ini merupakan peluang besarnya untuk mengembangkan bakatnya.  Dia membiarkan rambut lurusnya yang mencecah bahu itu terlepas begitu saja.

“Hotel Sri Aroma…” Salsabila tersenyum puas apabila dia sudah berada di hadapan hotel yang dikatakan oleh wanita bernama Datin Sarimah pada tempoh hari.

“Saya Salsabila…Datin Sarimah minta saya datang sini, untuk melukis gambarnya  sekeluarga,” jelas gadis berkulit hitam manis yang setia dengan senyumannya itu.

“Oh, Cik Salsabila.  Datin dah beri arahan, minta cik naik ke tingkat enam.  Mereka ada di sana,” jelas wanita yang berada di kaunter pertanyaan.  Tag namanya tertulis Farhana.

“Terima kasih,” ucap Salsabila.  Dia masuk ke dalam lif dan menekan butang enam.

            Kelmarin, semenjak menerima panggilan telefon daripada Datin Sarimah, dia sangat teruja.  Kebiasaannya pelanggan hanya mahukan lukisan permandangan alam, potret wajah, dan membeli lukisannya yang telah siap.  Tapi kali ini, pemilik hotel bertingkat dua puluh dua ini meminta dia melukis gambar dirinya bersama-sama keluarganya.  Salsabila dapat merasakan bahawa wanita itu sangat menghargai keluarganya sendiri. 

“Kalaulah keluargaku masih hidup, pasti aku dapat melukis gambar mereka…” keluh Salsabila sementara menanti lif tersebut tiba di tingkat enam.  Lif sudah terbuka.  Salsabila kagum apabila melihat susunan perabot dan perhiasan di situ.  Semuanya nampak bersih, berseri, dan wangi. Melihat banyak bunga berwarna warni, tahulah dia bahawa pemilik hotel ini sememangnya sukakan pada keindahan alam.

“Salsabila? Awak ke tu?” tanya seorang wanita yang berumur dalam lingkungan lima puluh tahun dan manis bertudung.  Salsabila memandang ke arahnya lalu mengangguk.

“Maaf, saya terlambat ke, Datin Sarimah” Salsabila menghulurkan tangan dan mereka bersalaman.  Datin Sarimah terkejut apabila gadis itu mencium tangannya.  Wajah Salsabila sangat manis dan sejuk matanya memandang.

“Tak…Awak sampai tepat pada waktunya.  Cuma saya yang bersiap terlalu awal,” jelas Datin Sarimah lalu ketawa. 

“Ini anak-anak saya.  Kenalkan, Syazira, dan paling kecil ni, Syafiq.”  Mereka bersalaman.  Wajah anak-anaknya mirip sepertinya.  Tidak pula beliau memperkenalkannya kepada suaminya, maka Salsabila mengagak wanita itu merupakan ibu tunggal.

“Ibu saya suka sangat dengan hasil lukisan kakak, Salsabila.  Saya juga ikut suka tengok lukisan-lukisan Kak Salsabila dalam blog Coretan Alam  tu.  Memang cantik semuanya,” puji Syafikah yang merupakan anak kedua kepada Datin Sarimah.

“Terima kasih.  Kakak melukis berdasarkan perasaan sendiri.  Tak ada apa yang istimewa,” Salsabila merendah diri. 

“Jadi, boleh kita mulakan, Datin?” tanya Salsabila yang sudah mencari satu kedudukan yang baik untuknya duduk ketika melukis.

“Oh, maaf, Salsabila…Anak sulung saya belum sampai.  Dia masih di bawah.  Boleh tunggu sebentar?” pinta Datin Sarimah yang baru saja memutuskan panggilan telefonnya.  Barangkali baru menelefon anak sulungnya itu.

“Tak ada masalah, Datin,” jawab Salsabila.  Sementara menanti anaknya itu, Salsabila meminta mereka mencari kedudukan yang sesuai untuk berdiri.

“Along selalu lambatlah, ibu,” rungut Syazira kepada ibunya.

“Betul tu ibu.  Semalam janji nak tolong Syafiq buat kerja sekolah, tapi dia tak balik pun,” rungut anak bongsunya pula.  Salsabila tersenyum melihat gelagat mereka yang mengadu kepada ibunya tentang sikap tak acuh abang sulung mereka.

“Maaf, saya lambat!” Terdengar suara lelaki itu termengah-mengah kerana kepenatan bergegas untuk sampai dengan segera.  Pasti dia juga tahu adik-adiknya pasti marah sekiranya dia lambat sebegini.

“Along!  Along!” jerit Syafiq lalu berlari mendapatkan abangnya.  Lelaki itu menyambutnya lalu mendukung adik bongsunya yang berumur enam tahun itu.

“Along minta maaf…”pintanya lagi lalu menghampiri ibunya yang sedang membetulkan pakaian dan tudung Syazira.  Salsabila pula sedang sibuk mengeluarkan peralatannya untuk melukis.  Wajahnya terselindung dengan kertas lukisan besarnya itu.

“Sini, ibu kenalkan.  Salsabila…  Dia pun orang Batu Pahat, tempat arwah ayah kamu dan daerah yang pernah kita tinggal dulu,” jelas Datin Sarimah yang sudah menyelidik asal usul gadis itu tanpa pengetahuannya.  Mereka berdua menghampiri Salsabila.  Salsabila bangun dari kerusinya.

“Hai,” sapa Salsabila kepada lelaki yang lebih tinggi darinya itu.  Salsabila tersentak. 

“Juliana?” panggil Haikal sebaik saja bertentang mata dengan gadis itu.  Salsabila cuba bertenang dan membalas panggilan itu dengan senyuman.

“Maaf…Saya Salsabila,” jawab Salsabila.  Datin Sarimah menyenggol lengan anaknya.

“Salsabilalah…Bukan Juliana,” ibunya cuba mengingatkan.  Haikal memandang tubuh dan wajah Salsabila.  Wajahnya mirip seorang gadis yang pernah dikenalinya empat tahun lalu.  Bentuk badan dan suaranya juga sama dengan suara Juliana.  Yang bezanya, dia tidak memakai tudung di kepala seperti Juliana.  Dagu dan wajahnya juga agak bujur, tidak seperti Juliana.  Tapi mengapa hatinya yakin bahawa gadis di hadapannya ini adalah Juliana yang pernah disayanginya?

“Maafkan Haikal.  Dia ingat Salsabila orang lain.  Dia ni memang macam ni…Sapa je yang muka macam arwah kekasihnya, mesti dia kata orang tu Juliana,” Datin Sarimah cuba menjelaskan kedudukan sebenar.  Haikal masih memandang Salsabila yang masih tersenyum.

“Tak apalah, Datin.  Kat dunia ni kan, ada tujuh muka yang sama.  Mungkin dia masih rindukan Juliana, sebab tu ternampak-nampak dia,” teka Salsabila lalu memandang wajah lelaki yang masih keliru dengan wajahnya.

“Awak bukan Juliana?” tanya Haikal yang inginkan kepastian.

“Saya Salsabila…Kalau awak betul-betul sayangkan Juliana, mesti awak boleh tahu perbezaan saya dengan dia,” jawab Salsabila yang bijak mengatur kata untuk menyedarkan Haikal.

“Errr, kalau macam tu…maafkan saya.  Saya salah orang,” pohon Haikal.  Dia mengikut ibunya berdiri di tepi jendela agar lukisannya mereka sekeluarga dapat disiapkan oleh Salsabila secepat mungkin.  Tak sabar rasanya untuk menggantungkan potret tersebut di dalam pejabatnya.  Pasti semua pelanggan dan pekerjanya terpegun dan kagum melihat kemesraan mereka melalui lukisan tersebut.

“Juliana…Kenapa dia mirip sungguh dengan awak?  Cara dia bercakap, seperti awak yang pandai berpuisi.  Suaranya, seperti merdunya suara awak apabila menyanyikan lagu.  Gaya dan senyumannya seperti awak yang sentiasa sopan dan lemah lembut.  Kenapa saya berjumpa dengan dia, setelah saya sedaya upaya untuk melupakan awak, Juliana? Dia benar-benar mengingatkan saya tentang awak,” Haikal berkata-kata dengan dirinya sendiri ketika berdiri dan tersenyum sepertimana yang dipinta oleh Salsabila.  Gadis itu tekun melukis. 

“InsyaAllah, lusa saya akan hantarkan sendiri ke pejabat Datin Sarimah, ya?” janji Salsabila sebaik saja siap melakar gambar mereka di atas kertas lukisannya.  Datin Sarimah rasa sangat selesa bekerjasama dengan gadis itu.  Dia sangat menghormati dirinya sebagai wanita yang lebih berusia.  Alangkah baiknya jika gadis sebaik itu mengenakan tudung untuk menutup aurat dirinya.  Tapi dia yakin, jika ada kemahuan dan keinsafan, Salsabila mampu mengubah dirinya agar lebih dekat kepada Allah.

“Janganlah balik dulu.  Jom, makan dengan saya dan anak-anak saya,” pelawa Datin Sarimah yang sudah merancang hendak makan tengah hari bersama-sama mereka.

“Oh, tak apalah, Datin.  Terima kasih sangat-sangat.  Saya ada urusan lain ni.  Maafkan saya.  Mungkin lain kali boleh,” jelas Salsabila.  Memang benar, selepas ini dia harus ke Bangsar.  Kelasnya akan bermula dua jam saja lagi.

“Ibu, saya pergi dulu,” pinta Haikal yang mencium pipi ibunya.

“Nak ke mana?  Syafiq bising nanti, katanya abangnya tak ada masa untuk dia,” leter Datin Sarimah.

“Ibu…Petang ni Haikal ada temujanji dengan Datuk Rahman.  Berkenaan kertas kerja kita.  Lupa ke?” Haikal cuba mengingatkan ibunya.  Barulah Datin Sarimah teringat tentang temu janji itu.  Semenjak Haikal menjadi CIO syarikat perhotelannya, kebanyakan tugas terutamanya berkenaan kertas kerja kerjasama, dialah yang akan menguruskannya.  Begitulah keadaan Haikal semenjak empat tahun lalu.  Semenjak kehilangan seorang gadis yang sangat disayanginya.  Berita tentang kematian Juliana bersama-sama keluarganya akibat kemalangan jalan raya menyebabkan semua impiannya berkecai.  Dia cuba melupakan peristiwa tersebut dengan menyibukkan diri terhadap urusan hotel wasiat arwah ayahnya.

“Oh, ibu lupa.  Kalau gitu, bolehlah hantarkan Salsabila sekali.  Boleh kan?” cadang Datin Sarimah kepada Haikal.  Haikal memandang wajah gadis itu yang mengerutkan dahinya.

“Eh, tak apalah, Datin, Encik Haikal.  Saya dah biasa naik teksi atau bas.  Lagipun tempat yang saya nak pergi ni tak sama dengan tempat Encik Haikal,” tolak Salsabila lalu menundukkan wajahnya.  Dia tak mahu menatap wajah lelaki itu.  Semakin dipandangnya, semakin jiwanya rasa gementar.  Dia tak mahu matanya membongkarkan segala-galanya.

“Awak nak ke mana?  Tak apa…Kami dah jadi pelanggan awak, tak salahkan kalau saya beri sedikit pertolongan?” Haikal cuba memujuk.  Salsabila memandangnya.  Mata lelaki itu masih seperti dulu.  Sepasang mata yang sentiasa menawan dan mencuri hatinya.

“Hmmm….Tak apa.  Maafkan saya.  Saya dah terlewat.  Saya pergi dulu, Datin,” Salsabila melangkah pantas lalu masuk ke dalam lif.  Dia meninggalkan mereka anak beranak.

“Wajahnya mirip Juliana, ibu…Sungguh.  Saya rasa macam dalam mimpi,” adu Haikal kepada ibu yang disayanginya itu.

“Sabarlah, Haikal… Itu Salsabila.  Kalau itu Juliana, pasti dia akan berterus terang.  Lupakanlah dia, ya?” pinta Datin Sarimah sambil menggosok-gosok lengan anaknya itu.  Haikal tersenyum.

“Ya Allah…Kenapa kami dipertemukan semula?  Aku bukan Juliana…Aku Salsabila...Biarlah aku terus amnesia tentang cinta itu…” keluh Salsabila sepanjang langkahnya ke tempat menunggu teksi.  Berderai airmatanya.  Kesedihan dan ketakutan yang disembunyikannya sejak tadi, tak mampu dibendungnya.  Hanya tuhan saja tahu betapa cemas dan gelisahnya ketika menatap wajah Haikal.  Kalau dia tahu Datin Sarimah itu adalah emak kepada Haikal, pasti ditolaknya dengan segera tentang tawaran besar itu.  Tapi, apakan daya, semuanya telah terjadi?

            Hujan turun dengan lebat.  Salsabila cemas apabila peralatan lukisannya akan dibasahi oleh rintik-rintik hujan.  Dia berlari semula ke hotel tersebut, lalu berteduh dengan harapan hujan akan segera berhenti.

“Adoi, lagi satu jam nak mula kelas ni!  Nanti kalau diaorang dah datang, macamana?” leter Salsabila sendirian.  Hujan semakin lebat.

“Salsabila!  Awak tak dapat teksi lagi ke?” tanya Haikal yang baru saja keluar dari hotel tersebut.  Salsabila mengeluh dalam hatinya.  Kenapalah dia dipertemukan lagi dengan Haikal?

“Errr, belum…Hujan,” jawab Salsabila ringkas.

“Awak nak ke mana?  Mari saya hantar,” pelawa Haikal yang memandang ke langit.  Hujan lebat.  Keretanya berada di tempat meletak kenderaan yang agak jauh.  Dia harus berlari untuk masuk ke dalam kereta Wajanya.  Salsabila memandang jam di tangannya.  Memang dia dah terlambat!  Tapi tak mungkin dia akan menerima pelawaan Haikal itu!  Dia tak mahu tersalah langkah dan akan menjerat dirinya sendiri.

“Salsabila!  Awak takut kat saya ke?  Err, maafkan saya… Saya tersalah orang tadi.  Dan, saya tahu tak mungkin awak orang yang sama.  Mustahil,” jelas Haikal yang suaranya terpaksa dikuatkan agar dapat melawan bunyi hujan yang lebat.

“Bukan macam tu…Tapi…” belum sempat Salsabila menyambung kata-katanya.  Haikal meletakkan jari manisnya ke bibirnya sendiri, tanda meminta Salsabila diam.

“Awak tunggu saya di sini.  Saya hantarkan awak, ya,” pesan Haikal.  Dia berlari dengan baju kotnya basah disirami air hujan. 

“Haikal…Awak masih seperti dulu…Degil dan…baik…” kata Salsabila sendirian.  Tiba-tiba ingatannya tentang Haikal datang singgah ke fikirannya.

“Juliana...Ibu saya nak jumpa awak,” kata Haikal ketika mereka sedang makan malam bersama-sama.  Ketika itu, Juliana sangat anggun dengan tudungnya.  Senyumannya itu sentiasa menjadi igauan dan kebahagiaan buat Haikal.  Mereka berkenalan ketika berada di tahun pertama ketika pengajiannya di Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor. 

“Saya seganlah, Haikal…” balas Juliana yang sedang menghirup jus orennya.  Haikal mengerutkan dahinya.

“Sejak bila Juliana ni pemalu orangnya?  Ibu saya pasti suka dengan awak.  Awak manis, peramah, dan sopan santun orangnya.  Mesti dia puas hati dengan pilihan anak sulungnya ni.  Percayalah cakap saya,” Haikal cuba memberi semangat kepada kekasihnya itu.  Dia sengaja hendak memperkenalkan ibunya kepada Juliana, meskipun sekadar kawan baik.  Dia mahu ibunya tahu bahawa gadis inilah yang telah mengubah sifat tak acuh dan pemalasnya dulu.

“Yelah…keluarga awak kan kaya.  Saya ni apalah yang ada, Haikal…” Juliana masih cuba merendah diri.

“Keluarga saya orang kaya?  Awak patut rasa beruntung sebab awak pun dilahirkan dalam keluarga yang ada perniagaan besar, Juliana.  Ayah awak ada banyak cawangan restoran!  Awak pun dalam kalangan orang berada juga,” Haikal cuba menangkis tanggapan Juliana itu.  Mendengar pujian lelaki itu, Juliana terdiam.  Dia termenung.

“Hei, kenapa ni?  Tiba-tiba sedih?” tanya Haikal yang bimbang dengan keadaan Juliana yang berubah wajah.  Senyumannya hilang dan ada perkara yang sedang dibimbangkan.

“Tadi pagi, brek ayah saya tak berfungsi,” adu Juliana.

“AstaghfiruAllah…Kenapa jadi macam tu?  Habis ayah awak tak apa-apa?” tanya Haikal cemas.  Memang sebelum ini, Juliana ada menceritakan kepadanya tentang ancaman yang sentiasa diterima oleh ayah dan keluarganya.  Ini bukanlah merupakan kali pertama kejadian cemas itu berlaku.  Masakan restoran mereka pernah disabotaj oleh musuh perniagaan ayahnya sehinggakan mereka terpaksa membina semula kepercayaan pelanggan-pelanggan tetap mereka.  Walaupun perniagaan ayahnya semakin besar dan berjaya, namun musuh pernigaan ada di mana-mana saja.  Keadaan inilah yang sering membimbangkan Salsabila.  Sebagai anak bongsu dari dua orang adik beradik, pastilah dia sangat bimbangkan tentang keadaan emak, ayah, serta keluarga kakaknya.

Tapi ayah tak nak kecoh-kecoh, jadi dia tak buat laporan,” jelas Juliana.

“La, kenapa ayah awak tak nak report polis?  Ini bukan kes biasa, Julia…Ni tentang keselamatan ayah awak…dan keluarga awak juga.  Saya bimbang, kalau ada perkara yang buruk berlaku kat awak,” leter Haikal yang wajahnya penuh kebimbangan.  Juliana memberikan senyuman kepada lelaki itu.

“Saya tahu awak bimbang…Tapi saya setuju dengan ayah saya.  Biarlah…Tak payah nak diperbesar-besarkan hal ni.  InsyaAllah, kami akan selamat,” jawab Juliana dengan tenang.  Juliana memang mengikut sikap ayahnya yang sentiasa tenang.  Dia juga mengaku, disebabkan sikap itulah, Haikal rasa selesa untuk bercerita masalah kepada gadis itu.  Juliana pasti akan memberikan kata-kata yang membuatkannya tenang dan dapat menyelesaikan masalah dengan baik  Gadis ini memang istimewa dan disebabkan itulah dia tak sabar untuk memperkenalkannya kepada ibunya.

“Berkenaan niat saya nak jumpakan dengan ibu saya tu…” Haikal merasakan Juliana masih berada dalam kekusutan.  Mungkin ini bukanlah masa yang tepat untuk memperkenalkannya dengan keluarganya.

“Bila kita nak jumpa ibu awak?” tanya Juliana dengan penuh pengharapan.  Haikal membalasnya dengan senyuman gembira.  Juliana tak pernah menghampakannya.  Dia tahu gadis ini juga serius dengan hubungan yang sudah setahun dibinanya.

“Dan…Itulah kali terakhir aku bertemu dengan kamu…Aku tak sempat memperkenalkannya kepada ibuku,” keluh Haikal ketika memandu keretanya menuju ke tempat Salsabila berdiri sebentar tadi.  Salsabila telah hilang!

 

            Syazira rasa tidak sabar hendak masuk ke dalam kelas tersebut.  Sudah lama dia memujuk ibunya agar mendaftarkannya ke kelas latihan vokal dan nyanyian.  Tetapi Haikal menegahnya berulang-ulang kali.  Hairan juga, kelmarin abangnya menawarkan kepadanya untuk mendaftarkan diri ke kelas tersebut.  Tanpa berfikir panjang, Syazira bersetuju dan berjanji akan menyeimbangkan masa antara aktiviti kegemaran dengan persekolahannya.

“Maaf, Cik Salsabila...Hari ni awak ada pelajar baru,” kata pembantunya, Faridah yang menemukan Syazira dengan guru kelas vokalnya.  Salsabila terkejut apabila gadis berumur enam belas tahun itu merupakan anak kepada Datin Sarimah yang pernah ditemuinya dua minggu yang lalu.  Syazira juga terlopong mulut apabila perempuan yang manis dan berambut lurus itu merupakan bakal gurunya.  Pasti dia mengajar dengan mesra dan berkesan.

“Selamat datang, Syazira...Cikgu terkejut menerima Syazira sebagai pelajar kelas ni,” ucap Salsabila lalu memperkenalkannya kepada kawan-kawan yang lain.

“Saya tak sangka cikgu seorang pakar dalam bidang nyanyian.  Dan…suara cikgu memang sedap! Patutlah abang Haikal beriya-iya suruh saya ke kelas yang ini, padahal semenjak kak Juliana meninggal, dia tak suka adik beradik dia minat pada bidang nyanyian.  Padahal, saya memang minat bidang ni, kak.  Saya suka join kumpulan koir dan nasyid.”  Mendengar nama Haikal, Salsabila merasa hairan.  Kenapa abangnya berubah fikiran dan membenarkan adiknya itu menghadiri kelas nyanyian?  Bukankah semenjak Juliana pergi, segala kegemaran dan kesukaan gadis itu telah menjadi kebenciannya?

“Mungkin dia cuba nak amnesia tentang cintanya terhadap Kak Juliana.  Tapi tak mampu…” Tiba-tiba Syazira mengadu kepada Salsabila.

“Kenapa Syazira cakap macam tu?  Dia masih ingatkan arwah Juliana tu ke?” tanya Salsabila yang cuba mencungkil rahsia Haikal.

“Entahlah, cikgu… Dia tunggu Kak Juliana, tapi dia tak muncul-muncul juga.  Padahal waktu tu, dia dah janji nak bawa Kak Juliana jumpa kami kat rumah.  Tapi Kak Juliana menghilangkan diri.  Esoknya, dia dapat berita yang mereka sekeluarga kemalangan dan meninggal dunia.  Waktu tu, keadaan abang sangat teruk, cikgu.  Dia termenung dan tak mahu ke kuliah.  Ibu tampar dia.  Dan minta dia lupakan Juliana…Mungkin dia tak sanggup lihat ibu sedih, dia bersemangat semula…dan hasilnya, dia dah amnesia tentang cinta itu…” jelas Syazira.

“Abang Haikal!” panggil Syazira apabila ternampak abangnya sedang berjalan ke arah mereka.  Salsabila cuba menguntumkan senyuman, tapi Haikal dapat mentafsir senyuman itu hanya terpaksa.  Dia tahu, Salsabila tidak suka bertemu dengannya.

“Salsabila…Saya hantarkan awak balik,”ajak Haikal yang berpakaian kemas.  Barangkali dia baru pulang dari pejabat dan terus mengambil adiknya yang merupakan hari pertama menghadiri kelas latihan vokal dengannya.

“Jomlah, cikgu…Rumah cikgu kan dekat Pantai Hill Park je.  Abang saya memang suka tolong orang,” pujuk Syazira.  Pertemuan kedua mereka itu membibitkan kemesraan.  Nampaknya Syazira suka dengan gadis yang mirip wajahnya dengan Juliana itu.  Kalaulah Syazira menemui Juliana pada hari itu, pasti dia juga akan bersetuju dengan pendapatnya bahawa gadis ini serupa sifat dan wajah dengan kekasih hatinya dulu.

“Baiklah…Maaf, kalau saya menyusahkan Encik Haikal,” kata Salsabila lalu duduk di sebelah Haikal yang memandu.  Syazira hormat pada orang yang lebih berusia darinya.  Dia tidak kisah duduk di bahagian penumpang belakang itu.

“Abang, berhenti kejap.  Ira nak beli donut kejap,” pinta Syazira.  Haikal membelok ke kiri, masuk ke dalam tempat meletak kenderaan di hadapan Mid Valley.  Salsabila hanya mengekori mereka tanpa banyak bangkang.

“Maafkan kami.  Terpaksa pula Salsabila ikut ke sini.  Syazira memang suka makan Apple Donut.  Tengoklah badannya…” Haikal bergurau.  Salsabila ketawa.  Haikal terpegun melihat gaya Salsabila ketawa.  Sama seperti Juliana.  Ketawanya sederhana dan mulutnya ditutup dengan tangannya.

“Juliana…” panggil Haikal kepada Salsabila yang berjalan di hadapannya itu.  Salsabila memberhentikan langkahnya.  Dia menoleh ke belakang.  Dia memandang wajah Haikal yang sedang merenungnya.

“Juliana?  Awak tu ke?” tanya Haikal kepada Salsabila.  Salsabila jadi cemas.  Dia cuba menyembunyikan wajah bimbangnya itu. 

“Encik Haikal…Awak salah orang.  Saya Salsabila.  Bukan Juliana,” Salsabila cuba mengingatkan lelaki itu agar berhenti dari memanggilnya Juliana.

“Awak tertinggal ini kat dalam lif di hotel saya,” Haikal menghulurkan sesuatu.  Sesuatu yang sangat mengejutkan Salsabila.  Hampir pitam rasanya.  Kad pengenalannya!

“Ini…ini…bukan saya punya,” jawab Salsabila yang ketakutan.  Dia tak sanggup bertentang mata dengan Haikal.  Salsabila cuba melangkah meninggalkan lelaki itu.  Lengan tangannya direntap.

“Juliana!  Awak…awak…dah lupakan saya? Betul ke…betul ke awak dah lupakan saya?” tanya Haikal berulang-ulang kali.  Syazira yang sudah keluar dari kedai, terkejut melihat kelakuan mereka.  Kenapa Haikal memegang lengan tangan guru vokalnya?

“Encik Haikal silap orang.  Saya bukan Juliana…Saya Salsabila…” jawab Salsabila.  Salsabila memberanikan diri bertentang mata dengan lelaki itu.  Ada airmata bertakung di mata Haikal.  Salsabila cuba menguatkan dirinya.  Dia takkan membocorkan rahsia yang sudah empat tahun disimpannya itu!  Tidak mungkin!

“Senyuman awak…percakapan awak…Ketawa awak…Gaya awak…Dan…minat awak dalam bidang lukisan…nyanyian…sama dengan Juliana!  Kebetulan bagaimana ni, Salsabila?  Awak Juliana!  Bukan Salsabila!” tegas Haikal.  Haikal cuba mengawal perasaan sedih dan marahnya itu.  Dia sangat sedih apabila gadis yang selama ini dirinduinya dan difikirkan sudah pergi buat selama-lamanya, kini berada di hadapannya.  Dan…Dia sangat marah, kenapa Juliana mengatakan dirinya Salsabila?  Amnesiakah dia?

“Saya bukan Juliana yang awak cinta…Saya Salsabila.  Maafkan saya Encik Haikal… Encik Haikal terlalu memaksa saya!” balas Salsabila lalu airmatanya menitis di pipinya.  Salsabila menggoncangkan lengan yang dipegang oleh Haikal lalu dia berlari meninggalkan Haikal sendirian.  Syazira yang terkejut melihat situasi itu, berlari mendapatkan abangnya.

“Abang Haikal…Kenapa abang buat cikgu macam tu??” tanya Syazira yang masih bingung dengan keadan itu. 

“Dia bukan cikgu Salsabila, Ira.  Dia Juliana!  Dia gadis yang abang tak sempat kenalkan kepada ibu empat tahun yang lalu!”

“Tapi…dia kan dah tak ada…”

“Mana kuburnya?  Mana buktinya dia dah mati?  Abang cuma dapat berita melalui surat khabar dan majalah.  Tapi abang tak jumpa pun kuburnya!”

“Tapi kenapa dia nak menipu abang macam ni?”

“Itulah yang abang nak tahu…”

 

“Cikgu…Kenapa Juliana bertukar menjadi Salsabila?” tanya Syazira sebaik saja kelasnya tamat.  Salsabila tergamam mendengar soalan itu. 

“Syazira, cikgu nak jumpa dengan abang awak.  Boleh?” pintanya kepada Syazira. 

“Saya ada di sini, Juliana.  Dan saya selalu menunggu penjelasan daripada awak,” Haikal berdiri tidak jauh dari kereta Salsabila.  Dia sengaja membeli kereta Myvi kelmarin supaya senang berulang-alik ke kelas latihan vokal dan pekerjaannya sebagai pelukis.

“Haikal…Saya bukan Juliana.  Saya Salsabila buat selama-lamanya…”

“Tapi kad pengenalan milik awak membuktikan awak Juliana Binti Idris.  Kenapa awak masih menafikannya, Julia?” tanya Haikal dengan wajah yang penuh kebimbangan.  Tiada senyuman manis terukir di bibir Salsabila. Semenjak pertengkaran semalam, Salsabila jadi gelisah.  Dia sudah bersiap sedia untuk menjelaskan kepada Haikal tentang keadaan yang sebenarnya.

“Maafkan saya, Haikal…Bacalah surat ni…Semua jawapannya ada di dalamnya,” kata Salsabila lalu menghulurkan sampul surat putih ke tangannya.  Haikal menerimanya dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa perlukan surat untuk berterus terang, Julia?  Saya masih sayangkan awak dan siapapun awak sekarang, saya tetap sayangkan awak.  Tolonglah faham, Julia,” rayu Haikal yang seperti orang bingung.  Kenapa tegarnya Juliana memperlakukan kekasih hatinya sebegini?

“Semuanya akan terjawab, Haikal. Dan…maafkan saya,” pinta Salsabila.  Menitis airmatanya di hadapan lelaki itu.  Tahulah Haikal bahawa dirinya masih disayangi oleh gadis itu.  Kalau tidak, masakan Juliana mempamerkan kesedihannya.

“Saya terpaksa pergi…Maafkan saya,” ucap Salsabila lalu masuk ke dalam keretanya.  Haikal masih terkejut dengan surat dan diri gadis itu.  Siapa sangka, cinta yang difikirkan hanya tinggal cinta lama akan berputik semula?

Buat Haikal…Lelaki yang pernah singgah dalam hidup saya empat tahun yang lalu.  Haikal, saya sentiasa sayangkan awak dan betapa rindunya saya kepada awak.  Tapi, Juliana telah mati semenjak keluarganya pergi buat selama-lamanya di hadapan matanya sendiri.  Semenjak itu juga, saya benci dengan nama saya sendiri.  Saya bukan Juliana yang awak kenal dulu.  Saya cuba ubah imej diri saya agar tiada sesiapa yang cam diri saya sebagai Juliana.  Kisah hidup sebagai Juliana terlalu menyakitkan, Haikal.  Saya rasa sunyi dan keseorangan.  Saya kehilangan segala-galanya yang saya sayangi dan dirampas oleh pihak yang tak seharusnya.  Tapi apalah kudrat saya untuk melawan takdirNya?  Saya nak lupakan segala kisah hidup saya sebagai Juliana.  Juliana yang awak pernah sayang dan cinta.  Maafkan saya kerana mungkir janji untuk bertemu dengan ibu awak.  Dan…siapa sangka, akhirnya saya dapat menemuinya?

Haikal…Saya selalu sayangkan awak…terlalu mengingati awak.  Tapi biarlah saya amnesia tentang cinta itu…Kerana kini saya bukan Juliana yang awak pernah kenal dulu. Saya Salsabila yang akan lari sejauh mungkin dari insan bernama Haikal.

Maafkan saya…Selepas ini, saya takkan wujud dalam kehidupan awak.  Anggaplah tadi pertemuan kali terakhir kita.  Jangan mencari saya lagi kerana saya akan sentiasa  pergi daripada diri awak.  Awak dan cinta itu telah saya lupakan…Saya Salsabila bukan Juliana yang dulu.

Haikal..Saya sayangkan awak…

 

“Julianaaaaaaaa!!!!!!!!!!” teriak Haikal lalu meramas-ramas kertas tersebut.  Dia menangis sepuas hatinya.  Selama empat tahun dia mengharapkan keajaiban akan datang.  Selama empat tahun dia mencari bayangan gadis itu.  Kini, apabila sudah bertemu, Juliana meninggalkannya buat kali kedua. 

“Juliana…awak menjadi amnesia tentang cinta ini…tentang cinta kita…sampainya hati awak.  Kalau itulah kehendak awak, saya takkan mencari awak lagi.  Kerana saya yakin Allah akan mempertemukan kita semula seperti pertemuan yang tidak tersangka itu,” bisik Haikal kepada dirinya sendiri.  Dia pasrah.  Akur dengan kehendak dan permintaan gadis bernama Salsabila itu.  Haikal yakin, dia dapat bertahan sepertimana dia tabah menerima berita kematian gadis itu empat tahun yang lalu.

“Juliana, saya benci awak!!!!!!!!!!!!” pekik Haikal sendirian di jambatan itu.  Terasa puas kerana dapat menjerit setelah dikecewakan sekali lagi oleh gadis yang sama.

 

 

 

 

 

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Amnesia yang dibuat-buat oleh Salsabila aka Juliana
    sebab nak lari dari kenyataan cinta Haikal.
    Penakut dan manusia yang kerugian.

    /Empat
  • 2) sebab kenapa Juliana tinggalkan Haikal tak jelas. tapi apapun, cerita yang baik

    (ewah. macam pengulas bertauliah pulak dah. HAHA)
  • 3) percubaan yang baik. ada sikap dan usaha yang kalau konsisten akan maju.
    cik ctmurni sudah berada di landasan yang betul.

    penamahbaikan: ada plot yang agak longgar, seperti justifikasi juliana terlalu trauma hingga mahu jadi salsabila.

    overallnya bagus

  • 4) Ya, ada sesuatu yang kurang di sini. Sesuatu yang sepatutnya dipegang kuat supaya plot cerita tidak longgar. Atau anda ada kesinambungan bagi kisah ini?

    Walau apa pun, ia percubaan yang baik. Ayatnya kemas.

Cerpen-cerpen lain nukilan ctmurni

Read all stories by ctmurni
No stories.