Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Stesen Ajaib

Cerpen sebelumnya:
PCB#3 : Kaulah petanda, wahai Pyrexia
Cerpen selanjutnya:
Jangan Membazir!


Sebelum mulakan cerita ini, saya hendak memohon maaf banyak-banyak terlebih dahulu. Pertama, ini bukanlah kisah tentang pergolakan di Mesir mahupun Tunisia. Bukan juga berita tentang penduduk di Milan, Itali yang berdemonstrasi agar Silvio Berlusconi meletak jawatan. Saya tidak pandai mengarang cerita-cerita sebegitu . Saya hanya membacanya sahaja dari akhbar, internet atau menonton beritanya sahaja. Saya tidak berada di tempat mereka jadi jika saya mengarang cerita-cerita sebegitu, yang terzahir hanyalah kepura-puraan semata-mata. Budak sekolah menengah pun pasti dapat mengesan betapa pura-puranya saya mengarang cerita-cerita yang berkisar tentang hal ehwal semasa sebegitu.

 

Saya hanyalah seorang perempuan yang biasa-biasa sahaja. Kegemaran utama adalah tidur (maaf jika anda berpendapat kegemaran tidur itu adalah kegemaran yang tidak senonoh bagi seorang perempuan). Suka tidur tidak bermakna saya malas. Banyak juga perkara lain yang saya buat selain daripada tidur. Tidur adalah satu nikmat yang sekarang ini jarang-jarang orang lain ada dan menjadikan tidur sebagai satu kegemaran adalah tidak salah, bukan? Malah saya dapat melakukan kerja-kerja lain dengan penuh rasa selesa selepas tidur.


Selain daripada tidur, saya juga gemar membaca.

 

(berhenti menaip sebentar).

 

Saya membaca semula kisah yang saya karang ini. Dan, saya terdiam sebentar. Ketawa kecil saya sendirian. Lalu berkata dalam hati bahawa cerita saya ini sudah menjadi seperti sebuah karangan PMR. Tak sedap langsung!


Baiklah, kita abaikan tentang kegemaran kedua saya yang suka membaca itu. Tiada apa yang menarik tentang ulat buku seperti saya. Membosankan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini saya telah terbeli beberapa buah buku yang membosankan . Maaf Stephen King, saya tidak mampu menghabiskan buku Everything’s Eventual: 14 Dark Tales anda yang saya beli edisi kulit keras itu. Nasib baik saya jumpa di kedai buku terpakai.  Adakah ini petanda bahawa saya patut mempunyai kegemaran baru seperti meminati beberapa kumpulan K-Pop yang lagu-lagu mereka ada satu, dua yang boleh dodoikan saya ketika tidur?


Okey, okey…sebenarnya tujuan saya menulis ini bukanlah mahu menceritakan tentang kegemaran saya. Saya hendak bercerita tentang kisah semalam. Semalam adalah hari Ahad dan hujan turun dengan lebat pada hari itu.


Saya menemani adik saya ke Stesen Bas Bukit Jalil untuk menghantarnya pulang kembali ke Johor. Maklumlah cuti seminggunya telah tamat dan lebaran senyumannya selama seminggu itu juga sudah kendur. Saya dengan rela hati mahu membawakan beg pakaiannya yang berjenama itu. Saya tidak tahu jenama apa tetapi saya yakin ia sebuah beg yang berjenama memandangkan adik saya seorang yang sangat menitikberatkan jenama barangannya. Ini merupakan pertama kali kami ke Stesen Bas Bukit Jalil memandangkan sebelum ini saya hanya menghantar adik saya di stesen bas Shah Alam sahaja. Dan, tiket bas di Shah Alam sudah habis, maka terpaksalah kami ke Bukit Jalil pula.


Keadaan di sana sangatlah sesak dan sebagai seorang ulat buku, suasananya tidaklah menyeronokkan untuk saya membuka buku lalu membacanya sambil berdiri di tengah-tengah orang ramai sementara menunggu bas tiba. Jadi, saya dan adik hanya berdiri sahaja sambil menjinjing beg. Daripada saya membuang masa memikirkan apakah yang dibisikkan oleh sekumpulan anak gadis berbaju kurung (yang saya yakin mahu pulang ke universiti masing-masing dan saya sangat yakin mereka mahu pulang ke UiTM ) tentang jenama beg pakaian dijinjing saya itu, lebih eloklah kiranya saya memerhati gelagat manusia di stesen tersebut. Mana tahu kalau-kalau ada yang boleh dimasukkan di dalam cerita ini.


Ya, memang ada pun. Itupun setelah 15 minit saya dan adik berdiri menunggu bas yang sudah terlewat 10 minit itu. Saya nampak kelibatnya tidak jauh dari tempat saya berdiri. Kami hanya dipisahkan oleh lima, enam orang sahaja. Apa yang menarik perhatian saya?


Dia tidak melakukan aksi-aksi pelik di stesen bas tersebut seperti melakukan aksi akrobatik atau menjerit seperti Tarzan (baik, itu sudah mengarut. Maafkan saya). Dia tidaklah melakukan aksi mencium mulut di khalayak ramai atau tangan kanannya melakukan senaman ringkas pada mana-mana punggung wanita. Heh!


Dia hanya memandang saya. Tajam.


Sebelum itu, tolong jangan kata saya seorang yang perasan. Saya tidak perasan dan saya sangat yakin tentang itu. Pertama, kerana naluri kewanitaan saya kuat mengatakan bahawa dia sedang memandang saya. Okey, saya tahu naluri kewanitaan seseorang memang selalu diperlekehkan. Sebab kedua, dia asyik terjengket-jengket atau cuba mengalihkan kepalanya apabila orang lalu-lalang di hadapannya lalu menghalang pandanganya daripada melihat saya. See?


Apabila dia asyik memandang saya, nak tak nak saya juga terpaksa (dengan rela) memandang wajahnya sekali-sekala. Sehinggalah pada suatu saat, di kala bas sudah terlewat hampir setengah jam, tiba-tiba dia berjalan menghampiri saya lalu berdiri di sebelah saya. Dia senyum ke arah saya dan saya turut membalas senyuman itu ala kadar sahaja kerana malu.  Kami tidak bertegur sapa atau berkata apa-apa. Yang berbual cuma suara hati masing-masing.


Hai.

Hai.

Nama saya Saiful.

Nama saya Yasmin.

Saya suka menyanyi dan membaca. Ulat buku macam saya ni memang membosankan.

Saya suka tidur dan membaca.  Ya, ulat buku macam saya ni memang membosankan.

Mahu jalan-jalan dengan saya hujung minggu ni? Boleh ajak awak ke MPH atau Kinokuniya.

Kalau awak yang ajak, tentu saya setuju! Mungkin boleh cari buku lain untuk gantikan buku Stephen King yang membosankan tu.

Oh, saya pun mahu cari buku lain untuk ganti buku James Patterson yang membosankan tu.

Tapi saya minat Patterson.

Tapi saya minat King.

Kalau macam tu bolehlah kita bertukar-tukar buku.

 

Kami berdua tersenyum. Seolah-olah mendengar bualan hati masing-masing. Tapi, itu hanya seketika sahaja. Perempuan yang sejak dari tadi memaut lengan dia tiba-tiba memandang saya dengan penuh rasa kehairanan. Atau mungkin dengan penuh rasa curiga.


Teman wanita?


Dia hanya senyap sahaja. Tidak menjawab pertanyaan hati saya. Untuk menutup perbuatan saya yang sungguh berani berbual hati dengan teman lelakinya, saya segera berpura-pura memandang skrin telefon bimbit saya yang secara tiba-tiba menerima pesanan ringkas. Dia memandang gerak geri saya. Dan saya melihatnya dengan ekor mata sahaja.


SMS dari teman lelaki?


Saya tidak menjawab soalan hatinya kerana pada masa itu saya sedang khusyuk membalas SMS dari ibu saya yang menyuruh saya pulang apabila hujan sudah reda nanti. Lagipun, saya segera memasang earphone di telinga dan memutarkan I’m A Loser sebagai pengubat jiwa ketika itu.  Ya, jiwa saya terluka dan saya perlukan ubat sementara. Mungkin suara Lennon dan McCartney boleh memberi kesan penyembuhan sementara tersebut. Lalu saya menyanyikan lagu tersebut dalam hati.


I'm a loser
And I lost someone who's near to me
I'm a loser
And I'm not what I appear to be


 Tidak lama kemudian bas yang ditunggu-tunggu tiba juga. Rupa-rupanya kelewatan bas tersebut disebabkan oleh banjir. Maklumlah hujan turun tidak henti-henti dan kini hujan sudah pandai pula turun dalam hati saya dan ianya semakin lebat. Saya melihat dia menjinjing beg pakaian teman wanitanya dan saya pula turut sama bertungkus-lumus menjinjing beg pakaian berjenama adik saya dengan penuh hati-hati. Sempat juga saya memandangnya apabila teman wanitanya bersalam dengannya dan tidak segan silu mencium pipinya kiri kanan!


Kini bukan sahaja hujan lebat mencurah-curah dalam hati, tetapi kilat turut sama sabung-menyabung menambahkan lagi dramatik dalam hati saya ini.


Lebih kurang 10 minit, bas pun berlepas. Tinggallah saya sendirian dan tanpa disangka-sangka dia menegur saya.


“Itu adik saya. Saya hantar dia ke Johor. Cuti seminggu dia dah habis.”


Saya mengangguk dan senyum.


“Yang SMS tadi mak saya. Dia suruh saya balik bila hujan dah reda.” Saya memberitahunya tanpa dia sempat menyoalnya. Saya tahu dia mahu bertanyakan perihal SMS tersebut. Naluri kewanitaan saya kuat menyatakannya.


Dia mengangguk dan senyum.


“Saya suka menyanyi dan membaca. Ulat buku macam saya selalunya membosankan,” beritahunya.

“Saya suka tidur dan membaca. Ya, ulat buku macam saya selalunya tiada siapa yang nak layan,” beritahu saya pula.

“Mahu pergi jalan-jalan hujung minggu ni. Boleh ke MPH atau Kinokuniya.” Dia mengajak.

“Kalau awak yang ajak, tentulah saya nak! Bolehlah saya beli buku lain untuk gantikan buku Stephen King saya yang membosankan tu.”

“Saya pun nak beli buku lain untuk ganti buku James Patterson saya yang membosankan tu. Tapi saya suka King.”

“Saya suka Patterson.”

“Kalau macam tu bolehlah kita tukar buku.” Dia mencadangkan.


Saya angguk.


“Boleh saya minta alamat awak? Nanti boleh saya datang untuk tukar buku tu.” Saya bertanya. Entah dari mana datangnya keberanian saya untuk meminta alamatnya.

Dia menulis sesuatu di atas kertas dan kemudian memberinya kepada saya alamatnya.

Selepas itu, kami sama-sama menunggu sehingga hujan reda yang berlarutan sehingga hampir satu jam. Pada saat kami mahu berpisah dia sempat memberitahu saya sesuatu.


“Jangan lupa datang. Saya tunggu.”


Saya mengangguk. Lalu kami membawa langkah masing-masing. Dalam hati saya bersyukur kerana meminta alamat rumahnya dan bukan alamat Facebooknya, kerana saya adalah seorang stalker tegar di alam maya.


Sesampainya di rumah saya terfikir-fikir apa lagi yang saya boleh lakukan dengan alamatnya selain berkunjung ke rumahnya untuk bertukar buku. Mungkin juga saya boleh mula mengarang surat untuknya. Saya mula berfikir apa yang ingin saya karang di dalam surat-surat itu nanti. Nampaknya saya perlu tidur untuk mendapat idea sesudah bangkit nanti. Tapi yang jelas, pada akhir setiap surat-surat itu pasti saya akan tulis ini:  P.S. I Love You. 

 

P.S. ZZZzzzZZZ...

 

 

 

Cerpen sebelumnya:
PCB#3 : Kaulah petanda, wahai Pyrexia
Cerpen selanjutnya:
Jangan Membazir!

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.5
6 Penilai

Info penulis

kamalia

Hopeless romantic tapi kemungkinan besar menghidap philophobia. Meminati karya-karya luar kotak tidak kira dari genre apa, sambil disulami elemen cinta atau satira (tidak kira puisi, cerpen, lukisan, novel atau apa saja). Karya yang hebat secara peribadi adalah yang mampu membuatku termenung beberapa ketika kerana begitu terkesan. Kalau mahu lebih dramatik, mampu merembeskan air mata dan terkedu selama beberapa minit.    
kamalia | Jadikan kamalia rakan anda | Hantar Mesej kepada kamalia

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kamalia
Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni) | 14718 bacaan
Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku | 4811 bacaan
Satu Perasaan Yang Tak Terungkapkan | 7717 bacaan
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban | 4525 bacaan
PCB# 3: Duniaku, Alice In Wonderland! | 5466 bacaan
PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat | 4703 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2) | 3228 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1) | 3278 bacaan
PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal | 4210 bacaan
Kepada Michelle: Jika Aku Berpindah Saat Kau Kembali, Pohon Mangga Itu Telah Ku Lantik Sebagai Ganti Hatiku (Bah. 3) | 2941 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

10 Komen dalam karya Stesen Ajaib
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik